Jumaat, 13 September 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Karnival kumpul dana RM200,000

Posted:

Karnival kumpul dana RM200,000

Karnival kumpul dana RM200,000

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PELBAGAI aktiviti menarik disediakan untuk orang ramai.


PROGRAM Fun Fair At The Park anjuran Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam) berlangsung penuh meriah di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Acara tahunan yang telah memasuki tahun ke-16 penganjurannya itu berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit strok selain mengumpul dana yang diperlukan persatuan tersebut.

Pengurus Besar Nasam, Ng Wye Wye berkata, sehingga kini, pihaknya mempunyai lapan pusat di seluruh negara dan menyediakan perkhidmatan pemulihan dan kaunseling kepada lebih 400 survivor penyakit berbahaya itu.

"Kami bergantung hampir secara eksklusif kepada kerelaan sukarelawan dan kemurahan hati penaja serta penderma untuk memberi sokongan kepada pesakit strok.

"Kami percaya, ada kehidupan selepas diserang strok dan ia merupakan misi kami untuk membantu pesakit agar pulih dan kembali menjalani kehidupan normal," jelas Wye Wye sambil memberitahu, kos tahunan operasi Nasam mencecah RM2 juta.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk berbelanja di gerai jualan yang terdapat di tapak karnival.


Program yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti mewarna muka, sudut haiwan peliharaan, menunggang kuda padi, gerai permainan, persembahan nyanyian dan banyak lagi.

Kelibat beberapa orang badut yang berkeliaran di sekitar taman untuk menghiburkan orang ramai, membuatkan kanak-kanak teruja untuk mendekati mereka.

Selain itu, kehadiran maskot watak animasi Smurf turut menarik perhatian para peminatnya untuk bergambar bersama.

Tidak ketinggalan, gerai jualan makanan yang menawarkan variasi menu berbeza memberi peluang kepada pengunjung menikmatinya.

Semua pembelian di gerai atau untuk menyertai aktiviti yang ada perlu menggunakan kupon khas yang bertujuan memudahkan proses pengiraan dana yang berjaya dikumpul.


MASKOT watak animasi Smurf mencuri perhatian pengunjung.


Tampung kos

Secara keseluruhan, program Fun Fair At The Park berjaya mencapai matlamat untuk mengumpul dana berjumlah RM200,000 yang akan digunakan bagi menampung kos perbelanjaan operasi Nasam di seluruh negara.

Menurut Wye Wye, salah satu misi Nasam tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit strok kepada semua lapisan masyarakat.

"Setiap tahun, lebih 50,000 kes baharu dilaporkan di Malaysia. Justeru, amat penting untuk setiap individu mengetahui tanda-tanda awal strok dan kesan yang membuatkan badan lemah untuk membolehkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga di peringkat awal.

"Lantaran itu, kami turut membuka kaunter informasi berkaitan strok untuk menyebarkan maklumat ini kepada masyarakat di luar sana," terang Wye Wye yang gembira dengan sambutan luar biasa terhadap program Fun Fair At The Park tahun ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.nasam.org atau melalui laman sosial Facebok/National Stroke Association of Malaysia – NASAM.

Sudoku tajamkan minda

Posted:

Sudoku tajamkan minda

Sudoku tajamkan minda

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my


ISMAIL (tengah) bersama Mohd. Yusri (kiri) dan Teck Guan menunjukkan ruangan peraduan Sudoku Kosmo! bersama Midea 2013.


JIKA permainan teka silang kata dipercayai mampu membuatkan anda bertambah pintar, permainan Sudoku pula berupaya menambah ketajaman minda.

Perkataan Sudoku merupakan akronim daripada suuji wa dokushin ni kagiru yang berasal dari Jepun yang bermaksud angka mesti kekal tunggal atau bersendirian.

Sudoku merupakan permainan pengendalian nombor berdasarkan logik yang memberi kepuasan kepada pemain lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya menyelesaikan permainan itu.

Bagaimanapun, asal usul permainan Sudoku sebenarnya dicipta oleh seorang ahli matematik dari Switzerland, Leonhard Euler, pada tahun 1783. Beliau menyifatkan Sudoku sebagai sejenis permainan berkotak yang ajaib.

Presiden Persatuan Sudoku Malaysia, Ismail Omar, berkata, permainan menyusun nombor seperti Sudoku melatih seseorang untuk sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan.

"Kami berharap lebih ramai rakyat negara ini gemar mengisi masa lapang dengan melengkapkan permainan Sudoku kerana ia juga mampu meningkatkan daya fokus pemain.

"Satu lagi kelebihan permainan ini ialah ia sesuai untuk semua peringkat umur," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Difahamkan, permainan teka-teki angka yang juga menjadi senaman minda itu juga diakui boleh menghindarkan pelbagai penyakit berhubung sakit tua termasuk nyanyuk atau alzheimer.


KANAK-KANAK dan remaja sesuai bermain teka-teki Sudoku untuk menajamkan minda. - Gambar hiasan


Dalam pada itu, ahli jawatankuasa persatuan tersebut, Lim Teck Guan, memberitahu, ini merupakan penglibatan sulung pihaknya dalam penganjuran pertandingan Sudoku Kosmo! bersama Midea 2013. Midea merupakan pengedar rangkaian produk elektronik dan perkakasan rumah, Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea).

"Orang ramai digalakkan menyertai peraduan ini bagi menguji keupayaan mereka menyelesaikan teka-teki Sudoku daripada pelbagai tahap kesukaran.

"Terdapat tiga tahap kesukaran teka-teki Sudoku yang disediakan sepanjang enam hari peraduan ini disiarkan di akhbar Kosmo!," ujarnya.

Peminat Sudoku berpeluang menyertai pertandingan permainan teka-teki itu bermula dari 16 hingga 21 September ini.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Sudoku Malaysia, Mohd. Yusri Shariff, berkata, peraduan tersebut diadakan bagi menghargai pembaca setia Kosmo! yang menggemari permainan tersebut.

"Walaupun permainan ini nampak mudah, ia memerlukan teknik-teknik tertentu untuk menyelesaikan teka-teki tersebut," jelasnya.

Kesemua teka-teki Sudoku disediakan sendiri oleh syarikat pemegang hak cipta permainan tersebut iaitu Nikoli Co. Ltd. (Nikoli) yang berpangkalan di Jepun.

Nikoli turut menaja sebanyak 100 buah buku Sudoku kepada pemenang, di samping hadiah menarik lain daripada Midea. Midea akan menyediakan hadiah berupa barangan elektrik berjumlah RM15,000 kepada para pemenang.

Pemenang tempat pertama akan menerima barangan elektrik bernilai RM5,000, tempat kedua (RM3,000) dan ketiga (RM2,000).

Selain itu, 10 pemenang saguhati akan menerima perkakasan elektrik Midea bernilai RM500 seorang.

Veteran RTM kongsi pelbagai pengalaman bersejarah

Posted:

Veteran RTM kongsi pelbagai pengalaman bersejarah

Veteran RTM kongsi pelbagai pengalaman bersejarah

Oleh NIZHA PERIASWAMY

MALAYSIA melalui pelbagai rintangan dan cabaran dalam membentuk sebuah negara yang maju dan aman.


MENGENANG era pra dan pasca kemerdekaan, empat orang bekas juruhebah veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang hanya dikenali Radio Malaya ketika itu mengakui ia suatu pengalaman yang sarat dengan sejuta pengertian. Memori pahit dan manis yang dikutip kekal menebal walaupun masing-masing semakin ditelan usia.

Dalam pertemuan bersama Kosmo! pada Majlis Mesra Raya anjuran Persatuan Veteran RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur, bekas juruhebah RTM berkenaan tidak lokek bercerita.

Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Radio Malaya, Datuk Abdullah Muhamad, 82, berkongsi kenangan tatkala membuat liputan pilihan raya Malaya yang pertama sebelum merdeka pada tahun 1955.

Beliau yang bertugas sebagai juruhebah ketika itu berkata, tugasnya adalah untuk mengumumkan keseluruhan keputusan pilihan raya yang dimenangi parti Perikatan. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi daripada 52 yang dipertandingkan.

"Kami ditugaskan mengumumkan kepada orang ramai tentang keputusan sedangkan kami tidak tahu-menahu mengenai pilihan raya. Walau bagaimanapun ia memberi pengalaman baharu buat saya. Situasi pada hari itu penuh teka-teki dan menjadi pendidikan tidak formal tentang sistem demokrasi di Malaya," kata beliau.

Selain itu, beliau juga memberitahu, pilihan raya tersebut menjadi titik kerjasama antara parti UMNO, MCA dan MIC dalam usaha membentuk sebuah negara merdeka.

Abdullah turut berkongsi cerita mengenai kenangan bekerjasama dengan pihak British yang menghalang fahaman komunisme merebak dan membantu melancarkan peperangan psikologi terhadap kumpulan komunis yang bersembunyi di dalam hutan.


BANGUNAN Angkasapuri ini siap dibina pada tahun 1968, tetapi para kakitangan veteran Radio Malaya sudah mula bertugas seawal tahun 1954 lagi di pejabat lama di Jalan Cenderawasih, Kuala Lumpur.


Peristiwa Hartal

Mengenang peristiwa satu tugasan pada tahun 1954, menurut Abdullah, beliau pernah terlibat dalam proses merakam suara untuk menggesa mereka yang terlibat dalam gerakan komunis supaya keluar dan kembali kepada keluarga di rumah. Kebanyakan rakaman suara itu diedarkan menggunakan kapal terbang di kawasan hutan di Pahang.

Sementara itu, bekas pengulas Radio Malaya yang pernah bekerja di Pulau Pinang pada tahun 1960-an, Amran Hamid, 73, mengakui tidak berpeluang membuat liputan kemerdekaan tetapi kisah yang dikongsi beliau juga penuh sejarah.

"Pada tahun 1967, berlaku rusuhan yang dinamakan sebagai Peristiwa Hartal. Saya antara kru yang bertugas untuk menenangkan keadaan di sekitar Pulau Pinang. Banyak pengumuman dilakukan supaya kesahihan dan penyelesaian yang benar disampaikan," kata beliau.

Peristiwa Hartal berlaku pada 24 November 1967 akibat susut nilai mata wang pound sterling. Kejatuhan nilai mata wang itu telah menjejaskan mata wang Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Penurunan mendadak itu menyebabkan orang ramai tidak berpuas hati dan menjurus kepada rusuhan kaum walaupun masalah itu telah diselesaikan dalam masa lima hari.

Mengenang tempoh 33 tahun bertugas di RTM, Amran memberitahu, Peristiwa Hartal merupakan kenangan paling tidak dapat dilupakan ketika bertugas selaku pengulas selama enam tahun. Kemudian, beliau beralih ke unit Pengurusan Perhubungan Awam.

Bagi bekas pembantu penyiaran, Abdul Aziz Mohd. Ibrahim, 73, yang lebih dikenali sebagai Aziz Ibrahim, pengalaman merakam dan menjadi pengulas sukan merupakan memori yang membanggakan. Ini disebabkan pasukan sukan Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an adalah kumpulan terbaik di Asia.

Pasukan Malaysia

Beliau pernah bertugas membuat liputan Piala Thomas 1967. Pada waktu itu, Malaysia mempunyai pasukan yang kuat dan terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran.

"Sewaktu itu, kawasan Asia Tenggara bergolak dengan konfrontasi Malaysia-Indonesia serta peralihan rejim Sukarno-Suharto di Indonesia. Berlaku kekecohan ketika Malaysia hampir menang dan acara final terpaksa dihentikan. Keadaan kami sebagai wakil komentar agak getir juga.

"Kami terpaksa menunggu dalam bilik komentar sebelum pihak berkuasa membawa kami pulang memandangkan situasi boleh mengancam nyawa," ujar Aziz yang ketika itu berada di Jakarta, Indonesia.


AMRAN


Pengalaman lain yang dikongsi beliau ialah saat pertama kali Malaysia memiliki satelit Olimpik sendiri pada tahun 1972. Kewujudan teknologi satelit tersebut memberi peluang kepada RTM dan memudahkan membuat liputan sukan Olimpik.

Tutur Aziz, bertambah menarik mengenai Sukan Olimpik pada tahun itu apabila menyaksikan pasukan bola sepak Malaysia berjaya menumbangkan jaguh Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan. Secara tidak langsung Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim Panas 1972 di Munich, Jerman (ketika itu dikenali sebagai Jerman Barat). Ia satu-satunya edisi Olimpik yang disertai oleh skuad bola sepak Malaysia.

Walaupun kalah, Aziz dengan bangga memberitahu Malaysia merupakan wakil benua Asia untuk sukan bola sepak ketika itu.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas kakitangan RTM, iaitu mantan Penolong Penyiaran Radio Malaya, Baharin Tahir, 74, menceritakan detik-detik cemas beliau ketika menjadi pembantu penyiaran sewaktu peristiwa 13 Mei 1969.

"Pada malam 12 Mei, semua ketua saya sudah balik awal. Saya pun tidak mahu menunggu lama kerana keadaan agak genting. Jadi saya mengambil keputusan pulang pada pukul 6 petang dari pejabat kami yang ketika itu terletak di Jalan Cenderawasih, Kuala Lumpur. Saya juga masih ingat bagaimana Tunku Abdul Rahman menangis di kaca televisyen ketika membuat pengumuman tentang darurat. Kami berpasukan bersama semua wartawan kaum lain dalam pejabat yang sama hanya makan roti kering ketika menunggu pengumuman tentang peristiwa 13 Mei itu," kata Baharin.

Mengakui ia satu pengalaman yang menggugat keamanan negara, Baharin berkata, tugasnya melapor dan berkongsi maklumat dari semasa ke semasa membuatkan pendengar RTM sedar tentang peristiwa-peristiwa penting yang melanda negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved