Sabtu, 8 September 2012

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sultan batal projek Laguna Mersing

Posted:

Sultan batal projek Laguna Mersing

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam menitahkan bahawa projek pusat peranginan mega Laguna Mersing yang bernilai RM22 bilion telah terbatal dengan sendirinya berikutan kegagalan pihak pemaju memenuhi syarat asas perjanjian.

Dalam titahnya, baginda menegaskan, projek terbabit terbatal selepas pihak pemaju induk, Radiant Starfish Development Bhd. gagal meningkatkan modal berbayar sebanyak RM200 juta dalam masa enam bulan.

Syarat itu terkandung dalam perjanjian antara syarikat terbabit dengan Kerajaan Negeri Johor pada 25 Februari lalu.

"Namun sehingga hari ini, setelah tamat tempoh enam bulan, pihak pemaju masih gagal untuk memenuhi syarat asas tersebut. Ekoran kegagalan tersebut, maka projek ini dengan sendirinya adalah terbatal," titah baginda pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar Mersing di sini semalam.

Majlis pecah tanah projek Laguna Mersing itu yang berlangsung pada 14 April lalu dirasmikan sendiri oleh baginda.

Serentak dengan itu juga, Sultan Johor menasihatkan kerajaan agar sentiasa berhati-hati apabila menerima cadangan pembangunan dan menilainya dengan teliti agar pemaju yang benar-benar komited dan berkemampuan sahaja diberi kelulusan melaksanakan projek.

"Sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titahnya.

Laguna Mersing yang dijadual siap pada tahun 2019 meliputi kawasan seluas 809 hektar yang dipecahkan kepada 22 lot dan dijual kepada pemaju dari luar negara untuk dibangunkan dengan hotel atau taman tema.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kelengkapan Gerak Khas tidak bermutu

Posted:

Kelengkapan Gerak Khas tidak bermutu

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.

"Beta amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ia modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi.

"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka beta rasa lebih baik beta sahaja yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi

Posted:

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan MANIRAH OTHMAN
berita@kosmo.com.my

DIMYATI MOHAMAD menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini semalam.

Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.

Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.

Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.

"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.

Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.

Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Penghasilan Almera

Posted:

Penghasilan Almera

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

JIKA satu ketika dahulu rakyat negara ini begitu meminati dan teruja dengan kehadiran Nissan Sunny 130Y, nostalgia itu dikembalikan oleh pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menerusi model Almera.

Sudah boleh ditempah dan dilihat secara dekat di bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara, Almera diberi tanggungjawab menjadi model pilihan pengguna Malaysia selain sedan segmen B jenama Jepun lain seperti Honda City dan Toyota Vios.

Memang betul, itu bukan tugas yang mudah. Tetapi, jika kena strategi dan tawarannya, tidak mustahil Almera mampu menggugat. Apatah lagi Almera kini didatangkan dengan pelbagai ciri yang biasanya ada pada model sedan lebih mahal.

Misalnya, sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry), paparan meter Multi-information Display (MID) iluminasi sendiri (self-illuminated), kawalan suhu automatik dengan paparan digital LCD, butang penghidup enjin Start/Stop serta banyak lagi.

Sedan mampu Nissan sebelum ini ditawarkan menerusi model Sentra dan Latio. Walaupun Almera diperkenalkan, ETCM mengakui bahawa pihaknya masih mengeluarkan Sentra, tetapi pastinya dalam volum yang lebih rendah. Pengeluaran model yang sudah berada di pasaran selama 12 tahun itu hanya akan diberhentikan sepenuhnya jika Almera mampu memainkan peranan sama seperti Sentra.

Harus tahu bahawa Almera ialah sedan global paling laris Nissan. Ia mula menjenguk pasaran China pada tahun 2010 dengan nama Sunny. Sementara di pasaran Amerika Syarikat (AS) pula, pengguna di sana mengenalinya sebagai Versa.

Sebagai sebuah kereta global, Almera hadir dengan pelbagai varian berbeza mengikut keunikan pasaran yang dimasukinya. Sebagai contoh, Almera di Thailand menggunakan enjin tiga silinder bersesaran 1.2 liter, sesuai dengan insentif 'kereta eco' yang diperkenalkan oleh kerajaan Thailand. Di China pula, enjin Almera dipadankan dengan kotak gear CVT.

Bagi pasaran Malaysia, ETCM mengambil keputusan untuk memperkenalkan Almera dengan enjin bersesaran 1.5 liter. Enjin HR15DE itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

Kotak gear automatik baharu

Ia bukan transmisi automatik yang lama, tetapi dibangunkan khas untuk Almera dengan banyak penambahbaikan. Transmisi itu memiliki pengubah daya kilas (torque converter) ultra nipis, kurang komponen, bentangan gear yang disusun semula serta kawalan terus solenoid lebih linear.

INILAH papan pemuka untuk varian Almera VL yang lengkap dengan pendingin hawa automatik bersama paparan LCD dan butang Start/Stop.


Hasilnya, transmisi tersebut adalah 11 peratus lebih kompak, 32 peratus kurang geseran dan 15 peratus lebih ringan iaitu cuma 58 kilogram (kg) berbanding transmisi sekarang (68kg). Malah penggunaan minyak juga mampu dijimatkan kepada 14.9 km bagi setiap liter petrol.

Konsep rekaan menjadikan Almera sebuah sedan entry level yang istimewa. Sedan itu direka agar memiliki pakej yang efisien, mengoptimumkan ruang dalaman dan meminimumkan kawasan mekanikal.

ETCM memang bersungguh untuk mencipta kesedaran orang ramai terhadap kehadiran Almera. Buktinya, buat pertama kali sekumpulan media diberi peluang secara eksklusif untuk melihat sendiri proses pembuatan Almera di kilang milik Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Serendah Selangor.

Tidak pernah dibuat sebelum ini, TCMA turut membenarkan media memandu uji Almera di litar ujiannya. Walaupun pandu uji itu hanya melibatkan perjalanan sejauh 1.5km dan kurang 20 minit, ia cukup untuk memberi persepsi awal bagaimana potensi sebuah Almera apabila dipandu di atas pelbagai bentuk permukaan jalan raya.

Pandu uji itu dimulakan dengan pemandu membuat pusingan nombor 8 sebanyak dua kali untuk menguji maklum balas sterengnya. Kemudian, sistem suspensi Almera pula diuji di atas pemukaan trek yang sememangnya direka mengikut standard dan spesifikasi Nissan Motor Co. Ltd. Jepun.

PAPARAN MID iluminasi sendiri yang menyerlahkan kemewahan sedan entry level ini.


Saya boleh katakan bahawa suspensi yang 15 peratus lebih panjang berbanding suspensi pada model Latio mampu menyerap segala ketidaksempurnaan jalan raya itu dengan baik.

Laluan lurus membolehkan ujian pecutan dibuat. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan keras, bunyi ngauman enjin jelas kedengaran dari dalam kabin.

Respon enjinnya bagaimanapun boleh dianggap bagus, cuma tipikal kotak gear automatik konvensional, ia memerlukan sedikit masa untuk membolehkan kedudukan gear ditukar. Namun, penukaran gearnya masih lancar dan memuaskan.

Apa yang paling saya perasan adalah ruang kaki tempat duduk belakang. Memang luas. Anda perlu duduk sendiri untuk mempercayainya. Nissan mendakwa ruang kaki itu adalah yang terbaik dalam kelasnya (636mm).

Sebagai mana yang diuar-uarkan sebelum ini, Almera akan dipasang dalam negara (CKD). Keputusan untuk memasang Almera di kilang TCMA dibuat kerana Nissan belajar daripada bencana banjir besar yang melanda Thailand, selain tsunami dan gempa bumi di Jepun pada Mac 2011. Kedua-dua bencana alam itu nyata memberi impak besar kepada pengeluar kenderaan dari Jepun.

Lagi pun, apabila dipasang dalam negara, ETCM boleh menghasilkan Almera yang benar-benar menepati citarasa dan kehendak pengguna tempatan.

Kepada yang berminat, Almera dijangka dijual mulai suku keempat tahun ini pada harga bermula RM70,000 hingga RM85,000 seunit. Ia ditawarkan dalam tiga gred berbeza iaitu E, V dan VL.

E merupakan gred paling asas dan anda boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik. Seperti biasa, apa yang ada padanya juga terdiri daripada ciri-ciri asas seperti kunci dengan penggera kecemasan, rim bersaiz 15 inci bersama penutup roda dan satu beg udara. Ya, anda tidak salah baca. Cuma ada satu beg udara.

HENDAL pintu dengan reka bentuk unik dan kemasan krom.


ETCM memberi alasan varian itu hanya memerlukan satu beg udara berikutan kerangkanya yang cukup tegar, sekali gus cukup untuk menahan impak pelanggan pada bahagian hadapan dan sisi. Lagi pun, langkah itu dapat mengurangkan lagi harganya.

Varian V pula memiliki dua beg udara, lampu kabus, kemasan krom di dalam kabin, rim aloi bersaiz 15 inci dan paparan meter MID iluminasi sendiri. VL menjadi varian tertinggi dengan penambahan ciri termasuklah sistem kunci pintar, butang Start/Stop, pendingin hawa automatik dengan paparan LCD serta banyak lagi.

Hyundai Sonata Sport

Posted:

Hyundai Sonata Sport

VARIAN ini dipasang dengan bodykit dan ekzos yang lebih sporty.


SEDAN segmen D popular Hyundai Sonata kini tampil dengan lebih sporty menerusi Sonata Sport yang baharu. Sudah boleh ditempah di semua bilik pameran sah Hyundai di seluruh negara, ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Auto Sport dengan sesaran enjin 2.0 liter dan 2.4 liter.

Harga di atas jalan bagi model Auto Sport 2.0L adalah RM151,388 seunit sementara varian Auto Sport 2.4L boleh anda miliki pada harga RM169,888 sebuah. Apa yang membezakan Sonata Sport dengan model biasa ialah bodykit dan ekzos lebih bergaya yang dipasang padanya.

Sonata Sport 2.4L dilengkapi paddle shifter yang membolehkan kedudukan gear ditukar dengan lebih pantas dan mengikut kemahuan pemandu. Ciri itu juga terdapat pada model Sonata Executive bersesaran 2.4 liter.

Dengan Sonata Sport, ia menambah varian Sonata sedia ada iaitu 2.0L Elegance, 2.0L Executive, 2.0L Executive Plus dan 2.4L Executive. Keenam-enam varian tersebut memiliki ciri-ciri standard seperti lampu automatik, butang penghidup enjin Start/Stop bersama kunci pintar dan Amplitude Selective Damper (ASD) yang memberikan pengendalian terbaik.

Selain itu, Sonata juga dipasang dengan Electronic Stability Programme (ESP) yang hadir bersama ciri Hill Start Assist Control (HAC). ESP terdiri daripada satu unit kawalan enjin yang menerima maklumat daripada setiap alat pengesan kelajuan pada roda, alat pengesan sudut stereng dan olengan.

Ia akan mengaplikasikan brek ke atas roda secara berasingan bagi membolehkan kenderaan dikawal dengan lebih mudah jika berdepan suasana yang mencemaskan. HAC pula menawarkan pemandu kawalan yang baik ketika memandu di laluan curam. HAC berfungsi menghalang kenderaan daripada mengundur jika anda berhenti di tengah-tengah laluan berbukit. ESP dan HAC dipadang pada semua varian kecuali 2.0L Elegance.

RUANG kabin tetap sama kecuali penambahan ciri paddle shifter pada Sonata Sport 2.4L dan Sonata Executive 2.4L.


Kepada mereka yang ingin membeli Sonata sekarang, ada berita baik untuk anda. Hyundai-Sime Darby Motor kini menawarkan kadar faedah istimewa serendah 1.88 peratus hingga 30 September 2012 untuk semua varian Sonata.

Range Rover 2012

Posted:

Range Rover 2012

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN

REKAAN luaran Range Rover terbaharu ini seakan-akan tidak jauh beza dengan model terdahulu.


RANGE ROVER generasi keempat merupakan buah tangan baharu syarikat Land Rover. Ia disifatkan sebagai model paling mewah dan berkeupayaan dalam senarai produk syarikat daripada United Kingdom (UK) itu. Model baharu tersebut lebih ringan, kuat dan memiliki perincian yang lebih tinggi demi mengukuhkan lagi posisinya sebagai SUV mewah dunia.

Fizikalnya nampak lebih kurang sama sahaja dengan model sebelum ini. Seolah-olah ditukar lampu depan dan belakang sahaja. Namun model itu sebenarnya dibangunkan daripada 'ground up' sempena semangat inovatif dan rekabentuk ikonik generasi pertama yang menggegar industri automotif sewaktu ia dilancarkan lebih dari 40 tahun lalu.

Memetik sumber agensi berita Newspress, Range Rover baharu mencatat rekod apabila menjadi SUV pertama di dunia menggunakan badan monocoque yang diperbuat daripada aluminium. Hasilnya, berat badan 39 peratus lebih ringan berbanding badan besi model sebelum ini dengan angka yang sangat signifikan iaitu sebanyak 420 kilogram.

Platform aluminium yang ringan menyumbang kepada prestasi serta pemanduan yang lebih baik. Di samping penjimatan minyak dan emisi karbon dioksida (C02).

Penggunaan aluminium tidak terhenti setakat badan sahaja. Malah rekaan casis hadapan dan belakang yang menggunakan aluminium turut dibangunkan bersama suspensi udara yang direka bentuk semula.

Keselesaan SUV itu dikekalkan. Pengendalian dan kelincahannya pula bertambah baik hasil semakan semula sistem suspensi. Rekaan sistem suspensi tersebut menjadikan Range Rover lebih meyakinkan sewaktu melalui selekoh dengan rasa stereng yang lebih natural dan intuitif.

Interprestasi: identiti

Pengarah Penjenamaan Global Land Rover, John Edwards berkata. "Range Rover baharu masih lagi mengekalkan karakter utama dan keunikannya iaitu gabungan antara kemewahan, prestasi dan keupayaan untuk bergerak di pelbagai permukaan bumi.

"Reka bentuk baharu serta penggunaan material yang ringan berjaya menjadikan model mewah ini lebih baik dari aspek keselesaan, perincian dan pengendalian."

Range Rover baharu mempunyai reka bentuk kemas dan elegan yang dicetuskan daripada interpretasi terkini identiti Range Rover. Memang saling tak tumpah dengan model lama, Range Rover baharu merupakan evolusi kepada reka bentuk ikonik gaya model tersebut.

RUANG kabin disalut material kulit dan kemasan kayu yang mewah.


"Mereka bentuk model gantian Range Rover selepas legasi kejayaan selama lebih daripada 40 tahun adalah tanggung jawab yang besar bagi melindungi DNA ikon tersebut.

"Pasukan pereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan perkadaran (proportion) yang elegan dan permukaan asal yang merupakan elemen terbaik reka bentuk Range Rover," kata Pengarah Rekaan dan Ketua Pegawai Kreatif Land Rover, Gerry McGovern.

Range Rover baharu menggunakan teknologi Terrain Response® system terkini daripada Land Rover. Sistem itu mampu menganalisis keadaan pemanduan dan secara automatik memilih talaan yang bersesuaian untuk pemanduan di atas pelbagai permukaan jalan.

Bagi memastikan kelasakan dan ketahanannya, ia diuji di atas permukaan jalan biasa dan off-road secara ekstrem. Proses pembangunannya melibatkan ujian sejauh lebih sejuta kilometer, mengambil masa lebih 18 bulan di lebih 20 buah negara dengan cuaca dan permukaan jalan yang ekstrem.

Ruang kabin Range Rover baharu menawarkan ambien yang aman sebagai syarat untuk menjadi SUV mewah. Antara kaedahnya adalah penggunaan struktur badan yang kuat, selain lapisan akustik pada cermin hadapan dan cermin pintu yang berjaya mengurangkan bunyi dari luar kenderaan.

Sistem suspensi baharu pula membolehkan jurutera menghasilkan pemanduan yang lebih mewah dari aspek keselesaan dan perinciannya. Ruang dalaman yang mewah diinspirasikan daripada gaya rekaan Range Rover terdahulu.

Tetapi ia disegarkan oleh elemen kontemporari dengan permukaan yang kemas dan elegan menerusi aplikasi material kulit serta kayu terbaik.

Sudah namanya SUV mewah, Range Rover perlu mempunyai kuasa yang sepadan. Pelanggan diberi tiga opsyen enjin iaitu V8 petrol supercharge, TDV6 dan SDV8 diesel yang menggabungkan prestasi responsif dengan emisi C02 cemerlang.

Direka bentuk dan dijuruterakan di pusat pembangunan Land Rover di UK, model itu bakal diproduksi di kilang canggih yang baru di Solihull, UK. Tempahan untuk pasaran UK bermula pada September 2012.

Range Rover itu merupakan produk global yang bakal menyaksikannya dijual di lebih 160 buah negara seluruh dunia. Besar kemungkinan Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Dedah pelumba muda

Posted:

Dedah pelumba muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PELUMBA sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang mahu mana-mana pelumba muda negara yang berpotensi diberikan pendedahan untuk menyertai Kejohanan Dunia.

Menurutnya, sudah tiba masanya pelumba skuad pelapis kebangsaan diberi peluang untuk menyertai mana-mana kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.

Antara pelumba yang dilihat berpotensi, katanya, termasuklah Idrus Md. Yunus, Muhd. Arfi Qhairant, Mohd. Fattah Amri Zaid dan Malik Marcus Mcrone.

"Sebelum ini, tumpuan banyak diberikan kepada saya dan Josiah Ng (dalam Kejohanan Dunia).

"Jadi sekarang ini ia 'medan pertempuran' bagi pelumba muda pula untuk menggalas cabaran negara," katanya kepada pemberita semalam.

Pelumba kelahiran Terengganu itu ditemui selepas menghadiri majlis perasmian jam tangan edisi baharu Oris di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.

Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, dia juga menetapkan fokus terbaharu supaya menyinar pada kejohanan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014.

Selain itu, katanya, dia juga berhasrat mempertahankan emas Sukan Asia yang dimenangi di Guangzhou, China dua tahun lalu serta berazam menebus kekecewaan setelah dibatalkan penyertaan dalam acara keirin pada Sukan Komanwel New Delhi pada tahun yang sama.

"Saya mahu mendapatkan kembali kedua-dua gelaran tersebut. Itu sasaran utama saya buat masa ini," katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni juga berkongsi kegembiraan bersama peminat mengenai statusnya yang bakal menjadi bapa apabila isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat dijangka melahirkan cahaya mata pertama mereka pada awal November depan.

"Hari Raya yang lepas merupakan raya pertama saya bersama keluarga selepas empat tahun beraya di Melbourne kerana menjalani latihan intensif.

"Jadi kali ini saya banyak menghabiskan masa dengan mereka termasuk menemani isteri menjalani pemeriksaan kesihatan. Teruja rasanya untuk menjadi seorang bapa," katanya yang hanya akan pulang menyambung latihan di Melbourne pada Disember ini.

Rozaimi doakan kejayaan rakan

Posted:

Rozaimi doakan kejayaan rakan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


ROZAIMI (kanan) belum pasti dapat beraksi pada Piala SCTV di Indonesia hari ini gara-gara kecederaan.


HANYA doa mampu diungkapkan peledak muda negara, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengiringi perjuangan Harimau Muda menjelang aksi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala SCTV menentang skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.

Biarpun tetap disenaraikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ke Jakarta, Rozaimi, 20, berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat beraksi buat kali pertama di stadium keramat itu gara-gara ibu jari kakinya didapati bengkak selepas membantu Selangor menewaskan Pahang 4-1 dalam kempen Piala Malaysia, Selasa lalu.

Sebelum ini, Rozaimi juga tiada dalam senarai skuad Kim Swee ketika mempertahankan emas temasya Sukan SEA di stadium yang sama tahun lalu.

Justeru, katanya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu mengulangi kejayaan malam esok biarpun ia sekadar satu kejohanan jemputan.

"Sudah tentu saya kecewa (tidak dapat beraksi), tetapi inilah asam garam pemain bola sepak.

"Jadi, saya harap rakan-rakan sepasukan mampu memberikan yang terbaik biarpun terpaksa beraksi di depan ribuan penyokong Indonesia," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo!

Dengan ketiadaan Rozaimi, jentera penyudah Harimau Muda dijangka digalas oleh Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri malam esok.

Selain Rozaimi, tiga lagi pemain iaitu Fandi Othman, Azrif Nasrulhaq Badrul dan Ashri Chuchu juga dilaporkan mengalami kecederaan sementara lima lagi pemain iaitu Mahalli Jasulli, Mohd. Fadli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat dan Zubir Azmi juga diketepikan Kim Swee kali ini kerana dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium Shah Alam, Selasa minggu depan.

Ia merupakan aksi tunggal Harimau Muda dalam kejohanan Piala SCTV itu nanti, sementara satu lagi aksi kejohanan membabitkan pertemuan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Korea Utara juga berlangsung di stadium yang sama sehari kemudian.

Dalam pada itu, Rozaimi mengakui prestasinya masih di bawah tahap sebenar ketika ini berbanding semasa meledak 10 gol bersama Harimau Muda dalam aksi kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar, Jun lalu.

"Saya masih belum berpuas hati, bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki (biarpun berjaya menamatkan kemarau gol bersama Selangor tempoh hari). Saya pun tidak tahu mengapa (gagal mencetak gol buat Selangor sebelum ini), namun saya gembira kerana ia mengembalikan semula keyakinan saya.

"Jadi, saya harap dapat segera pulih daripada kecederaan dan mahu mendapat semula sentuhan penyudah seperti mana di Myanmar tempoh hari. Sebagai penyerang, tugas saya ialah untuk menjaringkan gol dan itulah yang akan saya lakukan," katanya optimis.

Sapura jinakkan Maybank

Posted:

Sapura jinakkan Maybank

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

PEMAIN Sapura, Jiwa Mohan (kiri) cuba menyekat kemaraan pemain Maybank pada aksi di Bukit Jalil semalam.


SAPURA menghidupkan peluang dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB apabila menewaskan Maybank 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Pemain import Sapura dari Pakistan, Muhammad Imran tampil cemerlang untuk menjaringkan gol pertama Sapura pada minit kelapan berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Mohd. Marhan Mohd. Jalil terus mengukuhkan kedudukan Sapura dengan jaringan dua gol padang pada minit ke-30 dan ke-32 perlawanan untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Namun, Maybank yang bermula agak perlahan berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Hairul Nizam Abd. Rani pada minit ke-35.

Pada separuh masa kedua, Muhammad Imran menjaringkan gol keempat Sapura pada minit ke-41 manakala Hafifihafiz Hanafi menjaringkan gol kedua Maybank pada minit ke-48 perlawanan dan kedudukan 4-2 yang memihak kepada Sapura kekal sehingga tamat perlawanan.

Jurulatih Sapura, V.K Balakrisnan berkata, walaupun mencapai kemenangan dan berjaya meraih tiga mata berharga tetapi masih banyak kelemahan dalam pasukannya yang perlu diperbaiki segera.

"Kami perlu manfaatkan setiap peluang yang terhidang dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah," katanya selepas perlawanan semalam.

Menurutnya, selepas ini me reka akan menumpukan untuk perlawanan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) esok dan akan memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Sementara itu, jurulatih Maybank, Wallace Tan berkata, pemainnya bermula agak perlahan dan banyak melepaskan peluang keemasan menjaringkan gol.

"Jika kami dapat menjaringkan kesemua peluang yang terhidang pasti keputusan itu berubah dan kami bermain agak baik hari ini (semalam) cuma kegagalan menjaringkan gol sahaja menjadikan perlawanan bukan milik kami," katanya.

Sementara itu, perlawanan antara TNB dengan UniKL pula berkesudahan TNB menang tipis 3-2 yang menyaksikan penyerang kebangsaan, Faizal Saari meledak hatrik.

Gol UniKL pula dijaringkan oleh S. Selvaraju dan Mohd. Noor Faeez Ibrahim.

KLHC yang menewaskan Nur Insafi 5-0 di Ipoh semalam kini menerajui kedudukan liga dengan sembilan mata, diikuti TNB di tempat kedua dengan tujuh mata.

Tempat ketiga menjadi milik Sapura dengan enam mata, manakala Nurinsafi Perak keempat dengan tiga mata.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Rawatan berpantang bak di rumah

Posted:

Rawatan berpantang bak di rumah

Oleh SUHANA VERU

BERLOKASI di kawasan bukit yang menjanjikan suasana privasi dan nyaman, mungkin ramai yang menyangka Pusat Penjagaan Ibu Bersalin Mom Retreat yang terletak di Jalan Permatang Pasir, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur itu ialah sebuah kediaman mewah. Begitupun percaya atau tidak, rumah tersebut sebenarnya direka khusus untuk golongan ibu yang mahu menjalani rawatan selepas bersalin. Bagi yang berhasrat mahu menghabiskan pantang di rumah tetapi dengan kemudahan bertaraf hotel itu, pasti anda tidak akan menyesal kerana ia bukan sahaja menjanjikan penginapan yang selesa, malah rawatan terbaik.


SUASANA bilik di Mom Retreat saling tidak tumpah seperti sebuah bilik di rumah.


Selain penginapan bertaraf hotel itu, ia umpama satu destinasi percutian bagi ibu yang mahu berehat dengan secukupnya. Malah, di pusat itu ia juga menyediakan khidmat jururawat yang bertauliah untuk penjagaan rapi kepada ibu dan bayi. Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, pemilik pusat berkenaan, Hazeera Banu Ramjan Din, 40, berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan rawatan secara holistik dan tradisional Melayu yang sesuai bagi proses pemulihan serta penyembuhan badan ibu yang baru bersalin.


SETIAP ibu yang baru bersalin akan dijaga jururawat bertauliah demi menjamin kepuasan hati pelanggan tatkala mendapatkan rawatan.


Rumah terbabit memiliki sembilan buah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan internet, televisyen, pendingin hawa serta set bilik tidur yang selesa. Ibu kepada empat cahaya mata itu yang baru membuka pusat berkenaan kira-kira dua bulan lalu memberitahu, pihaknya menyediakan kemudahan setaraf hotel demi menjamin kepuasan hati pelanggan sepanjang menerima rawatan di situ.

Jururawat terlatih

Dalam pada itu, para pelanggan tidak perlu bimbang kerana dari soal pemakanan sehinggalah ke tempat tidur, mereka akan dijaga rapi dengan bantuan kakitangan yang terdiri daripada jururawat bertauliah.

"Kami memahami keperluan wanita yang baru bersalin. Apabila menjalani rawatan di sini, mereka akan mendapat perhatian sepenuhnya, rehat yang cukup dan ketenangan minda serta pemulihan badan yang sempurna," kata Hazeera Banu yang banyak mengamalkan petua neneknya iaitu seorang bidan kampung di Ipoh, Perak 30 tahun lalu. Berbicara lanjut mengenai konsep di pusatnya itu, beliau memberitahu idea tersebut untuk memberi keselesaan kepada para ibu.


KESEMUA produk rawatan bersalin di Mom Retreat diperbuat daripada rempah-ratus.


Dengan dekorasi yang santai, keadaan itu akan menyebabkan para ibu terasa seolah-olah berada di rumah sendiri bukannya seperti hospital. "Suasana pusat ini tidak tumpah seperti sebuah rumah. Segala-galanya ada di sini, lengkap dengan peralatan rumah," ujarnya. Tambah beliau, kebanyakan golongan ibu akan mengalami tekanan akibat kurang rehat bila berehat di rumah sendiri. Tambahan pula, melihat keadaan rumah yang tidak terurus dan kerenah anak-anak yang lain. Justeru, di sini mereka akan berasa lebih tenang dan dapat berehat sepuas-puasnya.


HAZEERA BANU bersama produk hasil penyediaannya sendiri yang bebas daripada bahan-bahan kimia.


Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga rawatan di pusat itu, pihaknya menyediakan tiga pakej Pengurusan Ibu dan Anak Dalam Pantang Bersalin iaitu pakej tiga malam, seminggu, 15 malam dan sebulan.

Harga pakej pula bergantung kepada jenis pakej iaitu sama ada pakej penginapan sahaja ataupun termasuk rawatan holistik dan tradisional Melayu. Bagi yang bersalin secara pembedahan juga boleh mengambil pakej penginapan serta penjagaan rapi di Mom Retreat. Rawatan yang disediakan merangkumi urutan badan, bertungku, bertuam, mandian herba, skrub badan, terapi cahaya infra merah, urutan payu dara bagi yang mengalami bengkak susu, penjagaan luka jahitan di bahagian sulit dan sebagainya.


HAZEERA BANU menunjukkan cara urutan yang betul kepada salah seorang jururawat yang berkhidmat di Mom Retreat.


Begitupun, harga bilik bukan sahaja sahaja merangkumi penginapan di kamar yang besar, tetapi termasuk juga penyediaan makan dan minum ibu bersalin serta perkhidmatan jururawat bertauliah yang akan menjaga setiap pesakit. Dalam pada itu, pakej di Mom Retreat juga menyediakan perkhidmatan kunjungan ke rumah ibu. Pakej yang ditawarkan itu terbahagi kepada tiga iaitu asas, premium dan fleksibel. Apa yang lebih menarik mengenai rawatan selepas pantang di Mom Retreat, anda tidak perlu gusar terhadap kandungan bahan-bahan produk yang digunakan untuk rawatan. Ia kerana, kebanyakan bahan-bahan yang digunakan terdiri daripada ramuan rempah-ratus seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia dan lada hitam yang secara tradisi diketahui baik untuk rawatan ibu berpantang.

Anemia belenggu wanita hamil

Posted:

Anemia belenggu wanita hamil

JIKA anemia tidak dicegah, ia akan memberikan kesan kesihatan jangka panjang terhadap ibu dan bayi. - Gambar hiasan


GOLONGAN wanita yang mengandung mudah terganggu, letih dan lemah. Simptom-simptom itu dikatakan perkara biasa yang dialami wanita ketika hamil. Malah, mereka seringkali dimaklumkan supaya mengabaikan gejala-gejala terbabit memandangkan semua itu disebabkan kesan perubahan hormon akibat hamil.

Begitupun, tanda-tanda itu sebenarnya menandakan wanita mengandung itu menghidap anemia akibat kekurangan zat besi.

Kekurangan zat besi merupakan penyebab utama anemia. Mereka yang mengalami anemia akan sering letih, sukar bernafas, kedatangan haid yang tidak menentu dan pening.

Zat besi sebenarnya boleh didapati di dalam daging merah, bijirin dan sayur-sayuran hijau sementara vitamin-vitamin penting yang diperlukan oleh tubuh terdapat di dalam kebanyakan jenis makanan.

Namun apa yang lebih malang, penyakit itu jika tidak dicegah serta dirawat boleh menyebabkan ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan bagi jangka masa panjang.

Menyedari hakikat itu, Merck Consumer Healthcare mengambil inisiatif dengan menganjurkan bengkel pendidikan bersama Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Premitha Damodaran.

Menurutnya, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri ketika hamil malah selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

Seseorang wanita hamil yang mengalami kekurangan zat besi boleh dikesan sekiranya tahap bacaan bilangan sel darah merah kurang daripada 12 sehingga 15 miligram (mg).

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memberitahu, wanita hamil amat memerlukan zat besi tambahan bagi menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong tumbesaran bayi mereka.

Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya sekali gus menyebabkan mereka terdedah dengan risiko penyakit anemia.

"Apabila tubuh mereka mengalami kekurangan zat besi, seseorang wanita yang mengandung itu boleh mengalami keguguran, kelahiran pramatang dan kebarangkalian berdepan dengan maut.

"Oleh itu, golongan wanita disarankan menjalani ujian darah sebelum merancang untuk hamil. Ia penting bagi mengetahui tahap hemoglobin mereka. Namun, apa yang terjadi kebanyakan wanita hanya berjumpa doktor selepas mereka disahkan mengandung. Pada masa itu, mereka sudah pun didapati mengalami anemia yang ringan," ujarnya.

Sehubungan itu, golongan ibu disyorkan supaya mengambil meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur-sayuran, kekacang, hati, prun, kismis, buah-buahan, labu, bijan dan tauhu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved