Isnin, 8 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Generasi muda pewaris bahasa ibunda

Posted:

Generasi muda pewaris bahasa ibunda

ANDA kaum apa? Itu soalan lazim yang ditujukan kepada Nursyahirah Mohd. Aziz yang baru berusia 13 tahun memandangkan wajahnya yang tidak tumpah seperti gadis Asia Barat.

Memiliki mata besar dan hidung yang mancung, gadis yang menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu rupa-rupanya berketurunan Pakistan.

Namun, peliknya walaupun ibu bapa Nursyahirah sememangnya berketurunan Pakistan, namun dia tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka Punjabi atau Urdu.

Akui Nursyahirah, sewaktu zaman kanak-kanak dahulu penguasaan bahasa Punjabinya lebih teruk. Dia hanya faham sedikit apa yang dituturkan oleh ahli keluarganya dan langsung tidak dapat membalas bicara dalam bahasa tersebut.

"Bayangkan, apa yang disebut lain bunyi dan maknanya pun berbeza. Apabila itu berlaku, saya berasa malu untuk meneruskan perbualan," kata gadis itu yang akhirnya lebih senang berbahasa Melayu dengan ahli keluarga di rumah.

Keselesaan berbahasa Melayu dan Inggeris di sekolah mungkin telah mengehadkan kemampuan Nursyahirah menguasai bahasa Punjabi.

Pakistan celup

Sewaktu berusia 8 tahun ketika di sekolah, rakan-rakan mula melabelkannya sebagai Pakistan celup.

"Ramai kawan di sekolah yang gemar menonton filem Bollywood sehingga meminta saya menterjemahkan pelbagai jenis ayat dari bahasa Melayu ke bahasa Punjabi kepada mereka. Pada kebanyakan masa, memang saya terpaksa menghampakan permintaan tersebut kerana memang saya tidak tahu banyak perkataan Punjabi. Akhirnya, label Pakistan Celup memang sangat menghantui saya," tuturnya sambil mengakui gelaran tersebut ternyata memberi kesan mendalam pada dirinya, sehingga sejak itu dia nekad untuk mula menguasai bahasa Punjabi.


BAHASA ibunda sangat penting kerana ia melambangkan identiti sesebuah kaum.


Sejak itu juga, gadis berkulit cerah itu mula menonton filem-filem Bollywood dan menjadi pencinta filem berkenaan, walaupun sebelum itu dia amat jarang menonton filem berkenaan.

Selain itu, dia juga akan melayari laman web yang mempunyai rangkaian panduan bahasa Punjabi kerana kaedah itu banyak membantunya menguasai dengan kebih cepat bahasa tersebut.

Pada masa yang sama, dia juga akan bertanya kepada ibunya mengenai perkataan-perkataan yang sukar difahami.

"Saya melihat langkah-langkah itu memudahkan saya untuk belajar bahasa ibunda saya, malah membuatkan saya semakin berminat dengan bahasa tersebut. Jika dahulu saya kosong, kini semakin bertambah baik," ujarnya.

Kemerosotan bahasa ibunda menurut bidang linguistik adalah kegagalan penutur aslinya untuk menguasai bahasa tersebut. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh jumlah penuturnya yang makin berkurang atau perkembangan bahasa lain yang menghakis kepentingan bahasa ibunda itu.

Biarpun Persatuan Linguistik Amerika Syarikat menyatakan terdapat antara 6,800 hingga 6,900 jenis bahasa di dunia ini, namun globalisasi hari ini menyebabkan hanya beberapa bahasa menjadi keutamaan. Ternyata, globalisasi yang dipacu oleh kemajuan internet begitu dekat dengan generasi muda.

Lantaran itulah, kemerosotan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda agak ketara.

Percaya atau tidak, hampir 3,000 daripada 6,800 bahasa ibunda yang terdapat di dunia ini kemungkinan akan pupus menjelang tahun 2050.

Perkara itu diakui pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Hashim Musa.

Menurutnya, selain faktor tidak dipertuturkan dan tidak diajar lagi kepada generasi muda, ia juga disebabkan bahasa-bahasa ibunda yang tinggal kini terdiri daripada penutur yang kecil.

GOLONGAN ibu bapa sanggup menghantar anak-anak mereka ke tuisyen untuk mempelajari bahasa lain.


"Misalnya bahasa etnik Orang Asli dan Iban yang kini dilihat kian merosot kerana kebanyakan golongan yang berusia telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkara yang sama, beliau juga tidak menolak ia juga disebabkan bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris.

"Kebanyakan masyarakat percaya bahawa bahasa Inggeris membuka peluang pekerjaan. Oleh itu, mereka lebih menitikberatkan bahasa asing daripada bahasa ibunda sendiri sehingga akhirnya bahasa ibunda mengalami kepupusan,"ujarnya lagi.

Upah guru khas

Situasi tersebut turut dirasai oleh seorang ibu dari Klang, Selangor, P. Ezhilarasi, 33. Disebabkan mahu memastikan anak-anaknya bukan sahaja dapat bertutur, malah menulis dan membaca tulisan Tamil, dia mendapatkan khidmat guru bahasa Tamil khas untuk anak-anaknya.

Biarpun, guru di sekolah juga ada mengajar bahasa Tamil, tetapi dia masih mahu berbuat demikian supaya anaknya dapat memberi perhatian dan tumpuan 100 peratus kepada subjek itu tanpa sebarang gangguan.

Kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia 7 dan 8 tahun telah mula menghadiri kelas itu sejak tiga tahun lalu.

Bagi kakitangan swasta itu, dia mula mendapat kesedaran untuk menghantar anaknya ke kelas tambahan apabila dia sendiri pernah mengalami kesukaran untuk membaca akhbar dalam bahasa Tamil.


HARI Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut pada 21 Februari.


Tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib yang sama, seterusnya dia mendapatkan khidmat guru bahasa Tamil.

"Kini saya akan meminta anak sulung, Aviraami membaca surat khabar jika ada gambar-gambar menarik di dalamnya," katanya sambil memberitahu dia akan membeli akhbar Tamil Nesan setiap hujung minggu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Pelajar 14 buah sekolah sertai Kem Bahasa Inggeris

Posted:

Pelajar 14 buah sekolah sertai Kem Bahasa Inggeris

AZMAN (tengah) bergambar bersama para pelajar dan tenaga pengajar yang menyertai Kem Bahasa Inggeris di Besut baru-baru ini.


PEMANTAPAN BAHASA. Seramai 96 pelajar tingkatan dua dari 14 buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut menyertai Kem Bahasa Inggeris peringkat Utara di Damai Reach Resort, Kampung Raja, Besut baru-baru ini.

Kem yang diadakan selama tiga hari itu bertujuan memantapkan lagi kemahiran bahasa Inggeris para pelajar melalui bantuan tenaga pengajar dari Amerika Syarikat.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahasa Inggeris, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Azman Othman.

Majlis pecah tanah pembinaan dewan Tokong Sam Seng Kung

Posted:

Majlis pecah tanah pembinaan dewan Tokong Sam Seng Kung

ABDUL MANAN (tiga dari kanan) dan Mohd. Shohaimi (kanan) melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan dewan baharu Tokong Sam Seng Kung di Kuantan baru-baru ini.


PECAH TANAH. Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh dan beberapa pemimpin masyarakat melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan dewan baharu Tokong Sam Seng Kung di Gambang, Kuantan baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Abdul Manan turut menyampaikan cek sumbangan kerajaan bernilai RM500,000 bagi pembinaan dewan baharu itu yang menggantikan dewan lama yang sudah uzur.

Sumbangan tersebut ternyata menggembirakan masyarakat Cina di kawasan itu yang sudah lama mengharapkan sebuah dewan baharu dibina untuk kegunaan mereka.

Pelajar bersihkan makam Syarifah Rodziah

Posted:

Pelajar bersihkan makam Syarifah Rodziah

SEBAHAGIAN daripada pelajar Politeknik Merlimau, Melaka membersihkan persekitaran makam Syarifah Rodziah di Pulau Besar, Melaka baru-baru ini.


GOTONG-ROYONG. Seramai 200 pelajar Politeknik Merlimau, Melaka mengadakan gotong-royong membersih makam ulama wanita, Syarifah Rodziah pada program Jejak Perwira Politeknik Merlimau di Pulau Besar, Melaka baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan untuk menerapkan nilai murni serta semangat patriotik dalam diri pelajar.

Antara kerja yang mereka lakukan adalah membersih lantai, mengecat perigi, membina tapak papan tanda Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), membaik pulih peninggalan warisan dan membersihkan persekitaran Pulau Besar yang terbiar.

Program itu mendapat kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Kerajaan disaran laksana sistem sekolah satu sesi

Posted:

[unable to retrieve full-text content]JOHOR BAHRU – Majlis Profesor Negara (MPN) meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi di semua sekolah demi kecemerlangan pendidikan negara pada masa depan.

Gula tetap diseludup

Posted:

[unable to retrieve full-text content]GOLOK, THAILAND - Aktiviti penyeludupan gula Malaysia ke negara jirannya di sini didapati terus aktif meskipun harga barang kawalan itu di Thailand kini didapati meningkat berikutan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen.

Sebar mesej perpaduan melalui dakwah - TPM

Posted:

[unable to retrieve full-text content]KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gerakan dakwah di Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam menyebarkan mesej perpaduan secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Rawatan spa kulit wajah jejaka

Posted:

Rawatan spa kulit wajah jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR

SETIAP kali ada waktu senggang, Saiful Anuar Sabri, 25, tidak teragak-agak memperuntukkan sebahagian masanya bagi memanjakan diri di spa. Dalam setahun, Saiful berkunjung ke spa kira-kira empat hingga lima kali, itupun akibat jadual kerja yang tidak menentu.

Pelik, bukan lagi perspektif yang harus dilemparkan untuk lelaki pencinta spa. Keinginan kaum Adam tampil bersih dan bergaya dari segi penampilan luar serta dalam wajar disokong secara menyeluruh.

Saiful yang berkhidmat selaku jurutera di sebuah syarikat ternama tempatan juga tidak dapat mengelak daripada skeptikal normal masyarakat Malaysia yang agak negatif.

Kikis stigma

Namun, teguran atau usikan nakal tersebut bukanlah alasan untuknya berhenti melakukan apa yang dirasakan perlu bagi menjaga penampilannya.

"Persepsi negatif sekeliling membuatkan ramai lelaki di negara ini segan untuk mengunjungi spa. Bagi mereka, lelaki tidak seharusnya kelihatan cantik dan perkara tentang spa bukan terletak dalam konteks hidup lelaki maskulin.

"Secara jujur, rawatan di spa perlu dirasai semua lelaki. Manusia yang waras sudah tentu mahu menjaga penampilan dan kebersihan diri. Menerusi cara ini, matlamat itu mampu dicapai dengan mudah dan terurus.

"Jadi, berhentilah menjadi skeptikal. Spa bukan sahaja untuk wanita kerana di sana, teknik penjagaan diri atau tip-tip berguna dapat diperoleh. Cuba pergi sekali, pandangan anda tentang lelaki dan spa pasti berubah secara total," kongsi Saiful ketika kami masih dalam perjalanan menuju ke sebuah spa di Petaling Jaya, Selangor.

Mula berkunjung ke spa beberapa tahun yang lalu bagi menemani sahabatnya yang bakal berkahwin, Saiful terus tertarik dengan servis dan aura positif yang diterima daripada rawatan kecantikan tersebut. Dia berpendapat, sesiapa sahaja boleh ke spa dan tidak perlu menanti saat untuk mendirikan rumah tangga.

Ia juga menjadi sebahagian daripada ganjaran untuk diri sendiri terutamanya selepas seharian bekerja keras. Tambah Saiful, sebagai lelaki, pengetahuannya tentang pengurusan kecantikan tidaklah sehebat mana dan disebabkan itu, pembimbing amat diperlukan.

"Apabila berada di spa, mereka menjalankan rawatan yang bersesuaian dengan kehendak kita dan memberi nasihat berguna tentang penjagaan diri.

"Selepas sesi rawatan, saya berasa lebih segar. Sebagai manusia, kita bukan sahaja perlu berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental, malah aspek rohani juga penting.

"Di spa, anda akan dapat mengecapi ketenangan ketiga-tiga peringkat tersebut," ujarnya yang kerap bertugas di luar negara berbulan-bulan lamanya atas tuntutan kerja.


PENGGUNAAN garam laut dan air suam untuk sesi mandian kaki mampu menenangkan pengunjung sebelum sesi rawatan wajah dijalankan.


Sesi rawatan

Perbualan kami terhenti seketika selepas destinasi yang dicari akhirnya ditemui.

Ketibaan kami di Spa HerbaLine, Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor yang dibangunkan di sebuah unit banglo itu disambut mesra penyambut tetamu.

Penyelia spa berkenaan, Irene Wong kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas kulit wajah Saiful. Dengan menggunakan peralatan khas yang berfungsi seperti kanta pembesar, struktur dan jenis kulit Saiful dapat dikenal pasti.

Berdasarkan pemeriksaan awal tersebut, Irene menjelaskan kepada Saiful masalah kulit yang dihadapinya dan rawatan yang bersesuaian.

Terdapat banyak pilihan rawatan disediakan seperti penyingkiran sel mati dan pembersihan dalaman, pelembapan wajah, kulit kering berjerawat, penegangan kulit wajah serta pengelupasan mikro.

Rawatan wajah

Selepas memilih pakej rawatan, Saiful dibawa ke bahagian mandian kaki. Sesi tersebut adalah pilihan tambahan yang disediakan pihak spa bagi keselesaan pengunjung. Saiful memperuntukkan lima minit memberus kakinya menggunakan air suam berserta satu sudu garam laut.

"Rawatan asas ini membantu pelanggan menenangkan diri sebelum rawatan sebenar dijalankan. Selain mandian kaki, pelanggan kami juga boleh melakukan rawatan spa ikan (fish spa). Ia juga tidak termasuk dalam caj pakej rawatan dan lebih kepada servis tambahan," ujar Irene.

Sebelum masuk ke bilik rawatan, Saiful diminta menekup mukanya di hadapan sebuah bekas yang berisi cecair ekstrak biji lavender. Ibarat efek aroma terapi, wap yang terbentuk di mukanya juga membantu Saiful untuk berasa lebih rileks.

Keselesaan dan kebersihan amat diutamakan di kebanyakan spa. Tuala, penutup kepala dan selipar khas dibekalkan kepada setiap pelanggan dan ia perlu dipakai sebelum rawatan dimulakan.

Lengkap dengan persalinan spa yang ditetapkan, Saiful sudah bersiap-sedia menjalani rawatan wajah. Peringkat pertama, wajahnya diurut perlahan diikuti dengan pembersihan ringkas menggunakan kapas. Wajahnya kemudian dioles dengan krim campuran susu dan avokado. Proses pembersihan berganda itu perlu dijalankan untuk tempoh 15 minit.

Peringkat seterusnya adalah pengewapan wajah kira-kira 5 hingga 10 minit. Ketika itu, kulit wajah dapat dilembutkan sekali gus memudahkan pembukaan pori-pori. Teknik ultrasonik kemudiannya dijalankan untuk membuang sel-sel kulit mati.

"Liang pori yang telah terbuka luas mempercepatkan proses penghapusan bintik-bintik hitam. Jangka masanya pula bergantung kepada kulit individu tersebut.

"Urutan menggunakan hujung jari (point massage) kemudiannya dilakukan di sekitar wajah pelanggan sebelum topeng (masker) berherba disapukan dan dibiarkan selama 20 hingga 25 minit.

SPA ikan antara servis tambahan yang ditawarkan di HerbaLine.


"Rawatan diakhiri dengan urutan ringan di bahu dan selepas itu pelanggan boleh memilih untuk berehat di ruangan bawah spa sambil minum teh panas atau pulang ke rumah," jelas Irene yang bertanggungjawab menjalankan kesemua rawatan ke atas Saiful pada hari tersebut.

Perbezaan wajah Saiful dilihat ketara selepas menjalani rawatan di spa tersebut. Dia juga gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan HerbaLine.

"Rawatannya menyeluruh dan terdapat servis tambahan yang amat menarik. Harga pula sangat berpatutan dan pada awalnya saya terkejut dengan pakej harga yang ditawarkan.

"Untuk spa yang dibangunkan di sebuah banglo dan diubah suai secara total bagi menghidupkan suasana menenangkan, harga yang ditetapkan jauh lebih baik berbanding spa-spa yang diletakkan di dalam pusat beli-belah," kata Saiful yang bercadang untuk terus menjadi pengunjung tetap Spa HerbaLine.

Batik gaya kasual

Posted:

Batik gaya kasual

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

KARYANEKA menggalas tanggungjawab untuk terus memartabatkan batik di persada fesyen negara dan dunia.


BATIK merupakan salah satu fabrik yang menjadi kebanggaan negara kita. Ia banyak dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Setiap lukisan yang dicanting mempunyai keistimewaan tersendiri kerana motif dan coraknya berbeza mengikut negeri-negeri.

Sebelum ini, pemakaian baju itu terhad pada majlis-majlis tertentu atau acara-acara formal sahaja dan sering dipakai oleh golongan berusia. Persepsi tersebut bagaikan membunuh warisan nenek moyang kita itu.

Mujur atas inisiatif syarikat pemasaran Karyaneka (Karyaneka), busana batik tempatan yang dicetuskan bukan sahaja lebih santai, malah sesuai untuk setiap golongan dan pelbagai acara.

Batik keluaran Karyaneka cuba lari daripada skeptikal dengan memilih warna-warna segar dan corak abstrak dengan motif bunga-bungaan yang tidak berlebihan.

Karyaneka memberi kesegaran kepada khazanah negara itu melalui koleksi terbaharu seperti blaus kain kapas, blaus sifon, kemeja lelaki, kebaya nyonya, seluar Bermuda, pareo dan kaftan dengan corak motif yang moden.

Koleksi terbaharu itu digayakan sewaktu acara Malaysia SME Pillars Lifestyle Event 2012 di Hotel Novotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 32 koleksi ditampilkan kepada khalayak dengan mengambil tema kasual dengan suntikan glamor, tetapi ringkas. Bagi melengkapkan gaya, pelbagai pilihan aksesori wanita yang diperbuat daripada logam dan mutiara serta tas tangan batik eksklusif turut disertakan.

Padanan sempurna

Buat si gadis yang ingin tampil menonjol, rekaan dengan nuansa rona merah dan kuning terang memberi impak ceria kepada pemakai. Ia tambah menyerlah apabila dipadankan dengan sepatu warna senada.

Busana itu sesuai digayakan ketika untuk bersiar-siar pada hujung minggu bersama teman istimewa.

Usah terperangkap dengan gaya yang mendatar setiap kali ingin bergaya, tukar pilihan baju yang klise dengan memakai blaus batik warna biru disuai dengan padanan seluar panjang biru terang.

Khas kepada jejaka yang ingin keselesaan, namun masih mahu tampil menarik, sarungkan baju batik kasual bersama seluar paras lutut. Lengkapkan penampilan dengan memakai kasut kanvas kegemaran.

Luaskan tatacara pemakaian batik dengan memadankan ia bersama seluar jean untuk tampak lebih muda dan berani.

Apa yang penting adalah keyakinan ketika memperagakannya ke masjlis-majlis keraian.

Tas tangan corak batik yang dijinjing ketika menghadiri acara santai bersama rakan-rakan memberi sisi istimewa dan unik kepada anda. Pasti lirikan mata teman-teman tertumpu kepada beg itu kerana keunikan motif batik yang melingkari setiap sudut rekaannya.

Selain daripada butik utama Karyaneka di Kompleks Kraf Jalan Conlay, produk-produk mereka juga terdapat di 11 cawangan seluruh Malaysia.

Antaranya BB Plaza, kios MidValley, KL CityWalk, Bangunan Kraftangan Jalan Tun Perak dan Kompleks Kraftangan Langkawi.

Dilema rambut jejaka

Posted:

Dilema rambut jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR

PEMERIKSAAN awal dilakukan terlebih dulu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pelanggan.


SEPERTI lelaki lain, Jimmy Tai Wai Hong, 24, antara yang individu yang gemar menggunakan wax setiap hari dalam menggayakan rambutnya. Penggunaan wax membuatkan rambutnya lebih menarik dan kemas sepanjang masa.

Pada pandangan mata kasar, tekstur rambut Jimmy tampak normal. Rejim syampu dua kali sehari yang diamalkan, dirasakan cukup bagi menghalang kehadiran masalah rambut. Apatah lagi, lelaki yang bekerja sebagai pegawai pemasaran itu, mengakui mengenali tahap kesihatan rambutnya.

"Saya tahu rambut saya jenis kasar dan mengalami keguguran. Tetapi ia tidak kronik dan tidak membimbangkan.

"Namun, selepas menjalani pemeriksaan rambut, keputusannya amat mengejutkan. Siapa sangka, rambut saya kian menipis dan rupanya kulit kepala saya dipenuhi minyak yang menyekat pertumbuhan rambut baharu," ujarnya ketika ditemui di pusat rawatan rambut 101 Hair Care, MidValley Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berdasarkan imbasan terperinci yang dijalankan, masalah rambut Jimmy masih berada pada fasa permulaan. Namun, sekiranya ia tidak dibendung, Jimmy bakal kehilangan rambut dengan banyak sebelum mencecah usia 40 tahun.

Apabila diselidiki punca yang mendorong kepada permasalahan itu, secara amnya, wax yang digunakan Jimmy.

Selain itu, kecenderungannya terhadap makanan bergoreng dan tabiat merokok turut menjadi penyumbang.

Konsultan kanan di 101 Hair Care, Aries Lim memberitahu, keadaan kulit kepala Jimmy sangat berminyak dan ia adalah penemuan biasa memandangkan lelaki mudah berpeluh.

Berpandukan pemeriksaan ke atas liang pori pula, Aries dapat mengagak bahawa pertumbuhan rambut Jimmy bakal mengalami kemerosotan.

Kes lelaki

Menurut Aries, kebanyakan lelaki yang datang menjalani rawatan rambut adalah berumur dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun. Kelumumur dan kulit kepala berminyak mendominasi senarai masalah kaum Adam.

"Bagi rambut gugur, ia boleh dikesan menerusi rambut yang kian menipis. Jika anda ke salun, penggunting rambut pasti akan menyatakan hal tersebut sekiranya ia kian menyerlah.

"Rambut akan mengalami keguguran dan tidak melalui pertumbuhan baharu, mengakibatkan bahagian M (atas dahi) dan bahagian O (tengah kepala) botak secara berperingkat.

"Ia akan bermula pada bahagian pusar kepala dan merebak ke bahagian lain. Kebiasaannya, lelaki berusia 35 tahun ke atas mudah diserang masalah ini dan menjelang umur 40 tahun kepala mereka telah pun botak sepenuhnya," demikian penjelasan Aries yang menggalakkan penggunaan syampu berasaskan herba bagi mengekang masalah tersebut.

Penyebab popular kepada permasalahan tersebut pula, majoritinya diakibatkan oleh gaya hidup. Kekurangan tidur, pengambilan minuman beralkohol, merokok, tekanan dan pemakanan menjadi antara faktor masalah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Memo FAM

Posted:

Memo FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran kepada 10 pasukan Liga Malaysia supaya melangsaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain yang berjumlah RM2.1 juta sebelum 23 November depan.

Tarikh tersebut merupakan hari terakhir bagi pendaftaran pasukan untuk musim 2013.

Ketika memberikan peringatan itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan 10 pasukan tersebut daripada bermain musim depan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

"Namun, saya tidak boleh mendedahkan nama 10 pasukan tersebut sehinggalah kita mengeluarkan surat amaran kepada mereka dalam tempoh terdekat," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan lain, Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata jawatankuasa tersebut sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan penyertaan 16 pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim depan.

Katanya, perkara tersebut telah dipersetujui oleh ahli Exco FAM setelah mengambil kira pandangan setiap pasukan dalam Liga Malaysia dan berharap perkara itu tidak dijadikan isu.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa penyertaan pasukan dalam Piala Malaysia akan ditambah kepada 26 pasukan, namun terdapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk daripada bekas pemain serta jurulatih.

Zakry-Fairuzizuan kembali pamer taring

Posted:

Zakry-Fairuzizuan kembali pamer taring

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

ZAKRY (depan) dan Fairuzizuan muncul juara Kejohanan Badminton GP Emas Terbuka Taiwan 2012 semalam.


BEREGU lelaki negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari membuktikan bahawa gandingan mereka masih relevan.

Semalam, pasangan itu merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2012.

Zakry-Fairuzizuan yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KL- RC) mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan pertama, Angga Pratama Ryan Agung Saputra dari Indonesia pada aksi final semalam.

Zakry-Fairuzizuan hanya mengambil masa selama 27 minit bagi menewaskan pasangan Indonesia itu 21-12, 21-14.

Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan pertama yang dirangkul Zakry-Fairuzizuan tahun ini.

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada GP Emas Terbuka Thailand, Jun lalu.

"Alhamdulillah, kami (Zakry-Fairuzizuan) berjaya muncul selaku juara kali ini. Memang sangat gembira dengan kejayaan ini.

"Selepas setahun kami kembali bergandingan, ini merupakan pencapaian terbaik kami.

"Sebelum ini, pada Terbuka Thailand kami sekadar muncul naib juara sahaja.

"Saya harap, kami dapat mengekalkan konsistensi ini untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang," kata Zakry.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh yang diletakkan sebagai pilihan kedua muncul juara selepas mencatatkan kemenangan ke atas Chou Tien Chen dari Taiwan 21-11, 21- 17.

Pemain Taiwan, Tai Tzu Ying yang diletakkan sebagai pilihan pertama menepati ramalan apabila mengungguli saingan dalam acara perseorangan wanita hasil kemenangan ke atas Lindaweni Fanetri dari Indonesia 21-19, 20-22, 22-20 pada aksi final semalam.

Gelaran juara dalam acara beregu wanita menjadi milik pasangan Indonesia, Pia Zebadiah Bernadeth-Rizki Amelia Pradipta yang mencipta kejutan menewaskan rakan senegara selaku pilihan keempat, Suci Rizky Andini-Della Destiara Haris 21- 15, 21-12.

Beregu campuran Indonesia, Muhammad Rijal-Debby Susanto turut cemerlang apabila menundukkan cabaran pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 21-14, 21-14 untuk mengesahkan status selaku juara.

Kelantan menghampiri final

Posted:

Kelantan menghampiri final

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

AKSI penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) ketika melepasi halangan pemain pertahanan Selangor pada saingan separuh akhir pertama di Kota Bharu kelmarin.


KEMENANGAN 1-0 Kelantan ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke pentas akhir musim ini.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, beliau belum mahu mendabik dada dengan keputusan tersebut, sebaliknya mahu pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan kedua di Shah Alam nanti.

"Keputusan ini belum selamat buat kita kerana perlawanan masih berbaki 90 minit untuk diharungi. Bagaimanapun, saya gembira kerana kita tidak melepaskan gol pada perlawanan ini.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong setia terpaksa menunggu sehingga minit ke-62 untuk memperoleh jaringan tunggalnya menerusi Nor Farhan Mohamad.

Ketika ditanya mengenai ketua pasukannya, Mohd. Badri Radzi yang tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut, Azman memberitahu pemain itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

"Insya-Allah Badri akan kembali beraksi dalam perlawanan kedua di Shah Alam nanti.

"Kehadirannya dijangka akan memantapkan lagi jentera tengah skuad Kelantan," tegasnya.

Sementara itu, penjaring gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan itu Nor Farhan memberitahu, jaringan tersebut menjadi pembakar semangat buat pasukannya untuk mengharungi perlawanan kedua nanti.

"Bekalan satu gol menjadi pembakar untuk dibawa ke Shah Alam.

"Kami akan memberikan yang terbaik untuk memastikan laluan kita ke perlawanan akhir terjamin.

"Gol yang saya jaringkan malam ini (kelmarin) adalah hasil kerjasama rakan-rakan sepasukan yang banyak memberikan sokongan.

"Kejayaan ini menguatkan lagi semangat saya untuk menjulang Kelantan menjadi juara musim ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Sejumlah 481,424 calon akan duduki PMR esok

Posted:

Sejumlah 481,424 calon akan duduki PMR esok

08/10/2012 9:03pm

KUALA LUMPUR – Sebanyak 481,424 calon akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Oktober ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon sekolah menengah agama rakyat. – BERNAMA

Syarikat dagangan emas akan disiasat segera

Posted:

Syarikat dagangan emas akan disiasat segera

08/10/2012 9:01pm

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia, polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menggembleng sumber-sumber yang diperlukan untuk mempercepat siasatan ke atas Genneva Malaysia Sdn Bhd, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

Bank Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, keempat-empat syarikat itu, yang baru-baru ini diserbu oleh pihak berkuasa, akan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan seperti mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

"Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur," katanya.

Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan. – BERNAMA

Lesen 7 IPTS ambil pelajar asing ditarik balik

Posted:

Lesen 7 IPTS ambil pelajar asing ditarik balik

08/10/2012 8:59pm

KOTA KINABALU – Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik lesen atau kelulusan tujuh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mengambil pelajar luar negara kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pengurusan pelajar antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, kesalahan termasuk melanggar undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

"Kita mempunyai 169 IPTS yang dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa, dan tujuh daripadanya ditarik balik lesen kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas bertemu pelajar dari Republik Rakyat China di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Kok Chung berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS disaran mengambil lebih ramai pelajar antarabangsa bagi membantu merealisasi wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Beliau berkata, institusi pengajian tinggi di negara ini menawarkan kursus yang setaraf dan setanding dengan institusi pengajian tinggi lain selain mempunyai kemudahan pengajian yang mencukupi serta tenaga pengajar profesional. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Filipina berdamai dengan barisan Moro

Posted:

Filipina berdamai dengan barisan Moro

GAMBAR fail menunjukkan anggota-anggota Barisan Pembebasan Islam Moro berkawal di dalam sebuah pangkalan mereka di Kem Darapan, wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 5 September 2011.


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengumumkan semalam bahawa pentadbirannya mencapai persetujuan awal perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu.

Beliau berkata, persetujuan itu merupakan satu kejayaan besar ke arah menamatkan pemberontakan yang berlanjutan selama sedekad di selatan negara itu.

Menurut Aquino, rangka kerja persetujuan tersebut merupakan jaminan pemberontak MILF menamatkan perjuangan mereka untuk berpisah dari Filipina.

Persetujuan damai tersebut memberi laluan kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi untuk penduduk minoriti Islam di selatan Filipina.

Perjanjian damai tersebut yang akan dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila menggariskan prinsip asas berhubung beberapa isu utama termasuk pembahagian kuasa, hasil dan wilayah di rantau berpenduduk Islam tersebut.

Jika segalanya berjalan lancar, satu perjanjian damai yang muktamad akan ditandatangani menjelang tahun 2016 apabila penggal pemerintahan Aquino berakhir.

"Persetujuan asas memberi laluan kepada keamanan muktamad dan berpanjangan di selatan Filipina," kata Aquino.

"Ia bermakna tangan yang pernah mengangkat senjata (para pemberontak MILF) akan digunakan untuk berbudi kepada tanah, menjual produk dan membuka laluan untuk pelbagai peluang lain," tambahnya.

Persetujuan tersebut merupakan kejayaan terbesar proses rundingan dengan MILF yang memiliki 11,000 anggota sejak 15 tahun lalu.

Pemberontakan MILF telah menyebabkan lebih 120,000 orang terbunuh dengan sekitar dua juta orang lagi menjadi pelarian selain membantutkan pembangunan di selatan Filipina. - Agensi

Turki serang balas bedilan meriam Syria

Posted:

Turki serang balas bedilan meriam Syria

ASKAR-ASKAR Turki mengawal pintu sempadan di bandar Akcakale semalam.


WASHINGTON - Tentera Turki di bandar Akcakale melepaskan bedilan meriam ke Syria semalam, lapor agensi berita Dogan.

Tindakan itu dilakukan selepas satu bedilan meriam tentera Syria mengenai sebuah kawasan di bandar tersebut yang merupakan insiden kedua dalam tempoh lima hari.

Bedilan itu mengenai pekarangan sebuah bangunan awam yang terletak tidak jauh dari bandar Akcakale.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pada Rabu lalu, lima penduduk awam Turki mati di bandar tersebut ekoran serangan mortar tentera Syria dari bandar Tal al-Abad.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta kelmarin berkata, insiden berbalas bedilan meriam antara Syria dan Turki akan merebak ke negara-negara jiran.

Menurutnya, AS sedang menggunakan saluran diplomatiknya untuk melegakan kebimbangan berhubung pertempuran tersebut dengan harapan ia tidak akan merebak.

Komen Panetta dibuat semasa beliau melawat Peru selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan amaran bahawa negaranya kini di ambang peperangan dengan Syria.

Turki dan Syria berbalas bedilan meriam ketika kumpulan pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad dekat kawasan sempadan pada Sabtu lalu.

Pertempuran itu meningkatkan kebimbangan krisis di Syria akan mencetuskan konflik di rantau tersebut.

Sebelum ini, Erdogan memberi amaran bahawa negaranya tidak akan bersabar dengan tindakan Syria yang membedil wilayahnya.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, Naib Presiden Syria, Faruq Al-Shara dianggap sebagai pengganti Presiden Bashar Al-Assad untuk menjadi ketua pentadbiran buat sementara waktu bagi menamatkan perang saudara di negara berkenaan.

"Faruq merupakan seorang lelaki yang munasabah dan memiliki perasaan belas kasihan. Beliau juga tidak terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Syria. Tiada siapa yang lebih arif daripada beliau tentang sistem pentadbiran negara itu," kata Davutoglu ketika diwawancara wartawan saluran televisyen TRT kelmarin.

Menteri berkenaan menegaskan bahawa pihak penentang di Syria cenderung untuk menerima Faruq sebagai pemimpin masa hadapan Syria. - Agensi

Filem E.T masih diminati ramai

Posted:

Filem E.T masih diminati ramai

SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem E.T.: The Extra-Terrestrial.


LOS ANGELES - Seorang pengkritik filem Amerika Syarikat (AS), Christy Lemire masih terharu seperti tiga dekad lalu apabila dia menonton filem sains fiksyen popular, E.T.: The Extra-Terrestrial di sebuah pawagam pada Rabu lalu.

Filem yang diarahkan oleh Steven Spielberg pada tahun 1980-an yang mencipta fenomena di seluruh dunia itu bakal menemui peminat dalam bentuk cakera video digital sinar biru bermula esok.

Filem E.T memenangi empat Anugerah Akademi dan menjana hasil kutipan tiket hampir AS$800 juta (RM2.44 bilion) selepas tayangannya di seluruh dunia.

Ia menceritakan tentang persahabatan antara makhluk asing dengan sekumpulan kanak-kanak lakonan Henry Thomas, Robert MacNaughton dan Drew Barrymore.

Bagi meraikan pencapaian gemilang tersebut, pawagam-pawagam di seluruh AS menayangkan semula filem E.T dalam bentuk digital di seluruh AS pada hari tersebut.

Pengkritik filem berkenaan berkata, filem tersebut masih menyentuh emosinya seperti 30 tahun dahulu terutamanya apabila dia menonton adegan perpisahan makhluk asing tersebut dengan watak utama, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang bernama Elliott.

Menurutnya, perasaan terharu turut dikongsi ramai penonton lain yang turut membanjiri panggung wayang untuk menyaksikan filem yang penuh nostalgia itu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tolak label artis bermasalah

Posted:

Tolak label artis bermasalah

SUKAR dikikis label artis tidak berdisiplin daripada imej si cantik manis Nur Fathia Latiff yang kini mencecah usia 25 tahun. Malah, isu tidak menepati masa antaranya lewat datang sesi fotografi ibarat pelekat yang serasi dengan anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu.

Cantik, bijak dan berbakat sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang figura yang mahu dicontohi ramai. Sudah tentu rupa paras dan kualiti lakonan hadir bersama pakej disiplin yang mantap.

Menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadapnya setelah beberapa kali lewat hadir ke sesi fotografi majalah dan akhbar, kata Fathia, semuanya bersebab.

"Adalah lebih elok untuk bertanya kepada pihak yang biasa rapat dengan saya contohnya kru produksi tentang tabiat dan cara kerja saya sebenarnya daripada terus menuduh begitu sahaja.

"Biasanya, kalau saya lambat datang ke set penggambaran atau sesi fotografi saya akan memaklumkan terlebih dahulu situasi yang berlaku.

"Mungkin kerana trafik sesak atau acara yang sebelumnya habis lambat. Untuk apa saya sengaja datang lambat?

"Saya minta maaf sekiranya tindakan saya yang terlewat hadir ke beberapa sesi fotografi atau set penggambaran menyebabkan banyak pihak terluka. Selepas ini saya berjanji untuk memperbaiki kelemahan saya," katanya yang ditemui pada sesi fotografi di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, tengah hari kelmarin.

Fathia lantas menegaskan dia enggan dilabelkan sebagai seorang artis yang bermasalah akibat beberapa kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Kesilapan yang pernah dilakukan Fathia itu bukan sekadar hanya merujuk kepada disiplin bahkan juga pemakaian busana ketika menghadiri sesebuah acara serta gambar-gambar lama yang dieksploitasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kesemuanya pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Seksi


SELEPAS terbabit dengan kontroversi melemparkan telefon kepada pengarah Along Kamarudin di set penggambaran drama Stanza Cinta pada tahun lepas, tahun ini pula, Fathia terlibat dalam isu pertengkaran dengan pengarah Arjinder Singh di lokasi pembikinan filem terbaharu lakonannya, Darah Panas.


Bakal muncul dalam sebuah filem arahan Arjinder Singh berjudul Darah Panas pada tahun depan, ujar penuntut jurusan Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, dia terpaksa meletakkan garis panduan berpakaian atas faktor tidak ingin mengulangi kesilapan lampau.

Bukan kerana besar kepala atau cerewet tapi tegas Fathia, dia enggan tampil terlalu seksi dengan mendedahkan tubuhnya semata-mata kerana mahu melariskan sesuatu produk.

"Saya bukan simbol seks dan saya enggan memakai pakaian yang terlalu menjolok mata. Saya akui berlaku sedikit pertengkaran ketika sedang menjayakan sebuah babak sebagai pelacur dalam filem Darah Panas kerana saya dipaksa memakai pakaian ketat dan menjolok mata.

"Pada hari kejadian juga saya berkeras untuk menukar pakaian lain yang kurang seksi berbanding baju dan skirt paras paha yang diberi oleh produksi. Setakat itu had saya dalam berpakaian!" tegasnya.

Fathia menegaskan lagi, pada masa-masa akan datang dia akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian dan jika dikehendaki tampil seksi dia harus memastikan untuk tidak keterlaluan.

Menerusi Darah Panas, dia melakonkan watak seorang gadis naif yang terpengaruh dengan pujukan seorang lelaki untuk menjadi model di Kuala Lumpur. Namun, setelah diperdaya dan dijadikan pelacur hidupnya berubah secara total.

Filem yang turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Sofi Jikan dan Corrie Lee itu baru selesai penggambarannya pada minggu lepas.

Tolak tawaran

Tidak lekang dengan isu masalah disiplin dan cerewet, kisah panas Fathia turut dilingkari dengan tindakannya menolak beberapa tawaran berlakon beberapa bulan lalu. Ia sekali gus dia didakwa berlagak dan 'pilih bulu' untuk berlakon dengan pengarah tertentu saja.

Menurut bintang filem Hijab itu, tindakannya menolak tawaran lakonan itu sebenarnya disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Hakikatnya, dia terpaksa menolak tawaran berlakon berikutan sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.

"Bidang lakonan pada mulanya untuk mengisi masa terluang dan menambah sedikit pendapatan sebagai seorang mahasiswa. Apabila timbul isu tolak tawaran dan pilih bulu, saya sebenarnya kecewa.

"Selain berlakon tugas saya juga adalah belajar. Apabila tawaran itu datang ketika saya sedang sibuk untuk peperiksaan saya terpaksa tolak dan sejujurnya saya akui menyesal setelah menolak beberapa tawaran yang menarik ketika itu.

"Sekarang sampai masa untuk saya 'membuat kemunculan semula'," katanya berseloroh.

Usai peperiksaan akhir semester dua bulan lalu, Fathia kembali ke set penggambaran beberapa produksi lakonannya dan jadualnya selaku penggiat seni hiburan tempatan kembali padat sehingga bulan Mac tahun depan.

Beberapa naskhah lakonannya yang bakal ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi termasuklah telefilem berjudul, Rentas Samudera yang menyaksikan gandingannya bersama aktor Fahrin Ahmad.

Saya sibuk kerja bukan ke disko - Tasha Shilla

Posted:

Saya sibuk kerja bukan ke disko - Tasha Shilla

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


TASHA SHILLA membuktikan kredibiliti dirinya apabila kelmarin, namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Heroin Baru Terhebat pada majlis Anugerah Blockbuster 2012.


TAHUN ini sahaja, pelbagai kontroversi yang kurang manis telah melanda pelakon wanita yang kian laris ini. Satu demi satu kontroversi itu telah ditepis elok oleh Tasha Shilla, 25, yang pernah dikatakan menari ghairah ketika sambutan hari jadi di sebuah kelab malam awal Januari lalu.

Selepas itu, dia juga dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan orang kenamaan yang menaja sebuah kereta mewah selain dihimpit isu minum arak.

Tidak bernoktah di situ, Tasha juga telah dihimpit kontroversi apabila pelakon, Neelofa mempertikaikan kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) 2011 dan ia sehingga membawa persengketaan antara Neelofa dengan aktres Anzalna pula.

Dalam ruangan gosip akhbar Kosmo! Ahad semalam, Tasha dikatakan berparti di sebuah kelab hiburan di ibu kota bersama rakan-rakan lelaki dan wanitanya.

Ironi, malam kelmarin pula, Tasha diumumkan sebagai pemenang Anugerah Heroin Baru Terhebat pada majlis Anugerah Blockbuster 2012 yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Menariknya, parti itu dikatakan turut disertai seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk J. Lelaki yang sama digosip menaja kereta BMW Tasha sebelum ini.

Gosip itu turut menyebut Tasha dikatakan sedang bergembira di situ selepas berbelanja sakan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur bersama Datuk J.

Kosmo! telah menghubungi Tasha bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripadanya semalam. Biarpun dia ketika itu dalam keadaan tergesa-gesa kerana berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Brunei. Tasha dengan penuh profesional menjawab segala persoalan berhubung kait gosip berkenaan.

Kosmo!: Tahniah Tasha atas kemenangan anda meraih Anugerah Heroin Baru Terhebat pada majlis Anugerah Blockbuster 2012 malam kelmarin?

TASHA: Terima kasih, saya juga tidak sangka atas kemenangan itu.

Adakah Tasha sudah tahu mengenai gosip terbaharu mengenai diri anda?

Ada gosip terbaharu ke? Saya tidak tahu lagi sebab sudah lama berada di Brunei.

Adakah benar dakwaan bahawa Tasha berparti di sebuah disko pada minggu lepas bersama rakan-rakan yang turut disertai oleh lelaki yang dikenali sebagai Datuk J yang dikatakan menaja anda?

Itu pun sudah nama gosip, sesiapa boleh cakap saya macam-macam. Sudah tentu ia tidak benar. Sudah 10 hari sya berada di Brunei. Pulang sekejap (semalam, selama sehari) ini pun untuk Anugerah Blockbuster 2012. Saya sekarang sibuk kerja bukan ke mana-mana disko.

Tasha berada di Brunei atas urusan apa?

Saya menjalani penggambaran drama bersiri Erna Suraya selama 10 hari di Brunei. Ia merupakan produksi syarikat di negara itu. Sebelum itu saya berada di Cameron Highlands untuk drama yang sama. Untuk drama ini, saya sering berada (menjalani penggambaran) di beberapa tempat lain lagi seperti di Legolands, Johor.

Apa komen Tasha mengenai gosip terbaharu ini?

Cerita ini tentu dibuat-buat oleh pihak yang menyampaikan kepada pengetahuan media yang ingin lihat saya jatuh. Tidak benar sama sekali saya ada penaja. Datuk J pun saya tidak tahu dia siapa, macam mana cerita ini timbul pun saya tidak tahu kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur dalam tempoh yang dikatakan saya ke disko itu.

Kenapa agaknya Tasha sering dikaitkan dengan disko dan Datuk J?

Saya tidak tahu. Apa yang saya tahu, saya kerja keras untuk cari duit. Hari-hari saya ada kerja dengan berada di lokasi penggambaran, malas saya hendak layan gosip berkenaan.

Apakah pesanan Tasha kepada pihak mencipta gosip berkenaan?

Ia adalah lumrah apabila saya berada dalam dunia seni. Saya malas hendak ambil kisah gosip tidak benar sebegitu sebab saya tahu ramai yang hendak jatuhkan kerjaya saya.

Selepas penggambaran drama di Brunei, apakah drama lain yang dibintangi Tasha?

Pada bulan November nanti, saya akan masuk lokasi drama 28 episod slot Akasia dan berada di Abu Dhabi untuk drama Cinta Abu Dhabi.

Taylor Swift mudah jatuh cinta

Posted:

Taylor Swift mudah jatuh cinta

PENYANYI Taylor Swift mengakui dia percaya cinta sejati wujud, walaupun dirinya sendiri kerap kecundang dalam percintaan.

Taylor yang kini bercinta dengan Conor Kennedy memberitahu, meskipun hubungan cintanya sebelum ini banyak yang terputus di tengah jalan, namun dia dapat melupakan kesedihannya apabila bertemu dengan kekasih baharu.

Sebelum ini, Taylor pernah bercinta dengan beberapa artis terkenal seperti Joe Jonas, Taylor Lautner, John Mayer dan Jake Gyllenhaal.

"Kenapa saya harus dipertemukan dengan orang ini. Kenapa ia (putus cinta) boleh terjadi?

"Namun, apabila anda lihat seorang lelaki kacak dan kelihatan sesuai bersama, anda akan jatuh cinta sekali lagi," ujarnya kepada majalah Marie Claire.

Pelantun lagu We Are Never Ever Getting Back Together ini juga mengakui dia mudah jatuh cinta dan tidak pernah menyesal bertemu dengan bekas-bekas kekasihnya.

"Saya mudah jatuh cinta pada lelaki baik, tetapi tidak pada lelaki jahat," ujarnya lagi.

Sementara itu, Taylor menegaskan dia gemar menulis lagu berdasarkan kisah percintaannya.

Baginya, ia adalah haknya untuk bereksperimentasi dengan cara begitu melalui muzik.

"Ia bukan suatu kesalahan jika seseorang yang membuat hubungan cinta dengan saya dan kemudiannya curang lalu kisah tersebut diungkapkan menerusi lagu

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved