Ahad, 8 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Semangat Nam Ron-Nani

Posted:

Semangat Nam Ron-Nani

Semangat Nam Ron-Nani

NAM RON menamakan para pelakon termasuk Nani sebagai penulis lakon layar bersama untuk filem Psiko Pencuri Hati.


TINGGALKAN seketika sensasi pernikahan senyap-senyap salah seorang regu Psiko Pencuri Hati, Bront Palarae yang sudah sah bergelar suami kepada seorang kenalan lamanya pada 31 Ogos lalu. Walaupun perkhabaran itu tidak dianggap penting untuk dikongsi Bront, ia tetap mencuri perhatian ketika filem lakonannya yang disebut-sebut sebagai kelainan dalam industri sedang ditayangkan di pawagam.

Justeru, hanya pengarah filem itu, Shahili Abdan dan aktres Sharifah Amani yang diajak ke sesi fotografi tanpa melibatkan Bront. Lebih intim rasanya jika Shahili yang mengarah filem buat kali pertama itu disatukan dengan Amani yang merupakan heroin pilihannya. Mereka berkongsi huruf pangkal nama yang sama iaitu 'S' dan 'A'. Kedua-dua pelakon itu juga berkongsi huruf 'N' yang menjadi pangkal nama panggilan masing-masing iaitu Nam Ron dan Nani.

Tidak banyak juga kerja yang menyatukan mereka tetapi hubungan secara tidak langsung, keberadaan dalam satu kelompok pengkaryaan yang sealiran pemikiran dan jiwa menjadikan mereka intim. Mereka diibaratkan sebagai saudara sejiwa.

"Pertama kali saya nampak Nam Ron (Shahili) ketika sama-sama berlakon dalam filem Gubra (2006). Tapi, kami tiada babak lakonan bersama. Dari situ, saya perhatikan dan ambil tahu tentang siapa Nam Ron. Persembahannya halus, orangnya unik, tegas, lembut, garang, baik hati dan gila-gila. Orang macam Nam Ron ini seronok diperhatikan, rasanya, kami boleh geng," ujar Nani sebagai gambaran perasaannya yang kuat terhadap filem berkenaan.

"Saya pun kenal Nani tak lama sangat, Sein yang bawa watak Dr. Khai pun begitu. Tapi, yang penting adalah keserasian. Bila sudah serasi, kita boleh letak kepercayaan antara satu sama lain. Bukan kata saya tak percaya pelakon lain, tapi untuk filem yang saya anggap sebagai anak pertama ini, saya kena begitu. Sebabnya, saya kena beri kebebasan untuk mereka bermain karakter masing-masing. Cuma dalam set, saya kena jaga pergerakan supaya bahasa pengarahan dan visual yang saya mahukan itu diperoleh," sampuk Nam Ron.

Kuasa memikat Nam Ron

Pelakon yang juga penggiat teater yang cukup terkenal dalam kelompok pembikin filem bebas itu ternyata menerima pelbagai reaksi daripada rakan-rakan sealirannya.

"Ramai yang terkejut termasuklah pengarah Bikin Filem dan Kil, Nik Amir. Ada juga yang lebih gemarkan filem pendek saya, Jalan Pintas dan kenapakah naskhah itu tidak dibawa ke layar perak. Saya fikir, kalau alang-alang masuk aliran perdana, biarlah naskhah yang bersesuaian. Kebetulan, penerbit yang mahu sebuah filem genre suspen. Filem Psiko Pencuri Hati semacam nafsu juga, kemahuan saya juga nak cuba benda yang baharu.

"Saya cuba beri jamuan ini. Selama ini orang bersangka khalayak mahukan filem aksi atau komedi. Macam Bunohan yang perlahan sambutannya di pawagam tapi bila masuk TV, orang suka. Saya nak beri khalayak rasa momen itu, suka atau tidak, cuba dahulu. Rasanya pembikin tak boleh hakimi penonton sekadar lihat pasaran sahaja. Filem Psiko Pencuri Hati sendiri ada banyak elemen, romantis dan cinta. Ia bukannya filem berat yang perlu difikirkan dalam-dalam untuk dihadam. Saya memang buat filem ini untuk umum. Kalau saya buat untuk saya, baik buat Jalan Pintas atau filem seni berat. Tapi, masalahnya boleh atau tidak ia dikongsikan dengan khalayak. Saya mahu penonton terhibur dengan karakter dan jalan cerita," ulas lelaki berusia 40 tahun ini bersahaja.

Membikin Psiko Pencuri Hati sebagai filem suspen thriller, Nam Ron cuba untuk tidak spesifik mengambil mana-mana filem sebagai rujukan. Namun, temanya pun suspens thriller, dia mengaku. pengaruh pengarah filem Hollywood, Quentin Tarantino boleh dikesan di hujung-hujung filem itu terutamanya apabila konflik sudah berubah menjadi ganas.

"Bahaya kalau kita buat rujukan spesifik, takut terpengaruh. Biarlah ia mengalir secara semula jadi. Memang struktur, stail dan gaya penyampaian filem psiko dan suspens begitu. Saya suka dengan proses ini. Memang ia perkara baharu dalam kerja saya. Tapi, selain nak menyampaikan, adakalanya saya juga mahu memikat perhatian penonton. Macam lukisan juga, ada yang suka gaya realis atau juga yang suka surealis," kongsi Nam Ron yang melihat industri perfileman tempatan juga ada sisi psiko tersendiri.

Katanya, karyawan seperti tahu apa yang dimahukan oleh khalayak itu sebenarnya tidak semuanya betul. Kesenian di Malaysia juga dikatakan seni untuk masyarakat.

"Persoalannya, apakah sangkaan itu betul?. Apa yang saya fahami, seni untuk masyarakat ialah seni yang bawa refleksi supaya masyarakat faham sekeliling dan nampak diri dari dalam skrin. Sekarang, seperti ada putar belit, itu psikonya industri kita dan secara tak langsung semua itu diterima sebagai budaya," beritahu Nam Ron yang pernah menjadi hero filem Paloh lebih 10 tahun lalu.

Feminisme Amani

Nani merupakan pelakon bertubuh kecil. Namun, dia memiliki cinta dan aspirasi kuat terhadap filem serta naskhah yang meneguk titik peluhnya. Nani ternyata semakin dewasa. Dia bukan gadis sunti seperti yang diperkenalkan dalam filem Sepet dahulu.

Lantas filem Psiko Pencuri Hati, merupakan kerja pertama Nani di bawah arahan Nam Ron. Sebelum ini, dia dan Nam Ron hanya berlakon bersama sebagai anak dan bapa dalam telemovie, Lembut Bukan Lelaki yang disiarkan menerusi Astro pada tahun lepas.

"Sekarang, saya sedang sibuk dengan latihan sebuah teater kompilasi arahan Nam Ron. Ya, kami tak banyak bekerjasama. Tapi, kerja untuk Psiko Pencuri Hati memang seronok. Nam Ron sayangkan pelakon-pelakonnya, sampai kami diajak berbincang dan membuat olahan skrip asal yang ditulis oleh Ayam Fared. Dia hargai pelakon-pelakonnya dengan memberi kredit kepada kami sebagai penulis lakon layar bersama. Itu juga antara yang diburu oleh pelakon," puji Nani untuk Nam Ron.

Nam Ron merupakan pengarah filem yang berjaya membawa Amani kembali semula ke lokasi layar perak selepas dia berlakon dalam filem Mualaf.

Menceritakan pengalamannya di lokasi, kata Nani, Nam Ron dan penulis skrip filem itu membawa mereka ke Pulau Pemanggil, Mersing untuk bersatu dengan alam dan berpuisi dengan laut.

"Syukurlah, saya dapat peluang yang bagus untuk bekerja dengan orang-orang yang bagus. Saya memang seorang pelakon yang memilih. Itu cara saya menghargai penonton. Caranya adalah mempersembahkan sebuah kerja yang bagus. Pandang kiri dan kanan, mereka semua ibarat abang-abang," ujar Nani yang melakonkan watak isteri bernama Wani yang mengalami keguguran sebanyak tiga kali.

Berlakon dan menjadikan karakter sebagai dirinya sendiri, Psiko Pencuri Hati turut memberi ruang penghayatan yang berlapis-lapis. Watak Wani sendiri bukannya perempuan yang lemah.

"Nampak kecil tapi perjuangan feminisme yang nak disampaikan ada. Sebenarnya, tak banyak filem yang tunjuk kekuatan karakter wanita dalam filem. Dalam filem ini juga, semua watak ada kejahatan masing-masing. Lebih seronok juga sampai ada yang buat telahan bahawa semua yang berlaku dalam plot itu adalah apa yang tertulis dalam novel tulisan Sidi (Bront). Sampai ke tahap itu," ujar Nani yang dalam waktu yang sama nekad menulis skrip yang memperjuangkan wanita untuk karya arahannya sendiri.

Berbicara bahasa filem, semangat dan aliran yang menjadi wacana dalam darah seniman yang masih segar dalam tubuh mereka, sempat juga Nani mencelah:

"Saya juga seorang yang ada angin dan suka ikut kepala sendiri. Benar, kami semua ada sisi psiko."

Luna Maya kagum industri filem Malaysia

Posted:

Luna Maya kagum industri filem Malaysia

Luna Maya kagum industri filem Malaysia

LUNA MAYA (kanan) dan Aaron Aziz mendapat tunjuk ajar daripada pengarah filem Tembus, Ahmad Idham.


DALAM nada lembut yang dilapisi dengan pemerhatian dan kaji selidik, pelakon terkenal Indonesia, Luna Maya beranggapan penggiat industri filem Indonesia perlu belajar daripada Malaysia. Kenyataan itu dilafazkannya selepas melihat banyak filem Malaysia mendapat kutipan yang cukup memberangsangkan berbanding di negaranya.

"Filem Indonesia perlu belajar dari Malaysia terutamanya tentang sistem wajib tayang yang saya rasakan bagus pelaksanaannya. Kalau di Malaysia, saya diberitahu bahawa filem KL Gangster mencecah kutipan hampir RM12 juta. Kalau di Indonesia setakat ini, filem Habibie dan Ainun yang paling tinggi dengan kutipan RM4.8 juta sedangkan populasi di sini cuma 27 juta penduduk berbanding Indonesia yang mempunyai 300 juta penduduk. Saya melihat hampir setengah penduduk Malaysia menonton KL Gangster," ucapnya ketika ditemui sewaktu pembikinan filem Tembus di pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Sejujurnya, kata aktres berusia 30 tahun ini, dia belum sempat menonton filem-filem Malaysia tetapi, pergerakan dan respons peminat menarik perhatiannya.

"Saya melihat industri filem Malaysia besar kerana banyak filem yang berjaya. Di Indonesia memang banyak filem yang bagus tetapi audiens tidak ramai yang menonton,"ujarnya yang membawakan watak Marylia dalam filem perdana lakonannya di Malaysia di bawah arahan Ahmad Idham.

"Sebulan lalu, saya mempunyai pengurus di Malaysia iaitu Iman Tang Abdullah. Dia yang mencarikan pekerjaan buat saya di sini. Sebelum ini, memang banyak tawaran tetapi, saya tidak tahu industri filem di Malaysia, tidak tahu latar belakangnya. Bukan mudah untuk saya menyatakan ya jika saya tidak tahu produksi dan pembikinnya. Setelah diberitahu Iman Tang tentang filem-filem terdahulu Idham dan berpeluang berlakon bersama Nur Fazura dan Aaron Aziz, saya bersetuju,"ujarnya yang terlibat dalam 15 adegan dalam filem Tembus yang bergenrekan kekeluargaan.

Membawakan watak antagonis yang mempunyai skandal dengan Aaron Aziz, Luna Maya tertarik dengan watak Marylia kerana ia boleh membangkitkan rasa geram disebabkan sikap psikonya terhadap cinta.

"Saya mencari pengalaman. Saya lihat ramai pelakon Malaysia ke Indonesia dan sebaliknya. Saya memang terbuka untuk berlakon di luar kerana bagi saya, filem ialah perjudian kerana kita tidak dapat memastikan filem tersebut bagus atau tidak, diterima atau sebaliknya. Saya hanya melakukan kerja sebagai pelakon tanpa memikirkan faktor ia laris. Saya menyampaikan yang terbaik," ujarnya yang meminati filem 500 Days of Summer.

Penjelasan Adi Putra Selasa ini

Posted:

Penjelasan Adi Putra Selasa ini

Penjelasan Adi Putra Selasa ini

ADI PUTRA (kanan) pernah membuat sidang akhbar tentang isu perceraiannya di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur pada tahun lalu.


PELAKON terkenal, Adi Putra akan membuat sidang akhbar berhubung gosipnya dengan isteri seorang ahli perniagaan dari Johor pada Selasa ini pukul 3 petang.

Sidang akhbar itu bukannya yang pertama diadakan dengan tujuan untuk membersihkan namanya. Pelakon memiliki nama Muhamed Hadi Putra Halim itu sebelum ini pernah mengadakan sidang akhbar berhubung kes perceraiannya pada tahun lalu.

Pada 22 Mac 2012, aktor berusia 32 tahun itu telah muncul pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur untuk menjelaskan tentang kes perceraiannya.

Penjelasan itu dibuat selepas dia membuka fail perceraian terhadap isterinya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei 2012.

Namun, Adi menutup semula fail tersebut selepas 10 hari dia mengemukakan kes perceraiannya.

Ketika itu, Adi dan isterinya, Zuhaida Yusof mengadakan sidang akhbar di sebuah kafe di Hotel Park Royal bagi menjelaskan mengenai status mereka selepas timbul spekulasi bahawa mereka sudah tidak sehaluan.

Namun, selepas isu perceraian itu selesai, nama Adi naik lagi malah menjadi sebutan bibir ke bibir. Kes siasatan polis berhubung gangguan Adi terhadap isteri ahli perniagaan itu kini menjadi sebutan.

Pada minggu lalu, Adi muncul di Esplanade, Singapura apabila berlakon dalam teater Akulah arahan Erma Fatima. Dalam pementasan teater itu, dia membawakan watak seorang Datuk yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Bagaimanapun, ia cuma teater. Dalam alam realiti Adi belum membuka mulut menerangkan keadaan yang sebenar tentang isu dia didakwa menganggu isteri orang.

Skandal Adi dengan isteri orang itu kini disiasat polis selepas suami wanita berkenaan membuat laporan.

Menurut laporan tersebut, pelakon itu didakwa saling berbalas-balas mesej dan bertukar-tukar gambar lucah dengan wanita berkenaan yang berusia 30 tahun walaupun mereka baru berkenalan selama seminggu.

Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita tersebut menerusi laman Instagram sebelum mereka kerap berbalas-balas mesej melalui aplikasi Whatsapp sejak 29 Julai lalu.

Bagi menjernihkan keadaan yang sedang panas ini, Adi mengesahkan kepada Kosmo! bahawa dia akan mengadakan sidang akhbar pada 10 September ini pada pukul 3 petang di Bunga Tanjung Lounge, Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, kenyataan tentang sidang akhbar itu telah dikeluarkan oleh pengasas Fereena Beauty Care, Zulkifly Muhamad yang juga rakan niaga Adi untuk produk kecantikan tersebut.

"Adi menyatakan dia mahu membuat sidang akhbar ini untuk menjelaskan keadaan yang sebenar berhubung tuduhan tentang skandalnya antara dia dengan isteri seorang ahli perniagaan. Dia melihat semua yang berlaku ini sebagai satu hikmah dan dari sudut positif," ujar Zulkifly.

Selain rakan niaga, Adi Putra juga bertindak sebagai duta produk Fereena. Menurut Zulkifly, tuduhan tersebut tidak akan menjejaskan hubungan pelakon itu dengan syarikat produk tersebut.

"Walaupun terdapat kes polis berhubung skandal Adi bersama isteri kepada seorang usahawan di Johor, ia tidak akan menjejaskan hubungannya sebagai rakan niaga dan tugasnya sebagai duta produk kecantikan Fereena Beauty Care," katanya.

Menurut Zulkifly, kontroversi tersebut juga bukan satu isu yang akan memberi impak buruk terhadap perniagaan produk dan syarikat Fereena kerana ia merupakan soal peribadi yang tiada kaitan dengan jatuh bangun syarikat.

"Bagi saya, tiada masalah kerana apa yang berlaku adalah hal peribadi yang tidak melibatkan syarikat. Perkara itu (skandal Adi) berlaku di alam maya. Kadangkala kesahihan fakta itu tidak berani disentuh kerana kita tidak tahu keadaan sebenar," kata Zulkifly, rakan niaga Adi sejak bulan lalu.

Menurut Zulkifly, pelakon filem Haq itu datang menemuinya pada Rabu lalu di Old Town Setiawangsa pada pukul 4 petang untuk bertanyakan tentang kedudukan dirinya dalam syarikat tersebut.

"Adi datang berjumpa saya untuk bertanyakan tentang reputasi dan keadaan terkini sama ada saya mahu meneruskan kerjasama sebagai rakan niaga dan tugasnya sebagai duta. Dia menceritakan kepada saya tentang berita skandal yang tersebar di laman maya," jelas Zul yang turut memberitahu bahawa Adi mempunyai saham dalam syarikat mereka itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved