Khamis, 1 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sandy membadai AS selepas Katrina

Posted:

Sandy membadai AS selepas Katrina

TAUFAN Sandy yang melanggar New York, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lalu merupakan pengalaman bencana alam pertama yang dihadapi oleh Muhammad Syazwan Adzhar, 21, dan rakan-rakannya yang sedang belajar di sana.

"Hujan lebat dan ribut begitu kuat pada malam itu. Kelas dan aktiviti di kampus dibatalkan kerana bimbang taufan Sandy semakin buruk.

"Semakin lama, angin semakin kuat bertiup dan bekalan elektrik beberapa kali terputus. Alhamdulillah, mujur lampu hanya malap dan tidak terputus sepenuhnya.

"Orang ramai di kawasan persekitaran mula berpusu-pusu keluar ke pasar raya atau kedai-kedai terdekat untuk membeli bekalan makanan," kata Muhammad Syazwan memberi gambaran keadaannya pada malam kejadian melalui e-mel yang dihantar kepada Kosmo!.

Muhammad Syazwan merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang Geosains di Universiti Pennsylvania (PSU). Sepanjang kelas dibatalkan, Muhammad Syazwan dan rakan-rakan hanya terperuk di rumah dan memantau perkembangan taufan Sandy melalui internet serta saluran The Weather Channel.

Sebaik mendapat berita taufan Sandy, Muhammad Syazwan turut menghubungi rakan-rakannya di kawasan-kawasan lain.

"Teman-teman di Institut Teknologi Rochester dalam keadaan baik, cuma kawan-kawan di Institut Teknologi Stevens, New Jersey sedikit cemas apabila berdepan dengan banjir dan masalah bekalan elektrik," katanya.

KESAN kemusnahan yang ditinggalkan oleh Sandy di Long Branch, New Jersey.


Menurut Wisma Putra, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia kini selamat walaupun terkandas di kawasan teruk seperti Washington, Maryland dan Virginia.

Taufan Sandy telah merosakkan sekurang-kurangnya 7.3 juta kediaman dan premis perniagaan di pantai timur AS setakat Selasa lalu.

Malah, ia memaksa tiga reaktor nuklear ditutup selepas sistem penyejukan air dan jaluran bekalan elektrik mengalami kegagalan. Bagaimanapun, tiada masalah besar melibatkan nuklear berlaku.

Selain itu, pihak berkuasa New York mengambil langkah keselamatan dengan menghentikan semua operasi sistem kereta api bawah tanah, manakala hampir semua terowong dan jambatan dari Manhattan turut ditutup.

Seramai 2,100 anggota pasukan keselamatan AS pada hari Ahad dan Isnin lalu, dikerah ke daerah terancam bagi mengawal keadaan penduduk awam.

Selasa lalu, Presiden AS, Barack Obama mengisytiharkan bencana besar ekoran kemusnahan yang berlaku.

Taufan Sandy melanda pantai timur AS itu bergerak ke barat dengan membawa angin selaju 281 kilometer sejam.

Taufan itu merupakan siklon tropika lewat musim yang membawa bencana ke beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut AS.

PENDUDUK New York terpaksa berjalan kaki selepas perkhidmatan kereta api bawah tanah ditutup dan bekalan elektrik di beberapa lokasi terputus.


Sandy terbentuk daripada gelombang tropika di barat Laut Caribbean. Ia menjadi gelombang tekanan rendah tropika dan kekuatannya dengan cepat meningkat.

Dengan mengekalkan kekuatan kategori 1, Sandy bergerak ke arah barat laut dan seperti yang dijangkakan ia mendekati pantai AS.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS mengumumkan taufan sampai pada pukul 8 malam, 29 Oktober di barat daya Atlantic City, New Jersey. Sandy diisytihar sebagai siklon pasca tropika pada pukul 7 malam.

Impak Sandy ke atas AS meliputi kawasan dari negeri Florida sehingga wilayah New England dengan membawa angin kuat jauh ke daratan sehingga ke pergunungan di barat Virginia.

"Taufan Sandy agak merisaukan kerana walaupun pada waktu tengah hari ia masih lagi di lautan Atlantik, tetapi angin kuat dan hujan lebat sudah dirasai di tempat kami," kata Muhammad Syazwan yang menetap di Kolej Negeri, PSU yang terletak kira-kira 418 kilometer dari pusat bandar New York.

Di Central Park, New York orang ramai yang melalui sebuah kawasan berdekatan kondominium One57 yang masih dalam pembinaan berada dalam keadaan terpinga-pinga tatkala memandang puncak bangunan tersebut.

Lengan kren pada One57 patah selepas dilanda taufan Sandy dan kini berada dalam keadaan terjuntai.

ORANG ramai mendapatkan bantuan bekalan makanan di Brooklyn, New York sebaik ribut reda.


Pemanasan global

Biarpun kesan malapetaka yang dibawa oleh taufan Sandy sangat hebat dan meliputi kawasan yang luas, pakar geologi, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, 60, berkata, tindakan pantas AS dalam menangani masalah tersebut seharusnya dicontohi oleh semua negara.

"Pergerakan, kelajuan dan kekuatan taufan boleh dijangka dengan menggunakan Sistem Kedudukan Global. Pengesanan awal membolehkan langkah keselamatan diambil," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, bekas Ketua Jabatan Geologi, Universiti Malaya itu tidak menolak bencana alam yang berlaku kebelakangan ini dirangsang oleh kesan pemanasan global, berdasarkan kajian dan pembacaan beliau.

Hujahnya, pencairan ais menyebabkan kenaikan paras air laut. Pergerakan taufan di kawasan laut terbuka boleh menambah intensiti sebelum sampai di pinggir pantai.

Perkara tersebut turut dibangkitkan oleh Gabenor New York, Andrew Cuomo. Katanya: "Sesiapa yang berfikir tiada perubahan pada corak cuaca, seperti menidakkan realiti."

Perkara tersebut dipersetujui ramai jika membabitkan bencana banjir namun, sesetengah pakar menolak untuk mengiyakan perkara tersebut kerana ia didakwa masih tidak begitu jelas.

Setakat ini, kenaikan suhu permukaan Bumi sejak tahun 1970-an gagal menunjukkan sebarang penambahan bilangan taufan tropika malah, kekal stabil sekitar 90 jenis taufan setiap tahun.

Sungguhpun begitu, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS berkata, ribut-ribut yang besar menjadi lebih kuat dan kekerapannya meningkat sejak tahun 1995 di Laut Atlantik.

Agensi terbabit turut memberi amaran bahawa sains tidak boleh menidakkan perubahan semula jadi iklim dan pemanasan buatan manusia.

"Terdapat beberapa bukti mencadangkan perubahan iklim menyebabkan halaju tiupan angin akan lebih kuat, tetapi bilangan keseluruhan taufan tropika tidak berubah atau mungkin menurun sedikit," kata Ketua Perubahan Iklim, Institut Pembangunan Seberang Laut Britain, Tom Mitchell.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Lori padi terbabas, empat maut

Posted:

Lori padi terbabas, empat maut

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

MAYAT empat sekeluarga mangsa kemalangan ditutup dengan
kertas surat khabar di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau, Pokok Sena, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Empat beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau dekat sini semalam.

Mangsa yang maut ialah pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Nurul Faiz, 24, dan Mohd. Iptihar, 26.

Anak bongsu mereka, Mohd. Iqbal, 15, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Lokasi kemalangan terletak kira-kira enam kilometer dari rumah keluarga mangsa di Kampung Kubang Pisang, Pendang.

Kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika keluarga malang itu dalam perjalanan untuk menziarah keluarga mereka di sini dengan menaiki kereta Perodua Viva dari arah Pendang menghala ke Kebun 500, Pokok Sena.

Bagaimanapun, ketika melalui tempat kejadian, sebuah lori padi tanpa muatan dari arah Kebun 500 dipercayai mengalami kerosakan stereng dan brek lalu terbabas dan bertembung dengan kereta tersebut yang dipercayai dipandu Mohd. Iptihar.

Dalam pada itu, anak kedua mangsa, Mohd. Anuar Shafie, 32, menjelaskan, dia yang berada di Jabi berasa tidak sedap hati apabila ternampak dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500.

Dia kemudian segera pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Pisang, namun sebaik dia tiba di tempat kejadian, perasaan tidak sedap hatinya menjadi kenyataan apabila kereta yang terbabit kemalangan itu adalah milik bapanya berdasarkan nombor pendaftaran KCS 396.

"Masa saya tiba, kesemua mereka sudah tidak ada lagi di tempat kejadian dan orang ramai meminta saya pulang ke rumah untuk membuat kepastian.

"Bila saya tiba di rumah, itulah kenyataan apabila empat ahli keluarga meninggalkan kami sekali gus tetapi saya tetap reda dan pasrah," katanya.

Dia menjelaskan, ibu bapanya ada mengunjungi rumahnya di Guar Kepayang, Pendang bagi menziarahi dua cucunya yang berusia lima dan setahun.

"Mereka datang ke rumah kira-kira pukul 10 malam kelmarin untuk melihat cucu tetapi mereka sudah tidur.

"Ibu dan bapa saya kurang bercakap dan tidak duduk lama sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian," katanya yang bekerja sebagai buruh di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sementara itu, menurut anak ketiga mangsa, Mohd. Fashah, 28, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kubang Pisang malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Rohana Omar mengesahkan kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang mengalami kerosakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki lima beranak tersebut.

"Akibat pertembungan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian dan mayat kesemua mereka dihantar ke HSB.

"Pemandu lori dipercayai hanya mengalami cedera ringan dan dia ke balai polis untuk diambil kenyataan," katanya.

Dua konstabel maut digilis treler

Posted:

Dua konstabel maut digilis treler

IPOH - Dua anggota polis berpangkat konstabel yang sedang melakukan rondaan di kawasan Simpang Pulai di sini maut apabila motosikal ditunggangi mereka digilis sebuah treler di Jalan Lahat-Simpang Pulai malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Konstabel Mohd. Nor Adirizan Md. Desa maut di tempat kejadian selepas dia cedera parah pada keseluruhan anggota badan.

Rakan Nor Adirizan, Konstabel Mohd. Zaihasrul Reza Mohd. Zaini pula mati dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Kedua-dua anggota polis terbabit berusia 22 tahun dan masing-masing berasal dari Perlis dan Kedah.

Pemandu treler berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kemalangan itu.

Jurucakap polis berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-254 2222 bagi membantu siasatan.

AEON beli Carrefour

Posted:

AEON beli Carrefour

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

PASAR raya besar Carrefour di seluruh Malaysia akan dijenamakan semula sebagai AEON Big Malaysia.


KUALA LUMPUR – Syarikat peruncitan utama Jepun, AEON Co Ltd. (AEON) mengambil alih operasi Carrefour Malaysia (Carrefour) melibatkan 26 buah unit pasar raya besar melalui penjenamaan semula sebagai AEON Big Malaysia dengan harga belian sebanyak 15.1 bilion yen (RM575.5 juta).

Usaha itu sekali gus mengangkat AEON sebagai kumpulan peruncitan kedua terbesar di Malaysia.

AEON menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih kesemua saham anak syarikat operasi pasar raya besar Carrefour Malaysia, Magnificent Diagraph Sdn. Bhd. (MD) dan Carrefour Malaysia Sdn. Bhd. yang mempunyai 9.3 peratus hak pengundian dalam MD, daripada Carrefour S.A. dan anak-anak syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON, Nagahisa Oyama (gambar kecil) berkata, AEON, di bawah pelan pengurusan jangka sederhana bagi tempoh tiga tahun sehingga tahun 2013, menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang di China dan ASEAN.

"Malaysia dilihat mampu menjadi hab perniagaan bagi mengembangkan operasi AEON sedia ada kerana negara ini menjadi kawasan pertembungan ekonomi dan pengangkutan yang penting bagi rantau ini.

"Sehubungan itu, kami mengambil keputusan menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kumpulan AEON di ASEAN untuk mengurus operasi perniagaan syarikat di rantau ini," katanya pada sidang akhbar ketika membentangkan strategi perniagaan AEON di sini semalam.

AEON pada masa ini beroperasi di enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

AEON, dalam laporan Reuters pada 20 September lalu, telah menafikan bahawa mereka sedang mengadakan perbincangan bagi memperoleh perniagaan Carrefour di Malaysia.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penjualan tersebut akan melibatkan transaksi berjumlah RM960 juta.

Bagaimanapun, pembelian saham yang dimuktamadkan pada 31 Oktober lalu itu telah menamatkan spekulasi itu.

Menurut Oyama, pengambilalihan itu dibiayai secara tunai dan menjangkakan ia tidak memberi kesan kepada keadaan kewangan AEON.

"Susulan usaha ini, kami merancang membuka 100 buah premis perniagaan menjelang tahun 2020 dengan pelaburan mencecah 300 bilion yen (RM11.5 bilion)," katanya sambil memaklumkan pengambilalihan Carrefour Malaysia tidak menjejaskan pekerja sedia ada.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Ada masalah boleh rujuk FAM

Posted:

Ada masalah boleh rujuk FAM

Oleh AHMAD FAZLI
MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu 'belakang tabir' membabitkan beberapa pasukan yang dikatakan sedang rancak memburu pemain kegemaran masing-masing.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu tidak beretika, apatah lagi ia membabitkan pemain yang masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

Azzuddin memberitahu, segala urusan untuk mendapatkan mana-mana pemain harus dijalankan dengan cara yang betul dan profesional.

"Sebenarnya, kepada mana-mana pasukan yang berhasrat untuk mendapatkan pemain, mereka boleh menggunakan saluran yang betul.

"Seperti yang termaktub dalam undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pasukan boleh mendapatkan pemain yang dikehendaki, dengan syarat mereka membayar pampasan jika pemain terbabit masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

"Kepada persatuan atau kelab yang masih keliru, mereka boleh merujuk kepada pihak FAM bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung isu kontrak pemain," jelas Azzuddin kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan bahawa adalah tidak profesional sesebuah pasukan mengikat kontrak dengan pemain baharu, sedangkan pemain terbabit masih menerima gaji daripada pasukan lamanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa pasukan yang 'merampas' pemain tanpa pengetahuan majikan lama.

Mohamad Hasan menegaskan, FAM perlu meneliti sewajarnya perbuatan tidak beretika tersebut agar semua pihak terbabit menghormati nilai 'kuasa' yang ada dalam kontrak seseorang pemain itu.

Mengambil contoh, pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona yang masih mempunyai kontrak dengan PBNS.

Namun penyerang kelahiran Cameroon itu dilaporkan sudah menandatangani perjanjian dengan Terengganu bagi saingan musim depan.

"Kami menerima pandangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai perkara itu.

"Perkara tersebut telah diserahkan kepada sebuah jawatankuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Buat masa ini, tiada sebarang tindakan diambil lagi," kata Azzuddin lagi.

4 pemain terlepas ke Hanoi

Posted:

4 pemain terlepas ke Hanoi

BARISAN pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak dua minggu lalu.


"PELUANG tidak hanya datang sekali dan saya percaya, khidmat empat pemain yang tidak disenaraikan itu mungkin akan digunakan pada aksi perlawanan menentang Hong Kong, 14 November nanti."

Itu jawapan jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika diminta mengulas pengguguran empat pemain bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Vietnam, Sabtu ini.

Semalam, Rajagobal mengumumkan senarai 24 pemain yang akan dibawa ke Hanoi sebagai persiapan bagi menghadapi kempen Piala AFF Suzuki penghujung bulan ini.

Empat pemain yang tidak disenaraikan itu ialah penjaga gol Selangor, Norazlan Razali; pemain sayap Felda United, Yong Kuong Yong dan dua tonggak Kelantan, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.

Rajagobal berkata, meskipun tidak disenaraikan, ia tidak bermakna 'pintu' buat mereka untuk kembali membarisi skuad Harimau Malaya sudah tertutup rapat.

"Tidak disenaraikan dalam siri perlawanan persahabatan kali ini tidak bermakna peluang mereka sudah berakhir.

"Ini kerana saya percaya selepas menentang Vietnam, mereka akan kembali bersama kami untuk menjalani latihan.

"Seperti yang saya katakan, tidak mustahil khidmat mereka akan ditagih pada aksi menentang Hong Kong di Shah Alam nanti," katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk terus melakukan eksperimen bagi membentuk skuad yang mantap.

"Saya percaya pasukan Laos, Singapura dan Indonesia akan menghantar pengintip untuk memantau perkembangan skuad kebangsaan kita (Harimau Malaya).

"Jadi, kita tidak boleh menunjukkan kekuatan sebenar kita kepada mereka dengan begitu mudah," katanya.

Selepas bertemu Vietnam, Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Thailand di Chiang Mai pada 7 November ini sebelum menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam.

Kebangkitan dramatik Arsenal

Posted:

Kebangkitan dramatik Arsenal

WALCOTT meraikan jaringannya buat Arsenal ketika menentang Reading pada pusingan keempat Piala Liga di Stadium Madejski awal pagi semalam. Arsenal menang 7-5.


READING - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menganggap kejayaan The Gunners ketika membenam Reading 7-5 pada pusingan keempat Piala Liga awal pagi semalam antara memori paling manis dalam kariernya.

Pemain sayap, Theo Walcott menjadi inspirasi kebangkitan dramatik Arsenal dalam pertembungan di Stadium Madejski itu yang menyaksikan 12 gol terhasil.

Selepas ketinggalan 1-4 pada babak pertama, anak-anak buah Wenger menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mengikat kedudukan 4-4 sehingga tamat 90 minit perlawanan.

Kedudukan tersebut menyaksikan perlawanan terpaksa dilanjutkan sehingga ke masa tambahan yang menyaksikan empat gol lagi terhasil.

Kemenangan itu juga sekali gus menjadi suntikan moral terbaik buat Arsenal dalam usaha mereka untuk memburu trofi pertama sejak tujuh tahun lalu.

"Kami berjaya mengelak daripada menerima satu lagi musibah apabila meraih kemenangan yang cukup dramatik hari ini (awal pagi semalam).

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami.

"Mungkin ia merupakan kemenangan bermakna bagi saya. Inilah Arsenal, selagi masa belum berakhir, kami akan berjuang habis-habisan.

"Meskipun pertandingan ini (Piala Liga) bukan salah satu keutamaan kami tetapi apa yang paling mustahak, kami berjaya menang dan layak ke peringkat suku akhir," kata Wenger.

Pada masa yang sama, Wenger memuji persembahan cemerlang Walcott yang berjaya meledak hatrik pada aksi tersebut.

"Walcott beraksi dengan cukup baik. Saya tahu dia merupakan seorang pemain yang hebat.

"Selain dia, pemain-pemain saya yang lain juga melakukan tugas dengan baik," ujarnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kumpulan Islam tawar bantu AS

Posted:

Kumpulan Islam tawar bantu AS

GAMBAR menunjukkan kawasan perumahan yang terbakar akibat taufan Sandy di Queens, New York.


ISLAMABAD - Amerika Syarikat (AS) semalam menolak tawaran bantuan daripada pemimpin radikal sebuah kumpulan Islam selepas taufan Sandy melanda negara itu pada Isnin lalu.

Pemimpin kumpulan Lashkar-i-Taiba, Hafiz Muhammad Saeed menawarkan untuk menghantar sejumlah kakitangan kecemasan dan bekalan kemanusiaan ke wilayah yang teruk dilanda taufan tersebut.

Menurut kumpulan itu, bantuan tersebut akan dihantar menerusi badan kebajikannya, Jamatud Dawah (JuD).

Bagaimanapun, kedutaan AS di sini menolak untuk menerima tawaran tersebut.

Penolakan itu dibuat di akaun Twitter.

"Kami menghormati tradisi orang Islam membantu manusia yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun, kami tidak dapat menerima tawaran Hafiz.

"Hafiz dikehendaki kerana terlibat dalam serangan pengganas di Mumbai yang menyebabkan 116 orang terbunuh.

"JuD pula ialah pertubuhan pengganas yang disenaraikan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata kedutaan AS.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan memberi reaksi balas menerusi Twitter.

"Bantuan kami ditawarkan untuk penduduk AS, kami akan melibatkan penduduk Islam di AS untuk berada di barisan depan bagi membantu rakan senegara mereka," kata kumpulan tersebut.

Hafiz disyaki pihak berkuasa AS dan India merancang serangan pengganas di Mumbai pada 2008.

Sementara itu, harga minyak meningkat di pasaran New York ekoran taufan tersebut.

Harga penghantaran untuk minyak mentah pada bulan Disember naik 48 sen (RM1.46) kepada RM86.16 (RM262.443) setong.

Presiden AS, Barack Obama semalam turut membatalkan parti Halloween bersama kanak-kanak di White House, Washington.

Beliau akan melawat kawasan yang teruk dilanda kemusnahan akibat taufan itu.

Pada tahun lalu, Obama dan isterinya, Michelle menjadi tuan rumah kepada 2,000 kanak-kanak untuk meraikan parti tersebut.

Obama juga akan menangguhkan kempen pilihan raya presiden selama beberapa hari bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja membantu dan membaiki kerosakan akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.

Pilihan raya presiden akan diadakan pada 6 November ini.

Obama akan menentang pencabarnya daripada parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts.

Bagaimanapun, Romney menyambung semula kempennya di Miami semalam selepas terjejas akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.

Beberapa ahli ekonomi menyatakan kerugian akibat taufan tersebut ialah antara AS$30 bilion (RM91.39 bilion) hingga AS$50 bilion (RM152.33 bilion). - Agensi

Rakyat AS mula bersih rumah

Posted:

Rakyat AS mula bersih rumah

SEBATANG jalan raya beralun-alun akibat taufan Sandy di Pantai Mirlo, Carolina Utara.


NEW YORK - Penduduk di Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) semalam mula membersihkan rumah dan melihat kemusnahan yang dibawa taufan Sandy.

Taufan itu yang menyebabkan 55 orang mati melanda pantai timur tersebut pada Isnin lalu sebelum ia bergerak lemah menuju ke Pennsylvania.

Kemusnahan itu berlaku di seluruh bandar raya New York dan New Jersey.

Kebanyakan sistem tren mula beroperasi seperti biasa.

Taufan itu membawa ombak setinggi 4.23 meter dengan kelajuan 225 kilometer sejam.

Bursa Saham New York juga kembali dibuka selepas dagangan ditutup pada Isnin dan Selasa lalu.

Lebih lapan juta penduduk dari Carolina dan Maine tidak mendapat bekalan elektrik kesan daripada kemusnahan yang dibawa taufan itu.

Tiga reaktor nuklear AS masih lagi ditutup manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Bagaimanapun, taufan itu membawa salji di Ohio, Pennsylvania dan Virginia Barat. - Agensi

Gincu, pemetik api diisi gas pemedih mata

Posted:

Gincu, pemetik api diisi gas pemedih mata


Gambar menunjukkan beberapa pemetik api dan gincu yang diisi gas pemedih mata.


GENEVA - Pihak kastam Switzerland mempamerkan sejumlah gincu dan pemetik api palsu yang mengandungi gas pemedih mata di sini semalam.

Gincu palsu itu dipamerkan untuk dilihat oleh beberapa pemberita dan jurugambar.

Menurut beberapa pegawai kastam, gincu dan pemetik api tersebut yang diperbuat dari China telah dirampas di negara ini. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lelaki maut kereta terjunam ke laut

Posted:

Lelaki maut kereta terjunam ke laut

01/11/2012 6:53pm

GEORGE TOWN — Seorang kerani akaun maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di Km7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke George Town, awal pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, Tan Lean Loon, 24, dipercayai mati akibat lemas dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan selepas Bahagian Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 3.40 pagi.

Katanya, Unit Tindakan Cepat Trafik yang dihantar ke tempat kejadian mendapati sebatang tiang lampu di tempat kejadian patah dan terdapat sebuah tayar kenderaan di atas jalan.

"Operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bomba dan polis marin dijalankan sehingga pukul 6.50 pagi. Operasi yang disambung semula pada pukul 9 pagi menemui sebuah kereta di dasar laut di kilometer 8 oleh unit scuba polis marin setengah jam kemudian," katanya pada sidang media di sini.— BERNAMA

Kereta bertembung lori padi: 4 sekeluarga maut, 1 parah

Posted:

Kereta bertembung lori padi: 4 sekeluarga maut, 1 parah

01/11/2012 6:49pm

ALOR SETAR — Empat sekeluarga maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori padi dalam kejadian di Jalan Tualang, Pokok Sena dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira 2.30 petang itu dipercayai berlaku setelah lori padi itu terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Viva yang dinaiki lima sekeluarga itu.

Jurucakap polis berkata, mereka yang maut ialah Shafie Hamid, 56, isterinya Faridah Ani, 55, dan dua anak mereka iaitu Ibtihar, 26, yang memandu kereta itu, dan Nurul Faiz, 24.

Seorang lagi anak pasangan itu, Mohd. Iqbal, 15, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketika kejadian, keluarga itu dari rumah mereka di Kampung Kubang Pisang, Kubur Panjang dekat sini menuju ke HSB manakala lori padi itu dari Tualang dekat sini ke Kubur Panjang.— BERNAMA

Ugut guna bom, peluru: 3 lelaki ditahan

Posted:

Ugut guna bom, peluru: 3 lelaki ditahan

01/11/2012 6:46pm

GEORGE TOWN — Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam enam kes pemerasan dan ugutan jenayah menggunakan peluru dan bom buatan sendiri yang berlaku sejak Mac tahun lepas, dalam satu serbuan di Padang Serai, Kedah semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, serbuan pada 5.30 petang itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara di sebuah rumah di Taman Damai, Padang Serai, Kedah, hasil laporan orang ramai.

Beliau berkata, susulan laporan melibatkan enam kes yang dibuat oleh pengadu sejak Mac 2011, polis menjalankan risikan sehinggalah berjaya menangkap suspek dalam keenam-enam kes itu.

"Dua kes berlaku di daerah SPU (Seberang Perai Utara) dan empat kes berlaku di daerah SPS (Seberang Perai Selatan)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Waja, sepucuk pistol jenis semi auto bersama empat butir peluru nobel, dua butir peluru auto jenis .22, sebutir peluru jenis .38, sebutir peluru 9mm, empat biji bom buatan sendiri, 35 biji mercun bola, tiga bekas plastik berisi 'ball bearing' dan lapan buah telefon bimbit.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aeril Zafrel baharu

Posted:

Aeril Zafrel baharu

SUDAH lama kelibat Aeril Zafrel tidak kelihatan di kaca televisyen mahupun di layar perak. Setelah mengejutkan dunia hiburan tanah air beberapa bulan yang lalu dengan mengambil keputusan untuk berhijrah dan mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Indonesia, anak jati kelahiran Kluang, Johor ini seakan-akan menyepikan diri daripada dunia lakonan.

Tidak dinafikan, jejaka kacak ini amat berbakat dalam bidang lakonan. Bakatnya mula digilap oleh pengarah terkenal, Aziz M. Osman menerusi drama bersiri pertama lakonannya, Kisah Kaisara.

Selepas itu, dia mula mencipta nama melalui beberapa buah filem termasuklah Aku Tak Bodoh, Cinta Kura Kura dan 7 Petala Cinta.

Bagaimanapun, setelah mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengurangkan aktiviti seninya, Aeril ternyata lebih tenang dan senang dengan keputusan yang diambil.

Terbaharu, ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Budak Pailang di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini, Aeril selaku tunjang utama filem tersebut berkongsi serba sedikit pengalamannya mendalami ilmu agama ketika berada di Indonesia.

Soal kematian

"Saya percaya, setiap orang inginkan perubahan dan saya juga tidak terkecuali. Ketika itu, entah mengapa saya sering memikirkan soal kematian. Setiap hari, pasti perkara itu datang dan bermain-main dalam fikiran.

"Terpanggil dengan persoalan tersebut, saya mengambil keputusan untuk terbang ke Indonesia bersama-sama seorang rakan dan mendalami ilmu agama di sana," jelasnya yang bagaimanapun memohon untuk tidak memperincikan tentang nama dan lokasi sekolah pondok tempatnya menimba ilmu keagamaan itu.

Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Senja Permai ini turut memberitahu, tujuannya mendalami ilmu agama di Indonesia bukan semata-mata untuk berubah secara total, tetapi bermatlamat mengenal jati diri serta mempelajari sesuatu yang baharu.

"Terus terang saya katakan, tujuan saya berhijrah adalah untuk diri saya sendiri. Saya mendalami ilmu agama bukan kerana mahu dipandang mulia oleh orang lain. Saya ke sana atas dasar ingin berubah dan mahu memperbaiki diri.

"Setelah melalui proses penghijrahan, saya sering melakukan istiqamah dan bermuhasabah diri. Alhamdulillah, ia membuatkan saya lebih tenang," ujarnya.

Jelas jejaka ini lagi, dia memilih Indonesia sebagai tempat untuk mendalami ilmu agama kerana di sana bebas daripada sebarang gangguan dan membolehkan dirinya mampu untuk fokus terhadap ilmu-ilmu baharu ketika berada di sana.

"Saya bukan tidak mahu belajar ilmu agama di Malaysia. Saya yakin, ramai guru-guru agama tempatan yang mampu serta berkebolehan untuk membantu saya.

"Bagaimanapun, saya akui berasa sangat tenang ketika berada di Indonesia. Jadi, saya dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap ilmu-ilmu baharu tanpa sebarang gangguan," ujarnya.

Aktiviti seni

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Aeril memberitahu, dia terpaksa menghentikan aktiviti seninya buat sementara waktu kerana tidak mahu ia bercanggah dengan apa yang sedang dia lakukan sekarang.

Walau bagaimanapun, tambahnya, dia masih mahu berlakon dan dalam masa yang sama berdakwah serta menyampaikan mesej-mesej positif kepada para peminatnya.

"Saya akui lakonan adalah cabang seni yang paling saya minati. Peminat juga mengenali saya menerusi bidang lakonan. Justeru, tipulah jika saya katakan saya tidak rindu untuk kembali berlakon.


FIGURA kacak ini memilih untuk tidak melatah dalam memberikan reaksi terhadap segala kontroversi dan gosip liar yang melanda dirinya.


"Buat masa sekarang, saya masih dalam tempoh 'berehat'. Saya pasti akan berlakon semula jika watak dan filem yang ditawarkan bersesuaian dengan personaliti saya sekarang," katanya.

Isu 'adik-adik'

Pelakon muda ini juga tidak pernah sunyi dengan kontroversi dan gosip liar. Sebelum ini, dia pernah dikaitkan dengan isu hubungan sesama jenis dan terbaharu, dia telah dituduh menghadiri sebuah majlis yang dikatakan dianjurkan oleh golongan 'adik-adik' (lelaki lembut).

Menurut Aeril, dia agak bosan kerana sering dikatakan terlibat dan dikaitkan dengan golongan tersebut.

"Bagi saya, bukan senang untuk memuaskan hati setiap orang. Ada sahaja perkara-perkara negatif mengenai diri saya dicanang dari mulut ke mulut.

"Mungkin ada pihak yang tidak senang duduk melihat perubahan yang berlaku ke atas diri saya dan mula mereka-reka cerita yang tidak benar. Saya kadangkala agak rimas dengan tohmahan yang dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Bagaimanapun sebagai seorang artis, saya harus bersikap profesional. Jalan yang paling selamat adalah mendiamkan diri dan buat tidak tahu sahaja.

"Lama-kelamaan orang akan berhenti bercakap mengenainya. Saya juga percaya, kawan-kawan rapat dan keluarga saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya. Itu yang paling penting," tegasnya.

Jodoh

Bagi figura berusia 24 tahun ini, dia tidak gemar untuk berkongsi kisah peribadinya dengan orang ramai, lebih-lebih lagi soal berumah tangga.

Bagaimanapun akui Ariel, jika ditakdirkan bertemu jodoh suatu hari nanti, dia mengharapkan agar wanita itu kuat pegangan agamanya serta pandai menghormati orang tua.

"Buat masa sekarang, saya tidak mempunyai teman yang istimewa. Bagi saya, jika ditemukan jodoh, biarlah dengan wanita solehah yang pandai menjaga diri dan lengkap pegangan agamanya," kata Aeril mengakhiri bicara.

Yana terpaksa ikut kehendak Sam

Posted:

Yana terpaksa ikut kehendak Sam

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


SHAHEIZY SAM ada alasan tersendiri kenapa enggan muncul mendendangkan sendiri lagu, Begini Caranya di atas pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-27.


LAGU duet dua pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan Yana Samsuddin, yang berjudul Begini Caranya, bukan sahaja popular menerusi radio. Malah lagu itu juga meraih undi untuk layak bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27 yang akan diadakan pada 11 November ini.

Bagaimanapun, timbul isu pada sidang akhbar semasa mengumumkan senarai lagu yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pihak TV3 selaku penerbitnya telah mengumumkan bahawa Begini Caranya tidak akan dinyanyikan oleh Sam dan Yana.

Sebaliknya, di atas pentas separuh akhir program itu nanti, lagu tersebut akan didendangkan oleh Ajai dan Marsha Milan Londoh.

Menurut kenyataan TV3, Sam dan Yana tidak dapat menyampaikan lagu tersebut kerana gagal mendapat pelepasan daripada syarikat produksi lakonan mereka iaitu Metrowealth Movies Production (Metrowealth).

Bagi mendapatkan kepastian tentang perkara itu, Kosmo! telah menghubungi Sam baru-baru ini.

Kosmo!: Benarkah Metrowealth tidak memberikan pelepasan kepada Sam dan Yana untuk mendendangkan lagu, Begini Caranya pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-27?

SAM: Tidak sama sekali. Saya sebenarnya seorang pelakon dan bukan penyanyi. Jadi, saya merasakan tidak sesuai untuk membuat persembahan pada acara tersebut. Lebih afdal jika kami berikan peluang itu kepada penyanyi yang lebih layak atau mempunyai lebih pengalaman.

Peminat pasti kecewa kerana sebelum ini mereka mengundi Sam dan Yana. Boleh komen?

Ya, betul. Pada hakikatnya memang agak berat bagi saya untuk membuat keputusan ini. Namun, setelah berfikir panjang, saya terpaksa menarik diri kerana ia memerlukan banyak latihan. Dengan jadual lakonan yang sibuk, saya rasa saya tidak dapat berikan komitmen terhadap latihan nyanyian.

Jadi, ini memang keputusan Sam dan Yana sendiri?

Ini memang keputusan kami berdua.

Berikut pula komen daripada Yana Samsuddin yang pernah berpengalaman sebagai penyanyi sebelum ini.

Susah nyanyi lagu sendiri - K.Will

Posted:

Susah nyanyi lagu sendiri - K.Will

PENYANYI K.Will mengakui sukar menyanyikan lagunya sendiri ketika muncul dalam program televisyen Yoo Hee Yeol's Sketchbook pada 27 Oktober lalu. Katanya sambil bercanda: "Sangat susah untuk menyanyi pada nada yang tinggi walaupun lagu itu merupakan lagu saya sendiri.

"Penyanyi baharu berkata, mereka mahu membunuh diri di atas pentas apabila menyanyi lagu saya."

Lagu terbaharu K.Will berjudul Please Don't sama seperti lagu-lagunya sebelum ini mempunyai nada yang sangat tinggi. Ramai beranggapan lagunya tidak mampu dinyanyikan oleh penyanyi biasa.

"Sebenarnya lagu paling membebankan saya berjudul Left Heart yang merupakan lagu pengenalan saya dalam industri muzik. Memang sangat susah dan saya harus berusaha keras untuk menyanyi dalam nada tinggi tetapi itulah yang digemari oleh penonton," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved