Isnin, 31 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Misi tanam anak pokok secara santai

Posted:

Misi tanam anak pokok secara santai

Misi tanam anak pokok secara santai

SELAIN rakyat tempatan, SORR 2014 berjaya menerima penyertaan dalam kalangan pelancong luar negara.


KEHIDUPAN baharu bakal bermula buat lebih 1,000 anak pokok di Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak 118 tahun lalu.

Selepas berabad lama, hutan simpan kekal yang memegang rekod sebagai hutan terbesar dan paling lama wujud di Kuala Lumpur ini bergelut untuk meneruskan survival di sebalik kesibukan kota metropolitan itu.

Hutan yang diwartakan pada 8 April 1932 umpama berada di dua dunia berbeza antara perjuangan mengekalkan alam semula jadi dan asakan pembangunan di sekitar Sungai Besi, Cheras.

Mujur wujud kesedaran dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar berganding bahu bersama Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) mememulihara hutan di ibu kota agar ia terus gah membekalkan sumber seperti oksigen kepada seluruh hidupan di muka bumi.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), sebuah NGO yang terpanggil untuk meneruskan legasi kewujudan hutan di ibu kota mahu mendidik orang awam mengenai kecantikan dan kepentingan alam semula jadi terhadap manusia.

Pendekatan yang dipilih ialah melalui penganjuran Save Our Rainforest Race (SORR) 2014 iaitu maraton sejauh 10 kilometer (km) di dalam Hutan Simpan Sungai Besi dengan misi menanam anak pokok terpilih di hutan tersebut.

SORR 2014 menerima penyertaan sehingga 2,500 peserta.


Tanggungjawab

Acara yang berlangsung penuh jaya pada 29 Mac lalu berjaya mengumpulkan sehingga 2,500 peserta dalam kalangan pelajar mahasiswa, orang awam termasuk pelancong menyertai acara tahun kedua anjuran Peka itu.

Lazimnya pertandingan maraton yang menuntut peserta berlari menamatkan perlumbaan dalam tempoh yang pantas, SORR 2014 menasihatkan peserta berjalan sambil menghayati keindahan semula jadi di hutan berkenaan.

Seorang peserta bersama rakannya berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh satu jam sembilan minit berharap anak pokok yang ditanam tumbuh dengan sihat.

B. Suriya, 24, yang merupakan seorang anggota tentera berkata, tatkala menanam pokok itu hatinya turut berdoa supaya manusia sedar mengenai kepentingan tumbuhan buat hidupan di muka bumi ini.

"Ini adalah kali pertama saya mengikut program maraton seperti ini. Bayangkan kita dinasihatkan untuk tidak berlari tetapi hati mahu sahaja menamatkan misi dengan pantas.

"Bagaimanapun saat berada dalam hutan tersebut dan diberi peluang menanam anak pokok, ia umpama memegang tanggungjawab yang besar dan saya tenang ketika menamatkan tugasan ini," katanya.

Bagi pasangannya, Syamim Ismail, 21, berkata, melalui misi menanam anak pokok itu, ia seperti menebus semula kesalahan manusia yang rakus merobek keindahan alam semula jadi dek kerana keuntungan semata-mata.

"Ini adalah permulaan yang amat baik dan berharap terdapat lebih banyak NGO di luar sana menganjurkan pertandingan berkaitan kesedaran alam sekitar.

"Kadangkala dalam bergelar manusia, kita terlalu rakus dan alpa mengejar kemodenan sehingga melupakan tanpa hutan kita tidak mampu hidup," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Walaupun tujuan SORR 2014 ialah menanam anak pokok, sepanjang perjalanan menuju ke lokasi tapak semaian, melibatkan laluan yang mencabar.

Bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi ketika musim hujan di sekitar kawasan Kuala Lumpur menyebabkan laluan berbukit di Hutan Simpan Sungai Besi licin sehingga ada peserta yang tergelincir.

Setiap kumpulan terdiri daripada dua peserta berganding bahu menyelesaikan setiap kuiz selain mengumpulkan bahan seperti baja serta tanah di setiap titik semak.


TAPAK semaian anak pokok diharapkan mampu mengembalikan kehijauan alam flora dan fauna di Hutan Simpan Sungai Besi.


Keindahan alam

Tekad semua peserta hanya satu keterujaan untuk menanam anak pokok di hutan simpan tersebut. Mereka berpendapat ia adalah sedikit pengorbanan untuk menghargai sumbangan hutan terhadap manusia.

Tidak semua perkara berjalan seperti yang dirancang. Keazaman tinggi seorang orang kelainan upaya penglihatan menjadi sebahagian daripada program tersebut gagal.

P. Krushnan, 45, gagal menyertai maraton itu disebabkan ketiadaan pasangan, tetapi masih membayar yuran pendaftaran sebanyak RM80 sebagai tanda sokongan terhadap Peka dan SORR 2014.

Cacat penglihatan sejak sembilan tahun lalu rentetan daripada komplikasi kesihatan, Krushnan pernah aktif dalam aktiviti lasak terutama denai kembara.

Katanya, dia lebih menghargai keunikan dan keindahan alam semula jadi selepas deria penglihatannya hilang.

"Saya membesar di sekitar Lembah Klang dan menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Saban hari merasakan pelbagai jenis bangunan didirikan tetapi tiada usaha mengekalkan ekosistem semula jadi di kawasan sekitarnya.

"Kesannya pada masa kini, agak sukar kita mahu melihat keindahan alam semula jadi di tengah kota kecuali di kawasan hutan simpan.

"Kita sering berasa panas ketika berada di Kuala Lumpur. Jawapannya hanya satu ketiadaan tumbuhan untuk membuat udara di sekitar sini tenang," katanya yang percaya kini masyarakat semakin peka dengan ketandusan flora fauna di kota raya Kuala Lumpur. Turut hadir pada acara tersebut adalah Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan kakitangan Kosmo!.

Sementara itu, pasangan wanita pertama yang menjejakkan kaki digaris penamat menjadi milik Nor Hasniza Hassan, 33 dan Nornazatul Shima Mohd. Zin, 30.

Nor Hasniza ketika ditemui mengutarakan pendapat supaya setiap pemaju yang ingin membangunkan kawasan di Lembah Klang turut disaran membina taman mini di kawasan berdekatan.

"Saya ambil contoh mudah ialah di Suria KLCC terdapat taman di situ yang bukan sahaja memukau mata yang memandang tetapi menenangkan.

"Pada hakikatnya, kita semua boleh hidup dengan konsep tumbuhan hijau dalam bandar, cuma kita perlu bijak dalam merencanakan setiap pembangunan.

"Bohong sekiranya saya tidak berang melihat bukit yang gondol dan pokok yang ditebang, namun kita terpaksa akui itu adalah cara tunggal untuk membuka kawasan baru. Tetapi keputusan di tangan kita untuk mengimbangi antara pembangunan dan ekosistem," ujarnya panjang lebar.


BAHAROM (tiga dari kiri) bersama Shariffa Sabrina (lima dari kiri) menyempurnakan pelepasan SORR 2014.


Teruja

Jauh sekali menoleh ke belakang, apatah lagi menyerah kalah, Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yakin melalui maraton berkenaan, pihaknya mampu menyuntik sifat cintakan alam sekitar.

Beliau yang teruja apabila penganjuran kali kedua itu menerima sambutan dua kali ganda lebih ramai berbanding SORR 2013, program tersebut dalam perancangan menganjurkan SORR ke seluruh Malaysia.

"Ia masih di peringkat perbincangan tetapi kami optimis sekiranya menerima kerjasama baik daripada pelbagai pihak ia mampu.

"Kami sangat gembira kerana berdasarkan maklum balas yang diterima ramai dalam kalangan peserta sudah mula tahu nilai sebenar kewujudan flora dan fauna serta sumber air dalam kehidupan mereka.

"Oleh sebab itu, kami menyediakan pelbagai rintangan dalam usaha mereka untuk menanam anak pokok supaya ia menjadi momen yang bermakna," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Dalam program tersebut Peka berjaya menerima tajaan kira-kira 1,000 anak pokok daripada syarikat pemaju Leighton Contractors (Malaysia) terdiri daripada cengal, meranti dan pasak.

Selamat tinggal kereta kuda

Posted:

Selamat tinggal kereta kuda

Selamat tinggal kereta kuda


KERETA kuda yang beroperasi di sekitar Central Park, New York membawa elemen klasik kepada bandar raya itu.


BEBERAPA bandar raya di Amerika Syarikat mempunyai tarikan tersendiri. Antaranya, kereta kabel berloceng San Francisco, New Orleans, perarakan penuh meriah Mardi Gras dan budaya berpolitik di Washington.

Tidak ketinggalan, New York yang sarat dengan elemen kehidupan penuh warna-warni. Bagaimanapun, baru-baru ini Datuk Bandar New York, Bill de Blasio membuat pengumuman yang mengejutkan banyak pihak iaitu menamatkan perkhidmatan kereta kuda di Central Park.

Tindakan itu berikutan tanggapan bahawa sistem pengangkutan antara yang paling lama beroperasi di bandar raya itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Tegas de Blasio, tindakan menghentikan perkhidmatan itu akan dilakukan seberapa segera.

"Kereta kuda tidak lagi menjadi sebahagian daripada landskap bandar raya New York.

"Ia tidak berperikemanusiaan. Ia tidak lagi sesuai untuk tahun 2014. Ia sudah berakhir," kata beliau pada bulan Disember lalu iaitu sebulan selepas dia dilantik.

Bagaimanapun, beliau bersedia untuk berbincang bersama pengusaha perkhidmatan itu. Ketika ini terdapat 170 pemandu, 68 gerabak dan 220 ekor kuda di New York.

Sementara itu, kumpulan yang mahu perkhidmatan kereta kuda dihapuskan, NYClass pula terus memberi tekanan.

Kumpulan itu menderma AS$1.3 juta (RM4.3 juta) dalam kempen de Blasio dan calon-calon perbandaran lain yang menentang kewujudan gerabak kereta kuda yang menjadi tarikan dan diabadikan dalam kebanyakan filem romantik.

Jurucakapnya, Chelsie Schadt berkata, New York adalah salah satu bandar raya yang paling sesak di dunia dengan gerabak kuda mengganggu kelancaran lalu-lintas.


WALAUPUN teksi menjadi pilihan pengguna, kereta kuda turut mempunyai permintaan kerana elemen nostalgia.


Pusat kuda

"Sejak beberapa tahun lalu kira-kira 20 kemalangan berlaku melibatkan gerabak kuda. Tindakan ini untuk mempertahankan haiwan-hawain itu.

"Kuda-kuda ini bukan seperti manusia. Haiwan ini perlukan masa untuk berkelakuan seperti kuda sebenar, masa untuk meragut di padang dan berkeliaran bersama-sama kuda lain.

"Tapi haiwan ini pula hanya bergerak dari bangsal ke jalan-jalan di bandar raya New York dan kemudian kembali ke bangsal," tambah beliau.

Pengurus Clinton Park Stables, Conor McHugh pula memberitahu, dia bersedia membuka pusat kudanya di 52 Street yang dibina pada tahun 1860 agar orang ramai melihat sendiri operasi perkhidmatan kuda.

Pusat itu menempatkan ruang menyimpan beca di ruang bawah tanah, gerabak (tingkat bawah) dan sebanyak 79 ekor kuda pula ditempatkan di bangsal berasingan (tingkat atas) yang berukuran kira-kira 3 x 2.4 meter.

Pusat kuda itu mempunyai palung air, rumput kering, dan sistem pemadam api bagi mencegah kebakaran.

Tambah McHugh lagi, semua kuda yang berkhidmat di Central Park mesti berada sekurang-kurangnya lima minggu setiap tahun di ladang dan tidak boleh bekerja lebih dari sembilan jam sehari. Kiraan itu bermula ketika haiwan itu meninggalkan bangsal sehingga kembali.

Katanya, kuda-kuda itu juga tidak boleh bekerja pada suhu persekitaran melebihi 32 darjah Celsius atau di bawah -7 darjah Celsius.

"Mereka yang tidak mengenali atau bersetuju dengan konsep perniagaan kami menyatakan bahawa kuda-kuda ini tidak pernah berada di ladang, dibawa berjalan di padang dan tidak menjalani kehidupan kuda sebenar.

"Tetapi, mengikut undang-undang, kuda-kuda tersebut perlu melakukan semua perkara ini," katanya.

Sementara itu, Schadt membalas bahawa walaupun terdapat peraturan untuk melindungi kuda namun tidak ada cara sebenar untuk mengawal selia industri itu dalam memastikan pengendaliannya benar-benar berperikemanusiaan.

Katanya, NYClass mahu menggantikan gerabak kuda kepada kereta elektrik dengan rekaan awal abad ke-20 sekali gus menawarkan 'nostalgia' yang serupa.

Prototaip pertama kereta melibatkan kos sebanyak RM1.485 juta akan disediakan pada musim bunga ini.

Gerabak kuda akan ditamatkan secara berperingkat dan kereta elektrik akan digantikan dalam tempoh masa tiga tahun.

Hak asasi

Bagi jurucakap Persatuan Kuda dan Pengangkutan Gerabak New York, Christina Hansen, beliau berang dengan keputusan menghentikan perkhidmatan itu.

Katanya, kumpulan-kumpulan berkepentingan menghabiskan banyak masa dan wang untuk melantik de Blasio sebagai Datuk Bandar kerana dia berjanji untuk mengharamkan pengangkutan kuda.

"Mereka yang terlibat dengan hak asasi haiwan pula berpendapat sesiapa sahaja yang menggunakan haiwan untuk sebarang sebab adalah salah," katanya sambil mengerling ke arah gerabak kuda yang diletakkan berhampiran Plaza Hotel di hujung Central Park.

Katanya lagi, ejen hartanah melihat nilai kandang kuda yang terletak di sebelah barat Manhattan sebagai harta yang sangat berharga.

"Kami tidak akan menjualnya selagi masih memiliki kuda-kuda itu," katanya tegas. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Laporan bias media asing dikutuk

Posted:

Laporan bias media asing dikutuk

Laporan bias media asing dikutuk

STATUS dimuat naik oleh Aishah yang menyelar laporan Daily Mail semalam.


KUALA LUMPUR - Rakan-rakan Kapten Zaharie Ahmad Shah mengutuk tindakan akhbar tabloid antarabangsa Daily Mail yang melaporkan juruterbang itu mengasingkan diri daripada keluarga sebelum menerbangkan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.

Bekas rakan sekolah kepada juruterbang pesawat itu, Dr. Mohd. Ghouse Mohd. Noor berkata, akhbar tersebut menyebarkan pembohongan dan ia berunsur fitnah semata-mata.

"Saya kini sentiasa ada bersama keluarga Zaharie, saya telah bercakap dengan ahli keluarga terdekat keluarga Zaharie, termasuk anak lelaki Zaharie, yang menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut.

"Saya tidak faham dari mana mereka dapat cerita ini. Itu tidak benar sama sekali. Ada pihak yang sengaja manipulasi maklumat dari sumber yang tidak sahih," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


AISHAH


Beliau berkata demikian mengulas susulan laporan media antarabangsa yang mengatakan bahawa Zaharie berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil kerana mempunyai masalah rumah tangga serta sedang dalam proses perceraian.

Menurut laporan oleh Daily Mail itu, isteri Zaharie, Faizah Khanum Mustafa Khan telah memberitahu pihak penyiasat kononnya suaminya selalu mengenepikan ahli keluarganya dan hanya menghabiskan masa berjam-jam dengan simulator penerbangannya.

"Saya berharap individu yang sengaja mereka cerita mengenai perkara ini lebih sensitif dalam menyebarkan maklumat dan berfikir tentang perasaan ahli keluarga Zaharie, jangan mengada-adakan cerita tanpa bukti.

"Hairan sungguh bagaimana maklumat yang tidak sahih itu boleh dijadikan bahan berita,"katanya yang juga merupakan pengendali laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie MH370'.

Turut membidas laporan media antarabangsa itu, seorang lagi bekas rakan sekolah Zaharie, Mohd. Nasir Othman yang meluahkan rasa kecewa dengan spekulasi baharu yang disebarkan.


MOHD. GHOUSE


"Tidak adil melemparkan tuduhan tanpa bukti yang sahih. Dalam situasi sekarang ini, tumpuan adalah untuk mencari pesawat yang hilang itu dan bukannya menyebarkan spekulasi memburukkan peribadi mangsa yang terlibat,"katanya.

Dalam pada itu, anak Zaharie, Aishah mendakwa laporan Daily Mail mengenai bapanya itu sebagai satu fitnah yang lebih teruk daripada membunuh.

Melalui laman sosial Facebook miliknya kelmarin, Aishah, 28, telah memuat naik status yang ditujukan kepada Daily Mail dengan memetik sepotong ayat daripada al-Quran yang menyatakan dosa melakukan fitnah itu lebih teruk daripada membunuh.

Aishah turut menyarankan supaya akhbar tabloid itu mempertimbangkan untuk membuat filem berikutan laporan yang didakwa sebagai tidak benar itu.

"Kepada Daily Mail, anda sepatutnya mempertimbangkan membuat filem kerana anda begitu baik dalam membuat cerita dan skrip.

"Semoga tuhan mempunyai belas kasihan terhadap roh anda. Saya tidak akan maafkan anda," tulis Aishah melalui laman Facebooknya.

Perdana Menteri tidak pernah sebut MH370 terhempas

Posted:

Perdana Menteri tidak pernah sebut MH370 terhempas

Perdana Menteri tidak pernah sebut MH370 terhempas


Amir Hafiz Abd. Rahman
DUA anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menurunkan salah satu boya untuk menandakan kawasan pencarian dari pesawat Hercules C-130 di perairan Lautan Hindi, kira-kira 1,500 kilometer dari Perth, Australia semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan 'terhempas atau tiada yang terselamat' semasa mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar harian di sini semalam berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa Perdana Menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

"Perkara itu benar-benar salah. Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

HISHAMMUDDIN


Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (UK) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata:

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi".

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Perdana Menteri akan melakukan lawatan ke Perth, Australia esok untuk melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat berkenaan.

Beliau berkata, lawatan kerja tersebut akan dilakukan di Pangkalan Udara Pearce, di Perth, Australia, yang menjadi pusat SAR MH370.

"Selain melihat sendiri perkembangan operasi, Perdana Menteri juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus sejak 23 hari lalu melaksanakan kerja yang cukup rumit dan sukar," katanya.

MAS belum terima notis saman

Posted:

MAS belum terima notis saman

MAS belum terima notis saman


AHMAD JAUHARI


KUALA LUMPUR – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan masih belum menerima sebarang notis saman ataupun mengenai tindakan undang-undang terhadapnya daripada ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, sehubungan itu, pihaknya tidak dapat memberikan sebarang reaksi ataupun kenyataan ekoran kekurangan maklumat berkenaan isu terbabit.

"MAS belum menerima sebarang notifikasi saman. Kami perlu tahu saman itu mengenai apa sebelum memberi komen mengenainya," katanya pada sidang akhbar harian di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370

Posted:

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370

KAPAL milik Australia, Ocean Shield berlabuh di sebuah pelabuhan di Perth semalam.


PERTH - Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi.

Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang.

Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu.

Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China.

Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator.

Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh.

Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah.

Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. - AP

Isyarat kecemasan disiasat

Posted:

Isyarat kecemasan disiasat

Isyarat kecemasan disiasat


TEMBAKAN suar dilepaskan dari sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia semasa mencari kapal terbang MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin.


SYDNEY - Sebuah kapal penyelamat milik Australia terpaksa dilencongkan dari misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) semalam untuk memberi bantuan kepada sebuah kapal yang mengeluarkan satu isyarat kecemasan berhampiran Antartika.

Isyarat kecemasan dikeluarkan pada kedudukan di hujung selatan Lautan Hindi.

Ia dikesan semalam oleh Pusat Koordinasi Penyelamat Australia.

Isyarat itu datang dari sebuah kapal yang terletak kira-kira 3,241 kilometer barat daya Perth dan kira-kira 648 kilometer utara tanah besar Antartika.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pihaknya bagaimanapun gagal untuk berkomunikasi dengan kru kapal tersebut.

Pihak AMSA juga tidak mengetahui bentuk kecemasan yang menyebabkan kapal tersebut meminta bantuan.

Sebuah jet awam berlepas dari Melbourne untuk menyiasat isyarat itu dan dijangka sampai dalam tempoh lima jam.

Sebuah pesawat P3 Orion milik tentera Australia juga dilencongkan dari misi mencari pesawat MH370 dan menuju ke lokasi kapal berkenaan sekiranya perlu untuk menjatuhkan peralatan kecemasan.

Isyarat itu didaftarkan pada sebuah kapal menangkap ikan tetapi AMSA tidak mendedahkan maklumat tentang negara asal kru atau saiz kapal tersebut. - dpa

Polis sembur penyembur lada ke arah pelajar universiti

Posted:

Polis sembur penyembur lada ke arah pelajar universiti

Polis sembur penyembur lada ke arah pelajar universiti


BEBERAPA anggota polis menangkap seorang peminat pasukan bola keranjang Universiti Arizona di Tucson kelmarin.


TUCSON - Anggota-anggota polis menyembur lada ke arah ratusan penyokong pasukan bola keranjang Universiti Arizona di sini kelmarin.

Tindakan itu dilakukan selepas para peminat tersebut yang juga pelajar universiti berkenaan membaling botol bir dan bunga api ke arah anggota-anggota polis.

Para peminat tersebut melakukan perbuatan itu selepas pasukan bola keranjang universiti berkenaan kalah kepada Wisconsin dengan keputusan 64-63 pada pertandingan akhir Persatuan Atletik Kolej Kebangsaan di Anaheim, California kelmarin.

Menurut seorang pegawai polis, Sarjan Pete Dugan, para peminat universiti itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, seramai 10 orang ditangkap polis ekoran kejadian itu.

Dugan berkata, para peminat itu meninggalkan bar dan restoran dekat kampung universiti berkenaan selepas perlawanan tersebut berakhir.

Menurutnya, botol bir yang dibaling dan bunga api tersebut membahayakan keselamatan anggota-anggota polis. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


China Southern Airlines setuju beri bantuan kepada keluarga penumpang

Posted:

China Southern Airlines setuju beri bantuan kepada keluarga penumpang

China Southern Airlines setuju beri bantuan kepada keluarga penumpang

31/03/2014 9:33pm

KUALA LUMPUR - Rakan perkongsian kod penerbangan bagi pesawat MH370, China Southern Airlines, bersetuju bekerjasama dengan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk memberi bantuan kepada keluarga penumpang pesawat itu yang hilang sejak tiga minggu lepas.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan nasional itu memikul lebih tanggungjawab di atas kehilangan MH370 kerana pesawat itu dimiliki MAS.

"Kami sudah berbincang dengan China Southern Airlines. Oleh kerana ini pesawat kami, (jadi) tanggungjawab lebih kepada kami. Mereka hanya rakan perkongsian kod sahaja," katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu operasi mencari MH370 di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Penerbangan MH370 turut dipasarkan sebagai Penerbangan 748 (CZ748) China Southern Airlines, dengan ada penumpang yang memegang tiket syarikat penerbangan China itu. - Bernama

Polis rampas pil kuda bernilai hampir RM1 juta

Posted:

Polis rampas pil kuda bernilai hampir RM1 juta

Polis rampas pil kuda bernilai hampir RM1 juta

31/03/2014 7:55pm

KOTA BHARU - Polis menahan sepasang suami isteri bersama 39,399 biji pil dipercayai pil kuda yang dianggar bernilai hampir RM1 juta di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pasangan itu yang berumur 21 dan 25 tahun ditahan pada 2.45 pagi di rumah mereka oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

"Pemeriksaan ke atas pasangan terbabit membawa kepada penemuan beberapa biji pil yang disyaki pil kuda.

"Setelah disoal siasat, suspek membawa polis ke tempat dadah disembunyikan yang mana kesemua dadah itu diletakkan di dalam sebuah tin milo dan sebuah tong plastik yang ditanam dalam tanah yang terletak di hutan belakang rumah suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM39,599 dan mata wang Thailand 9,000 Bath, serta sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal.

Jalaluddin berkata, dadah itu disyaki untuk diedarkan di seluruh Kelantan dan ujian awal saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, pasangan itu direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut. - Bernama

PM tidak sebut terhempas atau tiada yang terselamat - Hishammuddin

Posted:

PM tidak sebut terhempas atau tiada yang terselamat - Hishammuddin

PM tidak sebut terhempas atau tiada yang terselamat - Hishammuddin

31/03/2014 8:00pm

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

"Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved