Isnin, 26 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Antara perjuangan dan pengorbanan

Posted:

Antara perjuangan dan pengorbanan

Antara perjuangan dan pengorbanan

RASANYA dalam industri perfileman negara, belum pernah lagi sesebuah filem tempatan terpaksa ditangguhkan tayangannya gara-gara provokasi yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.

Ternyata filem terbitan Pesona Pictures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencipta sejarah tersendiri apabila tayangannya di pawagam tertangguh selama setahun.

Semuanya berlaku apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu boleh mencetuskan ketegangan kaum apabila memaparkan kisah mengenai peristiwa 13 Mei 1969.

Bagi empat orang pelakon utamanya iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim, mereka berpendapat orang ramai perlu menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

Rusdi yang memainkan peranan utama sebagai Tun Abdul Razak berkata, sepatutnya tiada sebarang isu yang perlu dibangkitkan kerana Tanda Putera lebih memaparkan tentang sejarah tokoh terulung negara.

"Secara jujurnya saya pernah terfikir yang filem ini langsung tidak akan ditayangkan setelah timbulnya bermacam-macam isu. Ketika itu saya cuma reda sahaja dan anggap tiada rezeki buat kami.

"Sekiranya perkara tersebut terjadi, saya rasa ia merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana seluruh tenaga produksi sudah berusaha bersungguh-sungguh dan mencurahkan segala keringat untuk filem ini," ujarnya dalam sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.

Apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap babak tentang rusuhan kaum yang pernah melanda negara dahulu, Rusdi menyatakan ia bukanlah satu kesalahan kalau ia memberi pengajaran kepada generasi sekarang agar perkara itu tidak berulang lagi.

Jelasnya, segala yang digambarkan dalam filem berkenaan merupakan kejadian sebenar yang pernah berlaku, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lain.

"Ia sewajarnya dipaparkan kerana ramai yang tidak tahu peristiwa hitam itu merupakan antara punca utama Tun Abdul Razak meminta Tun Dr. Ismail menyertai semula Kabinet, sekali gus dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

"Semua perkara tersebut adalah fakta sejarah dan tiada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikannya. Lagipun, apa yang dipaparkan cuma di peringkat permulaan filem ini sahaja," jelasnya.

Menurut anak kepada pelakon Norlia Ghani itu, dia menyarankan supaya penonton yang menonton filem berkenaan lebih menghayati kisah terhadap perjuangan dan pengorbanan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail ketika mentadbir negara.

"Mentadbir negara dalam keadaan yang masih lagi tidak aman sepenuhnya bukanlah satu tugas yang kecil. Dalam masa yang sama Tun Razak menghidap leukimia manakala Tun Dr. Ismail ada penyakit jantung tetapi kedua-duanya merahsiakannya daripada pengetahuan ramai.

"Seharusnya apa yang dilalui kedua-dua ini perlu dijadikan iktibar dan contoh kepada semua rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan mereka begitu bermakna dan tidak harus dilupakan," jelasnya.

MELAKONKAN watak sebagai Tun Abdul Razak merupakan cabaran besar buat Rusdi sepanjang bergelar seorang pelakon.


Bahan rujukan

Seorang lagi pelakon iaitu Zizan Nin yang memegang watak sebagai Tun Dr. Ismail pula melihat Tanda Putera bukan sekadar sebuah filem sejarah atau sebagai bentuk hiburan semata-mata.

Ujarnya, filem berkenaan sebenarnya boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat sebarang kajian tentang tokoh di negara ini.

"Tidak dapat disangkal bahawa industri perfileman tempatan agak kurang menerbitkan filem berbentuk sejarah dan patriotik, sedangkan ia agak penting untuk dihayati oleh masyarakat.

"Selepas ini saya meletakkan harapan yang sangat tinggi supaya lebih banyak lagi filem-filem sebegini dapat dihasilkan dan diterbitkan oleh pada masa akan datang," ujarnya.

Selain itu, Zizan menyatakan, dia sentiasa membuat susulan kepada pihak penerbit tentang tarikh tayangan sebenar dan mengakui agak ralat sekiranya tidak jadi ditayangkan.

"Sebelum ini filem pertama saya iaitu Cinta Terakhir tidak jadi ditayang- kan kerana masalah di pihak penerbit. Jadi, saya takut kejadian sama akan berulang untuk filem Tanda Putera pula.

"Sehinggakan saya pernah terfikir mungkin agak kurang bernasib baik dalam filem. Akhirnya apabila menteri mengumumkan tentang tarikh tayangan filem ini pada 3 Jun lalu, saya berasa cukup lega," jelasnya.

Dapat pujian

Tidak dinafikan bahawa golongan wanita merupakan tunjang utama terhadap kejayaan seseorang lelaki. Itulah peranan utama yang dimainkan oleh isteri kepada Tun Abdul Razak iaitu Tun Rahah serta Toh Puan Norasyikin atau Neno yang merupakan isteri Tun Dr. Ismail.

Pelakon Faezah Elai yang membawakan watak Tun Rahah dalam filem Tanda Putera berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat memegang watak seorang isteri kepada tokoh ternama.

"Tanggungjawab yang diberikan sangat besar dan saya cukup risau kalau melakukan sebarang kesilapan. Namun begitu, Shuhaimi banyak membantu saya dalam mengenali karakter Tun Rahah secara lebih dekat.

"Sepanjang mendalami watak tersebut saya begitu mengagumi karakter Tun Rahah, terutamanya gambaran yang diberikan terhadap perasaan yang dilalui semasa kehilangan suami tercinta. Ternyata beliau seorang wanita yang sangat kuat, tabah dan cekal," jelasnya.

Ketika ditanya tentang pengalaman manis sepanjang memegang watak tersebut, perkara yang paling tidak dapat dilupainya apabila dia mendapat pujian daripada isteri Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.

"Semasa tayangan filem ini dibuat khas untuk tontonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah telah memberikan pujian dan memberitahu, karakter yang saya bawakan memang tidak lari jauh seperti Tun Rahah," jelasnya.

FAEZAH terharu apabila ditawarkan watak sebagai Tun Rahah.


Sementara itu, Linda Hashim selaku Toh Puan Norasyikin pula memberitahu, dia tidak mempunyai banyak sumber untuk mendalami watak yang diberikan dan terpaksa bergantung kepada penceritaan yang disampaikan oleh Shuhaimi.

Bagaimanapun jelas Linda, berpeluang untuk membawa suatu watak yang penting merupakan suatu penghargaan buat dirinya sepanjang terbabit dalam dunia lakonan.

"Apabila mengenali lebih dekat tentang diri Neno yang sebenar, saya akui cukup kagum dengan beliau. Walaupun Neno tahu suaminya mempunyai sakit jantung tetapi dia tetap memberi sepenuh sokongan ketika Tun Dr. Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Mungkin penonton yang melihat filem ini akan menyangka Neno seperti tidak membenarkan suaminya memikul tangungjawab besar tetapi dia sebenarnya berharap supaya suaminya berterus terang kepada Tun Abdul Razak tentang penyakit yang dihidapinya itu," jelasnya.

Menurut Linda, semasa filem ini ditayangkan kali pertama pada tahun lalu, dia berkesempatan bertemu dengan Mohamed Tawfik iaitu anak Tun Dr. Ismail.

Ujarnya, Tawfik lebih banyak memberi komen tentang lakonannya berbanding karakter yang dibawakannya itu.

"Kalau boleh semua kontroversi yang pernah timbul dapat dilupakan oleh semua pihak. Tontonlah filem ini terlebih dahulu dan selepas itu masing-masing ada hak untuk membuat penilaian," tegasnya.

Syukur jika jadi hos AF 2013 - Zizan

Posted:

Syukur jika jadi hos AF 2013 - Zizan

Syukur jika jadi hos AF 2013 - Zizan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

FIGURA ini bakal muncul menerusi filem Tokan dan Nama Aku Beng pada tahun ini.


PENGACARA, pelakon, penyanyi dan juga pelawak, Zizan Razak bakal muncul dengan filem terbaharunya KL Zombi di samping pelakon jelita Siti Saleha, Izara Aishah dan Faezah Elai.

Pelakon berusia 29 tahun itu membawakan watak Nipis, seorang pemuda yang terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan diri dan rakan-rakannya yang sudah menjadi zombi akibat virus yang dibawa oleh seekor anjing. Filem KL Zombi akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 29 Ogos ini.

Ditemui pada majlis pratonton filem KL Zombi yang berlangsung di Cathay Cineplex Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini, Zizan turut berkongsi mengenai masalah kesihatannya.

Katanya, sepatutnya dia ditahan di hospital kerana mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk akibat keracunan makanan. Namun, Zizan menolak kerana mahu menghadirkan diri ke majlis pratonton filem tersebut.

Kepada Kosmo! Zizan melanjutkan perbualannya. Dia juga menjawab desas-desus mengenai dia sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).

Bagaimanakah anda boleh terkena

keracunan makanan?

Saya baru balik daripada menjalani penggambaran muzik video filem Suamiku Ustaz di Gunung Bromo di Surabaya, Indonesia. Ada dua muzik video yang saya buat membabitkan Adi Putra sebagai penyanyi dan saya sebagai rapper dalam dua lagu tersebut. Saya pergi sana empat hari. Balik sahaja Malaysia terus muntah-muntah dan cirit-birit. Bila pergi hospital, doktor mengesahkan saya kena keracunan makanan.

Apakah yang anda makan di sana

sehingga boleh keracunan makanan?

Saya banyak makan bakso di Surabaya. Mungkin itu adalah puncanya.

Bagaimanakah tahap kesihatan anda sekarang?

Masih rasa penat dan lemah. Badan saya juga kurang air. Sebab banyak kali muntah dan cirit-birit. Patutnya kena tahan wad tetapi saya tidak mahu.

ZIZAN mengakui janggal melakonkan babak romantik dalam filem KL Zombi.


Adakah ini pengalaman

teruk yang pernah anda alami akibat keracunan makanan?

Saya memang ada penyakit gastrik, malah suara juga serak. Tiba- tiba kena keracunan makanan pula. Bertambah-tambah lagi sakit. Memang sedikit hampa dengan tahap kesihatan yang saya alami sekarang. Namun, saya anggap ia adalah ujian daripada Allah.

Adakah perasaan hampa yang

anda alami itu akibat daripada tahap kesihatan itu ada kena-mengena

dengan tawaran sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013? Khabarnya anda bakal menjadi pengacara Akademi

Fantasia 2013? Benarkah?

(Senyum). Saya tidak cukup hebat untuk jadi pengacara Akademi Fantasia 2013. Program itu (Akademi Fantasia) sangat besar dan pengacara-pengacara sebelum ini juga mempunyai bakat dan pengalaman yang besar dalam bidang pengacaraan. Saya sangat bersyukur jika menjadi salah seorang daripada pengacara tersebut.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem KL Zombi?

Filem KL Zombi ini bukan sekadar seram dan komedi tetapi turut diselitkan dengan babak romantik. Watak saya iaitu Nipis yang menaruh hati dengan Siti Saleha, ada diselitkan dengan beberapa babak romantik. Buat pertama kalinya saya berlakon watak romantik. Ada sedikit janggal kerana saya tidak biasa melakonkan babak romantik sebelum ini.

Selain KL Zombi, apakah projek yang akan anda lakukan selepas ini?

Saya akan muncul dalam filem Tokan dan KL Gangster 2 pada tahun ini. Saya juga akan muncul dalam telefilem Nama Aku Beng di samping pelakon Izara Aishah.

Nabil tidak letak harga

Posted:

Nabil tidak letak harga

Nabil tidak letak harga

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

NABIL bakal bergandingan dengan Aaron Aziz menerusi filem Romeo Kota.


NABIL AHMAD kini bukan sahaja bergelar pelakon, pengacara mahupun pelawak tetapi dalam diam dia juga semakin berjaya dengan syarikat miliknya iaitu Nabil Ahmad Enterprise.

Menurut Nabil yang kini menginjak usia 30 tahun, syarikat yang ditubuhkannya tahun lalu itu menguruskan artis yang diperlukan oleh syarikat-syarikat termasuk universiti-universiti.

"Syarikat saya lebih kepada menguruskan artis. Mana-mana syarikat yang memerlukan artis untuk majlis mereka, saya akan dapatkan. Setakat ini, antara artis yang pernah saya uruskan adalah Black, pelawak Jihan, Datuk M. Daud Kilau, Ajak Shiro dan Mas Idayu," ungkapnya ketika ditemui dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kebiasaannya jika sesebuah syarikat menawarkan khidmatnya untuk menjadi pengacara atau pelawak, Nabil turut membawa beberapa rakan artis lain. Sejak itu, dia terpanggil untuk membuka syarikat tersebut yang ternyata mendapat sambutan.

Dijolok persoalan tentang bayaran yang dikenakan kepada setiap penganjur yang menggunakan khidmatnya, Artis Paling Popular 2008 itu berkata, sebagai pengacara dan pelawak sejak dulu lagi dia tidak pernah meletakkan harga yang tinggi.

Baginya, lebih baik dia meletakkan harga yang berpatutan asalkan dia sentiasa memperoleh tawaran sebagai pengacara atau pelawak.

"Harga saya dulu dan kini sama sahaja. Saya tidak mahu orang terpaksa membayar RM30,000 untuk mendapatkan khidmat saya contohnya tetapi apa yang mereka mahukan daripada saya tidak saya penuhi.

"Bagi saya, biar tidak tinggi bayaran yang saya terima tetapi ada tawaran kerja. Paling penting, kita juga kena baik dengan orang. Dari situ, orang senang bekerja dengan kita dan akan bekerjasama dengan kita lagi," jelasnya tentang prinsip dan cara dia bekerja.

MENGAKUI dia kini bukan lagi anggota Boboi, Nabil sebenarnya lebih bergerak solo.


Aaron Aziz

Mengulas mengenai kerjaya seninya pula, ulas Nabil, dia bakal muncul dalam program realiti TV bercorak permainan iaitu Super Spontan untuk musim kedua yang bakal disiarkan pada 30 Ogos ini di saluran Astro Warna (saluran 132).

Rezeki Nabil dalam bidang lakonan juga mencurah-curah apabila dia bakal muncul dalam dua buah telefilem dan sebuah filem.

"Saya baru habis menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Kain, Jarum dan Gunting bersama Mamat Sepah dan Harun Salim Bachik. Saya juga bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem Romeo Kota," ulasnya yang menolak untuk berlakon drama kerana tidak mempunyai masa untuk melakukannya.

Nabil juga memberitahu yang dia bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 secara solo dan tidak lagi bersama Boboi dalam sebarang acara.

Bukan disebabkan disingkirkan daripada kumpulan itu tetapi dedah Nabil, dia lebih selesa bergerak solo, malah dia juga mahu membuktikan dia mampu melakukan lawak secara solo.

"Saya sebenarnya mahu uji diri untuk terus melawak secara solo. Memang agak tertekan apabila kita kena melakukan aksi lawak secara solo tetapi saya anggap itu sebagai cabaran," jelasnya.

Anak kedua

Mengulas mengenai kehidupan keluarganya pula, kongsi Nabil, anaknya Naira Mikayla kini sudah menginjak usia lapan bulan.

Kata Nabil, Naira sudah pandai meminta adik apabila memberi reaksi memasukkan ibu jari kaki ke dalam mulut, yang selalunya dikatakan oleh orang tua-tua sebagai 'petanda' anak sulung mahu adik.

"Saya dapat tahu daripada orang-orang tua jika bayi masukkan ibu jari kaki tandanya dia akan dapat adik (ketawa). Kalau betul memang saya suka tetapi isteri saya, Nazirah Ayub atau Zira mahu merancang dua tahun lagi untuk mendapatkan anak kedua.

"Dia kasihan kalau dapat anak kedua nanti, Naira tidak dapat sepenuh lagi kasih sayang," ujar Nabil yang memberitahu, Naira sangat manja dengan Zira.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved