Ahad, 21 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Khasiat makanan sunah Rasulullah

Posted:

Khasiat makanan sunah Rasulullah

SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

"Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.

"Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan," ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.

Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.


SETIAP individu seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui status kesihatan masing-masing. - Gambar hiasan


Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.

Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.

"Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.

"Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan," jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun

Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati."

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.


EKSTRAK minyak habbatus sauda dalam bentuk gel lembut.


Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

"Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia," ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

"Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

"Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung," jelas beliau.

Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.

"Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

"Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.


DR. LATIFFAH banyak menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan khasiat habbatus sauda sejak lebih sedekad lalu.


"Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan," terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

"Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

"Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.

"Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan," jelas beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


77 keluarga mangsa ribut terima sumbangan

Posted:

77 keluarga mangsa ribut terima sumbangan

MUNUSAMY (tengah) bersama penduduk Taman Kota Puteri dan Taman Megah Ria menerima cek sumbangan ribut JKM di Dewan Taman Kota Puteri, Pasir Gudang baru-baru ini.


PRIHATIN. Sebanyak 77 buah keluarga yang menjadi mangsa ribut di Taman Kota Puteri dan Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada satu majlis yang berlangsung di Taman Kota Puteri baru-baru ini.

Mangsa ribut terlibat menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, M. Munusamy. Turut hadir ialah Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim.

Menurut Munusamy, setiap keluarga menerima sumbangan antara RM200 hingga RM800 berdasarkan kerugian yang dialami dalam kejadian ribut pada 9 September lalu.

Katanya, sumbangan tersebut mampu meringankan beban penduduk yang terpaksa membaiki rumah mereka yang rosak selain membeli barangan keperluan harian.

Penduduk Keningau, Petronas tanam 120 batang pokok

Posted:

Penduduk Keningau, Petronas tanam 120 batang pokok

SEBAHAGIAN guru dan kakitangan Petronas menyiram pokok sempena Hari Penanaman Pokok di Keningau baru-baru ini.


HIJAU. Seramai 200 penduduk menyertai gotong-royong menanam sebanyak 120 batang pokok di Sekolah Kebangsaan Sook, Keningau, Sabah sempena Hari Penanaman Pokok di sekolah itu baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Petronas dengan kerjasama Pusat Tindakan Alam Sekitar Sabah dan Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Wanita Sabah.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Angin.

Pengerusi Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata, syarikat tersebut sentiasa menyokong usaha untuk melindungi alam sekitar terutamanya dalam menghadapi isu pemanasan global.

"Program tersebut diharapkan dapat mendidik masyarakat supaya menjaga dan memulihara alam sekitar dengan tidak melakukan aktiviti yang boleh merosakkannya," katanya.

PGA Kulim gotong-royong baiki, bersih madrasah

Posted:

PGA Kulim gotong-royong baiki, bersih madrasah

SEBAHAGIAN anggota PGA bergotong-royong membersihkan Madrasah Islam Manabi'ul Ulum di Kubang Ulu, Kulim Kedah baru-baru ini.


BERBAKTI. Seramai 341 pegawai dan anggota Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim bergotong-royong membaiki dan membersihkan Madrasah Islam Manabi'ul Ulum di Kubang Ulu, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Aktiviti tersebut bertujuan mendekatkan hubungan anggota polis dengan komuniti setempat menerusi kerja-kerja komuniti.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA, Superintendan Mokhtar Ismail berkata, pihaknya turut menyumbangkan sebuah mesin pam air bagi menggantikan mesin lama di madrasah itu.

Madrasah yang telah ditubuhkan sejak 1934 itu kini mempunyai sebanyak 462 orang pelajar. Rata-rata mereka ialah pelajar dari Kemboja, Indonesia, Vietnam, Thailand selain Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Harga rokok naik 20 sen berkuat kuasa hari ini

Posted:

Harga rokok naik 20 sen berkuat kuasa hari ini

Orang ramai tetap membeli rokok di sebuah kedai di Kuala Lumpur semalam meskipun harganya semakin mahal.


KUALA LUMPUR - British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan peningkatan 20 sen kepada harga semua rokoknya mulai hari ini.

"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh Kastam Diraja Malaysia pada Khamis, 18 Oktober 2012, tentang kenaikan yang dimandatkan dalam harga luar kilang rokok-rokok kami antara 26 peratus hingga 58 peratus berkuat kuasa Jumaat, 19 Oktober 2012.

"Berikutan itu, cukai eksais dan jualan telah dinaikkan," kata Pengarah Urusan BAT Malaysia, William Toh, dalam satu kenyataan.

BAT Malaysia adalah sebahagian daripada kumpulan British American Tobacco yang merupakan kumpulan syarikat tembakau antarabangsa terbesar dunia. - Bernama

Misteri gendang gergasi di pagar surau

Posted:

Misteri gendang gergasi di pagar surau

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
razak@kosmo.com.my


Redzuan menunjukkan gendang gergasi yang ditinggalkan di Surau Asy-Syakirin, Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI – Selepas setahun dikejutkan dengan penemuan sebuah beduk lama milik sebuah masjid di Johor, ahli jemaah sebuah surau di sini sekali lagi dikejutkan dengan penemuan hampir serupa apabila sebuah gendang lama didapati ditinggalkan di pintu pagar surau tersebut sejak beberapa hari lalu.

Kejadian itu disedari oleh ahli jemaah surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana, Seksyen 8 di sini ketika mereka mahu mengerjakan solat Subuh.

Penemuan gendang tersebut yang mempunyai lambang rasmi sebuah negeri bertarikh 1 Januari 1989 mencetuskan misteri tersendiri apabila kulit gendang tersebut turut dikoyakkan.

Seorang penduduk, Azhar Ismail, 44, berkata, dia terkejut melihat gendang besar itu ditinggalkan di pintu pagar surau semasa mahu menunaikan solat subuh.

"Siapa sahaja pasti terkejut apabila tiba-tiba melihat benda seperti ini pada awal pagi. Apabila diperiksa rupa-rupanya gendang lama," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Harimau akar sesat dalam rumah

Posted:

Harimau akar sesat dalam rumah

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

TIGA anggota JPAM Kota Bharu menunjukkan harimau akar yang berjaya ditangkap di Kampung Panji, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Enam sekeluarga gempar selepas rumah mereka di Kampung Panji dekat sini, dimasuki seekor harimau akar atau nama saintifiknya neofelis nebulosa yang sesat malam tadi.

Mangsa, Nik Roziana Mohamed, 32, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika dia dan empat anaknya sedang bersedia untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia di skrin gergasi berhampiran rumahnya.

Katanya, kejadian tersebut disedari oleh anaknya, Megat Azim Haikal Megat Roslan, 9, yang ternampak binatang tersebut berada di bawah kereta yang diletakkan di halaman rumah dan kemudiannya masuk ke dalam rumah.

"Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana berada di tempat tayangan skrin gergasi. Tiba-tiba salah seorang anak saya datang memberitahu ada seekor harimau akar telah masuk ke dalam rumah.

"Pada mulanya saya ingatkan ia satu gurauan, sehinggalah ibu saya, Tuan Zainab Tuan Mahmood, 54, memaklumkan ada harimau masuk ke dalam rumah," katanya di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Urban

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Persinggahan riang waktu membeli-belah

Posted:

Persinggahan riang waktu membeli-belah

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SUDAH menjadi rutin mingguan Danny Loo, 37, sekeluarga untuk membeli barangan basah dan kelengkapan rumah sebanyak dua kali seminggu.

Destinasi pilihan mereka sudah tentu AEON Taman Maluri, Cheras kerana ia terletak berhampiran dengan kediaman mereka.

Setiap kali berkunjung ke pusat beli-belah itu, Danny dan isterinya turut membawa anak sulung mereka, Natania Loo yang baharu mencecah usia 17 bulan.

Namun, untuk memastikan isterinya dapat membeli barangan dapur atau pakaian dengan lebih selesa, Danny biasanya akan membawa Natania ke taman permainan yang ada di AEON.

Permainan


KOLAM bola antara permainan pilihan yang terdapat di Wai Wai Park, pusat beli-belah AEON.


"Setiap kali kunjungan kami ke AEON, saya pasti membawa Natania ke taman permainan Molly Fantasy. Sudah lebih dua bulan saya menjadikan ia sebagai rutin jika ke sini.

"Natania sangat gembira bermain dengan segala kelengkapan yang disediakan. Pada masa yang sama ia membantu perkembangan mental dan fizikalnya," ujar Danny yang bekerja dalam sektor teknologi maklumat.

Molly Fantasy terbahagi kepada dua bahagian iaitu Wai Wai Park dan arked permainan video. Ia terletak di tingkat dua AEON Taman Maluri.

Molly Fantasy juga terdapat di 22 cawangan AEON yang lain di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Kebiasaannya Danny serta anak kesayangannya itu akan menghabiskan masa selama dua jam di Wai Wai Park yang menawarkan pelbagai permainan kanak-kanak seperti kolam bola, permainan kereta mini, permainan bongkah, istana belon dan sudut bacaan.

Menurutnya, semenjak kunjungan mereka ke taman permainan itu dua bulan lalu, dia dapat melihat kemajuan minda anaknya.

"Di sini, saya mendapati Natania lebih berdikari dan bebas bermain. Saya hanya mengawasi pergerakannya sahaja tanpa mengawalnya seperti di rumah.

"Saya juga tidak perlu bimbang kerana kawalan keselamatan dititikberatkan oleh pihak pengurusan.


PERMAINAN gelung belon sering mencuri tumpuan kanak-kanak di Wai Wai Park.


"Natania dapat bersosial dengan kanak-kanak lain semasa bermain. Ini merupakan salah satu cara saya mengajarnya untuk berkawan pada usianya yang baru setahun lebih," jelasnya.

Kebersihan

Kisah yang sama dikongsi oleh seorang lagi bapa iaitu Yang Azhar Abdul Razak, 28. Dia membawa anaknya, Yang Darwish ke Molly Fantasy sementara menunggu isterinya pulang dari tempat kerja.

Semasa ditemui, dia sedang mengambil cuti selama sehari untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran kedua-dua anaknya itu.

"Pada tahun ini, saya membawa Yang Darwish ke Wai Wai Park untuk menyambut hari jadinya. Ternyata dia sangat gembira bermain walaupun kami sudah beberapa kali berkunjung ke sini.

"Anak saya suka bermain bola. Setiap kali ke sini, kolam bola sudah tentu menjadi tumpuannya," ujar Yang Azhar.

Pengunjung tidak perlu risau mengenai faktor kebersihan di Wai Wai Park kerana pihak AEON Fantasy sentiasa membuat pemantauan rapi.

Permainan Video

Tidak hanya bertumpu pada taman permainan kanak-kanak, Molly Fantasy turut menyediakan pelbagai permainan video yang menggunakan token.

Arked permainan video yang terletak bersebelahan Wai Wai Park terbukti mampu menarik golongan muda untuk mencuba bermain permainan video lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

KEBERSIHAN menjadi keutamaan pihak AEON Fantasy untuk menjamin keselesaan ibu bapa dan anak-anak.


Seorang pelajar jurusan perniagaan dan teknologi maklumat di Kolej Teknologi YPC, Muhammad Firdaus Mohd. Nor, 21, memberitahu, dia dan rakan-rakan menjadikan pasar raya itu sebagai destinasi untuk menikmati hidangan makan tengah hari selepas tamat sesi kuliah.

"Apabila selesai menjamu selera, kami akan berkunjung ke arked ini untuk bermain permainan video sebelum pulang ke rumah masing-masing.

"Ini juga merupakan salah satu cara saya meluangkan masa bersama kawan-kawan.

"Lokasi pasar raya ini yang terletak berhampiran kolej turut memberi peluang kepada saya singgah bermain permainan video di sini sebanyak dua kali seminggu," ujarnya yang merupakan peminat permainan video konsol Playstation dan komputer.

Antara permainan video yang sering menjadi tumpuan golongan remaja ialah Deadstorm Pirates, Panic Shark, UFO Catcher dan Big Sweetland.

Nikmati secawan Starbucks dan terjun!

Posted:

Nikmati secawan Starbucks dan terjun!

Oleh NIZHA PERIASWAMY

KAKITANGAN MKL memeriahkan acara pada petang itu dnegan persembahan Flashmob, tarian untuk lagu Oppa Gangnam Style.


SECAWAN kopi mempunyai keunikan tersendiri kerana bukan sahaja aroma dan rasanya yang menyegarkan, bahkan ramai yang percaya ia mampu merangsang diri untuk lebih aktif.

Sama ada benar atau tidak, tiada kepastian dari segi saintifik. Namun, acapkali apabila badan dan minda berasa kurang bertenaga, secawan kopi pasti didekati.

Seiring dengan persepsi umum itu, jenama kopi terkenal, Starbucks tahun ini tampil sebagai rakan kerjasama bagi aktiviti bertaraf ekstrem antarabangsa, Terjun Bebas Antarabangsa 2012 yang diadakan baru-baru ini di Menara Kuala Lumpur (MKL).

Aktiviti terjun bebas itu yang dikenali sebagai BASE Jump 2012 menyaksikan kira-kira 95 penerjun bebas dari seluruh dunia mengambil bahagian. Mereka yang datang dari negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Greece, Turki, Belarus, New Zealand, Jepun, Sepanyol, Kanada, Itali, Portugal, Jerman, Perancis dan Mexico beraksi dalam acara selama empat hari bermula 27 September lalu.


TERJUNAN dibuat dari dek terbuka MKL pada ketinggian 300 meter.


Peserta membuat terjunan bebas dengan menggunakan payung terjun sambil kamera dipasang di kepala bagi merakam aksi sendiri melakukan terjunan dari dek terbuka yang terletak 300 meter dari paras laut.

Pada aktiviti yang sama, selaku rakan kerjasama, Starbucks membekalkan peserta dengan makanan dan minuman khususnya kopi sebelum mereka membuat terjunan.

Berdiri sebagai menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia, aktiviti yang menjadi acara tahunan MKL itu antara program yang mempromosi industri pelancongan Malaysia.

Tahun ini, menerusi penglibatan Starbucks, ia juga dipercayai memberi suntikan baharu kepada kedua-dua jenama tersebut.

Wakil penerjun Starbucks, Gary Cunningham, bukan calang-calang orangnya kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam sukan payung terjun di pelbagai lokasi.

Memegang secawan kertas minuman bersaiz besar Starbucks, Gary yang berasal dari Australia membuat dua lompatan sebagai menandakan kerjasama antara MKL dan Starbucks.

"Cunningham dipilih kerana kegigihan dan kecemerlangan beliau dalam sukan ini.

"Beliau memegang rekod dunia dengan membuat terjunan sebanyak 133 kali dalam masa 24 jam pada BASE Jump 2005 di MKL," ujar Pengurus Besar Penganjuran Divisi dan Acara MKL, Mohd. Izwan Abdul Halim.

Gimik

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Starbucks Coffee, Sydney Quays, menyatakan keterujaan beliau dan syarikatnya selaku rakan kerjasama kepada acara tahunan sukan ekstrem itu.

"Kami sangat bangga dengan keistimewaan yang diberikan selaku rakan kerjasama. Kami mengalu-alukan semua peserta dari 95 negara untuk menikmati pengalaman bersama Starbucks," kata Sydney.

Menawarkan ruang yang selesa dengan kemudahan Wi-Fi, Starbucks, katanya bukan sekadar kedai menikmati secawan kopi, tetapi bagi pelancong asing, ia umpama rumah ketiga mereka.

PERNERJUN membuat pelbagai formasi menarik di udara sebelum membuka payung terjun masing-masing.


Dalam pada itu, penerjun, Cunningham, memberitahu, beliau berasa lebih bersedia untuk membuat terjunan selepas menghirup secawan kopi Starbucks.

"Sekarang, mari lihat saya melompat," katanya sebelum beredar ke tingkat dek terbuka MKL.

Sambil memegang cawan dan mengikat bendera Starbucks, Cunningham yang sepatutnya membuat cuma satu terjunan khas sebaliknya melakukannya dua kali.

Ia untuk memberi peluang kepada pihak Starbucks, MKL dan media menonton serta merakam foto aksi terjunan dari pandangan atas dan bawah.

Turut ditempatkan berdekatan kawasan parkir kereta ialah van patrol Chill Starbucks yang menyediakan pilihan minuman sejuk kepada pelanggan.

Pelanggan Starbucks juga diberikan harga diskaun 10 peratus bagi tiket pemerhatian MKL sepanjang jangka promosi yang diadakan sebulan sebelum acara.

Selepas terjunan juga, pihak MKL membuat satu lagi kejutan kepada para penerjun dan pengunjung dengan menyampaikan tarian flash mob lagu Psy, Oppa Gangnam Style.

Pangsapuri selesa di tanah tinggi

Posted:

Pangsapuri selesa di tanah tinggi

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

HOCK SAN (dua dari kiri menunjukkan miniatur projek Somerset Square yang bakal siap pada tahun 2015.


SUASANA dingin dan kehijauan alam di Cameron Highlands, Pahang antara penyebab utama pelancong sering memilih untuk bercuti di tanah tinggi itu.

Namun, adakah anda pernah terfikir untuk memiliki pelaburan aset atau kediaman di Cameron Highlands?

Pangsapuri Somerset Square yang dijanakan oleh pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd. (LBS) adalah jawapan yang tepat jika anda berminat.

LBS bukan nama baharu dalam industri hartanah negara lebih-lebih lagi selepas melihat kejayaannya dalam beberapa projek seperti Bandar Saujana Putra dan D'Island Residence di Puchong, Selangor.

Somerset Square merangkumi enam blok pangsapuri kedai Somerset I dan Somerset II. Somerset I memiliki 92 unit pangsapuri empat tingkat, manakala Somerset II mempunyai 64 unit.

Pangsapuri kedai itu terletak di dalam kawasan seluas 23 hektar yang merangkumi hartanah komersial dan kediaman setinggi 1,515 meter dari paras laut.

Kedua-dua kediaman itu mempunyai keluasan antara 82 meter persegi hingga 129 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Tawaran harga untuk unit itu bermula serendah RM385,800. Rebat sebanyak 8 peratus diberikan kepada pembeli terawal.

Perabot lengkap

Pengarah Urusan LBS, Datuk Lim Hock San memberitahu, Somerset Square merupakan projek LBS yang kedua di Cameron Highlands selepas The Vines.

"Somerset Square yang terletak di kawasan Cameron Golden Hills merupakan salah satu bandar baharu yang menawarkan pangsapuri percutian, teres dua tingkat, rumah separa berkembar, vila, lot banglo, pembangunan komersial dan hotel.

"Ini adalah satu projek LBS untuk menunjukkan komitmen kami terhadap kehidupan komuniti. Ia juga bersesuaian untuk pembeli yang berpendapatan sederhana hingga kepada pembeli yang berpendapatan tinggi," ujarnya ketika pelancaran projek Somerset Square di Galeri Hartanah Big House, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pangsapuri kedai itu juga menyediakan lif di setiap blok untuk memudahkan pergerakan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, setiap pangsapuri dilengkapi dengan perkakasan dapur dan kelengkapan rumah seperti peti sejuk, mesin basuh pakaian, ketuhar gelombang mikro dan dapur memasak.

Setakat ini, kesemua lot Somerset I telah habis dijual sementara Somerset II masih mempunyai lot kosong serta mendapat respons yang baik daripada bakal pembeli.

Tambah Hock San, Somerset I dan Somerset II dijadualkan siap menjelang 2015.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-7877 7333 atau layari laman web www.lbs.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Syria didakwa bunuh ketua perisik Lebanon

Posted:

Syria didakwa bunuh ketua perisik Lebanon

BEBERAPA anggota polis semalam memeriksa lokasi kejadian letupan bom kereta yang menyebabkan Wissam terbunuh di Ashrafieh, Beirut.


BEIRUT - Para penunjuk perasaan membakar tayar dan membuat sekatan jalan di Lebanon semalam bagi membantah pembunuhan ketua perisik pasukan keselamatan dalam negeri, Brigedier Jeneral Wissam al-Hassan kelmarin yang didakwa didalangi Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Wissam, 47, terbunuh apabila sebuah kereta yang mengandungi bom seberat 30 kilogram diletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh di daerah Ashrafieh yang didiami ramai penduduk beragama Kristian.

Selepas mengetahui kematian Wissam yang merupakan pengikut aliran sunah, para penunjuk perasaan tersebut membakar tayar dan menyekat jalan raya dari bandar Tripoli di utara Lebanon sehingga ke sempadan Syria.

Kejadian itu berlaku ketika para pengikut sunah di Syria menentang kepimpinan Bashar yang merupakan pengikut Syiah Alawi.

Bekas perdana menteri Lebanon yang kini menjadi ketua pembangkang, Saad Hariri mendakwa Bashar terlibat dalam serangan tersebut.

Seorang lagi pemimpin pembangkang, Walid Jumblatt turut menuduh rejim Bashar membunuh Wissam.

Ekoran kejadian itu, para pengikut sunah di Lebanon mendesak Perdana Menteri, Najib Makati meletakkan jawatan.

Mikati kemudian menawarkan peletakan jawatannya tetapi Presiden Michel Suleiman memintanya terus memegang jawatan itu bagi satu tempoh yang belum ditetapkan.

Sebelum letupan bom itu berlaku, Wissam telah menjangkakan beliau akan menjadi sasaran pembunuhan menyebabkannya menghantar isteri dan anak-anaknya ke Paris.

Kebanyakan pemerhati menyatakan serangan itu mempunyai kaitan dengan perang di Syria yang kini sudah berlanjutan selama 19 bulan dan menyebabkan lebih 30,000 orang mati.

Wissam mengetuai siasatan yang menyebabkan bekas menteri penerangan Syria dan penyokong Bashar, Michel Samaha ditangkap.

Samaha kini ditahan di penjara Lebanon atas dakwaan merancang kempen serangan bom dan pembunuhan dengan tujuan untuk menyebabkan perbalahan antara mazhab Islam di negara ini merebak.

Turut ditangkap ialah seorang pegawai tentera Syria, Brigedier Jeneral Ali Mamlouk.

Wissam juga memainkan peranan penting dalam siasatan pembunuhan bekas perdana menteri Lebanon, Rafik Hariri pada 2005 di sini.

Hariri mati apabila sebuah trak meletup.

Siasatan yang diketuai Wissam itu menemui bukti penglibatan kumpulan Hezbollah dan Syria. - Agensi

Tentera Israel serbu kapal ke Gaza

Posted:

Tentera Israel serbu kapal ke Gaza

GAMBAR yang disiarkan Pasukan Pertahanan Israel menunjukkan kapal MV Estelle berada dekat Genting Gaza semalam.


BAITULMUQADDIS - Tentera Laut Israel semalam menyerbu sebuah kapal yang membawa para aktivis Palestin termasuk wakil rakyat Eropah untuk memecahkan sekatan ke Gaza.

Menurut satu kenyataan tentera rejim Zionis, anggota-anggota tentera laut itu menaiki kapal MV Estelle yang dalam pelayaran ke Genting Gaza.

Kenyataan itu menyatakan, kapal tersebut yang mengibarkan bendera Finland diarah berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel.

"Tiada sebarang keganasan (tindakan yang dilakukan anggota tentera laut)," kata seorang jurucakap tentera Israel.

Menurutnya, para penumpang kapal tersebut tidak melawan semasa serbuan itu dilakukan.

Pengumuman itu dibuat selepas pihak penganjur menyatakan kapal berkenaan 'diserang' ketika berada 35 batu nautika dari pantai Gaza.

Apabila tiba di pelabuhan tersebut, para penumpang akan diserahkan kepada polis sebelum dihantar untuk diuruskan pihak imigresen.

Kapal yang dimiliki Sweden itu berlepas dari Naples, Itali pada 7 Oktober lalu dengan membawa 30 orang dari lapan buah negara.

Ia membawa beberapa wakil rakyat dari Norway, Sweden, Greece, Sepanyol dan seorang aktivis Israel berusia 79 tahun dari Kanada.

Kapal itu membawa dua pokok zaitun, 41 tan simen, 300 biji bola sepak, peralatan perubatan dan buku kanak-kanak.

Ia turut membawa peralatan muzik, radio dan wayang gambar. - Agensi

Pasangan pengantin pakai kostum Klingon

Posted:

Pasangan pengantin pakai kostum Klingon

GUSTAVSSON (kiri) dan Sockertopp memakai kostum watak Klingon pada majlis perkahwinan mereka di Pusat ExCel, timur London kelmarin.


LONDON - Satu pasangan pengantin, Sonnie Gustavsson dan Jossie Sockertopp memakai kostum watak yang terdapat dalam filem Star Trek, Klingon pada majlis perkahwinan mereka di sini kelmarin.

Sockertopp, 23, dan Gustavsson, 29, sanggup datang dari Sweden ke sini semata-mata untuk berkahwin dalam majlis tersebut di Pusat ExCel, timur London.

Pusat itu menjadi lokasi tempat Persidangan Star Trek diadakan buat kali pertama yang dihadiri para peminat filem itu, pelakon dan penulis.

Klingon merupakan watak pahlawan dalam filem tersebut.

"Saya menjadi peminat Star Trek sejak kecil lagi. Majlis ini amat menyeronokkan," kata Gustavsson. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Mayat lelaki ditemui di stor jubin terbiar

Posted:

Mayat lelaki ditemui di stor jubin terbiar

21/10/2012 7:12pm

BESUT – Mayat seorang lelaki yang lengkap berbaju Melayu dan memakai kain ditemui di sebuah stor terbiar menjual peralatan membuat rumah di Kampung Seberang Jerteh awal hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Rosnan Jaafar, 51, dari Kampung Lak Lok Dalam, Jerteh bekerja sebagai buruh dengan sebuah Syarikat Kuari di Bukit Yong di sini.

Ketika mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Zakaria berkata, sebelum kejadian itu polis Balai Jerteh telah menerima laporan daripada anak lelaki mangsa tentang kehilangan ayahnya yang tidak balik rumah sejak keluar jam 9.00 malam Sabtu lalu.

Katanya, dalam laporan tersebut si mati dilaporkan telah keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikalnya untuk mengisi minyak tetapi tidak pulang sehingga mayatnya ditemui kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Menurut Kamaruddin, mayat si mati telah ditemui oleh pemilik kedai menjual peralatan membuat rumah bersebelahan stor itu.

"Ketika ditemui mayat si mati didapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh malah motosikal jenis Honda Wave dan dompet milik si mati juga ditemui pada motosikalnya yang diletakkan berdekatan," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sebelum itu polis diberitahu anggota keluarganya yang si mati pernah dimasukkan ke Hospital daerah Besut awal bulan ini kerana mempunyai penyakit jantung dan lelah.

Mayatnya dibawa ke Hospital daerah Besut untuk bedah siasat. — BERNAMA

44 warga asing tanpa dokumen ditahan

Posted:

44 warga asing tanpa dokumen ditahan

21/10/2012 7:11pm

GEORGETOWN — Polis menahan 44 warga asing yang didapati tiada dokumen perjalanan sah menerusi "Ops Rantau" di sekitar pusat bandar, di sini hari ini.

Sumber polis berkata, mereka yang ditahan ialah warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan Vietnam.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan lima wanita berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita.

Operasi berlangsung selama dua jam dari pukul 3 petang itu memeriksa 315 rakyat asing, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan penangkapan warga asing berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — BERNAMA

Empat ahli Geng Syawal ditahan polis

Posted:

Empat ahli Geng Syawal ditahan polis

21/10/2012 7:09pm

MELAKA — Polis menahan empat anggota Geng Syawal yang dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri dan meleraikan kenderaan sekitar daerah ini di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun itu ditahan di sebuah bengkel kenderaan kepunyaan salah seorang anggota kumpulan itu di Duyong di sini dalam serbuan jam 8 malam hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, polis turut menemui komponen kenderaan bernilai RM60,000 yang dipercayai dileraikan daripada lapan kenderaan tempatan selepas dicuri.

"Siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan ini ialah membeli kenderaan tempatan yang dicuri sebelum meleraikannya dan menjualnya semula," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya sindiket tersebut turut terlibat sama mencuri kenderaan dan meleraikannya sebelum menjualnya dalam bentuk komponen.

Katanya, penahanan kesemua lelaki tersebut juga dipercayai telah membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes curi kenderaan tempatan melibatkan Proton Saga dan Iswara di negeri itu.

Beliau berkata, kesemua mereka yang kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Eja anggap diri budak tadika

Posted:

Eja anggap diri budak tadika

BERSAMA-SAMA Lisa Surihani, Azizah Mahzan, Radhi Khalid, Esma Daniel, Nazim Othman serta pelakon tambahan yang lain, itu pasukan terbaik di mata Eja.


GELORA lautan boleh sahaja dilawan armada perkasa namun tiada yang dapat berlawan dengan takdir. Sekilas pandang, pernyataan itu terlalu besar untuk dicondongkan kepada situasi yang sedang menjadi rutin jelitawan bernama Siti Shahrizah Saifuddin ketika ini.

Umum tahu dia menjadi 'orang ketiga' namun kuatnya hati wanita itu, segala cabaran mahu ditepis tanpa mudah mengaku kalah. Skeptikal umum tentang masalah dalaman dan kekalutan dalam naskhah teater Tun Dr. Siti Hasmah juga mahu dibuang jauh dari kotak fikirannya.

Berbaki kurang daripada 30 hari sesi latihan menjelang hari pertama untuk ditatap sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, dia melalui saat yang diibaratkan sebagai sesi prasekolah. Sementelah, watak isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu watak sulung yang membawanya ke dunia teater.

"Saya selalu dianggap sebagai jiran yang anti sosial oleh penerbit teater ini, Datin Paduka Umie Aida. Kami berjiran tapi saya jarang bertemu mesra dengannya. Ketika dia menelefon saya untuk menawarkan watak berkenaan, saya kaget. Umie mahu berjumpa dan berikan saya skrip teater itu. Saya pula langsung tidak tahu apa-apa perkembangan tentang teater berkenaan.

"Dalam masa saya masih berkira-kira untuk membaca skrip terlebih dulu, Umie memberi isyarat agar jawapan yang bakal keluar dari mulut saya ialah jawapan yang dia mahukan," tenang Eja bercerita susur titik yang membawa dirinya memasuki pasukan teater yang diterajui oleh Erma Fatima itu.

Meletakkan dirinya sebagai gelas kosong yang hari demi hari diisi titis-titis air sebagai penghilang dahaga ilmu, kata Eja, amanah yang terjunjung atas batu jemalanya itu juga disifatkan sebagai takdir dan peluang yang tidak mampu dibayar oleh wang ringgit.

"Saya anggap peluang ini sebagai takdir yang telah tertulis untuk saya. Ia sebuah rezeki dan pengalaman berlakon bersama pasukan teater ini satu anugerah yang tidak ternilai. Saya diberi keyakinan untuk watak itu, kenapa mesti saya sendiri perlu berasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Jadi saya terima semua tunjuk-ajar sewaktu sesi latihan.

"Vokal dan lenggok cakap saya yang mendayu-dayu kena pancung habis. Saya cuba sedaya-upaya, selebihnya semoga urusan ini dipermudahkan Allah SWT," lenturnya hampir meluluhkan perasaan.

Pilihan ketiga pilihan terbaik


PERCAYA kepada takdir dan rezeki yang memihak untuknya, Eja sahut cabaran untuk jiwai karakter Tun Siti Hasmah biarpun sebelum ini nama Erra Fazira dan Sofia Jane menjadi pilihan pertama dan kedua.


Hampir 16 tahun dalam industri juga, Eja sudah cukup membuktikan dirinya sebagai anak seni. Deretan drama televisyen berupa drama bersiri mahupun telemovie, bahkan terpilih ke dalam senarai aktres terbaik Malaysia dalam Festival Filem Malaysia menerusi Janin, namun untuk teater yang akan berkampung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, namanya muncul sebagai pilihan ketiga. Itupun, selepas pilihan pertama, Erra Fazira dan Sofia Jane menarik diri.

Kedua-dua pelakon itu miliki pesona dan profil tersendiri, kedua-duanya juga pernah melakar nama indah di kanvas perfileman dan teater tanah air. Namun, atas beberapa masalah, kedua-duanya tidak kesampaian untuk memecah tembok menzahirkan watak bekas wanita pertama negara itu.

"Tidak adil untuk saya bercakap tentang apa yang berlaku kepada dua pelakon berkenaan. Benar saya pilihan ketiga tetapi fikiran saya menolak untuk memikirkan susun atur tersebut. Kalau difikirkan akan menambah tekanan. Lebih baik saya ambil positif.

"Setahu saya, Lisa juga bukan pilihan pertama, Erma Fatima dan Esma Daniel juga bukan pilihan pertama. Pendek kata, kebanyakan nama dalam pasukan teater ini bukanlah pilihan pertama, tapi inilah pilihan yang terbaik," katanya sedar jika selalunya peluang berpihak kepada nama yang sama, tiada kelainan dapat disaksikan.

Tambah Eja: "Cuma jangan terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sekiranya persembahan saya nanti tidak sampai ke tahap yang diimpikan, itu tidak bermakna saya gagal.

"Saya tak kisah dikritik, bahkan saya mohon, tegurlah dan dan kritiklah saya. Cuma janganlah kecam saya sehingga saya terduduk."

Meneruskan nota hatinya untuk dipaparkan sebelum lakonannya diperlihatkan, Eja menjelaskan banyak sebab yang menyokong pilihannya untuk menyahut tawaran melakonkan watak Siti Hasmah.

"Saya terima watak ini atas banyak sebab, terutamanya kerana Umie, Erma dan Normah Nordin sebagai jurulatih lakonan. Sudah tentu juga kerana teater itu sendiri yang bercerita tentang wanita ulung negara.

"Setiap kali melintasi dan datang menyaksikan kerja orang lain, saya cuma tertanya-tanya tentang peluang untuk saya berlakon di sini (Istana Budaya). Alhamdulillah, Allah SWT telah mendengar doa saya dan peluang ini tidak harus saya lepaskan.

"Saya juga mahu mencabar diri saya untuk berdepan dengan khalayak yang ramai. Satu tahu, itu kelemahan utama saya. Saya jenis yang tidak pandai berurusan dengan orang ramai dalam satu-satu majlis."

Pinta aktres berusia 40 tahun itu, janganlah dirinya dibandingkan dengan Erra mahupun Sofia.

"Erra seorang primadona filem Melayu, Sofia pula pelakon yang cukup berpengalaman. Kami dalam liga yang berbeza. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk fikirkan perkara itu," katanya yang semakin tenang selepas selepas beberapa minggu menjalani latihan.

Gerun berdepan 9 November

Tiga minggu menjalani latihan, banyak yang telah dikutip. Selain skrip yang dibekalkan, itu pun baru sahaja diberikan skrip terakhir beberapa hari lalu, Eja turut membuat rujukan peribadi untuk mengenali dan mendalami watak sebenar yang dipegangnya.


MEMASUKI usia 40 tahun kematangan sifat kewanitaan dan keibuan Eja tambah meyakinkan bahawa aktres yang pernah digelar ratu bulu mata palsu satu ketika dahulu itu pilihan terbaik untuk merealitikan wajah Tun Siti Hasmah di pentas Istana Budaya pada 9 hingga 19 November nanti.


"Saya baca buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya juga 'google' untuk cari maklumat-maklumat berkaitan, tengok dalam YouTube. Mujurlah sempat juga bertemu dengan Siti Hasmah baru-baru ini. Saya hanya nampak dan kenal beliau dari jauh, saya katakan pada diri saya, tiada sesiapa pun yang dapat menjadi Tun selepas ini. Apa yang akan saya persembahkan nanti hanyalah Siti Hasmah seperti yang dibayangkan setepat yang mungkin," katanya.

Daripada 74 babak keseluruhan, 64 daripada babak dalam teater tersebut melibatkan lakonannya.

"Harap penonton tidak muak nanti," tutupnya ketawa sambil tidak mahu membohongi diri bahawa jauh di hati yang terdalam, dia menyimpan gugup dan gerun berdepan teater berprofil tinggi itu.

Memetik kata-katanya di awal perbualan, 'seandainya lakonan itu sesuatu yang bakal memberikan kesan ke jiwa penonton, itu sudah satu ibadah saya untuk masyarakat.'

Jika Eja berjaya memberi interpretasi yang paling tepat menghampiri lahiriah dan batiniah Siti Hasmah sepanjang 9 hingga 19 November nanti, gambaran itu bakal jadi riwayat hidup yang memberi impak. Bukan sahaja kepada penonton bahkan kepada pemilik riwayat itu sendiri.

2012 uji kejantanan Farid

Posted:

2012 uji kejantanan Farid

PE3 adalah sebuah dedikasi Farid terhadap golongan tertentu.


DEBARAN Farid Kamil sedang memuncak berikutan dia kini berdepan dua perkara terpenting dalam hidup. Dia berdebar kerana filem Pe3 dan bergelar suami kepada pelakon Diana Danielle.

Filem kedua arahan Farid, Pe3 sudah ditayangkan di panggung bermula 18 Oktober lalu. Selepas Kongsi, itu taruhan baharu jejaka 31 tahun ini yang masih bermain dengan genre aksi. Namun kali ini diselitkan komedi untuk menjadi perencah filem yang turut dilakonkan bersama Kamal Adli dan Diana Amir itu.

Angka tiga juga bakal menukar kehidupan pemuda kelahiran Kedah ini. Daripada status si teruna ke suami seorang aktres terkenal, Diana Danielle yang duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengannya. Tarikh 3 November 2012 dipilih sebagai tanda dua jiwa ini menjadi satu.

Pasangan ini mendedahkan yang mereka akan bernikah pada pagi 3 November kelak di Hotel Flamingo Ampang dan memilih taman di pinggiran tasik sebagai lokasi untuk bernikah. Pendedahan itu diadakan pada tarikh debaran filem Pe3 ditayangkan kepada pihak media, baru-baru ini.

Buat pengarah yang sudah mengembara ke Australia untuk segulung sijil lagak aksi, Pe3 buat Farid adalah sebuah filem dedikasi.

"Filem ini adalah sebuah cerita yang saya tujukan khas buat sebuah golongan, tetapi harus saya tegaskan bukan kumpulan tertentu. Golongan ini telah menjalankan aktiviti hitam secara terangan," tegas Farid yang membawa watak Megat, seorang ketua gengster yang merasakan dirinya bagus.

"Karakter Megat ini sangat menjijikkan. Dia rasa dia bagus," ulas Farid lagi.

Menginjak balik sejarah lama, Farid Kamil pernah dihujani panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan gara-gara kekasihnya Diana. Dia hadapinya dengan tenang dan jantan.

"Sewaktu mahu bikin Pe3, saya sudah bersedia namun tetap ada kerisauan. Mungkin ini akan ada masyarakat atau golongan tertentu bertindak agresif terhadap saya. Namun ini tidak ada kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Saya harap penjelasan ini akan dapat memberi pemahaman yang baik," jelasnya yang menjalankan penggambaran filem Pe3 di Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Masih mengangkat tema gengster dalam filem kali ini, ujar Farid gengsterisme sudah lama berada dalam masyarakat kita malah sebelum 55 tahun kemerdekaan.

"Banyak cerita kongsi gelap dijadikan cerita rakyat dan mitos yang tepat. Itu sudah berlaku sebelum merdeka. Tidak menjadi persoalan dalam mengangkat tema gengsterisme. Cuma kini pendekatan pengarah lebih komersial," jelasnya yang akan muncul juga dalam filem Legenda Budak Setan 2: Katerina.

Menariknya, Pe3 dan Diana mempunyai persamaan. Pertemuan kedua-dua subjek penting ini berdasarkan pembacaan Farid di surat khabar. Teringat cerita Farid satu ketika yang memberanikan diri menegur dan mengusik Diana dalam satu acara di Bangsar selepas membaca kisah kontroversi gadis itu di surat khabar.

Usikan nakalnya yang berbunyi, 'kalau sudah single bolehlah masuk jarum' rupanya adalah satu tanda bahawa jodoh bakal bertemu.

Begitu juga dengan Pe3, hasil pembacaan Farid tentang kisah rompakan mikrocip yang berlaku di Pulau Pinang telah membuahkan idea untuk tampil dengan sebuah filem. Mengangkat jenayah yang dibacanya di laman suratkhabar, filem ini memaparkan beberapa episod daripada penceritaan saksi yang ditemuinya.

Guba tidak tumpang populariti

Posted:

Guba tidak tumpang populariti


GUBA menegaskan bahawa tiada isu menumpang populariti apabila dia berduet dengan Yuna mahu pun Diana Danielle. Semuanya berlaku kerana keserasian.


MELODI lagu-lagu daripada album pertama jejaka ini kedengaran sedikit berbeza. Guba atau nama sebenarnya Gabrial Robert tampil dengan irama lebih segar berbanding album penyanyi lain di pasaran.

Kata jejaka berumur 28 tahun itu, lagu-lagu mendayu yang dimuatkan dalam album Guba: Hilang itu berkonsepkan irama pop alternatif.

Benar, jika kali pertama mendengar lagu-lagu seperti Purple River, Oh Please, You and Me dan Aku Pergi itu, melodinya kedengaran bervariasi. Tetapi lenggok suara Guba itu kedengaran persis penyanyi Yuna. Dia turut mengakuinya.

"Boleh dikatakan lagi-lagu saya seperti Yuna versi lelaki. Sengaja saya memberi variasi kepada album ini kerana rasanya belum ada lagi penyanyi lelaki lain di negara ini yang membawakan lagu berentak sedemikian.

"Lagi pun boleh dikatakan bahawa rentak sebegini masih baharu di negara kita. Rentaknya juga santai," kata Guba semasa sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Dia yang kini turut berkhidmat sebagi pegawai perhubungan awam (PR) di sebuah institusi pengajian tinggi itu tampil dengan lapan lagu Inggeris dan dua lagu berbahasa Melayu.

Guba bertuah kerana pantas diberi peluang untuk menghasilkan album sendiri. Apatah lagi pada saat ini penyanyi lain sekadar berani mempertaruhkan lagu dalam bentuk single.

Kebolehan mencipta lagu membuka peluang besar untuk dia tampil dengan sebuah album penuh dengan sepuluh buah lagu itu.

"Saya akui bahawa trend penjualan album penuh pada ketika ini begitu teruk. Bagaimanapun jika tidak cuba, kita tidak akan tahu kelebihan kita.

"Lagipun kesemua lagu dalam album ini merupakan koleksi ciptaan saya sendiri. Ada lagu yang disiapkan dalam tempoh sepuluh minit sahaja iaitu yang berjudul Did We," katanya yang gemar mencipta lagu ketika pulang dari kerja.

Lebih istimewa apabila Guba menampilkan penyanyi antarabangsa Yuna untuk berduet dalam lagu You're So Fine dan pelakon Diana Danielle menerusi duet dalam lagu A Beauty Company.

Bersedia untuk dilabel sebagai mahu menggunakan populariti dua nama besar tersebut sebagai platform pantas mencipta nama, Guba tampil dengan alasannya.

"Sebenarnya tidak timbul soal menumpang populariti Yuna dan Diana Danielle di sini. Saya berduet dengan mereka pun disebabkan keserasian antara kami.

"Secara peribadinya saya tidak mengenali mereka, tetapi keputusan itu juga atas sebab pilihan oleh syarikat rakaman, Laguna Music," jelas pemegang ijazah dalam bidang perniagaan itu.

Mengakhiri bicara Guba berkata, dia sekadar mencuba nasib untuk menjadi penyanyi kerana minatnya lebih terarah kepada penciptaan lagu. Namun begitu dia tetap memilih untuk membahagikan masa di antara kerjaya sebagai pegawai seranta dan penyanyi.

Sehingga kini anak bongsu daripada enam beradik itu telah mencipta sebanyak kira-kira 60 buah lagu sendiri.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved