Khamis, 5 Januari 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Karya baharu roh lama

Posted:

Karya baharu roh lama

Karya baharu roh lama

PENGHUJUNG bulan Oktober tahun lalu mungkin waktu yang paling ideal untuk melariskan karya-karya berkaitan seni tari.

Mana tidaknya, sepanjang minggu itu ibu kota Kuala Lumpur diserikan dengan ekstravaganza Festival Seni di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sejurus kemudian Inspitari pula menyusul.

Bagi yang kurang cakna akan perkembangan seni tarian kreasi yang diperkembangkan dan dipergiatkan oleh Kementerian Komunikasi, Kebudayaan (KPKK) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sudah tahun kedua program Inspitari diperkenalkan.

Inspitari hasil cetusan idea Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu sebenarnya gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tarian yang memfokuskan tarian kreasi setiap negeri semata-mata.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, program Inspitari juga berjaya melahirkan jurulatih tarian atau koreografer serba lengkap dan mampu menghasilkan kreativiti di luar jangka.

"Biasa kita tengok tarian yang sedia ada terutama tarian tradisional kurang mendapat perhatian orang ramai, namun menerusi Inspitari sambutan yang diterima sangat di luar jangka, itu petanda positif!" katanya ketika menyampaikan ucapan sewaktu perasmian Malam Gala Inspitari 2011 di Auditorium Tunku Abdul Rahman (Matic), Kuala Lumpur.

Inspitari 2010 sebelum ini berjaya melahirkan 13 buah karya tarian baharu yang ditampilkan kepada orang ramai dalam pelbagai program dan acara kementerian.


PROGRAM Inspitari merupakan cetusan idea Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.


Pada tahun ini, seramai 236 artis budaya JKKN daripada 15 kumpulan tarian jabatan terlibat dalam menjayakan Inspitari.

Tambah Norliza, menerusi program yang sama tahun lalu sebanyak enam buah naskhah tarian telah berjaya diangkat menjadi khazanah negara.

"Tarian kreasi daripada JKKN Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak telah kita wartakan sebagai sebahagian daripada hak milik negara dan akan dipersembahkan dalam atur cara kita," ujarnya lagi.

Kreasi gerakan kehidupan

Memetik kata-kata Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, Rosnan Abdul Rahman, menerusi artikel keluaran Kosmo! sebelum ini, penganjuran kali kedua itu bertujuan untuk menambah koleksi tarian tradisional baharu tetapi, masih lagi mengekalkan akar budaya bangsa dan juga menghiburkan.

Para peserta perlu melakukan kajian dan hasilnya dibentangkan di hadapan barisan panel yang pakar dalam bidang masing-masing seperti muzik, tarian dan budaya.


TARIAN Kedah ini pula dikenali sebagai Wei Doi yang terkenal sewaktu zaman pemerintahan Raja Bersiong.


"Kaedah tarian kreasi sudah lama diamalkan orang dahulu kala dalam mencipta sesebuah tarian. Sebagai contoh, tarian mak yong yang berusia 400 tahun adalah hasil pemerhatian terhadap pergerakan haiwan seperti gajah, ular sawa dan tumbuh-tumbuhan," ujar Rosnan.

Manakala melihat perkembangan positif yang dicapai menerusi program Inspitari, tegas Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf, program seumpama itu harus dipergiat.

"Inspitari dalam masa yang sama dapat mempromosikan bidang pelancongan dan menjana sumber pendapatan negara, seharusnya ia perlu dikekalkan.

"Jika dilihat menerusi Dasar Industri Kreatif negara, tiga skop utama yang ingin diketengahkan iaitu multimedia, warisan serta seni dan budaya, maka Inspitari diharapkan dapat memandu arah pembangunan seni dan budaya pada masa hadapan," katanya.

Inspitari banyak peningkatan

Memandangkan sambutan yang diterima di luar jangka, dua slot persembahan disediakan pada Malam Gala Inspitari bermula pukul 8.30 malam.

Auditorium yang memuatkan lebih 500 penonton itu melimpah ruah dan inisiatif mengadakan dua slot persembahan dirasakan bertepatan. Mungkin selepas ini perlukan lokasi yang lebih besar memandangkan sambutan positif diterima dari tahun ke tahun.

Berdasarkan keseluruhan persembahan pada malam itu, jelas sekali satu-satunya kumpulan Mak Yong dari Kelantan mengejutkan audiens menerusi karya Nego yang diambil daripada singkatan perkataan berniaga menurut dialek negeri itu.


TARIAN Pak Cik dari Negeri Sembilan menggunakan alat muzik cak lempong sebagai 'senjata' persembahan.


Jika tahun lalu menerusi Wau Beremas, persembahan yang ditampilkan kurang menyengat tapi tahun ini kumpulan itu berjaya membuka mata menerusi gerak tari yang mengetengahkan kemahiran menjunjung bakul oleh golongan wanita Kelantan.

Peningkatan mendadak dan seharusnya diberikan pujian. Tidak hairan ada dalam kalangan penonton yang bersorak melaungkan 'Las Vegas Malaya' usai kumpulan itu membuat persembahan.

Sekadar di tahap memberangsangkan, kumpulan JKKN dari Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak nampak selesa di pentas.

Namun, ada juga beberapa kumpulan yang kelihatan seakan-akan cuba meniru konsep persembahan yang telah dibawakan oleh beberapa kumpulan yang sukses tahun lalu.

Bagi kumpulan JKKN dari Terengganu, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, mungkin ada sesetengah aspek perlu diberi penekanan.

Namun, itu penilaian secara umum oleh penonton dan penggemar budaya yang hadir menyaksikan persembahan pada malam itu.

Ada benar mereka yang terlibat punyai justifikasi sendiri dan semestinya sudah mengkaji setiap naskhah sebelum dibawa ke peringkat sebegini. Apapun, syabas atas kejayaan Inspitari 2011!

Full content generated by Get Full RSS.

Biar kintuman ros yang berbicara

Posted:

Biar kintuman ros yang berbicara

Biar kintuman ros yang berbicara

MEMBELI bunga dua kali dalam tempoh seminggu merupakan rutin bagi Sherlyn Lee, 34, sewaktu zaman remajanya. Disebabkan minat terhadap flora itu dia sanggup berhabisan wang sejak berusia 16 tahun lagi.

"Masa sekolah, disebabkan perlu mencari wang untuk membeli bunga, saya mengambil upah daripada ibu untuk melakukan kerja-kerja rumah. Kebiasaannya, saya akan dibayar RM2.50 bagi setiap satu jam, jika saya rajin saya boleh dapat RM7 dalam tempoh sehari. Wang itu akan digunakan untuk membeli bunga," katanya sambil ketawa.

Tambah anak jati Klang, Selangor berkenaan, harga sekuntum bunga ketika itu sekitar 50 sen hingga 70 sen sekuntum.

Namun, siapa sangka kecintaan Sherlyn terhadap bunga ros akhirnya bukan sahaja membolehkan dia memiliki sebuah kedai bunga ros malah, yang pertama seumpamanya di Malaysia pelanggan boleh mencetak mesej di atas kelopak bunga itu.

Anda boleh menulis perkataan atau mencetak wajah dan kerana itulah kedai Sherlyn diberi nama Speaking Roses yang dibukanya sejak dua tahun lalu.

Semuanya bermula selepas seorang rakan dari Amerika Syarikat menyarankan beliau menjalankan perniagaan Speaking Roses di Malaysia.

Menurut Sherlyn, ketika itu rakannya menceritakan tentang keunikan perniagaan tersebut apabila segala mesej yang terpendam boleh disampaikan melalui penulisan di atas kelopak bunga ros.

"Apabila saya mendengar perkara itu, saya fikirkan ia memang luar biasa dan unik. Tambahan pula belum ada mana-mana syarikat mahupun individu yang membuka perniagaan itu di Malaysia," jelasnya yang kemudian menghubungi syarikat induk Speaking Roses yang terletak di Utah, Amerika Syarikat.

"Yuran francais kira-kira RM500,000 (AS$165,000) telah dibayar kepada AS Franchaiser. Ia termasuk pakej francais seperti latihan, pakej perisian, bahan-bahan pengiklanan dan peralatan bersama-sama dengan akses penuh kepada perkhidmatan sokongan bagi tempoh lima tahun," kongsinya.

Mesej daripada ros

Bercerita lanjut mengenai bisnes Speaking Roses, ujar Sherlyn yang juga Pengarah Urusan Speaking Roses, bagi mereka yang ingin menyuarakan perasaan terpendam kini tidak perlu malu-malu lagi.


SHERLYN (kiri) menggilai ros sejak zaman remaja lagi dan kini dia memiliki syarikat bunga Speaking Roses.


"Pelanggan hanya perlu memaklumkan kepada kami mengenai mesej yang ingin disampaikan kepada si penerima. Kami akan membantu pelanggan dengan mencetak mesej peribadi mereka di atas kelopak bunga ros," katanya yang memberitahu mesej tersebut dicetak menggunakan mesin khas.

Tambah Sherlyn, teknik itu sama sekali tidak akan mencacat atau merosakkan bunga terbabit.

"Speaking Roses ini sesuai diberi sempena sambutan hari kekasih, ulang tahun perkahwinan, hari ibu, hari lahir, hari perkahwinan dan boleh dikatakan ia sesuai untuk semua majlis. Ia dijual dari harga RM12 hingga RM18 sahaja untuk sekuntum. Kesemua bunga kami diimport dari negara Belanda, China, Colombia dan Amerika Syarikat," ujarnya sambil memberitahu belum ada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan francais itu di Malaysia.

Menurut wanita itu lagi, pihaknya turut mengambil tempahan untuk majlis-majlis yang besar dengan kebiasaannya, tempahan boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu.

Menanam pokok ros

Bagi seorang lagi pencinta bunga ros, Hasroha Tabut, 40, yang telah mengusahakan pelbagai jenis tanaman bunga termasuk bunga ros sejak enam tahun lalu, menjaga pokok bunga ros tidak sesukar yang difikirkan kebanyakan orang.

Beliau menjelaskan, tanggapan negatif sesetengah masyarakat mengenai penjagaan pokok bunga ros adalah salah.

"Sebenarnya ia bergantung kepada keprihatinan seseorang itu terutamanya dalam soal penjagaan tanaman. Selain memastikan campuran tanah kompos yang mengandungi sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar dengan secukupnya tanaman ini juga memerlukan cahaya matahari dan air yang mencukupi.

"Namun, air berlebihan tidak baik untuk pokok kerana ia akan menyebabkan daun-daunnya menjadi kekuningan," katanya ketika ditemui di SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang turut mempunyai ladang tanaman bunga yang terletak di Rawang mengakui, selain penjagaan yang rapi dari segi tanah, air dan baja bagi mereka yang menanam pokok ini perlulah menanamnya dengan penuh rasa kasih sayang.


HASROHA memberitahu pokok bunga ros tidak sukar untuk ditanam seperti yang difikirkan sesetengah orang.


"Ros perlu belaian dan orang yang menanamnya perlu ada rasa cinta. Boleh dikatakan setiap hari pokok-pokok bunga ros ini dipantau," ujarnya lagi.

Hasroha yang turut melakukan kerja-kerja penyelenggaraan taman bunga berkenaan di sekitar Selangor tidak ketinggalan berkongsi beberapa tip yang boleh dimanfaatkan bagi penanam pokok bunga ros.

"Pokok berkenaan perlu disiram dua kali sehari iaitu pagi dan petang dan airnya itu perlu sampai ke tanah agar akar pokok mendapat air secukupnya bukannya hanya terkena pada daun dan bunga.

"Bagi penggunaan baja, saya tidak menggalakkan orang ramai menggunakan bahan kimia kerana ia akan menyebabkan pokok menjadi tidak sihat. Lebih baik jika mereka menggunakan baja yang mengandungi bahan-bahan seperti kulit udang, sayuran dan serbuk soya. Kandungan bahan-bahan organik itu memberi kesan yang baik contohnya daun nampak lebih segar," ujarnya sambil memberitahu suaminya turut membantu.

Mengulas lanjut mengenai penjagaan tanaman pokok bunga ros, Hasroha berkata, pokok tersebut perlu dicantas selalu dan tanahnya tidak perlu digembur terlalu dalam.

"Pokoknya perlu dicantas sepanjang satu jengkal selepas bunganya gugur. Memang sayang kerana perlu mencantas terlalu panjang tetapi, petua itu akan mempercepatkan lagi pokok itu berbunga," jelasnya lagi sambil memberitahu dia turut menghasilkan baja khas untuk tanaman pokok bunga ros.

Ketika ditanya mengenai penjualan bunga ros, Hasroha berkata, permintaan terhadap bunga ros tidak pernah putus.

"Sejak mengusahakan tanaman ini, ada sahaja permintaan malah, ia bukan sekadar digunakan dalam majlis perkahwinan dan hari kekasih malah, untuk pelbagai majlis lain," katanya.

Hasroha menjual pokok bunga ros dari RM5 hingga RM28 namun, harganya bergantung kepada saiz pasu dan pokok tersebut, manakala baja khas yang diekstrak sendiri pula dijual pada harga RM10 sahaja.

Full content generated by Get Full RSS.

Memecah dasar aparteid di ladang

Posted:

Memecah dasar aparteid di ladang

Memecah dasar aparteid di ladang


DAVIS seperti tidak percaya dia kini mampu bekerjasama dengan peladang kulit hitam mengusahakan ternakan lembu.


GAMBAR seekor lembu tegap kemerah-merahan yang tertera pada pintu trak pikap miliknya menjadi kebanggaan John Davis.

Lembu itu menjuarai ekspo pertanian bagi peladang-peladang baharu kulit hitam di Afrika Selatan baru-baru ini.

Davis merupakan simbol kejayaan pembaharuan tanah di negara itu selain turut menjalin kerjasama 'asing' dengan peladang kulit putih.

Kerjasama seperti itu merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sektor pertanian di bumi Afrika Selatan.

"Telah lama saya mengimpikan semua ini. Hidup saya sudah berubah, perkara ini sebenarnya masih tidak dapat dipercayai kerana kini saya merupakan pemegang saham kepada dua buah ladang," kata peladang berdarah campuran berusia 53 tahun ini.

Kumpulan peladang yang disertainya mempunyai ladang seluas 1,500 hektar di kawasan berbukit di Napier, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari timur Cape Town.

Tidak seperti rampasan secara ganas terhadap ladang-ladang kulit putih di negara jiran, Zimbabwe, Afrika Selatan membeli ladang-ladang di pasaran terbuka untuk diberikan kepada penduduk kulit hitam bagi memulihkan salah satu kesan buruk legasi dasar aparteid yang paling ketara dan mengguris emosi.

Sembilan daripada setiap 10 projek tidak berhasil malah, ada yang terpaksa dijual semula kepada peladang kulit putih.

Namun, itu tidak bermakna projek itu harus dihentikan kerana sebuah projek yang menjadi sudah dilihat sebagai titik mula yang boleh dibanggakan.

Pengalaman dan semangat untuk memberikan peladang baharu bantuan nasihat teknikal dan kemahiran pengurusan kewangan hinggalah kepada suntikan dana amat diperlukan.

Di Napier individu yang menjadi tonggak di sebalik kejayaan peladang orang kulit hitam di sana adalah Kosie Van Zyl.

Van Zyl ialah seorang peladang kulit putih berusia 40 tahun daripada keluarga pengurus ladang yang mahu membentuk generasi baharu peladang di Afrika Selatan.


PROJEK Agri Dwala antara contoh kejayaan Afrika Selatan memecahkan dasar aparteid dalam sektor perladangan.


"Apa yang saya nikmati sekarang adalah kerana orang memberi saya peluang tersebut yang membuatkan saya menjadi peladang komersial dan seterusnya menzahirkan keseluruhan visi Agri Dwala," katanya kepada AFP.

Projek Agri Dwala kini mempunyai 29 peserta yang menerima faedah, dengan sebilangannya memiliki enam ladang yang memberi pulangan hasil yang menguntungkan.

"Hari ini kami berada di kedudukan di mana saya boleh menyewa peralatan mereka dan begitu juga sebaliknya," kata Van Zyl lagi.

Pada mulanya, Afrika Selatan memberikan ladang-ladang dengan sokongan yang sedikit atau mempunyai penerima faedah.

Trevor Abrahams menerima sebidang tanah tidak berpagar pada 1998 dan kini dia mengeksport buah-buahan daripada lembah Ceres kepada peruncit Britain seperti Marks & Spencer selain mendapat perhatian dari seorang peladang kulit putih terkenal, Robert Graaff.

"Kami tidak menandatangani sebarang perjanjian rasmi seperti mentor dan murid tetapi, menetapkan dua syarat. Pertama, saya akan membayar untuk semua perkara kecuali nasihatnya.

"Syarat kedua adalah tiada sebarang harapan dari pihaknya berhubung apa jua permintaan terhadap saya," kata Abraham, 53, seorang bekas guru.

Generasi baharu

Punca kejayaan dalam hubungan ini adalah 'kepercayaan sebulat hati', katanya, merujuk kepada pinjaman tanpa faedah sebanyak lebih sejuta rand (kira-kira RM380,000).

"Tiada beban yang ditanggung. Saya tidak akan menyalahkannya jika apa-apa berlaku kepada ladang saya dan dia sedia bersama saya sehingga ke penghabisan.


SALAH seorang peladang kulit hitam yang mengusahakan ternakan kambing biri-biri di Napier.


"Ia lebih dari sekadar rakan niaga pada peringkat ini," katanya lagi.

Bergerak ke arah model yang sama, kerajaan telah mewujudkan program penyelamatan untuk ladang-ladang yang bermasalah dan mempromosikan kaedah mentor atau pengurus.

Berhampiran Pantai Barat yang sejuk terdapat dua ladang anggur diuruskan oleh Bono Holdings yang melatih pekerja ladang yang turut merangkap pemegang saham.

"Anda perlu menukar minda mereka supaya mereka tahu mereka bukan lagi pekerja. Anda memberi pemilikan supaya jika ada sesiapa yang menyalahgunakan traktor, mereka boleh bertindak menghentikannya," kata Pengarah Urusannya, Evans Nevondo.

Berbalik ke Napier, Van Zyl dan pakar tanaman, Piet Blom mahu menjadikan Agri Dwala sebagai contoh kepada peladang kulit putih yang lain.

"Mereka mempunyai hati yang sama seperti kita untuk memulakan generasi baharu, Afrika Selatan yang baharu, bukan rakyatnya yang berpecah-belah.

"Kita adalah Afrika Selatan yang baharu dan saya rasa ia perkara yang betul untuk dilakukan," kata Blom lagi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved