Rabu, 4 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

Posted:

Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

FIZO OMAR, Fizz Fairuz, Fahrin Ahmad dan Farhan Azizan atau lebih dikenali sebagai Farhan AF4 bukan sahaja berkongsi huruf awalan nama masing-masing.

Namun, mereka juga berkongsi pendapat yang sama bahawa sebagai artis mereka harus mempunyai variasi dalam dunia hiburan dan bukan bergantung kepada satu cabang sahaja.

Keempat-empat mereka berjaya disatukan ketika sama-sama menghadiri majlis Aidilfitri yang dianjurkan Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan baru-baru ini.

Ternyata, keempat-empat mereka mempunyai satu sisi berbeza daripada kegiatan seni masing-masing bagi memastikan kepelbagaian dalam meneruskan kelangsungan pendapatan dalam kehidupan.

Farhan Cookies

Bagi satu-satunya bunga dalam kalangan kumbang, Farhan memberitahu, selain daripada memenuhi undangan nyanyian pada majlis-majlis rasmi dan korporat, dia mempunyai syarikatnya sendiri yang menguruskan acara dan juga menghasilkan beberapa jenis produk di atas namanya.

"Saya mengeluarkan beberapa produk di atas nama saya antaranya adalah biskut yang diberi nama Farhan Cookies. Farhan Cookies ini bukanlah perniagaan yang bermusim kerana saya menghasilkannya sepanjang tahun.

"Tempahan meningkat terutama pada musim perayaan dan selepas musim perayaan saya menerima tempahan untuk majlis-majlis rasmi, hamper dan sebagainya," katanya.

Ujar Farhan lagi, walaupun dia kini sudah terjun dalam bidang perniagaan, namun tidak bermakna dirinya sudah tidak aktif dalam dunia hiburan.

GELAGAT lucu dan ceria Fizz, Farhan, Fizo dan Fahrin yang diundang ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Walaupun ramai yang menyangka kehadirannya dalam industri hiburan sudah suam-suam kuku, namun, undangan yang diterimanya menunjukkan sebaliknya.

"Saya banyak mendapat undangan korporat, majlis makan malam, majlis rasmi dan juga majlis diraja.

"Memang saya agak kurang tampil di televisyen atau menyanyi dalam khalayak audiens yang lebih terbuka tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak aktif dalam industri hiburan tanah air.

"Mungkin rezeki saya di sini dan saya bersyukur. Undangan nanyian saya lebih kepada majlis tertutup dan saya terima dengan hati terbuka. Saya bersyukur kepada Tuhan di atas rezeki yang diberi," ujarnya yang juga memberitahu, dia kini dalam proses menghasilkan single terbaharunya yang akan muncul tidak lama lagi.

Fizo bantu wanita Kelantan

Beralih kepada Fizo Omar pula, kisah dia menceburkan diri dalam dunia perniagaan bukan sesuatu cerita yang baharu. Malah, baru-baru ini, Fizo menjalankan perniagaan serunding ketika bulan Ramadan yang lalu.

Terbaharu, Fizo sedang dalam perancangan untuk membuka 20 gerai francais burger miliknya iaitu Hot Burger di Kota Bharu.

"Saya sedang dalam perancangan untuk membawa Hot Burger ke Kelantan dan membuka 20 gerai di negeri ini.

"Saya menetapkan kuota 10 peserta lelaki dan juga 10 peserta wanita untuk menyertai francais ini. Saya akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mencari peserta wanita.

"Saya ingin membantu wanita di negeri ini dan juga membuka peluang kepada mereka yang berminat.

"Saya juga ingin menukar persepsi orang ramai terhadap perniagaan burger yang menganggap ia tidak boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan," tegasnya.


DARI KIRI: Fizz, Iqram, Fizo, Farhan dan Fahrin memeriahkan majlis Aidilfitri anjuran Hotel Perdana di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Perjalanan seni Fizo pula kini lebih dalam bidang pengacaraan dan terkini, dia sedang dalam penggambaran travelog masakan yang merupakan rancangan masakan berasaskan koko.

Rancangan tersebut akan disiarkan di saluran TV9 akan menampilkan Fizo mengembara sambil memasak. Dia juga muncul dengan sebuah buku masakan yang mempunyai 50 resipi berjudul, Air Tangan Fizo.

"Buat masa ini, penggambaran filem atau drama sudah saya kurangkan. Lagi pun, ada lagi empat buah filem lakonan saya yang masih belum ditayangkan, jadi saya rasa cukup sehingga awal tahun depan.

"Saya juga sibuk dengan bisnes pengiklanan yang lebih menumpu kepada pengiklanan di media sosial. Perniagaan itu perlu ada sebagai jaminan dalam kerjaya," katanya.

Kredibiliti Fizz dipertikai

Perjalanan seninya memasuki satu fasa yang berbeza apabila dia ditawarkan sebagai tenaga pengajar untuk Akademi Fantasia musim terbaharu sebagai guru lakonan.

Menganggap ia adalah rezeki kurniaan Tuhan, Fizz Fairuz mengakui banyak pihak mempertikaikan kredibilitinya untuk menjadi guru di dalam Akademi Fantasia dan membandingkannya dengan nama-nama yang pernah mendukung posisi tersebut sebelum ini.

"Sebelum ini tenaga pengajar bagi lakonan di Akademi Fantasia menampilkan nama-nama besar seperti Fatimah Abu Bakar, Fauziah Nawi dan sebagainya.

"Pada awalnya, saya juga tidak percaya tetapi setelah berkali-kali Astro membuat tawaran tersebut akhirnya saya terima. Soalan mengapa Astro memilih saya bukanlah satu soalan yang saya boleh jawab. Kenalah tanya Astro sendiri.

"Tawaran datang daripada pihak sana, bukannya saya merayu kepada mereka untuk memilih saya. Jadi saya anggap ini adalah rezeki kepada saya yang tuhan berikan. Saya akan lakukan yang terbaik dan berkongsi segala ilmu yang saya ada dengan semua pelajar," katanya.

Kisah percintaan Fizz yang sebelum ini bertunang dengan seorang wanita yang memegang status isteri orang menggemparkan peminat seni tanah air semakin hilang daripada bualan mulut ramai. Malah bagi Fizz juga, kesan akibat kejadian itu juga sudah dilupakan.

"Dua minggu selepas kejadian itu memang saya akui saya jadi tak tentu arah tetapi sekarang saya sudah tak rasa apa-apa pun.

"Seperti tak ada apa yang berlaku dan saya meneruskan kehidupan saya seperti biasa. Mungkin nanti saya akan ada pengganti," tuturnya sambil melemparkan senyuman nakal.

Fahrin ke Bangkok

Bagi jejaka sasa Fahrin Ahmad pula, dia kini aktif dalam bidang pengacaraan dan banyak memenuhi undangan pengacara daripada syarikat-syarikat luar dan juga majlis-majlis peribadi. Malah, dia juga mendapat undangan pengacaraan bagi majlis perkahwinan.

Dia juga sibuk dengan aktivitinya sebagai duta bagi beberapa produk yang menggunakan khidmatnya sebagai jurucakap.

"Bulan depan saya akan ke Bangkok, Thailand untuk penggambaran iklan terbaharu bagi produk Garnier Man.

"Saya akan terlibat dalam siri jelajah produk Ali Café dan juga sebagai duta Shell Fuel Safe. Saya juga akan ke Terengganu bagi menjayakan Futsal Amal Hari AIDS Sedunia yang mana saya juga dipilih sebagai duta," tuturnya.

Menukar tajuk kepada jodoh dirinya yang dilihat agak lewat tiba, Fahrin memberitahu, perkataan lewat itu tidak patut dipertikaikan. Dia juga sudah lali dengan persoalan jodoh dan persoalan itu sudah tidak lagi mengguris hatinya.

"Saya sudah berusaha ke arah itu tetapi jodoh belum sampai dan ini adalah kerja Tuhan. Saya menganggap pengalaman yang dilalui sebagai mematangkan saya dalam menempuh hari muka," luahnya.

Stewart separuh bogel

Posted:

Stewart separuh bogel

Stewart separuh bogel

KRISTEN STEWART muncul sebagai duta kempen terbaharu produk wangian Balenciaga.


AKTRES Kristen Stewart sebelum ini memang pernah memberitahu bahawa dia tidak kisah untuk beraksi separuh bogel di dalam filem atau pun iklan.

Selepas membuktikan 'keberaniannya' menerusi filem On The Road, kini Stewart melakukan aksi separuh bogel menerusi kempen terbaharu produk wangian Balenciaga.

Menerusi sekeping gambar publisiti yang diedarkan, Stewart dilihat tidak memakai baju untuk wangian yang diberi nama Florabotanica.

Dia dirakamkan dalam potret hitam putih, manakala terdapat bunga-bungaan melingkar pada tubuhnya dalam gambar berwarna yang menaikkan mood seksi pada gambar tersebut.

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Posted:

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

AWI hanya menganggap Sasha sebagai seorang teman yang baik.


MUNGKIN kini ramai peminat telah sedia maklum bahawa hubungan cinta Awi Rafael dan aktres Hanez Suraya sudah terputus di tengah jalan. Setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, akhirnya hajat untuk bercinta hingga ke jenjang pelamin tidak kesampaian.

Kedua-duanya mengakui hubungan mereka putus bukan disebabkan oleh pihak ketiga namun, kerana masing-masing ingin berikan fokus terhadap karier yang sedang dibina.

Namun, setelah tidak bersama, wujud pula kisah ikatan cinta baharu Awi.

Awi kini dikatakan sedang bercinta dengan aktres tinggi lampai iaitu Sasha Saidin. Baru-baru ini juga, menerusi temu ramah pihak media bersama Sasha, wanita tersebut seperti tidak menolak jika bertemu jodoh dengan Awi.

Bagi Awi pula ketika dihubungi Kosmo!, dia menafikan gosip yang sedang panas berlegar dalam kalangan peminat industri hiburan tempatan.

Ikuti jawapan penyanyi kelahiran Singapura tentang kontroversi baharu tentang dirinya.

Kosmo!: Bolehkah anda ceritakan tentang perkembangan karier anda kini?

AWI: Sekarang, saya masih sibuk mempromosi single yang berjudul Kalau Aku Kaya. Alhamdulillah, lagu tersebut diterima ramai dan di laman YouTube pula telah pun mencapai sebanyak satu juta penonton.

SASHA SAIDIN sebelum ini tidak menolak jodohnya bersama Awi Rafael jika ia berlaku kelak.


Selain promosi single ini, apa lagi perancangan anda?

Memang banyak sebenarnya perancangan bagi karier saya. Saya juga ingin meluaskan karier saya ke Indonesia kelak, Insya-Allah. Lagu Pulanglah saya telah pun menjadi hit di sana dan ia dinyanyikan oleh kumpulan Mikheila dan diubah sedikit mengikut cara wanita menyanyi.

Selepas putus dengan Hanez, kini anda digosipkan bercinta dengan Sasha Saidin. Boleh komen?

Tidak benar gosip tersebut kerana kami hanya kawan biasa sahaja. Bagaimanapun, dia ada telefon Awi dan terangkan tentang kenyataan tentang jodoh yang dibuat olehnya sebelum ini. Tapi sejujurnya saya akui, sebagai kawan, dia memang seorang yang baik. Jadi, saya tidak mahu terlalu memberi komen tentang perkara ini.

Jadi, kini memang anda ingin memberi fokus terhadap karier sahaja atau memang sudah ada pengganti?

Saya memang ingin memberi fokus lebih terhadap karier kini. Kami berdua (bersama Hanez) juga sebelum ini sibuk dengan kerja, kerana itu kami tiada masa bersama. Saya tidak terfikir untuk bercinta buat masa ini.

Jika sebelum ini, anda terbuka berbicara tentang kisah cinta, adakah selepas ini akan kurang berbuat demikian?

Sebenarnya, jika ikutkan hati saya memang tidak terlalu ingin berbicara tentang kisah cinta. Tapi kerana ingin menjaga hati beberapa pihak, saya tidak kisah untuk cerita. Saya tidak ingin orang fikir bicara saya tentang kisah cinta adalah untuk mengejar populariti serta untuk dikenali. Jadi, sejujurnya, saya dan Sasha tidak bercinta dan harap orang yang membaca jangan salah anggap kerana tiada apa-apa yang berlaku antara kami.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved