Khamis, 12 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Diskriminasi Islam pasca 11 September 2001

Posted:

Diskriminasi Islam pasca 11 September 2001

Diskriminasi Islam pasca 11 September 2001

JIKA anda ke Chicago, Amerika Syarikat (AS), nasib anda untuk bertemu pemandu teksi beragama Islam sangat tinggi. Berdasarkan pengalaman peribadi menaiki pengangkutan awam itu sebanyak dua kali pada tahun 2010, kedua-duanya menemukan penulis dengan pemandu berketurunan Arab beragama Islam.

"Assalammualaikum rakan muslimku, gembira bertemu anda di sini," ramah menyapa, ikhlas berbicara, itu ungkapan pertama lelaki berusia lingkungan 30-an itu saat penulis duduk di dalam teksinya.

Paling menyenangkan apabila dia menolak bayaran tambang. Katanya: "Awak ibarat adik saya sendiri dan kita sesama saudara Islam mesti menolong satu sama lain."

Pekerti seluhur itu dialami sendiri penulis. Takjub dan terkesan bertambah apabila melintasi sekumpulan lelaki muslim yang sedang solat berjemaah di satu sudut terpencil di stesen kereta api utama Chicago, Union Station.

Tanpa sejadah, dahi mereka mencium lantai sejuk. Tiada juga surau atau ruang khas untuk mereka beribadat. Tempat itu diwujudkan mereka sendiri demi melunaskan tuntutan agama.

Melihatkan situasi-situasi sebegitu, terdetik di fikiran, benarkah orang Islam di AS mengalami penindasan dahsyat terutamanya selepas peristiwa hitam, 11 September 2001 yang meranapkan bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York?

Paling menghairankan, biarpun AS kerap meletakkan Islam dalam konteks negatif, populasi rakyat mereka yang memeluk Islam semakin meningkat.


AHLI keluarga mangsa tragedi 11 September 2001 masih meratapi kehilangan keluarga masing-masing.


Ekstremis

Berdasarkan statistik Bancian Agama AS, selepas tragedi 11 September, angka umat Islam di negara itu melonjak kepada 6.1 juta pada tahun 2010 berbanding 2 juta pada tahun 2000. Jumlah itu kini dijangka hampir mencecah 7 juta.

Benar, pengganas daripada kumpulan Al-Qaeda di bawah pimpinan Osama bin Laden dipertanggungjawabkan atas serangan 12 tahun lalu. Fakta juga mendedahkan, kesemua ahli kumpulan itu merupakan muslim ekstremis yang cuba menggoyah keamanan sejagat lantas mengorbankan hampir 3,000 nyawa yang tidak bersalah.

Itu pengumuman rasmi AS kepada dunia. Malah media arus perdana mereka rancak mencanang kekejaman pengganas Islam. Secara halus, mereka telah menanam kebencian warga AS terhadap umat Islam di negara itu.

Selepas lebih sedekad bencana itu, diskriminasi ke atas umat Islam di AS masih berlarutan. Seorang gadis yang ditemui di San Francisco berkongsi cerita bersama sebuah portal berita, The Daily Beast tentang kepahitannya dibesarkan sebagai wanita Muslim di Amerika.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Fatima kini berusia 17 tahun, seorang warganegara AS, namun sering ditafsir sebagai imigran di negara sendiri.

"Saya berusia 5 tahun ketika tragedi 11 September, jadi banyak perkara saya tidak ingat. Namun saya mula mengalami diskriminasi agama seawal umur lapan tahun. Waktu itu saya pergi ke taman tema bersama keluarga. Tiba-tiba seorang lelaki menjerit ke arah kami menyuruh kami pulang ke negara asal," kongsi Fatima.

Kejadian sebegitu kemudiannya berulang sepanjang Fatima membesar. Kulitnya yang gelap, tudung yang membaluti kepala ibunya dan nama Islamnya dijadikan bahan jenaka dalam kalangan rakan-rakan di sekolah. Setiap cercaan ditelan Fatima penuh sabar.

"Ibu bapa saya lebih sakit hati apabila mendapat tahu saya dipanggil dengan pelbagai gelaran hina termasuk pengganas ketika di bangku sekolah menengah rendah dan ia bertambah teruk selepas serangan bom di maraton Boston pada bulan April lalu," ujarnya tenang.

Seorang lagi mangsa diskriminasi agama di AS, Salma, 25, merupakan graduan Universiti California yang kini bekerja di sebuah firma pemasaran di Los Angeles (LA). Baginya, peranan media dalam tempoh lebih sedekad lalu merupakan penyumbang utama kepada penciptaan watak antagonis dirinya pada pandangan masyarakat.

Kehidupan seorang muslim

"Sebagai seorang muslimah, saya wajib memakai tudung dan hal ini menarik perhatian umum. Ketika membeli-belah, orang sekeliling merenung saya dan kadangkala mereka bertanya, mengapa saya menyokong penindasan Islam ke atas wanita?

"Kami (wanita muslim) bergelut melawan kebencian Amerika terhadap Islam dan individu yang bertudung. Kami dilihat sebagai golongan anti-Amerika hanya kerana kami beragama Islam.

"Terlalu banyak tuduhan yang mengatakan saya salah seorang daripada ahli Al-Qaeda dan pengganas ketika di bangku sekolah dulu. Dua kali saya ditolak oleh pelajar lelaki di dalam kelas dan tanpa rasa bersalah mereka katakan bukankah itu (kezaliman) yang dipraktikkan dalam Islam?

"Situasi sebegini sangat menekan saya dan sehingga kini saya masih cuba memahami dan menerima erti hidup sebagai Muslim di AS," luah Salma kecewa.


SEJAK tahun 2003, Jabatan Polis New York mengintip masjid yang diasaskan pengasas Yayasan Persatuan Islam Bay Ridge di New York, Zein Rimawi, 59, (tengah) untuk memastikan sama ada ia mempunyai hubungan dengan pengganas Islam.


Kecewa dengan prejudis masyarakat terhadap komuniti muslim, ada segelintir umat Islam di AS mengambil langkah drastik menukar agama gara-gara mahu diterima secara sama rata.

Selepas lebih sedekad tragedi 11 September menyaksikan muslim Amerika ditindas dalam sistem perundangan, polisi dan keutamaan. Seluruh komuniti itu hidup terbuang di negara sendiri. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kesan daripada tragedi itu telah meletakkan umat Islam sebagai mangsa prejudis baharu seperti yang dialami Amerika Latin, orang asli dan Afrika Amerika pada masa dulu.

Paranoid AS

Tambah mengejutkan apabila Jabatan Polis New York (NYPD) secara rahsia melabelkan seluruh masjid sebagai organisasi keganasan. Berita yang disiarkan agensi berita Associated Press pada 28 Ogos lalu itu mendedahkan, di bawah sistem tersebut, polis boleh memasang mata-mata bagi merakam ceramah dan mengintip golongan imam tanpa memerlukan bukti jenayah.

Ia sekali gus memberi erti bahawa sesiapa sahaja yang hadir untuk beribadat di mana-mana masjid berpotensi menjadi subjek siasatan dan diawasi secara menyeluruh.

Paranoid AS terhadap umat Islam di negara mereka juga terbukti apabila Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) mendedahkan laporan bertajuk Muslims Need Not Apply, dua minggu sebelum pembongkaran program rahsia NYPD dihebohkan.

Berdasarkan laporan itu, program keselamatan kebangsaan yang digerakkan secara rahsia itu diwujudkan bagi memberi kuasa mutlak kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan imigresen AS untuk menangguhkan setiap permohonan kerakyatan orang Islam dan kemasukan mereka yang datang dari negara Islam.

Program yang bermula pada tahun 2008 di bawah pimpinan bekas presiden, George W Bush itu juga berfungsi bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai hubungan dengan pengganas. Ia terus diaplikasikan di bawah teraju Presiden Barack Obama bagi menyenarai hitam pemohon beragama Islam dan mengklasifikasikan orang Muslim di bawah perhatian keselamatan negara.

Laporan ACLU yang dikeluarkan pada 21 Ogos lalu itu turut disokong beberapa contoh kes. Misalnya, permohonan kerakyatan seorang warga Mesir, Tarek Hamdi ditolak hanya kerana dia membayar zakat secara tahunan kepada pertubuhan bantuan Islamik, Yayasan Antarabangsa Benevolence.


KEHIDUPAN sebagai seorang Muslim selepas tragedi 11 September 2001 amat mencabar dengan pelbagai stigma. - Gambar hiasan


Pihak pemerintah AS kemudiannya menutup pertubuhan tersebut atas tuduhan ia menyokong pergerakan pengganas dan mendakwa pemimpinnya menipu penderma seperti Tarek. Bagaimanapun, Khidmat Kewarganegaraan dan Imigresen AS (USCIS) tetap menolak permohonan Tarek.

Hal itu berlarutan sehingga 11 tahun meskipun proses asal hanya memakan masa selama enam bulan. Ia berakhir selepas arahan dikeluarkan oleh hakim bagi pihak Tarek agar USCIS meluluskan permohonan kerakyatan lelaki itu.

Tragedi 11 September telah melahirkan penyakit Islamofobia dalam kalangan masyarakat khususnya di AS. Selain menyemarakkan kebencian masyarakat dunia terhadap muslim, ia turut menjadi alat politik terpenting bagi mengeksploitasi ketakutan dalam meraih kuasa di peringkat antarabangsa.

Seramai suku juta muslim di San Francisco Bay Area mengakui mereka pernah berdepan insiden berkait Islamofobia selepas tragedi 11 September.

Berdasarkan kajian bertajuk The Bay Area Muslim Study: Establishing Community and Identity yang didedahkan pada bulan Mei lalu, 40 peratus Muslim di kawasan itu pernah mengalami diskriminasi peribadi manakala 23 peratus lagi menjadi mangsa jenayah kebencian.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved