Jumaat, 30 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak amal sikap pilih bulu

Posted:

Tidak amal sikap pilih bulu

Tidak amal sikap pilih bulu

PADA asalnya, sesi fotografi yang diaturkan bersama pelakon Khatijah Tan, Pierre Andre dan Mikail Andre bertujuan untuk keluaran khas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Selain berkongsi cerita mengenai pengalaman menyambut Aidilfitri mereka sekeluarga, Pierre dan Mikail turut bercerita mengenai perkembangan karier seni masing-masing.

Bagi Pierre atau pemilik nama sebenar Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre itu, dia mengakui agak gembira kerana adiknya telah menunjukkan minat dan berkecimpung dalam lapangan sama serta mengikut jejak langkah dia dan ibunya bergelar anak seni.

"Sudah lama saya dapat menjangkakan bahawa bakat seni ibu dan saya akan mengalir turut mengalir dalam diri Mikail, malah saya berbangga kerana dia kini semakin menyerlah.

"Begitu juga dengan mutu lakonan yang ditampilkan sudah menunjukkan peningkatan yang ketara. Kini saya semakin percaya dengan kebolehan yang ada pada dirinya," jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik penampilan Mikail yang semakin ketara terutamanya di layar perak, sudah mula timbul persoalan apabila dia kerap mengambil adiknya itu berlakon dalam beberapa buah filem arahannya itu.

Sehingga kini, sudah terdapat empat buah filem yang dilakonkan oleh Mikail di bawah arahannya iaitu 1 Lawan Satu, Sniper, Highland Tower dan Perempuan Muka Surat Tujuh.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Pierre menafikan bahawa dia menggunakan kuasanya sebagai pengarah untuk memilih adik sendiri berlakon dengannya.

Tegasnya, pemilihan pelakon untuk membintangi sesebuah filem itu dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan pihak penerbit sebelum keputusan dibuat.


MIKAIL mengakui abangnya, Pierre merupakan seorang yang serius dan cukup teliti ketika bekerja.


"Sebenarnya dalam beberapa buah filem yang saya arahkan, Mikail bukanlah pilihan utama saya. Misalnya, dalam filem terbaru saya iaitu Sniper, dia sekadar menjadi pilihan terakhir saya.

"Untuk filem berkenaan, saya telah mencadangkan dua nama pelakon lain untuk memegang watak utama, tetapi kedua-duanya telah menolak tawaran yang diberikan kerana jadual yang tidak sesuai dan akhirnya Mikail yang menjadi pilihan kerana saya melihat dia sesuai membawakan watak yang diberikan," dedahnya.

Berkenaan dengan layanan yang diberikan terhadap adiknya ketika menjalani penggambaran, Pierre memberitahu, dia langsung tidak membezakan Mikail dengan pelakon-pelakon yang lain.

Menurutnya, sebagai seorang pengarah dia perlu bertindak secara profesional dan tidak boleh memberikan sebarang keistimewaan kepada darah daging sendiri.

"Tidak bermakna Mikail itu adik saya, layanan yang diberikan perlu berbeza dengan pelakon lain. Kalau ada sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, saya akan tetap tegur demi kebaikannya.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mengamalkan sikap pilih bulu kerana ia boleh memberikan impak yang kurang baik. Bekerja dalam sebuah pasukan sudah tentu memerlukan kerjasama yang baik antara satu sama lain," jelasnya.

Mengakui agak serius terhadap adiknya semasa bekerja, namun hubungan dia dan Mikail sangat rapat di luar waktu kerja memandangkan dia tidak mempunyai adik-beradik lain.

Beri peluang

Ketika ini penampilan Pierre di layar perak dilihat semakin berkurangan. Kali terakhir dia berlakon adalah menerusi filem X terbitan Metrowealth pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Pierre, dia telah mengambil untuk berehat seketika daripada dunia lakonan kerana mahu memberi lebih fokus kepada bidang pengarahan sepenuhnya.

"Buat masa ini saya rasa seronok untuk menjadi seorang pengarah. Lagipun kebanyakan tawaran berlakon yang diterima kurang menarik minat saya.

"Selain itu, saya rasa lebih baik sekiranya peluang diberikan kepada pelakon-pelakon baharu. Dengan kemunculan ramai pelakon sekarang ini, saya lihat ada antaranya yang memiliki bakat dan potensi yang sangat besar," ujarnya.

Namun begitu, Pierre menegaskan bahawa dengan keputusan yang dibuat itu tidak bermakna dia akan meninggalkan terus dunia lakonan buat selama-lamanya.

Menurutnya, perasaan rindu untuk berlakon itu memang ada. Malah, dia tidak menolak kemungkinan bakal kembali ke dalam dunia lakonan seawal-awalnya pada tahun hadapan.

"Seboleh-bolehnya saya mahu komitmen terhadap bidang pengarahan akan selesai sebelum saya berlakon semula kerana mengikut kontrak dengan Metrowealth, masih ada enam buah filem lagi yang perlu disiapkan," jelasnya.


PIERRE mempunyai baki enam buah filem lagi untuk dilakonkan seperti yang sudah termeterai menerusi kontraknya bersama Metrowealth.


Tiada kelebihan

Bagi pelakon Mohd. Mikail Andre pula, dapat bekerja di bawah arahan abang sendiri sebenarnya langsung tidak memberi sebarang kelebihan buat dirinya kerana dia perlu berusaha keras dan memberi sepenuh komitmen agar tiada pihak yang mempertikaikan kemampuannya serta mengharapkan ehsan abang sendiri.

Ujarnya, hubungan antara dia dan Pierre sepatutnya tidak harus menjadi persoalan, meskipun kini dia sering menjadi pilihan untuk membintangi filem di bawah arahan abangnya itu.

"Mula-mula berlakon dulu, memang saya berasa sedikit gugup apabila Pierre bertindak sebagai pengarah dalam filem yang saya lakonkan, namun lama-kelamaan perasaan itu terus hilang.

"Selain ibu yang banyak memberi bimbingan kepada saya untuk menjadi pelakon yang baik, Pierre juga sering membantu dan berkongsi pengalamannya memandangkan saya masih lagi baharu dalam bidang ini," ujarnya.

Ditanya mengenai pandangan terhadap Pierre sepanjang berlakon di bawah arahan abangnya itu, dia melihat seorang yang cukup teliti dan serius sewaktu bekerja.

Sementara itu, memandangkan karier lakonannya yang semakin berkembang apabila kerap muncul di layar perak, Mikail turut berterima kasih kepada pihak Metrowealth yang banyak memberi peluang berlakon kepadanya.

Dia menjelaskan dirinya sentiasa terbuka untuk berlakon dengan produksi luar dan sentiasa menimbangkan sekiranya terdapat sebarang tawaran yang sesuai.

"Pihak Metrowealth tidak pernah halang langsung kalau ada sebarang tawaran, malah menggalakkan saya supaya cuba berlakon dengan produksi lain sebagai langkah mengembangkan lagi bakat lakonan yang ada.

"Tidak dinafikan tawaran itu memang ada saya terima, tetapi disebabkan masa yang kurang sesuai kerana bertembung dengan kerja lain menyebabkan saya terpaksa menolak," jelasnya yang bakal muncul dalam filem Kisah Paling Gangster terbitan B&L Kreatif Sdn. Bhd. arahan Brando Lee pada bulan November ini.

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Posted:

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

AHMAD NABIL (kanan) dan Koe Yeet merupakan pelakon utama drama Wind Chimes In A Bakery.


PEKA terhadap persekitaran yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia, jenama terkenal Samsung telah mempersembahkan kepada rakyat Malaysia sebuah drama cinta yang ditayangkan di laman YouTube.

Drama yang diberi judul Wind Chimes In A Bakery ini telah diinspirasikan oleh jalan cerita cinta filem Korea yang mana ia juga digarap oleh seorang pengarah dari Korea iaitu, Jang Jae Hyeok.

"Sebagai satu jenama yang menerajui teknologi telefon dan solusi digital di negara ini, kami gembira kerana berjaya menarik minat masyarakat menerusi drama yang disiarkan menerusi laman YouTube ini.

"Apa yang menariknya, setelah empat minggu bersiaran sejak awal bulan lalu, drama ini telah pun mencapai bilangan tontonan sebanyak empat juta penonton dan itu belum termasuk episod akhir.

"Bagi kami, ia merupakan satu kejayaan yang sangat cemerlang," tutur Ketua Korporat dan Penjenamaan Samsung Malaysia, Elaine Soh pada majlis previu episod akhir drama tersebut di GSC, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pengarah Kreatif Bersama Leo Burnett, Kevin Carleen pula berkata, selain kisah cinta, apa yang ingin ditonjolkan sebenarnya adalah tentang bagaimana pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan seharian.

"Bagi yang menonton, pasti mereka perasan dengan penggunaan telefon Samsung GALAXY S4 yang diketengahkan berkait rapat dengan kehidupan Sue dan Adam.

"Cabarannya pula sudah tentu bagaimana untuk menggabungkan produk ini dengan drama agar ia menjadi satu jalan cerita. Kami beruntung kerana telefon bimbit Samsung GALAXY S4 ini sememangnya memahami kehendak masyarakat kini.

"Kami juga mahu jadikan ia sebuah drama yang sangat natural dan hasilnya kami berjaya gabungkan kedua elemen tersebut," jelas Kevin.

Pertama kali

Dalam pada itu, kedua-dua pelakon utama drama itu iaitu Ahmad Nabil Mahir dan Koe Yeet, ia merupakan sebuah filem yang penuh emosi

"Saya perlu banyak bermain dengan emosi dalaman yang mana pada mulanya ia agak sukar dan memberi tekanan buat saya kerana bekerja terlalu lama.

"Bagaimanapun, Kevin banyak membantu kami dalam meneruskan apa yang diinginkan oleh pengarah.

"Memang sebelum ini saya merupakan seorang aktres, namun saya banyak terlibat dalam produksi berbahasa Cina.

"Drama ini merupakan projek bahasa Inggeris saya yang pertama dan sejujurnya saya gembira bekerja dengan mereka semua," jelas Koe yang memegang watak sebagai Sue, seorang anak orang kaya yang memerlukan kasih sayang.

Ujar Nabil pula, sebelum ini dia hanya terlibat dalam bidang peragaan. Bagaimanapun, ini merupakan penglibatan pertama dirinya dalam bidang lakonan.

"Bercerita mengenai watak saya sebagai Adam, dia sebenarnya mempunyai impian tetapi bimbang untuk meneruskannya. Oleh kerana itu anda dapat lihat, Sue hadir dan membantunya mencapai impiannya itu.

"Sejujurnya, itu juga seperti apa yang saya alami sendiri. Saya punya impian namun, tidak berani untuk teruskan suatu ketika dahulu.

"Oleh itu, bagi saya ia tidak terlalu sukar untuk melakonkan watak Adam," jelas Nabil yang katanya mempunyai keserasian setelah bersama Koe dalam beberapa episod.

Wind Chimes In A Bakery boleh tonton menerusi laman YouTube Samsung Malaysia. Ia telah bersiaran sebanyak tujuh episod dan episod akhir akan disiarkan pada hari ini, Jumaat, 30 Ogos.

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Posted:

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TIDAK mahu KRU Studos campur tangan dengan isu yang dihadapinya, Aweera menganggap apa yang dihadapinya adalah merupakan masalah peribadinya.


USIANYA baru sahaja mencecah 22 tahun, tetapi vokalis kumpulan Mojo, Aweera berhadapan dengan pengalaman pahit apabila telah diisytiharkan muflis.

Perkara berkenaan tersebar menerusi satu notis yang telah dikeluarkan oleh sebuah akhbar pada 11 Julai lalu, malah pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham turut mengakuinya.

Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, pelantun lagu Andaiku Bercinta Lagi itu enggan mengulas lanjut.

Tegasnya, dia mahu semua permasalahan yang melanda dirinya itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada mana-mana pihak.

Kosmo!: Kalau tidak keberatan, boleh Aweera jelaskan dengan lebih lanjut berhubung pengisytiharan muflis tersebut?

AWEERA: Saya ingin memohon maaf kerana tidak boleh bercerita dengan lebih mendalam. Apa yang boleh saya katakan, ia masih lagi dalam proses untuk diselesaikan.

Ketika ini saya masih lagi berbincang dengan pihak bank dan mencari jalan supaya perkara ini dapat diselesaikan. Kalau sudah ada keputusan muktamad dibuat, barulah saya akan buat kenyataan.

Apakah tujuan Aweera membuat pinjaman?

Rasanya ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum, namun ia merupakan pinjaman peribadi yang dibuat ketika saya berusia 19 tahun dan sudah bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di unit kebudayaan.

Adakah Aweera telah ditipu oleh mana-mana pihak sehingga tidak mampu membuat bayaran dan diisytiharkan muflis?

Semasa bekerja dahulu tidak dinafikan memang ada rakan sekerja yang mempunyai hasad dengki. Saya akui semua yang terjadi ini akibat daripada sabotaj oleh rakan sendiri.

Adakah masalah ini telah menjejaskan karier Aweera selaku seorang penyanyi?

Apabila ramai yang sudah mendapat tahu mengenai perkara ini terdapat sedikit tekanan yang saya rasai, terutamanya ada yang telah bertanya mengenainya.

Jadi, untuk menghilangkan rasa tekanan yang dialami itu, saya lebih fokus kepada kerja. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat dan berharap semuanya dapat diselesaikan.

Adakah pihak KRU Studios turut campur tangan dengan masalah yang dihadapi Aweera?

Memandangkan ini merupakan masalah peribadi saya sendiri, mereka langsung tidak masuk campur. Namun begitu, mereka telah menasihati saya supaya mencari jalan terbaik dan tenang berhadapan dengan segala cabaran yang dilalui ini.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan Aweera bersama Mojo sekarang?

Ketika ini kami baru sahaja selesai merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Vikingdom yang berjudul Dark Clouds. Lagu hasil ciptaan Edry dan Yusry Abdul Halim itu boleh dikatakan single terbaharu Mojo selepas Andaiku Bercinta Lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved