Isnin, 30 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berjuang menyebar mesej positif HIV/AIDS

Posted:

Berjuang menyebar mesej positif HIV/AIDS

Berjuang menyebar mesej positif HIV/AIDS

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN dan IZYAN LIYANA DARIFrencana@kosmo.com.my



ISU berkaitan HIV/AIDS bukan perkara baru bagi masyarakat dunia. Ia masih berhadapan dengan pertembungan isu antara penyebab dan rawatan; stigma dan penjelasan; kesedaran dan ketidakpedulian; serta ketidakpastian dan harapan.

Begitupun, ada kenyataan yang perlu ditelan semua. Senario yang berkisar tentang isu tersebut boleh diumpamakan biduk tiris menanti karam.

Menilai perkembangan global dan statistik mengenai HIV/AIDS pada hari ini, bagai tiada daya lagi untuk menampung kembali lohong yang terbentuk akibat virus tersebut. Hakikatnya, situasi menjadi bertambah buruk dari hari ke hari.

Bukan niat menambah cuka ke hirisan luka. Namun, masyarakat kita hari ini sudah alpa dengan peningkatan angka penghidap HIV saban waktu.

Historiografi berkaitan pandemik itu tidak perlu lagi dihuraikan apa, bagaimana dan kesannya. Majoriti masyarakat negara ini secara puratanya sudah didedahkan dengan maklumat mengenainya, sementara ada segolongan lagi yang perlu buka mata lantaran kosong pemahaman terhadap HIV/AIDS.

Caranya adalah dengan cuba mengalihkan sejenak minda kita terhadap rasa empati kepada insan yang hidup dengan HIV/AIDS.

Mesej lagu dan irama


MASIH ramai yang mengambil mudah mengenai kepentingan menggunakan kondom sebagai salah satu cara untuk mengelakkan virus HIV disebarkan.


Ketepikan dakwaan maksud sudah terhantuk baru terngadah. Bagi adiwira HIV dunia yang juga merupakan seorang penghidap HIV positif, Nicholas Snow, 49, dia begitu lantang menyuarakan ideologi tersendiri berkenaan isu seks selamat melalui perspektifnya tersendiri.

Baginya, penaklukan minda manusia pascamoden kini perlu didaki secara halus dan perlahan-lahan ke dalam jiwa. Pastinya mesej daripada irama dan lagu adalah medium paling dinamik. Itulah antara sumbangannya yang terkini selain daripada siri ceramah kesedaran yang diperjuangkannya.

Agenda aktivis HIV dari Arizona, Amerika Syarikat yang kini menetap di Bangkok, Thailand itu mahu menyedarkan orang ramai bahawa langkah membendung penyebaran wabak HIV lahir daripada diri sendiri.

Sedar akan kepentingan niat dalam diri, Snow mengambil langkah proaktif dengan mencipta lagu dan liriknya sendiri demi menyampaikan pesanan kepada penduduk Asia khasnya mengenai kepentingan hubungan seks selamat dan pemeriksaan HIV.

"Lagu berjudul The Power To Be Strong sememangnya ditujukan khas kepada semua mangsa HIV positif yang kini menjalani kehidupan masing-masing dengan cara tersendiri. Diharapkan lagu ini mampu menyuntik motivasi untuk tidak berputus harap," ujar jejaka yang tidak lokek dengan senyuman.

Lagu unik yang dirakamkan di Thailand itu disampaikan Snow dalam versi bahasa Inggeris menggunakan vokalnya sendiri dan diterjemahkan pada 18 sarikata berbeza mengikut negara yang dikunjunginya.

"Versi ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan terkini dengan suntikan sedikit elemen tempo rancak dan koreografi tarian kreatif dan unik," tambah bekas wartawan penyiaran itu.

Menjejaki pengalaman hidupnya yang bergelumang dengan AIDS, tanpa silu Snow menyelak satu persatu kepada penulis.

"Saya syak diri saya dijangkiti virus HIV pada Ogos tahun 2007 apabila terlanjur dengan pasangan saya tanpa menggunakan sebarang perlindungan (kondom).

"Kemudiannya, pada 3 Januari 2008 saya disahkan menghidap HIV positif dan semenjak itu saya menyedari bahawa saya juga perlu bertindak untuk mengelakkan lebih ramai individu lain menderitai dilema hidup seperti saya," katanya yang pernah diselar keluarga dan rakannya sendiri.

Namun, dalam pada diri direnjat kenyataan pedih itu, hanya seorang individu yang tidak jemu memberikannya semangat, kasih sayang, sokongan dan nasihat. Snow merujuk kepada ibu kandungnya, Elizabeth Magnuson, 70.

"Belum puas saya mengecapi nikmat kasih sayang sebenar daripadanya, dia pergi meninggalkan saya selamanya dua tahun lalu semasa saya berada di Thailand," cerita anak ketiga daripada lima beradik itu sambil menyeka air mata.

Bak hilang punca bergantung dalam pengharapan mencari sinar baru, Snow kembali bangkit meneruskan matlamat hidup membantu insan yang berisiko diancam HIV dengan mengembara ke setiap benua.

Tanggungjawab sosial selebriti


HARI AIDS Antarabangsa disambut pada 15 Mei setiap tahun di seluruh dunia untuk memperingati mangsa pandemik AIDS.


Bagi Tony Eusoff, 34, pula, selebriti sebenarnya mempunyai kelebihan dalam skop penyampaian mesej secara meluas kepada peminat.

"Selebriti sudah ada peminat tersendiri dan boleh memberikan kesedaran serta impak berguna kepada masyarakat dengan lebih besar sekali gus mempengaruhi minda peminat mereka," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Anthony Joseph yang berasal dari Kuching, Sarawak itu menjelaskan tiada sebab untuk seseorang takut kepada perkara yang tidak benar terutamanya perkara berkaitan penularan virus HIV.

"Kesedaran awam tentang HIV perlu dibuat 20 atau 30 tahun lalu kerana orang ramai sebenarnya mudah faham dan boleh menerima sesuatu isu itu dengan terbuka.

"Apatah lagi kini dengan adanya teknologi perubatan yang sangat maju, pesakit HIV juga berpeluang untuk hidup lebih lama seperti individu normal," bicaranya yang sudah terdidik secara tidak langsung mengenai wabak HIV sejak usia cilik apabila sering mengikuti ibunya yang bertugas sebagai pembantu wad di hospital.

Tambahnya yang turut dikelilingi pesakit HIV, tanggungjawab untuk menjaga diri mereka daripada menjangkitkan kepada orang lain tidak disangkal.

Berbicara mengenai jangkitan HIV tanpa sedar umpamanya pemindahan darah, Tony juga menyuarakan pandangannya tersendiri.

"Itu bukan satu hukuman daripada Tuhan sebaliknya satu cabaran kepada kita kerana Dia tahu kita cukup daya untuk menghadapi setiap cabaran daripada-Nya," pesannya yang menggalakkan orang awam supaya tidak menyimpan persepsi negatif kepada penghidap HIV.

Sebagai salah seorang selebriti aktivis AIDS di Malaysia, Tony juga menggalakkan agar kempen kesedaran diperluas ke kawasan pedalaman yang kurang akses kepada kesedaran awam.

"Sebenarnya segelintir masyarakat pedalaman masih kurang pendedahan dan menganggap HIV seperti sihir. Seboleh-bolehnya kita sebagai masyarakat bertanggungjawab perlu membuka minda dan mendidik mereka sehingga ke satu tahap semua orang faham tentang AIDS dan cara untuk mencegahnya?" jelasnya yang turut menggalakkan orang awam mengamalkan langkah keselamatan yang sesuai.

Berhenti mencemuh mereka


JANGKITAN virus HIV melalui perkongsian jarum suntikan sudah menjadi isu lapuk apabila kini seks tanpa perlindungan mendominasi kaedah penularan wabak itu.


Bagi peserta program realiti Astro Oasis, Imam Muda musim kedua, Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, pesakit HIV perlu diberikan peluang untuk disayangi.

"Mereka sering mendapat cemuhan berbanding hak perikemanusiaan yang dipandang enteng oleh masyarakat sekeliling kita.

"Melalui dakwah secara uslub misalnya, pendekatan secara berhikmah untuk menyentuh hati mereka dirasakan satu tindakan yang tepat dalam meningkatkan kembali harga diri mereka," tuturnya yang yakin dengan hikmah tersendiri dalam setiap kejadian yang direncanakan oleh Yang Maha Kuasa.

Menjelaskan peranannya dalam masa yang sama untuk cuba mengubah haluan hidup golongan penuh risiko berdepan wabak HIV, bagi anak jati Segamat, Johor itu langkah terbaik adalah menanamkan rasa empati jika diri sendiri berada di tempat mereka.

Persimpangan jawapan kepada persoalan berkesan atau tidak, jawab Nazrul penggemblengan usaha semua pihak adalah jaminan solusi setiap konflik.

"Semua orang perlu bersatu padu untuk mengekang penyebaran virus ini dan usah lagi stigmakan pesakit HIV dengan ideologi yang telah terbina selama ini," serunya yang juga menggalakkan majikan di seluruh negara agar tidak membanding bezakan pekerja yang menghidap HIV dan individu sihat.

Apa yang pasti, perjuangan untuk menyalakan kesedaran mengenai HIV/AIDS bukanlah satu perjuangan untuk diri mereka yang hidup dengan penyakit itu semata-mata.

Hakikatnya, ia adalah satu mujahadat dalam memastikan mungkin satu hari anak, adik, abang, kakak, pak cik, jiran, rakan atau lebih tepat orang kita sayang juga hidup dengan penyakit yang sama.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Statistik pilu jadi iktibar

Posted:

Statistik pilu jadi iktibar

Statistik pilu jadi iktibar


YAYASAN Pink Triangle turut menyambut Hari Memperingati AIDS Sedunia di Kuala Lumpur.


SETAKAT ini seramai 13,000 orang rakyat Malaysia mati lantaran virus rentan penyakit atau lebih dikenali HIV.

Akibat sindrom kurang daya tahan penyakit itu jugalah 91,000 rakyat Malaysia dilemparkan dengan stigma negatif lantaran hidup dengan HIV.

Namun, dalam memastikan stigma itu dikikis selain menyebarkan sebanyak mungkin kesedaran mengenai kaedah menjauhi HIV, ramai yang sanggup ke depan untuk bergelar pejuang HIV/AIDS.

Sebagai mengenangkan pemergian insan-insan yang telah pergi meninggalkan fana dunia untuk menghadap Ilahi, Sambutan Hari Memperingati Pejuang HIV diadakan di 115 buah negara seluruh dunia pada tanggal tarikh 15 Mei saban tahun sejak 1983.

Touching Lives mengambil tempat sebagai tema sambutan tahun ini, selari dengan mesej yang hendak dihubungkan kepada orang ramai bahawa HIV sebenarnya telah dan boleh menyentuh kehidupan kita sama ada sedar mahu pun tidak.

Seks penyebab utama

Menurut Presiden Yayasan Pink Triangle (PT) Malaysia, Hisham Hussein, sambutan itu memberi peluang kepada seluruh komuniti memperingati 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah mati akibat HIV.

"Lilin akan dinyalakan sebagai simbolik untuk memperingati pejuang HIV yang telah tewas terdahulu.

"Atas dasar ini, sokongan daripada diri sendiri, keluarga dan komuniti sekeliling diperlukan untuk membantu golongan yang kini telah dijangkiti HIV seberapa terdaya," kata aktivis penuh antusias itu.

Dalam pertemuan sulung penulis bersama Hisham, kebimbangannya kini tertumpu kepada perubahan trend penularan wabak HIV kepada orang ramai.

Ujarnya, seks adalah penyebab utama epidemik HIV di Malaysia kini berikutan sikap sambil lewa segelintir individu yang tidak melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.

"Sepatutnya, kita semua perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak tahu sama ada kita punyai virus itu atau pasangan kita yang milikinya. Oleh itu langkah perlindungan seperti pemakaian kondom dengan betul perlu diamalkan," getusnya.

Kaedah jangkitan melalui seks ceritanya kini mencatatkan kadar setinggi 48.5 peratus berbanding penularan melalui perkongsian jarum suntikan atau penagihan dadah iaitu 47.6 peratus.

"Anda adalah siapa diri anda dan apa yang anda lakukan itu sebenarnya lebih utama, pasang nawaitu dengan betul supaya boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling," pesan Hisham menyeru komuniti yang dijangkiti agar bekerjasama menghalang daripada merebaknya HIV.

Yayasan PT antara lainnya turut membekalkan ujian pengesanan HIV percuma yang menekankan aspek kerahsiaan dalam setiap sesi rawatan.

"Jika pesakit positif kuman HIV, khidmat kaunseling secara percuma akan diberikan tiga kali seminggu di dua pusat berasingan iaitu di Sungai Buloh dan di Jalan Tunku Abdul Rahman," bicaranya yang bimbang akan penularan wabak HIV melalui kegiatan seksual golongan biseksual.

Ujarnya, jangkitan menerusi kecenderungan hubungan kelamin antara kedua-dua jantina yang berbeza lebih tinggi risikonya berbanding pasangan gay, mak nyah dan pekerja seks.

"Kita sebenarnya tidak sedar golongan biseksual lebih ramai bilangannya berbanding homoseksual atau heteroseksual maka, dengan jumlah ini juga kadar jangkitan HIV lebih tinggi dan cepat menular," ulasnya ketika ditemui penulis di Majlis Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia baru-baru ini.

Sebaran AIDS nelayan

Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor pula pada masa yang sama menyeru wanita mengambil inisiatif sendiri untuk melengkapi pengetahuan mengenai cara perebakan virus HIV.

"Wanita sendiri perlu sedar dan diberi kesedaran supaya berhati-hati serta bersedia untuk berdepan dengan cabaran penyakit ini yang kadangkala merebak tanpa disedari," tegasnya dengan memberikan contoh kawasan perkampungan nelayan negeri Pantai Timur yang kini diancam HIV berpandukan kajian terbaru.

Katanya, ada antara golongan nelayan lelaki di pesisir pantai yang berkongsi-kongsi pasangan tanpa perlindungan seks yang akhirnya menjarahkan virus HIV kepada isteri dan keluarga sendiri.

Berlandaskan fakta terkini itu juga, Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian telah menggandakan usaha mengekang bahana itu.

"Kita telah menempatkan pegawai khas di kawasan-kawasan pedalaman untuk mendidik masyarakat bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki yang juga menjadi punca menularnya HIV menerusi hubungan kelamin tanpa perlindungan," hurainya mengenai inisiatif holistik yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Harapannya, tiada lagi stigma yang masih melekat dalam sanubari orang ramai berkenaan isu HIV dan AIDS.

– KHAIRUL AMRI HASSAN dan IZYAN LIYANA DARIF

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ubah banduan menjadi insan

Posted:

Ubah banduan menjadi insan

Ubah banduan menjadi insan

Oleh MOHD. HISHAM ABDUL RAFAR



OM, 32, yang berasal dari Sabah menitiskan air mata ketika menyatakan kesyukurannya kerana ditempatkan di Kem Mahkota di Kluang dan bukan di penjara.

Bapa kepada enam anak itu berkata, semasa di Penjara Taiping saban hari dia merenung dinding batu mengenangkan nasibnya.

"Ketika di Penjara Taiping, saya sudah insaf dan sangat kesal kerana terlibat dengan dadah," kata beliau. Om dihukum penjara kerana jenayah memecah masuk dan mencuri di pejabat akibat ketagihan dadah jenis syabu.

Om yang ditemui di Kem Mahkota berkata, di kem tentera itu dia bukan saja dapat melihat pemandangan luar yang menyegarkan bahkan juga bersukan, menonton TV dan sekali-sekala bekerja di bawah pengawasan anggota tentera.

Om yang akan dibebaskan dalam tempoh tiga bulan lagi adalah antara 180 Orang Diselia (ODS) di Kem Mahkota dalam program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan di bawah Strategi Laut Biru Kebangsaan.

Pendekatan baru

Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota Kluang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Mac lalu adalah yang pertama untuk menerima banduan dari penjara di seluruh negara. Program tersebut turut mendapat bantuan kawalan keselamatan yang minimum daripada anggota tentera.

Bagaimanapun, pentadbiran dan kawalan terhadap ODS di Kem Mahkota masih di bawah tanggungjawab dan seliaan Jabatan Penjara. Pendekatan itu dipilih sebagai usaha memudahkan banduan yang bakal menamatkan hukuman mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Tinjauan Bernama ke pusat tersebut mendapati, rata-rata banduan yang menyertai program ini menganggapnya sebagai satu usaha bijak yang dapat membantu mereka memulihkan keyakinan diri dan mengatasi stigma sosial.

Wan, 30, dari Perak, yang sebelum ini merengkuk di Penjara Tapah gembira dengan pendekatan baru ini.

"Kami dijaga dengan baik oleh anggota penjara dan tentera. Saya rasa bebas, tenang dan menyesal dengan apa yang saya telah lakukan," katanya yang ditahan pada tahun 2008 kerana jenayah merompak.

Masih bujang dan dijangka dibebaskan dalam tempoh dua minggu, Wan bertekad tidak mahu mengulangi kesalahannya itu mahupun menyusahkan keluarga. Sebaliknya dia mahu mencari pekerjaan untuk menampung hidupnya.

Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Ezzra, 38, juga dari Perak berkata, ekoran terperdaya dengan ajakan rakan sekerja melakukan jenayah samun, dia menjadi manusia ganas dan tidak menghormati hak orang lain sehinggalah dia ditangkap.


RATA-RATA banduan yang terpilih menyertai program pemulihan di bawah seliaan anggota tentera beranggapan ia adalah usaha yang membantu memulihkan keyakinan diri mereka.


Ezzra yang sebelum ini bekerja di pusat servis pendingin hawa berkata, program pemulihan pemasyarakatan itu menyedarkan dirinya betapa berharganya kebebasan. Dia juga tidak mahu menyusahkan masyarakat dengan kesalahan jenayah yang pernah dilakukannya.

Kata Ezzra, bentuk terapi terbaik di Kem Mahkota ialah pergaulan dengan anggota tentera. "Mereka tiada masalah berkawan dengan saya dan sekali-sekala memberi nasihat.

"Kawan-kawan ODS lain juga semuanya meluahkan hasrat untuk berubah menjadi orang baik, masing-masing yakin dapat diterima oleh keluarga dan masyarakat," katanya yang membayangkan kehidupan baru yang lebih baik baginya selepas dibebaskan pada bulan Oktober ini.

Insan baru

Bapa kepada dua orang anak itu yang sebelum ini ditempatkan di Penjara Kajang, berhasrat untuk berkongsi pengalamannya dengan orang ramai terutama generasi muda supaya mereka tidak terjerumus dengan dadah dan jenayah.

Apakah keunikan Program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan yang mampu mengubah Om, Wan dan Ezzra? Timbalan Pegawai Penjaga Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang Inspektor Shaari Abd. Rahman berkata, program dan aktiviti yang diatur untuk ODS menjurus kepada persediaan kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai insan baru yang berguna dan jelas mengenai tujuan hidup.

Mereka juga terlibat dengan kelas agama, kelas latihan dalam kumpulan, bekerja, kelas kompang, riadah dan bersukan. ODS juga dibenarkan menelefon keluarga menggunakan kad prabayar yang dibeli dengan wang elaun sendiri.

"Untuk memberi keyakinan diri bahawa mereka diterima baik oleh keluarga walaupun bergelar banduan, mereka juga dibenarkan bersemuka dengan keluarga yang melawat mereka seminggu sekali di bawah pengawasan warder," katanya.

Untuk mempelbagaikan lagi kegiatan ODS, Jabatan Penjara juga merancang mengadakan kursus jangka pendek seperti kelas keusahawanan, kelas berzanji dan marhaban. Selain itu, jabatan terbabit menganjurkan aktiviti futsal terutama bagi ODS yang masih muda, projek tanaman herba dan ternakan ikan keli.

Objektif lain program di pusat itu ialah untuk memberi peluang kepada penghuni penjara belajar berbakti kepada masyarakat dan memupuk sikap yang baik ODS dengan melakukan kerja-kerja berfaedah di luar penjara.

Kumpulan lain pula melakukan aktiviti latihan berkompang dan ramai bersantai di dalam kawasan berpagar pusat itu dengan memakai seragam putih.

Satu lagi kunci keberkesanan pendekatan ini mungkin kerana ODS dikehendaki mengikuti fasa orientasi dan fasa pengukuhan sahsiah, sebelum boleh dipertimbangkan masuk ke pusat pemulihan pemasyarakatan itu.

Memandangkan kelebihan Program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, program yang sama akan turut dilaksanakan di Kem Desa Pahlawan, Kelantan, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kem Syed Sirajuddin, Gemas dan Kem Batu 10, 4 Briged Mekanize di Kuantan, Pahang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved