Jumaat, 20 September 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Ketibaan Hypermotard dan Hyperstrada

Posted:

Ketibaan Hypermotard dan Hyperstrada

Ketibaan Hypermotard dan Hyperstrada

Oleh SHAWKATH AZDE

LAPAN tahun lalu, Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali berperanan sebagai platform menguji pasaran oleh Ducati.

Pameran perdagangan jentera dua roda terbesar dunia itu menyaksikan kemunculan model konsep supermoto Ducati. Model dimaksudkan ialah Hypermotard 1100.

Kehadiran model itu memberi gambaran bahawa pengeluar motosikal berkuasa tinggi itu sudah ada rancangan untuk meneroka segmen motard.

Maklum balas yang diterima agak luar biasa. Impak permintaan konsumer antarabangsa, model itu akhirnya menemui barisan pengeluaran pada tahun 2006.

Tiga tahun kemudian, Ducati memperkenalkan satu lagi model supermoto kelas sederhana iaitu Hypermotard 796.

Momentum itu diteruskan melalui generasi motard baharu sewaktu EICMA 2012. Kali ini, tiga varian diperkenalkan iaitu Hypermotard, Hypermotard SP dan Hyperstrada.

Rangkaian motosikal baharu itu lahir untuk mendokong kemajuan teknologi terkini Ducati tanpa menyimpang daripada konsep asal motard Ducati.

Objektif binaan kali ini adalah untuk mencipta penanda aras baharu dalam pasaran antarabangsa.

Keluarga Hyper menggunakan enjin sama. Ia satu unit rangkaian kuasa baharu yang dicipta khas untuk mengimbangi aspek prestasi dan kegunaan.

Rangkaian kuasa varian Hyper terdiri daripada enjin Testastretta 11 darjah bersesaran 821cc dan transmisi enam kelajuan.

Idea kejuruteraan enjin Multistrada dan 1199 Panigale diaplikasi pada enjin baharu itu. Aspek dimaksudkan adalah susun atur komponen penyampaian bahan api.


KOTAK simpanan sisi Hyperstrada mampu menampung berat sehingga 5 kilogram setiap satu.


Baru-baru ini, Ducati Malaysia (Next Bikes Sdn. Bhd.) mempelawa saya untuk menguji model Hyperstrada dan Hypermotard 2013 selama dua hari.

Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali itu dilengkapi tiga mode pemetaan enjin iaitu Urban, Touring dan Sport.

Mode urban menghadkan kuasa kuda kepada 75hp. Untuk Touring dan Sport, kuasa maksimum 110hp boleh dinikmati.

Biarpun mode Touring dan Sport berkongsi hamburan kuasa sama, ia tetap ada bezanya.

Saya mendapati apabila memilih mode Sport, respons pendikit minyak lebih sensitif jika dibandingkan dengan tetapan Touring.

Semua mode itu diintegrasi bersama pakej keselamatan Ducati. Pakej itu merangkumi sistem brek antikunci (ABS) dan Ducati Traction Control (DTC).

Setiap mode boleh ditetapkan mengikut keselesaan setiap penunggang. Anda juga boleh memadamkan mode ABS sepenuhnya jika mahu.

Ada dua pilihan sistem ABS. ABS tahap 1 memastikan prestasi membrek berada pada tahap tertinggi. Ia sesuai untuk mode Sport.

Jika memilih ABS tahap 2, jentera mendapat kawalan kestabilan maksimum. Lebih praktikal untuk pemetaan Touring dan Urban.

Untuk DTC, ada lapan tahap boleh dilaras. Tahap satu disyorkan untuk penunggang mahir. Tahap lapan pula mengaktifkan kawalan terperinci oleh sistem. Ia pantas mengawal jentera, biarpun tayar tergelincir sedikit.

Hyperstrada ialah sebuah jentera crossover. Ia sebuah motard yang ditambah beberapa aksesori untuk kegiatan aktiviti kembara.

Antara aksesori itu ialah tongkat kembar, penghadang angin hadapan dan dua unit kotak simpanan pada bahagian sisi.

Pukulan angin disalurkan keluar dengan adanya penghadang angin. Nampak sahaja kecil tetapi tugas digalasnya agak memuaskan.

Kedudukan hendal yang merapat ke dada dan ketinggian pelana mudah membuat lengan saya lenguh. Mungkin disebabkan posisi badan terpaksa ke depan.

Keselesaan tunggangan ada beza dengan varian Hypermotard. Lengan tidak terasa lenguh walaupun menunggang selama dua jam tanpa henti. Hanya punggung sahaja terasa kebas.


MODEL Hypermotard pastinya menawarkan keseronokan kepada para peminat tunggangan agresif.


Perkara itu pasti berkait rapat dengan kelebihan ketinggian Hypermotard. Ia menempatkan badan lebih tinggi berbanding Hyperstrada.

Hypermotard agak tinggi bagi mereka yang memiliki ketinggian 170 sentimeter. Hujung jari kaki digunakan untuk menahan motosikal.

Tidak perlu gusar, motosikal Ducati itu boleh bergerak sendiri biarpun anda tidak memulas pendikit.

Caranya, tarik tuil klac dan masukkan gear pertama. Brek tangan perlu dilepaskan sepenuhnya. Jangan pulas pendikit minyak.

Lepaskan tuil klac secara perlahan-lahan sehingga habis. Saya mendapati kadar kelajuan maksimum untuk kaedah itu adalah 13km/j. Satu kelebihan untuk penunggang rendah seperti saya.

Secara purata, kapasiti tangki petrol sebanyak 16 liter membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 180km sebelum lampu amaran bekalan petrol rendah mula menyala.

Oktober depan, Ducati Malaysia akan membawa satu kejutan buat anda. Ia bakal memperkenalkan Hypermotard dan Hyperstrada 2013 dari Thailand (ASEAN CKD) pada harga yang cukup istimewa.

Dengar khabar, harganya bermula serendah RM70,000. Jadi, tunggu sahaja pengumuman terkini daripada anak syarikat Kumpulan Naza itu.

Peugeot 308 R Concept yang radikal

Posted:

Peugeot 308 R Concept yang radikal

Peugeot 308 R Concept yang radikal

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


JENTERA berkuasa tinggi ini dikatakan akan menjadi pesaing kepada Volkswagen Golf GTi.


SEJARAH Peugeot di Malaysia sebenarnya telah bermula berpuluh-puluh tahun lalu. Jenama dari Perancis itu memang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Sejak hak pengedaran Peugeot diambil alih oleh Kumpulan Naza, jenama itu semakin kukuh dan stabil.

Antara produk awal yang mendapat sambutan ialah Peugeot 206 atau Naza Bestari. Kini, Peugeot 308 dilihat begitu dominan di atas jalan raya. Untuk pasaran antarabangsa, Peugeot telah memperkenalkan model pengganti 308 yang kelihatan lebih kemas. Model itu seolah-olah ingin memberitahu kepada dunia bahawa ia bersedia untuk berlawan dengan hatchback popular iaitu Volkswagen (VW) Golf.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot memperkenalkan pula 308 R Concept yang menjadi pesaing kepada VW Golf GTi. Model 308 baharu dijelmakan dalam bentuk kereta berprestasi dengan reka bentuk yang menonjol dan berkualiti tinggi.

Dengan jarak kelegaan yang hampir menyeret bumi, 308 R Concept dikuasakan oleh enjin baharu yang turut digunakan oleh Peugeot RCZ R dengan output kuasa setinggi 270bhp.

Kit badan yang dipasang pada 308 R Concept diperbuat daripada gentian kaca seperti pintu, bonet dan bampar. Apa yang menariknya ialah hanya bumbung dan but sahaja yang sama dengan model 308 standard.

Wajahnya nampak agresif dengan tiga ruang kemasukan udara yang menyembunyikan enjin penuh kuasa di sebalik bampar tersebut. Badan 308 R Concept direndahkan sebanyak 26 milimeter (mm). Sementara bahagian sisinya disempurnakan dengan roda aluminium bersaiz 19 inci. Setiap roda tersebut mempunyai logo R berwarna merah.

Kuasa 270bhp

Khas untuk pemandu, alat kawalannya jelas dan ringkas, manakala sterengnya pula responsif. Saiznya yang kompak sebenarnya adalah sebahagian daripada agenda pengurangan berat kereta, di samping menambah kelincahan dan keseronokan pemanduan.

Panel instrumen diposisikan supaya pemandu dapat melihat di atas stereng dan bukan melaluinya supaya selari dengan pandangan mata. Melalui rekaan yang tepat, bacaan maklumat enjin dapat dibaca dengan mudah dan spontan tanpa perlu mengalihkan mata dari jalan raya. Turut dibekalkan ialah skrin sentuh bersaiz 9.7 inci.


KIT badan 308 R dibina menggunakan gentian kaca.


Memetik laporan agensi berita Newspress, Peugeot Sport telah membangunkan enjin dan suspensi yang akan membuatkan pemandu berasa teruja. Di sebalik bonet ialah sebuah enjin kompak dan menjimatkan petrol. Enjin sama dipasang pada model RCZ R Sports Coupé yang baru sahaja dilancarkan.

Pasukan jurutera Peugeot berjaya mengekstrak sebanyak 270bhp daripada enjin yang hanya bersaiz 1598cm3. Dengan kuasa enjin yang tinggi, beberapa peralatan enjin diperkuatkan. Antaranya, blok enjin yang telah melalui proses pemanasan sebelum dimesinkan. Sementara omboh pula menggunakan sejenis gred aluminium yang biasa digunakan dalam perlumbaan.

Proses tersebut membolehkan enjin 1.6 liter THP menghasilkan kuasa maksimum pada 6,000rpm dengan sebaran tork pada julat kuasa yang lebih luas iaitu 330Nm dari 1,900 hingga 5500rpm.

Kuasa itu dialihkan ke atas jalan raya melalui pacuan roda depan dan transmisi manual enam kelajuan. Bagi menghentikan kereta berkuasa itu, cakera brek Alcon dipasangkan dengan saiz diameter depan 380mm setebal 32mm, manakala cakera belakang pula berdiameter 330mm dengan tebal 22mm. Dipasang pada hub aluminium ialah angkup brek empat omboh untuk menghentikan tayar bersaiz 235/35 R19 tersebut.

Pasaran hatchback berprestasi sebenarnya sudah pun sesak dengan jenama terkemuka dunia. Bermula dengan VW Golf GTi dan kini Mercedes menawarkan A-Class, BMW dengan 1 series, Renault Megane RS, Ford Focus ST dan Honda pula sedang giat membangunkan Civic Euro Type R.

Peugeot pula tidak berselindung dengan memperkenalkan model konsep 308 R. Boleh jadi ia akan tampil sebagai 308 GTi, abang kepada Peugeot 208 GTi yang sudah pun dilancarkan di Eropah.

Harus tahu 208 GTi adalah pesaing kepada VW Polo GTi. Jika kedua-dua model GTi daripada VW boleh dijual, kenapa model GTi daripada Peugeot tidak boleh dijual dan mempunyai penggemarnya sendiri?

Qi teruja pandu Honda Jazz Hybrid CKD

Posted:

Qi teruja pandu Honda Jazz Hybrid CKD

Qi teruja pandu Honda Jazz Hybrid CKD

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


WALAUPUN hanya memandu Jazz Hybrid dalam tempoh singkat, Qi berpuas hati dengan prestasi kereta kompak ini.


WALAUPUN kereta hibrid telah diperkenalkan ke pasaran tempatan sejak 2007 lagi menerusi model Honda Civic Hybrid pada 2007, hakikatnya, masih ramai pengguna yang masih skeptikal dan belum tahu sepenuhnya tentang jentera sebegitu.

Jadi, selaku entiti yang menjadi perintis dalam memperkenalkan jentera hibrid, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) tidak pernah jemu untuk mengadakan pelbagai program kesedaran mengenai teknologi hibrid kepada orang ramai.

Baru-baru ini, Honda Malaysia menjemput pelakon dan pengacara terkenal, Qi Razali untuk memandu uji dan merasai sendiri pengalaman mengendalikan sebuah Jazz Hybrid. Biarpun jaraknya tidaklah terlalu jauh (sekitar Lembah Klang sahaja), namun, pengalaman itu tetap berjaya mengubah persepsi Qi terhadap kereta hibrid.

Berikut adalah intipati sesi temu ramah Kosmo! dengan Qi, bertempat di Kidzania Premium Plaza Lounge, Damansara Utama, Selangor.

Kosmo!: Bagaimanakah perasaan Qi selepas berpeluang memandu Honda Jazz Hybrid CKD buat pertama kali?

QI: Sejujurnya, sebelum ini saya tidak begitu tahu tentang kelebihan kereta hibrid. Tetapi apabila berpeluang memandu Honda Jazz Hybrid CKD, barulah Qi faham bahawa kenderaan ini turut membantu menjaga alam sekitar walaupun ketika memandu.

Bagaimana Honda Jazz Hybrid CKD boleh membantu Qi menjaga alam sekitar?

Ia seperti satu permainan yang memberitahu kita memandu dengan berhemah atau tidak. Apabila kita memandu dengan cermat dan prihatin terhadap alam sekitar, lampu di sekeliling meter laju akan menyala hijau. Jadi dengan semula jadi, kita akan mula mengikut peraturannya supaya memandu dengan lebih berhemah. Ini tidak bererti kita perlu memandu dengan perlahan tetapi dengan cara yang betul.

Adakah kenderaan hibrid ini banyak berbeza dengan kenderaan biasa dari aspek pemanduannya?

Tidak. Kuasa enjin dan kualiti pemanduannya sangat memuaskan. Qi faham bahawa banyak pengguna kereta beranggapan bahawa kereta hibrid tidak mampu menyaingi kenderaan berenjin konvensional. Itu tidak benar. Ia memang setanding dan lancar semasa memandu. Malah, ia mungkin lebih baik daripada kenderaan biasa dengan cirinya yang mesra alam. Ia juga mempunyai fungsi yang membuatkan enjinnya dimatikan secara automatik apabila kenderaan berhenti di lampu isyarat. Sistem ini menjimatkan penggunaan bahan api dan secara tidak langsung menurunkan tahap pencemaran.


QI bermain dengan simulasi pemanduan yang disediakan oleh pihak Honda Malaysia di Kidzania Premium Plaza Lounge, Damansara Utama, Selangor.


Apa lagi yang Qi boleh beritahu kepada para pemandu tentang Honda Jazz Hybrid CKD?

Pertamanya, Qi ingin menasihatkan supaya pemandu tidak menilai Jazz Hybrid tanpa memandu ujinya terlebih dulu. Ia memang tidak sama dengan kereta biasa, malah pengalamannya lebih memuaskan. Jazz Hybrid juga sangat selesa dan sesuai untuk mereka yang ingin memandu bersama ahli keluarga serta rakan? rakan mereka.

Apakah pendapat rakan? rakan Qi tentang kereta ini?

Rakan-rakan saya memang suka dengan penampilan Jazz Hybrid, tetapi kebanyakan mereka juga mempunyai persepsi yang salah mengenainya terutama dari segi ruang dalaman dan kualiti pemanduannya. Tetapi, sekarang mereka pasti berubah tanggapan jika memandu atau menaikinya sendiri.

Adakah ruang kabinnya begitu menyerlah?

Ya. Walaupun dari luar ia nampak sempit, hakikatnya Jazz Hybrid CKD memang luas dan selesa untuk pemandu dan penumpang. Tempat duduk Ultra Seat yang ada juga membolehkan pemandu mengangkat barang yang besar apabila ia dilipat.

Pada pendapat anda, pemandu bagaimana yang sesuai memandu memandu Honda Jazz Hybrid CKD?

Bagi saya, kereta ini sesuai untuk golongan muda atau pasangan muda yang baru berkeluarga. Ruang kabin dan gaya pemanduannya memang sesuai untuk mereka.

Apakah pendapat Qi tentang usaha Honda untuk mendidik orang ramai dan kanak-kanak tentang teknologi hibrid?

Usaha Honda untuk mendidik orang ramai, terutama kanak-kanak memang bagus dan wajar dipuji. Honda mendidik kanak-kanak keselamatan jalan raya dan kepentingan menjaga alam sekitar dengan cara yang cukup interaktif.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved