Rabu, 29 Ogos 2012

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Wanita enggan lepas beg ditetak

Posted:

Wanita enggan lepas beg ditetak

Oleh MOHD. ZUHARMAN
MOHAMAD NOR
berita@kosmo.com.my

ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.

Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.

Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.

Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.

"Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali," kata saksi itu.

Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.

"Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa," kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.

Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.

Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.

Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.

KDN minta laporan terperinci

Posted:

KDN minta laporan terperinci

Oleh LILY YEAN dan ZULKIFLI MANZOR
berita@kosmo.com.my

PENIAGA (kiri) hanya membuka pintu untuk berurusan selepas yakin pelanggannya bukan penjenayah yang dipercayai kerap menyamun premis perniagaan di Segambut, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius trauma yang dihadapi para peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut di sini ekoran ancaman penjenayah dan mengarahkan polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan laporan terperinci mengenai masalah sebenar yang berlaku di kawasan itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi (gambar kecil) berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut secara terperinci memandangkan ia boleh memberi imej negatif terhadap tahap keselamatan di Kuala Lumpur.

"Pihak kami berterima kasih kepada akhbar Kosmo! kerana menyiarkan berita ini dan tentunya KDN akan memberi respons kepada fenomena yang berlaku itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai masalah yang dihadapi kira-kira 40 peniaga di kawasan Segambut ekoran ancaman penjenayah sejak dua bulan lalu sehingga memaksa mereka berniaga dalam keadaan pintu premis tertutup.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan peniaga di kawasan itu supaya bekerjasama dengan pihak polis dan PBT untuk membendung jenayah.

Saranan yang sama turut dikemukakan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye yang berkata, komuniti setempat juga perlu memainkan peranan membendung jenayah.

"Urusan menangani jenayah adalah tugas polis. Namun penduduk juga perlu bekerjasama menyelesaikan masalah," ujarnya.

Setiausaha Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, Wong Ruen Yuan pula berkata, pihaknya sedang menyediakan laporan terperinci masalah jenayah di sekitar Segambut untuk tindakan pihak polis.

"Masalah di Taman City ini turut dialami di kawasan lain di Segambut termasuk kawasan-kawasan perumahan," katanya.

Menurutnya, laporan itu akan dihantar kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, tinjauan semula Kosmo! di kawasan tersebut semalam mendapati masih ada peniaga yang menutup pintu jeriji kedai bagi mengelak disamun.

Peniaga alat ganti kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Meng, 42, berkata, dia terpaksa berwaspada sepanjang masa selepas disamun tiga tahun lalu.

"Kedai saya pernah disamun tiga tahun lalu yang mana tiga lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM10,000.

"Kami berharap pihak polis dapat mencegah jenayah dengan mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan ini," ujarnya.

Penyelia kedai alat ganti, Fun Swee Keong, 27, pula berkata, walaupun kedainya tidak pernah disamun, tahap keselamatan yang kurang memuaskan di kawasan tersebut diakui membimbangkan.

"Kami juga sering bimbang dan ragu-ragu sama ada orang yang datang itu benar-benar pelanggan atau penjenayah," katanya yang membayar RM250 sebulan untuk mendapatkan khidmat pengawal keselamatan berkelompok.

Pekerja kedai alat ganti kenderaan, Lai Wai Lek, 28, memberitahu, mereka sebelum ini pernah berniaga dengan pintu separuh tertutup ekoran risau disamun penjenayah.

"Pekerja kedai kami tak ramai, biasanya kalau kedai-kedai lain sudah tutup, kami juga ikut tutup sekali takut berlaku kejadian tidak diingini," ujarnya.

Polis akan tempatkan balai bergerak

Posted:

Polis akan tempatkan balai bergerak

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
berita@kosmo.com.my

ZAKARIA (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga dalam lawatannya ke premis perniagaan di Segambut semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kawasan perindustrian Taman City, Segambut di sini dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah pencegahan jenayah yang akan diambil selain meningkatkan kekerapan rondaan.

"Ini adalah inisiatif pihak kami untuk menjamin keselamatan peniaga dan penduduk di kawasan itu susulan daripada kes samun yang pernah dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi selepas meninjau kawasan Segambut semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai keluhan kira-kira 40 peniaga di kawasan perindustrian itu yang bimbang dengan ancaman jenayah sehingga ada antara mereka terpaksa melakukan urusniaga menerusi celah-celah jeriji kedai masing-masing.

Jelas Zakaria, tahap keselamatan kawasan itu masih terkawal dengan sepanjang Jun lalu hingga kini hanya lima kes jenayah dilaporkan.

Beliau bersama beberapa pegawainya turut meluangkan masa kira-kira dua jam meninjau kawasan itu sambil bersemuka dengan para peniaga terbabit bagi mendapatkan maklum balas mereka terhadap ancaman jenayah setempat.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Shahidan sedia dicabar

Posted:

Shahidan sedia dicabar

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

SHAHIDAN (kanan) mahu mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung tahunan KOM bulan depan.


PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim bersedia dicabar bagi merebut jawatan No. 1 dalam badan induk olahraga negara itu.

Shahidan berkata, beliau tidak ada sebarang masalah jika terpaksa bersaing bagi mengekalkan jawatan selaku Presiden KOM, sebaliknya mengalu-alukan individu yang berminat untuk bertanding bagi menduduki kerusi 'panas' itu yang disandangnya sejak tahun 2006.

"Jika ada individu yang berasa dirinya layak untuk membuat perubahan besar dalam KOM serta mampu mengangkat kesatuan ini ke tahap yang lebih tinggi, mereka boleh bertanding," kata Shahidan dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Shahidan mengesahkan bahawa KOM akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu pada 23 September ini.

Menurut Shahidan, beliau menyerahkan kepada wakil setiap negeri untuk menyena- raikan calon yang dirasakan layak bagi menjawat jawatan tersebut.

Jelasnya, tiga jawatan akan dipertandingkan pada AGM kali ini iaitu perebutan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

"Pencalonan telah dibuka sekarang dan akan ditutup pada 10 September ini dan keputusan penuh akan diketa- hui pada AGM 23 September nanti.

"Seorang akan dipilih bagi jawatan presiden dan timbalan presiden manakala lima orang bagi jawatan naib presiden dan calon yang menang akan memegang jawatan itu selama dua tahun," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai hasratnya untuk mengekalkan jawatan selaku Presiden KOM, Shahidan berkata: "Saya menyerahkan segalanya kepada keputusan pemilihan itu nanti kerana semua orang boleh bertanding serta mereka berhak memilih siapa yang layak.

"Keutamaan bagi saya kini adalah nasib atlet kerana mereka telah banyak berkorban untuk negara dan selagi saya menerajui badan ini (KOM), saya akan memastikan semua atlet akan terbela."

Kelmarin, Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibra- him telah membuat keputusan untuk mempertahankan jawatannya pada sesi pemili- han kali ini.

Bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar pula membayangkan hasrat untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden KOM.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, pihaknya telah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung sasaran pingat pada Sukan SEA di Myanmar tahun depan.

"Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, kami telah bersetuju meletakkan sasaran lapan pingat emas.

"Oleh itu, jurulatih dan atlet (olahraga negara) perlu berusaha ke arah itu, selain kita perlu tetapkan dalam diri untuk mencapai lebih daripada sasaran," katanya.

Shahidan turut mengumumkan bahawa KOM akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 6 Oktober depan.

"Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Myanmar, Iran, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong," katanya.

'Setiap negeri, seorang jurulatih asing'

Posted:

'Setiap negeri, seorang jurulatih asing'

SELEPAS kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini, banyak pihak mula memberi perhatian terhadap sukan itu yang dilihat mampu menghadirkan lebih banyak kejayaan kepada Malaysia di pentas antarabangsa.

Atas dasar itu, Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahi- dan Kassim berkata, pihaknya telah berbin- cang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meminta setiap persatuan renang negeri mempunyai sekurang-kurangnya seorang jurulatih asing.

Menurut Shahidan, pemilihan jurulatih asing dalam acara terjun adalah perlu kerana 'sentuhan' tenaga pakar khususnya dari luar negara sememangnya ditagih dalam pemba- ngunan sukan tersebut.

"Selepas kejayaan kita dalam acara terjun pada Olimpik London, ramai ibu bapa yang bertanya kepada saya bagaimana mahu menghantar anak-anak mereka berlatih.

"Disebabkan itu, kehadiran jurulatih asing mampu memberi latihan yang lebih efektif ke- pada bakat-bakat baharu sambil dibantu oleh jurulatih tempatan sedia ada.

"Jadi, usaha itu perlu bermula daripada sekarang kerana misi kita adalah untuk menyumbang lebih banyak pingat pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," kata Shahidan semalam.

Shahidan berkata, banyak pihak kini sudah mula melihat terjun sebagai sukan yang menjanjikan kejayaan kepada atlet dan negara.

"Kejayaan Pandelela di London telah membuka mata banyak pihak. Jadi, dengan adanya jurulatih asing, ia mampu meningkatkan lagi prestasi penerjun negara," ujar Shahidan.

Menyentuh mengenai jurulatih Pandelela, Yang Zhuliang, Shahidan berkata, jurulatih kelahiran China itu sudah menandatangani kontrak baharu.

"Pandalela juga akan dilatih empat lagi ju- rulatih lain bagi memastikan dia mendapat latihan terbaik dan memperbaiki pencapaian pada Sukan Olimpik di Brazil," jelasnya.

Saya bukan terkena buatan orang - Sharbinee

Posted:

Saya bukan terkena buatan orang - Sharbinee

PENJAGA gol utama Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli (gambar) menafikan dakwaan yang dia terkena buatan orang atau sihir ketika aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Piala Malay- sia, Sabtu lalu.

Sebaliknya Sharbinee berkata, dia hanya mengalami masalah pernafasan ketika insiden yang berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang itu.

Kejadian tersebut menyaksikan pemain yang berusia 25 tahun itu pengsan sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Selayang pada malam tersebut.

Bagaimanapun, dia dibenarkan keluar dari hospital itu pada pukul 2 pagi keesokan harinya.

"Saya pengsan (pada perlawanan itu) kerana masalah kesihatan dan tiada kaitan langsung dengan terkena sihir.

"Pada mulanya, simptom-simptom awal akibat gatal di badan menunjukkan saya mengalami keracunan makanan atau alahan.

"Sebenarnya, saya tidak mengalami alahan sebagaimana yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu memandangkan saya sudah biasa menikmati makanan laut itu (udang) sebelum ini.

"Buat masa ini, saya masih belum mendapat apa-apa maklumat berhubung penyakit itu.

"Doktor telah menjalankan ujian terhadap sampel darah saya dan keputusan (penyakit) akan diketahui dalam tempoh beberapa hari," kata Sharbinee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Shar- binee berharap spekulasi liar yang mengatakan dia terkena sihir dihentikan segera.

"Saya agak terkejut apabila ada pihak yang mendakwa saya terkena buatan orang (sihir).

"Sebenarnya, susah untuk saya menjelaskan perkara ini selagi tiada informasi mengenai penyakit saya daripada pihak hospital.

"Saya sudah biasa makan makanan laut dan pada pendapat saya, alergi pada udang itu bukan punca saya pengsan.

"Namun, saya memanjat syukur dan terharu terhadap semua sokongan dan semangat yang diberikan daripada peminat-peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan saya," katanya.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira 10 minit sejurus aksi babak kedua bermula di Stadium MPS, Sharbinee rebah di padang akibat pitam dan terpaksa diusung keluar sebelum dikejarkan ke hospital.

Difahamkan, sebelum pengsan, dia sempat menanggalkan sarung tangan serta jersinya bagi mengurangkan rasa gatal yang dialaminya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ditipu RM100,000 oleh pegawai ‘Bank Negara’

Posted:

Ditipu RM100,000 oleh pegawai 'Bank Negara'

29/08/2012 5:45pm

LIMBANG (Sarawak) - Seorang peniaga berusia 33 tahun kerugian RM116,769 dalam tempoh dua hari angkara tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara.

Pegawai Penyiasat Polis Limbang, Inspektor Kantharuban Rajoo berkata, mangsa seorang lelaki rakyat tempatan itu telah menerima panggilan dari wanita tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Miss Tan pada petang Isnin lepas.

Wanita itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang kad kredit UOB tertunggak sebanyak RM5,796 dan pembayaran perlu dibuat dengan segera bagi mengelakkan akaun-akaun lain mangsa dibekukan oleh Bank Negara.

"Walaupun mangsa tidak pernah memiliki kad kredit tersebut namun mungkin atas sebab panik, pembayaran dilakukan pada hari yang sama.

"Keesokannya (28 Ogos) orang yang sama membuat panggilan untuk meminta mangsa memindahkan wang dari akaun Maybank milik mangsa ke akaun lain bagi mengelakkan akaunnya dibeku," kata Kantharuban di sini hari ini.

Kantharuban berkata, mangsa segera memindahkan wang berjumlah RM111,000 setelah menerima panggilan tersebut ke akaun milik seorang yang bernama Azimah Abdullah.

Tetapi apabila mangsa membuat panggilan ke Bank Negara hari ini untuk tindakan susulan, beliau dapati tiada pegawai yang mempunyai nama berkenaan. - BERNAMA

3 beradik didakwa sebabkan kematian

Posted:

3 beradik didakwa sebabkan kematian

29/08/2012 5:40pm

KLANG - Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan sekolah, dua minggu lepas.

Fadli Mohd. Razali, 35, Fadziran, 32, dan Suhardi, 18, dari Kampung Perepat, Kapar, di sini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang.

Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Onn Ismail, 30, di hadapan rumah No: 43, Jalan 5, Taman Permai, Simpang Tiga, Jeram, Kuala Selangor, antara pukul 11.40 malam 14 Ogos hingga 12.20 pagi.

Tiga beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat mencadangkan agar ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang atas alasan pertuduhan yang mereka hadapi serius.

Peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili tiga beradik terbabit bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Fadziran dan Fadli mempunyai anak-anak yang masih kecil sementara Suhardi merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau juga berkata, tiga beradik berkenaan berasal dari keluarga yang susah dan keluarga mereka hanya membawa RM10,000 ke mahkamah.

Hakim Nor Sharidah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Wanita serang JPM diarah dapatkan peguam

Posted:

Wanita serang JPM diarah dapatkan peguam

29/08/2012 5:31pm

PUTRAJAYA - Seorang wanita berusia 28 tahun yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan memiliki sebilah pedang diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapatkan khidmat peguam bagi membolehkan pihak pendakwa memulakan segera kesnya.

Ketika mengarahkan demikian Hakim Mohd. Kafli Che Ali berkata, di bawah Kanun Acara Jenayah yang dipinda, tarikh perbicaraan mesti ditetapkan dalam tempoh 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa di mahkamah.

Mohd. Kafli kemudian menetapkan 12 September bagi urusan kes.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Siti Noor Mazrah Ahmad Din memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa sedia menyerahkan dokumen berhubung kes itu kepada Muhdalena dan menggesa tertuduh mendapatkan seorang peguam.

Muhdalena memberitahu mahkamah bahawa beliau akan berbuat demikian.

Muhdalena dari Kota Damansara, didakwa pada 16 Julai di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas beliau terkena tembakan di paha kanannya.

Beliau didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.

Dakwaan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Kesiksaan membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga didakwa memiliki sebilah pedang di tempat dan masa yang sama.

Tuduhan itu di bawah seksyen 7 (1) Akta Senjata Korosif, Eksplosif dan Berbahaya 1958 boleh mengakibatkan beliau dipenjara hingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera Bashar bedil timur Damsyik

Posted:

Tentera Bashar bedil timur Damsyik

REUTERS
SEORANG anggota pemberontak mengibarkan bendera Islam semasa
pertempuran dengan tentera Syria di pinggir bandar Damsyik kelmarin.


DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.

Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.

Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.

Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.

Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan kematian.

Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan pemberontak.

Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.

Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.

Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) semalam menyatakan, bilangan pelarian Syria yang tiba di utara Jordan meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu.

Menurut UNHCR, seramai 10,200 pelarian Syria tiba ke kem Za'atri di Jordan sepanjang tempoh tersebut.

"Kami percaya ini merupakan permulaan kebanjiran pelarian Syria secara besar-besaran di Jordan," kata ketua jurucakap UNHCR, Melissa Fleming pada satu sidang media di Geneva.

Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 70,000 pelarian Syria yang didaftarkan di Jordan dengan ribuan lagi tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan UNHCR. - Agensi

Wanita punca 17 orang dipenggal

Posted:

Wanita punca 17 orang dipenggal

AP
BEBERAPA anggota kumpulan Taliban menaiki sebuah trak pikap semasa meronda kubu kuat mereka di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KABUL - Seorang jurucakap di Afghanistan menyatakan, 17 orang termasuk yang ditemui mati dengan kepala mereka dipenggal kelmarin merupakan mangsa yang terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.

Beberapa pegawai tempatan sebelum ini mendakwa, kumpulan Taliban menyerang satu parti di kawasan yang dikuasai mereka di selatan Afghanistan dan memenggal kepala 17 orang termasuk dua wanita, malam Ahad lalu.

Seorang pegawai tersebut, Neyamatullah Khan berkata, mereka dibunuh kerana mengadakan parti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta acara tarian yang melanggar ajaran Islam.

Serangan kejam itu berlaku di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.

Namun, jurucakap gabenor wilayah Helmand memberitahu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.

Jurucakap berkenaan, Daoud Ahmadi berkata, mereka bergaduh dipercayai kerana berebutkan dua wanita itu.

Menurutnya, satu kejadian tembak-menembak berlaku semasa pergaduhan tersebut.

Namun, jelasnya, beliau tidak pasti pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan muzik dan acara tarian yang diadakan atau sama ada beberapa anggota Taliban adalah antara mereka yang maut dalam insiden tersebut.

"Semua mangsa dipenggal kepala mereka tetapi tidak jelas sama ada mereka ditembak terlebih dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan dakwaan pihaknya terbabit dalam pembunuhan tersebut.

"Anggota Taliban tidak akan membunuh orang awam. Komander Taliban juga tidak bergaduh sesama mereka," kata Qari.

"Kami tidak tahu tentang kejadian ini. Sama ada ia berlaku atau sebaliknya, kami tidak terbabit," tegasnya.

Kumpulan Taliban menguasai sebahagian besar daerah Musa Qala yang mengandungi lebih 100 buah kampung sejak 2001. - AP

Roket Palestin mengenai selatan Israel

Posted:

Roket Palestin mengenai selatan Israel

BAITULMUQADDIS - Sebuah roket yang ditembak oleh kumpulan militan Gaza mengenai selatan Israel pada petang kelmarin, kata seorang jurucakap tentera Israel.

Roket terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat yang disasarkan ke negara Yahudi itu.

Menurut jurucakap itu, roket tersebut meletup di sebuah kawasan lapang di Eshkol, tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan.

Terdahulu, tiga buah roket yang disasarkan ke Israel merosakkan dua buah kilang di bandar Sderot tanpa sebarang kecederaan berlaku, kata tentera Israel.

Kumpulan Salafi dari Gaza, Majlis Syura Mujahedeen pada petang kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya melancarkan tiga serangan pertama roket tersebut. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved