Sabtu, 31 Ogos 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Semangat patriotisme

Posted:

Semangat patriotisme

Semangat patriotisme

TUANKU ABDUL HALIM memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormat Utama bersama Tuanku Hajah Haminah dan Najib pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 di Dataran Merdeka semalam diadakan dengan penuh kemeriahan, warna warni dan disemarakkan dengan semangat patriotisme tinggi dan penghargaan untuk perajurit negara.

Ribuan rakyat tempatan dan warga asing hadir seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.

Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada pukul 8 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohamad Abdullah.

Berlainan sambutan sebelum ini, acara pembarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.

Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.

Seramai 15,280 peserta dari 56 kontinjen menyertai persembahan melibatkan empat segmen iaitu 'Malaysia Tanah Airku', Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.

Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet.

Hampir 300 aset keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Penguat Kuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut dipamerkan.

Penghormatan juga diberi kepada Kontinjen Op Daulat yang terbabit dalam mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lepas terdiri daripada 400 anggota pelbagai pangkat dari agensi-agensi penguatkuasa negara.

Turut hadir dan diberi penghormatan ialah 20 keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Op Daulat.

Sementara itu, Najib ketika berucap kepada para peserta perarakan kemudiannya menyifatkan sambutan kali ini menunjukkan betapa kuatnya semangat cinta pada negara dalam kalangan warga Malaysia.

Mati ditembak dalam kuil

Posted:

Mati ditembak dalam kuil

Mati ditembak dalam kuil


JAGANATHAN


NUSAJAYA - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang dipercayai menjadi kepala gengster Geng 21 maut akibat ditembak tanpa belas kasihan ketika dia sedang melakukan upacara sembahyang di sebuah kuil di Taman Nusantara dekat Gelang Patah kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, K. Jaganathan, 37, seorang penternak lembu mati selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat oleh seorang lelaki bermotosikal.

Difahamkan, si mati pernah ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor selama dua tahun selain turut terlibat dengan kumpulan kongsi gelap.

Geng 21 aktif melakukan pelbagai jenayah di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketika kejadian, mangsa berada di dalam kuil itu bersama ibu, isteri dan tiga anaknya namun ahli keluarganya tidak cedera.

Ibu Jaganathan, M. Letchumi, 63, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh, iaitu pembonceng motosikal masuk ke dalam kuil berkenaan dan melepaskan tembakanbertubi-tubi ke arah anak lelakinya.

Tembakan itu mengenai dada, bahu dan belakang mangsa.

Ketika kejadian, terdapat lebih 10 orang yang sedang bersembahyang di dalam kuil berkenaan bertempiaran lari.

Suspek kemudian beredar bersama seorang lagi rakannya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC putih.

"Apa salah anak saya? Mengapa mereka menembak dia tanpa belas kasihan," kata Letchumi ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa yang cedera parah disahkam mati selepas dibawa ke sebuah klinik berhampiran dan mayatnya dihantar ke HSA untuk dibedah siasat.

Siasatan awal mendapati si mati yang tinggal di Taman Universiti, Skudai memiliki lapan rekod jenayah termasuk kes bunuh.

"Susulan kejadian tembak itu, polis menahan lelaki berusia 30-an di kawasan Gelang Patah pada pukul 10 malam kelmarin.

"Dengan penahanan itu, kita percaya kes ini dapat diselesaikan," kata beliau.

Polis setakat ini, masih menyiasat motif sebenar kejadian termasuk pembabitan si mati dalam kumpulan kongsi gelap Geng 21 serta aktiviti-aktiviti jenayah lain.

Tiga mesin ATM dipecah serentak

Posted:

Tiga mesin ATM dipecah serentak

Tiga mesin ATM dipecah serentak

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my


ANGGOTA forensik memeriksa bahagian belakang sebuah bangunan kosong yang digunakan penjenayah sebelum melarikan wang tunai di dalam tiga buah mesin ATM di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Tiga buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Pengkalan Chepa di sini semalam dipecah sekumpulan penjenayah menyebabkan kerugian RM657,905.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 3 pagi itu bagaimanapun disedari empat jam kemudian ketika wakil syarikat keselamatan datang ke bank tersebut untuk membuat pemeriksaan rutin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan mendapati suspek yang disyaki lebih daripada seorang memecahkan peti simpanan wang ATM melalui sebuah premis kosong yang terletak di belakang bangunan.

"Suspek memotong jeriji untuk masuk ke dalam bangunan (kosong) di belakang mesin ATM dan memecahkan peti simpanan wang dengan menggunakan gas oxy-Acetylene (oxy)

"Siasatan mendapati suspek telah memecahkan tiga mesin ATM manakala sebuah lagi mesin deposit tunai tidak diusik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Mazlan, pihaknya percaya kumpulan penjenayah itu membuat persediaan rapi sebelum melakukan jenayah tersebut selain penglibatan suspek yang berpengalaman.

Siasatan secara terperinci termasuk meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) akan dilakukan bagi mengesan penjenayah terlibat.

"Kita akan menyiasat sama ada kes ini melibatkan orang dalam.

"Mereka juga (penjenayah) tidak mungkin berjalan kaki kerana mesin gas oxy perlu dibawa dengan kenderaan," katanya.

Jelas beliau, kes tersebut adalah yang kedua dilaporkan berlaku di negeri ini pada tahun ini namun menggunakan modus operandi yang berbeza.

Akhbar pada 2 Jun lalu melaporkan, sebuah mesin ATM bersebelahan bangunan Tabung Haji dekat Pasir Mas dipecah penjenayah dengan menggunakan gas oxy menyebabkan kerugian lebih RM200,000.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, suspek memasuki bank tersebut dari bahagian hadapan dan berselindung di sebalik kain rentang bagi mengelak kegiatan mereka disedari orang awam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved