Ahad, 8 September 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Thamil Arasu wira Harimau Muda

Posted:

Thamil Arasu wira Harimau Muda

Thamil Arasu wira Harimau Muda

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


Thamil Arasu (tengah) diasak pemain Singapura pada aksi sulung Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.


SKUAD Harimau Muda bermula dengan langkah kanan pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2013 selepas menewaskan Singapura 1-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.

Kedua-dua pasukan bermula agak perlahan selepas terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan lebat sebelum A. Thamil Arasu meledakkan gol kemenangan pada minit ke-53.

Jaringan itu menyuntik semangat anak-anak buah Ong Kim Swee apabila mereka terus menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan merbahaya ke kubu Singapura.

Kim Swee berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya pada aksi sulung itu.

Katanya, apa yang paling penting adalah mengutip tiga mata penuh.

"Keadaan padang yang teruk (air bertakung) telah merencatkan aksi kedua-dua pasukan dan saya sudah jangka Singapura akan beraksi dengan skuad kedua tetapi persembahan mereka wajar mendapat pujian.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudi meluangkan masa bertemu para pemain," kata Kim Swee.

Pada perlawanan semalam, Harimau Muda terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Singapura apabila pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya melepaskan satu sepakan padu pada minit kedua tetapi tersasar.

Pada minit ketujuh, pemain sayap Singapura, Quak Jun Yi melakukan larian menarik di bahagian kanan pintu gol pasukan negara dan berjaya melepaskan percubaan tepat, namun mudah buat penjaga gol Harimau Muda A, Mohd. Izham Tarmizi.

Selepas 10 minit beraksi, Harimau Muda A mula mendapat rentak dan seterusnya melancarkan beberapa serangan berbahaya dan mendominasi permainan sepanjang separuh masa pertama.

Kapten Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bijak mengawal jentera tengah dengan membuat hantaran-hantaran cantik dan dia berpeluang menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-15 apabila rembatan volinya sedikit tersasar.

Aksi pemain sayap Ryukyu FC, Wan Zack juga tidak mengecewakan apabila dia memainkan peranan utama dalam merobek skuad Singa menerusi larian-larian derasnya dan pada minit ke-18 percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Singapura, Muhd. Syazwan Buhari.

Selepas itu, Arasu berjaya memecahkan benteng Singapura menerusi gerakan satu dua dengan Mohd, Irfan pada minit ke-23 namun rembatannya tepat ke dakapan Muhd. Syazwan.

Pada minit ke-35, Harimau Muda mendapat peluang menerusi satu sepakan percuma bagaimanapun sepakan yang diambil oleh Wan Zack gagal disudahkan dengan sempurna oleh Putera Nadher Amarhan yang menanduk melepasi palang gol.

Kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.

Ketika babak kedua bersambung, Harimau Muda tidak menunggu lama apabila sebaik wisel ditiup oleh pengadil perlawanan mereka terus melancarkan serangan dan hasil gerakan satu dua antara Thamil dengan S. Sivanesan berjaya diterjemahkan menerusi jaringan itu.

Pada minit ke-56, Harimau Muda mendapat peluang terbaik menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti kerana pemain Singapura, Muhd. Afiq Yunos menampan bola dengan tangan, sekali gus dilayangkan kad merah.

Namun, sepakan Wan Zack berjaya ditampan Muhd. Syazwan.

Harimau Muda akan bertemu Myanmar dalam aksi kedua esok.

Kim Swee sentiasa ubah corak permainan

Posted:

Kim Swee sentiasa ubah corak permainan

Kim Swee sentiasa ubah corak permainan

PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee menegaskan bahawa beliau akan sentiasa merubah corak permainan dalam setiap perlawanan bagi mendapatkan gandingan yang benar-benar mantap pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember nanti.

Kim Swee berkata, selain mampu mengelirukan pihak lawan, tindakan untuk menukar corak permainan dan posisi para pemainnya itu bakal memberi manfaat kepada pasukan negara.

"Jika anda lihat kesebelasan utama skuad negara dalam pertemuan dengan Singapura tadi (semalam), hanya ada empat pemain Harimau Muda yang diturunkan, selebihnya adalah para pemain daripada kelab-kelab dan pasukan negeri.

"Selain itu, para pemain negara yang beraksi kali ini sangat cetek pengalaman di peringkat antarabangsa serta hanya beberapa minggu digabungkan. Pasukan terbaik adalah sebuah pasukan yang bermain dalam satu pasukan bersama-sama dalam tempoh yang lama.

"Anda lihat Singapura, walaupun bukan para pemain utama yang diturunkan kali ini tetapi mereka beraksi sebagai satu pasukan dengan sangat baik kerana mereka telah lama bermain dalam bersama.

"Bagaimanapun, saya tetap memuji gandingan Putera Nadher, Irfan Fazail, S. Sivanesan dan Nazmi Faiz yang saya lihat memainkan peranan sangat baik dalam menggerakkan jentera tengah serta serangan pasukan kita," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 42 tahun itu juga berkata, aksi bertemu Singapura itu bukanlah aksi sebenar pasukan Harimau Muda A.

Itu kerana, keadaan padang yang ditakungi air membuatkan beliau menukar corak hantaran pendek yang biasa diterapkan dalam pasukan Bawah 23 tahun negara kepada corak hantaran jauh.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Thailand seri 1-1 dengan Myanmar

Thailand berjaya membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Chayawat Srinawong.

Bagaimanapun, Myanmar tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11, juga menerusi tandukan oleh kapten, Kyaw Zayar Win.

Singapura tewas sebab permukaan padang dipenuhi air

Posted:

Singapura tewas sebab permukaan padang dipenuhi air

Singapura tewas sebab permukaan padang dipenuhi air


WAN ZACK HAIKAL (tengah) cuba berebut bola dengan pemain Singapura dalam keadaan padang yang dipenuhi air semalam.


PENGENDALI Singapura, V. Sundramoorthy mendakwa keadaan padang yang dipenuhi air sebagai punca kekalahan 0-1 kepada Harimau Muda pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang semalam.

Sebelum perlawanan bermula, hujan lebat turun di Kuantan dan menyebabkan padang itu ditakungi air.

Sundramoorthy berkata, keadaan padang yang dipenuhi air itu telah 'merosakkan' tempo permainan pasukan kendaliannya sehingga mereka tidak mampu bergerak serta menyepak bola dengan sempurna.

"Saya berharap pada aksi kedua nanti keadaan cuaca dan padang memihak kepada kami. Saya percaya para pemain saya akan bangkit selepas ini.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam perlawanan sebentar tadi (semalam) walaupun kami datang ke Kuantan tanpa enam atau tujuh pemain utama," kata Sundramoorthy.

Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun kebanyakan pemain yang dibawa ke sini adalah pemain-pemain kurang berpengalaman, beliau memuji keserasian dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam aksi bertemu Harimau Muda itu.

Beliau turut mengakui sangat terasa ketiadaan penyerang utama, Hariss Harun dan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tidak disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana komitmen bersama skuad senior.

"Saya akui Hariss dan Izwan mempunyai pengaruh besar dalam skuad ini. Kehadiran mereka dalam pasukan bakal menambah keyakinan seluruh pemain namun saya tidak kecewa kerana saya percaya dengan barisan yang saya miliki ketika ini.

"Saya juga mahu mereka (pemain) melupakan kekalahan ini seterusnya memberi tumpuan kepada dua aksi berikutnya dan tidak mustahil kita (Singapura-Malaysia) akan bertemu di final," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved