Jumaat, 7 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kekalkan kestabilan hidupan marin

Posted:

Kekalkan kestabilan hidupan marin

SALAH satu agenda lawatan media ke Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ialah mendengar taklimat ringkas mengenai pusat penyelidikan yang dijadikan makmal Kajian Hidupan Ekologi Marin (MERC) milik Gayana Eco Resort. Gayana Eco Resort merupakan sebuah pusat peranginan berstatus mewah di Negeri Bawah Bayu.

Pada mulanya, kumpulan media yang diwakili 10 wartawan dari pelbagai agensi termasuk dari Hong Kong, mengandaikan pasti taklimat tersebut akan diselubungi kebosanan kerana ia sudah tentu tidak lebih daripada taklimat-taklimat biasa.

Sebaliknya, lain yang berlaku. Kesemua ahli kumpulan media tekun mendengar penerangan yang disampaikan oleh Pengarah Projek MERC, Alvin Wong.

"Inilah yang akan berlaku jika lautan yang dianugerahkan kepada kita dengan pelbagai hidupan sama ada yang diketahui atau masih menjadi rahsia alam lenyap dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.

"Manusia pula ketika itu terpinga-pinga apa sebenarnya yang terjadi, walhal merekalah penyumbang terbesar menyebabkan sistem ekologi yang sebelum ini mengimbangi hidupan marin sama ada yang bergerak atau duduk diam di dasar laut, muflis," ujar Alvin sekali gus menyuntik kesedaran di hati pendengar.

Sambil jarinya pantas menekan punat untuk menukar gambar di layar, mata kami tertumpu kepada beberapa imej yang memaparkan kisah pencemaran laut dalam di samping mendengar taklimat yang diselang-seli dalam dialek Sabah.

Ternyata ia meninggalkan kesan di hati kerana gambar-gambar itu sudah cukup membayangkan bahawa pencemaran yang berterusan akan menyebabkan hidupan laut tidak terdaya untuk mengawal keseimbangan.

Berjiwa besar

KULIT kima gergasi terbesar turut dipamerkan di MERC untuk menarik perhatian pengunjung.


Harus diingat sebahagian besar permukaan bumi ini dipenuhi air. Kita tidak dapat menjangka apa yang bakal terjadi jika laut tersebut tidak lagi mendapat keseimbangan sewajarnya.

Kata Alvin, sedar betapa pentingnya perkara itu, MERC muncul sebagai satu entiti kecil yang berjiwa besar iaitu memulihara dan melindungi aset utama yang menyebabkan ekosistem laut menjadi seimbang melalui terumbu karang dan kima gergasi.

"Selamatkan gergasi!," laungnya pada akhir taklimat tersebut yang membuatkan hadirin tertawa.

Menurut lelaki berusia 46 tahun itu, dua jenis hidupan tersebut sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing tetapi mudah pula untuk dimusnahkan sama ada oleh tangan manusia atau diancam hidupan marin.

Sepanjang taklimat, Alvin beriya-iya memberikan persembahan terbaik kerana katanya, segala yang diperkatakan itu akan diterjemahkan di atas kertas oleh kami yang dijemput khas oleh majikannya dalam program yang julung-julung kali diadakan.

Jelasnya, memancing merupakan aktiviti yang dilarang di kawasan pulau kerana ia akan mencacatkan keseimbangan alam semula jadi laut.

"Selain itu, ancaman yang biasa dihadapi oleh terumbu karang dan kima gergasi adalah daripada nelayan yang menggunakan bom dan jaring yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan, kelunturan warna akibat pencemaran air dan pemanasan global.

"Pembuangan sampah ke dalam laut, terumbu karang dipijak oleh penyelam dan dirosakkan sauh juga menjadi ancaman kepada hidupan marin," ungkapnya lagi.

Tambah beliau, pihak pengurusan mengenakan syarat ketat ke atas pekerja yang didapati sengaja mencemarkan laut atau memancing di kawasan pulau. Mereka boleh dipecat serta-merta dan tidak akan diambil bekerja semula kerana dianggap tidak menghargai alam sekitar.

Alvin memberitahu, pihaknya mengambil masa selama tiga tahun untuk menjaga anak kima gergasi sebelum boleh dilepaskan ke dalam laut untuk berdikari.

Daripada 100 telur kima gergasi, hanya dua atau tiga peratus sahaja yang berpeluang untuk hidup kerana terancam dengan hidupan lain.

"Kita juga telah membiak dan menjaga lebih 500 spesies kima gergasi yang telah dilepaskan ke laut pada 30 Mac lalu selepas kita yakin mereka mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa bimbingan kami," katanya. Menurut beliau, kima mampu hidup hingga 100 tahun mempunyai berat lebih 200 kilogram dan berukuran 1.2 meter panjang jika tidak diancam musuh semula jadi dan baharu.

Operasi pembiakan

Ujar Alvin, mereka banyak melakukan teknik cuba dan gagal dalam operasi pembiakan terumbu karang dan kima gergasi.

"Kami banyak kali gagal ketika bereksperimen tetapi ia mengajar kami yang akhirnya kami beroleh kejayaan sedikit demi sedikit," tuturnya.

Menurut Alvin, pada waktu siang kima gergasi membuka cengkerang dan mengunjurkan tisu mantel supaya alga yang berada di dalamnya menerima cahaya matahari yang diperlukan bagi proses fotosintesis atau menghasilkan makanan sendiri. Begitulah yang dilakukan oleh cengkerang itu agar ia dapat terus hidup.

Perkara itu diakui oleh pemilik Gayana Eco Resort, Gillian Tan, 28. Kata Gillian, pihaknya telah bertungkus-lumus untuk memelihara dan membuat kajian mengenai kedua-dua spesies yang jarang diambil peduli kebanyakan orang kerana ketidakfahaman mereka mengenai kepentingan hidupan tersebut.

"Kima gergasi diibaratkan seperti hati lautan yang membersihkan air sama dengan fungsi pokok yang menyegarkan udara.

"Bagaimanapun, pergerakannya yang perlahan dan tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya daripada ancaman perosak, kima gergasi kini menghampiri saat kepupusan," katanya.

Tambahnya, atas dasar itulah dia dan keluarganya sanggup berhabis jutaan ringgit dengan mengupah pakar dan pekerja yang berkebolehan dalam memulihara hidupan marin di MERC. Mereka bagaimanapun tidak menerima sebarang dana daripada pihak luar untuk usaha murni itu.

PETA menunjukkan kedudukan Gayana Eco Resort di Pulau Gaya, Sabah.


Menurut Gillian, apa yang menyedihkan sikap manusia yang gemar makan makanan eksotik dan memburu kima gergasi untuk mengambil isinya yang kenyal sebagai hidangan manakala cengkerangnya pula dijadikan hiasan.

"Bagi membantah amalan itu, saya mencadangkan kepada sesiapa sahaja supaya tidak membeli, menjual atau memakannya kerana ia begitu penting untuk menstabilkan kitaran hidup hidupan marin," tegasnya penuh makna.

Di MERC, pihaknya bukan sahaja membuat penyelidikan dan membiakkan terumbu karang tetapi turut memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolah dan pelancong untuk mengetahui mengenai kepentingan menjaga keseimbangan hidupan marin.

Pemilik dua ijazah seni dan perdagangan dari Universiti New South Wales di Sydney itu memberitahu, pihaknya tidak sekali-kali membenarkan sebarang usaha atau perlakuan tidak bertanggungjawab individu yang ingin melihat laut di Sabah muflis daripada khazanah alam untuk menstabilkan keharmoniannya.

Gillian yang mewarisi syarikat itu secara turun temurun daripada keluarganya turut mengusahakan calet mewah di Pulau Gaya bagi membolehkan pelancong tempatan dan luar negara bercuti sambil menikmati keindahan pantai.

Layanan banduan kepada pelancong

Posted:

Layanan banduan kepada pelancong

Pulau Pianosa diubah menjadi destinasi pelancongan secara perlahan-lahan selepas penutupan penjara di pulau tersebut. Menerusi program yang dikendalikan oleh syarikat tempatan, San Giacomo dengan kerjasama sebuah penjara di Pulau Elba sejak tahun 2000, beberapa orang banduan kembali ke Pianosa sebagai pekerja sebelum mereka dibebaskan.

KEDATANGAN para pelancong di Pulau Pianosa di barat Itali disambut mesra oleh penganjur, namun ia bukan sekadar sambutan biasa. Lima banduan yang masih mempunyai tempoh tahanan penjara bertugas di hotel berkenaan.

Timbul prejudis dalam kalangan orang ramai tetapi ia adalah normal namun penganjur berusaha untuk menukar pandangan tersebut.

Pulau Pianosa merupakan salah satu daripada tujuh pulau yang terdapat di Kepulauan Tuscan. Ia mempunyai pelabuhan yang aneh tetapi menarik, dihuni banyak spesies ikan dan penyu.

PANDANGAN luar penjara di Pulau Pianosa.


Pada masa lampau, pulau berkenaan menempatkan penjara yang berdinding konkrit tinggi, salah seorang daripada ketua mafia yang berbahaya turut dipenjarakan di sana sebelum penjara itu ditutup pada tahun 1998.

Kini, beberapa orang banduan kembali ke Pianosa sebagai pekerja hasil pelaksanaan program yang dikendalikan oleh syarikat tempatan, San Giacomo dengan kerjasama sebuah penjara di Pulau Elba sejak tahun 2000.

"Ia merupakan inisiatif yang positif. Ia memberi peluang kepada banduan itu kembali kepada masyarakat," kata ketua penolong syarikat kerjasama tersebut, Brunello De Batte.

SELEPAS penjara di Pulau Pianosa ditutup, tempat tersebut menjadi destinasi kunjungan pelancong untuk menyertai pelbagai program unik, antaranya mengetahui kehidupan banduan yang tinggal
di situ suatu ketika dahulu.


Banduan terbabit dipenjara atas pelbagai kesalahan jenayah telah diberi kontrak untuk bekerja sebagai pekerja bar, tukang masak, pencuci, pelayan serta jurujual kedai cenderamata. Hotel yang diuruskan oleh syarikat kerjasama itu mempunyai 12 bilik, sebuah bar dan restoran.

Bagaimanapun, kesemua mereka masih banduan. Sehubungan itu, mereka tidak boleh meninggalkan pulau berkenaan selain ditempatkan dalam bilik-bilik khas pada waktu malam.

"Setelah beberapa tahun, saya dapati banduan ini semakin matang, bertanggungjawab dan berubah seratus-peratus berbanding ketika baru datang.

PARA pelancong duduk di bahagian pintu masuk hotel yang diuruskan oleh San Giacomo.


"Mereka mempunyai sifat saling bergantungan antara satu sama lain," katanya,

Filippo, 32, kini telah dua tahun mengikuti program berkenaan berkata, pengalaman kerja itu telah meningkatkan keyakinan diri dan mempunyai impian untuk dicapai.

"Saya telah diberi peluang kedua dalam kehidupan ini. Saya rasa diterima sekali lagi oleh masyarakat," katanya yang menambah bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan orang ramai.

"Memang terdapat sifat prasangka dalam kalangan pengunjung tetapi ia adalah normal dan saya berusaha untuk menukar tanggapan buruk mereka," katanya sambil menukar cadar di bilik hotel itu.

PETA menunjukkan kedudukan Pulau Pianosa, Itali.


Tempoh hukuman

Pianosa kini bukan sahaja menjadi kawasan perlindungan hidupan liar tetapi pelancong turut datang bagi melihat sendiri kebenaran satu kisah Perang Dunia Kedua yang dialami bekas tentera udara Amerika Syarikat, Joseph Heller dalam diceritakan dalam novelnya, Catch 22.

Dalam pada itu, kriteria banduan yang diterima mengikuti program berkenaan mestilah sekurang-kurangnya telah menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman penjara dan didapati berkelakuan baik.

"Saya ingin membuktikan kepada para pelanggan bahawa saya normal. Kita manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan," kata Filippo.

Di tempat kapal berlabuh, para pelancong sedang leka menangkap ikan dalam air laut yang cantik dan hasil tangkapan diberikan kepada banduan untuk dimasak.

PULAU Pianosa mempunyai keluasan 10.25 kilometer persegi ini terletakdi dalam sebahagian Taman Negara Kepulauan Tuscan, Itali.


"Saya rasa program ini sesuatu yang menarik dan terbaik. Hidangan pasta yang saya nikmati amat sedap," kata seorang pelancong Benedetto berusia 30-an.

Penganjur menganggap program berkenaan berjaya, terutama dalam menyediakan pekerjaan kepada banduan. Tiada statistik rasmi tetapi mereka mengatakan selepas dibebaskan dari penjara, banduan tersebut telah mendapat pekerjaan termasuk seorang yang berjaya menjadi tukang batu.

Bagaimanapun, penganjur kini berdepan masalah untuk meneruskan program berkenaan kerana kutipan cukai yang disalurkan kerajaan kepada syarikat kerjasama seperti San Giacomo telah digantung ekoran Itali berdepan krisis kewangan.

De Batte tidak mahu mengalah dan berkata, kumpulan San Giacomo bukan sahaja menyokong hotel tersebut tetapi berharap untuk membuka secara sepenuh masa pusat latihan profesional untuk banduan di Pianosa.

Masak di atas dapur kayu api

Posted:

Masak di atas dapur kayu api

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


SEBAGAI penggemar serunding daging, Wan Noorhazlinda Abd. Halim, 26, memastikan setiap kali menjelang perayaan juadah kegemarannya itu sudah tersedia.

Sejak kecil, ibu Hazlinda memasak serunding daging pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Paduan ketupat daun palas dan nasi himpit bersama serunding ibarat menu wajib bagi Hazlinda sekeluarga.

"Serunding daging yang ibu saya buat lebih tebal dan puas dimakan. Dagingnya dicarik besar-besar agar daging lebih tebal.

"Ia merupakan resipi turun-temurun yang amat kami gemari sekeluarga. Bagi memastikan tekstur daging itu lembut dan mudah dicarik, ibu saya menggunakan daging segar dan merebusnya terlebih dahulu. Kalau pakai daging biasa, ia agak liat sedikit.

"Kalau hari-hari biasa pun saya tetap mencari serunding daging. Selalunya kawan ibu akan membelikan bekalan serunding dari Kelantan.

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


"Pernah juga saya beli serunding di Kuala Lumpur terutama menjelang bulan puasa tetapi harganya mahal dan rasanya tidak sesedap serunding yang dihasilkan di Kelantan.

"Peniaga serunding daging di Kuala Lumpur gemar mengisar daging sehingga hancur sampai rasanya hilang. Serunding Kelantan tidak begitu kerana mereka mencarik daging itu halus-halus," ujarnya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam.

Serunding dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga lebih manis dan kurang pedas membuatkan Hazlinda menggemarinya. Kata Hazlinda: "Disebabkan kami sekeluarga tidak berapa menggemari makanan pedas, ibu memastikan serunding yang dibuat rasanya manis."

PATI santan dan bawang disatukan dalam kuali sebelum daging dimasukkan.


Makanan yang diperbuat daripada cebisan daging, ayam atau kelapa itu sememangnya terkenal dengan rasa pedas terutamanya yang dijual di sekitar Lembah Klang.

Selain keenakan rasa yang menambat minat Hazlinda, serunding daging yang boleh tahan untuk tempoh yang lama menjadi antara faktor digemari wanita itu.

Kata Hazlinda: "Serunding boleh tahan selama satu hingga tiga bulan jika disimpan di dalam bekas kedap udara."

Selain itu, Hazlinda turut menjadikannya lauk yang ringkas sekiranya beliau tidak memasak. Hidangan serunding daging bersama nasi putih, telur goreng dan kicap adakalanya menjadi pilihan Hazlinda waktu sahur pada bulan Ramadan.

Sambal daging atau serunding begitu sinonim dengan Kampung Laut, Tumpat, Kelantan sehinggakan lebih 60 pengusaha serunding datangnya dari perkampungan tersebut.

Sama ada diusahakan secara kecil-kecilan atau secara komersial, Kampung Laut boleh diberi jolokan perkampungan serunding ekoran populariti yang dikecapi daripada makanan tradisi tersebut.

Serunding yang mengambil masa seharian untuk disediakan, daripada proses merebus daging yang mengambil masa enam hingga tujuh jam, mencarik daging, menumis dan memasak, menjadikan makanan ini cukup istimewa.

SANTAN perlu dikacau selama dua jam bagi mendapatkan rasa lemak pada serunding.


Warisi perniagaan

Bagaimanapun, perubahan zaman seiring pembangunan teknologi telah mempermudahkan cara dengan kehadiran pelbagai mesin memproses serunding daripada kuali elektrik untuk menggoreng dan juga mesin pencarik daging.

Namun, dalam ketaksuban pengusaha lain untuk memaksimumkan pengeluaran dengan mengurangkan masa dan kos, pengusaha Serunding Rahmah, Wan Rashid Wan Muhammad, 48, dan adiknya Wan Asmariah, 33, yang mewarisi perniagaan daripada ibu mereka, Rahmah Yusof, 63, masih mengekalkan elemen tradisional bagi menghasilkan serunding.

Menurut Wan Rashid, peniagaan serunding ibunya merupakan perniagaan turun temurun yang telah diwarisi oleh tiga generasi.

"Ibu saya mewarisi perniagaan serunding ini daripada ibunya iaitu Mak Som Pak Soh yang merupakan pelopor perniagaan serunding di Kampung Laut ini.

"Pada mulanya hanya ada tiga rumah sahaja yang mengusahakan serunding, kini, lebih 60 pengusaha terdapat di kampung ini termasuk beberapa ahli keluarga ibu saya," ujarnya.

Kini ramai pengusaha serunding menggunakan pelbagai alat dan mesin bagi membantu mempercepat dan mempermudahkan proses memasak serunding yang memakan masa satu hari untuk disiapkan. Tetapi, bagi mereka, kuantiti bukanlah perkara utama kerana Serunding Rahmah lebih mementingkan kualiti yang menjadikan mereka lain daripada yang lain.

Serunding Rahmah masih menggunakan kayu api untuk memasak dan menggunakan tenaga kerja seramai 10 orang untuk operasi seharian mereka.

RAHMAH menunjukkan hasil serunding yang dihasilkan oleh syarikatnya.


"Banyak perbezaan antara serunding yang dimasak secara moden (menggunakan dapur elektrik) dengan serunding yang dimasak menggunakan kayu api dan digaul serta dicarik secara manual.

"Serunding yang dimasak menggunakan mesin cenderung hancur berbanding yang dicarik secara manual menggunakan tangan selain aroma serunding juga berbeza jika digunakan kayu api untuk memasaknya," katanya.

Sebelum ini, mereka pernah mencuba untuk menggunakan cara moden dengan menggunakan dapur elektrik tetapi ada perbezaan pada aromanya.

Dengan menggunakan cara tradisional, mereka juga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung kerana satu mesin telah mengambil alih tugas lima orang pekerja.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kanak-kanak ditemui di bawah mayat

Posted:

Kanak-kanak ditemui di bawah mayat

BEBERAPA anggota polis mengawal lokasi kanak-kanak perempuan bersembunyi dalam sebuah kereta BMW di kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline, Perancis semalam.


PARIS – Seorang kanak-kanak perempuan warga Britain berusia empat tahun bersembunyi selama lapan jam di bawah dua mayat ahli keluarganya yang mati ditembak di tempat duduk belakang sebuah kereta BMW di kawasan pergunungan Alps di Perancis kelmarin.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline.

Pendakwa raya bandar Annecy, Eric Maillaud berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh beberapa anggota polis.

Mayat seorang lelaki yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan ditemui di tempat duduk depan kereta tersebut.

Seorang penunggang basikal warga tempatan turut ditemui mati berhampiran tempat kejadian.

Turut ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah seorang lagi budak perempuan berusia sekitar tujuh tahun yang merupakan kakak budak kanak-kanak tersebut.

Budak itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan kerana cedera ditembak manakala tengkoraknya retak.

Menurut Maillaud, kereta BMW berkenaan milik sebuah keluarga Britain yang bercuti di kem perkhemahan di tepi Tasik Annecy.

Tasik itu yang terletak di banjaran Alps merupakan kawasan percutian popular di Perancis.

Pemilik kem perkhemahan tersebut memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka yang maut terdiri daripada ibu, bapa dan nenek kanak-kanak itu.

Seorang individu yang lalu di lokasi kejadian menghubungi polis sekitar pukul 4 petang waktu tempatan kelmarin selepas dia menemui penunggang basikal dan kakak kanak-kanak tersebut.

Kereta itu dikawal hingga tengah malam apabila beberapa penyiasat khas dari sini tiba di lokasi kejadian.

Stesen televisyen tempatan, BFM-TV memetik seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Benoit Vinnemann sebagai berkata, kanak-kanak perempuan yang selamat itu bersembunyi di bawah kaki ibunya.

Maillaud pula memberitahu, sebaik sahaja pasukan penyiasat membuka pintu kenderaan, budak perempuan itu muncul sambil tersenyum dan mendepakan tangannya.

Dia bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi tidak dapat menceritakan apa yang berlaku.

Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah penjagaan polis.

Penunggang basikal tempatan yang ditemui berhampiran kereta berkenaan pula didapati tidak mempunyai hubungan dengan keluarga Britain itu.

Identiti lelaki tersebut hanya dikenal pasti selepas kehilangannya dilaporkan oleh isterinya.

Kata Maillaud, sekitar 15 kelongsong peluru turut ditemui berdekatan kereta tersebut.

Polis masih belum mengetahui punca kejadian itu. – Agensi

Cucu pengasas Red Bull didakwa mabuk ketika memandu

Posted:

Cucu pengasas Red Bull didakwa mabuk ketika memandu

GAMBAR yang dirakamkan pada 3 September lalu menunjukkan kereta Ferrari yang dipandu Vorayuth dan motosikal yang terlibat dalam kejadian langgar lari di Bangkok.


BANGKOK – Polis Thailand semalam menyatakan, pihaknya telah mendakwa pewaris empayar minuman tenaga Red Bull kerana memandu dalam keadaan mabuk selepas dia dituduh membunuh seorang anggota polis semasa memecut kereta Ferrarinya dari lokasi kejadian.

Seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Wiradon Tubtimdee berkata, ujian yang dilakukan beberapa jam selepas kemalangan pada Isnin lalu menunjukkan kandungan alkohol dalam darah pewaris berusia 27 tahun itu, Vorayuth Yoovidhya berjumlah 0.063 peratus.

Menurutnya, kandungan alkohol tersebut melebihi had yang dibenarkan iaitu 0.05 peratus.

Vorayuth diperintahkan hadir untuk mendengar dakwaan baharu itu dengan dia boleh dikenakan hukuman lebih berat jika didapati bersalah.

Pemuda itu telah didakwa kerana memandu dalam keadaan berbahaya dan mengelakkan diri daripada ditangkap.

Menurut Wiradon, lelaki itu belum melaporkan diri kepada polis untuk mendengar tuduhan baharu tersebut.

Peguam Vorayuth bagaimanapun mendakwa, anak guamnya tidak minum arak sebelum kemalangan itu berlaku.

Polis menyatakan, Vorayuth mengaku dia memandu kereta Ferrari yang melanggar motosikal anggota polis berkenaan tetapi memberitahu bahawa anggota polis terbabit membelok di hadapan keretanya.

Beberapa saksi memberitahu, anggota polis itu diseret kereta Ferrari itu sebelum kenderaan tersebut meninggalkan lokasi kejadian dengan dipandu laju.

Namun, polis mengekori tumpahan minyak di lokasi kemalangan menuju ke rumah yang menjadi tempat tinggal Vorayuth.

Rumah itu milik pengasas Red Bull, mendiang Chaleo Yoovidhya.

Chaleo yang merupakan antara orang terkaya di Thailand, meninggal dunia pada tahun ini. – AP

Wanita berbogel bersama Putera Harry ditangkap

Posted:

Wanita berbogel bersama Putera Harry ditangkap

NEW YORK - Seorang wanita yang mendakwa telah berbogel bersama pewaris ketiga takhta Britain, Putera Harry telah ditangkap pada 24 Ogos lalu, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Wanita itu, Carrie Lynn Reichert yang berusia 40 tahun ditangkap di San Diego, Amerika Syarikat ketika dia cuba untuk menaiki sebuah pesawat ke Mexico.

Menurut sumber penguat kuasa undang-undang, Reichert dikehendaki di daerah Harrison, Mississippi kerana menulis cek tendang bernilai AS$21,672 (RM67,474.0) bermula pada Ogos 2003.

"Pegawai-pegawai kastam mengesannya di lapangan terbang. Dia bercadang mahu keluar negara tetapi kami dapat menangkapnya," kata sumber tersebut.

Sumber itu memberitahu, dia boleh dikenakan hukuman penjara lebih setahun jika disabitkan kesalahan melakukan penipuan.

"Kenapa anda boleh menjadi terlalu bodoh?Anda mengetahui kami mempunyai waran berhubung cek tendang yang ada tulis.

"Selepas 9/11 (serangan pengganas di New York pada 11 September 2001), anda tahu kami memeriksa setiap orang di dalam pesawat," kata sumber berkenaan.

Reichert kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Santee, California.

Pada bulan lalu, Reichert memberitahu majalah People bahawa dia bercium dan berbogel dengan Putera Harry semasa parti diadakan di sebuah hotel di Las Vegas pada bulan lalu.

Gambar bogel putera itu turut disiarkan di muka depan akhbar The Sun di Britain pada 24 Ogos lalu.

Putera Harry merupakan cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Beliau merupakan anak Putera Charles dengan mendiang Lady Diana.

Putera Charles merupakan pewaris pertama takhta Britain diikuti Putera William yang juga abang Putera Harry. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved