Sabtu, 17 Mei 2014

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Persahabatan sejati dibawa sampai mati

Posted:

Persahabatan sejati dibawa sampai mati

Persahabatan sejati dibawa sampai mati

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
berita@kosmo@.com.my

Kiri Faizal, Aflin, Syahreedwan


JEMPOL – Gurauan tiga sahabat mahu dikebumikan dalam satu liang semasa bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan di sini menjadi kenyataan apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat buah motosikal malam kelmarin.

Salah seorang daripada mereka enggan menerima upah membersihkan tanah perkuburan tersebut atas alasan dia juga akan dikebumikan di situ apabila meninggal dunia kelak.

Nahas pada pukul 9.30 malam di Jalan Besar Felda Palong 9, 10 dan 11 itu mengorbankan Muhammad Syahreedzwan Mohmad H. Abdullah, 17; Mohamad Aflin Norirfan Md. Jani, 15, dan Muhammad Faizal Jamalludin, 13.

Ketiga-tiga mangsa yang bersahabat sejak kecil di Felda Palong 13 di sini meninggal dunia di Klinik Kesihatan Palong 9 akibat cedera parah.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ajal masa buang air besar

Posted:

Ajal masa buang air besar

Ajal masa buang air besar

Oleh NOR AFIQAH MAT NOR
afiqah.matnor@kosmo.com.my


MAYAT Abul Kashem ditemui mati tertimbus tanah runtuh berkenaan.


SHAH ALAM – Impian seorang lelaki warga Bangladesh untuk berkahwin Julai ini tidak kesampaian apabila dia maut tertimbus tanah ketika sedang membuang air besar di dalam tandas sebuah gudang perabot di Jalan Pekan Subang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Abul Kashem, 43, pekerja gudang perabot berkenaan dikatakan baru masuk ke dalam tandas apabila berlaku runtuhan tanah ekoran hujan lebat dan meranapkan tandas serta sebahagian gudang.

Menurut rakan mangsa, Muhammad Isman, 26, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari situ dan sempat menjerit kepada mangsa apabila melihat tanah setinggi 50 meter menggelongsor dari lereng bukit berhampiran.

"Saya panggil dia sekuat hati namun jeritan tidak didengari Abul. Apabila lihat tanah mula menghampiri kawasan gudang, saya terpaksa menyelamatkan diri sendiri dengan keluar melalui pintu utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! Ahad di tempat kejadian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Najib umum dividen 10 peratus

Posted:

Najib umum dividen 10 peratus

Najib umum dividen 10 peratus

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my


NAJIB (dua dari kiri) bersama Pengerusi Kelab Usahawan 1Azam Parlimen Pekan, Datuk Melati Ali (dua kanan) menunjukkan dividen 10 peratus pada majlis pengumuman dividen DPK dan pelancaran Kelab Usahawan 1Azam Parlimen Pekan di Dataran Pekan, Pekan, Pahang semalam. Kiri ialah Ismail Sabri dan Adnan (kanan).


PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 10 peratus kepada para pelabur Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Beliau berkata, pengumuman dividen kali pertama itu menerusi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) yang dilancarkan pada Disember 2012 adalah manifestasi kepada kejayaan program transformasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

"Walaupun DPK baru dua tahun beroperasi, kejayaan dicapai oleh Nafas merupakan cerminan keberkesanan program-program yang dijalankan sampai ke peringkat akar umbi," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kemenangan Modi buka era baharu di India

Posted:

Kemenangan Modi buka era baharu di India

Kemenangan Modi buka era baharu di India

SEKUMPULAN penyokong menari di hadapan ibu pejabat Parti Bharatiya Janata di New Delhi selepas parti itu memenangi pilihan raya India.


NEW DELHI - Calon Perdana Menteri, Narendra Modi mengisytiharkan India kini memasuki satu 'era baharu' selepas parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya mencipta kemenangan terbesar pada pilihan raya umum negara itu dalam tempoh 30 tahun.

Keputusan awal pilihan raya yang berlangsung selama enam minggu tersebut sejak April lalu menunjukkan BJP yang diketuai Modi bakal menjadi parti tunggal pertama yang menang majoriti kerusi Parlimen sejak tahun 1984.

"India telah menang. Hari yang baik kini tiba," kata Modi dalam satu kenyataan di laman Twitternya.

Kemenangan Modi, 63, yang merupakan anak seorang penjual teh menjangkaui semua ramalan yang dibuat para penganalisis politik sebelum ini.

Kejayaan beliau juga dijangka mengubah lanskap politik India. Ia ekoran Modi memperoleh mandat yang cukup besar untuk melakukan perubahan ekonomi yang dijanjikan BJP sebelum ini tanpa sebarang halangan.

Modi yang sebelum ini merupakan Ketua Menteri Gujarat menerima pujian kerana berjaya mengukuhkan perkembangan ekonomi di negeri tersebut.

Apabila keputusan pilihan raya itu disahkan, beliau bakal menjadi Perdana Menteri India ke-15 menggantikan Perdana Menteri, Manmohan Singh.

"Era baru kini sudah bermula," kata Presiden BJP, Rajnath Singh.

"Bunga teratai kini mekar di seluruh India," tambah beliau yang merujuk bunga yang menjadi simbol parti berkenaan.

Keputusan awal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan BJP memperoleh undi majoriti apabila memenangi lebih 272 kerusi daripada 543 kerusi yang dipertandingkan.

Parti itu dijangka mudah melepasi angka 330 kerusi apabila parti sekutu BJP turut memenangi beberapa kerusi parlimen.

Parti Kongres yang dikuasai oleh keluarga Ghandhi yang memerintah negara itu selama 13 tahun bakal mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila hanya memperoleh tidak sampai 50 kerusi.

Naib presidennya, Rahul Gandhi merupakan calon perdana menteri untuk parti itu.

Parti itu sebelum ini hilang kepercayaan rakyat berikutan skandal rasuah, persengketaan dalaman serta kegagalan untuk mengendali masalah ekonomi, kemiskinan infrastruktur dan pendidikan negara. - AFP

Feri Bangladesh karam dipukul ombak

Posted:

Feri Bangladesh karam dipukul ombak

Feri Bangladesh karam dipukul ombak


SEORANG waris mangsa meratap ketika menunggu berita tentang saudara lelakinya yang menaiki feri M.V. Miraj-4 yang tenggelam di Sungai Meghna, dalam daerah Munshiganj, Bangladesh semalam.


DHAKA - Pasukan penyelamat menemui sekurang-kurangnya 29 mayat sehari selepas sebuah feri karam di dalam sebatang sungai ketika ribut di tengah Bangladesh manakala polis menganggarkan lebih 100 mangsa masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Anggota-anggota penyelam bertungkus-lumus mencari mayat di dalam feri M.V. Miraj-4 yang karam akibat dilanda ombak besar.

Sejumlah mangsa terselamat pula menyalahkan kapten feri itu kerana enggan mencari perlindungan daripada ribut yang akan melanda mereka.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut melancarkan siasatan sama ada feri tersebut membawa terlalu ramai penumpang semasa kejadian.

"Langit bertukar gelap manakala berpuluh-puluh penumpang merayu kepada kapten itu supaya mengemudi feri MV Miraz ke tebing terdekat selepas kami melihat ribut akan melanda," kata seorang mangsa terselamat, Mohammad Ali.

"Namun, dia tidak mempedulikan rayuan kami," tambahnya.

Menurutnya, ribut tersebut mencetuskan tiga ombak gergasi.

"Feri itu condong dan tenggelam selepas dilanggar ombak ketiga," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai berkata, sebanyak 200 hingga 350 orang dipercayai berada di dalam feri sepanjang 30 meter itu ketika ia tenggelam ke dasar Sungai Meghna tengah hari kelmarin.

"Kemalangan ini berlaku di daerah Munshiganj, sekitar 50 kilometer ke selatan ibu kota Bangladesh, Dhaka," kata seorang pegawai daerah, Saiful Hasan.

Feri tersebut berlayar dari Dhaka menuju ke daerah Shariatpur sebelum tenggelam dipukul ombak.

Pegawai polis tempatan, Ferdous Ahmed mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua wanita dan seorang kanak-kanak merupakan antara mangsa yang terkorban.

"Kira-kira 20 hingga 30 orang berjaya berenang ke tebing selepas feri itu karam," kata Ferdous.

Sementara itu, pihak berkuasa menyatakan, sebuah kapal penyelamat tiba di lokasi kejadian manakala sepasukan penyelam telah mengesan feri tersebut dan cuba mengeluarkan mayat-mayat yang terperangkap.

"Saya bimbang banyak mayat masih terperangkap di dalam feri tersebut," kata seorang pegawai bomba, Nurul Alam.

Menurutnya, keadaan sungai yang lebar dan dalam di samping arus deras menyebabkan usaha menyelamat menjadi sukar.

Sebuah kren gergasi turut digunakan untuk cuba mengapungkan feri karam tersebut. - AFP

Bedah kaki sendiri sebab tak mampu

Posted:

Bedah kaki sendiri sebab tak mampu

Bedah kaki sendiri sebab tak mampu

LIU Dunhe memotong kaki sendiri menggunakan serpihan kaca kerana tidak mampu membiayai kos rawatan di hospital.


BEIJING - Seorang petani di China sanggup memotong kedua kakinya dengan kaca tajam kerana tidak mampu membayar kos pembedahan sebanyak AS$1,600 (RM5,175), lapor akhbar Daily News kelmarin.

Kaki Liu Dunhe sebelum ini mereput akibat terdedah pada suhu dingin ketika dia bekerja di ladangnya pada musim sejuk.

Petani yang berusia 44 tahun berkenaan kemudian menggunakan serpihan kaca untuk memotong kedua-dua kakinya.

Namun, dia terpaksa dirawat di hospital apabila luka pada kedua-dua kakinya dijangkiti kuman yang kemudian merebak ke seluruh badannya.

"Saya menggunakan serpihan-serpihan kaca tajam untuk memotong kaki saya. Ia sangat menyakitkan," kata Dunhe.

"Saya terpaksa meminum alkohol untuk membius diri sendiri apabila tidak dapat menahan rasa sakit," tambahnya.

Petani itu menyimpan rahsia dia memotong kakinya sendiri sehingga lukanya dijangkiti kuman.

Bagaimanapun, penduduk kampungnya yang mendapat tahu tentang penderitaan Dunhe mengumpul derma sebanyak AS$3,700 (RM11,645) bagi membiayai kos rawatan lelaki itu.

Lelaki itu dijangka dibenarkan keluar dari hospital tempat dia dirawat dalam masa dua minggu lagi. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


MH370: Aset lebih canggih untuk pencarian fasa baharu - Hishammuddin

Posted:

MH370: Aset lebih canggih untuk pencarian fasa baharu - Hishammuddin

MH370: Aset lebih canggih untuk pencarian fasa baharu - Hishammuddin

17/05/2014 7:50pm

KUALA LUMPUR - Ketika operasi mencari bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac memasuki fasa baharu, aset lebih canggih dan berteknologi tinggi diperlukan untuk pencarian di laut dalam.

Menyatakan demikian, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel di Singapura dalam dua minggu ini untuk memohon penggunaan aset berkenaan.

Hishammuddin berkata, badan komersil yang telah dihubungi untuk operasi mencari di laut dalam ialah syarikat-syarikat minyak dan gas iaitu Petronas, Sapura Kencana, Boustead Holdings Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) dan aset kini amat terhad.

"Adalah mustahak bila saya menemui Setiausaha Hagel dan saya mohon untuk aset lain yang telah dikenalpasti, yang Tentera Laut AS boleh bantu membekalkannya.

"Aset itu ialah sonar imbasan sisi (side-scan sonars)," kata beliau semasa sesi eksklusif bersama media tempatan, di sini hari ini.

Sonar imbasan sisi adalah sistem sonar digunakan untuk mencipta imej kawasan dasar laut yang jauh lebih luas.

Ia mampu memberi pemahaman tentang perbezaan antara bahan dasar laut dengan jenis teksturnya. - Bernama

Lelaki maut dalam nahas di Jalan Tamparuli-Ranau

Posted:

Lelaki maut dalam nahas di Jalan Tamparuli-Ranau

Lelaki maut dalam nahas di Jalan Tamparuli-Ranau

17/05/2014 7:23pm

TUARAN - Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 20.6 Jalan Tamparuli-Ranau berdekatan Kampung Kelawat di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, Koh Tze Guan, 52, yang memandu dari arah Tamparuli ke Ranau, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tuaran manakala isterinya yang duduk di kerusi penumpang depan cedera di tangan kanan dan kepala.

Pemandu sebuah lagi kereta, seorang lelaki berumur 36 tahun, yang turut terlibat dalam nahas itu, cedera parah di kepala manakala penumpang kenderaan berkenaan, seorang wanita, 36, cedera ringan di bahagian perut, dada dan leher.

Pemandu treler dan kelindannya cuma mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abd. Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati treler itu, yang dipandu dari arah Ranau ke Tamparuli, hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas dan merempuh dua kenderaan dari arah bertentangan. - Bernama

Lelaki ditemui tergantung dalam bilik

Posted:

Lelaki ditemui tergantung dalam bilik

Lelaki ditemui tergantung dalam bilik

17/05/2014 7:06pm

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 41 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam bilik tidur rumahnya di Taman Bahagia, Jalan Kota Tanah hari ini.

Mangsa dikenali Chiu Chee Wei ditemui anggota keluarganya dalam keadaan tergantung dengan wayar elektrik yang berada pada dinding bilik itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Chiu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, kini tidak bekerja selepas peniagaan dijalankan sebelum ini tidak berjaya.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Brian tidak kejar anugerah

Posted:

Brian tidak kejar anugerah

Brian tidak kejar anugerah

KARYA dirinya bertunas mekar dalam jiwa peminat muzik sejak dia mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian kira-kira 22 tahun yang lalu. Lagu demi lagu yang dihasilkan dilihat bertepatan dengan kegilaan muzik genre R&B yang pernah melanda dunia sekitar tahun 1990 hingga 2000.

Justeru, tidak hairanlah jika tuan empunya nama, Brian McKnight, 45, pernah dicalonkan sebanyak 16 kali menerusi pengiktirafan muzik paling berprestij, Anugerah Grammy.

Sungguh pun banyak menerima pencalonan, entah apa silapnya, Brian tidak pernah sekali pun menjulang sebarang anugerah daripada beberapa kategori yang melayakkan dirinya tersenarai sebagai calon Grammy.

Malah, selepas kejayaan lagu Back at One, namanya seperti tenggelam dalam anjakan perubahan yang berlaku dalam industri muzik dunia.

Ketika berpeluang bertemu dengan Brian sehari sebelum dia mengadakan persembahan bagi Konsert An Intimate Evening with Brian McKnight di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, penyanyi kelahiran Buffolo, New York, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, tujuan asal dia mencipta lagu bukan untuk meraih sebarang anugerah.

Sebaliknya, lagu-lagu yang digarap olehnya digunakan sebagai sebuah medium untuk melakar cerita dan pada masa yang sama berkongsi penceritaan itu dengan para peminat.

Tidak buru anugerah

"Ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang penulisan lagu, tidak pernah terdetik di minda saya untuk mencipta sebuah karya semata-mata untuk mendapatkan anugerah.

"Saya tidak boleh bayangkan jika setiap lagu yang dicipta adalah bertujuan untuk meraih pengiktirafan. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penulis dan penyanyi. Sebarang keputusan terletak pada tangan mereka yang memilih," katanya.


MESRA. Terkenal dengan sikapnya yang mesra peminat, Brian tidak jemu-jemu berbual dengan penonton sepanjang konsert berlangsung.


Walaupun anugerah atau pengiktirafan sering dikaitkan dengan pencapaian sesetengah artis, namun, apa yang penting buat Brian ialah interpretasi para peminat terhadap lagu-lagu ciptaannya.

"Sudah tiba masanya kita bersatu dengan lagu yang kita gemari. Ia kedengaran sedikit janggal tetapi itu hakikat yang sebenar.

"Mungkin 10 atau 20 tahun yang akan datang, kita akan mendapat memori yang indah di sebalik lagu yang kita gemari pada masa sekarang," ujar Brian sambil menyifatkan penciptaan lagu sememangnya sudah sebati dalam dirinya sejak kecil lagi.

Refleksi diri

Ketika berbicara tentang lagu yang telah ditulis olehnya, bapa kepada tiga cahaya mata, Brian Jr., Clyde dan Niko ini mengakui, dia tidak dapat melabelkan sebarang karya yang boleh dikategorikan sebagai karya kegemarannya sepanjang bergelar penulis lagu.

Kata Brian, dia melihat lagu-lagunya sama seperti dia melihat tiga orang anaknya. Memilih lagu yang digemari merupakan satu tindakan yang sangat mustahil.

"Apabila saya mencipta lagu, saya membangunkan komposisi lagu tersebut secara berseorangan. Boleh dikatakan hampir 95 peratus kerja-kerja mencipta sehinggalah mengadun dilakukan oleh saya.

"Menerusi proses ini, saya bukan sahaja berkembang sebagai seorang penyanyi atau penulis lagu, malah saya juga turut berkembang sebagai seorang individu, suami dan ayah.

"Disebabkan itu, semua lagu-lagu ciptaan saya adalah istimewa," tuturnya sambil tersenyum.

Muzik berubah

Melanjutkan bicara mengenai penerbitan lagu-lagu untuk penyanyi lain, Brian berkata, perubahan yang berlaku terhadap permintaan jenis muzik berbeza oleh syarikat rakaman membuatkan dia terpaksa memperlahankan aktiviti tersebut sejak akhir-akhir ini.


BERTEMANKAN sekumpulan pemuzik kecil, Brian berjaya menarik perhatian ribuan penonton yang hadir untuk ikut menyanyi bersamanya.


"Sejak kebelakangan ini, permintaan terhadap lagu-lagu berentak R&B semakin berkurangan. Apa yang saya tulis tidak kena dengan trend lagu-lagu pada masa kini.

"Jadi, lebih baik saya menerbitkan lagu untuk diri sendiri," jelas Brian yang kini sedang sibuk menguruskan projek interaktif bersama peminat menerusi laman web rasmi miliknya.

Projek yang diberi nama Brian McKnight Interactive ini merupakan sebuah platform bagi para peminat untuk memuat turun lagu dan melihat secara eksklusif kerja-kerja belakang tabir yang melibatkan pembikinan album terbaharunya dalam tempoh setahun.

"Setiap bulan, mereka akan berpeluang memuat turun sebuah lagu baharu di samping beberapa trek bonus. Apa yang mereka perlu lakukan ialah mendaftar sebagai ahli di www.mcknight360.com dan membayar sebanyak AS$12 (RM39).

"Pada penghujung tahun nanti, mereka akan mendapat sebuah album penuh berserta klip video bagi setiap lagu-lagu tersebut," ujarnya.

Cakra tunai nazar

Posted:

Cakra tunai nazar

Cakra tunai nazar

Oleh IZWAN MOHD. ISA

CAKRA KHAN pernah menjadi penyanyi jalanan yang dibayar hanya sebanyak 80 sen untuk sesebuah lagu yang didendangkannya.


"INSYA-ALLAH, saya akan menghantar ibu, kakak dan suaminya ke Mekah untuk menunaikan umrah awal tahun hadapan" tutur tuan empunya nama, Cakra Konta Paryaman atau Cakra Khan sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, dia telah bernazar untuk menghantar ibunya ke Tanah Suci ketika namanya masih belum dikenali oleh khalayak umum lagi.

"Sebelum bergelar penyanyi, saya pernah memberitahu ibu saya bahawa saya akan menghantarnya menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah suatu hari nanti. Ketika itu, ibu saya hanya membalas dengan menguntumkan senyuman.

"Alhamdulillah, atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, niat saya akhirnya tercapai. Jika diberi kesempatan, saya akan menghantar ibu saya ke Mekah sekali untuk menunaikan fardu haji pada tahun yang berikutnya," ujar anak jati Pangandaran, Indonesia itu.

Menangis

Pada petang itu, Cakra turut menghiburkan tetamu yang hadir dengan seleksi lagu-lagu yang terdapat dalam albumnya termasuklah sebuah lagu berbahasa Inggeris, A Song For Mama.

Ternyata sayu dibuai emosi, Cakra tidak dapat menahan perasaan sebak lalu mengalirkan air mata saat mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan R&B terkenal, Boyz II Men itu.

Ditanya apa yang membuatkannya menangis, Cakra berkata, dia berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membawa ibunya bersama ke Kuala Lumpur untuk meraikan hari bersejarahnya di sini.

"Ibu saya tidak dapat hadir bersama kerana mempunyai masalah dengan pasportnya. Ya, saya berasa sedih kerana dia tidak ada bersama ketika saya melancarkan album," ujarnya.

Melanjutkan perbualan mengenai ibunya, wanita bernama Entik Trisuyatmi itu merupakan tulang belakang terhadap setiap perkembangan kariernya sebagai seorang penyanyi.

"Walaupun ibu saya berada di Indonesia, dia tidak pernah lupa mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendoakan agar segalanya berjalan dengan lancar," ujarnya lagi.

FIGURA ini menegaskan, dia menjadi penyanyi kerana mahu menjadi dirinya sendiri.


YouTube

Perjalanan karier Cakra Khan sebagai seorang penyanyi tidak bermula dengan mudah. Jejaka ini pernah menyanyi di jalanan bersama rakan-rakannya dan diberi bayaran sebanyak 2 ribu rupiah (RM0.80) untuk sebuah lagu.

Namun, selepas memuat naik beberapa buah video di laman YouTube, nasibnya sebagai penyanyi berubah sama sekali.

"Ketika aktif menyanyi di kelab-kelab malam dan kafe, saya sering diminta untuk menyanyikan lagu-lagu tertentu oleh para pelancong yang melawat Indonesia.

"Tidak berkesempatan untuk berbuat demikian secara langsung, saya merakamkan lagu-lagu yang diminta dalam bentuk video dan memuat naik ke akaun YouTube. Sehinggakan, ada seorang peminat dari Amsterdam mengundang saya untuk menyanyi di sana.

"Menariknya, dia bukan warga Indonesia dan meminati lagu-lagu saduran saya menerusi rakaman video di YouTube," ujar Cakra yang tidak berkesempatan memenuhi undangan tersebut kerana mahu menghormati bulan Ramadan ketika itu.

Bukan bersaing

Jika dilihat pada lambakan penyanyi lelaki yang mempertaruhkan vokal sebagai aset utama, nama Cakra dan penyanyi Afgan sering dibanding-bandingkan.

Ketika ditebak dengan isu perbandingan itu, Cakra memberitahu, kewujudannya sebagai seorang anak seni bukan untuk bersaing, tetapi lebih memperbaiki mutu dan kualiti industri muzik di negara-negara nusantara.

"Saya menyanyi kerana saya mahu menjadi diri sendiri. Saya tidak takut pada persaingan kerana tujuan asal saya menyanyi adalah untuk menyalurkan minat saya pada orang ramai," katanya yang cukup berbangga dengan kelahiran album sulungnya itu.

Lana bosan jadi penggoda

Posted:

Lana bosan jadi penggoda

Lana bosan jadi penggoda

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

LANA NODIN memberitahu, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia selepas menunaikan umrah pada Februari lalu.


SEJAK pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada bulan Februari lalu, Sabtu lalu barulah Kosmo! berkesempatan bertemu dengan pelakon sensasi, Lana Nodin.

Menariknya, ketika Lana, 35, meluangkan masa untuk hadir ke acara Potret Bersama Selebriti sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2014 yang berlangsung di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas, pelakon filem Chow Kit itu turut ditemani ibu tersayang, Zaimah, 60.

Malah, dia juga turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra serta bergambar dengan peminat di studio mini khas Kosmo! yang disediakan.

Kosmo! berbicara bersama Lana tentang kehidupannya kini dan perkembangan kariernya.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang pengalaman Lana sepanjang mengerjakan ibadah umrah di Mekah pada bulan Februari lalu?

LANA: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan sudah menjadi rezeki saya apabila dapat mencium batu Hajarul Aswad.

Cuma, tempoh selama 12 hari mengerjakan umrah dirasakan tidak puas dan seboleh-bolehnya saya mahu berada di sana lebih lama lagi.

Apakah doa anda ketika berada di depan Kaabah?

Sudah tentu doa saya di depan Kaabah itu adalah rahsia diri saya sendiri. Bagaimanapun, saya akui memang ada berdoa untuk mendapatkan jodoh ketika di Jabal Rahmah.

Bagaimanakah dengan perkembangan terbaharu kerjaya lakonan anda sekarang?

Setakat ini tawaran berlakon memang banyak yang diterima, tetapi kebanyakannya masih belum muktamad lagi. Selagi tidak menandatangani apa-apa kontrak, saya tidak berani untuk bercerita. Namun begitu, saya mungkin akan terlibat dengan sebuah drama bersiri untuk terbitan RTM dan sebuah lagi super telemovie.

Adakah sejak pulang dari menunaikan ibadah umrah, anda menjadi selektif untuk memilih tawaran lakonan?

Kalau diikutkan sebelum menunaikan ibadah umrah pun saya sudah selektif memandangkan sering kali ditawarkan watak yang sama iaitu perempuan penggoda, sedangkan saya ingin watak yang lebih mencabar untuk perkembangan karier lakonan saya.

Seboleh-bolehnya, saya meminta supaya penerbit atau pengarah dapat menawarkan watak yang belum pernah saya bawakan lagi. Kalau untuk watak penggoda pula, rasanya lebih sesuai diberikan kepada pelakon baharu.

Selain lakonan, apakah aktiviti lain yang anda lakukan sekarang?

Sebenarnya, saya bakal melancarkan sebuah pusat kecantikan dalam tempoh terdekat ini dan sekarang ia masih lagi dalam proses perbincangan untuk fasa terakhir. Sekiranya semua proses sudah selesai, saya akan membuat satu majlis pelancaran produk terbaharu saya ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Anjing pemandu pertama di Malaysia

Posted:

Anjing pemandu pertama di Malaysia

Anjing pemandu pertama di Malaysia

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARIA
diyanatul.atiqah@kosmo.com.my

DIA merupakan seorang bayi yang sihat ketika dilahirkan di hospital Tung Shin pada tahun 1962. Bagaimanapun, selepas empat dekad menjalani kehidupan, dia disahkan menghidapi glaukoma iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan kerosakan berterusan pada saraf optik mata, sekali gus mengakibatkan buta.

Stevens Chan, 52, mengakui pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan. Dia tidak pernah putus asa mencuba pelbagai rawatan, sama ada secara tradisional mahupun moden bagi melambatkan proses kebutaan, namun segala usahanya tidak membuahkan hasil.

Namun, dengan sokongan isteri, Kaye Chan, 48, Stevens tetap meneruskan kehidupan, tetapi sebagai bayi yang baru belajar berjalan.

"Saya takut untuk bergerak dan berjalan. Pernah suatu ketika saya terjatuh ke dalam longkang besar kerana ia tidak ditutupkan oleh pihak bertanggungjawab selepas menjalankan penyelenggaraan.

"Akibatnya, kaki saya cedera dan mengambil masa sebulan untuk sembuh. Tetapi saya sudah 'kebal' dengan kecederaan kerana jatuh," ujarnya yang turut memberitahu, keadaan matanya turut memberi kesan kepada periuk nasinya.

Tambah lelaki ini, dia juga perlu mempelajari cara menggunakan tongkat dengan betul dan menajamkan daya hafalan untuk mobiliti.

Setelah 'imun' dengan kegelapan, Stevens menubuhkan Persatuan Glaukoma Malaysia pada tahun 2009 bagi membantu penghidap sepertinya.

Bagaimanapun, titik tolak kehidupannya mula berubah sejak dua tahun lalu, apabila isterinya membawa pulang sekeping cakera video digital filem Jepun yang menceritakan kisah seekor anjing pemandu dengan tuannya.

Kaye membantu dirinya memberi gambaran bagaimana watak seekor anjing menjadi 'tongkat' buat tuannya dalam filem bertajuk Quill itu.

Teruja melihat kejayaan anjing pemandu, Stevens mencari jalan untuk mendapatkan seekor anjing untuk dirinya dan berhijrah ke China bersama isteri pada tahun 2012 dan kembali ke Malaysia dua tahun selepas itu.

KINI Stevens mampu bergerak sendiri tanpa perasaan teragak-agak dengan bantuan Lashawn.


"Sebelum ke sana kami telah membuat kajian dan mengetahui bahawa Akademi Polis Nanjing ada menyediakan latihan untuk anjing pemandu.

"Akademi itu antara yang terbaik dan mempunyai pakar dari Jepun untuk melatih anjing," jelasnya.

Setelah dua tahun menyemai benih di China, akhirnya Stevens mempunyai anjing pemandu sendiri, sekali gus menjadikan haiwan itu anjing pemandu pertama di Malaysia.

Sekali imbas lelaki yang dahulunya teragak-agak untuk berjalan itu, kelihatan seperti sedang membawa anjing peliharaannya bersiar-siar sambil memakai cermin mata hitam untuk menghalang sinaran ultra ungu.

"Anjing ini bernama Lashawn Chan dan merupakan anjing pemandu pertama di Malaysia.

"Lashawn merupakan anjing jantan baka Labrador yang dilahirkan di Nanjing, China dan mendapat latihan khas di Akademi Polis Nanjing sebelum dibawa masuk ke negara ini awal bulan lalu selepas melalui prosedur kuarantin selama tujuh hari," katanya Lashawn kini berusia dua tahun.

Tahap mobiliti

Menjelaskan penggunaan anjing pemandu, Stevens berkata kaedah tersebut bukanlah satu perkara baharu di dunia kerana ia telah lama digunakan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

Sekolah latihan anjing pemandu pertama telah ditubuhkan di Jerman pada Perang Dunia Pertama bagi meningkatkan tahap mobiliti askar yang hilang penglihatan semasa berperang.

Anjing pemandu mula mendapat perhatian global selepas warga AS, Dorothy Harrison Eutis yang menetap di Switzerland menulis tentang panduan sekolah anjing pemandu di Potsdam, Jerman. Panduan itu diterbitkan dalam akhbar The Saturday Evening Post pada 1927.


ANJING dikatakan haiwan yang setia kepada pemiliknya.


Namun, perkembangan anjing pemandu di AS tidak begitu ketara sehinggalah seorang penduduk di Nashville, Morris Frank pulang dari Switzerland selepas melatih seekor anjing shepherd betina bernama Buddy.

Keserasian Frank dan Buddy telah meyakinkan penduduk AS tentang kemampuan anjing tersebut dan sejak itu hotel, pengangkutan awam dan kawasan lain telah dibuka untuk anjing pemandu.

Tambahnya, di China anjing tidak dibenarkan berkeliaran. Baik menjadi haiwan peliharaan atau digunakan untuk membuat pekerjaan seperti anjing pengesan atau pemandu. Sehingga kini, Lashawn telah dibawa menyesuaikan dirinya di jalan-jalan di kediaman Stevens, di Serdang, Selangor dan berjalan-jalan di Subang serta Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Ini kerana, anjing pemandu dilatih untuk mengenali sesuatu kawasan dan halangannya selain diajar mengenal pasti jalan dengan kata kunci seperti hentian bas, jalan besar dan kereta.

Ujarnya, kos melatih anjing ditampung daripada dana syarikat khidmat sosial Dialogue in the Dark yang diasaskannya pada tahun lalu.

Sehingga kini, Stevens telah melatih lima ekor anjing pemandu dengan jumlah keseluruhan kos RM250,000. Aset itu merupakan salah satu kempen Dogs for Sight di bawah projek syarikat tersebut.

Teman setia

Mengulas lanjut, Kaye memberitahu, bukan semua anjing boleh dilatih menjadi anjing pemandu. Baka anjing yang sesuai ialah Labrador dan German Sherperd. Anjing jenis itu dikatakan lebih bijak dan cepat belajar.

Anjing yang berusia lebih enam minggu merupakan umur yang sesuai untuk dilatih. Pada ketika itu, anjing akan dibawa ke rumah untuk mengenali ahli keluarga tuannya dan menyesuaikan diri.

Disebabkan itu, anjing pemandu bukan sahaja memainkan peranan sebagai penunjuk arah jalan, tetapi sebagai teman hidup tuannya yang setia.

Menurut Kaye yang terlibat sama dalam pemerhatian latihan, anjing-anjing itu akan diberikan kepada orang kelainan upaya (OKU) yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Antara kriterianya ialah OKU itu mestilah mempunyai keserasian yang baik dengan anjing dan bekerja.

"Kami berharap dengan kemudahan ini, seseorang yang cacat penglihatan bukan sahaja dapat berjalan dengan lebih laju, tetapi mereka akan turut diberi peluang meneruskan hidup dengan tawaran pekerjaan lebih baik," ujarnya.


ANJING pemandu jenis German Sherperd ini dilatih selama dua tahun di Akademi Polis Nanjing, China sebelum dibenarkan berkhidmat.– Gambar hiasan


Melontarkan pandangan peribadi, pegawai kemudahan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Muhammad Fairuz Abdullah, 60, berkata, usaha memperkenalkan anjing pemandu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Antara perkara yang menjadi keutamaan ialah luas kawasan yang dibenarkan membawa anjing masuk, selain mengambil kira syariat tentang anjing dalam agama Islam.

Ujarnya, tidak semua pusat beli-belah membenarkan haiwan peliharaan seperti anjing dibawa masuk, begitu juga pengangkutan awam di negara ini.

"Kita bercakap mengenai amalan dan budaya yang bagi saya sukar ditembusi apabila melibatkan anjing pemandu.

"Sekali pun ada yang mampu memiliki anjing pemandu, kemudahan itu tidak dapat digunakan sepenuhnya di dalam negara kerana hanya beberapa kawasan kecil dibenarkan membawa anjing," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, secara holistik anjing pemandu boleh membantu meningkat produktiviti OKU cacat penglihatan, tetapi hanya di negara yang sudah mengamalkan sejak sekian lama.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman http://dogsforsight.saveonesight.org/.

Godzilla baharu dikecam gemuk

Posted:

Godzilla baharu dikecam gemuk

Godzilla baharu dikecam gemuk


KRONOLOGI perubahan bentuk badan raksasa Godzilla bermula tahun 1954 hingga 2014.


PEMINAT-PEMINAT legenda Godzilla dari Jepun mengecam raksasa baharu dalam filem bikin semula di Hollywood selepas era perang klasik sebagai terlalu gemuk dan bersaiz super.

Versi terbaharu binatang gergasi itu melanda skrin 3D di Amerika Syarikat (AS) mulai semalam dan di Jepun dua bulan lagi iaitu pada ulang tahun Cicak Besar Jepun ke-60.

Trailer dan promosi filem tersebut masih rancak dilakukan dalam usaha pasukan pemasaran mewujudkan keseronokan, namun peminat Jepun mengecam bahawa 'hero' mereka itu kelihatan montel.

"Sebelum ini, saya hanya melihat bayangan Godzilla baharu dan agak terkejut apabila melihat yang sebenarnya.

"Ia gemuk bermula dari leher dan sangat besar di bahagian bawah," kata Fumihiko Abe, 51, yang sentiasa mengikuti filem Godzilla yang dihasilkan sehingga hari ini.

Abe memberitahu, versi Godzilla pada tahun 1998 pula adalah lebih seperti dinosaur yang bergerak pantas berbanding raksasa berkaki besar.

Raksasa janaan komputer tersebut yang digambarkan mengamuk di kota New York, AS ditolak dalam kalangan kultus Jepun kerana tidak setanding dengan binatang raksasa yang mengganas di Tokyo selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, versi baharu itu kelihatan lebih mengujakan, kata Abe.


LEGENDA Godzilla baharu ini dikecam kerana bentuk tubuh badannya yang gemuk.


Teruja

"Saya dapat rasakan keagungan Godzilla baharu ini. Saya berminat untuk melihat bagaimana beratnya (Godzilla) dipersembahkan dalam filem baharu tersebut," katanya ketika melawat pameran lukisan Godzilla di Tokyo.

Bagaimanapun, peminat lain yang berforum dalam internet kurang bersetuju. Salah satu komen, penciptaan raksasa itu lebih kelihatan seperti tampalan dan kaku seperti 'Marshmallow Godzilla'.

"Ia dihasilkan dengan saiz super," komen seorang peminat sambil merujuk hidangan makanan lebih besar boleh didapati di restoran-restoran makanan segera di AS.

"Memang benar bahawa anda akan memperoleh berat badan di AS. Ia raksasa kalori," kata seorang peminat lagi.

"Ia Godzilla Deluxe," seloroh yang lain dengan merujuk kepada set pakaian (Godzilla) yang berat dan beropol dalam televisyen Jepun.

Filem Godzilla ditayangkan pada tahun 1954 dengan judul Godzilla, King of the Monster yang merupakan siri filem pertama raksasa mengamuk di bumi terbitan Studio Toho di Tokyo.

Pada masa itu, set salinan Godzilla adalah seberat 90 kilogram dihasilkan daripada susu getah hingga menyebabkan pelakon yang memakainya tercungap-cungap dan bermandi peluh.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved