Sabtu, 10 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bak bunga di padang tandus

Posted:

Bak bunga di padang tandus

Bak bunga di padang tandus

SEJAK kecil lagi Fatima Siad, 25, melalui kehidupan dalam suasana yang cukup getir di bandar kelahirannya di Mogadishu, Somalia.

Dia bukan sahaja dibesarkan dalam persekitaran kehidupan yang bergolak, kebahagiaan zaman kanak-kanaknya juga bagaikan direntap apabila ibu dan bapanya bercerai ketika usianya begitu muda.

"Selepas berpisah, ibu sendirian membesarkan kami yang masih kecil.

"Pada masa itu kekacauan ada di mana-mana dan kami sentiasa dibayangi ketakutan," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik yang kesemuanya perempuan itu.

Hidup dalam keadaan serba kekurangan di kawasan yang tidak pernah aman, Fatima mengakui keluarganya tidak pernah mengecapi suasana tenteram.

"Keadaan lebih buruk selepas tahun 1991. Waktu itu semua orang susah.

"Peperangan menyukarkan golongan dewasa keluar bekerja dan harga barang makanan menjadi sangat mahal.

"Lantaran itu, kami sering keputusan bekalan makanan, apatah lagi yang berzat.

"Kadang-kadang dari pagi sampai ke malam, kami hanya mengalas perut dengan sekeping canjeero (makanan seperti pankek tetapi sedikit tebal) dan minum air putih," katanya yang menganggap dirinya bernasib baik jika dibandingkan dengan puluhan rakan sepermainannya yang mati kebuluran.

Lapan tahun hidup dalam keadaan tidak menentu, ibu Fatima nekad membawa dia dan dua adiknya melarikan diri dari Somalia.

"Bagaimanapun, sedang ibu sibuk berkemas, tentera kerajaan telah menggempur kediaman kami dan menembak mati kedua-dua adik saya yang ketika itu hanya berusia lapan dan 10 tahun.


PERGOLAKAN di Somalia bukan sahaja menjadikan negara itu mundur malah turut menyebabkan penduduknya hidup dalam kedaifan.


Ditembak

"Mereka rebah di hadapan mata kami. Saya hanya mampu menangis ketakutan di belakang badan ibu sambil merayu kami tidak diapa-apakan," imbas Fatima yang berusia 13 tahun ketika kejadian itu berlaku.

Enggan bertahan lebih lama di Somalia, pada tahun yang sama, Fatima bersama ibunya terbang ke Boston, Amerika Syarikat (AS) atas tiket pelarian perang.

"AS adalah dunia yang cukup asing dan mencabar untuk saya.

"Di sana, saya terus dimasukkan ke gred tujuh ESL (Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) tetapi sepatah perkataan Inggeris pun saya tidak tahu.

"Kerana itu, saya tidak ada kawan dan tiada keyakinan diri. Namun, saya tidak mahu membiarkan diri saya ketinggalan.

"Saya mula belajar bahasa Inggeris dan tekun ketika di kelas.

"Walaupun terpaksa bersaing dengan pelajar sebaya dari AS, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaaan dan diterima masuk ke Universiti New York dalam bidang Praperubatan dan Sains Politik," jelas pemilik figura hitam manis yang terkenal selepas menyertai pertandingan supermodel, America's Next Top Model musim ke-10 pada tahun 2008.

Pemberontak

Dalam pertandingan realiti itu, Fatima mendapat tempat ketiga daripada 14 peserta yang mengambil bahagian.

Kini, dia bergiat aktif dalam dunia peragaan pentas di AS.

"Saya mula menceburi bidang peragaan ketika di kolej. Saya nekad untuk keluar dari kolej dan serius dalam dunia peragaan.

"Ketika saya beritahu ibu saya, dia sangat terkejut dan marah kerana dia memang mahu saya menjadi doktor, rupa-rupanya dia marah kerana saya tidak memberitahunya terlebih awal," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibunya.


FATIMA kehilangan dua adik perempuannya akibat ditembak tentera Somalia 12 tahun lalu.


Selain Fatima, terdapat ramai lagi model kelahiran Somalia yang berjaya menempa nama di pentas peragaan antarabangsa.

Antaranya, Iman Mohamed Abdulmajid atau Iman, Waris Dirie, Urbah Hassan dan Yasmin Warsame.

Iman yang diangkat sebagai ikon fesyen kelahiran Somalia bukan sahaja berjaya sebagai peragawati terkenal malah dia juga mempunyai empayar perniagaan kosmetik di bawah jenama Iman.

Aktivis kebajikan yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris, Somalia, Arab, Itali dan Perancis ini turut aktif dalam dunia lakonan. Baru-baru ini, Iman turut merayu bantuan dunia bagi membantu masyarakat Somalia yang dilanda kebuluran dan peperangan.

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera, Iman merayu bantuan kemanusiaan segera dihulur kepada jutaan rakyat Somalia yang sedang menunggu ajal akibat kebuluran disebabkan kemarau panjang.

Dia yang dilahirkan di Mogadishu juga pernah membuat liputan mengenai krisis makanan pada tahun 1992 bersama British Broadcasting Corporation (BBC).

"Walaupun pernah melihat sendiri kemelaratan rakyat Somalia akibat kebuluran 19 tahun yang lalu, saya percaya krisis kali ini jauh lebih buruk.

"Apa yang lebih menyayat hati, banyak bantuan yang dihulur dari seluruh dunia tetapi tidak sampai ke tangan rakyat disebabkan sekatan oleh puak pemberontak.

"Dalam situasi genting seperti ini, tindakan tersebut hanya memburukkan keadaan malah secara peribadi, saya melihatnya sebagai pelenyap kepada generasi masa depan Somalia," katanya.

Terpisah

Melihat kepada kemelut kebuluran dan perang saudara yang semakin mendesak, Iman merayu puak pemberontak supaya mengetepikan krisis politik demi kelangsungan hidup 10.7 juta rakyat negara itu.

Selain Iman, Urbah, seorang model yang membesar di Baidoa yang terletak di selatan Somalia, ialah antara mangsa pelarian perang yang menempa nama di arena peragaan antarabangsa.

Kegawatan politik yang melanda negara Tanduk Afrika itu menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa berpisah selama 10 tahun.


URBAH


"Kami tidak mampu bertahan di Somalia kerana setiap hari kami melihat orang awam dibunuh.

"Ibu dan adik saya lari menyelamatkan diri ke Kanada manakala saya, bapa dan adik lelaki menjadi pelarian di Kenya.

"Selepas menjalani kehidupan sukar, keluarga kami hanya dapat bersatu pada 2001 di Vancouver, Kanada selepas sedekad terpisah," kata Urbah yang bakat peragaannya dicungkil oleh seorang jurugambar profesional yang menyapanya di sebuah taman ketika berusia 17 tahun.

Menurut Urbah, situasi menjadi lebih teruk apabila puak pemberontak mula menindas golongan Muslim di sana.

"Kaum lelaki yang beragama Islam adalah sasaran mereka.

"Keadaan lebih teruk jika lelaki tersebut adalah golongan terpelajar yang turut sama membantah keganasan.

"Akibatnya, bukan sahaja lelaki itu yang dibunuh, semua ahli keluarganya mungkin menjadi mangsa kekejamaan puak pemberontak," ujar Urbah.

Laut obsesi Norlela

Posted:

Laut obsesi Norlela

Laut obsesi Norlela

Oleh KUMARA SABAPATTY


NORLELA (lima dari kiri) bersama rakan-rakan tentera laut di KD Sri Sandakan, Sabah.


MENJADI tentera laut merupakan cita-cita wanita ini semasa kecil. "Ketika itu saya berusia enam tahun. Setiap kali orang bertanya saya mahu jadi apa bila besar nanti, saya pasti akan jawab tentera laut," kenang Norlela Ismail, 35.

Laskar Kanan di Jabatan Perundangan dan Tatatertib, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Sandakan di Sandakan, Sabah ini mempunyai sebab untuk memilih tentera laut dan bukan tentera udara atau darat.

"Uniform tentera laut yang berwarna putih itu kelihatan cantik dan kemas selain melambangkan nilai disiplin yang tinggi.

"Kapal perang pula sering menjadi simbol kedaulatan dan kebanggaan mana-mana negara," ujar beliau.

Norlela mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, Pahang sebelum diterima memasuki Kolej Tentera Laut KD Pelandok di Lumut, Perak.

Pendatang

"Sebaik sahaja menamatkan pengajian dan menyertai tentera laut, saya terus diarah melaporkan diri Woodlands, Singapura," ujar beliau.

Satu-satunya wanita dalam enam adik-beradik, kerjaya lasak seperti tentera laut sememangnya menjadi kegemaran Norlela.

Beliau merupakan ahli kelab skuba KD Sri Sandakan serta mahir berkayak dan berakit.

Selama 16 tahun menjadi tentera laut, banyak pengalaman telah diraih Norlela.

Salah satu kenangan yang sukar dilupakan ialah peristiwa beliau belayar ke Pulau Langkawi pada tahun 2007.

Pada masa itu, beliau bertugas di KD Seri Manjung TLDM Lumut dan beliau diberi amanat menaiki kapal Mahsuri untuk membawa pelatih dari Lumut ke Pulau Langkawi.

"Perjalanan dari Lumut ke Langkawi itu mengambil masa selama empat hari," kata beliau yang berpeluang melawat kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar, dekat Kota Kinabalu.

Norlela turut berkongsi pengalaman beliau ketika terlibat dalam proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa Izin (PATI) Indonesia menggunakan kapal TLDM dari Lumut ke Indonesia beberapa tahun lalu.

"Saya dan beberapa anggota serta pegawai TLDM lain perlu menguruskan beratus-ratus orang pendatang Indonesia.

"Dalam perjalanan banyak kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi jika ada penumpang yang buat kecoh.

"Maklumlah sebahagian daripada penumpang itu sudah lama menetap di Malaysia. Malah, sebelum menaiki kapal lagi mereka sudah buat macam-macam kerenah," ujar Norlela.

Menurut Norlela, beliau masih teringat wajah seorang wanita yang merayu supaya tidak dihantar pulang kerana kononnya dia terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anaknya di negara seberang manakala pasportnya didakwa dicuri orang.

Namun, demi menegakkan undang-undang, kerenah seperti itu tidak dilayan oleh petugas seperti Norlela.

"Memang ramai yang enggan dihantar pulang dengan memberikan bermacam-macam alasan tetapi kami tidak terpedaya dengan lakonan mereka itu," katanya.

Cerita Norlela lagi, tugas anggota wanita di atas kapal tiada bezanya berbanding pegawai atau anggota lelaki. Kedua-duanya berisiko dan memerlukan semangat yang tinggi.


MENJADI tentera laut dianggap Norlela sebagai kerjaya yang sukar dilepaskan.


Disiplin

Menurutnya, memang ada wanita yang ditempat di atas kapal untuk satu tempoh tertentu namun tugas beliau lebih banyak bertumpu pada hal berkaitan disiplin dan undang-undang.

Banyak kes pelanggaran disiplin oleh anggota tentera laut yang pernah beliau kendalikan tetapi atas faktor kerahsiaan dan keselamatan, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ibu kepada empat cahaya mata yang berumur di antara dua hingga 11 tahun ini boleh dikatakan bersemangat kental apatah lagi suaminya juga merupakan seorang anggota tentera laut.

"Suami saya berkhidmat di Kem Bagai Budi di Sabah sebagai Ketua Bahagian Tatatertib TLDM.

"Kerjaya kami yang sama membolehkan kami saling berkongsi pendapat serta berbincang mengenai perkara berkaitan tugas masing-masing," kata beliau yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Sabah.

Tambah beliau, menyambut lebaran di tempat orang tidak menjejaskan semangatnya untuk terus berkhidmat.

"Saya sangat menyukai kerjaya ini dan ia sukar untuk dilepaskan begitu sahaja.

"Sesetengah orang memikirkan mahu menamatkan perkhidmatan lebih awal tetapi saya adalah sebaliknya," kata Norlela.

Ujar beliau lagi, menjadi tentera laut bukan sekadar mengenai baju yang cantik dan bersih yang dipakai.

"Ia adalah tanggungjawab dan amanah buat negara kita tercinta yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit," katanya.

Lelaki takut kucing

Posted:

Lelaki takut kucing

Lelaki takut kucing

Oleh SYALMIZI HAMID


TAKUT melampau terhadap kucing hakikatnya satu derita yang ditanggung oleh golongan ailurofobia.


MANUSIA takut kepada kucing mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi sejarah membuktikan banyak lelaki yang dianggap ganas seperti Napoleon Bonaparte, Julius Caesar dan Hitler menderita akibat fobia terhadap kucing.

Bagi mereka, haiwan kesayangan itu boleh bertukar menjadi mimpi ngeri.

Perasaan yang sama turut dialami oleh seorang lelaki di Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Anan, 28.

Anan pernah membenci haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w itu. Dia juga tidak menaruh rasa simpati tatkala berdepan dengan seekor kucing yang memerlukan bantuannya.

Baginya, kucing adalah binatang yang jahat dan menakutkan. Semua itu disebabkan peristiwa semasa kecil yang membuatkan dia trauma.

"Sejak kecil lagi saya tidak menyukai kucing kerana ada insiden yang menakutkan saya," tuturnya kepada Jurnal.

Menurut Anan, tiada kucing yang dibela di rumahnya. Dia hanya mengenali haiwan itu buat pertama kali sewaktu pulang ke rumah neneknya di kampung.

Pada mulanya Anan tidak gentar bermain-main dengan kucing neneknya sehinggalah pada hari dia berkongsi makanan ringan dengan haiwan itu.

"Saya memberinya makan makanan ringan itu tetapi ia seolah-olah tidak puas walaupun makanan itu sudah habis. Ia sebaliknya terus mengekori saya.

"Saya yang pada masa itu berumur kira-kira empat tahun mula berasa takut. Saiz kucing itu besar iaitu sehingga ke paras pinggang saya. Saya cuma terbayangkan kucing itu boleh menjadi ganas dengan menerkam dan membaham tubuh saya yang kecil," kata Anan ketawa.

Fobia

Selepas peristiwa itu, Anan menjadi takut dengan kucing. Apabila ternampak sahaja haiwan itu, dia pasti cuba menjauhkan diri.

Dia merasakan haiwan itu ingin menyerangnya dengan gigi dan kukunya yang tajam. Melihat anak kucing bermain-main pada kaki orang dewasa pula boleh menyebabkan tubuh Anan menggigil kerana geli dan ketakutan.

Biarpun dia telah berusaha sedaya upaya untuk tidak terserempak dengan haiwan itu, ketenangan Anan sering juga diganggu ketika dia makan di warung.

"Sebenarnya saya tidak selesa makan di warung kerana di situ selalu ada kucing berkeliaran mencari makanan.

"Mereka sering merayu-rayu minta makanan hingga membuatkan saya naik geram. Saya rasa puas jika tidak memberinya makan.

"Saya juga akan marah melihat orang yang bukan saja memberinya makan bahkan menggosok-gosok tubuh kucing yang kotor itu seperti bermain dengan anak patung," ujar Anan lagi yang menyifatkan dirinya sebagai ailurofobia iaitu fobia kepada kucing.

Bagaimanapun, beberapa kejadian telah menyebabkan dia berasa kesal sehingga ke hari ini.

Menurut Anan, dia pernah berlaku kejam terhadap haiwan itu. Dia menceritakan bagaimana dia hanya menyaksikan sahaja seekor anak kucing yang lemah kesejukan sewaktu hujan lebat.

"Ketika itu saya hendak pulang ke bilik hostel. Tiba-tiba saya ternampak seekor anak kucing berwarna kelabu yang kesejukan dalam hujan.

"Saya tidak berusaha langsung untuk menyelamatkannya bahkan membiarkannya terseksa begitu," katanya. Ada nada penyesalan di sebalik getar suaranya.

Namun, persepsi Anan terhadap kucing berubah tatkala dia menikmati hidangan makan malam bersendirian di sebuah gerai di pinggir ibu kota.

Seperti biasa, gerai makanan yang dikunjungi Anan sentiasa dipenuhi kucing liar yang kurus dan kotor.

Ketika menikmati hidangan itu, seekor kucing jalanan telah melompat ke atas kerusi di sebelah tempat duduk Anan sambil mengiau dengan suara yang lembut meminta makanan.

"Pada mulanya saya tidak mengendahkan kucing itu sehinggalah mata saya memandang tepat pada raut wajahnya.

"Ketika bertentang mata dengan kucing hitam itu saya seperti dapat merasakan apa yang sedang ditanggung olehnya.

"Matanya yang bulat itu menyampaikan bahawa ia benar-benar memerlukan makanan dan itu yang membuatkan saya begitu kasihan.

"Saya tidak faham mengapa hati saya tersentuh. Mungkin Tuhan hendak memberi hidayah agar saya menyayangi sesama makhluk," ujarnya.

Kata Anan, malam itu adalah kali pertama dia memberi makan kepada seekor kucing.

Malah, dia sempat menggelarkan kucing itu sebagai Itam kerana bulu kucing itu berwarna hitam.


KEKEJAMAN terhadap haiwan seperti kucing tidak seharusnya berlaku kini.


Anak kucing

Sewaktu dalam perjalanan pulang, fikirannya tidak keruan. Anan mula sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci haiwan itu walaupun dia begitu fobia terhadapnya sebelum ini.

Semenjak hari itu, Anan akan berasa kasihan jika ternampak kucing jalanan.

Baru-baru ini, dia terserempak dengan sebuah kotak yang berisi empat ekor anak kucing yang dibuang orang.

"Saya bawa kucing itu balik ke rumah. Walaupun masih geli dan takut untuk menyentuhnya, saya percaya haiwan itu tidak akan menyerang saya.

"Saya bawa balik dan memberinya makan nasi berlaukkan ikan. Dengan bantuan adik saya, anak-anak kucing itu dibiarkan bermain-main di halaman rumah," ujar Anan.

Namun, hayat kucing itu tidak panjang. Semua kucing itu didapati mati pada hari raya keempat yang baru lalu iaitu kira-kira seminggu selepas dia mengutip haiwan itu.

Jelas Anan, dia tidak mengetahui punca kucing tersebut mati serentak. Dia cuma mengandaikan ia mungkin disebabkan oleh keracunan kerana dibiarkan bermain di laman.

"Saya sempat merakamkan gambar kucing-kucing tersebut pada Aidilfitri lalu ketika mereka bermain-main di halaman rumah," tuturnya.

Anan kini sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci sesama makhluk. Biarpun takut dengan haiwan itu, dia tidak seharusnya berlaku zalim terhadapnya sebaliknya harus saling menyayangi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Ajaran Hassan Jonit kembali aktif

Posted:

Ajaran Hassan Jonit kembali aktif

Ajaran Hassan Jonit kembali aktif

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

BUKU yang digunakan oleh pengikut Hassan Jonit.


RAWANG - Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998 kini dikesan kembali aktif.

Ajaran itu kini dipercayai dikembangkan oleh ahli keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Menurut sumber yang cuma ingin dikenali sebagai Roslan, markas utama kumpulan tersebut yang terletak di Kampung Melayu, Batu Arang di sini, kembali dipenuhi oleh pengikut ajaran itu sejak kebelakangan ini.

"Saya dapati semakin ramai orang luar datang ke markas itu pada malam tertentu. Saya percaya kumpulan tersebut tidak mahu pihak berkuasa tahu tentang aktiviti mereka," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurutnya yang juga penduduk di kampung tersebut, kewujudan semula ajaran tersebut kini diketuai oleh seorang lelaki yang merupakan menantu kepada orang kanan Hassan.

"Pengikut ajaran itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional yang datang dari seluruh negara terutama Singapura, Johor dan Melaka semakin berkurangan.

"Saya sendiri sebenarnya pernah bersemuka dengan pengikut kanan Hassan suatu ketika dahulu selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung yang dia telah mendapat wahyu ketika duduk di kedai kopi," ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

16,010 lans koperal naik pangkat

Posted:

16,010 lans koperal naik pangkat

16,010 lans koperal naik pangkat

KUALA LUMPUR - Seramai 16,010 anggota polis berpangkat Lans Koperal akan dinaikkan pangkat kepada Koperal berkuat kuasa hari ini.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Majlis Malam Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Maktab Polis Kuala Lumpur di sini semalam.

"Kenaikan pangkat itu diluluskan oleh Perdana Menteri dilakukan secara time based," katanya pada satu sidang akhbar khas di sini semalam.

Kenaikan pangkat itu juga dilakukan terhadap anggota yang memenuhi syarat perkhidmatan tanpa melalui proses temu duga.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Amir Shah rayu simpati penderma hati

Posted:

Amir Shah rayu simpati penderma hati

Amir Shah rayu simpati penderma hati

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my


RAMLAH melihat keadaan kaki Amir yang bengkak akibat sirosis di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja hotel di sini yang menderita penyakit sirosis hati (pengerasan hati) sejak dua tahun lalu merayu bantuan orang ramai untuk menderma hati kepadanya.

Pesakit tersebut, Amir Shah Osman, 55, berkata, dia amat memerlukan hati baharu kerana tahap fungsi organnya itu kini cuma tinggal 10 peratus selepas menderita penyakit tersebut sejak tahun 2009.

"Doktor memberitahu penyakit sirosis hati yang dialami saya boleh mengakibatkan kanser hati sekiranya tidak menerima rawatan yang sewajarnya dengan segera.

"Oleh itu, saya merayu supaya ada pihak yang mahu mendermakan hatinya kepada saya bagi membolehkan saya meneruskan kehidupan seperti biasa bersama keluarga," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di Bangsar, di sini semalam.

Amir Shah berkata, akibat penyakit itu, dia terpaksa berhenti kerja sejak awal April lalu. Kini segala perbelanjaan rumah ditanggung isterinya yang bekerja sebagai wartawan di sebuah akhbar tempatan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pelumba negara garang di Brunei

Posted:

Pelumba negara garang di Brunei

Pelumba negara garang di Brunei

SHAHRUL (tengah) dan Hariff Salleh (kanan) berdiri megah di atas podium kemenangan.


PELUMBA negara semakin ganas di Brunei.

Semalam, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara.

Dia mengungguli saingan peringkat keempat kejohanan lumba basikal Jelajah Brunei 2011 dari Tutong Town ke Bandar Seri Begawan sejauh 104.70 kilometer (km).

Mohd. Shahrul, 22, melintasi garisan penamat dengan masa 2 jam 25 minit 34 saat meninggalkan Lloyd Lucien Reynante daripada pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukan, Mohd. Harrif Salleh

di tempat ketiga.

Ini adalah kemenangan ketiga pasukan TSG pada Jelajah Brunei 2011 selepas dua lagi pelumbanya, Anuar Manan dan Mohd. Harrif masing-masing turut memenangi peringkat kedua dan ketiga.

Anuar bagaimanapun menamatkan perlumbaan semalam di tempat kelima.

Selain menjuarai peringkat keempat, Mohd. Shahrul turut berjaya memenangi zon pecutan pertama dan menduduki tempat kedua di zon pecutan kedua selain menduduki tempat kedua dalam dua zon pendakian.

Apa pun, kejayaan Shahrul ini masih belum mampu menggugat kedudukan pelumba pasukan kebangsaan, Muhd. Adiq Hussainie Othman yang terus kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 11'29:25s.

Adiq Hussainie, 20, yang memenangi peringkat pertama jelajah ini Rabu lalu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran hebat dalam perebutan gelaran keseluruhan tersebut pada saingan terakhir hari ini apabila pelumba Tabriz Petrochemical Cycling, Jahanbanian Kamnabi Hossein hanya ketinggalan enam saat di belakangnya.

Saingan terakhir hari ini akan berlangsung di Bandar Seri Begawan sejauh 146.50km melibatkan lima pusingan.

Polis pantau Piala Malaysia 2011

Posted:

Polis pantau <i>bookie</i> Piala Malaysia 2011

Polis pantau bookie Piala Malaysia 2011

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my


SAINGAN Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung sekarang akan dipantau dengan rapi agar ia bersih daripada gejala mengatur perlawanan.


PIHAK polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjadi bookie dalam saingan Piala Malaysia 2011 yang sedang rancak berlangsung sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang cuba mengatur perlawanan.

Katanya, pihak polis kini sedang memantau perkembangan itu selepas kejayaan menahan seorang lelaki yang disyaki bookie dalam satu perlawanan Piala Malaysia di Johor baru-baru ini.

"Kita memberi amaran keras kepada mereka ini (bookie) supaya tidak meneruskan kegiatan haram tersebut kerana kita sentiasa memantau perkara ini.

"Sekiranya terdapat kegiatan seperti itu kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya di rumahnya di Kampung Gebok, Mantin, Negeri Sembilan semalam.

Tambahnya, ketika ini kegiatan tersebut masih terkawal tetapi pihaknya sentiasa memantau setiap perlawanan bagi menjamin piala paling berprestij itu bebas daripada segala gejala tidak sihat berkenaan.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor kerana disyaki mengambil pertaruhan dalam perlawanan yang membabitkan pasukan Johor menentang Kedah.

Menteri kagum prestasi pemanah

Posted:

Menteri kagum prestasi pemanah

Menteri kagum prestasi pemanah


CHU SIAN (kiri) antara anggota skuad memanah negara yang mara ke pusingan akhir Kejohanan Piala Dunia 2011 di Shanghai, China.


KEJAYAAN trio memanah negara melayakkan diri ke perlawanan akhir acara recurve berpasukan pada Kejohanan Memanah Piala Dunia 2011 di Shanghai, China amat membanggakan dan disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah sukan itu di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun tewas kepada pasukan Amerika Syarikat dengan mata 218-222 pagi semalam, namun pencapaian tersebut melepasi jangkaan.

"Ia pencapaian yang amat mengagumkan. Walaupun tewas, namun ia membanggakan kerana lawan kita di peringkat akhir pun bukan calang-calang pasukan," katanya ketika diminta mengulas kemaraan trio negara, Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamed dan Wan Khalmizam Wan Abdul Aziz ke pusingan akhir kejohanan tersebut.

Ahmad Shabery turut berbangga dengan kejayaan Khairul Anuar yang mampu memberikan saingan sengit kepada pemanah Amerika Syarikat dalam acara recurve individu, walaupun akhirnya tewas dengan shoot-out.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata, pasukan memanah dilihat mampu menyumbang emas atau sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Olimpik 2012.

"Kita akan bincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta jurulatih tentang apakah perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keupayaan pasukan memanah negara," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Berlian Golden Eye dilelong RM8.42 juta

Posted:

Berlian Golden Eye dilelong RM8.42 juta

Berlian Golden Eye dilelong RM8.42 juta

BERLIAN Goledn Eye yang dilelong pada harga RM8.4 juta di Cleveland kelmarin.


CLEVELAND - Satu berlian berwarna kuning yang dikenali sebagai Golden Eye dilelong pada harga AS$2.8 juta (RM8.42 juta).

Pemenang bidaan berlian itu tidak didedahkan kerana Perkhidmatan Marshal Amerika Syarikat (AS) akan memeriksa latar belkang pembeli baharunya terlebih dahulu.

Berlian itu dilelong kelmarin dengan 16 orang menyertai bidaan untuk memilikinya.

Ia merupakan milik seorang ahli perniagaan di Ohio, AS yang disabitkan dengan kesalahan penggubahan wang haram dan konspirasi.

Menurut pendakwa raya, ahli perniagaan itu cuba untuk menjual berlian itu dan sebuah hartanah yang pernah menjadi milik bekas petinju terkenal, Mike Tyson kepada seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang sedang menyamar pada harga AS$19.5 juta (RM58.64 juta) selain sebuah bot.

Berlian itu kemudian dirampas oleh kerajaan.

Bidaan di online bermula pada Selasa lalu dengan hanya empat pembida sebelum bertambah menjadi 16 pembida. - Agensi

911: AS berjaga-jaga ancaman bom

Posted:

911: AS berjaga-jaga ancaman bom

911: AS berjaga-jaga ancaman bom


SEORANG anggota polis mengawal sebuah kawasan di Times Square, New York semalam.


NEW YORK - Polis yang dilengkapi senjata berada dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar bandar raya New York semalam.

Keadaan berjaga-jaga itu dibuat selepas para pegawai Amerika Syarikat (AS) memberi amaran berhubung satu ancaman bom yang belum dipastikan. Ancaman bom itu dikatakan akan berlaku pada ulang tahun sambutan serangan pengganas kali ke-sepuluh di bandar raya New York esok.

"Terdapat maklumat ancaman yang berwibawa dan terperinci tetapi masih belum disahkan," kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kelmarin.

Presiden AS, Barack Obama juga mengarahkan supaya usaha-usaha untuk menangani keganasan ditingkatkan.

Menurut jabatan itu, pihaknya akan mengambil semua langkah yang patut untuk mengurangkan sebarang ancaman.

Seorang pegawai White House mengesahkan bahawa Obama telah mengarahkan semua komuniti memerangi pengganas meningkatkan usaha sebagai tindak balas terhadap ancaman berkenaan.

Beberapa pegawai di Washington menyatakan terdapat satu ancaman keganasan yang melibatkan kenderaan membawa bom di New York atau di ibu kota Washington.

Dalam serangan pengganas pada 11 September 2001, bangunan World Trade Centre (WTC) runtuh akibat dirempuh oleh dua pesawat yang dirampas pengganas sehingga mengakibatkan 2,753 orang terbunuh. - Agensi

Tentera Gaddafi lancar serangan dari selatan Tripoli

Posted:

Tentera Gaddafi lancar serangan dari selatan Tripoli

Tentera Gaddafi lancar serangan dari selatan Tripoli


BEBERAPA pemberontak memasukkan bekalan peluru ke dalam sebuah trak di Wishtat, Libya semalam.


WISHTAT - Para penyokong bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan roket dari selatan Tripoli.

Serangan itu menguji kepimpinan baharu Libya selepas rejim Gaddafi ditumbangkan pemberontak menjelang Aidilfitri lalu.

Para penyokong Gaddafi itu melancarkan serangan mortar dan peluru berpandu dari Bani Walid.

Gaddafi kini bersembunyi selepas para pemberontak berjaya memasuki Tripoli pada 21 Ogos lepas selepas melancarkan serangan sejak Februari lalu.

Dia dikatakan bersembunyi di Bani Walid. Ketika ini, Libya ditadbir oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang merupakan badan yang mewakili pemberontak.

Sementara itu, Interpol turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Gaddafi. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ceburi bidang agro makanan - Noh Omar

Posted:

Ceburi bidang agro makanan - Noh Omar

Ceburi bidang agro makanan - Noh Omar

10/09/2011 8:14pm

KLANG — Lebih ramai golongan muda digalak menceburi bidang agro makanan sebagai persediaan berdepan krisis makanan dunia yang diramal berlaku pada 2050, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, pembabitan golongan itu perlu sebagai pelapis kepada petani sedia ada bagi memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan dan mempunyai kesinambungan.

"Jika tidak ada kesinambungan aktiviti pertanian, terutamanya dalam bidang agro makanan seperti buah-buahan serta sayur-sayuran, bekalan akan berkurangan sekaligus menimbulkan masalah apabila pada masa yang sama, jumlah penduduk sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.

"Begitu juga dengan masalah tanah yang semakin berkurangan kerana ramai pemilik tanah memilih untuk terbabit dalam penanaman kelapa sawit misalnya, atau menukar status tanah untuk pembinaan rumah," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penuaian Rock Melon Usahawan Tani Siswazah di sini hari ini.

Noh berkata, terdapat 298,000 hektar tanah di negara ini yang terbabit dalam aktiviti agro makanan, dan dijangka berkurangan sehingga 8,000 hektar dalam tempoh lima tahun.

Katanya, golongan muda yang berminat boleh mendapatkan pinjaman modal perniagaan sehingga RM50,000 melalui Agro Bank atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) tanpa penjamin. — Bernama

Jerebu seluruh negara semakin pulih

Posted:

Jerebu seluruh negara semakin pulih

Jerebu seluruh negara semakin pulih

10/09/2011 8:42pm

KUALA LUMPUR — Jerebu di seluruh negara semakin pulih sehingga 5 petang ini dengan 24 kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik berbanding 19 kawasan pukul 11 pagi ini dan 18 kawasan pukul 7 pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan sebanyak 27 kawasan merekodkan IPU sederhana sehingga 5 petang ini berbanding 32 kawasan pukul 11 pagi ini dan 34 kawasan pukul 7 pagi ini.

JAS juga melaporkan sehingga 5 petang ini tiada kawasan mencatatkan IPU tidak sihat, sangat tidak sihat atau berbahaya.

Lima kawasan mencatat IPU tertinggi ialah Nilai, Negeri Sembilan (78); Batu Muda, Kuala Lumpur (71); Petaling Jaya, Banting di Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur masing-masing mencatat 70, menurut JAS dalam laman sesawangnya. — Bernama

Asyraf fobia lihat lelaki berkumpul

Posted:

Asyraf fobia lihat lelaki berkumpul

Asyraf fobia lihat lelaki berkumpul

10/09/2011 8:01pm

LONDON — Kecederaan yang dialami Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, pelajar Malaysia yang diserang oleh kumpulan perusuh di kota London hampir sebulan yang lalu, kini semakin pulih.

Bagaimanapun, menurutnya, kecederaan yang dialaminya bersifat kekal dan besi yang dipasang untuk membetulkan rahangnya, akan kekal selama-lamanya.

"Saya sudah makin pulih, mungkin dalam beberapa minggu lagi saya sudah boleh makan makanan keras. Sakitnya juga sudah hilang namun kadang-kadang terasa ngilu bila hujan.

"Walaupun sebulan peristiwa itu berlaku, namun masih fobia, kalau berjalan dan ternampak orang berkumpul, saya akan elak dan ikut jalan lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu bertemu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi empat hari bermula Khamis lepas. — Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pertama kali raya sebagai selebriti

Posted:

Pertama kali raya sebagai selebriti

Pertama kali raya sebagai selebriti

BAKAT tiga wanita ini bukan calang-calang. Mereka disatukan selepas terpilih oleh mentor masing-masing untuk program realiti TV, Mentor musim kelima.

Baik Salma yang dipilih mentornya, Erra Fazira mahupun Shiha (mentor, Datuk Sharifah Aini) serta Iqa (mentor, Edry Abdul Halim) masing-masing mempunyai cerita raya berbeza. Biarpun berpaksikan cerita raya berbeza, namun ketiga-tiga penyanyi berbakat ini mempunyai satu persamaan iaitu dapat merasai nikmat hari raya sebagai selebriti buat pertama kali pada tahun ini.

Ditemui selepas menjalani rakaman Mentor Raya di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, mereka disatukan untuk berkongsi rasa, pengalaman dan aktiviti sepanjang Syawal ini buat tatapan peminat.

Salma bergerak sendiri

Kehidupan Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, selepas dinobatkan sebagai juara Mentor 5 nyata berubah 100 peratus. Sudah menjadi rezeki buat wanita kelahiran Tawau, Sabah itu berkat bakat dan suara merdunya itu.

"Banyak perubahan sudah saya lalui selepas bergelar juara Mentor 5. Dulu tak dapat bantu keluarga tetapi sekarang ini sudah boleh bantu, lebih-lebih lagi sempena lebaran kali ini," ujarnya.

Berkongsi cerita, kata Salma, sebelum menjadi artis dia hanya mampu meraih bayaran kira-kira RM50 untuk satu-satu persembahan, khususnya di majlis-majlis perkahwinan. Namun, kini dia sudah boleh menarik nafas lega.


KETIGA-TIGA bintang kelahiran Mentor 5 ini masing-masing mengakui telah mengalami perubahan besar dalam rutin kehidupan mereka.


Namun, ada kepayahan dalam keseronokan yang diraihnya itu. Walaupun bergelar juara, namun tiada pula syarikat-syarikat rakaman yang sudi menyunting dirinya untuk bergelar penyanyi rakaman. Pada kebiasaannya, juara Mentor akan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bones, namun lain pula nasib Salma apabila Monkey Bones sebaliknya memilih naib juara Mentor 5, Shiha untuk menjadi penyanyi mereka.

"Saya akui bergelar juara bukan satu jaminan besar untuk disunting oleh mana-mana syarikat rakaman. Mungkin bukan rezeki atau belum rezeki saya," tuturnya yang kini bergerak sendiri dalam karier nyanyian dan bersyukur kerana Erra banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar buatnya.

Tidak malu untuk mengakui sejak bergelar juara Mentor 5 pada 29 Mei tahun ini, dia hanya menerima lima jemputan menyanyi pada persembahan berskala besar kata Salma: "Sejak bergelar juara Mentor 5 sejak 29 Mei lepas, saya menerima lima jemputan persembahan dengan bayaran yang lumayan."

Menyentuh tentang raya kali ini pula, ujar ibu tunggal kepada seorang anak perempuan itu, dia akan berkongsi wang kemenangan sebanyak RM100,000 bersama para peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka.

"Buat pertama kalinya saya buat rumah terbuka untuk peminat-peminat di Tawau, Sabah pada hari raya ketujuh lalu. Raya tahun ini juga merupakan tahun pertama saya beri duit raya kepada kanak-kanak," ujarnya yang turut menyediakan wang untuk memperbaiki rumah ibunya di Tawau.

Salma juga teruja menyediakan kelengkapan raya buat anak kesayangannya yang baru berusia empat tahun bernama Putri Nurul Huda. Malah, Salma juga memperuntukkan wang kemenangannya untuk simpanan masa depan Putri serta pelaburan untuk single terbaharunya nanti.

Shiha rakam single sulung

Ternyata rezeki lebih memihak kepasa Shiha, 24, walaupun protege Datuk Sharifah Aini itu hanya bergelar naib juara Mentor 5. Selepas disunting Monkey Bones, pemilik nama Nurshiha Muhd. Zikir itu bakal merakamkan single sulungnya selepas raya.

"Alhamdulillah, rezeki saya murah selepas tamat Mentor 5. Walaupun Mentor 5 sudah melabuhkan tirai, hubungan saya dan Umi (panggilannya kepada Sharifah Aini) masih tidak putus. Saya selalu menghubunginya untuk meminta pendapat dalam merencanakan perjalanan karier saya," ujar gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.

Walaupun sudah bergelar selebriti, Shiha tetap kekal seperti dahulu dengan menyambut Aidilfitri secara sederhana.

"Raya saya pada tahun ini, tidak ada beza disambut sederhana selepas arwah bapa sudah pulang ke rahmatullah pada tahun 2008," ujarnya yang merancang untuk membuat haji buat arwah bapanya, Muhd. Zikir Abd. Hamid.

Katanya lagi, raya pertamanya kali ini cuma disambut di Kuala Lumpur dan kemudiannya dia pulang ke kampungnya di Kuala Batas, Selangor.


DARI kiri, Shiha, Salma dan Iqa terus mengorak langkah mengharungi dunia seni tanah air berbekalkan bakat yang dimiliki masing-masing usai pendedahan yang diraih mereka menerusi Mentor 5.


Menggemari masakan rendang dan ketupat sebagai juadah wajib di hari raya, Shiha juga memberitahu dia menyukai keenakan kuih tradisional makmor dan samprit.

Iqa buat rumah terbuka

Iqa turut mengakui sambutan raya buat dirinya agak meriah pada tahun ini. Selain dapat membantu menyediakan segala kelengkapan raya, dia juga kini boleh menitipkan duit raya buat ahli keluarganya.

"Untuk diri Iqa sahaja, sebanyak tiga pasang baju raya disediakan," akuinya.

Tambahnya: "Saya juga buat rumah terbuka pada hari raya ketujuh lalu di Bukit Beruntung, Selangor," ujarnya yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan ketupat palas.

Menyentuh tentang nostalgia Ramadan dan Aidilfitri, kata Iqa, ketika dia masih kanak-kanak, setiap kali tiba bulan Ramadan, dia akan pastikan dirinya berjaya membaca kitab al-Quran sehingga habis 30 juzuk. Semuanya gara-gara mahukan habuan daripada ibunya.

"Mak buat syarat, jika saya berjaya baca satu juzuk al-Quran, saya akan dapat RM10. Jadi saya begitu bersemangat baca al-Quran sampai 30 juzuk," ujarnya yang akan membaca al-Quran sebagai rutin setiap kali menjelang Ramadan.

Menyentuh tentang karier seninya, pemilik nama sebenar Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor, 25, dia tidak menghadapi masalah. Selepas sahaja tamat Mentor 5, dia terus disambar KRU Records iaitu syarikat rakaman mentornya, Edry.

"Saya ikat kontrak selama setahun dengan KRU. Alhamdulillah, semua program anjuran KRU saya terlibat," katanya.

Lagu Goldkartz dalam filem Bollywood

Posted:

Lagu Goldkartz dalam filem Bollywood

Lagu Goldkartz dalam filem Bollywood


GOLDKARTZ yang terdiri daripada adik-beradik Manjit Singh Gill (kiri) dan Sukhjit Gill telah menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem Bollywood berjudul Office Office. Lagu tersebut diberi nama Mauja.


Berkat restu daripada ayahnya itu membuatkan dua beradik itu kini berjaya mencipta nama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Bollywood.

"Pada mulanya kami hasilkan album Bhangra semata-mata untuk menyalurkan minat dan kreativiti kami terhadap muzik Bhangra. Secara tidak langsung mahu memperkenalkan muzik ini kepada rakyat Malaysia. Tapi tak sangka lepas album Bhangra berjudul Loaded keluar pada tahun 2008 ia mendapat sambutan ramai.

Sejak itu kami nekad untuk ceburi bidang ini secara serius," kata Manjit atau lebih senang disapa M-Ji ketika ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur.

Goldkartz turut berjaya tersenarai dalam Malaysia Book Of Records sebagai kumpulan Bhangra pertama di Malaysia.

Untuk album kedua mereka, 24 Karaatz, dua beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu menampilkan 17 buah lagu yang dibuat secara kolaborasi bersama penyanyi Awie (Bebaskan Hatimu), Rishi Rich, Mumzy Stranger dari United Kingdom (UK), Tiferstyle dari Scotland dan Shankar Mahadevan dari India.

"Untuk 24 Karaatz kesemua lagu dihasilkan oleh kami sendiri kecuali lagu Bebaskan Hatimu yang dihasilkan oleh Radge.

"Selepas album Karaatz 24 dikeluarkan pada bulan April lalu, kami menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di Australia, Kanada, Singapura, Thailand, Indonesia dan Shanghai," katanya.

Lebih mengujakan, telah dilamar pengarah filem Bollywood, Rajiv Mehra untuk menyumbang lagu dalam filem terbaharunya, Office Office.

Ibarat bulan jatuh ke riba, permintaan Rajiv itu disambut baik Goldkartz lalu terciptalah lagu Mauja yang hanya mengambil masa selama dua minggu.

Lagu Mauja yang dihasilkan Goldkartz itu kemudiannya diperdengarkan oleh pengarah muzik terkenal Sajid dan Wajid.

"Saya sangat berbesar hati bila mereka menyukai lagu kami. Kami juga dijemput ke India pada 1 hingga 9 ogos lalu untuk mempromosikan lagu Mauja di sana," katanya mengenai lagu Mauja yang kini sudah disiarkan menerusi 15 siaran di India.

M-Ji dan Sukhjit yang kini memiliki anak didik iaitu kumpulan J Squad berharap menaikkan taraf Bangra di Malaysia seterusnya berharap muzik tersebut diminati golongan muda.

Untuk sebarang jemputan persembahan daripada Goldkartz boleh menghubungi 012-5008889 atau layari laman web www.facebook.com/goldkartz atau twitter/goldkartz atau www.goldkartz.com.

Shinta tayang buah dada

Posted:

Shinta tayang buah dada

Shinta tayang buah dada


SHINTA BACHIR


SHINTA BACHIR terkenal dengan penampilan berani dalam filem-filem yang dibintanginya.

Terbaru, artis berusia 25 tahun ini nekad tampil seksi dengan menunjukkan sebahagian buah dadanya dalam filem terkininya, Mati Muda Di Pelukan Janda.

Shinta mengungkapkan sebelum menerima peranan itu, dia sudah memikirkan secara matang untuk melakukan adegan tersebut.

"Saya akan lakukannya dengan cara yang profesional," tegasnya.

Sebelum ini sempat tersiar khabar, pelakon itu bersetuju untuk tampil seksi kerana menerima bayaran yang mahal. Saat ditanya tentang hal tersebut, Shinta mengaku sudah jatuh hati dengan peranan yang ditawarkan.

"Saya terima peranan itu kerana tertarik dengan wataknya. Saya akan menjadi seorang janda yang nakal. Itu (watak) yang lebih saya utamakan," balas pelakon itu.

Malah dia juga sudah bersiap sedia dengan kontroversi yang bakal dihadapinya nanti. Dia juga berani menanggung impak yang bakal tercetus.

Katanya: "Jika esok nanti ia menjadi kontroversi, saya melihat itu sebagai satu tuntutan kerja saya dan saya melakukannya dengan profesional."

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved