Isnin, 14 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lupus tiga tan kiub setiap bulan

Posted:

Lupus tiga tan kiub setiap bulan

Lupus tiga tan kiub setiap bulan

MUSHAF yang basah akan dijemur terlebih dulu sebelum dicarik.


SEBELUM ini, sensitiviti umat Islam teruji dengan perebutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian untuk penerbitan mingguan mereka, The Herald.

Bersatu hati mempertahankan kesucian kalimah Allah, umat Islam tampil menepis permohonan penggunaan tersebut.

Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu turut memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam seksyen bahasa Melayu majalah itu selepas mendengar rayuan Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Reaksi tegas umat Islam di negara ini sekali gus menunjukkan kalimah tersebut sangat eksklusif dan perlu dipelihara kegunaannya kepada hamba-Nya sahaja.

Namun, segelintir umat Islam mungkin terlepas pandang mengenai hal memelihara kemuliaan ayat-ayat suci di bahan bercetak atau barang perhiasan.

Itulah antara isu yang ingin diutarakan oleh seorang pemilik pusat pelupusan mushaf, Rahmat Mahdan, 57, yang telah membuka premis tersebut sejak 2007. Menurutnya, selain memandang berat sudut penggunaan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah cara menjaga keeksklusifan kalimah itu sendiri.

"Selain berjuang mempertahankan kalimah Allah, umat Islam perlu menjaga ia daripada perkara-perkara mengaibkan seperti berada di atas lantai, dibiarkan kotor dan meletakkannya setaraf dengan bahan kitar semula yang lain.

"Kita perlu tahu tujuan menulis kalimah Allah ini dan bukan sewenang-wenang mencetaknya untuk kegunaan yang sementara seperti di kad perkahwinan," jelasnya ketika ditemui di pusat pelupusan percetakan Saufi, Batu 10, Cheras.


RAHMAT(dua dari kanan) memasukkan kertas yang siap dicarik ke dalam mesin insinerator.


Peningkatan

Luahan itu unjuran peningkatan jumlah bahan bacaan ayat suci al-Quran rosak dengan berat minimum 20 kilogram yang diterimanya setiap hari. Bukan sahaja al-Quran usang, malah barang-barang perhiasan seperti ayat gantungan di dinding, mangkuk tembaga dan kaca juga diterima.

Sekilas lalu, pusat pelupusan itu kelihatan seperti kedai menjual barang perhiasan rumah ekoran bingkai ayat al-Quran yang banyak. Antara yang terpampang di dinding bahagian hadapan kedainya termasuklah surah empat Qul iaitu al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Rahmat memberitahu, bingkai yang masih cantik itu dihantar ke pusat pelupusan kerana mengandungi beberapa kesilapan penulisan dalam baris ayat.

"Jika diperhatikan betul-betul ada beberapa ayat yang disusun secara terbalik dengan tanda bacaan salah. Ini menunjukkan sama ada penulis surah ini bukanlah orang Islam atau wahyu Allah ini dicoretkan sekadar mengaut keuntungan dan bukan untuk meraih pahala.

"Segelintir umat Islam yang tidak mahir tentang penulisan khat pula tertipu dan membeli bingkisan ini. Akhirnya setelah menyedari kesilapan penulisan tersebut, mereka telah menghantarnya ke sini untuk dilupuskan," jelasnya yang kecewa dengan sikap ambil mudah sesetengah peniaga.

Mengulas lanjut tentang pusat pelupusan tersebut, Rahmat berkata, premis tersebut dibuka selepas terbit rasa tanggungjawab di hati untuk menjaga keeksklusifan ayat-ayat suci al-Quran selepas mengambil tempahan mencetaknya.

MESIN insinerator ini dibina khas untuk pembakaran al-Quran.


Selain menjadi pemilik pusat lupus al-Quran, Rahmat juga merupakan pengurus kedai percetakan Saufi di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pusat percetakan Saufi merupakan antara yang diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal al-Quran dan teks.

Pada permulaannya, kedai lupus itu menawarkan perkhidmatan melupus secara percuma, namun selepas menerima longgokan demi longgokan naskhah ayat suci di depan pagar, bayaran mengikut berat terpaksa dilakukan bagi menampung kos pelupusan.

Setiap satu kilogram mushaf akan dikenakan bayaran sebanyak RM6, manakala bagi naskhah agama RM10. Wang diperoleh digunakan untuk membayar gaji kira-kira 10 orang yang bekerja di bahagian proses pelupusan.

Antara proses yang terlibat dalam pelupusan termasuklah pengasingan potongan ayat-ayat suci daripada helaian yang tidak berkaitan, menjemur, mencarik dan dibakar menggunakan mesin khas, insinerator.

Abu kemudian dikumpulkan dan disimpan dalam bekas abu sebelum dibungkus di dalam plastik kuning. Cebisan itu dikiubkan bagi tujuan menghalang cebisan ayat-ayat al-Quran berterbangan apabila ditiup angin.

Pusat perkhidmatan melupus ayat suci al-Quran itu membuang kira-kira tiga tan kiub setiap bulan ke dalam saluran yang dibuat khas di premis berkenaan.

Bagaimanapun, menurut anak kedua Rahmat, Khairul Aizat, 30, yang turut mengawal selia operasi, proses pelupusan menjadi rumit jika ayat-ayat suci al-Quran dicetak di atas kepingan logam dan kaca yang telah rosak.

KIUB abu akan dihanyutkan ke dalam saluran khas ini.


"Ukiran ayat-ayat suci seperti surah Yasin di dalam mangkuk perhiasan seperti gangsa dan tembaga antara bahan paling susah untuk dileburkan. Ia perlu dibakar lama dalam mesin pembakar dan memakan masa dan bahan bakar yang lebih banyak.

"Bagi bahan kaca pula kami terpaksa mengikis ayat-ayat tersebut atau hancurkannya sehingga sempurna," jelasnya yang turut memberitahu, antara bahan lain yang memakan kos penghapusan tinggi termasuklah gegantung dan poster-poster besar.

Pengerusi Masjid As-Syakirin Taman Dagang, Ampang , Zainal Abidin Pilus, 59, turut menghantar kira-kira 56 kilogram bahan untuk dilupus yang terdiri daripada al-Quran rosak, bahan-bahan bacaan dan buku teks agama sekolah.

Menurutnya, bahan-bahan itu merupakan hasil pengumpulan daripada para jemaah yang tidak yakin untuk melupuskannya sendiri.

"Setelah mengetahui ada pihak yang lebih arif dalam melupus al-Quran, saya telah memaklumkannya kepada para jemaah di masjid As-Syakirin dan mula mengumpul bahan-bahan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran selama dua bulan.

"Maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Ini kerana rata-rata daripada mereka tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk membakar dan menanam, selain memahami cara-cara betul bagi melupuskannya," jelasnya.


ABU ayat-ayat suci al-Quran dikumpul dan dikiubkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik.


Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya". (Surah Al-Hijr, ayat: 9)

Terdahulu, pusat pelupusan tersebut turut bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dalam usaha mendidik orang ramai untuk menjaga nilai eksklusif ayat-ayat suci al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan tersebut, Marhaini Yusoff berkata, sejak dilancarkan pada Februari lalu, pihaknya giat memaklumkan tentang pelupusan al-Quran lama atau telah rosak dan dicetak pada tahun sebelum 1990.

"Saya memahami faktor masa dan jarak antara masalah sering dihadapi oleh umat Islam di luar sana yang sibuk bekerja untuk datang ke pusat pelupusan di Cheras ini. Jadi, membantu meluaskan tempat pengumpulan, kami membuka ruang di Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.

"Selain itu, pihak kami turut menyarankan mereka menghantar naskhah lama yang tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri dan memberikan satu al-Quran Mushaf Resam Uthmani untuk setiap dua al-Quran lama yang dihantar sebagai dorongan," jelasnya.

Marhaini turut memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan pusat tahfiz, masjid, dan rumah anak yatim untuk menjayakan program pelupusan tersebut. Orang ramai yang berminat untuk menyerahkan al-Quran lama boleh menghubungi talian 03-5101 3789 atau 013-955 2106.

Jaga Rukun Iman ketiga

Posted:

Jaga Rukun Iman ketiga

Jaga Rukun Iman ketiga

Umat Islam perlu menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran seperti tidak mencetaknya pada kad undang perkahwinan atau pakaian.


SEJAK di bangku sekolah rendah anak-anak telah dididik untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.


APABILA berbicara mengenai pemeliharaan ayat-ayat suci al-Quran, antara perkara paling mudah untuk mengingatkan betapa pentingnya pelaksanaan itu kepada umat Islam adalah dengan berbalik kepada Rukun Iman yang ketiga, iaitu beriman kepada kitab-kitab Allah.

Sejak di bangku sekolah rendah lagi anak-anak telah dididik mengenai betapa tingginya nilai kalamullah ini. Antara yang sering dipesan adalah meletakkannya di tempat yang tinggi, dipegang dalam keadaan suci dan rajin mengalunkannya.

Bagaimanapun, segelintir umat Islam pada hari ini dilihat leka dan tidak mengambil berat mengenai kemuliaan kalimah Allah apabila sewenang-wenangnya mencetaknya seperti pada kad perkahwinan.

Kesal

Turut meluahkan rasa kesal ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Menurutnya, kalimah suci Allah tidak sepatutnya berada pada bahan cetakan selain daripada mushaf dan bahan bacaan agama.

"Umat Islam disarankan supaya tidak mencetak kalimah Allah, walaupun pada kad undangan perkahwinan. Kaedah pembuka kata boleh diubah seperti meletakkan pantun yang melambangkan adat budaya orang Melayu.

"Ia bagi mengelakkan penghinaan terhadap kalimah Allah berlaku apabila kad-kad ini dibuangkan ke dalam tong sampah atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


PELBAGAI jenis barang perhiasan rumah dengan kalimah Allah diterima oleh pusat pelupusan percetakan Saufi.


Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan aplikasi mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.

Ujarnya, antara hal yang perlu dipandang serius adalah penggunaan deringan atau aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci Allah.

"Pada era ini, pelbagai aplikasi pada telefon mudah alih telah dibuat bagi memudahkan orang ramai, termasuklah aplikasi bacaan al-Quran dan masuk waktu solat.

"Individu yang menggunakan aplikasi ini harus lebih berhati-hati kerana kita tidak mahu alunan azan kedengaran ketika berada di dalam tandas. Jika berlaku, ia bermakna kita telah menghina kalimah Allah. Seelok-eloknya, telefon diletakkan dalam mod senyap apabila masuk ke dalam tandas," ujarnya yang turut kecewa dengan penggunaan kalimah Allah dan Muhammad pada pakaian sukan.

Berhati-hati

Tambahnya, selain memelihara kesucian kalimah, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam membeli barang-barang perhiasan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.

"Ini kerana terdapat orang bukan Islam menjual barang perhiasan mempunyai kalimah Allah seperti bingkai dan jam dengan seni khat, sedangkan mereka tidak tahu cara mengendalikan barang-barang mengandungi ayat suci al-Quran.

UMAT Islam harus berhati-hati dalam menggunakan aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.


"Tindakan tersebut sekali gus dianggap menghina agama Islam dan kita tidak sepatutnya menyokong dengan membeli barang perhiasan tersebut daripada mereka," jelasnya.

Menurutnya lagi, perkara tersebut juga dipantau oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dan beberapa rampasan turut dilaksanakan.

Mengulas lanjut, pemilik pusat pelupusan percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 57, berkata, kebanyakan bahan perhiasan diterimanya merupakan hasil jualan daripada warga asing dari Pakistan dan India.

Dia yang telah membuka pusat pelupusan mushaf sejak 2007 memberitahu, barang-barang dijual oleh mereka bukan Islam seperti bingkai surah turut mempunyai kesalahan penulisan.

"Beberapa bingkai surah yang kami terima mengandungi kesilapan susunan ayat dan tanda baris yang hilang. Mereka yang menghantarnya ke pusat pelupusan ini memberitahu kebanyakan bingkai tersebut dibeli daripada penjual Pakistan dan India.

"Terdapat juga bingkai perhiasan yang dijual oleh umat Islam, tetapi barang-barang itu dibawa masuk daripada negara-negara luar," katanya.

Beberapa barang perhiasan seperti kaca, cakera video digital dan bingkai surah digantungkan pada dinding kedainya untuk dijadikan contoh kesilapan penulisan kalimah Allah kepada orang ramai. -NUR DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA.

Festival lumba jip popularkan Pakistan

Posted:

Festival lumba jip popularkan Pakistan

Festival lumba jip popularkan Pakistan


ORANG ramai yang hadir teruja menyaksikan perlumbaan jip ekstrem ini.


UDARA padang pasir Cholistan dipenuhi debu dan asap diesel. Suasana yang sunyi pada mulanya bertukar riuh dengan bunyi deruan enjin kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan sorakan ratusan ribu penonton.

Laluan kering dan berbatu sepanjang 240 kilometer (km) itu menjadi medan ujian kepada hampir 90 pelumba jip. Bahang mentari di lokasi terpencil di wilayah Punjab, Pakistan itu telah beberapa tahun menemani setiap peserta dan hadirin pada acara bernama Cholistan Jeep Rally.

Padang pasir Cholistan terletak kira-kira 400km dari barat daya pusat bandar Punjab, Lahore. Begitupun, jarak jauh itu tidak menghalang pengunjung untuk menonton sukan ekstrem yang diperkenalkan sejak tahun 2005 itu.

Perbadanan Kemajuan Pelancongan Punjab (TDCP), penganjur festival itu mendedahkan, perlumbaan yang berlangsung pada Februari lalu itu kini semakin popular dari tahun ke tahun.

"Kami menganggarkan sejumlah 200,000 orang dari kampung-kampung berhampiran dan penduduk bandar hadir ke perlumbaan ini.

"Festival ini banyak membantu penduduk setempat memperbaiki taraf kehidupan. Mereka sewakan rumah masing-masing dan menyediakan bekalan makanan kepada pelancong dari luar bagi mengaut keuntungan," ujar pengarah urusan TDCP, Habirur Rehman Gilani.

Penduduk di sekitar padang pasir Cholistan hidup susah. Peluang pekerjaan yang terhad dan kekurangan bekalan air untuk ternakan mereka menambah beban kepada kelangsungan hidup.

Tahun ini, selain lumba jip, festival tersebut turut merangkumi acara muzik, tarian, gusti dan perkhemahan sebagai hiburan tambahan kepada pelancong. Ia juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


PADANG pasir Cholistan yang berdebu bertukar menjadi tapak pesta.


Seorang pemain dram, Ghulam Nabi yang tinggal di Liaquatpur, kira-kira 60 kilometer dari kawasan festival mampu menjana 6,000 rupee (RM200) dalam tempoh tiga hari. Amaun itu adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding pendapatan bulanannya.

"Di sini jarang ada majlis perkahwinan dan parti menyebabkan khidmat saya sebagai pemuzik kurang diperlukan. Namun dengan adanya festival sebegini saya mampu mendapatkan wang tambahan," kongsi Nabi.

Cholistan merupakan sebahagian daripada Bahawalpur, sebuah negeri kecil yang pernah diperintah berabad lamanya oleh dinasti Abbasiyah. Ia hanya bergabung bersama Pakistan pada sekitar tahun 1950-an, beberapa tahun selepas negara itu mengecap kemerdekaan daripada Britain.

Tarik pelancong

Batu-batu nisan marmar putih, tanda pusara kepada kesemua pemerintah dan ratu dinasti itu menjadi latar belakang elegan bagi perlumbaan tersebut.

Kubu Derawar lama yang terletak berhampiran pula dijadikan pusat pelepasan bunga api sebelum perlumbaan dimulakan. Penggunaan bunga api pada festival itu juga memberi keuntungan kepada peniaga bunga api tempatan, Fiaz Ahmed Shirazi.

"Saya meraih 300,000 rupee (RM10,000) hasil jualan bunga api di sini. Terdapat juga peniaga yang membuka gerai makan sepanjang perlumbaan dan berjaya mengumpul ribuan rupee dalam tempoh yang singkat," ujar Shirazi.


PERLUMBAAN ini menarik kehadiran ribuan penduduk luar ke daerah Cholistan setiap tahun.


Sementara itu, ribuan pelancong tempatan dan mereka yang datang dari Karachi, Lahore dan Islamabad berkumpul bagi memberi sokongan kepada para pelumba. Suasana turut dimeriahkan dengan muzik dan tarian dalam kostum tradisional berwarna-warni.

"Ia amat menyeronokkan dan pengalaman ini tidak diperoleh di tempat lain," cerita seorang pengunjung, Ameera Rao, 26, yang datang dari Lahore bersama rakan-rakannya bagi menonton perlumbaan tersebut.

Di sebalik kerancakan festival itu, sektor pelancongan di Pakistan pula berdepan kemerosotan serius. Ia ekoran reputasi menakutkan Pakistan sebagai negara Islam ekstremis.

Selepas menjadi lokasi perlindungan kepada para pemberontak Taliban tujuh tahun lalu, industri pelancongan Pakistan kini berhempas-pulas memperbaiki imej negara itu bagi menarik lebih ramai pelancong asing.

"Kami merancang untuk mempromosikan perlumbaan ini ke luar negara melalui kedutaan kami dan kelab-kelab 4x4 seluruh dunia.

"Kami juga cuba untuk membawa pelumba-pelumba antarabangsa bagi menyertai perlumbaan ini. Ia pasti melonjakkan taraf sukan dan pelancongan negara ini," tambah Gilani. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Bluefin-21 kesan MH370 di dasar laut

Posted:

Bluefin-21 kesan MH370 di dasar laut

Bluefin-21 kesan MH370 di dasar laut

DRON penyelam dasar laut, Bluefin-21 untuk mencari MH370.


PERTH - Pasukan mencari telah menggunakan kenderaan dalam air automatik (AUV), Bluefin-21 semalam bagi meneruskan usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang.

Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston (gambar kecil) berkata, keputusan menggunakan kenderaan khas itu diambil berikutan tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak Selasa lepas.

"Walaupun tiada lagi isyarat dikesan, apa yang ada sebelum ini adalah petunjuk paling meyakinkan yang kami ada. Kami perlu terus menjejaki petunjuk itu dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari pesawat berkenaan di sini semalam.



"Analisis yang dibuat terhadap empat isyarat sebelum ini memungkinkan satu definisi dibuat tentang kawasan mencari di dasar laut yang lebih kecil dan mudah diuruskan," katanya merujuk kepada data akustik yang dikesan kapal Australia, Ocean Shield minggu lepas.

Sehubungan itu, Houston berkata, para pakar memutuskan bahawa kapal Ocean Shield akan berhenti daripada membuat pencarian menggunakan alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) petang semalam dan menggantikannya dengan penggunaan dron Bluefin-21.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Siswazah baru bekerja pokai

Posted:

Siswazah baru bekerja pokai

Siswazah baru bekerja pokai

Oleh IKHWAN HAZWAH HAMIDUN dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
berita@kosmo.com.my


PARA siswazah kini menuntut kadar gaji lebih tinggi bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Satu kajian oleh syarikat pengambilan pekerja dalam talian, JobStreet.com mendapati kebanyakan siswazah yang baru mendapat pekerjaan di Malaysia berdepan kesukaran untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan gaji bulanan sebanyak RM2,500.

Menurut kajian yang melibatkan 2,062 responden itu, sebanyak 77 peratus daripada mereka memberitahu tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk membuat simpanan kerana terpaksa menampung perbelanjaan keperluan.

Kajian turut menunjukkan sebanyak 63 peratus daripada mereka menjelaskan bahawa barangan keperluan yang dimaksudkan itu ialah pinjaman kereta dan pendidikan serta kos pengangkutan yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak di pasaran.

"Kira-kira RM1,500 daripada pendapatan bulanan mereka telah dibelanjakan ke atas keperluan tersebut dan untuk menjimatkan kos, separuh daripada mereka tinggal bersama ibu bapa, manakala 30 peratus lagi menyewa secara berkongsi bersama rakan dan 20 peratus sahaja yang membuat keputusan tinggal berseorangan.

"Kajian itu juga mendapati 87 peratus daripada responden tidak memiliki pendapatan sampingan selain pendapatan bulanan mereka, dan disebabkan itu kebanyakan mereka meminta gaji yang tinggi sewaktu sesi temu duga," menurut kajian tersebut.

Kajian ke atas responden yang terdiri daripada siswazah yang baru mendapat pekerjaan di seluruh negara itu dilakukan pada Mac lalu.

Syarikat JobStreet.com menyediakan perkhidmatan pekerjaan dalam talian yang memaparkan lebih 150,000 iklan pekerjaan sebulan dan memiliki pangkalan data lebih 11 juta pencari kerja.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Hukuman baharu lebih berat

Posted:

Hukuman baharu lebih berat

Hukuman baharu lebih berat


ROHANI (depan tiga dari kanan) bergambar bersama para penerima Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2013 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan diwarta dan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas diluluskan oleh Parlimen

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pindaan akta itu yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku jenayah terhadap kanak-kanak masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

"Lebih 70 peratus dalam Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipinda termasuk pelaksanaan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang melakukan jenayah ke atas kanak-kanak termasuk jenayah siber serta pornografi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 609 pegawai dan kakitangan pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut menerima anugerah berkenaan.

Antara hukuman dalam Akta Kanak-kanak 2001 yang dilihat ringan dan perlu dipinda ialah hukuman penjara terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Posted:

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Oleh ALIF ABU BAKAR

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.


MENERAPKAN konsep Islamik dalam genre fesyen jalanan ada risikonya. Sinikal masyarakat terhadap gaya keagamaan sedemikian belum berubah. Pada pandangan mereka, baju-T bercoret kata-kata dakwah tidak menepati suasana pluralisme di negara ini.

Memang kebanyakan baju-T dengan rekaan Islamik bertujuan untuk mengajak orang Muslim di Malaysia berbangga dengan Islam. Apakan daya, penggunaan corak, warna, material dan pendekatan lapuk membuatkan ia kurang diminati.

Lokasi jualan di sekitar masjid dan tapak-tapak majlis keagamaan juga mengehadkan sesi pendakwahan langsung kepada masyarakat.

Jika dibandingkan bersama label antarabangsa seperti Design Molvi dan Justmuslim, kita masih ketinggalan dari segi teknik penyebaran ideologi agama menerusi fesyen.

Dua jenama dari United Kingdom itu bijak bermain dengan cetakan kreatif menggunakan frasa-frasa ringkas tetapi cukup magnetik untuk membangkitkan kebanggaan diri seorang Muslim.

Untuk permulaan, Malaysia kini mempunyai Stereostar Clothing (Stereostar). Diperkenalkan pada awal tahun 2013, label itu berusaha menampilkan fesyen jalanan berkonsep Islamik yang urban dan moden. Eksperimen sederhana mereka kini meraih minat Muslim tempatan khususnya remaja.

Pereka Stereostar, Hafizal Nasir membangunkan label itu secara solo pada awalnya. Dia banyak melibatkan diri dengan majlis-majlis agama seperti kuliah dan ceramah di masjid. Ketika itu, Hafizal, 32, hanya membekalkan rekaannya kepada peniaga-peniaga baju-T.

Penampilan sulung Hafizal di bawah jenama Stereostar adalah di bazar fesyen jalanan terbesar tanah air, Tempatan Fest 3.0 di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur hujung tahun lalu.

"Eksperimen awal saya adalah dengan mengeluarkan 100 helai baju-T edisi terhad dengan rekaan Islamik yang agak sarat mesejnya. Namun, ia habis dijual dan menerima sambutan di luar dugaan.

"Dari situ saya sedar bahawa konsep Islamik ada pasaran yang positif. Justeru, saya mengumpulkan beberapa ahli dan kini Stereostar diterajui empat individu," jelas Hafizal ketika ditemui Kosmo! di Studio Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rekaan

Dalam tempoh tidak mencecah setahun, Stereostar telah berjaya membariskan 10 hingga 12 rekaan meliputi baju-T lengan pendek dan panjang, baju panas (sweatshirt), hoodie dan topi snapback.

Tiga warna teras iaitu hitam, putih dan merah pula mendukung falsafah eksklusif yang dikendong Stereostar. Dominan hitam dalam setiap rekaan membezakan mereka daripada pakaian Islamik lain yang menggemari rona-rona terang.

Pemilihan warna asas tersebut diharapkan dapat mengubah tanggapan masyarakat terhadap nilai eksklusif pakaian bercorak Islamik. Stereostar mengetengahkan prestij, moden dan urban dalam setiap rekaan mereka.

"Kami tidak meletakkan had usia pelanggan tetapi ia diharapkan mampu menarik ramai anak muda untuk membeli baju berkonsep Islamik.

"Kalau rekaan spesifik dakwah orang tak mahu pakai sebab agak konvensional dari segi rekaan, gaya dan tidak kelihatan trendy," ujar Hafizal.

Di sebalik kesungguhan Stereostar memperbaharui fesyen jalanan Islamik di negara ini, timbul teguran-teguran kurang manis daripada segelintir pihak. Ada pihak yang mempersoalkan arah dakwah yang cuba disebarkan Stereostar kepada anak-anak muda.


PEMILIHAN hitam dan putih sebagai warna teras jenama menyerlahkan sisi eksklusif Stereostar.


Mesej

Tegas Hafizal, pada peringkat pengenalan ini, Stereostar tidak berhajat untuk mengangkat label mereka sebagai jenama dakwah moden. Setiap helaian yang dikeluarkan mengandungi mesej keagamaan ringkas tetapi tidak condong berat kepada dakwah.

Sekiranya sambutan terhadap jenama mereka meningkat dari semasa ke semasa, barulah perancangan terhadap rekaan yang tinggi nilai Islamik dilancarkan.

Begitupun, tambah Hafizal, pihaknya telah mendapatkan nasihat dan penjelasan ilmiah daripada beberapa tokoh agama berkenaan fesyen berkonsep Islamik. Jelasnya, selagi ia berlandaskan Islam, ia tidak mengundang masalah malah dikira sebagai satu perjuangan ke arah dakwah.

"Jenama yang memfokuskan kepada usaha dakwah pun menyokong usaha kami. Mereka melihat ia sebagai satu pembaharuan dan secara tidak langsung membuka jalan kepada mereka untuk berkarya secara kreatif," dedah Hafizal.

Penggunaan perkataan campuran jawi dan rumi menjadi identiti Stereostar. Mereka mahu membuktikan bahawa baju bertulisan jawi bukan hanya dipakai di surau atau masjid. Ia juga sesuai dikenakan untuk pelbagai masa dan suasana.

Penggunaan frasa seperti Muslim Attitude, Muslim Proud dan I am Hamba pada baju-baju Stereostar membuatkan ia mudah menangkap minat remaja. Penetapan perkataan tersebut dibuat berdasarkan cerminan peribadi seorang Muslim. Hamba misalnya menggambarkan individu yang tawaduk dan tahu kedudukannya di sisi Allah.

Nombor-nombor yang ditampilkan juga ada makna tertentu. Nombor 99 contohnya mewakili 99 nama Allah manakala nombor tujuh boleh melambangkan variasi mesej dalam Islam seperti tujuh lapisan langit, lautan, syurga dan neraka serta ia merupakan nombor kegemaran Rasulullah SAW.

Simbol

Simbol ketara Islam iaitu bulan dan bintang pula diolah segar dalam rekaan moden. Secara realistik, penggunaan lambang Islamik adalah lebih baik berbanding logo ideologi Barat yang kurang jelas maknanya.

Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa konsep dakwah tidak semestinya muncul dalam bentuk potongan hadis atau ayat al-Quran. Menerusi fesyen, definisi dan medium dakwah dapat diperluaskan.

Sementara itu, untuk masa ini, Stereostar fokus kepada pakaian lelaki sahaja. Namun yang mengejutkan, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan. Begitupun, mereka tidak melarang sesiapa untuk membeli tetapi wanita perlu mengikut etika pemakaian yang tepat.

"Pakaian konsep Islamik agak sensitif. Sebagai pereka dan penjual kami berasa bertanggungjawab untuk mendidik Muslim di negara ini berpakaian menutup aurat dengan cara betul.

"Justeru, kami sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan koleksi Muslimah yang mematuhi potongan dan aurat wanita," ujar Hafizal yang juga memberitahu mereka juga mempunyai pelanggan dari Brunei dan Singapura.

Baju-baju Stereostar diperbuat menggunakan 100 peratus material kapas bersaiz XS hingga XXL.

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Posted:

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PRAFESTIVAL Hijab Sedunia dirancakkan dengan persembahan fesyen daripada rekaan Arda Putra.


JENAMA fesyen yang masih segar di pentas peragaan, Arda Putra baru-baru ini tampil membuat kemunculan dalam majlis kasual bersempena Festival Hijab Sedunia 2014 di Zebra Square, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pertunjukan yang mengetengahkan fesyen Koleksi Pengantin 2014 ini diilham dan dijayakan oleh Arda Putra dengan tema pilihan, Harmoni.

Seiring namanya, koleksi Harmoni dipersembahkan dalam latar muzik mendamaikan yang diinspirasikan daripada keindahan flora Malaysia dan unsur-unsur semula jadi iaitu tanah, air, angin, api dan besi.

Pengarah Urusan Arda Putra, Masera Shah berkata, konsep kesepaduan yang dipamerkan dalam setiap elemen alam semula jadi menjadi inspirasi fesyen yang diperagakan.

Katanya, ciri-ciri ini juga melambangkan pemuafakatan masyarakat negara ini walaupun berlainan budaya, agama dan latar belakang.

Tambah Masera lagi, koleksi Harmoni adalah peluang bagi Arda Putra untuk memainkan peranan kecil dalam menggalak perpaduan mengikut acuan Malaysia yang aman dan harmoni.

"Ibarat sekuntum bunga, ia hanya akan mekar dengan sempurna apabila tumbuh dalam keseimbangan dengan unsur-unsur asas.

"Oleh itu, rekaan Harmoni juga adalah tentang bagaimana kehidupan disesuaikan kepada segala yang ada di sekeliling kita dan alam semula jadi," katanya.

Sebanyak 16 rekaan fesyen pakaian yang menarik diperagakan dalam majlis itu. Lapan daripada rekaan tersebut berdasarkan unsur-unsur asas alam.


KELAINAN dalam rekaan dan potongan baju yang diperagakan menarik perhatian penonton.


"Rekaan dalam koleksi ini bermula dengan membentuk pemahaman akan kualiti unik setiap unsur alam dan kami menerapkannya kepada konsep pakaian, terutamanya bagi penggunaan jemeki-jemeki berwarna mengikut ciri-ciri unsur tersebut," ujar Pengurus Pembangunan Perniagaan Arda Putra, Syed Ihsanputra Syed Fudzan.

Lapan rekaan lagi, menurut Ihsanputra, mewakili ciri-ciri unik bunga dari seluruh dunia. Dalam rekaan tersebut, Arda Putra memilih untuk memberi kesan lapisan menggunakan fabrik mengikut konsep berlapik bagi mencipta efek yang dimahukan dalam rekaan.

"Bentuk yang merangkumi rekaan potongan A hingga hour glass direka dengan membuat lapisan sehingga empat jenis fabrik yang berbeza seperti satin, jemeki dengan renda, renda dan organza.

"Rekaan ini diakhiri dengan lipatan penuh teliti di bahagian hujung fabrikl," katanya yang bijak memainkan warna dengan si pemakai mengikut tema bersesuaian.

Bagi koleksi pengantin 2014 ini, Arda Putra menekankan tiga dimensi penambahan yang dibuat pada bahagian tangan seperti bulu, batu permata dan corak bunga yang dicipta khas.

Bunga-bunga tersebut dibuat dengan menggunakan tekstur fabrik dan dijahit ke beberapa bahagian pakaian.

Arda Putra selaku label fesyen rekaan sekumpulan bakat muda Malaysia mengakui akan turut komited dan bersedia menyediakan khidmat perundingan dan nasihat kepada pelanggan demi kepuasan bersama.

Untuk maklumat lanjut, penggemar fesyen boleh melayari laman sesawang www.ardaputra.com atau laman sosial www.fb.com/ardaputracom dan instagram @ardaputracom.

Kaca mata fungsional antialergi

Posted:

Kaca mata fungsional antialergi

Kaca mata fungsional antialergi

Oleh ALIF ABU BAKAR


KESEIMBANGAN fungsional dan reka bentuk menjadikan CEO Vision pilihan terbaik untuk golongan muda.


MEREKA yang bercermin mata pasti pernah tertinggal aksesori pembantu penglihatan itu di atas meja pejabat. Ada pula yang menggunakan tali atau rantai berjurai-jurai yang disambungkan pada tepi bingkai cermin mata untuk disangkutkan pada leher.

Begitupun, ia kurang praktikal dan tidak memberi keselesaan menyeluruh kepada si pemakai. Justeru, kaca mata koleksi baharu daripada CEO Vision (CEO.V), Vision 3 dicipta bagi mengatasi masalah tersebut.

Vision 3 mewakili kaca mata optikal khusus untuk golongan eksekutif muda. Kepanjangan sarung pemegangnya boleh dilaras dan dicantumkan bagi memudahkan ia digantung di leher.

"Penghujung sarung pemegang itu mempunyai magnet dan ia diperbuat daripada silikon antialergi.

"Penggunaan material berkualiti tinggi itu adalah bagi mereka yang mempunyai alahan kulit akibat perpeluhan dan sekali gus memberikan keselesaan maksimum kepada si pemakai," jelas Pengurus Jualan dan Pemasaran Eye Concept LTD, Clara Siu ketika ditemui pada majlis pelancaran Vision 3 dan Active 2 di Desa ParkCity Club, Kuala Lumpur.

Menerusi Vision 3, keletihan mata selepas menghadap komputer atau kertas-kertas kerja di pejabat dapat direhatkan dengan lebih mudah dan selesa.


VARIASI kaca mata hitam CEO Vision dilengkapi fungsi mengagumkan khusus untuk bergaya.


Anda tidak lagi perlu menggunakan tali atau rantai berselirat untuk digantung pada leher. Kebiasaan menanggalkan cermin mata juga boleh dielakkan sekali gus mengurangkan kemungkinan ia tertinggal di pejabat.

Sebenarnya, Vision 3 juga praktikal ketika bersolat. Justeru, anda tidak perlu bimbang terhadap risiko kaca mata dipijak orang atau tertinggal di surau atau masjid.

Direka untuk lelaki dan wanita berusia 30 hingga 40 tahun, Vision 3 berkebolehan untuk digantung atau dilipat. Jisimnya pula 30 peratus lebih ringan berbanding model dulu dan didatangkan dalam empat stail dengan masing-masing mempunyai tiga warna.

Active 2

Generasi muda dengan gaya hidup aktif pula pasti menyenangi rekaan di bawah koleksi Active 2. Berbeza dengan Vision 3, kaca mata ini tidak dihadkan pada usia tertentu dan disasarkan buat kaum Adam.

Ciri gelung keselamatan lanjutan berganda (DESL) pada kaca mata itu memberikan keselesaan ekstra ketika anda bersukan. Gelung dilapisi getahnya pula menukar fizikal kaca mata lasak anda kepada bingkai optikal yang bergaya.

Active 2 ditawarkan dengan 10 stail bersama tiga warna yang menawan. Kombinasi fleksibiliti bentuk dan fungsi menjadikan koleksi baharu tersebut satu aksesori wajib dimiliki lelaki aktif.

Kesemua bingkai kaca mata CEO.V boleh disimpan di dalam bekas pelindung ultra nipis yang bersesuaian dengan kontur badan anda. Ia juga disertakan bersama kain pembersih cengkaman jari bagi memastikan kebersihan kaca mata.

"CEO.V telah tiga tahun berada di dalam pasaran dan ini merupakan pelancaran kedua jenama ini di Malaysia. Kaca mata kami boleh didapati di lebih 30 buah negara dengan rekaan dan warna yang sama tetapi berbeza dari segi stail.

"Setakat ini, CEO.V mempunyai lebih 150 stail untuk keseluruhan koleksi," kongsi Clara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Inilah LIVERPOOL!

Posted:

Inilah LIVERPOOL!

Inilah LIVERPOOL!

COUTINHO (kiri) menjaringkan gol kemenangan Liverpool ketika membantu pasukannya menewaskan Manchester City 3-2 pada saingan Liga Perdana England di Anfield semalam.


LIVERPOOL – Jangan main-main dengan Liverpool. Gelaran juara Liga Perdana England musim ini bagaikan sudah berada dalam genggaman. Semalam, Manchester City menjadi mangsa terbaharu mereka dalam saingan liga musim ini selepas mencatat kemenangan 3-2.

Biarpun mendapat tentangan sengit terutama pada separuh masa kedua, namun skuad bimbingan Brendan Rodgers itu tidak menunjukkan petanda untuk menyerah.

Tiga mata berharga yang diraih pada perlawanan tersebut itu menyaksikan The Reds kini selesa memegang status selaku pendahulu liga dengan 77 mata berbanding City yang ketinggalan tujuh mata di tangga ketiga meskipun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad The Reds semakin hampir mendakap trofi liga pertama sejak kali terakhir pada 1990 lalu.

Beraksi di laman sendiri, pemain sayap lincah, Raheem Sterling mengambil kesempatan daripada kesilapan City dengan menjaringkan gol pertama Liverpool seawal minit keenam.

Pemain pertahanan The Reds, Martin Skrtel berjaya menggandakan kedudukan buat tuan rumah untuk mendahului 2-0 menerusi jaringannya pada minit ke-26.

Tersentak dengan itu, The Citizens bangkit mengatur serangan, namun kecemerlangan penjaga gol, Simon Mignolet menafikan hajat skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, gol yang dicari-cari City akhirnya menjelma menerusi percubaan daripada pemain tengahnya, David Silva selepas menerima hantaran cantik daripada James Milner pada minit ke-57.

Selepas itu, The Citizens berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri pertahanan Liverpool, Glen Johnson pada minit ke-62.

Hajat The Reds meraih tiga mata berharga itu berhasil apabila pemain tengahnya, Phillipe Coutinho memanfaatkan kesilapan kapten City, Vincent Kompany dengan rembatan deras untuk memberikan gol ketiga pada minit ke-78.

Bagaimanapun, kad merah yang diterima pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson gara-gara terjahan keras ke atas Samir Nasri pada lewat permainan tidak mampu memberikan kelebihan kepada City apabila kedudukan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

– Agensi

'Beri kami masa dua tahun'

Posted:

'Beri kami masa dua tahun'

'Beri kami masa dua tahun'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SKUAD MISC-MIFA kekal optimis untuk layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016. Setiausaha Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Louis Santhana Dass (gambar) berkata, ini kerana pasukan itu baru dibentuk sejak tiga bulan lalu dan masih tercari-cari rentak bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini.

Menurut beliau, skuad itu cukup berpotensi untuk layak ke saingan Liga Premier dua musim lagi berdasarkan persembahan positif pemain-pemain muda mereka setakat ini.

"Beri kami masa selama dua tahun, saya percaya pasukan ini mampu layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016.

"Jika dilihat pada persembahan pemain dalam setiap perlawanan, mereka berpotensi untuk dibentuk menjadi pasukan yang mantap selain membentuk persefahaman yang lebih sempurna," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Skuad MISC-MIFA kini di tangga ke-10 Liga FAM dengan enam mata hasil dua kemenangan dan lima tewas setakat ini.

Mereka berjaya menundukkan Harimau Muda C dengan kemenangan tipis 2-1 selain mengatasi Hanelang FC dengan kemenangan 1-0 baru-baru ini.

Justeru, Louis percaya barisan pemain MISC-MIFA masih memerlukan masa untuk digilap sepenuhnya sebelum menjadi antara pencabar utama dalam tempoh beberapa musim lagi.

"Sasaran untuk layak ke saingan Liga Premier dalam tempoh dua musim lagi dilihat lebih realistik berbanding musim depan.

"Jadi, saya harap kesemua pemain MISC-MIFA mampu menimba pengalaman berguna sepanjang saingan Liga FAM kelak," katanya.

Sementara itu, tonggak MISC-MIFA, P. Puvanesvaran juga berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan itu kekal dalam saingan Liga FAM musim depan.

"Saya juga gembira apabila kesemua pemain diberikan peluang bergilir-gilir menjadi kapten pasukan sekali gus memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pemain," katanya.

Kelantan kembali di landasan betul

Posted:

Kelantan kembali di landasan betul

Kelantan kembali di landasan betul

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

KEMENANGAN 2-0 Kelantan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin meletakkan pasukan berkenaan berada di landasan terbaik dalam usaha mengembalikan semula reputasi selepas mempamerkan aksi hambar pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

Pemain sayap lincah The Red Warriors, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkata kemenangan ke atas ATM kelmarin meletakkan pasukannya di landasan sebenar untuk kembali memberikan saingan dalam perebutan mahkota liga.

"Kemenangan ke atas ATM amat berharga kepada pasukan Kelantan selepas kami bermula agak sederhana pada pusingan pertama lalu.

"Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas ini bagi memastikan Kelantan berada di kedudukan terbaik," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Menurutnya, selain faktor penyokong, semangat berpasukan dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh pemain Kelantan menjadi kunci utama kejayaan The Red Warriors membenam ATM.

Katanya, rakan-rakan sepasukannya beraksi bermati-matian bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka pada perlawanan tersebut.

"Aksi menentang ATM bukan tugas mudah ditambah pula beraksi di gelanggang keramat mereka, Alhamdulillah kami semua berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan terutama Farisham Ismail yang berjaya merantai kemas pergerakan penyerang import berbisa ATM, Marlon Alex James sepanjang perlawanan tersebut," ujarnya.

Wan Zaharul memberitahu, kemenangan itu turut membuka peluang kepada Kelantan untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

"Peluang masih terbuka dan kedudukan mata antara pasukan pendahulu dengan Kelantan tidak jauh berbeza.

"Kami tidak boleh leka selepas ini dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan jika mahu mencabar kejuaraan liga," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Anekdot dalam karya Limbo

Posted:

Anekdot dalam karya Limbo

Anekdot dalam karya Limbo

Oleh SOPI SAMAILE

KARYA empat artis berbakat (dari kiri), Badruddin, M Azri, Tune Zikri dan Aini AB di Artelier Galeri sedia untuk dikongsi bersama pencinta seni.


PELBAGAI perspektif digunakan dalam melihat gaya kehidupan masyarakat bandar, namun M. Azri Abdullah, 46, memperlihatkan situasi itu dari sudut berbeza sebelum menterjemahkannya di atas kanvas.

Dengan menonjolkan konsep figuratif, M. Azri menerapkan falsafah dalam hasil karya seninya yang bukan sekadar indah dipandang, tetapi memiliki keindahan dari segi makna.

Mengambil salah satu karya berjudul Pembentukan, elemen anekdot diterapkan dalam karyanya sudah pasti memberi gambaran cerita kepada kisah yang mahu disampaikan.

"Uniknya, saya menggunakan pagar besi sebagai subjek. Ia juga memberi makna pagar itu sendiri sebagai sempadan antara penonton dan karya seni itu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Artelier Galeri, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PENCINTA seni kanvas berpeluang meneroka pelbagai mesej yang diterapkan oleh empat pelukis muda ini.


M. Azri merupakan salah seorang daripada empat pelukis berbakat mengadakan pameran karya seni berkumpulan anjuran Artelier Galeri berjudul LIMBO by Ale'gore selama 40 hari bermula 2 April lalu.

Berbeza dengan Khairuzikri Mohd. Shahid, 37, atau lebih dikenali sebagai Tune Zikri, pendekatan yang digunakannya lebih kepada mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanaknya di Taiping, Perak.

Karya seni Tune Zikri lebih berkisarkan kepada landskap yang ada pada mindanya sewaktu kecil dengan kebanyakan suasana dan persekitaran itu sudah tidak lagi wujud.

"Ia seolah-olah mimpi jika diceritakan kepada orang lain sedangkan tempat itu sememangnya ada dan pernah berlaku.

"Menerusi pengalaman tersebut, saya mengetengahkannya dalam bentuk ilustrasi dengan menggunakan banyak garisan dan warna, dalam erti kata lain ia lebih kepada imaginatif," ujarnya yang menjadi artis sepenuh masa sejak tahun lalu.

Gayanya mungkin berbeza dengan artis lain. Aini Nazihah Abu Bakar, 31, menjadikan minatnya dalam pembacaan dan penulisan sebagai subjek yang diluahkannya ke atas kanvas.

Lebih menariknya, Aini menggunakan puisi mahupun ayat atau perkataan unik dalam penghasilan karyanya sebagai cara menyerlahkan lagi keindahan dan penekanan mesej dalam lukisan tersebut.

KONSEP simbol pergerakan menjadi falsafah seni Badruddin.


Puisi

"Saya bermula dengan puisi, disebabkan itu lukisan saya mempunyai barisan-barisan perkataan.

"Dalam menghasilkan karya juga, boleh dikatakan persembahannya mempunyai kaitan dengan orang penting di sekeliling saya terutamanya ayah saya sendiri yang sememang suka membaca," jelas Aini yang merupakan seorang pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Pengalaman 13 tahun berkarya, seorang guru sekolah, Badruddin Syah Abdul Wahab, 40, turut mempunyai falsafah dalam karyanya iaitu menggunakan konsep figuratif dan simbol-simbol pergerakan dalam lukisan.

Pada masa sama, Badruddin membawa khalayak menjengah karyanya bagi menyelami sudut yang diperincikan dalam lukisan dengan cara pandangan yang lebih luas.

"Sebelum ini, kebanyakan karya yang saya hasil lebih kepada abstrak, namun sekarang ia lebih berkisar kepada kisah atau pergolakan masyarakat.

"Disebabkan itu, subjek-subjek dalam karya saya menonjolkan elemen manusia atau figuratif," jelasnya.

Falsafah 4R F&N pulihara alam sekitar

Posted:

Falsafah 4R F&N pulihara alam sekitar

Falsafah 4R F&N pulihara alam sekitar


KAMAL (dua dari kanan) melancarkan Kempen Kitar Semula Untuk Murid Sekolah di Laman Budaya Tasik Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


PENGELUAR minuman terkemuka, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. (F&N) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali lagi bekerjasama menganjurkan Kempen Kitar Semula Untuk Murid Sekolah bagi tahun kelapan berturut-turut.

Kempen yang bertujuan menggalakkan pemuliharaan alam sekitar menerusi falsafah 4R iaitu Reduce, Reuse, Recycle dan Rethink itu berlangsung selama tiga bulan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor.

Penasihat Korporat F&N, Datuk Kamal Harun berkata, objektif kempen tersebut untuk mendidik orang ramai mengamalkan sikap bertanggungjawab dan memainkan peranan aktif dalam menangani isu-isu alam sekitar.

Menurut beliau, syarikatnya berhasrat untuk meluaskan kempen tersebut dan membawa mesej kitar semula kepada masyarakat terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

"Kejayaan kempen ini terletak sepenuhnya pada kegigihan peserta untuk terus mengamalkan falsafah 4R dan menarik orang ramai untuk turut mengamalkannya," katanya semasa pelancaran kempen itu di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sebanyak 750,000 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpul sepanjang tempoh sebulan sejak kempen tersebut bermula.

Bagi memenangi kempen para peserta perlu mengumpul sebanyak mungkin bahan kitar semula seperti aluminium, plastik dan kertas untuk melayakkan mereka mendapat hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM1,500.

Ujar Kamal lagi, masalah alam sekitar semakin meruncing di negara ini dengan separuh daripada sungai kita telah tercemar selain fenomena cuaca drastik seperti kemarau dan jerebu.

Kata beliau, F&N juga telah meletakkan tanda aras dan menilai serta memantau setiap aspek perniagaan dan kesannya ke atas alam sekitar dalam usaha syarikat tersebut untuk melindungi alam sekitar.

"Bertitik tolak daripada kejayaan penganjuran yang sama sebelum ini meyakinkan pihak F&N bahawa para peserta telah memahami nilai 4R dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

"Bagi pihak F&N sendiri, kita juga sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menguruskan penggunaan sumber dengan cekap dan cermat," ujar beliau.

Ulang tahun KidZania ke-2

Posted:

Ulang tahun KidZania ke-2

Ulang tahun KidZania ke-2


SEBAHAGIAN penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sayang bergambar kenangan di KidZania, Kuala Lumpur.


PUSAT hiburan seisi keluarga, KidZania Kuala Lumpur, telah menyambut ulang tahunnya yang kedua bertempat di KidZania, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis sambutan tersebut dimeriahkan dengan kehadiran rakan kongsi industri, kanak-kanak dan ibu bapa dengan tema, All Good Things Come in 2.

Menurut Gabenor KidZania Malaysia, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin, hasil tinjauan oleh Children Career Survey of Malaysia baru-baru ini mendapati kanak-kanak sekolah di Malaysia berumur antara tujuh hingga 14 tahun bercita-cita menjadi pelakon, guru, doktor, model dan cef.

Kesemua ini merupakan profesion yang boleh dirasai di KidZania Kuala Lumpur.

"Kami menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk merasai lebih 100 pilihan karier dan platform berasaskan realiti.

"Hal ini membolehkan kami terus menjadi pilihan kanak-kanak dan ibu bapa serta mendapat pengiktirafan oleh industri," katanya.


SAMBUTAN ulang tahun ke-2 KidZania dimeriahkan dengan persembahan pemuzik-pemuzik muda dari Beaming Strings Ensemble.


Ujar beliau, pada tahun lalu, pihaknya telah memenangi dua anugerah berprestij iaitu Best Experience for Kids dan Pingat Gangsa untuk kategori Best Online Driver pada majlis anugerah Best of Malaysia Awards 2013 oleh majalah Expatriate Lifestyle.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa memperkenalkan aktiviti-aktiviti baharu bagi memberi pendedahan berterusan kepada pengunjung cilik merasai pengalaman karier sebenar sambil berhibur.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan hasrat KidZania untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kekeluargaan.

Selain itu, kerjasama turut dirancang dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkenalkan kanak-kanak sekolah kepada pelbagai karier secara ala-permainan.

"Lebih banyak program pendidikan dan hiburan akan diperkenalkan bermula Mac lalu dan kami berharap dapat bekerjasama dengan sekolah-sekolah dalam program ini," kata Ahmad Burhanuddin.

Sempena ulang tahun kedua KidZania, seramai 200 pengunjung pertama telah diberikan tiket masuk secara percuma manakala potongan tiket sebanyak 40 peratus kepada pengunjung berikutnya.

KidZania Kuala Lumpur turut berkongsi kemeriahan sambutan tersebut bersama kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sayang dan Rumah Kasih Sayang dengan menaja kunjungan pertama mereka ke pusat tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Ukraine serang militia pro-Rusia

Posted:

Ukraine serang militia pro-Rusia

Ukraine serang militia pro-Rusia

BEBERAPA lelaki bersenjata pro-Rusia mengambil kedudukan di sebuah lokasi di Slavyansk sebagai persedian berdepan dengan pasukan khas Ukraine semalam.


SLAVYANSK - Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam pertempuran bersenjata antara pasukan khas Ukraine dan militia pro-Rusia di sini semalam.

Pertempuran di bandar ini yang terletak di timur Ukraine tercetus sehari selepas sejumlah lelaki bersenjata dan bertopeng menyerbu beberapa balai polis dan bangunan perkhidmatan keselamatan.

Rantau timur Ukraine yang dihuni majoriti penduduk berbahasa Rusia dilanda kekacauan sejak kepimpinan baharu merampas kuasa di Ukraine, susulan tunjuk perasaan berdarah oleh rakyat yang menentang rejim terdahulu.

Mereka menentang tindakan rejim pimpinan Presiden Viktor Yanukovych yang menolak untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan berpaksi kepada Moscow.

Sehingga kini, Rusia menempatkan kira-kira 40,000 askarnya di sempadan timur Ukraine dan mengancam akan memotong bekalan gas murah ke negara itu.

Serangan kelmarin mengejutkan Kiev dan para pemimpin Barat ekoran ia mirip peristiwa yang membawa kepada rampasan Semenanjung Crime oleh Rusia pada bulan lalu.

Lelaki-lelaki bertopeng itu bersenjatakan raifal tempur yang sering digunakan oleh pasukan khas Rusia.

Ramai antara mereka memakai seragam tentera mirip unit-unit terlatih yang merampas Crimea awal Mac lalu.

Namun, Rusia menafikan sebarang pembabitan dalam insiden tersebut.

Moscow juga turut memberi amaran kepada Kiev lewat kelmarin bahawa penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan pro-Rusia akan menjejaskan peluang dua negara itu untuk duduk semeja dalam rundingan damai yang ditaja oleh Amerika Syarikat dan EU di Geneva, Khamis ini.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov berkata, operasi itu disertai oleh semua unit keselamatan di negara itu.

"Semoga tuhan bersama kita," kata beliau dalam laman Facebook miliknya.

Avakov kelmarin menyelar tindakan kumpulan pro-Rusia yang dianggap beliau sebagai 'menunjukkan sifat agresif oleh Rusia' yang melancarkan siri serangan ke atas balai polis di sini.

Seorang pegawai keselamatan Ukraine memberitahu, seorang terbunuh dan lima orang cedera di pihaknya manakala agensi berita Rusia, RIA melaporkan seorang militia pro-Rusia maut dalam pertempuran tersebut.

Sebahagian anggota kumpulan pemisah itu berkubu di ibu pejabat polis di sini manakala bakinya mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di sekitar bandar ini.

Bandar ini terletak sekitar 150 kilometer dari sempadan Rusia. - Agensi

Pasukan mencari berusaha kecilkan kawasan carian

Posted:

Pasukan mencari berusaha kecilkan kawasan carian

Pasukan mencari berusaha kecilkan kawasan carian


SEORANG anggota tentera laut Australia diturunkan dari sebuah helikopter dengan menggunakan tali untuk mengambil satu serpihan di kawasan pencarian di Lautan Hindi kelmarin.


PERTH - Pasukan mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kini berusaha mengecilkan kawasan carian sebelum Kenderaan Dalam Air Automatik iaitu BlueFin 21 digunakan bagi operasi di dasar laut.

Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan semalam berkata, mereka memerlukan isyarat kotak hitam yang baharu untuk mengecilkan kawasan carian sebelum BlueFin 21 boleh digunakan.

Bagaimanapun, para pegawai bimbang jangka hayat bateri pada kotak hitam mungkin sudah tamat selepas tiada lagi isyarat baharu dikesan sejak kali terakhir dikesan pada Selasa lalu.

Kata JACC, usaha untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac lalu diteruskan dengan 11 buah pesawat dan 14 kapal dihantar di selatan Lautan Hindi semalam.

Pada minggu lepas sebanyak empat isyarat detik dikesan dipercayai dipancarkan oleh kotak hitam yang mengandungi data penerbangan serta rakaman suara kokpit.

Pasukan mencari kini memberi tumpuan mencari kotak hitam berkenaan kerana ia merupakan kunci terhadap jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.

Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi.

Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth.

Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.

Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas.

Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal hilang selepas berpatah balik ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke China.

Analisis pada data satelit kemudiannya mendapati penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. - Agensi

PDI-P tubuh pakatan dengan NasDem

Posted:

PDI-P tubuh pakatan dengan NasDem

PDI-P tubuh pakatan dengan NasDem


AKSI Joko ketika menyertai kempen Parti Demokratik Indonesia Perjuangan di Jakarta baru-baru ini.


JAKARTA - Sebuah parti politik kecil membuat persetujuan bersama pembangkang utama Indonesia sekali gus memberi laluan kepada calon Presiden popular, Joko Widodo untuk bertanding dan merebut jawatan utama tersebut pada Julai depan, kata seorang pegawai semalam.

Pada pilihan raya umum Indonesia (pemilu) Rabu lalu, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan calon pilihan raya Presidennya, Joko atau lebih popular dengan panggilan Jokowi, gagal memperoleh 25 peratus undi untuk membuat pencalonan sendiri pada pilihan raya Presiden Indonesia, 9 Julai depan.

Namun, semalam parti kecil, Parti Nasional Demokrat (NasDem) yang dipimpin taikun media, Surya Paloh menyatakan pihaknya mencapai satu persetujuan dengan PDI-P sekali gus membuka jalan untuk Jokowi bertanding pada pilihan raya tersebut.

Beliau menjadi pilihan ramai dan dijangka memenangi pilihan raya berkenaan.

"NasDem memiliki ideologi serupa dengan PDI-P dan kami berhubungan secara intensif selama berbulan-bulan," kata timbalan setiausaha agung NasDem, Willy Aditya, kepada agensi berita Reuters.

"Kami harap dapat membina satu platform ke arah pemuliharaan Indonesia menerusi kerajaan baharu kami," katanya.

Pakatan tersebut dilihat dapat mengurangkan kebimbangan para pelabur berhubung ketidaktentuan politik di Indonesia.

Menurut keputusan tidak rasmi, PDI-P memperoleh 19 peratus undi manakala NasDem mendapat enam peratus.

Namun, PDI-P diramal mengadakan pakatan dengan beberapa parti politik lain bagi memudahkan Jokowi dalam urusan penggubalan dan rombakan undang-undang di Parlimen sekiranya beliau memenangi pilihan raya tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved