Jumaat, 18 November 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Pertama di Asia Tenggara

Posted:

Pertama di Asia Tenggara

Pertama di Asia Tenggara

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

HONDA sememangnya suka mencipta sejarah. Inovasi-inovasi entiti yang dilahirkan oleh Soichiro Honda itu seringkali mengejutkan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan produk keluarannya mengubah bagaimana manusia melihat sesuatu teknologi.

Mahu bukti? Honda merupakan syarikat pertama yang berjaya memenuhi piawaian ketat emisi Amerika Syarikat (AS) tahun 1970 menerusi enjin CVCC. Enjin bersih dan menjimatkan minyak itu kemudian menjadi tunjang ke arah pembinaan model sedan Civic yang diterima hangat di pasaran dunia.

Robot humanoid Honda, Asimo pula membuatkan pemerhati teknologi dunia ternganga kekaguman. Dengan tinggi 130 sentimeter, generasi kedua Asimo nyata memiliki beberapa kemampuan baru yang signifikan.

Misalnya, ia mampu berlari selaju 9 kilometer sejam (sebelum ini 6 km/j), melompat mengguna sebelah atau kedua-dua belah kaki dan berdiri dengan stabil di permukaan tidak rata. Asimo juga boleh membuka penutup botol minuman dan menuang air ke dalam gelas.

Compact Renaissance Zero

Itu hanya sekelumit daripada pencapaian Honda. Kalau hendak ditulis semuanya, jadi buku sejarah Honda pula rebiu saya pada minggu ini.

Awal bulan lalu, pengedar dan pengeluar kenderaan jenama Honda di Malaysia, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) sekali lagi mencipta sejarah menerusi pengenalan model hibrid CR-Z. Kalau hendak tahu, CR-Z ialah jentera hibrid ketiga yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia selepas model Civic Hybrid dan Insight.

Apa istimewanya CR-Z? Tidak dibina berinspirasikan kepada model hot-hatch popular Honda tahun 1980-an, Honda CR-X, CR-Z merupakan jentera hibrid pertama yang dipasang dengan transmisi manual enam kelajuan di dunia. Memang sports habis!


REKAAN kabin yang moden dan futuristik.


Honda Malaysia juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk menawarkan hibrid hot-hatch tersebut.

"Selaku perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia, kami berbangga untuk mengetengah satu lagi pilihan kenderaan hibrid kepada pengguna Malaysia. Selepas menyaksikan kejayaan model Honda Insight sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami yakin dengan penerimaan teknologi hibrid yang kian meningkat di Malaysia, sekali gus mengambil keputusan untuk melancarkan CR-Z," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

CR-Z merujuk kepada "Compact Renaissance Zero" yang membuktikan komitmen Honda untuk kembali kepada asas dan menerima cabaran membina sebuah kereta kompak, tanpa terikat dengan nilai-nilai sebuah kenderaan hibrid tradisional.

Di pentas dunia, CR-Z telah dinobat sebagai kereta terbaik (Car of the Year, COTY) di Jepun untuk tahun 2010/2011 dan anugerah Kereta Hijau Terbaik pada tahun 2010 (2010 Top Gear Green Car of the Year) di United Kingdom.

Sistem Hibrid IMA

Ketua Projek Honda CR-Z, Norio Tomobe menyatakan jentera yang menawarkan keterujaan pemanduan itu sebenarnya dibina atas tiga nilai utama iaitu emosional, keterujaan dan pintar.


DILENGKAPI dengan beg udara hadapan dan sisi.


Konsep rekaan CR-Z secara efektif menggabungkan estetika sebuah kenderaan dengan imej bersih serta maju sebuah jentera hibrid. Selari dengan konsep keseluruhannya, rekabentuk CR-Z yang penuh gaya, aerodinamik dan seperti peluru itu memudahkan aliran udara untuk mengurangkan kadar seretan.

Kuasa pada CR-Z dijana oleh unit enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 114PS dan motor elektrik berkuasa 14PS. Di samping Intelligent Power Unit (IPU) yang sofistikated. Fleksibiliti Sistem Hibrid IMA membolehkannya digunakan bersama kotak gear manual enam kelajuan untuk pemanduan responsif.

Transmisi manual pada CR-Z juga dilengkapi dengan fungsi Hill-Start Assist (HSA). HSA mampu mengenal pasti darjah kecondongan dan meningkatkan keyakinan pemandu dengan membantu mengelakkan kenderaan daripada terundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.

Demi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan, CR-Z menjadi model pertama yang menampilkan Sistem Pemanduan 3 Mode (3-Mode Drive System) Honda yang versatil.

Sistem itu membolehkan pemandu memilih dan menukar mode dengan mudah berdasarkan kepada gaya pemanduan dan situasi jalan raya.

Tiga mode pada CR-Z mengubah maklum balas pendikit, stereng, pemasaan melahu ketika berhenti, kawalan suhu dan tahap bantuan yang disediakan oleh Sistem Hibrid IMA. Mode-mode individual itu juga ditunjukkan menerusi nyalaan lampu berwarna pada gelung Illuminated Advance Sports Meter.

Dari segi standard keselamatan, CR-Z serba baharu dinilai sebagai salah sebuah kereta paling selamat di Jepun pada tahun 2010 apabila dianugerahkan dengan enam bintang dalam penarafan JNCAP.


REKAAN luaran CR-Z yang mementingkan aspek aerodinamik.


CR-Z dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA) yang menawarkan pemanduan lebih stabil dan mantap. Sementara kerangka tubuh Advanced Compatibility Engineering (ACE) pula meningkatkan tahap perlindungan. CR-Z turut menepati Keperluan Impak Pejalan Kaki (Pedestrian Impact Requirements) yang membolehkan kecederaan kepala dan dada pejalan kaki diminimumkan jika berlaku kemalangan.

Ueno turut menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia dalam Bajet 2012 baru-baru ini untuk meneruskan pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais ke atas model-model hibrid hingga Disember 2013. Sebab itu jugalah CR-Z dapat ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif. Lebih tepatnya, RM115,000 seunit.

CR-Z hadir dalam warna putih sahaja. Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 100 unit CR-Z menjelang akhir tahun 2011. Maklumat lanjut, sila hubungi nombor Honda Toll Free di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

Mahu tahu bagaimana karekter pemanduan CR-Z, tunggu laporan saya selepas memandu ujinya di Tokyo, Jepun hujung bulan ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Nissan Navara Calibre

Posted:

Nissan Navara Calibre

Nissan Navara Calibre

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


WARNA emas pada tubuh Navara Calibre membuatkannya lebih menyerlah di atas jalan raya.


SELAIN Isuzu, Nissan sebenarnya menawarkan produk trak pikap yang agak lengkap untuk dipilih oleh para pelanggannya. Selepas memberi impak positif menerusi model Frontier sebelum ini, Nissan tampil pula dengan rangkaian trak pikap Navara yang telah menerima banyak penambahbaikan dari pelbagai aspek termasuklah teknologi dan rekabentuk bagi menjadikannya lebih premium.

Mula diperkenalkan di pasaran sejak awal tahun lalu, varian yang dikenali sebagai Nissan Navara Calibre boleh dianggap sebagai model level entry yang ditawarkan oleh pihak Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Apabila bercakap mengenai model entry level atau asas, anda semestinya tahu bahawa banyak aksesori yang akan hilang. Tidak terkecuali pada model Navara Calibre. Namun, kekurangan itu tidak bermakna ia sebuah trak yang tidak bagus atau membosankan.

Diimport dalam bentuk CBU dari kilang Nissan di Thailand, Navara Calibre menjadi pesaing kepada model asas seperti Mitsubishi Triton Lite. Jika dilihat pada luarannya, Calibre nampak sedikit kosong. Tetapi ia tetap menampilkan reka bentuk Navara yang tahan lasak dan maskulin.

Jangan menilai Navara Calibre menerusi penampilan luarannya. Ini kerana sepanjang beberapa hari saya memandunya, trak pikap itu nyata berupaya menawarkan kualiti pemanduan yang memuaskan.

Sebelum terlupa, Navara Calibre ialah trak pikap pacuan dua roda (2WD) atau 4x2. Jadi, kalau anda tersekat di dalam lumpur yang dalam atau hendak beraksi seperti sebuah 4x4 sebenar, kemampuannya pastilah terhad.

Selaku sebuah trak pikap moden, Navara Calibre didatangkan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Kotak gear yang lancar itu mengagihkan kuasa daripada unit enjin diesel buatan Nissan yang terbukti boleh diharap.

Enjin bersesaran 2.5 liter itu disertakan bersama unit intercooler dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT). Ya, memang betul ia kurang berkuasa berbanding enjin sama yang dipasang pada model Navara 4x4. Lebih tepat lagi, kurang 30PS bersamaan catatan kuasa 144PS. Sementara tujahan torknya pula 356Nm.

Lebih ringan, menjimatkan

Nissan membuat talaan semula terhadap enjin diesel berkod YD25DDTi commonrail tersebut memandangkan Navara Calibre cuma sebuah jentera pacuan 4x2. Kekurangan kuasa itu bagaimanapun diseimbangkan dengan tubuhnya yang lebih ringan.


UNIT audio dan butang kawalan pendingin hawa yang mudah dioperasi.


Sebenarnya, Navara Calibre adalah 120 kilogram lebih ringan jika dibandingkan dengan varian Navara 4x4. Gabungan pacuan 4x2, kuasa yang sederhana dan kurang berat nyata memberi kesan atas penggunaan bahan api. Navara Calibre terbukti sebuah trak pikap asas yang menjimatkan minyak.

Apabila enjin dihidupkan, satu badan boleh bergegar. Bunyi enjin dapat didengar dengan jelas. Namun, sebaik sahaja ia meluncur di atas jalan raya, bunyi bising enjin dan angin semakin perlahan. Itu pun jika anda memandu dalam kelajuan yang mengkut had laju kebangsaan.

Apabila pedal minyak ditekan, anda akan dapati enjin melahu kuat sebelum kuasa terasa mula dihantar ke roda hadapan. Setelah mendapat momentum, Navara Calibre tidak ada banyak masalah untuk memotong atau mendaki laluan berbukit.

Ruang kabin trak pikap itu menawarkan rekaan papan pemuka yang sangat ringkas. Itu saya boleh terima. Cuma, aplikasi warna cerah pada keseluruhan ruang dalamannya memang tidak praktikal. Warna itu pastinya amat mudah kotor, apatah lagi kenderaan sebegini digunakan untuk tujuan kerja dan bukannya bersantai sepanjang masa.

Dilihat pada aspek keselamatan pula, jentera itu tetap dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD. Tetapi sistem LSD (limited-slip differential) yang ada pada model Navara manual dan lebih berkuasa telah ditiadakan. Ia juga tidak dilengkapi dengan beg udara SRS dan lampu utama jenis xenon.

Jadi berapa harganya? ETCM menawarkan Navara Calibre pada harga RM89,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Harga itu murah RM15,000 berbanding model Navara yang lain. Jumlah itu pastinya agak signifikan terutamanya bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan.

Saya boleh katakan bahawa Navara Calibre mungkin pilihan terbaik untuk mereka yang sekadar mahukan sebuah pikap trak dan digunakan di bandar.

Full content generated by Get Full RSS.

Bayangan Land Rover Defender baharu

Posted:

Bayangan Land Rover Defender baharu

Bayangan Land Rover Defender baharu

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


MODEL DC100 sport dengan imej bebas, bumbung kanvas dan cermin hadapan boleh lipat.


TIDAK lama dahulu ada sebuah kereta, lebih tepat kereta itu dikenali dengan nama Proton Saga. Sejarah hidupnya bermula pada tahun 1985 dan sehingga kini masih lagi dijual di bilik pameran.

Sepanjang tempoh 26 tahun itu, hanya dua generasi yang diperkenalkan, generasi pertama ditamatkan pada tahun 2008 dengan pengenalan model baharu sepenuhnya. 23 tahun untuk sebuah model adalah suatu tempoh yang sangat panjang dan merupakan rekod yang saya fikir mustahil dapat dipecahkan oleh model Proton lain.

Begitu juga dengan pengeluar kereta nasional lain, memang tidak mampu terkejar rekod tersebut. Saya tidak pasti sama ada Proton Saga tersenarai atau tidak di dalam Malaysia Book of Records.

Walau bagaimanapun di arena global, produksi yang berlanjutan sehingga berpuluh tahun bukanlah perkara yang aneh. Sudah namanya ekonomi, selagi laris dan diminta oleh pasaran, selagi itulah wujudnya justifikasi kenapa ia tidak harus dihentikan.

Volkswagen Beetle misalnya diproduksikan selama 65 tahun bermula 1938. Antara contoh lain ialah Citroen 2CV yang dihasilkan selama 42 tahun dan Mini pula menjangkau 41 tahun. Kebiasaannya model-model yang malar segar sebegitu mempunyai teknologi yang ringkas. Maka, menjadikannya tahan lasak dan senang diselenggara.

Satu lagi contoh signifikan ialah Land Rover Defender. Model itu begitu banyak digunakan oleh agensi keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga digelar sebagai Black Maria.

Defender mula diperkenalkan pada tahun 1983 dan begitu dipercayai oleh pelanggan setianya. Jika tidak, mustahil agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam menggunakannya sampai sekarang. Sedangkan banyak lagi opsyen lain terutama sekali daripada pengeluar Jepun.

Andai diperhatikan trend sekarang pula, Defender kini menjadi buruan peminat 4X4. Disebabkan kegilaan tersebut, harga terpakai model itu sudah pun berada dalam kategori mahal.

Untuk model gantian Defender, Land Rover telah siap membina dua buah model konsep iaitu DC100 dan DC100 Sport. Kedua-dua model itu ditampilkan buat pertama kali di Amerika Utara pada Pameran Kenderaan Los Angeles (LA) 2011 yang berlangsung pada 16 November 2011.

Land Rover membawa kedua model konsep itu dengan hajat besar iaitu untuk meninjau maklum balas pasaran serta kemungkinan untuk memasarkan kembali Defender ke pasaran Amerika Syarikat (AS).

Dengan mengambil ciri-ciri pada Defender lama seperti rugged, boleh dipercayai serta mesra pengembaraan, kedua-dua model DC 100 Concept dibina untuk mempamerkan potensi kebolehan famili Defender baharu nanti.

Berbeza dengan model pengenalan pada Pameran Kenderaan Frankfurt pada September lalu, model di LA nanti dipasangkan roda off road bersaiz 20 inci yang digabungkan dengan tayar all-terrain Cooper. Model itu juga turut dilengkapi dengan corong udara snorkel serta rak bumbung.

Model DC100 dihias dengan warna Heritage Blue pada badan dan Candy Weiss pada bumbung. Ciri-ciri rekaan yang menarik seperti overhang singkat bagi menampakkan pendekatan yang ekstrem.

Rekaan panel menegak, cermin hadapan yang hampir lurus dengan garisan bahu yang dominan serta wajah tradisi Defender dengan lampu bulat dan gril yang menonjol dengan winch juga diteruskan pada model ini.

Model DC100 Sport mengambil ciri-ciri utama DC100, tetapi menampilkan imej bebas dengan bumbung kanvas dan cermin hadapan yang boleh dilipat bagi menampilkan gayaan bersahaja California.

Selain ciri-ciri rekaan tersebut, DC100 mempunyai teknologi canggih seperti Terrain Response System untuk mengoptimumkan keupayaan kenderaan tanpa memerlukan pra-seleksi daripada pemandu.

Sistem Terrain-i pula mampu untuk mempamerkan peta pintar di dalam format 3D. Sistem itu boleh mengenal pasti bahaya dan akan mencadangkan laluan alternatif. Pada persekitaran bandar pula, sistem sama berupaya mengesan pejalan kaki dan bahaya dengan ketepatan yang tinggi.

Selain dua sistem tersebut, DC 100 mempunyai Wave Aid System yang menggunakan alat pengesan (sensor) sonar pada bahagian hadapan bampar dan cermin sisi bagi mengukur kedalaman air.

Seperti sistem Terrain Response, Wade Aid akan mengoptimumkan kemampuan kenderaan ketika melalui laluan berair dengan menuntup corong-corong pada badan, meninggikan kenderaan, memilih gear rendah dan memberi nasihat untuk kelajuan yang selamat.

John Edwards, Pengarah Jenama Global Land Rover berkata: "Defender sentiasa berada di hati jenama Land Rover. Ia melambangkan semangat boleh pergi ke mana sahaja.

"Cita-cita kami adalah untuk menghasilkan Defender serba baharu untuk pasaran global yang mengekalkan DNA asalnya iaitu lasak, versatil, tahan lama dan berkeupayaan. Pada masa yang sama, ianya akan dibangunkan bersesuaian dengan abad ke-21 dan keperluan generasi akan datang."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved