Khamis, 15 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Fukushima 'cinta' baharu Choo

Posted:

Fukushima 'cinta' baharu Choo

Fukushima 'cinta' baharu Choo

JIMMY CHOO, sinonim dengan jenama kasut mewah yang mencecah harga ratusan ribu ringgit sepasang dan pernah dipakai oleh selebriti berprofil tinggi seperti Madonna dan kerabat diraja Britain. Jenama ini diambil sempena nama seorang 'tukang kasut' kelahiran Malaysia.

Dilahirkan sebagai anak tukang kasut, darah seni yang mengalir menjadi bonus untuk Choo melakar sejarah sebagai pereka dan tukang kasut terkenal seantero dunia.

Choo, anak jati Pulau Pinang ini membangunkan empayar Jimmy Choo yang diasaskan di kota London sebaik menamatkan pengajiannya di sana.

Jenamanya dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM5.48 bilion) yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia termasuklah di Asia, Asia Barat, benua Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika.

Beliau mengharungi zaman yang memeritkan pada empat tahun pertama ketika cuba memperkenalkan hasil tangannya sebelum mendapat liputan meluas dalam media antarabangsa.

Seluruh dunia

Usahanya selama bertahun-tahun membina empayar rekaan kasut yang menggunakan namanya sendiri berbaloi apabila kasut hasil tangannya berulang kali dipaparkan dalam rancangan televisyen yang berprofil tinggi seperti siri drama komedi popular, Sex And The City.

Kasutnya telah dipakai oleh pelakon drama tersebut yang memperkenalkan ciptaannya ke seluruh dunia selain dipakai oleh kerabat diraja Britain, Puteri Diana.

Sejak itu, jenama kasutnya menjadi bualan hangat. Jenama Jimmy Choo berkembang menjadi satu jenama mewah di dunia yang merangkumi pelbagai produk lain seperti kasut, beg tangan, barangan kulit, skaf, cermin mata dan wangian.


SUTERA Kawamata merupakan sutera yang berkualiti tinggi dan paling nipis di dunia yang dihasilkan di pekan Kawamata, Fukushima. - Gambar hiasan


Pada tahun 1996, Choo dan bekas editor aksesori majalah Vogue, Tamara Mellon menubuhkan syarikat dengan bermodalkan 150,000 pound sterling (RM739,420) bagi memajukan syarikat Jimmy Choo Ltd.

Jenamanya kini utuh walaupun tidak lagi menjadi miliknya setelah beliau mula menjual kepentingan dan sahamnya dalam syarikat pada tahun 2001 kepada pelabur luar yang bernilai £10 juta.

Mellon dalam satu rancangan televisyen di Amerika Syarikat pada tahun lepas memberitahu, dia adalah pencetus idea kreatif di sebalik kerjasama yang terjalin antara dirinya denga Choo.

Choo yang pernah disingkirkan Mellon disifatkan sebagai tukang kasut yang tidak pernah menyerah kalah dan tidak pernah meninggalkan pensel untuk mereka sepasang kasut.

Choo, rakan kongsi Mellon itu tidak pernah mengulas tentang tuntutan-tuntutan yang dibuat wanita itu sebaliknya menegaskan perniagaan yang berjaya tidak boleh berpandukan keuntungan semata-mata.

Sejak berpecah dengan Mellon, Choo terus bergerak ke hadapan dengan menerima tempahan dalam talian secara eksklusif termasuklah daripada Madonna dan wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama.

Walaupun jenama itu sudah tidak menjadi milik empunya nama Jimmy Choo, jiwa seninya sebagai pereka kasut tidak pernah luntur.

Choo yang membuka empayarnya di London memberitahu bahawa dirinya dan syarikat Jimmy Choo, termasuklah ketua eksekutifnya, Pierre Denis mempunyai hubungan dan perjanjian yang baik.

"Antara kami mempunyai perjanjian. Saya akan meneruskan rekaan saya manakala mereka masih menjalankan perusahaan menggunakan jenama Jimmy Choo yang sedia ada.

"Sekarang dan ketika saya berada di London, saya akan mengajak Denis untuk berjumpa dan minum secawan teh bersama sambil membincangkan apa yang telah kami lakukan," kata Choo.

Bagi lelaki ini, hubungannya dan Denis menjadi persahabatan yang penting kerana mereka masih berhubung malah menyokong antara satu sama lain.


FUKUSHIMA menjadi label baharu Jimmy Choo.


"Tahu bagaimana untuk menghormati orang, itu adalah sangat penting. Jika anda saling menyenangi dan suka antara satu sama lain, anda akan berjaya.

"Ia tidak boleh menghasilkan wang yang banyak tetapi boleh menghasilkan cinta yang banyak. Cinta ini sangat penting kepada dunia dan masyarakat," ujar 'tukang kasut' ini.

Label sendiri

Jelas Choo, mana-mana perusahaan perlu melibatkan kerjasama antara pasukan yang baik jika ingin berjaya.

"Bayangkan, andai anda dan saya memulakan satu perkongsian, jika anda tidak mewujudkan satu pasukan dengan saya dan tidak tahu bagaimana untuk saling menyayangi dalam mempromosikan syarikat, ia tidak akan berhasil," ujarnya.

Beliau kini lebih gembira dengan caranya sekarang kerana merasakan dirinya boleh fokus kepada kualiti dan mencipta legasi yang berasaskan prinsip yang dipegangnya.

Beliau tidak perlu bimbang tentang kewangan, tetapi hanya mahu memberikan balik apa yang dirinya ada kepada pelajar-pelajar dan masyarakat.

"Saya mahu orang mengingati saya, bagaimana saya mempelajari sesuatu daripada bapa saya dan belajar di sekolah ketika menjadi seorang pelajar.

"Saya bekerja dalam industri dan saya mahu menyumbang semula kepada industri," jelas Choo dalam majlis pelancaran kasut yang direka secara eksklusif di Fukushima baru-baru ini.

Beliau gembira untuk memberi fokus kepada ciptaan eksklusif yang menggunakan label sendiri dan tidak dikaitkan dengan jenama (Jimmy Choo) yang dipopularkannya dahulu.

Tiga pasang kasut yang direka Choo menggunakan bahan yang berasal daripada Fukushima telah dipamerkan semasa beliau memberikan ceramah di sana.


KASUT eksklusif rekaan Choo menggabungkan bahan-bahan dari Fukushima, Jepun.


Rekaan kasut tersebut menggunakan bahan-bahan dan kaedah daripada Fukushima iaitu kawasan yang masih mengalami kesan bencana nuklear pada 2011.

Tambah Choo, beliau begitu tertarik dengan hasil tangan tukang tempatan dan beliau telah terinspirasi untuk menghasilkan enam pasang kasut yang menggunakan kapas Aizu, lacquerware dan sutera Kawamata buatan tangan yang berusia ratusan tahun.

Kata Choo, kemahiran yang dimiliki penduduk tempatan mampu untuk mengembalikan kekayaan kawasan yang berpuluh-puluh ribu penduduknya menjadi pelarian ekoran radiasi nuklear.

"Sesiapa sahaja boleh mereka bentuk, namun adakah mereka boleh menjadi seorang tukang?," ujar Choo. – AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Abdul Samah dilantik Ketua Polis Selangor baharu

Posted:

Abdul Samah dilantik Ketua Polis Selangor baharu

Abdul Samah dilantik Ketua Polis Selangor baharu

MOHD. SHUKRI (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Abdul Samah (kanan) sambil disaksikan Mohamad Fuzi pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam baru-baru ini.


SERAH TUGAS. Datuk Abdul Samah Mat dilantik sebagai Ketua Polis Selangor baharu menggantikan Datuk Mohd. Shukri Dahlan yang bersara wajib pada Rabu lalu.

Majlis serah terima tugas antara Abdul Samah dan Mohd. Shukri disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam baru-baru ini.

Abdul Samah sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Saksi di Jabatan Perdana Menteri.

Mohd. Shukri pula pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Perak dan Terengganu.

60 staf JPS gotong-royong bersihkan Gua Kelam

Posted:

60 staf JPS gotong-royong bersihkan Gua Kelam

60 staf JPS gotong-royong bersihkan Gua Kelam


MAT RAWI (dua dari kiri) diberi penerangan ketika melawat Gua Kelam selepas merasmikan program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar Zon Utara Peringkat Negeri Perlis di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.


GOTONG-ROYONG. Seramai 60 kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berganding bahu untuk membersihkan kawasan sekitar Gua Kelam, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Datuk Abu Hassan Mat Isa berkata, tujuan utama program Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar Zon Utara Peringkat Negeri Perlis 2014 itu adalah untuk merapatkan hubungan kakitangan JAS dengan masyarakat.

"Selain itu, kita ingin menjadikan soal kebersihan yang mencerminkan keperibadian seseorang sebagai keutamaan oleh setiap kakitangan jabatan," katanya.

Selain warga JAS, lebih 20 kakitangan Jabatan Perhutanan Perlis turut terlibat dalam program gotong-royong yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim itu.

Pengantin bersanding naik forklift

Posted:

Pengantin bersanding naik forklift

Pengantin bersanding naik forklift


MOHD. NOOR dan Noor Azura yang diarak menaiki forklift sempat bergambar dengan tetamu yang hadir pada majlis resepsi mereka di Loji Percetakan Utusan Melayu cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.


MERIAH. Majlis persandingan pasangan pengantin, Mohd. Noor Othman, 51, dan Noor Azura Che Amat, 30, berlangsung meriah di pekarangan Loji Percetakan Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu turut mencatat sejarah kerana ia merupakan kali pertama diadakan di loji percetakan tersebut sejak ia mula beroperasi pada tahun 2006.

Mohd. Noor yang juga merupakan kakitangan Utusan Melayu berkata, dia memilih untuk mengadakan majlis persandingan di loji percetakan itu bagi memberi kemudahan kepada semua rakan-rakannya yang turut bertugas di syarikat sama untuk hadir memeriahkan majlis tersebut.

Pasangan pengantin itu turut diraikan dengan bersanding menaiki jentera forklift di hadapan bangunan loji percetakan tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Ahmad Said terlepas hukuman

Posted:

Ahmad Said terlepas hukuman

Ahmad Said terlepas hukuman

GHAZALI (tengah) menjelaskan kekeliruan berhubung tindakannya keluar UMNO di Kuala Terengganu semalam.


PUTRAJAYA - UMNO tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana ketiga-tiga ADUN terbabit telah menyesali perbuatan masing-masing dan kembali menyertai parti itu semula.

Katanya, kemelut politik di Terengganu telah selesai sepenuhnya dan beliau berharap semua pihak tidak lagi mensensasikan perkara tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Sembilan ADUN Sarawak keluar parti

Posted:

Sembilan ADUN Sarawak keluar parti

Sembilan ADUN Sarawak keluar parti


PETER (duduk kiri), Mawan (duduk tengah) dan Soon Koh (duduk kanan) bersama tujuh lagi ADUN yang menyertai parti baharu Teras di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching semalam.


KUCHING - Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom dan bekas Penolong Setiausaha Agung, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Wong Soon Koh meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai parti baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Turut mengikut langkah mereka ialah Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada SPDP termasuk Datuk Sylvester Entri Muran, Datuk Peter Nansian Ngusie, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.

Tiga ADUN daripada SUPP juga mengikut jejak Soon Koh. Mereka ialah Dr. Jerip Susil, Ranum Mina dan Johnicol Rayong.

Seorang ADUN pembangkang, George Lagong daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) juga menyertai Teras.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Sokong usahawan bumiputera

Posted:

Sokong usahawan bumiputera

Sokong usahawan bumiputera

Oleh SUHANA MD. YUSOP
suhana.yusop@kosmo.com.my


NAJIB (dua dari kiri) membelek komponen kenderaan ketika melawat pameran pada majlis perasmian penubuhan Kumpulan Usahawan PUNB dan Seminar Usahawan Automotif di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah memperuntukkan sejumlah RM75 juta bagi tempoh 2014 hingga 2019 untuk terus menyokong para usahawan bumiputera dalam industri automotif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan tersebut bagi menyokong industri automotif, terutamanya dalam aspek pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan.

"Sokongan kerajaan kepada para usahawan bumiputera akan dipergiatkan lagi menerusi kerjasama PUNB dengan pelbagai pihak.

"Antara pihak terbabit termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Unit Perancang Ekonomi, Institut Automotif Malaysia dan agensi kerajaan lain dalam usaha untuk terus memacu perjalanan keusahawanan bumiputera di negara ini," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Tsunami' baharu hoki negara

Posted:

'Tsunami' baharu hoki negara

'Tsunami' baharu hoki negara

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

DHAARMA (kanan) mengakui sudah 'tiada hati' untuk melatih skuad hoki negara.


KALAU tiada angin, masakan pokok bergoyang. Mungkin bidalan kata tersebut sesuai dikaitkan dengan isu baharu dunia hoki tanah air apabila Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui beliau bersedia melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad hoki senior negara.

Perkhabaran itu jelas memberikan impak kepada skuad hoki negara yang bakal beraksi pada Piala Dunia Hoki 2014 di The Hague, Belanda, 31 Mei ini.

Apa yang pasti, kehilangan Dhaarma Raj akan memberikan tamparan hebat kepada Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) untuk mencari pengganti yang sesuai dalam tempoh terdekat ini.

Enggan menjelaskan punca sebenar, Dhaarma Raj menyifatkan beliau seperti sudah 'tiada hati' untuk terus bersama skuad hoki negara.

"Memang saya turun sesi latihan pagi ini (semalam) tetapi saya tidak berpuas hati. Saya masih fikir sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak (sebagai ketua jurulatih hoki negara).

"Mungkin saya akan ambil masa selama satu atau dua hari sebelum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan tugas atau menghantar surat kepada MHC.

"Jika tiada kelibat saya pada sesi latihan esok (hari ini), mungkin ia sudah terjawab (keputusan untuk melepaskan jawatan)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj menganggap bekas jurulatih, Paul Revington dan beberapa pengendali tempatan masih layak untuk mengemudi skuad negara pada kejohanan berprestij itu.

"Jika saya tiada, saya percaya Revington masih boleh bawa (latih) pasukan atau jurulatih-jurulatih tempatan yang lain," ujarnya.

Sebelum ini, Dhaarma Raj yang 'dinaikkan pangkat' daripada skuad remaja ke pasukan senior negara mengambil alih tugas daripada Revington yang melepaskan jawatan ekoran masalah kesihatan pada Januari lalu.

Dalam tempoh lima bulan, Dhaarma Raj telah berjaya menyumbangkan kejayaan dengan muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah, Mac lalu dan tempat ketiga Cabaran Juara-Juara di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Sidka calon baharu dalam senarai FAM

Posted:

Sidka calon baharu dalam senarai FAM

Sidka calon baharu dalam senarai FAM

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


SIDKA bakal tiba di ibu negara dalam masa terdekat untuk menghadiri temuduga dengan FAM.


JAWATAN untuk ketua jurulatih skuad Harimau Malaya nampaknya mendapat perhatian yang agak luar biasa.

Bukan setakat pakar tempatan, malah pakar asing dalam bola sepak pun dilihat berminat untuk mengisi jawatan tersebut.

Selepas beberapa nama besar dikaitkan untuk mengisi jawatan tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menerima permohonan daripada bekas pengendali Iraq, Wolfgang Sidka dan badan induk bola sepak negara itu kini sedang menunggu kedatangannya ke ibu negara untuk perbincangan lanjut.

Sebelum ini, bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla bersama jurulatih Mozambique, Gern Engels antara calon yang berminat untuk melatih skuad Harimau Malaya.

Kini, bekas pemain Werder Breman, Sidka yang berasal dari Jerman dan pernah melatih skuad kebangsaan Iraq dan Bahrain, juga mahu bersaing dengan Milla dan Engels dalam usaha mendapatkan kerusi panas Harimau Malaya tersebut.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, pihaknya masih dalam proses penilaian terakhir sebelum nama jurulatih baharu diumumkan pada Jun nanti.

"Memang benar, kita telah mengadakan perjumpaan (dengan Engles) semalam (kelmarin). Kami dalam proses temuduga dan FAM masih lagi mengenalpasti seorang dua lagi calon untuk sesi temuduga ini.

"Sidka adalah calon terbaharu yang berminat dengan jawatan ini. Kami akan menunggu kedatangannya dalam tempoh terdekat.

"Walaubagaimanapun, setiap nama calon ini selepas me lepasi saringan terakhir, akan dibentangkan dalam Me syuarat Exco FAM untuk mendapat kelulusan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan, Milla dan Engels, ma sing-masingnya telah menyatakan hasrat untuk melatih skuad kebangsaan.

Selain mereka berdua, Rudi Voller (bekas pemain Jerman), Peter Reid (bekas jurulatih Thailand) dan Zdenek Zeman (bekas jurulatih AS Roma) juga dikatakan memasang impian untuk menjadi jurulatih baharu Harimau Malaya.

Begitupun, FAM masih tidak dapat melupakan episod 'luka' dalam misi memburu khidmat jurulatih asing selepas dikecewakan dengan permintaan Phillpe Troussier.

Bekas jurulatih Jepun itu dikatakan menuntut permintaan yang tidak masuk akal sehingga mendorong FAM menutup rundingan dengannya pada Januari lalu.

Rashid curah ilmu berguna

Posted:

Rashid curah ilmu berguna

Rashid curah ilmu berguna

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


RASHID (kiri) membantu skuad negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.


SEMANGAT juang pemain menjadi kunci utama menjelang kempen Piala Thomas 2014 yang akan membuka tirai Ahad ini.

Selepas membuktikannya ketika menjulang trofi Piala Thomas 1992, jurulatih perseorangan kebangsaan, Rashid Sidek turut berharap beliau dapat menerapkan semangat juang yang pernah dipamerkannya dalam skuad negara.

Jelas Rashid, dengan berbekalkan semangat juang berpasukan yang tinggi, beliau percaya Malaysia mempunyai peluang untuk melakukan kejutan pada Piala Thomas 2014 yang akan berakhir pada 25 Mei ini.

Rashid yang pernah menjulang nama negara di Kuala Lumpur pada 1992 berkata, semangat sepasukan yang dipamerkan pada ketika itu menjadi kunci utama kerana mereka juga tidak memiliki barisan pemain yang mantap.

"Yang paling penting ialah tidak patah semangat walaupun kalah. Pada tahun 1992, kami pun tidaklah bagus sangat tetapi kami ada semangat, para pemain mahu memberikan aksi yang terbaik

"Harapan yang diberikan rakyat Malaysia serta tekanan yang kami terima seharusnya dijadikan sebagai cabaran untuk kami tampil dengan lebih baik sebagai satu pasukan," kata Rashid ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Skuad negara bakal berdepan tuan rumah, India untuk aksi pembukaan diikuti Jerman dan naib juara edisi 2012, Korea Selatan dalam peringkat Kumpulan C.

Seramai 10 pemain skuad Piala Thomas negara yang terdiri daripada empat perseorangan dan enam beregu telah mengikuti latihan intensif yang berakhir di Stadium Juara semalam.

Bagaimanapun, persiapan para pemain tidak terhenti sebaliknya mereka perlu menggunakan masa yang ada untuk menyesuaikan diri di venue kejohanan, Kompleks Sukan Siri Fort yang akan bermula Ahad ini.

"Apabila sampai, kami akan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan stadium di sana.

"Tumpuan lebih kepada latihan ringan kerana apa yang saya harap tiada kecederaan berlaku," ujar Rashid.

Pada aksi final Piala Thomas 1992, Malaysia selaku tuan rumah muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-2.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Orang gembira lebih produktif

Posted:

Orang gembira lebih produktif

Orang gembira lebih produktif

MIMIK wajah yang tegang atau relaks mampu mengubah mood manusia.


KEGEMBIRAAN dalam kehidupan mungkin sesuatu yang sangat subjektif. Sesetengah individu yang disangkakan bahagia dan gembira mungkin sedang menanggung beban yang sangat besar di lubuk hati mereka.

Sebaliknya, ada individu yang wajahnya mungkin menunjukkan sedang dilanda masalah. Namun, hakikatnya dia gembira.

Faktor dan punca seseorang itu gembira juga pelbagai. Mungkin ada yang gembira kerana memiliki kekayaan. Selain itu, ada juga mereka yang tetap gembira walaupun tidak mengecap kekayaan.

Sehubungan itu, kita jangan berasa pelik sekiranya melihat individu yang kaya terus mengeluh sepanjang hari. Namun, mereka yang tidak memiliki kekayaan tetap tersenyum sepanjang masa.

Kegembiraan merupakan sesuatu yang sangat subjektif untuk kita semua. Ia bergantung kepada 'apa' dan 'bagaimana' kita mentafsirkan makna hidup.

Terdapat sesetengah perkara yang amat misteri tetapi mampu membuatkan orang gembira. Ia kelihatannya pelik dan janggal.

Kajian

Sebagai contoh, dalam satu kajian oleh seorang ahli psikologi Amerika Syarikat, Robert Zajonc menunjukkan bahawa seseorang itu akan berasa gembira setelah menghasilkan bunyi vokal huruf 'E' yang panjang. Sebaliknya individu akan berasa kecewa sekiranya menghasilkan bunyi 'U' yang panjang.

Kajian beliau yang berikutnya pula menunjukkan bagaimana mimik wajah yang tegang dan relaks mampu mengubah mood manusia.

Hal ini berlaku kerana ia juga mampu mengubah tekanan darah untuk sampai ke bahagian otak dan kemudiannya telah mengubah reaksi mood manusia.

Sungguhpun penemuan seumpama ini masih lagi menjadi topik perdebatan dalam kalangan pengkaji tetapi secara umumnya manusia yang gembira dikatakan lebih beruntung.


KEGEMBIRAAN mampu memberi kesan terhadap usia manusia.


Mereka yang gembira misalnya dikatakan lebih produktif apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Dalam satu kajian beberapa tahun terdahulu menunjukkan bahawa mereka yang gembira mempunyai kebarangkalian untuk hidup 14 peratus lebih lama berbanding dengan individu yang murung.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa mereka yang gembira mampu memanjangkan umur antara 7.5 tahun ke 10 tahun.

Seorang penyelidik, Deborah Danner yang menjalankan kajian di sebuah pusat jagaan warga tua di Notre Dame, Amerika Syarikat menjadi kayu pengukur untuk melihat faktor kegembiraan mampu memberi kesan terhadap usia manusia.

Kajian yang terkenal itu dijalankan sekitar tahun 1991 hingga 1993.

Kesemua peserta dalam kajian itu merupakan bekas pengajar dan biarawati di beberapa daerah di Amerika Syarikat.

Dalam usaha untuk melihat kegembiraan mempunyai kaitan dengan jangka hayat, pengkaji telah juga menyemak kembali rekod autobiografi kumpulan wanita tersebut yang ditulis sekitar tahun 1931 sehingga tahun 1943.

Rekod tersebut menyatakan, sama ada mereka sedang dalam keadaan gembira, bimbang atau mempunyai beberapa simptom psikologi lain.

Bagi laporan individu yang gembira, mereka didapati hidup lebih panjang berbanding mereka yang banyak melaporkan kelukaan dalam menjalani kehidupan.

Sekeping gambar yang memaparkan seramai 196 orang pemain besbol yang tersenyum diambil pada tahun 1952 merupakan contoh nyata. Kajian melaporkan bahawa ia mempunyai kaitan dengan jumlah kematian pemain tersebut pada tahun 2009.

Ia menggambarkan bagaimana manusia yang sering menampilkan senyuman, mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

Mengapa mereka yang gembira ini sering dikaitkan dengan usia yang lebih panjang? Sebenarnya kegembiraan mempunyai implikasi yang lain kepada hidup manusia.


INDIVIDU yang sering senyum mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. - Gambar hiasan


Individu yang gembira dikatakan melakukan aktiviti sihat, terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan mereka juga menghindarkan diri daripada mengambil alkohol dan dadah.

Status ekonomi

Sehubungan itu, mereka mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding yang bermasalah. Mereka yang gembira juga dikaitkan dengan status ekonomi lebih baik dan biasanya tidak mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Individu seperti ini juga dikatakan jarang bermusuhan dengan orang lain atau terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sungguhpun kegembiraan mungkin memberikan isyarat yang baik, bagaimanapun ia tidak semestinya benar dalam semua keadaan.

Satu kajian menunjukkan sekiranya pelajar berusia belasan tahun terlalu gembira dengan kehidupannya, mereka mungkin akan mati lebih awal berbanding rakan yang lain.

Kegembiraan keterlaluan telah menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral seperti dadah, alkohol dan kegiatan jenayah yang lain. Akhirnya mereka cenderung mengalami hidup yang lebih berisiko.

Sebagai manusia, kita perlu bergembira. Kita mungkin terluka apabila ditimpa ujian. Bagaimana pun, sekiranya ujian itu ditafsir sebagai satu cabaran, kita mungkin akan terus tersenyum sekalipun ditimpa bencana.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


900 biasiswa diberi kepada pelajar antarabangsa

Posted:

900 biasiswa diberi kepada pelajar antarabangsa

900 biasiswa diberi kepada pelajar antarabangsa

15/05/2014 10:26pm

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan menawarkan 900 biasiswa kepada pelajar antarabangsa sejak 2000 hingga setakat ini tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kedua Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Beliau berkata, 93 pelajar merupakan pelajar biasa, 802 pelajar lanjutan, Master (369), PhD (433) dan lima pelajar lagi meneruskan pengajian pasca kedoktoran.

Tiga jenis biasiswa ditawarkan iaitu biasiswa antarabangsa Malaysia (MIS), program kerjasama teknikal (MTCP) dan biasiswa Komanwel dan pelan fellowship (CSFP), katanya.

Sebanyak 404 pelajar ditawar biasiswa MTCP, 410 pelajar (MIS) dan 86 pelajar (CSFP).

"Tahun ini sebanyak 252 pelajar aktif di bawah biasiswa MIS, MTCP dan CSFP," katanya pada sesi hari terbuka pelajar antarabangsa di sini hari ini.

Zaini berkata, kementerian itu menyasar 100,000 pelajar antarabangsa menyertai program biasiswa di masa depan bagi mencapai sekurang-kurangnya 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2020.

Mengenai sesi tersebut, beliau berkata ia bertujuan memberi maklumat kepada pelajar luar negara mengenai biasiswa, aspek kesihatan dan pengajian di sini. - Bernama

Maritim Malaysia rampas 3,000 liter petrol bersubsidi di Semporna

Posted:

Maritim Malaysia rampas 3,000 liter petrol bersubsidi di Semporna

Maritim Malaysia rampas 3,000 liter petrol bersubsidi di Semporna

15/05/2014 9:11pm

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 3,000 liter petrol bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui perairan Semporna.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tawau, Komander Maritim Azman Shamsudin berkata, kesemua minyak itu dirampas dalam operasi kira-kira 5.45 petang Selasa lepas di perairan Pulau Larapan.

"Semasa operasi itu kami telah terserempak dengan tiga buah bot yang mencurigakan. Semasa kami cuba menghampiri bot itu, enam individu yang berada di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, mendapati ketiga-tiga bot tersebut dimuatkan dengan 50 tong berisi 20 liter petrol," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi untuk membanteras penyeludupan minyak bersubsidi akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti merugikan negara itu dapat dibendung, katanya. - Bernama

Pemandu lori ditemui mati dekat Hutan Simpan Lesung

Posted:

Pemandu lori ditemui mati dekat Hutan Simpan Lesung

Pemandu lori ditemui mati dekat Hutan Simpan Lesung

15/05/2014 8:34pm

KUANTAN - Mayat seorang lelaki ditemui terbaring berhampiran sebuah lori balak di tepi jalan menghala keluar dari Matau Balak dekat Hutan Simpan Lesung, Rompin petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mayat Chew Fui Yen, 64, juga merupakan pemandu lori balak berkenaan ditemui oleh orang awam kira-kira jam 4.45 petang.

"Sebaik menerima maklumat polis telah bergegas dan hasil siasatan awal mangsa disyaki mati akibat terkena serangan jantung.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat," katanya kepada Bernama hari ini.

Kata Johari, pemeriksaan awal ke atas mayat lelaki itu mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas mangsa. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penentang Bashar di Homs kini berehat

Posted:

Penentang Bashar di Homs kini berehat

Penentang Bashar di Homs kini berehat

BEBERAPA orang penduduk membawa guni mengandungi barang-barang keperluan semasa mereka berjalan di bandar Homs, Syria kelmarin. - REUTERS


DAMSYIK – Para penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang dipindahkan dari Homs selepas bandar itu dikepung selama dua tahun dan dibom hampir setiap hari kini dapat makan dengan cukup dan berehat dengan sepenuhnya.

Namun, ramai antara mereka yang dipindahkan dari bandar itu ingin pulang dan rindukan kampung halaman yang ditinggalkan.

"Pada bulan-bulan terakhir Homs dikepung, kami cuma makan daun-daun kayu.

"Namun, selepas mengharungi segala penderitaan, kami kini makan lapan kali sehari dan dapat tidur nyenyak untuk cuba memulihkan tenaga kami," kata seorang aktivis yang juga anak jati Homs, Abul Joud.

Menurutnya, mereka gembira walaupun hanya menikmati makanan ringkas seperti bawang.

"Kami mengunyah bawang seperti buah epal dan memintanya lagi selepas itu," katanya kepada agensi berita AFP menerusi internet selepas 2,000 orang dengan kebanyakan mereka anggota penentang dipindahkan dari bandar itu ke sebuah kawasan pedalaman di wilayah Homs.

"Kami semua menyangka akan mati tetapi kini kami berasa seperti hidup semula," tambahnya ketika bercakap dari bandar Dar al-Kabireh yang dikuasai pihak penentang.

Namun, Abul Joud berkata, selepas dua tahun merasai pengalaman dikepung di bandar Homs, rakan-rakan kini berasa asing di tempat baharu mereka.

"Kami bersiar-siar di pasar dan terfikir bagaimana semua orang yang kami lihat dapat menjalani kehidupan dengan normal sedangkan kami di Homs telah dibom," ujarnya.

Homs yang hampir keseluruhannya kini berada di bawah penguasaan tentera Bashar pernah digelar ibu kota revolusi suatu masa dahulu kerana berlakunya protes aman yang sering diadakan pada awal kebangkitan rakyat menentang Presiden itu yang didakwa korup dan tidak demokratik pada Mac 2011.

Kumpulan penentang itu kemudian mencapai satu perjanjian dengan tentera Bashar apabila bersetuju untuk tidak lagi bertempur baru-baru ini.

Bashar juga telah mengumumkan pilihan raya Presiden akan diadakan pada 3 Jun depan.

Peperangan saudara di Syria telah menyebabkan lebih 150,000 orang terbunuh. – Agensi

Penunjuk perasaan bakar kilang China

Posted:

Penunjuk perasaan bakar kilang China

Penunjuk perasaan bakar kilang China


BEBERAPA orang berjalan melintasi anggota polis yang mengawal sebuah kilang yang terbakar di Binh Duong, Vietnam semalam. - AFP


HANOI - Beberapa kilang di bandar Binh Duong, Vietnam dibakar kumpulan perusuh semalam dalam satu tunjuk perasaan anti-China bagi membantah tindakan Beijing membina pelantar minyak di satu kawasan yang menjadi rebutan antara dua buah negara berkenaan di Laut China Selatan.

Beijing memberitahu, pihaknya memandang serius keadaan yang berlaku bandar itu selepas beribu-ribu pekerja Vietnam merusuh dengan mencuri barangan dan menyerang para pegawai.

Polis anti-rusuhan terpaksa dihantar ke bandar perindustrian tersebut selepas keganasan yang tercetus menyebabkan beberapa kilang terpaksa menghentikan sementara operasi termasuk sebuah kilang yang membekalkan kasut untuk syarikat Nike dan Adidas.

Selain kilang milik pelabur dari China, beberapa kilang milik syarikat dari Taiwan dan Korea Selatan turut terjejas akibat rusuhan tersebut.

"Api besar membakar beberapa kilang milik syarikat dari Taiwan dan sukar untuk menganggarkan nilai kerugian.

"Serangan itu tidak dijangka akan berlaku," kata seorang lelaki Taiwan yang berjaya menyelamatkan diri dari rusuhan berkenaan.

Pihak polis berkata, mereka sudah menahan seramai 500 orang kerana mencuri dan melakukan kemusnahan.

Seramai 20,000 pekerja berarak di jalan-jalan raya di bandar berkenaan semalam dan sebilangan mereka mula mencuri, menyerang pengawal keselamatan dan pekerja kilang.

Pihak berkuasa memberitahu bahawa, sekurang-kurangnya 15 buah kilang dibakar oleh kumpulan berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, Beijing meminta Hanoi mengambil langkah yang perlu bagi menghentikan rusuhan tersebut dan menghukum mereka yang terlibat.

Kedua-dua negara Komunis tersebut sebelum ini terlibat dalam pertelingkahan kawasan di Laut China Selatan.

Hubungan antara kedua-dua negara itu mula tegang selepas China membina sebuah pelantar minyak di satu kawasan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Ketegangan semakin memuncak beberapa hari lalu apabila sebuah kapal perang China menembak meriam air terhadap sebuah kapal peronda Vietnam yang meronda kawasan berkenaan.

Beijing semalam menuduh beberapa kapal Vietnam merempuh kapal-kapal milik negara itu sebanyak 169 kali.

Bagaimanapun, Hanoi pula menuduh kapal-kapal dari China yang melanggar beberapa kapal negara itu. - AFP

Pistol hanya boleh ditembak jika si penembak pakai jam khas

Posted:

Pistol hanya boleh ditembak jika si penembak pakai jam khas

Pistol hanya boleh ditembak jika si penembak pakai jam khas


GAMBAR menunjukkan pistol Armatix bersama jam tangan khas. - REUTERS


MUNICH, Jerman - Sebuah syarikat pembuat senjata api, Armatix mengeluarkan sepucuk pistol pintar yang hanya boleh ditembak oleh pemiliknya sahaja.

Pistol tersebut hanya boleh ditembak sekiranya si penembak memakai sebuah jam tangan khas yang berkomunikasi dengan satu cip di dalam senjata api berkenaan melalui isyarat radio.

Sekiranya pistol yang dikenali sebagai Armatix iP1 itu digerakkan sejauh 25 sentimeter dari jam berkenaan, ia tidak akan berfungsi.

Pistol itu dijual pada harga AS$1,800 (RM5,794) dan boleh dibeli di laman web syarikat itu di www.armatix.de.

Sebelum ini, seorang pemilik kedai senjata api di negeri Maryland membatalkan rancangan menjual pistol pintar tersebut selepas dikecam banyak pihak termasuk diugut bunuh. - REUTERS

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sam ingin 12 orang anak

Posted:

Sam ingin 12 orang anak

Sam ingin 12 orang anak

BERTEMU dengan pelakon Shaheizy Sam pada majlis pengumumannya sebagai duta produk Kicap Mahsuri di Restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia masih sama seperti dahulu.

Orangnya peramah, berfikir panjang sebelum mengeluarkan kata-kata dan masih membawa ibunya, pelakon Khaty Fauziah ke mana-mana majlis.

Katanya, selain menjalani penggambaran, dia akan sentiasa bersama ibunya yang senang dipanggil sebagai mummy itu.

Sempena sambutan Hari Ibu pada hujung minggu lalu, Sam memberitahu, setiap tahun dia wajib meraikan ibunya itu dengan caranya sendiri.

Jika tidak membeli barang permintaan ibunya, dia akan membawa wanita yang sangat disayanginya dalam hidupnya itu bercuti sama ada dalam atau ke luar negara.

"Saya wajib raikan sambutan Hari Ibu. Tahun ini saya membelikam sesuatu untuk mummy dan mungkin akan bercuti dalam negara sahaja. Malaysia pun banyak tempat menarik yang belum saya lawati," ujarnya.

Sam yang masih tinggal bersama ibunya memberitahu, wanita kesayangannya itu merupakan tulang belakang atas kejayaannya hari ini. Justeru, dia amat selesa untuk membawa ibunya ke mana sahaja kakinya melangkah.

"Ibu yang membentuk saya menjadi Shaheizy Sam hari ini. Dia seorang ibu yang tegas tetapi pada masa yang sama amat menghormati minat dan pendapat anak-anak. Ibu juga mengajar saya supaya sentiasa menjaga hati orang sekeliling.

"Jika saya sedang bekerja di set penggambaran, ketika itu saya tidak mahu diganggu sesiapa termasuk keluarga kerana mahu fokus seratus peratus. Selepas waktu kerja, masa saya hanya untuk keluarga," tuturnya.

Menyentuh tentang soal keluarga, pelakon yang memenangi pelbagai anugerah itu memberitahu, dia sudah lama bersedia untuk menamatkan zaman bujang sementelah usianya sudah menjangkau angka 32 tahun.

Apatah lagi melihat rakan-rakan seusianya sudah mengusung anak masing-masing membuatkan hati kecilnya sedikit cemburu.

"Saya sudah bersedia untuk berkahwin, kalau boleh memang ingin kahwin segera. Impian saya ingin memiliki 12 orang anak kerana saya suka keluarga yang besar.

FIGURA ini mengakui dirinya sudah bersedia untuk berkahwin.


"Seronok bila lihat rakan yang lain bawa anak kecil, saya pula hanya menumpang kasih enam orang anak buah. Jika mahu merealisasikan impian keluarga yang besar saya harus segera kahwin kerana bimbang usia sudah lanjut tetapi anak-anak masih kecil," ujarnya.

Bagaimanapun sehingga hari ini, dia belum bertemu dengan calon isteri yang serasi dengannya.

"Pernah berkawan dengan beberapa wanita tetapi mungkin kerana jodohnya belum tiba, hubungan cinta itu terputus di tengah jalan.

"Bohonglah saya tidak berkawan dengan sesiapa pada usia sebegini. Mungkin belum jodoh, jadi saya belum ada calon isteri.

"Saya hanya mampu berdoa diberikan jodoh terbaik tetapi itu urusan Allah. Bila dan siapa wanita itu, saya sendiri tidak tahu," katanya.

Simpan wang

Berbicara tentang kerjaya lakonannya, Sam mengakui yang dia semakin selektif dalam memilih karya meskipun pada asalnya kerjaya lakonan dijadikan tempat cari makan demi kelangsungan hidup.

Ujarnya, zaman mengambil segala tawaran yang datang sudah berlalu kerana kini dia perlu bijak memilih karya untuk memastikan lakonannya sentiasa dinanti penonton.

"Ketika mula-mula kerja (berlakon) dulu, memang saya bekerja untuk wang. Saya perlukan wang untuk menampung kehidupan dan menyimpan andai terdapat kecemasan dalam ahli keluarga saya.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah dapat menyimpan. Tidaklah mewah tetapi cukup makan dan pakai. Ada lebihan wang, saya gunakan untuk pelaburan demi masa depan sendiri," tuturnya.

Menurutnya lagi, dibesarkan dalam keluarga seni, Sam melihat sendiri perjalanan insan seni sekelilingnya.

Katanya, ada yang hidup melarat kerana tidak beringat sewaktu popular dan ada yang hidupnya stabil kerana mempunyai perancangan rapi untuk masa depan.

"Saya lihat sendiri apa yang berlaku andai kita tidak beringat ketika mempunyai wang. Walaupun niat untuk pakai kereta dan barangan mewah wujud dalam diri, saya tolak jauh-jauh kerana sedar keperluan untuk menyimpan.

"Kerja sebagai pelakon bukanlah satu pekerjaan yang tetap, jadi saya harus bijak menggunakan wang yang ada untuk kelangsungan hidup. Biarlah hidup secara sederhana asalkan tidak menyusahkan orang lain," ujarnya.


SAM berbangga dengan ibunya yang telah menjaga dirinya selama ini.


Menyentuh tentang kemunculan ramai pelakon baharu, Sam langsung tidak bimbang andai dia dilupakan suatu hari nanti oleh peminatnya kerana itu sudah lumrah kehidupan yang harus diterimanya.

"Setiap orang ada jangka hayatnya, begitu juga dengan selebriti. Mungkin sekarang orang ingat pada saya tetapi beberapa tahun akan datang belum tentu lagi. Perkara itu saya tidak boleh kawal.

"Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga mempunyai kejatuhan, inikan pula saya yang tidak sehebat dia. Selagi saya mempunyai kudrat untuk bekerja, saya akan terus berlakon. Orang ingat atau tidak, saya anggap itu rezeki yang diberi Allah," katanya.

Duta produk

Populariti yang diraih Sam membuatkan dia menjadi buruan pelbagai produk untuk mengambilnya sebagai jurucakap. Terbaharu, selepas Nescafe, Sam dilantik sebagai duta produk Kicap Mahsuri.

Kontrak yang ditandatangani selama enam bulan itu diterima Sam kerana realitinya dia seorang penggemar kicap.

"Sebelum menerima sebarang tawaran menjadi duta produk, saya pastikan produk itu dekat dengan diri saya. Produk kicap, saya terima sebab kicap merupakan makanan yang wajib setiap kali saya makan nasi.

"Rasanya ramai lelaki sama seperti saya, cukup jika ada nasi, telur goreng dan kicap. Tambahan pula, Kicap Mahsuri terdapat pelbagai perisa sesuai untuk seisi keluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sam baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Goolll yang mengisahkan tentang peminat ekstrem bola sepak tempatan.

Rujuk, Fiza serah kepada takdir

Posted:

Rujuk, Fiza serah kepada takdir

Rujuk, Fiza serah kepada takdir

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

FIZA reda dengan takdir hidupnya dan sentiasa positif dengan kehidupannya.


DALAM kamus hidup setiap individu yang bergelar isteri, tiada siapa yang sanggup melihat ikatan yang terbina bersama suami terputus di tengah jalan. Apatah lagi jika ikatan itu hadir hanyalah sebentar sebelum masing-masing berpisah membawa haluan sendiri.

Itulah yang dialami oleh penyanyi dan pelakon Fiza Elite, 33, apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama suaminya, Adam AF, hanya mampu bertahan untuk tempoh tujuh bulan sahaja.

Mereka bernikah pada September 2013, sebelum Fiza memfailkan perceraian pada April tahun ini.

Walaupun sudah dua kali melalui episod duka, Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim tetap cekal dan tabah menghadapi situasi tersebut.

Ketika berpeluang berbual dengannya menerusi panggilan telefon semalam, Fiza yang juga merupakan seorang pelakon mengakui tenang dan sentiasa berserah kepada takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Ibu kepada Ferra Aryanna, 6, dan Feeya Adyrra, 5, itu turut berkongsi tentang usahanya memperbaiki diri serta perkembangan terbaharunya sebagai anak seni. Ikuti temu bual selanjutnya:

Kosmo!: Bagaimanakah keadaan Fiza selepas bergelar ibu tunggal?

FIZA: Alhamdulillah, kehidupan saya semakin tenang. Saya menerima apa sahaja yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dengan hati terbuka.

Mengapakah sebelum ini anda terlalu berat untuk memberitahu pihak media tentang kisah sebenar di sebalik keretakan rumah tangga anda?

Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana ingin memberitahu umum tentang kisah perceraian kami. Sebagai seorang manusia biasa, ada beberapa perkara yang boleh dikongsi dan ada yang perlu disimpan.

Mungkin disebabkan saya seorang artis, maka ramai yang ingin mengetahui tentang kisah peribadi kami.

Selepas bercerai, bagaimanakah hubungan anda dengan Adam?

Hubungan kami masih dalam keadaan baik.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, anda seperti mahu berbaik dan merujuk semula dengan Adam. Bolehkah anda komen sedikit mengenai perkara itu?

Dalam setiap perkara, kita sering mengharapkan yang terbaik. Dalam hal ini, saya serahkan kepada kuasa Allah SWT. Disebabkan rencananya saya berkahwin, dan kerana takdirnya juga saya berpisah. Jika Dia berkehendakkan sesuatu, kita tidak boleh menghalang.

BERCERAI tanpa sebarang perbalahan, Fiza dan Adam kini sedang menjalani fasa hidup sebagai janda dan duda.


Jadi, anda tidak menolak jika ditakdirkan kembali bersama?

Saya tidak boleh memberikan sebarang komen dengan lanjut. Sebagai seorang wanita, saya perlu berhati-hati. Banyak hati yang perlu saya jaga. Apa yang boleh saya katakan, doakan sahaja yang terbaik untuk saya.

Masihkah anda menyimpan perasaan terhadap Adam?

Sebagai pasangan yang berpisah tanpa perbalahan, saya akui masih terasa apabila Adam tiada di sisi. Sementelah, saya juga masih dalam tempoh edah dan tidak membuka hati untuk berkenalan dengan lelaki lain.

Sebab itu seperti yang saya katakan tadi, jika Allah berkehendak kami kembali bersama misalnya, saya serahkan segala- nya kepada takdir.

Siapakah yang banyak memberikan sokongan ketika ini?

Kawan baik saya, Lisdawati yang selalu memberikan semangat serta nasihat kepada saya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Buat masa ini saya terlibat dengan program motivasi yang dianjurkan oleh Perbadanan Filem Malaysia (Finas) di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Saya dijemput bagi memberikan ceramah mengenai dunia lakonan. Selain saya, rakan-rakan artis seperti Lisda dan Azza Elite juga turut serta dalam program ini.

Anda dilihat lebih menonjol sebagai pelakon. Adakah anda tidak mahu kembali beraksi di hadapan kamera?

Buat masa ini, saya bercadang untuk memperlahankan karier saya sebagai seorang pelakon.

Namun, saya teringin untuk mencuba bidang lain seperti pengarahan filem atau drama.

Hi-5 versi bahasa Melayu

Posted:

Hi-5 versi bahasa Melayu

Hi-5 versi bahasa Melayu


BARISAN anggota asal Hi-5 (dari kiri), Nathay Foley, Charli Robinson, Tim Harding, Kathleen de Leon Jones dan Kelly Crawford (depan).


BAGI golongan kanak-kanak, rancangan pendidikan berbentuk hiburan pasti menjadi pilihan untuk ditonton. Tambahan, jika rancangan tersebut menyediakan platform pendidikan secara tidak formal menerusi format penceritaan, nyanyian dan tarian.

Justeru, melihatkan pada skala populariti dan perkembangan rancangan kanak-kanak, Hi-5 di seluruh dunia, syarikat penerbitan, Hi-5 World kini menjalinkan kerjasama dengan KRU Studios untuk menerbitkan rancangan tersebut dalam versi bahasa Melayu.

Pengerusi Hi-5 World, Datuk Jared Lim berkata, pendekatan yang ada pada versi antarabangsa rancangan tersebut lengkap dengan tema yang universal dan ia dilihat dapat disuntik pada versi tempatan yang dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini.

"Hi-5 merupakan sebuah rancangan pendidikan yang mengandungi pelbagai jenis tema. Tema berbentuk universal ini bukan sahaja tertumpu pada satu kawasan sahaja, malah amat bersesuaian untuk diterapkan kepada penonton di seluruh dunia.

"Saya percaya, dengan adanya versi bahasa Melayu, lebih ramai penonton khususnya daripada golongan kanak-kanak dapat memahami program ini dengan lebih mudah," katanya pada sidang akhbar pengumuman kerjasama tersebut yang berlangsung di KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim dan tiga pengacara Hi-5, Stevie Nicholson, Dayen Zheng dan Mary Lascaris.

Infrastruktur lengkap

Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, rancangan yang berasal dari Australia ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton, terutamanya dari negara-negara Asia. Di samping itu, peminat dari Malaysia turut disenaraikan sebagai kelompok peminat terbesar rancangan tersebut.


NORMAN (kanan) bersama (dari kiri), Jared, Mary, Stevie dan Dayen hadir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Norman, dengan adanya versi tempatan, Hi-5 dijangka dapat menarik lebih ramai penonton selain membawakan kandungan-kandungan yang lebih menarik dan sesuai dengan tradisi dan adat resam kaum-kaum utama di Malaysia.

"Hi-5 merupakan sebuah jenama yang terkenal. Saya percaya, dengan cara adaptasi yang betul, penonton dapat menikmati persembahan yang berbeza tetapi masih sama dari segi intipatinya.

"Saya juga yakin, dengan adanya infrastruktur lengkap serta perkhidmatan pasca produksi digital, KRU mampu memainkan peranan yang penting untuk menerbit, memasar serta mengedarkan Hi-5 di Malaysia," katanya.

Tambah Norman, sesi uji bakat untuk mencari lima pengacara Hi-5 versi bahasa Melayu sedang giat dijalankan di seluruh negara.

"Sebagai langkah permulaan, pihak kami telah memulakan pencarian bakat-bakat baharu yang berumur dari 18 hingga 22 tahun beberapa minggu lalu.

"Mereka bukan sahaja perlu fasih berbahasa Melayu dan mempunyai bakat dalam bidang lakonan, nyanyian serta pengacaraan, malah mereka juga harus mempunyai perwatakan yang menarik, mirip pengacara-pengacara Hi-5 sedia ada," katanya lagi.

Jadi diri sendiri

Sementara itu, menurut Stevie Nicholson, para peserta uji bakat yang ingin mencuba nasib perlu menjadi diri sendiri dan mampu beraksi dengan kanak-kanak.

"Menjadi pengacara Hi-5 tidak sama dengan pengacara-pengacara rancangan lain. Mereka perlu berperwatakan cerita dan sentiasa positif terhadap apa yang ingin disampaikan.

"Apa yang paling penting adalah anda perlu menjadi diri sendiri," ujar Stevie sambil menyifatkan Hi-5 sebagai salah satu medium terbaik untuknya berkomunikasi dengan kanak-kanak.

Kepada yang berminat untuk menyertai uji bakat, resume berserta gambar terbaharu boleh dihantar menerusi e-mel talents@krustudios.com sebelum 30 Jun depan. - IZWAN MOHD. ISA

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved