Selasa, 17 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keberanian bersaing dengan peserta luar negara

Posted:

Keberanian bersaing dengan peserta luar negara

Keberanian bersaing dengan peserta luar negara

KEADAAN cuaca yang hujan sejak tengah hari memberi petanda bahawa cabaran perlumbaan Malaysia Merdeka Endurance Race (MMER) tahun ini sedikit mencabar kerana permukaan litar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi licin. Ia agak berbahaya jika pemandunya tidak mempunyai skil pemanduan yang mantap.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat pelumba-pelumba daripada 35 pasukan yang menyertai pertandingan tahunan itu.

"Faktor cuaca memainkan peranan penting dalam mana-mana perlumbaan. Selain litar licin, pemandu juga berdepan dengan penglihatan yang terhad memandangkan kemuncak perlumbaan bermula tengah malam 31 Ogos lalu," ujar pemandu pasukan Fawster Motorsport, Mohd. Nazir Nor Mohamed, 36, ketika ditemui sebelum bermulanya MMER 2013. Acara yang berlangsung selama dua hari itu berakhir pada 1 September lalu.

Dalam keterujaan untuk mempamerkan bakat dan pengalaman hampir sedekad dalam dunia permotoran, perasaan bimbang dan gusar bersarang dalam dirinya.

"Kegusaran tetap ada dalam setiap hati seorang pelumba. Tetapi ia lebih kepada soal keselamatan dan perkara-perkara yang membabitkan soal teknikal.

"Dalam acara besar begini, masalah teknikal memang tidak dapat dielakkan. Walaupun sudah membuat persediaan lama, jika sudah ketentuan ia mengalami kerosakan, kami tidak dapat berbuat apa-apa," jelas bapa kepada tiga orang anak itu.


FAKTOR keselamatan menjadi keutaman kepada setiap pasukan.


Masalah-masalah teknikal seperti enjin, brek kereta, tayar sehingga perkara-perkara kecil perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kelancaran pemanduan secara keseluruhan.

Bersaing dengan pasukan-pasukan antarabangsa tidak membuatkan mereka gentar kerana percaya mampu memberi saingan sengit dalam setiap perlumbaan.

Ia diakui oleh oleh seorang lagi pemandu pasukan tempatan itu, Mohd. Rizuan, 32, yang juga adik kepada Mohd. Nazir. Katanya, setiap pasukan mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

"Perlumbaan kereta lumba tidak hanya terletak pada teknologi semata-mata, ia perlu diselarikan dengan teknik pemanduan dan pasukan kerja yang baik. Pengalaman seseorang pemandu memberi kelebihan ketika berada di atas litar," ujar graduan Kewangan di Universiti Portsmouth, England itu.

Fawster Motorsports merupakan salah satu pasukan tempatan yang menyertai perlumbaan tahunan tersebut dengan menghantar dua buah kereta yang dipandu oleh tujuh orang pelumba kelahiran Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dan telah menyertai puluhan perlumbaan kereta.

Kereta jenis Nissan Fairlady 380RS-C dipandu oleh Mohd. Nazir bersama dua adiknya iaitu Rizuan, 32, dan Khairul Anwar, 27. Selain itu, ia turut disertai oleh pemandu senior, Faidzil Alang, 42, Kenvin Low, Muhamad Arif Abdullah dan Syafiq Ali memandu kereta jenis Honda DC5.

Gabungan dua pasukan iaitu Brothers in Racing dan FA Racing menubuhkan Fawster Motorsports yang secara rasminya menjadi satu jenama baharu bermula akhir tahun lalu. MMER 2013 adalah penyertaan pertama mereka di bawah satu pasukan.

Dalam tempoh 12 jam perlumbaan, pasukan Fawster Motorsport berada di tempat kedua bagi kategori Sport Production.

Pelumba Singapura, Mok Weng Sun, muncul pasukan pertama menamatkan perlumbaan tersebut. Dia bersama dua rakannya, Craig Baird dan Hiroshi Hamaguchi di bawah pasukan Clearwater Racing Team menggunakan kereta Ferrari 458 Italia GT3.

Mereka mencipta rekod baharu, 323 lap berbanding 321 pusingan pada tahun lalu. Ia merupakan kali kedua Weng Sun menjuarai MMER, kali terakhir adalah pada tahun 2008.

Tahun ini, MMER disertai pasukan dari beberapa negara antaranya, Australia, China, Jerman, Hong Kong, Itali, Jepun, Singapura, Slovakia dan Thailand.

Mohd. Nazir berkata, mereka sepakat menubuhkan Brothers in Racing pada tahun 2005.

Penyertaan MMER pertama ialah pada tahun 2006 dengan hanya lima orang pekerja termasuk pelumba dan dua orang mekanik.

"Kami bergilir-gilir melakukan tugas penyelenggaraan ketika perlumbaan berlangsung. Saya masih ingat lagi, tayar kereta Honda Civic (EG6) yang kami gunakan pecah. Walaupun mengambil masa lama untuk dibaiki, kami tetap menghabiskan pusingan perlumbaan," imbas Mohd. Rizuan.


KECEKAPAN dan pengalaman luas dalam dunia permotoran menjadikan Faidzil sebagai contoh kepada pelumba-pelumba baharu.


Bengkel pemanduan

Pertemuan dengan Faidzil Alang membawa sinar baharu kepada pasukan mereka melalui beberapa kerjasama antara syarikat milik jaguh litar lumba itu, FA Racing.

"Faidzil merupakan mentor kepada kami bertiga kerana beliau banyak memberi tunjuk ajar dari segi pemanduan dan penyelenggaraan kereta.

"Usahasama tersebut tidak terhenti setakat di litar sahaja, malah kami turut mengadakan beberapa program bersama seperti bengkel pemanduan kereta kepada pelumba-pelumba amatur," kata Mohd. Nazir yang merupakan graduan Universiti Middlesex, London, England.

Kehebatan Faidzil di litar lumba tidak perlu disangkal lagi. Penyandang Pelumba Litar Terbaik 2003 ini mempunyai pengalaman selama lebih 15 tahun dengan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Bekerja bersama syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) membuka minatnya dalam bidang automotif walaupun pada awalnya dia aktif dalam sukan sepak takraw sehingga pernah mewakili negeri.

"Ketika di Proton, saya bekerja sebagai pemandu percubaan. Dari situ, saya mula mengenali beberapa individu yang aktif dalam lumba kereta. Melihat kesungguhan dan keinginan mahu mencuba, pada tahun 1995 saya menyertai Kejohanan Kebangsaan Silverstone Proton," imbas Faidzil.

Menurut beliau, bekas majikannya iaitu Tengku Azizan Tengku Ahmad, pernah menyandang portfolio sebagai Pengurus Besar Homologasi, Ujian dan Prototaip, Bahagian Kejuruteraan Proton merupakan individu yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepadanya untuk terus bergiat aktif.

"Saya pernah berputus asa sehingga tidak menyertai mana-mana pertandingan dalam masa beberapa tahun. Tetapi beliau terus meniup semangat saya untuk mencuba," tambahnya.

Kini, dia mampu berbangga dengan deretan kejayaan dan anugerah yang diterima. Menubuhkan Fawster Motorsports bersama pasukan Brother in Racing meluaskan lagi pengaruhnya dalam industri permotoran dalam negara.

"Selain bengkel dan latihan untuk pelumba baharu dan profesional, kami turut mengadakan program bersama pelajar-pelajar bidang kejuruteraan automotif.

"Antaranya, Fawster Motorsport menjadi antara Penasihat Lembaga Automatif untuk Taj International College (TIC), Perak. Modul yang kami berikan menjurus kepada bahagian-bahagian teknikal," ujarnya.

Bagi meneruskan kelangsungan dunia permotoran negara, Fawster Motorsports membuka ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menceburi bidang ini melalui penglibatan secara terus kepada industri.

Langkah pertama mereka adalah melatih seorang pelumba muda berumur 18 tahun, Muhamad Arif Abdullah untuk menyertai pasukan Fawster Motorsports di MMER.


TENAGA kerja Fawster Motorsport yang menyertai MMER 2013.


Bakat muda

"Ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial kami untuk melihat lebih ramai anak tempatan menyertai dunia permotoran secara profesional," ujar Mohamad Nazir yang juga merupakan salah seorang Pengarah Fawster Motorsports.

Kata Faidzil, Malaysia mempunyai ramai bakat muda tetapi mereka tidak diberi peluang dan pendedahan.

Pertama kali menyertai perlumbaan besar seperti MMER, Muhamad Arif tidak menyangka mendapat kepercayaan daripada pasukan Fawster Motorsport.

"Saya sangat teruja kerana mendapat bimbingan daripada pelumba-pelumba berpengalaman dalam pasukan ini.

"Mereka banyak memberikan tunjuk ajar dan semangat sepanjang perlumbaan. Ia pengalaman paling berharga dalam karier saya," ujar pelajar peringkat asas perniagaan di Kolej Help, Kuala Lumpur.

Hidangan lima bintang seorang banduan

Posted:

Hidangan lima bintang seorang banduan

Hidangan lima bintang seorang banduan


BOSLEY memberi tunjuk ajar kepada banduan dalam menyediakan masakan bertaraf lima bintang.


"ANDA boleh menghasilkan lima hidangan dengan lima rasa berbeza daripada seekor ikan. Sebelum ini saya fikirkan semua ikan mempunyai rasa yang sama tetapi sebenarnya tidak. Banyak yang telah saya pelajari di sini," ujar Pete.

Dia merupakan salah seorang tahanan penjara yang menyertai Festival Hidangan Makanan Wellington. Pada acara tersebut, mereka berpeluang menyediakan makanan lima bintang kepada orang ramai.

Secara keseluruhan lebih 30 orang banduan di Penjara Rimutaka, Wellington, New Zealand telah mendapat pengiktirafan sijil katering melalui pembelajaran di dapur penjara. Mereka mendalami kemahiran yang dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan di restoran-restoran di negara itu selepas dibebaskan kelak.

Buat kali pertama pada tahun ini, pihak berkuasa telah memutuskan untuk mempamerkan kehebatan kulinari para banduan itu.

Mereka telah dilatih oleh pemilik restoran terbaik New Zealand 2007, Martin Bosley. Chef yang berpengalaman itu telah memberi tunjuk ajar mengenai segala aspek penyediaan makanan selama sembilan bulan kepada para banduan terlibat.

Kemuncaknya, mereka akan menghidangkan juadah istimewa selama dua malam untuk 140 orang pengunjung dengan berlatarkan suasana sebenar penjara.

Mengajar banduan

"Ia merupakan pengalaman yang mengujakan selama 30 tahun terlibat dalam industri masakan," luah Bosley.

Pada awalnya, dia berasa sedikit skeptikal dan tidak berminat dengan idea tersebut. Ini kerana beliau tidak dapat membayangkan bagaimana suasana untuk mengajar para banduan di penjara.

"Selepas beberapa ketika, saya mula terfikir bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan selepas dibebaskan nanti," ujarnya yang akhirnya telah bersetuju dengan idea tersebut.

Faktor keselamatan tidak menjadi kebimbangan kepada Bosley kerana banduan-banduan yang dipilih mengikuti program ini tidak mempunyai kes-kes serius. Penjara Rimutaka merupakan penempatan yang dilengkapi tahap keselamatan sederhana memandangkan banduan di sana terdiri daripada pesalah kes biasa atau mempunyai rekod yang baik.


KREDIBILITI banduan diuji ketika menyediakan hidangan kepada para tetamu.


"Selepas mengajar mereka, tanggapan negatif saya beransur hilang. Saya mula berasa selesa untuk bekerja bersama golongan banduan ini," ujar Bosley yang enggan menerima sebarang bayaran dalam menjayakan program itu.

Beliau mempunyai pekerja sambilan yang terdiri daripada bekas banduan Penjara Rimutaka dan menyatakan, peningkatan ketara dapat dilihat dalam diri banduan tersebut.

Jelasnya, mereka tangkas menggunakan pisau-pisau tajam untuk membuang lemak-lemak daging, malah cepat mempraktikkan semua pembelajaran yang diberi.

Menurut seorang banduan, Marco, sebelum dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 2004, dia tidak tahu cara-cara membuat sandwic. Namun, selepas mengikuti program berkenaan, dia bercita-cita untuk menjadi pembuat kek apabila dibebaskan kelak.

"Saya mahu menjadi pembuat kek perkahwinan," ujarnya tersenyum.

Seorang lagi banduan, Wolf, ditugaskan di bahagian sayur-sayuran telah mencipta resipi roulade Wellington tanpa daging disertakan kacang puy Perancis dan mousse keju kambing.

"Setiap kali gagal, saya mempelajari sesuatu. Jika terdapat perkara yang tidak boleh dilakukan, saya gemar mencari penyelesaian dengan melakukan kajian sendiri. Ia sangat mengujakan," ujarnya.

Wolf mengakui, berinteraksi bersama orang luar merupakan satu cabaran getir sepanjang program itu. Pada awalnya, dia seperti kebanyakan banduan lain berasa segan dan selalu menyendiri.

Dia menganggap bekerja di dapur merubah hidupnya dan kini dia mempunyai arah tujuan selepas dibebaskan.

"Saya telah berada di sini. Boleh dikatakan saya merupakan banduan yang ganas dan sukar dikawal. Sejak mengikuti program ini, fokus saya telah bertukar. Ia merupakan sesuatu yang ingin saya lakukan kelak," tambahnya.

Wolf dan rakan-rakannya cukup berdebar menanti reaksi pengunjung ketika ditemuramah AFP pada 9 dan 10 Ogos lalu. Namun, mereka perlu berbangga kerana hidangan dua malam itu mendapat respons positif termasuk dari pengkritik makanan akhbar Dominion Post, David Burton. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved