Rabu, 19 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Antara tabu, diskriminasi atau keterbukaan

Posted:

Antara tabu, diskriminasi atau keterbukaan

Antara tabu, diskriminasi atau keterbukaan

CHARLIE CHAPLIN pernah berkata, kehidupan adalah satu tragedi kalau dilihat dekat-dekat tapi ia adalah satu komedi kalau diperhatikan dari jauh.

Metafora yang cuba disampaikan adalah bagaimana seseorang pelawak boleh menggeletek deria rasa manusia, menukarkan subjek yang serius dan perihal berlaku sekeliling kepada indahnya nuansa kehidupan.

Sepertimana kata pelawak stand up yang popular dengan gaya percakapan Hinglish (gabungan bahasa Hindi dan Inggeris), Appurv Gupta: "Humor merupakan kaedah terbaik untuk menyalurkan pandangan terhadap perkara yang serius."

Mengecilkan skop komedi, salah satu cabang baharu yang kembali mendapat sambutan adalah komedi stand up.

Komedi stand up adalah seni melawak yang disampaikan di hadapan penonton secara langsung secara berseorangan (solo). Dialog yang dilontarkan sama ada secara monolog atau kenyataan yang terkandung elemen humor.

Biasanya, komedi stand up dilakukan dalam jangka masa 20 hingga 45 minit menerusi pelbagai cara dan menggunakan pelbagai alat bantu.

Kompulsif

Begitu pun, komedi stand up masih berdepan masalah ketidakseimbangan gender dan belum sepenuhnya diterima masyarakat. Ada tanggapan bahawa wanita yang melawak kurang sopan dan melanggar budaya serta tatasusila.

Memetik pandangan daripada pengarang popular Britain, Christopher Hitchens, beliau menyarankan keperluan untuk meletakkan satu ruang pemisah antara jenaka antara gender lelaki dan wanita.

Meneliti pandangan rangkuman beberapa penggiat seni popular, lelaki biasanya melihat sifat wanita suatu elemen yang provokatif dan tidak sesuai untuk berada di pentas apatah lagi berjenaka.

Bagaimanapun, sikap diskriminasi melampau terhadap golongan wanita atau lebih dikenali seksisme semakin berkurangan saban tahun dan wanita yang memiliki aura serta pesona yang melucukan sudah semakin diterima khususnya dalam platform moden seperti YouTube, Twitter dan terkini Instagram.

Hal itu sekali gus membuktikan diskriminasi gender (seksisme) dan kebencian terhadap wanita (misogini) tidak seharusnya wujud dalam dunia moden dan seni melawak membenarkan sebarang jantina atau bangsa untuk menghiburkan khalayak massa.


SHAMAINE sering menterjemah sejarah hidupnya ke pentas lawak stand up.


Joanne lawan kebencian

Menyambut baik perkara itu, kata Joanne Kam Poh Poh atau popular sebagai Joanne Kam, survival wanita dalam dunia pelawak lebih banyak mengundang prejudis berbanding penerimaan.

"Sepanjang 20 tahun bergelar pelawak stand up wanita, lebih banyak kelompok yang beranggapan wanita tidak sesuai untuk menjadi pelawak apatah lagi berdiri solo.

"Tapi, sejak lima tahun lalu saya melihat ada perkembangan positif dalam dunia lawak stand up yang membabitkan golongan wanita. Semakin ramai berani berucap di depan orang ramai.

"Melawak bergantung pada kecerdikan seseorang wanita untuk mengawal dan menakluk audiens di hadapannya.

"Tiada formula khusus untuk berjaya melainkan banyak membaca dan mempraktikkan jenaka dengan berhemah. Nasihat saya, jangan sesekali memperlekehkan maruah wanita," kata penyampai radio Red FM itu.

Langkah awal Joanne Kam, 41, bermula di sebuah kelab di Singapura sebelum kembali ke Kuala Lumpur dan pada masa sama berulang-alik ke Pulau Pinang sebelum betul-betul stabil.

Joanne tidak terlepas daripada diherdik audiens. Katanya: "Enam bulan pertama adalah waktu paling sukar, harus saya akui saya pernah dihina, diherdik dan audiens mengejek saya. Tapi, itu pemangkin semangat saya untuk terus aktif sampai sekarang."

Selepas kejayaan pementasan komedi stand up, Super Kam & The League of Extraodinary Femmes di Publika tahun lalu, Joanne kembali membuka tirai persembahannya bersama tiga pelawak stand up wanita tahun ini - Daphne Iking, Shamaine Othman dan Sharul Channa (Singapura).

Persembahan Super Kam 2 - The Second Kamming akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini di PJ Life Art, Petaling Jaya, Selangor.

Shamaine cuba dwibahasa

Sementara itu, kata anak sutradara terkenal Othman Hafsham, Shamaine Othman, dia kini sedang berjinak-jinak untuk berjenaka dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Sejak tahun 2011 lagi saya mula menceburkan diri dalam bidang komedi stand up tapi semua persembahan saya menggunakan bahasa Inggeris.

"Harith Iskander idola saya kerana dia bijak mengubah bahasa pertuturan ketika di pentas dengan mudah.

"Saya tidak menolak kecenderungan saya bertutur bahasa Inggeris kerana kurang sambutan daripada audiens Melayu untuk melihat pelawak wanita," kata pemegang ijazah seni persembahan di Universiti Monash, Australia.


PENGALAMAN 20 tahun Joanne sebagai pelawak stand up wanita menarik minat Daphne Iking untuk berkolaborasi dalam projek terbaharu mereka.


Pengarah filem Cuak itu memberitahu, kebanyakan jenakanya berkisar kehidupan lampau dan perihal dirinya yang masih solo.

"Idea untuk melawak sama seperti menulis, apa saja yang saya tahu saya akan tulis dan biasanya apabila melawak kebanyakannya bercerita mengenai diri saya yang pernah gemuk suatu masa dahulu.

"Saya banyak berpegang pada nasihat Joanne, untuk melawak tidak perlu kita bercakap lucah atau mencarut. Jika lawak itu kelakar, audiens akan gelak.

"Pernah sekali saya cuba membuat lawak 'kotor' yang akhirnya audiens tidak ketawa pun. Tapi apabila pelawak lelaki buat lawak seakan-akan sama, reaksi penonton berbeza sama sekali," ujarnya yang pernah terbabit dengan teater Projek Disko Baldi.

Shamaine mengakui pada mulanya dia berdepan kesukaran untuk berinteraksi dengan audiens memandangkan usianya di pentas lawak masih hijau namun lama-kelamaan kegusaran dan debaran itu hilang apabila usahanya berbalas gelak tawa.

Jihan permulaan baharu

Tidak kisah dijadikan penanda aras untuk generasi baharu tampil ke depan di pentas lawak, kata bekas peserta program realiti Raja Lawak musim ketiga, Jihan Musa, letak ke tepi rasa malu.

"Audiens sekarang sudah matang dan berfikiran terbuka untuk menerima wanita yang bersaing dengan lelaki di pentas komedi.

"Memang sifat azali perempuan pemalu dan takut untuk tampil ke depan tapi apa yang mampu saya lakukan adalah mengalu-alukan pembabitan wanita dalam dunia komedi.

"Kalau saya boleh buat kenapa tidak orang lain? Biar saya yang jadi permulaan untuk golongan wanita sekarang tampil ke depan dan memberikan peluang untuk kami bersuara," jelasnya.

Pentas Raja Lawak, kata Jihan, merupakan satu gelanggang emas untuk dia menjadi pelawak malah, untuk berdiri solo menghiburkan audiens bukan perkara mudah.

Jihan percaya diskriminasi terhadap wanita kini bukan satu tabu dalam masyarakat. Namun pada masa yang sama, wanita juga perlu bijak mengawal situasi apabila berjenaka.

"Kalau dahulu memang ada diskriminasi terhadap wanita yang membuat persembahan di atas pentas apatah lagi melawak.

"Tapi asalkan kita pandai, tahu apa yang orang suka dan bijak mengawal keadaan rasanya tiada masalah untuk wanita berjinak-jinak dalam komedi stand up," simpulnya.

Pelawak stand up wanita popular

Posted:

Pelawak stand up wanita popular

Pelawak stand up wanita popular


SEBELUM nama meraih populariti, Ellen DeGeneres pernah menjadi pelawak stand up.


PERDEBATAN pelawak stand up wanita tentang kesesuaian dan kesopanan untuk menterjemah karakter komikal di pentas lawak timbul sebelum abad ke-20 lagi.

Ketika itu, wanita dianggap sebagai pekerja rencam yang bertugas atas landasan menuntut kebebasan politikal dan seks semata-mata.

Kemudian, perlahan-lahan unsur lawak slapstik diselitkan dalam persembahan berkonsepkan 'concert saloon' yang menjadikan wanita sebagai penghibur dan mendukung peranan pelayan restoran.

Revolusi membentuk jalinan baharu yang mengubah persepsi serta penerimaan terhadap wanita dan jenaka. Sinergi itu menempelak perbezaan gender sebagai satu halangan untuk wanita terus berkarya.

Berikut disenaraikan pelawak stand up wanita yang terkenal di seluruh dunia:

Ellen DeGeneres

Sebelum dikenali sebagai pengacara program The Ellen DeGeneres Show, karier Ellen DeGeneres pada asalnya bermula dengan pentas lawak stand up di kelab dan bar pada awal tahun 1980. Ellen menjadikan Woody Allen dan Steve Martin sebagai inspirasi untuk mencipta jenaka. Terkenal dengan lawak yang tidak sensitif, ringkas dan informatif, Ellen juga berupaya melawak tanpa henti selama lebih satu jam.

Joan Rivers

Selepas memulakan kariernya sebagai pelawak stand up pada tahun 1960-an, Joan Rivers diangkat sebagai ikon komedi ala mean girls berbekalkan bakat secara solo. Joan tidak berdepan sebarang provokasi kerana kebanyakan lawaknya membabitkan sensitiviti semasa terutama seks. Ceritanya menjadi inspirasi, Joan muncul dalam pelbagai rancangan bual bicara, penulisan buku, pengarahan filem, memiliki rangkaian barang kemas dan sentiasa meletakkan diri dalam carta terbaik pelawak wanita.

Shappi Khorsandi

Shappi Khorsandi dilahirkan di Iran dan telah berpindah ke London bersama keluarganya apabila bapanya, penulis karya satira, Hadi Khorsandi dituduh sebagai musuh revolusi berdasarkan tulisannya. Kebanyakan komedi awalnya berkisar kisah hidup dan pengalaman ketika zaman kanak-kanak termasuk ancaman bunuh terhadap bapanya.

Saloni Daini

Digelar 'Gangubai of India', Saloni Daini merupakan gadis cilik yang dikagumi di negaranya, India. Dia antara pelawak wanita termuda masa kini yang sekali gus telah membuktikan bahawa kanak-kanak juga mampu melakukan apa saja. Saloni mula membuat persembahan di pentas ketika berusia tiga tahun dan telah menyertai pelbagai rancangan komedi termasuk Chothe Miyan.

AMY SCHUMER pernah menyertai program realiti televisyen Last Comic Standing.


Amy Schumer

Selepas mendapat tempat keempat dalam rancangan realiti Last Comic Standing musim kelima, Amy menjadi antara pelawak stand up paling pantas popular mengatasi pemenang rancangan itu. Amy membuktikan seorang wanita boleh kelihatan menggiurkan, lucu dan boleh berdiri setaraf lelaki. Rancangan komedi satu jam yang dikendalikannya, Mostly Sex Stuff merupakan antara program yang paling banyak ditonton.

Dilla Dill

Dilla merupakan pelawak stand up wanita paling dikenali di Indonesia. Terkenal dengan kekuatan parodi dan meniru perlakuan, perbuatan dan percakapan individu tertentu, Dilla mampu melawak dalam tempoh 30 minit tanpa henti. Kebanyakan jenakanya berkisar tentang golongan penyanyi popular dan penyanyi jalanan memandangkan kebolehannya juga dalam bidang seni suara.

Michelle Buteau

Michelle Buteau menjadi idola golongan wanita kerana sering menyentuh aspek pemerkasaan wanita. Dia sering bercerita mengenai perkara yang wanita gemarkan contohnya makan malam, penggayaan rambut dan membeli-belah.

Tablet di prasekolah

Posted:

Tablet di prasekolah

Tablet di prasekolah


APLIKASI interaktif di dalam iPad menarik minat kanak-kanak prasekolah.


SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun berjaya menunjuk huruf-huruf yang terpapar pada skrin dengan menggunakan jari telunjuknya. Mesra dengan panggilan Mia, dia bertepuk tangan apabila keluar suara wonderful dari komputer itu yang turut diselangi dengan tepukan gemuruh.

Pembelajaran menggunakan iPad merupakan satu kaedah yang digunakan murid-murid prasekolah di Sekolah Antarabangsa Tanto, Stockholm, Sweden. Setiap dua orang kanak-kanak dibekalkan sebuah iPad. Melalui perkongsian itu, suasana kelas amat bising dengan celoteh mereka.

Guru sekolah itu, Helena Bergstrand memberitahu, kanak-kanak amat seronok bermain dengan aplikasi di dalam iPad dan ia merupakan kaedah pembelajaran terbaik untuk membantu sebutan perkataan mereka.

Helena merupakan salah seorang daripada 90 peratus guru-guru di Stockholm yang percaya bahawa iPad dan tablet membantu mendorong kanak-kanak untuk belajar.

"IPad merupakan kaedah pembelajaran yang pantas, amat interaktif berbanding menggunakan pen dan kertas di samping menyeronokkan kanak-kanak," ujarnya sambil bergerak berpusing di sekeliling meja untuk membantu kanak-kanak.

Penyelidik di Universiti Uppsala, Petra Petersen yang telah membuat kajian berkenaan pula mendapati, penggunaan tablet merupakan cara terbaik untuk mengetahui cara anak-anak berinteraksi.

Katanya, kanak-kanak akan duduk bersama dan melakukan aktiviti secara berkumpulan menggunakan tablet. Melalui kaedah itu, mereka banyak bersentuhan antara satu sama lain dan berkomunikasi secara lisan.

"Variasi warna, bunyi, perkataan yang disebut dan perkara yang menarik minat kanak-kanak merupakan antara faktor sesebuah tablet mendapat sambutan," ujarnya.

Alam persekolahan

Seperti di kebanyakan negara lain, kanak-kanak di Sweden gemar bermain aplikasi permainan tablet dan komputer riba sebelum memasuki alam persekolahan.

Majlis Media Kebangsaan Sweeden pula menganggarkan kira-kira 70 peratus kanak-kanak yang berusia dua hingga empat tahun bermain permainan video pada usia itu.

GURU-GURU perlu memantau dan memeriksa setiap aktiviti kanak-kanak yang menggunakan tablet agar mereka tidak leka sekali gus dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.


Selain itu, hampir separuh iaitu 45 peratus kanak-kanak berusia dua tahun telah menggunakan internet.

Pakar teknologi maklumat Agensi Pendidikan Kebangsaan, Peter Karlberg memberitahu, penggunaan tablet dan komputer sekurang-kurangnya akan merapatkan jurang antara sekolah dan persekitaran kanak-kanak.

Hasil kajiannya juga mendapati, seorang daripada dua guru perlu mendapat latihan khas untuk menggunakan tablet.

Guru di Gothenburg, Felix Gyllenstig Serrao berkata, dia menggunakan permainan komputer Minecraft yang dicipta di negara itu untuk mengajar kanak-kanak mengenai tingkah laku dan masalah konsentrasi.

"Permainan ini bagus kerana mengajar mereka untuk berfikiran terbuka dan kreatif. Kebiasaannya saya menggunakan permainan tersebut untuk menjadikan sesebuah topik itu lebih seronok," jelasnya.

Teknik pengajaran

Teknik pengajarannya itu juga merangkumi kaedah pembelajaran untuk kanak-kanak yang mengalami gangguan kekurangan perhatian dan sindrom Asperger.

Felix yang juga penggemar permainan komputer mengajar subjek Matematik dan Sejarah kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun. Dia menggunakan permainan blok bangunan atau lego digital sebagai kaedah penyelesaian jawapan subjek Matematik.

Blok bangunan itu juga dibina untuk menggambarkan kejadian penting dalam buku Sejarah selepas sesi pembelajaran formal di bilik darjah berakhir.

"Kaedah itu menguatkan ingatan pembelajaran mereka. Apabila mereka bermain permainan komputer dan melihat binaan piramid atau struktur bandar yang dibina, mereka akan mengingati pelajaran itu," ujarnya.

Menurutnya, penggunaan permainan komputer dalam pembelajaran akan mengambil masa yang lama sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh di dalam kelas digital.

"Apabila saya bercakap dengan guru-guru yang berumur mengenai perkara ini, dahi mereka pasti berkerut. Mereka berfikir permainan komputer tiada kaitan dengan proses pembelajaran," tambah Felix.

Dalam usaha untuk menjadikan sekolah sebagai pusat digital, terdapat pihak yang mengkritik langkah tersebut.

Penyelidik permainan video Fakulti Pendidikan, Universiti Gothenburg, Jonas Linderoth melihat beberapa kesulitan sekiranya tablet diberikan kepada seorang bayi.

"Kebanyakan kanak-kanak mempunyai teknologi ini di rumah. Mereka juga boleh menekan pelbagai aplikasi yang terdapat di bahagian belakang tempat duduk di dalam kenderaan keluarga.

"Namun, ibu bapa tidak dapat membaca apa yang anak-anak lakukan. Ibu bapa juga perlu mengawasi setiap tindak-tanduk anak prasekolah," ujarnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tubotel singkapan khazanah Langkawi

Posted:

Tubotel singkapan khazanah Langkawi

Tubotel singkapan khazanah Langkawi

Oleh ALIF ABU BAKAR

MEREKA yang pernah menonton kartun Doraemon pasti tidak asing dengan padang permainan yang dipanggil tanah lapang. Kawasan yang menjadi pusat keriangan Nobita, Doraemon dan rakan-rakannya itu dilengkapi tiga buah kolong.

Kolong tersebut selalu dijadikan Nobita sebagai tempat persembunyian daripada dipukul Giant. Ada ketika, Nobita tidur di dalam kolong tersebut.

Secara realiti, kanak-kanak di seluruh dunia juga pernah bermain sorok-sorok di dalam kolong. Ruangnya yang sempit, gelap tetapi sejuk menjadikan ia lokasi 'rahsia' kebanyakan kanak-kanak daripada ditemui rakan lain.

Ironinya, kita yang dewasa juga pernah melewati pengalaman tersebut. Justeru, tidak salah untuk menanam hasrat untuk kembali berseronok di dalam kolong. Kini, anda boleh menzahirkan impian itu.

Tubotel di Pulau Langkawi, Kedah menjadi pusat penginapan pertama di Malaysia yang menjadikan kolong simen sebagai tempat tidur untuk pengunjung mereka. Kolong bersaiz kira-kira lima meter persegi (2.4 meter panjang x 2.1 meter lebar) itu dilengkapi katil saiz Queen (untuk dua orang), pendingin hawa, lampu tidur, kipas dan rak meletak barang.

Balkoni mini

Setiap kolong yang dipanggil tiub itu mempunyai balkoni mini yang menempatkan dua buah kerusi. Jika anda memilih tiub menghadap laut, berbaring di atas katil sahaja sudah cukup untuk merasai tamparan bayu dan menyaksikan detik terbit atau terbenamnya mentari.

Prasarana Tubotel bukanlah ukuran utama. Ambien dan lokasi strategiknya di penghujung jajaran Pantai Chenang memberikan nilai tambahan dari segi panorama dan suasana berbanding pusat penginapan di radius berhampiran.

TUBOTEL menjadikan kolong simen bersaiz lima meter persegi sebagai bilik penginapan buat tetamu.


"Mula-mula saya ingat ia betul-betul terletak dalam kelompok penginapan di Pantai Chenang. Bila sampai, tempatnya agak terpinggir dan sunyi. Namun ciri ini menjadi kelebihan Tubotel.

"Ia tidak sesak dengan pengunjung dan bebas daripada aktiviti laut klise. Kalau di pantai (Chenang), malam memang meriah dengan persembahan nyanyian band dan muzik daripada pusat hiburan sekitar.

"Anda tidak akan menemui sebarang bentuk hiburan di Tubotel. Tiada televisyen malah sambungan WiFi hanya dihadkan di kawasan restorannya. Ia tempat terbaik bagi melepaskan tekanan dan mengasingkan diri dari dunia luar," kongsi Fakhrulrazi Mohd. Fauzi, 26, yang menginap selama tiga hari dua malam di Tubotel.

Juruaudit yang bertugas di Earnst & Young, Kuala Lumpur itu menambah, kebijaksanaan susun atur bilik berkonsep tiub, gabungan perabot klasik dan moden serta dekorasi minimum Tubotel membentuk sebuah pusat peranginan yang hampir sempurna untuk orang muda.

Keramahan pemilik dan pekerja di situ juga menambah ketakjuban Fakhrulrazi. Dia menyifatkan standard servis di Tubotel menyamai kebanyakan hotel dan resort, meskipun ia boleh dikategorikan sebagai hotel butik.

Flashpacker

Keseluruhan 28 bilik di Tubotel dipecahkan kepada tiga jenis bilik. 11 bilik jenis tiub dibina dengan panorama menghadap laut manakala 15 tiub lagi memberikan pemandangan taman buatan. Baki dua bilik adalah kamar biasa (square room).

Sejak dibuka pada 1 Julai 2012, Tubotel telah menarik ramai golongan flashpacker. Mereka merupakan kumpulan backpacker yang lebih berduit berbanding pelancong bajet biasa. Sasaran pengunjung ialah individu berusia 18 hingga 25 tahun.

"Tubotel tidak direka untuk keluarga, orang tua dan kanak-kanak. Bilik air pula terletak di luar dan untuk kegunaan campuran setiap pengunjung. Justeru, ia mungkin kurang sesuai bagi sesetengah orang khususnya wanita.


PANDANGAN matahari terbenam dapat dilihat dari dalam tiub menghadap laut.


"Ia juga menjadi destinasi kebanyakan anak-anak muda Malaysia sebagai lokasi berhujung minggu. Bagaimanapun, tempat ini sebenarnya sesuai untuk mereka yang bercadang menginap untuk tempoh agak panjang.

"Kebanyakan tetamu Tubotel gemar menghabiskan masa di dalam tiub atau bersantai di gazebo restoran yang menghadap laut. Pasangan yang berbulan madu juga ramai," jelas pemilik Tubotel, Alexander Mark ketika ditemui Horizon di Langkawi baru-baru ini.

Idea

Menghurai permulaan Tubotel, Alexander atau mesra disapa Alex, 44, memberitahu pada awalnya ia dijadikan tapak gerai makan. Musim kurang pelancong menjejaskan perniagaan gerai makan Alex, ditambah risiko cuaca yang tidak menentu.

Bagi mengekalkan tapak asal, Alex melakukan kajian terperinci untuk membina sebuah pusat peranginan. Pada tahun 2011, lelaki yang berasal dari Austria itu membeli satu kolong yang ditempah khas daripada sebuah kilang simen di Ipoh, Perak.

Konsep penginapan dalam tiub itu dipinjam daripada Dasparkhotel di Austria, cetusan seorang arkitek bernama Andreas Strauss. Dedah Alex, selain unik, penggunaan kolong bagi menggantikan binaan kamar penginapan standard juga membantu penjimatan kos.

Setiap tiub dicat warna-warna terang dan ceria bagi membangkitkan keterujaan tetamu. Dinding tiub dilukis kartun-kartun popular termasuk adiwira Superman.

Hasil kerja artis dari New Zealand itu disempurnakan seorang lagi rakan Alex dari Malta yang menyumbangkan lukisan kreatif di hampir setiap sudut restoran.

Pesona dekorasi Tubotel diadun sempurna bersama latar semula jadi iaitu langit dan lautan. Komposisi dua komponen alam itu dapat dinikmati saat tetamu menikmati sajian restoran di Tubotel yang menawarkan hidangan Barat yang sederhana.


RESTORAN di Tubotel ini dikhususkan untuk tetamu mereka sahaja.


Bersih pulau

Sebagai penghargaan kepada tetamu, Tubotel turut menyediakan khidmat bot untuk ke pulau-pulau berhampiran secara percuma. Bagaimanapun, kunjungan tetamu ke pulau yang dilawati bukan untuk hiburan dan mandi-manda semata-mata.

Di bawah aktiviti yang dinamakan Eco Pirates itu, tetamu Tubotel yang menyertai program tersebut perlu membersihkan pulau yang ditandangi terlebih dulu.

Konsep lanun ekologi itu sangat menarik untuk dicuba berbanding pakej singgah pulau yang memadatkan pengunjung dengan tentatif normal seperti menyelam skuba dan memberi makan kumpulan ikan.

Sebagai lanun ekologi, tetamu Tubotel akan dibawa ke pulau berdekatan menggunakan sebuah bot lama. Bot berusia 50 tahun itu dibeli Alex pada harga RM500 sebelum diubah suai menjadi kenderaan air klasik, mirip bot dalam filem Life of Pi.

Memandangkan ia bot lama, waktu yang diambil untuk tiba ke destinasi juga agak lambat. Perjalanan dari Tubotel ke Pulau Beras Basah misalnya, memakan masa kira-kira satu jam.

Ia bertolak dari jeti Tubotel pada pukul 11 pagi dan pulang menjelang 4 petang. Aktiviti tersebut dilakukan secara harian kecuali Jumaat.

"Langkawi dikelilingi 99 pulau tropika. Jumlah itu menyulitkan penjagaan kebersihan setiap pulau. Dengan cara ini, kami dapat membantu meringankan kerja-kerja pembersihan laut di sekitar Langkawi dan menyumbang kepada pemulihan ekosistemi," jelas Alex yang telah menetap hampir 20 tahun di Malaysia dengan 10 tahun daripadanya di Langkawi.

Syurga membeli-belah Vietnam

Posted:

Syurga membeli-belah Vietnam

Syurga membeli-belah Vietnam


SALAH sebuah kilang kain yang dilawati penulis dan rakan-rakan.


PERCUTIAN tanpa rencana bersama kenalan yang ingin memulakan perniagaan kain membawa penulis ke Vietnam. Sebelum berangkat, pelbagai versi cerita yang menakutkan diberitahu oleh rakan-rakan yang pernah berkunjung di negara itu.

Antaranya, kucing dan anjing jarang dilihat berkeliaran di jalanan berikutan ia sebahagian daripada sumber protein masyarakat di negara tersebut.

Sejenak memikirkan perkara itu membuatkan bulu roma menegak di seluruh tubuh badan. Bagaimanapun, keterujaan penulis untuk melihat negara yang dikenali sebagai syurga kain dalam kalangan wanita itu tidak pernah luntur.

Alhamdulillah, dengan bajet bawah RM2,000, kehidupan selama empat hari tiga malam di Vietnam umpama jutawan. Masakan tidak, pertama kali memegang duit jutaan nilainya selepas ditukar kepada mata wang Vietnam Dong (VND).

Walapun jumlah wang tunai sebanyak VND12,875.667 terselit dalam dompet penulis, setiap kali tiba waktu makan, dilema berjimat-cermat pasti menghantui diri.

Makanan halal

Agak sukar untuk mencari sumber makanan halal di Vietnam. Bagi satu set makanan tengah hari lazimnya mencecah RM20.

Sehinggakan penulis terpaksa mengubah corak pemakanan iaitu sehari sekali sahaja di gerai mi sup berdekatan Hotel Hoang Hai Long yang menjadi tempat penginapan penulis sepanjang berada di Vietnam.

Jika kebanyakan pelancong sudah mula sibuk pada hari pertama berjalan di lokasi percutian, lain kisahnya bagi penulis dan rakan-rakan.

Kami sekadar menghabiskan masa di sekitar hotel yang secara kebetulan berdekatan dengan Pasar Ben Thanh. Suasana di dalam pasar berkenaan terlalu gamat dengan suara peniaga mempromosikan barangan masing-masing.

Malah ada peniaga dengan selamba menarik tangan pelanggan semata-mata mahu menjual produk mereka. Perasaan tidak selesa mula menghantui diri.

Namun, mereka bijak memujuk pelanggan sehingga barangan mereka dijual. Ada sahaja bahasa manis yang digunakan. Majoriti peniaga di situ adalah dalam kalangan wanita.

Membeli-belah di sekitar Pasar Ben Thanh umpama perang saraf antara peniaga dan pelanggan. Lazimnya, harga yang diletakkan sangat tinggi, tetapi jika bijak bermain kata-kata, anda mampu membeli sepasang telekung pada harga RM25 iaitu separuh daripada harga asal.


RUTIN pagi masyarakat Vietnam sebelum memulakan tugas harian ialah minum kopi.


Terdapat juga peniaga yang fasih berbahasa Melayu, bagaimanapun kebanyakan sesi membeli-belah penulis dan rakan-rakan menggunakan kalkulator sebagai alat komunikasi utama.

Caranya mudah. Pilih barang yang anda minat kemudian nyatakan harga pada kalkulator. Sekiranya peniaga berkenaan enggan, tinggalkan gerai berkenaan dan dia pasti mengejar seterusnya bersetuju dengan harga yang ditawar.

Tetapi awas. Sekiranya persetujuan dicapai, anda perlu membeli barangan berkenaan.

Oleh kerana tujuan asal rombongan untuk mencari kain pasang, perkenalan singkat bersama seorang penduduk tempatan yang juga pemandu pelancong membawa kami ke pelbagai lokasi kilang kain di sekitar Ho Chi Minh.

Borong

Setiap kilang ini hanya menjual kain dengan konsep borong. Terdapat juga baju kurung yang dijual serendah RM50 dengan pelbagai hiasan manik.

Lazimnya harga baju seperti itu di Malaysia dijual sehingga RM200 atau lebih. Bayangkan sepasang kain kapas berkualiti hanya berharga RM25 sahaja.

Sepanjang melawat di kilang tersebut, duit penulis bagaikan air yang sedang mengalir. Walaupun kebanyakan kain khas untuk wanita, tetapi pelbagai pilihan yang ada membuatkan penulis rambang mata.

Selepas menyedari duit dipoket semakin susut, kami menenangkan perasaan dengan menghirup kopi asli Vietnam.

Kami menikmati kopi tersebut menerusi peniaga kopi bermotosikal yang lalu di hadapan hotel kami menginap. Harganya RM3.50 secawan.

Hari-hari terakhir di Vietnam dihabiskan dengan melawat Terowong Cu Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari bandar Ho Chi Minh.

Menurut pemandu pelancong, rangkaian terowong bawah tanah tinggalan Perang Vietnam itu sepanjang 200 km.

Sebelum terbang ke Malaysia pada pukul 8 malam mengikut waktu tempatan, kami menghabiskan masa di Muzium Perang Vietnam.

Pada pendapat penulis, Vietnam adalah lokasi percutian bagi mereka yang gemar membeli-belah.

Keunikan Hotel De'Art

Posted:

Keunikan Hotel De'Art

Keunikan Hotel De'Art

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA


IKON Hollywood seperti Lady Gaga turut menjadi tema di Hotel De'Art.


HANYA menggunakan kertas dinding, pemilik Hotel De'Art, Shah Alam, Selangor berjaya memuaskan hati pelanggan dengan pelbagai tema terdiri daripada selebriti, kehidupan diraja dan mewah termasuk karakter kartun popular.

Antara tema yang sering menjadi pilihan pengunjung terutama dalam kalangan keluarga ialah Hello Kitty yang menyediakan dua buah katil pelamin pada harga RM218 semalam.

Menggunakan sepenuhnya warna merah jambu sebagai hiasan dalaman ruangan bilik itu, perasaan yang muram berubah ceria ketika berada di ruangan bilik tersebut.

Demikian harapan, pemilik hotel tersebut, Jenny Liow kepada setiap pelanggan yang menghabiskan masa di hotelnya itu.

Jenny berkata, setiap kertas dinding yang digunakan diimport khas dari China dan Korea kerana faktor kualiti selain corak yang pelbagai.

Malah perabot terutama tilam juga diimport dari China kerana ukiran yang menarik dan lebih mudah disepadankan dengan setiap tema di semua bilik.

Lebih menarik, Jenny memberitahu, setiap tema pada bilik tersebut adalah idea yang lahir tatkala memilih kertas dinding untuk dihias di penginapan tersebut.

"Idea untuk membuka hotel ini lahir kerana saya sering berkunjung ke luar negara seperti Eropah dan saya teruja menyaksikan keunikan setiap negara yang dikunjungi.

"Oleh itu, saya lanjutkan cadangan ini kepada bapa saya. Pada mulanya dia agak sukar menerima konsep hotel ini, tetapi sejak dibuak saya menerima banyak maklum balas positif," katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


SAAT melangkah masuk ke ruang menunggu, pelanggan dapat menyaksikan keunikan hotel ini.


Mengulas lanjut, terdapat juga pengunjung yang sering bertukar pandangan dan memberikan idea untuk mempelbagaikan lagi tema di bilik sedia ada.

Katanya, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada penduduk di sekitar Shah Alam dan Klang yang mahu merehatkan minda mereka.

"Pasangan pengantin baharu juga memilih hotel kami untuk berbulan madu. Ada juga penduduk sekitar yang bermalam di sini untuk lari seketika daripada tekanan kerja.

"Saya mahu pelanggan berasa selesa dan seronok saat menginap di sini," ujarnya yang turut menyarankan pasangan baru berkahwin memilih tema Breakfast at Tiffany's sekiranya mahu menginap di Hotel De'Art.

Romantik

Dihias dalam suasana romantik diinspirasikan daripada filem romantik komedi lakonan Audrey Hepburn, Breakfast at Tiffany's menyajikan suasana rehat seakan-akan berada dalam set filem itu.

Kertas dinding berwarna hitam dan putih serta potret Audrey Hepburn menghidupkan lagi suasana set filem tersebut. Harga yang ditawarkan ialah RM158 semalam.

Selain menyediakan lokasi penginapan yang selesa hotel bertaraf dua bintang itu turut menyediakan kemudahan tempat letak kereta khas termasuk kemudahan WiFi 24 jam.

Mengulas lanjut, graduan Ijazah Perubatan dan Pembedahan Univesiti Dundee, Scotland itu berkata, dia bakal membuka premis kedua Hotel De'Art penghujung tahun ini dengan konsep hiasan Eropah sepenuhnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Polis rungkai rahsia simulator

Posted:

Polis rungkai rahsia simulator

Polis rungkai rahsia simulator

SIMULATOR milik Kapten Zaharie di rumahnya di Shah Alam.


SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti data log tiga jenis permainan simulator yang dijumpai dalam program simulator milik juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga jenis permainan yang dijumpai itu adalah Flight Simulator X, Flight Simulator 9 dan X Flight 10.

Beliau bagaimanapun, memberitahu, hasil penelitian pihaknya yang turut disertai oleh pakar forensik dari Cybersecurity, MAS dan pakar luar mendapati, data log kepada simulator milik juruterbang berkenaan telah dipadamkan pada 3 Februari lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada pesawat terbang rendah

Posted:

Tiada pesawat terbang rendah

Tiada pesawat terbang rendah

SEPANG - Malaysia menolak dakwaan yang menyatakan sebuah pesawat dipercayai milik Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dilihat terbang rendah di sekitar kepulauan Maldives.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakan sejawat beliau di negara itu ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut adalah tidak benar.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa laporan yang mendakwa radar tentera Thailand kelmarin telah mengesan sebuah pesawat mungkin dipercayai milik MAS selepas beberapa minit sistem komunikasinya dipadamkan juga masih belum dapat disahkan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

5 sahabat maut dalam kemalangan

Posted:

5 sahabat maut dalam kemalangan

5 sahabat maut dalam kemalangan

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my

BUTTERWORTH – Kegembiraan lima sahabat yang baru selesai menonton wayang bertukar tragedi apabila kesemua mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 141.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru dekat sini kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 10 malam itu, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Nibong Tebal dengan menaiki kereta jenis Hyundai selepas menonton wayang di sebuah kompleks beli-belah dekat sini sebelum terbabas dan melanggar pokok.

Kemalangan itu menyebabkan Tan Chee Win, Song Jing Ming dan Chye Zhi Fei yang masing-masing berusia 17 tahun dan pemandu kereta Mar Jin Quan, 18, maut di tempat kejadian manakala Ngan Wei Ming, 17, mati sebaik tiba di Hospital Sebarang Jaya (HSJ) di sini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia garang belasah China

Posted:

Malaysia garang belasah China

Malaysia garang belasah China

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

PEMAIN Malaysia, Muhammad Azri Hassan (tengah) bersaing dengan pemain China, Ao Weibao pada aksi di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.


MALAYSIA beraksi garang apabila membelasah China 7-3 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak malam tadi.

Skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu tidak menunggu lama merobek gawang China apabila Muhammad Marhan Mohd. Jalil meledak gol pembukaan menerusi jaringan padang pada seawal minit keenam.

Malaysia yang dibarisi ramai pemain muda menambah gol kedua selang empat minit kemudian, berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten, Azlan Misron.

Anak-anak buah Dhaarma Raj terus mempamerkan aksi permainan kemas selain jarang melakukan kesilapan dan situasi itu menutup ruang buat China untuk memburu gol.

Menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan gol ketiga pada minit ke-24.

Bermula gerakan dari tengah padang, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil membuat satu pukulan deras bagi menewaskan penjaga gol China, Yan Rong Yao pada minit ke-23 untuk gol keempat Malaysia.

Aksi cemerlang Malaysia berterusan apabila Muhammad Shahril Saabah menambah gol kelima pada minit ke-30.

Bermula babak kedua, rentak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan.

China akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ke-44 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan E Liguang sebelum Malaysia membalas seminit kemudian menerusi pukulan penalti Fitri Saari.

China menambah gol kedua hasil jaringan Du Talake yang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-61.

Muhammad Firhan Ashaari melengkapkan malam gemilang Malaysia apabila menjaringkan gol ketujuh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

China makin agresif melancarkan serangan ke kubu Malaysia sebelum Du Talake menjaringkan gol kedua peribadinya pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menghuni tangga teratas dengan mengutip 10 mata dan kini berada di landasan terbaik bagi memburu tiket final.

Dalam satu lagi pertemuan yang berlangsung semalam, Afrika Selatan menewaskan Kanada 3-2.

Gol-gol Afrika Selatan dijaringkan oleh Timothy Drummond, Julian Hykes dan Lungile Tsolekile manakala Kanada memperoleh gol menerusi Scott Tupper dan Matthew Guest.

'Saya minta maaf'

Posted:

'Saya minta maaf'

'Saya minta maaf'

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


REAKSI Shakir (kiri) selepas dilayangkan kad merah ketika aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


PENYERANG Kelantan, Ahmad Shakir Ali memohon maaf kepada penyokong setia The Red Warriors selepas menerima kad merah ketika menentang kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh pada aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Secara terbuka, Shakir mengakui betapa dia berasa cukup kesal dengan tindakan yang dilakukannya sehingga mengundang padah buat Kelantan.

"Perkara tersebut berlaku secara pantas dan tidak sengaja serta ia di luar kawalan diri saya.

"Saya telah memohon maaf kepada pihak pengurusan pasukan termasuklah rakan-rakan sepasukan atas apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Peledak berusia 25 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Bangladesh, Tayeb Hasan selepas mengasari kapten pelawat, Le Van Duyet pada minit ke-34.

Sebelum ini, pada aksi pembukaan Piala AFC menentang wakil Myanmar, Yangoon United anak kelahiran Kedah itu turut dilayangkan kad merah.

Shakir juga pernah menerima kad merah ketika Kelantan menentang juara Liga Super, Lions XII.

Shakir memberitahu, dia menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran berguna buat dirinya.

Menurut Shakir, dia bertekad untuk bersikap lebih profesional dalam setiap perlawanan yang diharungi selepas ini.

"Saya akui penyokong kurang senang dengan tindakan tersebut dan saya mohon maaf atas kesilapan itu.

"Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut pada perlawanan akan datang," ujarnya.

Pada perlawanan tersebut, hasrat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian selepas tumpas 2-3.

Shahidan tidak layak bertanding

Posted:

Shahidan tidak layak bertanding

Shahidan tidak layak bertanding

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 25 Mei depan.

Perkara itu disahkan oleh seorang sumber dalaman FAM ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut sumber tersebut, setiap calon yang berhasrat bertanding haruslah bebas daripada hukuman penggantungan.

Pada Februari tahun lalu, FAM telah mengenakan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan ke atas Shahidan selain denda RM39,000.

Ini kerana FAM mendapati Shahidan bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 kerana mengkritik badan induk itu secara terbuka.

"Mana-mana calon yang mahu bertanding pada Kongres FAM itu nanti harus bebas daripada sebarang hukuman penggantungan.

"Jika beliau masih berminat untuk bertanding, maka beliau haruslah tunggu sehingga tempoh penggantungan itu tamat.

"Yang pasti, calon yang masih menjalani hukuman penggantungan tidak dibenarkan untuk bertanding pada pemilihan itu nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ditanya adakah Shahidan dibenar membuat rayuan bagi membolehkannya bertanding, sumber itu berkata: "Sebarang rayuan tidak akan diterima memandangkan penggantungan tersebut adalah paling minimum.

"Beliau tidak boleh merayu kerana setiap calon yang dikenakan hukuman minimum, tidak akan dibenarkan membuat sebarang rayuan."

Selain Shahidan, FAM turut mengenakan hukuman yang sama terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang ketika itu turut memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM didakwa didapati bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 ekoran mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012.

Terdahulu, FAM telah mengumumkan sesi pemilihan baharu bagi penggal 2014-2018 akan diadakan pada Kongres FAM 25 Mei depan.

Jawatan-jawatan yang bakal dipertandingkan adalah Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco FAM yang terdiri daripada lapan lelaki serta dua wanita.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Elemen pendidikan dalam novel

Posted:

Elemen pendidikan dalam novel

Elemen pendidikan dalam novel

Oleh HAFIZ AHMAD

NOVEL ini mengisahkan konflik cinta Yasmeen Zalikha bersama tiga lelaki.


BERIKUTAN tidak berpuas hati dengan pengakhiran cerita di novel-novel yang dibacanya membuatkan Asmurni Hani, 25, nekad untuk menulis novel.

Berpaksi kepada minat dan kemampuan mengarang imaginasinya, wanita kelahiran Batu Caves, Selangor itu perlahan-lahan menulis naskhah yang mampu membuatkan pembaca tersenyum di akhir cerita.

"Boleh dikatakan, bab-bab akhir novel nukilan saya sudah mampu diagak oleh pembaca tetapi bagi menyuntik kelainan, diselitkan unsur-unsur pendidikan," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran novel terbaharunya, Fallin in Love, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Elemen pendidikan tersebut adalah menjurus kepada penggunaan bahasa asing yang digunakan dalam dialog antara watak-watak novel.

"Sebagai contoh, dalam novel Falling in Love, saya menggunakan bahasa Mandarin yang ringkas dengan harapan, pembaca dapat belajar serba sedikit bahasa tersebut," kata graduan Pengurusan Sistem Pejabat, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Puncak Alam, Selangor itu.

Bagi novel sebelum ini, Asmurni menerapkan sosiobudaya dan persekitaran di London, England sebagai latar masa dan tempat. Walaupun tidak pernah berada di kota metropolitan itu, dia banyak merujuk di buku-buku dan rancangan televisyen pelancongan untuk mendapatkan gambaran keadaan di negara tersebut.

Mula menulis ketika di tingkatan dua, Asmurni menjadikan buku-buku nota sebagai sebagai medan penulisan awalnya.

"Buku-buku tersebut akan beralih dari satu pembaca ke pembaca lain dalam kalangan rakan sekelas. Berdasarkan respons-respons yang diberikan, saya terus menggiatkan lagi aktiviti penulisan sehingga menuntut di universiti," kongsi Asmurni yang menggunakan nama pena Sya Ryanna.

Novel pertama

Novel pertama yang diterbitkan pada tahun 2013 iaitu Andainya Bukan Untukku mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Dalam tempoh itu, dia yang masih belajar hanya menulis ketika cuti semester.

"Bagi novel kedua ini, saya mengambil masa beberapa bulan kerana perlu fokus kepada bidang penulisan sahaja," ujarnya yang kini menjadi penulis sepenuh masa.

Bercerita lanjut mengenai novel Falling in Love, ia seperti kebanyakan novel yang berlambak dalam pasaran, berlandaskan konflik cinta Yasmeen Zalikha yang tidak dapat memutuskan untuk menerima cinta antara tiga lelaki hadir serentak dalam hidupnya.

Dalam kebenciannya terhadap Raykal Asyraff, dia tidak dapat mengelak yang dia sebenarnya telah jatuh hati kepada lelaki yang dianggapnya sebagai sombong dan bongkak itu.

Namun disebabkan mahu mengelak daripada 'gangguan' bekas teman lelakinya, Tengku Iskandar, Yasmeen terpaksa menggunakan Raykal sebagai kekasih palsunya.

Kisah selanjutnya boleh diketahui menerusi novel setebal 808 muka surat tersebut yang diterbitkan oleh Love Novel pada harga RM29 untuk Semenanjung Malaysia dan RM39 di Sabah dan Sarawak.

Direktori digital mudah alih

Posted:

Direktori digital mudah alih

Direktori digital mudah alih


KUGAN (kanan) dan Ketua Perusahaan Maxis Berhad, Abraham Foss menunjukkan aplikasi Findit yang boleh dimuat turun ke telefon pintar pengguna.


WALAUPUN ada segelintir rakyat Malaysia masih belum beralih kepada penggunaan telefon pintar sebagai alat telekomunikasi utama, keperluan untuk memilikinya tidak dinafikan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Ia bukan sahaja terhad kepada membuat panggilan telefon, menghantar khidmat pesanan ringkas atau e-mel, melayari internet dan mengemas kini laman sosial, namun sudah berkembang menjadi alat navigasi mudah alih yang sangat memudahkan si pemiliknya.

Kecanggihan teknologi yang ligat berkembang memberi idea kepada syarikat telekomunikasi gergasi Malaysia, Maxis untuk melangkah setapak ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan direktori digital terbesar di negara ini.

Ia direalisasikan menerusi aplikasi Findit yang membolehkan pengguna mempunyai akses kepada lebih 175,000 penyenaraian perniagaan membabitkan lebih 2,500 kategori secara percuma. Kelebihan muat turun percuma itu diberikan secara eksklusif kepada pelanggan setia rangkaian tersebut.

Bagaimanapun, pengguna rangkaian lain turut berpeluang memuat turun aplikasi tersebut yang hanya dicaj melalui penggunaan data oleh syarikat telekomunikasi masing-masing.

Ketua Perkhidmatan Digital Maxis Berhad, T. Kugan berkata, para pengguna dapat mengakses perkhidmatan direktori digital seperti peta lokasi dan arah memandu secara langsung daripada telefon mudah alih mereka, tawaran dan promosi istimewa dalam bentuk diskaun dan penebusan mata ganjaran.

"Aplikasi ini dikemas kini dari semasa ke semasa. Selain pihak pentadbir aplikasi, maklumat bagi direktori turut dijana oleh pengguna. Ia terbuka kepada pengguna sistem operasi iPhone (iOS) dan sistem android.

"Buat masa ini, pengguna sistem windows masih belum boleh menggunakannya. Ia dijangka boleh digunakan oleh mereka (pengguna sistem windows) pada suku kedua tahun ini," katanya pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di pusat beli-belah Avenue K, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini. – NADIA SHAIFUL BAHARI

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan

Posted:

Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan

Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan

19/03/2014 9:26pm

BANGKOK - Thailand yang menghadapi kemerosotan jumlah pelancong dari Timur Jauh berikutan krisis politik berpanjangan, akan menghantar menteri-menterinya ke China, Jepun dan Korea Selatan untuk memulihkan keyakinan pelancong dari rantau itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul berkata, beliau akan melawat tiga negara itu terlebih dahulu kerana ketiga-tiganya terjejas akibat gangguan politik di Thailand.

Bercakap pada satu sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada diplomat asing mengenai keadaan politik masa kini di Thailand berikutan penarikan darurat di sini hari ini, beliau berkata kempen memulihkan keyakinan itu adalah satu daripada langkah merangsang sektor pelancongan.

Semalam, kerajaan sementara menarik balik perintah darurat yang dikuat kuasa sejak 22 Januari, dan menggantikannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang longgar sedikit dalam usaha menangani bantahan anti kerajaan dan sebagai usaha memupuk semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa.

ISA yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April, meliputi Bangkok, wilayah Nontaburi, kawasan Lat Lumkaew di Pratumthani dan di Bangphli dalam wilayah Sumutprakarn.

Menurut Dewan Perniagaan Thai dan Lembaga Perdagangan Thailand, separuh daripada pelancong China telah membatalkan tempahan mereka ke Thailand, manakala bagi pelancong Jepun dan Korea ia adalah kira-kira 40 peratus dan 30 peratus.

Surapong berkata, beliau akan melawat tiga negara itu dalam tempoh dua minggu bersama menteri-menteri industri, perdagangan dan pelancongan.

Diplomat asing dan wakil dari 60 negara, termasuk 21 duta besar di samping wakil empat pertubuhan antarabangsa, hadir pada taklimat di kementerian luar itu.

Tambahnya, diplomat asing itu memahami keadaan politik Thailand sambil menambah bahawa mereka yakin amaran melancong ke Thailand akan dikurangkan. - Bernama

Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam

Posted:

Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam

Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam

19/03/2014 9:18pm

SEPANG - Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia yang memasuki hari ke-12 dan tumpuan diberikan kepada dua koridor dengan pihak berkuasa serta pasukan penyiasat mendapatkan kepakaran dan pengalaman Perancis untuk mencari kotak hitam.

Bercakap dalam sidang media harian di sini hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mendapatkan pembabitan Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang bersetuju membantu pasukan mencari dan menyelamat.

"Mereka ada pengetahuan dalam nahas Air France dan dua tahun diambil untuk jumpa kotak hitam. Maklumat dan pengetahuan mereka akan bantu kita. Kita akan buat keputusan selanjutnya dari situ," katanya ditanya tindakan yang akan dilakukan sekiranya pesawat itu masih tidak dijumpai selepas 30 hari.

Tambahnya, pakar penerbangan percaya lampu isyarat perakam penerbangan akan berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari. - Bernama

Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu

Posted:

Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu

Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu

19/03/2014 7:10pm

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah serta pasukan mencari dan menyelamat sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung tragedi pelajar maut di Gunung Bubu, Ulu Kenas di Kuala Kangsar semalam.

Pemangku Pengarah JPN, Mohd. Idris Mohd. Ramli berkata, laporan penuh mengenai ekspedisi perkhemahan dan pendakian Gunung Bubu melibatkan 25 pelajar dan enam guru pengiring itu perlu disediakan oleh pihak pengurusan Kolej Vokasional Kuala Kangsar.

"Selain itu kami juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada pasukan penyelamat untuk melihat aspek lokasi dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan aktiviti perkhemahan serta pendakian di Gunung Bubu merupakan kegiatan tahunan sekolah berkenaan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP), pihak sekolah perlu mendapat kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak-pihak berkaitan sebelum melaksanakan kegiatan luaran, katanya.

"Selain kebenaran ibu bapa, guru atau pegawai yang terlibat perlulah seseorang yang berpengalaman dan berkemampuan. Pihak sekolah juga perlu maklumkan kepada pihak berkaitan seperti polis dan pihak yang menjaga kawasan aktiviti," katanya.

Mohd. Idris yang mewakili seluruh warga JPN Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar iaitu Muhamad Amir Asyraff Baharuddin dan Adam Asraf Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami'

Posted:

'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami'

'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami'


REUTERS
SEORANG anggota Tentera Udara Australia merakamkan imej lautan berhampiran barat Semenanjung Malaysia kelmarin ketika mencari pesawat MH370 yang hilang.


SYDNEY - Pihak berkuasa Australia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan semalam bahawa mereka mula mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di kawasan seluas 600,000 kilometer (KM) persegi di Lautan Hindi.

Namun, pihak berkuasa Australia dan AS mengakui pencarian pesawat MH370 tersebut amat sukar ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa ia percaya pesawat Boeing 777-200 itu sengaja dilencongkan dan terbang selama beberapa jam selepas keluar dari laluan asalnya sama ada menuju ke Asia Tengah di utara atau Lautan Hindi di selatan.

Pihak berkuasa di Kuala Lumpur kelmarin meminta Canberra memikul tanggungjawab mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu itu di koridor selatan dengan dibantu sejumlah pesawat AS dan New Zealand.

Susulan permintaan tersebut, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah memulakan operasi mencari pesawat itu di kawasan seluas 3,000 km di barat daya Perth.

"AMSA mengklasifikasi sebuah kawasan pencarian berpotensi berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa.

"Operasi mencari ini sukar. Kawasan yang amat luas meliputi 600,000 km persegi memberikan cabaran besar buat kami," kata pengurus besar AMSA, John Young.

Menurut Young, AMSA dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk melakukan operasi mencari secara menyeluruh di kawasan berkenaan.

Zon pencarian tersebut dipilih berdasarkan data satelit dan radar tentera yang diterima daripada pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pesawat peninjau jarak jauh P-8 Poseidon dan P-3 Orion daripada Armada Ke-7 Tentera Laut AS turut terlibat dalam operasi besar-besaran itu. - AFP

Keluarga penumpang China ancam mogok lapar

Posted:

Keluarga penumpang China ancam mogok lapar

Keluarga penumpang China ancam mogok lapar


BEBERAPA keluarga penumpang pesawat MH370 menunggu maklumat terbaharu mengenai nasib keluarga mereka di sebuah hotel di Beijing semalam.


BEIJING - Keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari China mengancam untuk melakukan mogok lapar bagi menuntut lebih banyak maklumat didedahkan oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung kehilangan kapal terbang berkenaan.

Seorang wanita, Wen Wancheng berkata, dia bimbang kerana anak lelakinya berada dalam pesawat MH370 tersebut dan sehingga kini tiada berita berhubung nasib penumpang atau kapal terbang berkenaan.

"Beberapa ahli keluarga penumpang yang lain mahu pergi berjumpa duta Malaysia di China bagi menyuarakan kekecewaan kami.

"Beliau (Duta Malaysia) patut hadir ke sini bagi memberitahu perkembangan siasatan tetapi dia tidak ada,'' katanya di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, beberapa ahli keluarga penumpang yang lain merancang untuk melakukan mogok lapar kerana tidak berpuas-hati terhadap kerajaan Malaysia.

Tambah Wancheng, 63, dia dan keluarga yang lain tidak mahu menyertai perjumpaan harian dengan pegawai MAS lagi kerana tiada maklumat terbaharu mengenai pesawat tersebut.

"Saya mahu pulang ke rumah kerana terlalu lama saya di sini, tetapi saya masih belum berputus asa dan yakin anak saya masih hidup,'' jelasnya.

Seorang wanita yang enggan dikenali berkata, beberapa ahli keluarga membuat protes selepas pihak berkuasa Malaysia tidak memberitahu nasib yang menimpa ahli keluarga mereka.

"Kami semua kini mengalami gangguan emosi dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi,'' katanya.

Pesawat jenis Boeing 777-200 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar selepas berlepas dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China.

Seramai 153 pesawat berkenaan adalah warga China. - AFP

Tiga juta orang bantu cari MH370

Posted:

Tiga juta orang bantu cari MH370

Tiga juta orang bantu cari MH370


Agensi
IMEJ satelit yang dikeluarkan oleh DigitalGlobe
memaparkan kawasan di Bandar Tacloban, Filipina yang terjejas akibat Taufan Haiyan pada tahun lalu.


WASHINGTON - Tiga juta orang menyertai usaha untuk mengesan kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang dalam pencarian umum yang dipercayai terbesar di dunia.

Program pencarian tersebut merupakan inisiatif firma pengendalian satelit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, DigitalGlobe.

Firma berkenaan menyatakan kelmarin bahawa usaha pencarian itu meliputi kawasan seluas 24,000 kilometer persegi dengan lebih banyak imej satelit ditambah setiap hari termasuk di kawasan baharu sekitar Lautan Hindi.

"Lebih tiga juta telah mengambil bahagian dalam program ini manakala sejumlah 257 juta imej pada peta dunia telah ditandakan oleh mereka," menurut DigitalGlobe dalam satu kenyataan.

Para peserta boleh menandakan pada peta DigitalGlobe lokasi yang dipercayai tempat pesawat hilang itu berada.

Pesawat Boeing 777-200ER yang hilang pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal itu mencetuskan misi pencarian besar-besaran di seluruh Asia Tenggara dan Lautan Hindi.

DigitalGlobe telah mengaktifkan platform yang digelar Tomnod pada 11 Mac lalu dan mempelawa orang ramai untuk melihat gambaran dari lima satelit berdefinisi tinggi dalam usaha membantu misi pencarian pesawat itu.

Program tersebut menurut DigitalGlobe, dipercayai merupakan pencarian umum terbesar dalam sejarah malah, ia lebih besar daripada usaha meraih bantuan untuk mangsa-mangsa Taufan Haiyan di Filipina, November tahun lalu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved