Rabu, 21 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ceria dan comel dengan kain felt

Posted:

Ceria dan comel dengan kain felt

Ceria dan comel dengan kain felt

KAIN FLANEL atau lebih dikenali dengan kain felt mampu memukau pencinta kraf tangan dengan gubahan yang menarik dan unik. Pelbagai hiasan dan rekaan menarik dapat dihasilkan oleh penggubahnya.

Antara kraf tangan yang sinonim dengan kain felt termasuklah cekak rambut, kasut bayi, alas minuman, bantal bercorak, penutup bekas makanan, tempat simpanan kad dan sarung telefon bimbit.

KAIN FLANEL atau lebih dikenali dengan kain felt mampu memukau pencinta kraf tangan dengan gubahan yang menarik dan unik. Pelbagai hiasan dan rekaan menarik dapat dihasilkan oleh penggubahnya.

Antara kraf tangan yang sinonim dengan kain felt termasuklah cekak rambut, kasut bayi, alas minuman, bantal bercorak, penutup bekas makanan, tempat simpanan kad dan sarung telefon bimbit.

Siapa sangka dengan menggunakan sekeping kain sahaja, sebiji bantal lama boleh kelihatan seperti bantal baharu dengan tampalan corak yang sangat comel.

Menariknya, kain felt juga datang dalam pelbagai warna terang yang menambahkan lagi nilainya dalam menarik perhatian ramai.

Bagi kaum Adam yang mungkin jenuh memerah otak memikirkan fabrik itu, cuba bayangkan pelapik meja snuker, pasti anda pernah melihatnya.

Kain felt sebenarnya agak kuat kerana diperbuat daripada bulu biri-biri yang dimampatkan.

Proses pembuatan kain felt juga dibezakan dengan peringkat wet felting iaitu proses pemanasan dan penguapan dengan campuran bahan tertentu.

Terdapat dua jenis bahan campuran dalam kain tersebut iaitu akrilik dan polyster.

Kain felt daripada akrilik biasanya lebih lembut. Ia amat sesuai untuk membuat bantal atau rantai kunci kerana mudah dibentuk.

Kain felt jenis polyster pula lebih keras tetapi mempunyai variasi ketebalan. Lebih tebal felt polyster itu lebih mahal harganya kerana ia lebih berkualiti.

Kain felt jenis itu sesuai dibuat huruf atau sarung telefon bimbit.


SI cilik bergaya dengan hasil tampalan kreatif kain felt.


Kain felt yang kebanyakannya diimport dari Korea dan Taiwan itu juga tampil dengan kain berwarna polos atau dengan sedikit corak.

Inspirasi

Apa yang pasti, kain felt kini sudah semakin popular dalam pasaran barangan kraf di Malaysia. Terdapat beberapa pusat beli-belah yang menjual barang perhiasan yang diperbuat daripada kain itu berikutan permintaan daripada pembeli.

Seorang peminat kraf tangan itu, Yasmin Zaid, 40, berkata, dia tertarik dengan rupa bentuk patung yang comel dan berwarna-warni diperbuat daripada kain felt.

"Warna-warni patung ini seperti memberi semangat dan menceriakan hari saya. Anak perempuan saya berumur 11 tahun juga meminati kraf tangan comel seperti ini," katanya.

Fatahiya Mohd. Tap, 26, pelajar Universiti Teknologi Malaysia berkata, dia gemar mengumpul buku nota yang mempunyai tampalan corak kain felt di hadapan kulit buku.

"Saya suka kulit buku yang dihiasi dengan kombinasi kain felt, butang-butang berwarna-warni dan bahan-bahan lain.

"Corak comel dan berwarna-warni ini tidak akan jemu untuk dipandang dan dapat menaikkan semangat saya untuk membuka buku nota," katanya.

Menurut penjual gerai kraf tangan berkenaan, Zuziyanti Suparman, 25, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada masyarakat berketurunan Melayu dan Cina.

"Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita gemar membeli dan mengumpul koleksi patung comel. Kebiasaannya, perniagaan saya akan mula sibuk pada awal bulan Ogos sehingga hujung bulan Disember iaitu sepanjang bulan-bulan perayaan masyarakat majoriti di negara ini," katanya.

Pendapatan sampingan

Populariti kraf tangan kain felt menyebabkan ia juga satu sumber rezeki bagi usahawan laman blog. Seorang blogger yang juga pembekal kain felt, Noorwati Abd Rahim, 32, berkata, dia mula menjinakkan diri dengan perniagaan kain felt sejak akhir 2008 lagi.

"Saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan menerusi laman blog saya, Watie Crafty. Saya memulakan perniagaan dengan menjadi pembekal kraf tangan kain felt seperti kasut bayi, cekak, pin rambut dan banyak lagi.


KIOS-KIOS menjual produk kain felt kini banyak terdapat di pusat-pusat beli-belah sekitar ibu kota.


"Lama-kelamaan, saya hanya menjadi pembekal kainnya sahaja kerana permintaan yang terlalu banyak dan kekangan masa yang saya hadapi. Kini tutorial kraf tangan kain felt juga terdapat dalam blog-blog yang menjual hasil kraftangan ini," kongsi Noorwati.

Tambah ibu kepada dua orang anak itu, pelanggan yang membuat pesanan menerusi e-mel dan laman blog kebanyakannya berasal dari Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Kata Noorwati lagi, bekalan diperolehnya di sekitar Kuala Lumpur seperti Masjid Jamek dan Maju Junction.

"Biasanya, saya membeli bekalan kain felt ini secara pukal dengan modal sebanyak RM1,000 untuk sekali pembelian. Ini kerana, biasanya pelanggan akan meminta sekurang-kurangnya 100 keping kain felt dalam setiap satu pesanan yang dilakukan," katanya.

Jelas bekas akauntan itu lagi, dia turut menjual kain felt yang mempunyai tutorial di bungkusan kain tersebut.

"Saya menjual kain felt 'DIY' atau Do It Yourself dengan kadar harga RM5 sehingga RM25 satu bungkusan. Ia bergantung kepada jenis kain felt yang diminta oleh pelanggan itu," katanya.

Bukan setakat menjadi pembekal kain felt, Noorwati turut mengadakan kelas kraf tangan felt di kampungnya di Kelantan.

"Saya juga menganjur kelas kraf tangan untuk suri rumah dan pencinta kraf yang berminat dalam menghasilkan kraf tangan felt ini.

"Pelajar saya terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah sehinggalah yang sudah boleh bergelar nenek," katanya.

Menurut Noorwati, penghasilan kraf tangan kain felt yang amat mudah untuk diajar dan dipelajari mendorongnya untuk mengadakan kelas tersebut.

"Penghasilan kraf tangan kain ini hanya memerlukan kaedah gunting, tampal dan jahit. Ia tidaklah serumit yang disangkakan," katanya.

Jual emas untuk teruskan hidup

Posted:

Jual emas untuk teruskan hidup

Jual emas untuk teruskan hidup


SEORANG lelaki tempatan berjalan melewati sebuah kedai emas di Damsyik.


DI SEBUAH kedai barang kemas Damsyik, seorang pelanggan ternganga mulut apabila mendengar harga yang ditawar untuk sebentuk cincin emas miliknya hanya bernilai AS$100 (RM306).

"Tidak boleh dapatkan harga yang lebih baik?" dia bertanya dengan malu-malu sebelum menerima perjanjian itu.

Hampir 20 bulan konflik berterusan, ramai penduduk Syria kini terpaksa berhempas-pulas mencari sumber kewangan. Ramai yang terpaksa menjual barang-kemas yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Bagi mereka yang hilang mata pencarian akibat daripada penutupan atau pemusnahan tempat kerja, menjual emas ialah keputusan yang terpaksa dibuat dan satu-satunya pilihan yang ada demi mengisi perut ahli keluarga yang lain.

Bagi golongan kaya, logam berharga itu merupakan benteng pertahanan terhadap kejatuhan pound Syria.

Dibuang kerja

Menurut anggota Dewan Perdagangan Damsyik, Sonia Khanji, 30 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana di negara itu kini ditutup dan kira-kira satu perempat daripada tenaga kerja telah dibuang kerja.

Transaksi penjualan emas terus berlaku di Hariqa yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Seorang wanita muda sedang tawar menawar untuk harga sebentuk cincin besar yang diwarisi daripada neneknya.

"Saya akan beli cincin itu dengan harga 55,000 pound Syria (RM2,387) setelah anda membuat keputusan muktamad untuk menjualnya," kata seorang bakal pembeli.

Wanita itu terus berlalu pergi kerana yakin tawaran yang diberikan itu terlalu rendah.

"Dia akan kembali. Dia kelihatan seperti memerlukan wang tunai," kata lelaki itu yakin.

Masyarakat Syria mula sedar inflasi yang berlaku mengurangkan kuasa beli mereka sebanyak satu pertiga sejak pemberontakan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad tercetus pada Mac 2011.


GOLONGAN atasan dan pertengahan Syria yakin bahawa pelaburan emas menjamin masa depan mereka.


Masa yang diperlukan untuk menstabilkan mata wang dan harga barangan dalam negara itu terlalu lama.

Damsyik menyalahkan masalah ekonomi negara berlaku gara-gara sekatan yang dikenakan oleh Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut seorang tukang emas, Bassil Mdari, disebabkan peristiwa berdarah yang terjadi, mata wang Syria hilang separuh nilainya berbanding dolar Amerika.

"Permintaan untuk barang-kemas telah menurun dengan ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu sejak kenaikan harga emas di pasaran dunia sekali gus melemahkan pound Syria," katanya.

Hari ini, mereka yang masih mempunyai pendapatan tetap meletakkan kepercayaan dalam pelaburan emas.

Tambah Mdari, mereka hanya berdiam diri sepanjang tempoh pergolakan yang panjang.

"Mereka lebih suka membeli barang perhiasan emas sebagai suatu pelaburan dan bukannya perhiasan diri," katanya.

Seorang lagi tukang emas, Michel berkata, rakyat telah hilang kepercayaan dalam mata wang nasional.

"Apabila sekatan ekonomi baharu diumumkan, saya dapati ramai orang kaya membeli emas. Mereka percaya bahawa logam kuning ini menjamin keselamatan pada masa hadapan," katanya.

Jaminan masa depan

Ahli profesional industri Damsyik bersetuju bahawa emas menyediakan satu bentuk tabungan yang terjamin dalam tempoh ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Seorang tukang emas di pusat bandar Damsyik, Hisham berkata, mereka akan menyimpan wang dalam bentuk emas yang dibeli.

"Mereka akan memilih untuk membeli emas sebagai kaedah menyimpan wang simpanan. Mereka takut akan nilai dolar Amerika yang semakin meningkat dan kejatuhan pound Syria.


PERNIAGAAN konvensional menggunakan pound Syria tetap diteruskan walau dalam situasi yang tidak menentu.


"Emas juga lebih mudah untuk dibawa jika kita perlu meninggalkan tempat itu dengan kadar segera," katanya.

Beliau mengakui bahawa kebanyakan pelabur emas terdiri daripada orang kelas atasan dan pertengahan, seperti di kebanyakan negara di dunia.

Kerajaan harian Al-Thawra memberitahu, kenaikan harga emas tidak menunjukkan tanda-tanda surut. Pada minggu lalu sahaja, nilai pasaran emas naik sebanyak 265 pound Syria (RM11.50).

Memetik kata, Persatuan Ketua Tempatan Barang Kemas, Georges Sarji berkata, emas berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap baharu.

Beliau menyalahkan kenaikan harga yang disebabkan oleh peningkatan pasaran antarabangsa. Namun begitu, beliau tetap menegaskan bahawa pasaran jualan bertambah baik walaupun pada hakikatnya penduduk Syria masih lagi terpaksa menjual barangan emas mereka.

Menurut Sarji, lebih daripada 100 paun (lebih 45 kilogram) emas kini dijual setiap hari di Damsyik.

Harga satu aun emas pada penghujung minggu berada pada harga AS$1,739.04 (RM5,328) di pasaran antarabangsa.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Disedut corong gergasi

Posted:

Disedut corong gergasi

Disedut corong gergasi

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

ANNUR ASYRAF CHE SAAD mengesat peluh jantan yang mula membasahi dahinya. Jantungnya berdegup kencang. Daripada riak wajahnya jelas membayangkan lelaki berusia 23 tahun itu sedikit gementar.

"Harap bersedia. Selepas ini giliran awak," gegendang telinganya tiba-tiba menangkap suara garau seorang lelaki di hadapannya.

Annur Asyraf menghela nafas panjang. Masa yang ditunggu-tunggunya telah pun tiba.

Sebolehnya, dia tidak mahu ketinggalan mencuba Tornado Ride, permainan tunggangan yang menjadi tarikan utama pengunjung di Waterworld@i-City, taman tema air yang terletak di Shah Alam, Selangor itu.

Lagi pun, itulah rancangan dia bersama beberapa rakannya ke situ sebelum ini. Jika tidak, buat apa mereka perlu membuang masa beratur panjang di bawah panas terik matahari bagi mendapatkan giliran masing-masing.

Lengkap berpakaian sut mandi, Annur Asyraf mengambil tempatnya di atas tiub berwarna kuning yang mampu memuatkan empat orang pengunjung pada satu-satu masa itu.

Sekelip mata, tubuhnya dirasakan meluncur laju mengikut pergerakan tiub dihambat pancuran arus deras yang mengalir selaju 48 kilometer sejam.

Bermula dari sebuah terowong sempit dan curam sepanjang 49 meter, tubuhnya seakan 'disedut' ke bahagian corong gergasi berbentuk seperti pusaran puting beliung setinggi tujuh tingkat bangunan.

Selepas empat hingga lima kali berpusing-pusing di dalam corong yang semakin mengecil pada kedudukan 45 darjah, barulah pengembaraan selama 28 saat yang penuh mendebarkan itu berakhir.

"Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Debaran yang dilalui sama seperti menaiki sebuah roller coaster.

"Bagaimanapun saya rasa puas, ia memang nampak menggerunkan, namun ia berbaloi untuk dicuba," kata pelajar tahun akhir jurusan pengurusan pelancongan dari Universiti Teknologi Mara itu sebaik sahaja menamatkan aksi dengan Tornado Ride.

Tarikan baharu i-City

Mula beroperasi pada 15 November lalu, Waterworld@i-City terletak di kawasan seluas 29 hektar di Seksyen 7, Shah Alam.


CHILDREN Adventures memberi ruang kepada si cilik bermain dan bermandi-manda.


Pengarah I-Berhad, Monica Ong berkata, pembinaannya adalah selaras dengan visi i-City untuk menjadi hab berasaskan teknologi di bandar raya itu, yang menawarkan aspek komersial dan hiburan.

"Waterworld@i-City merupakan komponen hiburan keempat di i-City selepas City of Digital Lights, Snowalk dan Fun World," katanya.

Menurut Monica, sebagai sebuah taman tema air yang berorientasikan keluarga, pihaknya menyediakan pelbagai tarikan dan permainan kepada semua peringkat usia.

Antaranya, Wave Pool, River Adventure, Children Adventure, Rainbow Racer Sliders, Giant Jacuzzi dan Spiral Slides.

Namun katanya, tarikan utama di situ ialah Tornado Ride, yang dibangunkan melalui teknologi kejuruteraan terkini dari Kanada.

Katanya, mengaplikasikan konsep kinetik dan graviti, ia menawarkan pengalaman tunggangan yang melonjakkan adrenalin pengunjung.

"Ia merupakan permainan pertama seumpamanya yang wujud di taman tema air bukan sahaja di negara ini, bahkan rantau Asia Tenggara.

"Dalam masa selama 28 saat, pengunjung akan merasai debaran dan keseronokan yang tidak dapat digambarkan," katanya memberitahu Tornado Ride boleh menerima purata 480 tunggangan dalam tempoh satu jam.

Tambah Monica, pengunjung ke taman tema air itu tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan.

"Kami mempunyai kakitangan terlatih dan sentiasa bersedia bagi memantau dan memastikan keselamatan pengunjung.

"Pada masa yang sama, segala peralatan dan permainan juga telah diuji dan disahkan selamat bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," jelasnya.

Pusat rekreasi sekeluarga

Mampu memuatkan lebih 5,000 pengunjung pada satu-satu masa, Waterworld@i-City dilengkapi pelbagai kemudahan seperti lokar, tandas, bilik persalinan, kedai serbaneka serta kerusi panjang dan kerusi rehat untuk keselesaan pengunjung.

Di samping itu, terdapat sebuah kios yang menyediakan aneka hidangan antarabangsa dan tempatan dengan kadar berpatutan.

Selain menjadi lokasi riadah, pihak pengurusan juga menyediakan pakej penganjuran acara dan majlis berskala kecil dan besar.

"Terdapat sebuah pentas terbuka lengkap sebuah skrin gergasi light-emitting diode (LED) disediakan berhampiran Wave Pool yang boleh digunakan bagi tujuan itu.

"Kami turut merancang untuk membuka sebuah gerai cenderamata serta menambah lebih banyak kios makanan serta beberapa tarikan lain pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung Mohd. Rafee Abdul Majid, 40, berkata, kehadiran Waterworld@i-City secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Selangor.


TORNADO Ride menawarkan konsep permainan kinetik dan graviti melalui corong gergasi.


"Segala-galanya ada di negeri ini, daripada pantainya yang indah, syurga gastronomi, hutan simpan, taman tema air, pusat beli-belah dan sebagainya.

"Ia pasti menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikannya sebagai destinasi percutian terulung di Malaysia," katanya yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Tambah Mohd. Rafee, dia berpuas hati dengan keseluruhan konsep taman tema air itu yang mempunyai pelbagai kemudahan gaya urban terbaik untuk keselesaan pengunjung.

Bagi M. Manimegalai, 40, dia tidak melepaskan peluang membawa keluarganya berkunjung ke taman tema air itu sempena musim cuti persekolahan kali ini.

Menetap di Cheras, Kuala Lumpur, suri rumah itu berkata, i-City menawarkan pakej percutian lengkap hanya di satu lokasi sahaja.

"Di sebelah siang, pengunjung boleh bermandi-manda sepuas-puasnya di Waterworld@i-City atau sekadar meneroka keunikan Snowalk dan Fun World.

"Seterusnya, ia diakhiri dengan kunjungan ke City of Digital Lights yang pastinya cukup mengasyikkan," katanya.

Berdamping dengan rimba Chiang Rai

Posted:

Berdamping dengan rimba Chiang Rai

Berdamping dengan rimba Chiang Rai


TEKNIK memasak nasi di dalam buluh antara pengalaman menarik yang boleh dipelajari daripada kaum Akha.


SUNGAI Kok yang berwarna coklat mengalir tenang dari Myanmar melalui kawasan pergunungan di utara Thailand ke bandar Chiang Rai. Sejak sekian lama ia menjadi nadi kepada ribuan penduduk yang menetap di sekelilingnya termasuk beberapa puak pribumi seperti Lahu, Lisu, Karen, Hmong, Yao dan Akha.

Puak-puak minoriti di Thailand itu menetap di kawasan pergunungan yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki atau kenderaan pacuan empat roda.

Mereka dikenali dek keunikan kostum tradisional di samping mudah mesra dengan pelancong ketika bergambar atau menjual pelbagai produk kraf tangan.

Keunikan budaya dan tradisi masyarakat pribumi di kawasan pergunungan itu sememangnya menjadi tarikan kepada pelancong asing sejak berdekad-dekad lalu.

Resort di pergunungan

Malah, keadaan itu juga telah menyebabkan wujudnya eksploitasi dalam kalangan operator-operator pelancongan termasuk masalah penyalahgunaan dadah dan pelacuran. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, resort-resort mewah juga mulai dibina di kawasan itu.

Biarpun begitu, kawasan sekitarnya masih kekal asli dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.

Salah sebuah daripadanya ialah Akha Hill House, iaitu resort yang dikendalikan oleh puak Akha. Ia terletak kira-kira 22 kilometer di bahagian barat dan 1,500 kaki (140 meter) di atas Chiang Rai. Ia diuruskan sepenuhnya oleh ketua kampung puak itu, Apae Amor.

Menurut Apae, selain menjanjikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, keuntungan resort itu juga disalurkan kepada penduduk khususnya bagi tujuan pendidikan.

Harganya tampak berbaloi. Bilik paling asas di resort itu ialah sekitar AS$10 semalam (RM30.7). Apa yang lebih penting, ia turut menawarkan pengangkutan percuma dari Chiang Rai menggunakan trak pikap.

Di samping jalan darat, pengunjung juga boleh menggunakan jalan air seperti yang saya lakukan. Saya menaiki sebuah bot panjang dari jeti di pinggir bandar Chiang Rai merentasi sungai Mae Kok selama beberapa jam.

Harganya sekitar AS$3.25 (RM10). Bagi yang mahu menyewa sebuah bot harganya mungkin lebih mahal namun, berbaloi kerana anda boleh berhenti di mana-mana sahaja.

Bot kemudiannya berhenti di kawasan padang hijau subur yang menempatkan ibu pejabat Taman Negara Lamnamkok. Destinasi saya seterusnya ialah sejauh lima kilometer dengan berjalan kaki melalui laluan berbukit.

Selepas lebih setengah jam berjalan, akhirnya saya menemui papan tanda yang menunjukkan arah ke Akha Hill House.


KAUM wanita Karen menganggap mempunyai leher yang panjang sebagai simbol kecantikan.


Seterusnya saya perlu berjalan melalui laluan sempit menuju ke kawasan padang yang menawarkan panorama menghadap Myanmar. Akhirnya, selepas mendaki dua puncak hutan dan turun merentasi ladang kopi dan dusun buah-buah, saya tiba di Akha Hill House.

Resort itu terletak di penghujung kampung, mengadap ke pergunungan Doi Hong. Sebahagian besar rumah penduduk masih bercirikan tradisional dan dibuat daripada buluh.

Terdapat pasangan pesara dari Amerika Syarikat yang menginap di situ. Apa yang mengagumkan, mereka juga secara sukarela mengajar subjek bahasa Inggeris kepada kanak-kanak di sekolah.

Kemudahan yang disediakan di resort itu bersifat kedesaan. Bilik saya yang berlantaikan kayu dan berdindingkan buluh tampak selesa dengan sebuah kipas meja, alat pemanas air dan kelambu di atas katil.

Peghuni Chiang Rai

Kedudukannya yang terletak di cerun curam dengan balkoni luas menawarkan pemandangan mendamaikan. Di samping bilik penginapan, resort itu juga mempunyai kafe yang menyediakan hidangan tempatan yang lazat.

Terdapat dua buah perkampungan di situ yang dihuni lebih 100 penduduk di yang terdiri daripada puak Akha dan kaum Cina. Mereka menetap di kawasan tebing sungai, lereng bukit sehingga ke ladang teh.

Sebahagian besar kaum Cina di situ merupakan golongan nasionalis yang berasal dari wilayah Yunnan, China yang melarikan diri ke negara-negara jiran sebaik sahaja komunis berkuasa.


AKTIVITI berakit di sungai antara pengalaman menarik yang boleh dicuba.


Hari ini, pelancongan menjadi sumber pendapatan utama penduduk. Apae Amor dan beberapa penduduk lain terlibat sebagai pemandu pelancong. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah aktiviti penjelajahan hutan, menunggang gajah, menaiki rakit, lawatan ke muzium, kuil dan lokasi-lokasi menarik di sekitar wilayah Chiang Rai.

Bagaimanapun, saya lebih selesa menghirup udara segar dan bersatu dengan alam semula jadi.

Antara tarikan yang terdapat di perkampungan itu ialah Air Terjun Huai Kaeo yang memakan masa 15 minit perjalanan dengan berjalan kaki.

Selepas puas bermain air dan berendam dalam air terjun yang dingin, pengunjung boleh mendaki sejauh 30 minit lagi bagi menyaksikan panorama desa yang menghijau di atas puncaknya.

Seperti sebahagian besar puak-puak lain di pergunungan itu, puak Akha berasal dari selatan China dan berhijrah ke Myanmar. Berbanding puak-puak lain yang berhijrah ke Thailand sejak ratusan tahun lalu, puak Akha mula berhijrah kira-kira 50 tahun lalu.

Puak Akha terkenal dengan keunikan dan keindahan pakaian tradisionalnya. Ia diserlahkan dengan kain bersulam berwarna-warni yang dihiasi perhiasan seperti manik, bulu, duit syiling dan sebagainya.

Walaupun jauh di pedalaman, Akha Hill House bukanlah lokasi percutian yang begitu terpisah jauh daripada dunia luar.

Ia merupakan lokasi menarik bagi pengunjung yang mahu bersantai dan menghabiskan percutian sambil dikelilingi alam semula jadi sambil mempelajari mengenai budaya masyarakat yang semakin terpinggir. - AP

Resort di kaki gunung

Posted:

Resort di kaki gunung

Resort di kaki gunung


MERASAI kesegaran air terjun menjadi pelengkap dalam jadual kunjungan.


KEMERDUAN kicauan burung seakan-akan satu upacara ringkas menyambut ketibaan tetamu di D'Pinggiran Gunung Tebu Resort, Lata Belatan, Besut, Terengganu.

Terletak di Hutan Simpan Gunung Tebu, suasana resort itu sungguh mendamaikan. Kepenatan menempuh perjalanan yang panjang bagaikan hilang serta-merta sebaik sahaja menjejakkan kaki ke resort tersebut.

Dikelilingi persekitaran pokok yang besar dan rendang, pengunjung masih dapat melihat kesungguhan pemiliknya menjalankan kerja-kerja landskap yang menarik.

Ia terbukti dengan kewujudan taman-taman mini dengan pokok-pokok hutan dirias dengan menarik. Tidak cukup dengan itu, ruang sekitar kolam mini bersama jambatan boleh dijadikan tempat untuk bersantai. Turut diletakkan adalah beberapa kerusi dan bangku batu untuk para tetamu melepaskan lelah.

Hati bagaikan tidak sabar untuk mendaftar masuk ke bilik yang berharga antara RM60 hingga RM70 semalam. Tilam empuk sedia menyambut keinginan tetamu yang mahu melabuhkan badan.

Di dalam bilik penginapan, tetamu dapat merasakan suasana yang sunyi, tidak seperti di bandar-bandar besar yang bingit dengan pelbagai bunyi jentera dan kenderaan.


AKTIVITI treking merentas hutan sememangnya menjadi agenda popular dalam kalangan pengunjung.


Dormitori

Walaupun, suasana di sekitar resort terasa dingin, pemiliknya tetap menyediakan kemudahan pendingin hawa atau kipas di 14 buah caletnya. Bagi yang datang dalam kumpulan besar. terdapat domitori yang mampu memuatkan 130 orang serentak.

Bagi individu atau kumpulan yang mencari tapak perkhemahan, di kawasan resort tersebut juga sesuai untuk aktiviti itu. Tapak perkhemahan berkenaan mampu memuatkan sehingga 100 orang bagi sesebuah sesi perkhemahan.

Setelah berehat seketika di dalam bilik, hati meronta-ronta pula untuk keluar menikmati alam semula jadi. Tarikan sungai dan jeram di Lata Belatan tentu menjadi pilihan pertama. Jarak air terjun itu kira-kira 200 meter sahaja dari kawasan penginapan. Hanya dengan berjalan kaki, kesejukan air yang segar itu dapat dinikmati sepuas-puasnya.

Aliran air sungai tenang dan jernih memberikan satu panorama yang seolah-olah terapi menenangkan jiwa. Anak-anak pula boleh bermain gelongsor yang dibina di sepanjang aliran sungai di resort tersebut.

Menjamu selera

Untuk menjamu selera, pihak resort tidak menyediakan kantin atau kafe, namun ia bukanlah satu masalah kerana terdapat beberapa gerai berhampiran resort berkenaan yang menjual pelbagai menu tempatan seperti sate, nasi goreng dan mi goreng.


SUASANA menghijau di sekeliling calet yang berhias tumbuh-tumbuhan tropika.


Jika tiba musim buah-buahan, para tetamu berpeluang menikmati durian, duku atau dokong di kebun di kawasan resort yang diberikan secara percuma.

Bagi peminat aktiviti mendaki gunung, resort itu menjadi check point untuk menuju ke puncak Gunung Tebu. Di puncak gunung setinggi 7,088 meter itu, anda dapat melihat keajaiban suasana matahari terbenam, landskap pokok bonsai dan air terjun yang mempesonakan.

Bagi yang tidak biasa dengan kawasan gunung itu, perkhidmatan jurupandu turut disediakan.

Pada sebelah malam pula, masa yang terluang boleh diisi dengan melakukan aktiviti barbeku. Kemudahan tersebut ada disediakan pihak resort tanpa sebarang bayaran.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Abdul Aziz Jusoh di talian 012-957 8075 atau 09-697 6110.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Kem anak soleh anjuran GPMS sempena cuti sekolah

Posted:

Kem anak soleh anjuran GPMS sempena cuti sekolah

Kem anak soleh anjuran GPMS sempena cuti sekolah


SEBAHAGIAN dari pelajar yang mengikuti Kem Anak Soleh Generasi al-Quran dan Personaliti Rasulullah di Merbok baru-baru ini.


BERKAMPUNG. Sebanyak 90 pelajar sekolah rendah di Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang mengikuti Kem Anak Soleh Generasi al-Quran dan Personaliti Rasulullah selama tiga hari di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Semeling, Merbok, Kedah baru-baru ini.

Program anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Teknologi Mara cawangan Kedah itu bertujuan menyampaikan pelbagai tip menarik kepada pelajar tentang cara membaca al-Quran dan bersolat.

Yang Dipertua GPMS UiTM cawangan itu, Mohd. Fatdli Ismail berkata, peserta mendapat bimbingan daripada beberapa tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang tersebut.

Katanya, peserta dapat menambah ilmu setelah mengikuti ceramah dan berharap usaha itu dapat diteruskan.

Majlis graduasi, anugerah cemerlang SK Zainab 2

Posted:

Majlis graduasi, anugerah cemerlang SK Zainab 2

Majlis graduasi, anugerah cemerlang SK Zainab 2


SEBAHAGIAN murid bersama sijil graduasi masing-masing di SK Zainab 2, Kota Bharu baru-baru ini.


MERIAH. Sebanyak 109 murid tahun enam terlibat pada Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan 2012 Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Rata-rata murid anggun memakai jubah berwarna biru dan merah bersama sijil masing-masing sebagai tamat pendidikan sekolah rendah.

Selain menerima sijil, ibu bapa dan guru yang hadir turut disajikan dengan persembahan menarik daripada murid seperti tarian dan nyanyian.

Sulaiman beri semangat kepada pelumba basikal remaja

Posted:

Sulaiman beri semangat kepada pelumba basikal remaja

Sulaiman beri semangat kepada pelumba basikal remaja


SULAIMAN (berdiri depan) bersama basikalnya dan sekumpulan pelumba basikal remaja di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur baru- baru ini.


SEMANGAT. Bekas pelumba kebangsaan pada tahun 1970-an, Sulaiman Anang yang dalam perjalanan mengelilingi Malaysia secara solo dari Johor hingga ke Perlis diraikan oleh pelumba basikal muda di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sulaiman yang memegang rekod Asia 10,000 meter acara Trek Sukan Lumba Basikal Kebangsaan itu singgah di Kuala Lumpur bagi menyaksikan Kejohanan Lumba Basikal Remaja.

Sulaiman berkata, dia memulakan perjalanannya dari Johor pada 15 November lalu dan mengakui sukar untuk mengharunginya memandangkan usianya kini sudah mencecah 67 tahun.

Beliau menasihati pelumba-pelumba basikal remaja supaya mengutamakan disiplin dalam latihan serta sentiasa bersemangat dalam pertandingan yang disertai dan yakin Malaysia bakal melahirkan lebih ramai jaguh lumba basikal dunia pada masa depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Nyawa melayang waktu dinihari

Posted:

Nyawa melayang waktu dinihari

Nyawa melayang waktu dinihari

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

KEADAAN treler membawa makanan ringan yang meragut empat nyawa pekerja Propel dalam kemalangan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar semalam.


KAMPAR – Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi cedera parah dirempuh sebuah treler membawa muatan barangan makanan ringan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira tiga kilometer dari susur keluar ke Gopeng di sini semalam.

Dalam kemalangan ngeri pada pukul 4.30 pagi itu, tiga mangsa yang terkorban di tempat kejadian ialah Shaharudin Abdul Aziz, 51, dari Kuala Kangsar; Mohd. Shafie Ismail, 56, dari Ipoh dan Mohd. Hafez Yunos, 39, dari Keramat, Kuala Lumpur.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kampar.

Seorang lagi mangsa tragedi itu ialah Ismady Mohd. Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah. Ismady meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Empat mangsa yang cedera parah merupakan dua pekerja Propel iaitu Dino Azmi, 38, dan Shafudin Abdul Jalil, 31, manakala dua lagi mangsa membabitkan kakitangan Time.com, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48.

Kesemua mangsa yang cedera parah dirawat di HRPB.


Kiri ISMADY, HAFEZ, SHAHARUDIN, SHAFIE


Semasa kejadian kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja penggantian kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan kecemasan di kawasan tersebut yang rosak dipercayai angkara perbuatan mencuri kabel di situ.

Seorang mangsa yang cedera parah, Dino memberitahu, tragedi itu berlaku dengan pantas iaitu sejurus selepas dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum dia dan tujuh yang lain terus terpelanting ke tepi lebuh raya akibat dirempuh sebuah kenderaan.

Cerita Dino yang patah kaki kanan, mereka semasa itu baru memulakan kerja-kerja di kawasan tersebut dan langsung tidak nampak kehadiran treler berkenaan sehingga terdengar bunyi brek yang kuat.

Sekitar kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja penggantian kabel optik itu sudah di kelilingi kon keselamatan.

"Sedar-sedar, saya nampak tiga rakan terperosok di bawah tayar treler dan dalam keadaan merangkak saya menghubungi polis dan ambulans," katanya ketika ditemui.

Kesemua mangsa yang berada di bawah tayar meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang maut di hospital tercampak kira-kira lima meter.

Pemandu treler, Zulkifli Mohd. Noor, 41, dari Langkawi, Kedah dan kelindannya, Mohd. Rozi Mat Sharif, 44, turut cedera parah dan dirawat di HRPB.

Jenazah kesemua mangsa yang terbunuh dituntut keluarga masing-masing petang semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan

Posted:

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan

Jaga anak-anak pesanan suami sebelum kemalangan


MANGSA yang cedera, Mahyuddin Idris dibawa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semalam.


KAMPAR – Norazian Mohamed Abdul Rashid, 34, tidak menyangka permintaan suaminya, Mohd. Hafez Yunos supaya dia menjaga dua anak mereka dengan baik merupakan pesanan terakhirnya.

Cerita Norazian, arwah Hafez menghubunginya pada pukul 8.30 malam kelmarin dan bertanya mengenai dua anak mereka, Siti Aishah, 12, dan Siti Hadibah, 10, sebelum meminta dia menjaga mereka dengan baik.

Siti Aishah memperoleh keputusan 5A pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Isnin lalu.

"Antara pesanan arwah ialah minta saya mendidik anak-anak tidak tinggal sembahyang dan saya tidak akan sia-siakan mereka," kata wanita itu ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kampar.

Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya (Propel) termasuk Hafez terbunuh selepas dirempuh treler di Kilometer 294.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.

Sementara itu, anak sulung Mohd. Shafie Ismail, Shahrol, 29, berkata, kematian bapanya mengejutkan kerana mereka sekeluarga baru meluangkan masa bersama pada hujung minggu lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Posted:

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my


LAMAN Facebook Polis Kuala Lumpur yang menyiarkan gambar-gambar lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes-kes pecah rumah di ibu negara.


KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mencari 16 lelaki pelbagai keturunan bagi membantu siasatan kira-kira 200 kes pecah rumah yang berlaku di ibu negara dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain terlibat dalam kes-kes pecah rumah, ada dalam kalangan mereka yang dicari itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes-kes dadah.

"Jenayah pecah rumah boleh disifatkan menjadi kerja harian sebahagian daripada orang yang dicari itu malah ada antara mereka itu mempunyai 14 kes jenayah pecah rumah," kata beliau pada sidang akhbar di Balai Polis Jalan Travers di sini.

Menurut beliau, kesemua orang yang dicari itu bergerak secara bersendirian dan ada sebahagian daripada mereka tinggal di luar Kuala Lumpur tetapi menjadikan rumah-rumah di ibu negara sebagai sasaran jenayah.

Chin Wah memberitahu, wajah-wajah penjenayah ini turut dimuat naik ke laman rasmi Facebook Polis Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai mereka yang dicari.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chelsea pecat Di Matteo

Posted:

Chelsea pecat Di Matteo

Chelsea pecat Di Matteo

DI MATTEO dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea.


LONDON – Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo telah dipecat selepas skuad The Blues tewas 0-3 kepada Juventus pada aksi Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara di Stadium Juventus awal pagi semalam.

Pengendali kelahiran Itali itu dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea, sekali gus menerima nasib yang sama seperti pengurus-pengurus sebelum ini.

Chelsea dilaporkan terpaksa mengambil keputusan drastik tersebut bagi mengelak juara Eropah itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada kempen Liga Juara-Juara.

"Prestasi dan pencapaian semasa belum cukup bagus. Pemilik dan ahli lembaga kelab ini merasakan bahawa perubahan wajar dilakukan bagi memastikan hala tuju kami masih berada di landasan yang sepatutnya," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea semalam.

Selepas tewas 1-2 kepada West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana England hujung minggu lalu, pemilik Chelsea, Roman Abramovich ternyata sudah hilang sabar selepas mereka kalah kepada Juventus.

Kekalahan di peringkat kumpulan itu menyukarkan peluang Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara kerana selain memenangi perlawanan terakhir, mereka juga terpaksa mengharapkan ihsan daripada pasukan lain untuk layak ke pusingan kalah mati.

Sehingga ini, pengganti Di Matteo masih menjadi teka-teki namun Chelsea dalam kenyataannya berjanji akan membuat pengumuman secepat yang mungkin.

"Bagaimanapun, pemilik dan ahli lembaga pengarah kelab tetap mengucapkan terima kasih kepada Di Matteo di atas sumbangan yang diberikannya sejak mengambil alih jawatan pengurus pada Mac lalu.

"Jasa Di Matteo membantu kami menjulang trofi Liga Juara-Juara yang penuh bersejarah dan trofi Piala FA buat kali ketujuh tetap akan dikenang," katanya.

Begitupun, Di Matteo lebih berjaya selaku pengendali sementara musim lalu berbanding menjadi pengurus sebenar apabila menggantikan Andre Villas Boas musim ini.

Beliau merupakan pengurus Chelsea yang kelapan dipecat di bawah rejim Abramovich sejak pemilik dari Rusia itu membeli kelab tersebut pada 2003.

Chelsea bermula baik di awal musim di bawah bimbingan Di Matteo apabila menang tujuh perlawanan berturut-turut dan satu seri untuk menerajui Liga Perdana England.

Bagaimanapun, prestasi mereka tiba-tiba merudum apabila hanya mampu mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan terbaharu di semua peringkat termasuk liga domestik dan Eropah.

Ketika ini, Chelsea menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana England. – Reuters

Norshahrul tiada dalam senarai

Posted:

Norshahrul tiada dalam senarai

Norshahrul tiada dalam senarai

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

KAFA membuat ketetapan untuk tidak menyenaraikan nama Norshahrul dalam skuad The Red Warriors musim depan.


KELANTAN akan mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tanpa kelibat penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat ketetapan untuk tidak menyenaraikan nama Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo dalam skuad The Red Warriors.

Perkara tersebut disahkan oleh presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam majlis Perarakan Tiga Piala dan Memperkenalkan Pemain skuad The Red Warriors 2013 di Dataran Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Annuar berkata, pengurusan KAFA telah sepakat untuk melepaskan Mat Yo bagi berhijrah ke pasukan baharu setelah meneliti segala aspek seperti keperluan pasukan dan keinginannya sendiri untuk meninggalkan pasukan.

Menurutnya, pihaknya menghormati keputusan Mat Yo dan dia telahpun menghantar surat tamat kontrak untuk tidak lagi bersama pasukan untuk musim hadapan.

"Mat Yo sudah batalkan kontrak dan kami setuju untuk lepaskan. Selebihnya akan diuruskan oleh pihak peguam yang dilantik dan mempunyai pengetahuan dalam bidang sukan untuk menguruskan hal tersebut agar ia dapat diselesaikan secara 'menang-menang'.

"Perkara itu sudah jelas, saya tidak mahu lagi menghangatkan isu Mat Yo, biarlah kami lepaskan dia supaya kami dapat memberikan tumpuan untuk mantapkan pasukan bagi menghadapi saingan musim hadapan,'' katanya.

Terdahulu, Annuar bersama Ketua Pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan barisan pemain, mempersembahkan ketiga-tiga piala yang dimenangi kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Majlis Santapan Malam di Hotel Renaissance.

Bagi menghadapi saingan musim hadapan, KAFA menampilkan lima muka baharu iaitu K. Nanthakumar (Perak), Muhammad Izuan Solahuddin (Harimau Muda A), Zairol Anuar Zailani dan Mohd. Faiz Subri (T-Team) serta Norhadi Ubaidillah.

Bagaimanapun pemain yang bakal menyarung jersi nombor 9 dan 28 masih dirahsiakan KAFA.

Selain Mat Yo, Kelantan turut melepaskan empat pemain iaitu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor), Azlan Ismail dan S. Chanturu (Perak) serta Nurul Azwan Roya (Johor).

Dalam pada itu, The Red Warriors mengekalkan hampir 95 peratus pemain asal antaranya Mohd. Badhri, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Dausu Jamaludin, S. Subramaniam, Mohd. Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Obinna Nwaneri manakala Muhammad Ghaddar masih lagi dalam perbincangan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar mengakui penghijrahan Mat Yo memberi kesan besar daripada aspek penajaan kepada pasukan untuk musim hadapan.

"Sebahagian besar penaja sudah tidak lagi mahu menyambung penajaan mereka dan penaja-penaja yang terdapat pada jersi pasukan kemungkinan besar sudah tidak ada lagi pada musim hadapan.

"Saya anggap ini masalah yang perlu kita selesaikan sama ada memujuk kembali penaja-penaja atau mencari alternatif lain. Kalau terpaksa hilang kita terpaksa terima hakikat ini," katanya.

Najib sampai amanat

Posted:

Najib sampai amanat

Najib sampai amanat

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


NAJIB (berdiri, tiga dari kiri) meluangkan waktu menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


"BILA kita jatuh, kita bangun semula. Bila kita berjaya, kita lipatgandakan segala usaha,"

Demikian amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada skuad Harimau Malaya ketika 'turun padang' menyaksikan sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, petang semalam.

Najib meluangkan masa bersama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu untuk memberikan kata-kata pembakar semangat kepada pemain dalam misi mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012.

Najib yang turut ditemani Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau tetap menaruh keyakinan kepada skuad negara selaku juara bertahan, sekali gus berharap para pemain akan bangkit pada aksi Piala AFF Suzuki yang bakal membukai tirai, Sabtu ini.

Jelasnya, beliau juga berharap barisan pemain negara akan berjuang habis-habisan dan memperbaiki persembahan hambar dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

"Bagi saya, Perdana Menteri dan pemain bola sepak memiliki satu persamaan.

"Ini kerana apabila kita berjaya, kita akan disanjung namun sekiranya kita gagal, kita akan dikritik hebat.

"Menyarungkan jersi Harimau Malaya adalah satu penghormatan (buat pemain-pemain). Mereka adalah insan terpilih untuk membawa imej negara di persada antarabangsa.

"Saya masih percaya dengan jurulatih dan pemain-pemain negara dalam usaha mempertahankan trofi Piala AFF Suzuki dan kita masih memiliki peluang.

"Kita perlu melupakan kekalahan kepada Vietnam (0-1), Thailand (0-2) serta persembahan kurang memberangsang ketika menentang Hong Kong dan Bangladesh yang mana kita sekadar seri 1-1," katanya.

Tambah Najib, beliau selaku wakil kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Harimau Malaya selain bakal mengumumkan ganjaran kepada barisan pemain sekiranya mereka berjaya mempertahankan kejuaraan itu.

"Saya percaya, seluruh rakyat akan memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya. Walaupun saya tahu pemain-pemain bola sepak memiliki pendapatan lumayan tetapi kerajaan akan bagi sesuatu nanti," ujarnya.

Sementara itu, Safiq Rahim selaku kapten Harimau Malaya mengakui terharu dengan kunjungan pemimpin No. 1 negara itu dan berazam untuk mempamerkan aksi cemerlang demi negara.

"Saya berjanji kami akan berjuang dengan sepenuh jiwa raga kami dalam usaha mempertahankan trofi yang diraih dua tahun lalu demi negara," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Burger KL Janda-Jandaku Gangster

Posted:

Burger KL Janda-Jandaku Gangster

Burger KL Janda-Jandaku Gangster

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

PATI daging burger bakar diadun dengan rempah ratus istimewa.


MALAM semakin dingin dan jarum jam di tangan sudah melebihi pukul 11 malam. Secara logiknya mengikut putaran alam, waktu begitu kebanyakan daripada kita sepatutnya sedang berkira-kira untuk masuk tidur. Mungkin juga ada yang sudah dibuai mimpi enak.

Namun, senario sebaliknya berlaku apabila anda mengunjungi Restoran Soho Seafood di Sungai Merab, Bangi, Selangor.

Orang ramai masih memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.

Tegar melayani kedinginan embun pagi yang mula menitis, penangan hidangan di KL Burger Bakar adalah jawapan kepada segala-galanya.

Gara-gara burger bakar yang berharga antara RM7 hingga RM20, hidangan Barat di gerai itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena dalam kalangan pengunjung.

Pemiliknya, Mohammad Fikry Abdullah, 29, berkata, walaupun pada mulanya sesetengah pembeli merasakan bahawa harga burger itu agak mahal, namun selepas menikmatinya, mereka terpesona dengan rasa daging burger yang cukup enak dan empuk.

Tambahnya, selain ketebalan dan berat dagingnya mencecah sehingga 140 gram setiap keping, daging-daging tersebut telah diproses dengan resipi sendiri.

"Adunannya dibuat sendiri dengan campuran daging kisar, daun sup, bawang dan beberapa ramuan rahsia lain. Burger ini lebih enak jika dinikmati ketika masih panas kerana jus-jus daging yang meleleh," katanya.

Hari ini, burger bakar semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu sedang mengalami evolusi mendadak.

Lebih istimewa, daging burger tersebut bersaiz agak besar dan tebal berbanding burger konvensional. Ia dibakar menggunakan pemanggang dengan menggunakan arang sebagai bahan api.


BURGER KL Janda-Jandaku Gangster setinggi tiga tingkat menjadi jawapan kepada selera pengunjung yang berganda.


Justeru, siapa mampu menepis keenakan hidangan daging burger bakar yang tebal yang panas-panas dan dilimpahi sos cili, sos lada hitam, mayonis, sos Thousand Island dan sos keju. Ia disempurnakan dengan sayur-sayur seperti salad, bawang dan nanas.

Menikmati hidangan berkenaan adalah mengikut cara masing-masing dan seseorang itu tidak perlu segan jika mulut comot sedikit. Itulah nikmatnya burger bakar!

Mohammad Fikry berkata, dia bersama dua kakitangan kini tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus datang bermula pukul 6.30 petang hingga 12 tengah malam.

Ditanya cabaran bergelar usahawan burger bakar, dia menjelaskan, tanggapan masyarakat yang mengatakan bahawa makanan Barat itu cepat disiapkan seperti burger konvensional perlu dikikiskan.

Jelasnya, proses membakar daging burger mengambil masa antara 25 hingga 30 minit dan perlu dihidangkan ketika masih panas untuk mengekalkan kualitinya.

"Pada peringkat awal gerai ini dibuka, ramai pembeli yang kadang-kadang tidak faham dan sering merungut kenapa terpaksa menunggu lama. Namun, saya tidak salahkan mereka kerana mungkin tidak faham dengan proses penyediaan daging burger bakar.

"Tapi Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan beroperasi, semakin ramai pembeli tetap yang sudah faham malah ada yang sanggup menunggu giliran tempahan untuk tempoh masa yang lama," katanya tersenyum.


BURGER KL Menjerit bertambah istimewa dengan sajian udang bakar secara sampingan.


Berkenaan nama hidangan KL Burger Bakar yang unik, dia memberitahu bahawa dia sengaja menampilkan kelainan menerusi penggunaan tajuk-tajuk filem sebagai daya penarik selain rasa dagingnya yang luar biasa.

Nama-nama filem dipilih kerana ia mencapai kutipan box-office dan dia percaya, jualan burger yang menggunakan nama tersebut juga mampu mencapai sasaran serupa.

Antara burger yang paling mendapat perhatian ialah burger KL Drift yang menampilkan daging burger dihias dengan kepingan keju serta daging salai.

"Burger KL Janda-Jandaku Gangster pula bagi mereka yang gemar menikmati makanan itu dalam kuantiti yang banyak iaitu daging burger yang disusun tiga tingkat dan dijual pada harga RM20," katanya penuh semangat.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan awal atau majlis katering, anda boleh menelefon KL Burger Bakar, Sungai Merab, Bangi di talian 019-222 4475.

Pelajar cemerlang di Kumon

Posted:

Pelajar cemerlang di Kumon

Pelajar cemerlang di Kumon

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my


TAKATSU (belakang kanan), bersama pelajar yang menerima anugerah pada majlis penyampaian anugerah di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.


MENDAPAT keputusan yang cemerlang terutamanya dalam subjek mencabar seperti Matematik pasti memberikan kegembiraan kepada para pelajar.

Begitulah yang dirasai dua beradik, Nur Almas Aliah Misan, 15, dan kakaknya, Nur Marha Aisyah, 16, yang sering mencatat keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan.

Rahsia mereka adalah mengikuti kaedah pengajaran subjek berkenaan di Kumon Asia & Oceania Pte. Ltd. (Kumon) cawangan Taman Tun Dr. Ismail 2, Kuala Lumpur.

Almas yang mengikuti kelas tersebut sejak berusia enam tahun memberitahu, di Kumon, para pelajar diajar lebih ke hadapan berbanding subjek yang diajar di sekolah biasa.

"Kami diberikan latihan matematik setiap hari dan sekiranya mempunyai masalah atau pertanyaan boleh diajukan ketika menghadiri kelas yang diadakan dua kali seminggu.

"Hasilnya, saya mendapat keputusan 90 markah ke atas dalam setiap peperiksaan di sekolah biasa," katanya ketika ditemui pada Kumon Advanced Student Forum 2012 di Hotel One World Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 216 pelajar berjaya menamatkan program pembelajaran Kumon manakala 416 pelajar lagi menerima status Advanced Student.

Sijil-sijil kecemerlangan itu disampaikan oleh Pengurus Wilayah Kumon, Miho Izumi, dan turut dihadiri Pengurus Besar Kumon di Malaysia, Masahiro Takatsu.

Di negara ini, sebanyak 40,000 pelajar mengikuti kaedah Kumon dengan separuh daripadanya telah mendapat pengiktirafan Advanced Student.


Para ibu bapa bersama anak-anak mereka menghadiri Forum Kumon Advanced Student 2012 baru-baru ini.


Kaedah Kumon memberikan cabaran kepada para pelajar untuk belajar subjek yang lebih tinggi daripada di sekolah. Berbeza dengan sistem pendidikan di sekolah, pendidikan di Kumon memberi fokus kepada kebolehan seseorang pelajar. Dengan itu potensi setiap anak dapat berkembang secara maksimum.

Ia bukan sahaja membantu para pelajar melepasi tahap pembelajaran biasa, malah menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berdikari.

Keberkesanan kaedah Kumon terbukti apabila pelajar sederhana berjaya menjadi pelajar cemerlang. Pada mulanya, pada pelajar itu diberikan latihan mudah untuk mendapat markah tertinggi dan apabila memperoleh keyakinan, latihan yang lebih susah diberikan peringkat demi peringkat.

Menurut Masahiro, apabila para pelajar atau kanak-kanak berjaya menguasai subjek yang susah dan melepasi paras gred di sekolah, keyakinan diri serta semangat mereka akan meningkat.

"Di Kumon, para pelajar yang sudah mendahului sekurang-kurangnya enam bulan berbanding subjek di sekolah biasa akan diberikan gelaran Advanced Student," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Amaran Hamas kepada Israel

Posted:

Amaran Hamas kepada Israel

Amaran Hamas kepada Israel

PENDUDUK Gaza membawa jenazah dua kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara Israel untuk dikebumikan di Beit Lahiya, utara Genting Gaza semalam.


GENTING GAZA - Komander tertinggi sayap tentera Hamas, Mohammed Deif memberi amaran, Israel akan menerima padah jika ia berani melancarkan serangan darat ke dalam wilayah Palestin ini.

"Pihak musuh (rejim Zionis) akan menerima padah jika ia merancang untuk masuk ke Gaza," kata Mohammed yang merupakan komander Briged Ezzedine Al-Qassamzz kepada stesen televisyen Hamas, Al-Aqsa.

"Perang darat merupakan harapan terbaik untuk membebaskan tahanan Israel," tambahnya.

Beliau merujuk kepada rancangan pejuang Palestin untuk menawan askar-askar Israel dan menukarnya dengan tahanan Palestin sekiranya Tel Aviv menceroboh Gaza.

Dalam perkembangan terbaharu, pasukan perubatan di sini menyatakan seramai enam penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel yang masuk hari ketujuh semalam

Angka kematian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keganasan Israel kini meningkat kepada 116 orang termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak.

Serangan udara dan bedilan artileri Tel Aviv itu yang bermula pada 14 November lalu turut mencederakan lebih daripada 920 orang awam.

Mengulas serangan terbaharu itu Tentera Israel menyatakan, operasi semalam melibatkan kira-kira 100 sasaran di sini yang dibedil dengan pesawat pejuang dan meriam.

Salah satu sasaran tentera Israel merupakan Bank Islam Kebangsaan milik pejuang Hamas yang rosak teruk selepas diserang.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah roket yang ditembak dari sini mengenai sasaran dekat Baitulmuqaddis tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Pasukan Briged Al-Qassam mengaku melancarkan roket tersebut ke arah bandar Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.

Perkembangan itu berlaku ketika Mesir yang menjadi pengantara gencatan senjata antara Israel dan Gaza menyatakan pertempuran yang berlaku akan tamat minggu ini.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghantar Setiausaha Negara Hillary Clinton ke Asia Barat untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hamas.

White House berkata, Hillary akan berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis, pegawai-pegawai Hamas di Ramallah dan pemimpin Mesir di Kaherah bagi mencari jalan penyelesaian. - Agensi

Dunia semakin teruk tercemar karbon dioksida

Posted:

Dunia semakin teruk tercemar karbon dioksida

Dunia semakin teruk tercemar karbon dioksida

GENEVA - Agensi meteorologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, pencemaran karbon dioksida (CO2) di udara adalah paling tinggi pada tahun lalu.

Agensi berkenaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberitahu, kadar kandungan CO2 di atmosfera kini meningkat 40 peratus berbanding sebelum Zaman Industri yang bermula sekitar tahun 1700.

Beberapa pegawai WMO semalam turut berkata, terdapat 30 peratus peningkatan kesan pemanasan iklim dunia antara tahun 1990 dan 2011 yang berpunca daripada gas CO2 hasil pembakaran bahan api fosil.

Setiausaha Agung WMO, Michel Jarraud berkata, sebanyak 350 bilion metrik tan gas CO2 dilepaskan ke atmosfera Bumi sejak tahun 1750. - AP

110 negara sokong hukuman mati dimansuh

Posted:

110 negara sokong hukuman mati dimansuh

110 negara sokong hukuman mati dimansuh

LONDON - Sebanyak 110 buah negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memansuhkan hukuman mati.

Resolusi yang dibuat setiap dua tahun sekali itu mencipta rekod sokongan paling tinggi oleh negara-negara dunia.

Malaysia mengambil pendirian tidak bersetuju dengan resolusi terbabit.

Namun, resolusi tersebut turut mencetuskan jurang perbezaan antara negara-negara anggota PBB yang sebelum ini merupakan sekutu rapat.

Resolusi tersebut ditentang oleh 39 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Iran, India, Korea Selatan, Syria dan Zimbabwe manakala 36 buah negara lain bersikap berkecuali.

Israel bertindak menentang sekutu kuatnya, AS apabila menyokong resolusi tersebut bersama negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, Brazil dan Afrika Selatan.

Pada tahun 2010, sebanyak 107 buah negara menyokong resolusi badan dunia itu.

Resolusi tersebut dibuat sebelum perhimpunan kongres sedunia bagi menentang pelaksanaan hukuman mati yang akan diadakan di Madrid, Sepanyol pada Jun 2013. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved