Khamis, 12 September 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pakej pelayaran solo

Posted:

Pakej pelayaran solo

Pakej pelayaran solo

PENGEMBARA solo pakej yang ditawarkan Hwajing berpeluang merasai pengalaman percutian mewah di kapal SuperStar Libra.


PAKEJ pelayaran bersama keluarga dan rakan-rakan merupakan pengalaman manis sepanjang percutian di atas kapal. Sepanjang pelayaran, pelbagai aktiviti riadah dan bersantai menjadi kemestian bagi pelancong untuk mengisi masa terluang sebelum sampai ke destinasi percutian.

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia memilih pakej pelayaran berkumpulan sebagai salah satu cara untuk meluangkan masa dengan yang tersayang. Kebanyakan agensi pelancongan di Malaysia menyediakan pakej pelayaran untuk kumpulan dengan harga berpatutan, bergantung kepada destinasi yang akan dibawa.

Bagaimanapun tidak banyak syarikat pelancongan yang menyediakan pakej khusus bagi pengembara solo. Menyedari potensi pasaran tersebut, Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. (Hwajing) kini menyediakan pakej Goin' Solo: Cruise with Style.

Menurut Pengarah Urusan syarikat tersebut, Kenny Cheong, pakej pelayaran selama empat hari tiga malam ke Phuket dan Krabi, Thailand itu juga diperkenalkan ekoran permintaan individu yang gemar melancong secara bersendirian.

Katanya, setakat ini, tiada lagi pakej pelayaran secara solo yang ditawarkan oleh sebarang agensi pelancongan tempatan kepada pelancong Malaysia untuk ke Krabi dan Phuket dengan menaiki kapal persiaran setinggi 10 tingkat, SuperStar Libra.

KRABI menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati keindahan pulau dengan kepelbagaian aktiviti yang menyeronokkan.


"Setelah membuat kajian, kami dapati ramai rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan eksekutif gemar melancong dan belayar di atas kapal secara solo. Namun, mereka tiada pilihan untuk memilih percutian secara sendirian.

"Sekiranya mereka ingin belayar secara solo, mereka harus membayar jumlah yang lebih untuk mengikuti pakej pelayaran yang membawa pelancong seramai 150 hingga 200 orang," ujarnya kepada Kosmo! selepas majlis pelancaran pakej pelayaran Goin' Solo: Cruise with Style di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Cheong, objektif utama pakej tersebut diperkenalkan ialah bagi memberi peluang kepada pelancong untuk mengembara, merehatkan minda dan menikmati kehidupan tenang sepanjang pelayaran.

Pelancong juga dapat meluangkan masa secara bersendirian dan berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan baharu sepanjang pelayaran ke Phuket dan Krabi.

Tambahnya, harga yang ditawarkan dikategorikan sebagai pakej pelancongan bajet.

"Kebanyakan agensi pelancongan meletakkan harga RM2,400 untuk seorang bagi tempahan pakej tunggal.

"Menerusi pakej baharu ini, kami menawarkan harga yang rendah iaitu RM1,600 untuk setiap pakej pelayaran solo yang merangkumi pelbagai aktiviti menarik dan kemudahan mewah untuk pelancong," ujarnya.

Agensi pelancongan yang telah beroperasi lebih daripada 20 tahun itu menawarkan sebuah bilik kabin yang dilengkapi dengan sebuah katil untuk mereka yang berminat untuk belayar secara bersendirian ke Thailand pada pelayaran pertama pada 27 Oktober ini.


CHEONG (kiri) dan Lee menyempurnakan majlis pelancaran pakej Goin' Solo: Cruise with Style di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SuperStar Libra merupakan sebuah kapal yang dimiliki oleh Genting Hong Kong Limited menerusi operasi pelayarannya, Star Cruises. Bersama syarikat dari Norway, Norwegian Cruise Line, Star Cruises merupakan pengendali kapal persiaran ketiga terbesar di dunia.

Kapal persiaran itu mempunyai lapan buah restoran yang menawarkan pelbagai hidangan antarabangsa untuk para tetamu. Pelancong pasti tidak akan melepaskan pengalaman beriadah dan mandi di kolam renang terbuka di tingkat sembilan kapal berkenaan. Selain itu, butik-butik bebas cukai yang menjual variasi minyak wangi, jam dan barangan kemas berjenama antarabangsa turut ditawarkan dalam kapal persiaran itu.

Naib Presiden Bahagian Jualan Star Cruises, Cynthia Lee berkata, dia berharap pakej pelayaran solo yang ditawarkan oleh Hwajing akan menjadi satu trend baharu pada senario pelancongan di Malaysia.

"Pelayaran solo amat popular di negara-negara Barat. Diharapkan dengan pakej ini, negara-negara Asia, terutamanya Malaysia, dapat merasai pengalaman yang sama," ujarnya.

Pakej ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berminat untuk belayar secara solo. Pihak agensi akan membuka tawaran kepada pelancong asing dan meluaskan destinasi pelayaran sekiranya pakej solo ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved