Rabu, 19 Februari 2014

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Smart Mid Brain anjur program aktifkan minda

Posted:

Smart Mid Brain anjur program aktifkan minda

Smart Mid Brain anjur program aktifkan minda

PARA peserta yang terlibat dalam program Pengaktifan Otak Tengah bergambar kenangan bersama ibu bapa selepas program tersebut di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


AKTIFKAN MINDA. Seramai 14 peserta dalam lingkungan usia lima hingga 19 tahun mengikuti program Pengaktifan Otak Tengah (Smart Mid Brain) yang diadakan di Jalan Tiara, Tiara Square, Taman Perindustrian UEP Subang, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Program yang diadakan selama dua hari itu merupakan satu siri pengaktifan minda bagi menggerakkan fungsi otak tengah serta merangsang penstabilan otak kanan dan kiri yang amat sesuai untuk kanak-kanak serta pelajar sekolah.

Pemilik Smart Mid Brain, Fadhiah Salwati Salwan berkata, program yang diadakan itu merupakan siri kedua selepas lanjutan siri pertama yang dibuat pada awal bulan lalu.

Mangsa banjir daerah Tenom terima sumbangan

Posted:

Mangsa banjir daerah Tenom terima sumbangan

Mangsa banjir daerah Tenom terima sumbangan


RAHMAJAHAN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di daerah Tenom, Sabah baru-baru ini.


TABUR BAKTI. Bencana banjir yang melanda daerah Tenom, Sabah baru-baru ini mendapat perhatian Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom yang mengagihkan lebih 500 bungkus bahan makanan kepada mangsa.

Selain makanan, ketuanya, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mereka yang ditempatkan di enam pusat pemindahan.

Menurut Rahmahjan, bantuan itu merupakan inisiatif daripada Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

406 anggota tentera menderma darah

Posted:

406 anggota tentera menderma darah

406 anggota tentera menderma darah


SEBAHAGIAN pegawai dan anggota yang menderma darah pada program derma darah sempena Hari Ulang Tahun ke-55 Bahagian Perkhidmatan Anggota 2014 di Kem Kementah, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MENDERMA. Sempena Hari Ulang Tahun Bahagian Perkhidmatan Anggota 2014 yang ke-55, Jabatan Arah Rekod dan Pencen, Kementerian Pertahanan Malaysia menganjurkan Program Derma Darah bertempat di Kem Kementah, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Tabung Darah Negara.

Seramai 406 penderma yang terdiri dalam kalangan anggota tentera menderma darah pada hari tersebut.

Turut hadir merasmikan program tersebut ialah Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Azizan Md. Delin.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tiada catuan air di Lembah Klang

Posted:

Tiada catuan air di Lembah Klang

Tiada catuan air di Lembah Klang

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
berita@kosmo.com.my

DUA orang penduduk menyimpan air untuk keperluan harian mereka di Kampung Pandan Luar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak bercadang untuk melakukan catuan air di Kuala Lumpur dan Selangor bagi menampung keperluan air bersih di kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan untuk melakukan catuan air memandangkan masalah tersebut masih terkawal.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

7,000 penduduk Seremban terputus bekalan air bersih

Posted:

7,000 penduduk Seremban terputus bekalan air bersih

7,000 penduduk Seremban terputus bekalan air bersih


ORANG ramai terpaksa menadah air yang disalurkan dari sebuah lori tangki di Taman Nuzari Jaya, Sendayan, Seremban semalam.


SEREMBAN - Lebih 7,000 penduduk di tiga kawasan di daerah Seremban terputus bekalan air apabila Sungai Batang Benar yang membekalkan sebahagian air ke Loji Rawatan Air Sungai Terip di sini susut akibat cuaca panas berpanjangan di negeri ini sejak sebulan lalu.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk di tiga kawasan terlibat iaitu di Sendayan, Rasah dan Mambau kini mengalami masalah gangguan bekalan air sejak tiga hari lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Erra terkilan perceraian jadi bahan jenaka

Posted:

Erra terkilan perceraian jadi bahan jenaka

Erra terkilan perceraian jadi bahan jenaka

Oleh MALIAH SURIP
maliah.surip@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Aktres Erra Fazira melahirkan rasa terkilan kerana berita perceraiannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, menjadi bahan jenaka di internet.

Pasangan tersebut bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kelmarin.

"Saya sedikit terkilan kerana kisah perceraian saya menjadi bahan jenaka di internet. Pada saat saya bersedih, ada pihak yang kurang sensitif dengan situasi yang sedang saya lalui," katanya ketika ditemui wartawan Kosmo! sebaik selesai rakaman program Primadona di Bukit Rimau di semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Siasatan FAM hampir selesai

Posted:

Siasatan FAM hampir selesai

Siasatan FAM hampir selesai

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SALEH (dua dari kiri) menjawab pertanyaan pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor semalam. Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri).


HAMPIR selesai. Itu ungkapan yang sudah diramalkan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

FAM sekadar mampu menjawap 'masih dalam siasatan' ketika diajukan soalan berhubung status kes tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Wira Salleh Mat Rasid tampil dengan jawapan yang sama bahawa kes tersebut kini masih dalam penyiasatan dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

"FAM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan dan setakat ini sudah hampir menemui jalan penyelesaian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor semalam.

Insiden kekecohan itu berlaku dalam terowong menuju ke bilik perslaian pemain pada wktu rehat separuh masa pertama kempen pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan T-Team.

Ekoran insiden tersebut, T-Team bertindak menarik diri dan enggan meneruskan aksi separuh masa kedua selepas pemain import dan jurulatih kecergasan, Elvado Rodrigues dan Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Biarpun T-Team mengemukakan laporan rasmi berhubung insiden tersebut, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas FAM mendapati alasan keselamatan yang diberikan oleh The Titans tidak kukuh.

Mengulas lanjut, Salleh yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam menegaskan, FAM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin hampir menemui jalan penyelesaian berhubugn kes di Stadium Larkin itu.

"Daripada sudut FAM mahupun PDRM, apa yang boleh saya katakan ialah siasatan ini sudah semakin hampir selesai.

"Cuma, dari pihak PDRM, kita akan berbincang dengan IGP (Ketua Polis Negara) terlebih dahulu berhubung kes ini. Sekali lagi saya ingin katakan, kes ini hampir selesai dari segi siasatannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh turut menegaskan, FAM sedang mengkaji mekanisma-mekanisma terbaik dari aspek keselamatan terutama perlawanan yang dianggap berisiko tinggi.

Beliau turut memberi saranan agar setiap stadium di seluruh negara memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aspek keselamatan.

Pengharaman suar serta larangan membawa kayu ke dalam stadium dalam saingan Liga Malaysia juga dikuatkuasakan serta merta.

Menurut Salleh, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi penguatkuasaan tersebut.

"Suar adalah alat yang menyalahi undang-undang, jadi dengan adanya CCTV, kerja pemantauan lebih fokus. Kayu yang digunakan pada sepanduk juga berbahaya kepada keselamatan orang ramai.

"Pihak polis sentiasa mendapatkan risikan dari semasa ke semasa dan kita juga sedang mencari siapa yang membawa barang tersebut (suar)," katanya.

Salleh juga menyarankan kepada FAM agar lebih tegas dalam menjatuhkan hukuman dan menyemak semula hukuman sedia ada.

Katanya, PDRM juga akan menambah anggota keselamatan di stadium terutamanya dalam perlawanan yang 'berisiko tinggi'.

Kelantan belum hilang sengat

Posted:

Kelantan belum hilang sengat

Kelantan belum hilang sengat

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


GHADDAR (kiri) memusnahkan impian PKNS selepas meledak gol kemenangan Kelantan.


KELANTAN membuktikan reputasi mereka sebagai juara bertahan Piala FA apabila tampil bergaya ke saingan separuh akhir selepas menyingkirkan Selangor PNKS 6-5 menerusi kiraan agregat dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Shahrul Azim Ab. Halim menyifatkan kejayaan layak ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut membuktikan Kelantan masih belum hilang sengatnya walaupun terpaksa bergelut dengan prestasi yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurut Nik Shahrul, kejayaan menyingkirkan PKNS adalah hasil komitmen rakan-rakan sepasukan yang telah mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi pada perlawanan tersebut.

Menurutnya lagi, meskipun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan tuan rumah pada minit kedua, namun ia tidak menjejaskan tumpuan mereka untuk mengharungi perlawanan tersebut dengan lebih yakin, sekali gus memastikan Kelantan mara ke peringkat seterusnya.

"Saya sanjung semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan pada perlawanan itu. Kejayaan kami mara ke separuh akhir dilihat menjadi titik tolak kepada kebangkitan pasukan Kelantan.

"Bagaimanapun saya dan rakan-rakan sepasukan masih perlu bekerja keras kerana terdapat beberapa kelemahan yang harus diperbaiki segera bagi memastikan Kelantan terus mantap," katanya.

Nik Shahrul memberitahu, benteng pertahanan Kelantan masih rapuh dan perlu diberbaiki segera bagi memastikan ia kembali ampuh untuk mengekang asakan pasukan lawan.

Jesteru, pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu berazam untuk bekerja lebih keras bersama-sama rakan sepasukan bagi memastikan benteng Kelantan kembali mantap.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah pada minit kedua menerusi Patrick Ronaldinho yang bijak memanfaatkan hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Pada minit ke-19, Ahmad Fakri Saarani mempamerkan kehebatannya apabila meledak gol penyamaan dan selang tujuh minit kemudiaan, giliran Ahmad Shakir Ali menjarakkan kedudukan dengan jaringan kedua menjadikan agregat 5-3 berpihak kepada The Red Warriors.

Permainan kedua-dua pasukan bertambah sengit apabila Karlo Primorac kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan sebaik bersambung babak kedua, PKNS berjaya memimpin perlawanan menerusi jaringan Hamka Hamsah pada minit ke-71, namun hasrat mereka dimusnahkan oleh Mohamad Ghaddar.

Mat Yo, Amri tidak kelihatan

Posted:

Mat Yo, Amri tidak kelihatan

Mat Yo, Amri tidak kelihatan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TIADA kelibat penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan pertama di bawah bimbingan jurulatih baharu Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Selangor semalam.

Selain Norshahrul yang juga dikenali sebagai 'Mat Yo' yang gagal melapor diri bersama skuad kebangsaan, rakan sepasukannya dalam skuad Johor Darul Takzim (Johor DT), Mohd. Amri Yahyah juga tidak dapat menyertai 23 pelatih skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan tersebut.

Mengulas ketiadaan dua pemain terbabit, Kim Swee mendedahkan, kedua-dua penyerang skuad Harimau Selatan itu memiliki alasan yang berbeza.

Jelas pengendali kelahiran Melaka itu, Amri telah menghubunginya bagi menjelask Mat Yo tidak diketahui.

Usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan lanjut da ripada Mat Yo berhubung perkara itu gagal kerana dia tidak dapat dihubungi.

Difahamkan, Mat Yo bakal mengerja umrah dalam tempoh terdekat.

"Kemungkinan (mereka berdua) ada masalah. Amri ada meminta kebenaran (hadir) lewat sedikit memandangkan ada masalah keluarga dan begitu juga Mat Yo.

"Kita masih menunggu apa yang kita perlu lakukan terutama maklum balas daripada Mat Yo sendiri dengan menanti surat rasmi daripadanya.

"Bagi saya, apabila kamu mendapat panggilan untuk menyertai latihan skuad kebangsaan, kamu harus melaporkan diri. Saya tahu dia ada perancangan sesuatu tetapi dia perlu juga menulis surat rasmi kepada kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee meramalkan beliau bakal memanggil beberapa pemain lagi selepas mendapati tonggak pertahanan Pahang, Razman Roslan ditimpa masalah kecederaan hamstring.

Jelasnya, beliau tidak menolak untuk memanggil pemain-pemain yang berada dalam bangku simpanan mahupun muka baharu jika gagal mendapatkan khidmat bekas pemain Selangor tersebut untuk bersama Harimau Malaya.

"Ada kemungkinan saya akan pangiil pemain gantian dan setakat ini, saya hanya memiliki Muhammad Zubir Mohd. Azmi yang beraksi di sebelah kiri selepas Razman ditimpa masalah kecederaan hamstring.

"Bagi saya, jentera serangan tiada masalah memandangkan kita masih ada Safee Sali, Bobby Gonzales, Ahmad Fakhri Saarani dan Amri. Saya lebih pentingkan kepada bahagian pertahanan.

"Saya akan panggil pemain dari senarai simpanan mahupun pemain yang berada di luar senarai tersebut. Apa pun, kami akan tunggu perkembangan mereka (Mat Yo dan Amri) termasuk juga Razman yang mengalami kecederaan hamstring," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tanam sayur jimatkan kos

Posted:

Tanam sayur jimatkan kos

Tanam sayur jimatkan kos

MEREKA yang tinggal di rumah pangsa juga berpeluang bercucuk tanam jika mereka ada kesungguhan. - Gambar hiasan


DALAM usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup yang kini menjadi isu nasional, ada pengguna mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran dan herba untuk keperluan sendiri di rumah.

Rata-rata pengguna terutama suri rumah mengakui, usaha itu sedikit sebanyak membantu mereka menangani beban sara hidup yang kian meningkat.

Aktivis alam sekitar, Ahmad Kamal Mohd. Ali berkata, pengguna yang mengamalkan aktiviti penanaman sayur di rumah dapat mengurangkan 20 peratus perbelanjaan bulanan.

"Aktiviti menanam sayur di rumah bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan, tetapi turut membantu memulihkan tanah bebas daripada bahan kimia.

"Pada masa sama, kegiatan menanam sayur untuk keperluan sendiri turut membantu melahirkan masyarakat berdikari yang menghasilkan sendiri tanaman mereka dan tidak bergantung kepada faktor luar untuk mendapatkan sayur-sayuran," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang pernah mengikuti program Pertanian Asli anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggalakkan lebih ramai suri rumah mengamalkan menanam sayur di rumah kerana ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti senaman.

Tambah pendapatan

Suri rumah, Dalila Md. Dahalan, 40, berkata, aktiviti menanam sayur dan herba di rumah turut membantu menambah pendapatan bulanan hasil jualan sayur-sayuran itu.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, beliau bersama tujuh jirannya yang lain mengusahakan tanaman sayur seluas 0.4 hektar di kawasan perumahan mereka sejak empat tahun lalu.

"Kami belajar cara-cara menanam sayur daripada seorang kenalan yang pernah mengikuti program CAP. Dialah yang mengajar kami cara-cara tanam sayur secara organik dan menghasilkan baja sendiri.

"Memang tidak memerlukan modal yang besar. Sayur yang kami dapat pun bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah kami boleh menjualnya kepada jiran setempat. Dalam sebulan kami boleh memperoleh RM20," katanya.

Dalila berkata, antara sayur yang ditanam ialah bayam, sawi, terung, bendi dan cili. Pada setiap Rabu mereka akan berkumpul membersih dan memantau kawasan kebun itu.

Sementara itu, pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata, CAP mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan herba sendiri di rumah.

Program yang diperkenalkan sejak lapan tahun lalu itu pada mulanya bertujuan mendidik petani mengamalkan pertanian semula jadi dan organik yang lebih sihat.

Bagaimanapun, program itu mendapat perhatian daripada golongan suri rumah, pihak sekolah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mempelajari cara-cara menanam sayur-sayuran dan herba di rumah.

"Kami bukan sahaja mengajar peserta cara-cara menanam sayur malah mengajar mereka menghasilkan baja kompos daripada sisa dapur dan pertanian. Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menghasilkan sayur-sayuran yang lebih segar dan bebas bahan kimia.

WANITA ini membuktikan meskipun tinggal di pangsapuri, dia masih boleh bercucuk tanam. - Gambar hiasan


"Program ini tidak terhad di Pulau Pinang, kadangkala kami menjelajah ke negeri lain atas jemputan pihak tertentu," katanya.

Hakikatnya, mengusahakan kebun secara kecil-kecilan di kediaman sendiri boleh menjadi alternatif bagi masyarakat bandar untuk meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Tanggapan sukar untuk berkebun di bandar mungkin tidak relevan kerana terdapat beberapa laman web dan akaun Facebook yang menyediakan tip bagi masyarakat bandar berkebun.

Antara laman web yang menawarkan panduan dan menyediakan ruang untuk berkongsi maklumat dan bertukar-tukar fikiran bagi mereka yang tinggal di bandar mengusahakan kebun sendiri ialah http://kebunbandar.com, Kelab Kebun Keliling Rumah dan semuamenjadi.blogspot.com.

Laman web kebunbandar.com dikendalikan pelajar sarjana muda Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Izham Alias. Laman blog dan akaun facebook berkenaan diwujudkan tahun lalu itu kini mempunyai lebih 640 anggota melalui akaun laman sosial Facebook, Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri.

Tanam bawang

"Kumpulan sokongan Jom Tanam Sendiri mengumpulkan para peminat yang suka bercucuk tanam di rumah, sama ada rumah teres, banglo, apartmen mahupun kuarters. Kumpulan ini adalah ruang bagi mereka mendapatkan maklum balas, tip dan pandangan berkenaan hortikultur dan perkebunan di Malaysia," kata Izham dalam akaun Facebook itu.

Antara maklumat bergambar yang dipaparkan dalam laman web dan akaun Facebook berkenaan ialah kaedah mudah menanam bawang merah di dalam pelbagai bekas di rumah dan menghasilkan sayur tauge di dapur sendiri dengan mencambah kacang hijau.

Tip lain yang dimuatkan pelbagai langkah untuk menanam sayur iaitu menyemai benih pada bekas semaian, memastikan pancaran matahari yang bersesuaian untuk pelbagai jenis sayur dan menentukan tanah campuran terbaik untuk menanam sayur di dalam bekas.

Satu lagi akaun Facebook yang menggalakkan masyarakat berkebun iaitu Kelab Kebun Keliling Rumah kini mempunyai lebih 4,600 anggota.

Antara gambar yang dikongsi di akaun Facebook itu mengenai tip menggunakan bekas kertas meletak telur sebagai tapak semaian benih jagung serta menanam kucai dan terung di rumah. Laman web semuamenjadi.blogspot.com pula mempunyai maklumat bergambar mengenai tanaman kunyit dan sayur bayam. - Bernama

550 jenama produk penjagaan bayi

Posted:

550 jenama produk penjagaan bayi

550 jenama produk penjagaan bayi


EKSPO Keibuan yang berlangsung selama tiga hari akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan.


EKSPO bayi terbesar di Asia Tenggara, Ekspo Keibuan anjuran HareNet Communications Sdn. Bhd. kembali menghangatkan acara tahunan mereka bermula 28 Februari hingga 2 Mac 2014.

Dikenali sebagai ekspo paling pantas berkembang, ia akan merangkumi kawasan pameran seluas 23,469 meter persegi dengan lebih 350 gerai jualan.

Seramai lebih 200 peniaga mengambil bahagian mewakili 550 jenama terkemuka dalam produk penjagaan bayi dan kehamilan.

Ekspo Keibuan terus memainkan peranan penting sebagai platform sumber yang komprehensif di Malaysia meliputi keseluruhan spektrum penjagaan kelahiran bayi daripada konsep keibubapaan.

Ekspo selama tiga hari itu akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan selain menawarkan pelbagai pameran untuk bayi baru lahir, kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung.

Antara produk yang dijual termasuklah pakaian dan kasut bayi, kereta sorong bayi, produk mandian dan penjagaan kulit. Selain itu, katil, perabot, permainan, cenderamata, produk makanan bayi dan peralatan menyusu serta banyak lagi yang pasti memenuhi keperluan kehamilan dijual di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, melalui ekspo ini, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat terkini dan trend pasaran mengenai produk yang diingini.

Malah, setiap pempamer yang mengambil bahagian akan melancarkan inovasi dan ciptaan terkini dalam produk dan perkhidmatan bayi.

Selain peraduan dan permainan menarik untuk si kecil, pihak penganjur turut menjemput mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi taklimat dan nasihat berkaitan penyusuan bayi, magis urutan bayi dan tip sihat selepas bersalin.

Bagi mereka yang mencari peluang perniagaan secara francais, jangan ketinggalan untuk menghadiri sesi ceramah yang akan diadakan.

Sementara itu, bagi pengunjung yang membelanjakan RM100 ke atas dalam satu resit dengan mana-mana pempamer, jangan lupa mendapatkan tiket untuk menyertai cabutan bertuah yang dilaksanakan dua kali hari.

Penjimatan optimum dengan Shell Fuelsave

Posted:

Penjimatan optimum dengan Shell Fuelsave

Penjimatan optimum dengan Shell Fuelsave


DARI kiri: Gonzalez, Lisa, Rendell dan Danker bergandingan bagi menyahut cabaran Shell Eko Maraton 2014 di Litar Lumba Manila di Filipina, baru-baru ini.


PEMANDUAN yang betul terbukti mampu meningkatkan penjimatan petrol sesebuah kenderaan.

Peluang beraksi di litar lumba sambil mengaplikasikan teknik pemanduan yang betul bagi penjimatan petrol optimum sukar untuk dilepaskan oleh Lisa Surihani.

Tambahan pula, pelakon dan model popular itu berpeluang bergandingan bersama personaliti popular dari rantau Asia iaitu Bianca Gonzalez dari Filipina, Alex Rendell (Thailand) dan Jean Danker (Singapura).

Kesemua mereka digandingkan bagi menyahut Cabaran Memandu Shell FuelSave Selebriti 2014 di Litar Lumba Manila, Filipina baru-baru ini.

Lisa dikehendaki memandu sejauh 218.95 kilometer (km) dengan hanya seliter petrol fuelsave 95 menggunakan kenderaan yang diubah suai dikenali sebagai penjimatan ultra-energy Shell Eko Maraton.

"Saya sangat bangga selain teruja berpeluang menjadi sebahagian daripada kumpulan ini. Sejujurnya, ia adalah satu penghormatan untuk melibatkan diri dalam Shell Eko Maraton dan melihat hasil kerja bakal jurutera muda dari semua negara.

"Sebelum terlibat dalam program ini, saya tidak tahu penjimatan petrol dapat dilakukan dengan mudah. Sekadar ubah cara pemanduan dan rasai penjimatan petrol yang maksimum," katanya.

Memasuki tahun kelima penganjuran Shell Eko Maraton di Asia, mahasiswa dari seluruh dunia berkumpul di Filipina yang julung-julung kali menganjurkan acara itu.

Bermula pada 6 hingga 9 Februari lalu, lebih daripada 120 kumpulan melibatkan 16 buah negara termasuk Malaysia terbabit dalam pertandingan itu.

Pengurus Jualan dan Operasi Shell Malaysia, Leslie Ng berkata, dia menyambut baik setiap penyertaan dalam penganjuran pertandingan tersebut.

"Kita berharap dengan Shell Eko Maraton akan memberikan inspirasi kepada bakal jurutera di seluruh dunia untuk terus mencipta teknologi baharu. Ia termasuk sumber pencarian tenaga baharu.

"Penglibatan Lisa dalam program ini bukan sahaja sebagai jurucakap Shell Fuelsave, malah mampu mendidik pengguna kami di luar sana untuk menggunakan petrol dengan penjimatan maksimum ketika memandu," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pembunuh Rajiv Gandhi dibebaskan dari penjara

Posted:

Pembunuh Rajiv Gandhi dibebaskan dari penjara

Pembunuh Rajiv Gandhi dibebaskan dari penjara

19/02/2014 11:39pm

NEW DELHI - Ketua Menteri Tamil Nadu, J. Jayalalithaa hari ini memerintahkan pembebasan kesemua tujuh individu yang bertanggungjawab merancang pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi.

Jayalalithaa mengumumkan keputusan itu sehari selepas mahkamah tertinggi negara menarik balik hukuman mati terhadap ketiga-tiga individu terbabit bersabit kes pembunuhan Gandhi pada tahun 1991 dalam serangan bom berani mati.

"Memandangkan mereka telah menghabiskan masa selama lebih 23 tahun di dalam penjara, kabinet memutuskan untuk segera membebaskan Santhan, Murugan dan Perarivalan di bawah kuasa yang diperuntukkan kerajaan negeri," kata Jayalalithaa sejurus selepas mesyuarat kabinet hari ini.

Katanya, beliau juga akan melepaskan empat yang lain termasuk seorang wanita yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup berhubung kes itu.

Gandhi telah dibunuh oleh seorang wanita Tamil yang bertindak sebagai pengebom berani mati di selatan negeri Tamil Nadu.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) memetik Jayalalithaa sebagai berkata, kes itu akan dihantar kepada kerajaan persekutuan dengan kadar segera bagi mendapatkan kelulusan berhubung pembebasan itu.

Jayalalithaa akan terus berusaha memperjuangkan pembebasan mereka jika kerajaan persekutuan yang diterajui Parti Kongres gagal memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari, kata PTI.

Rahul Gandhi, anak kepada Rajiv Gandhi yang juga Naib Presiden Parti Kongres menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan Jayalalithaa itu. - AFP

Pusat Tahfiz Amal di Kedah diarah tutup

Posted:

Pusat Tahfiz Amal di Kedah diarah tutup

Pusat Tahfiz Amal di Kedah diarah tutup

19/02/2014 10:58pm

ALOR SETAR - Pusat Tahfiz Amal di KM 17, Jalan Kuala Kedah-Yan telah diarah menghentikan operasi melalui notis arahan tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 10 Februari lalu.

Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama JAIK, Mohd. Fadil Ab. Rahman berkata pihaknya akan melakukan pemantauan susulan bagi memastikan pengurusan sekolah mematuhi arahan notis tutup itu.

"Mengenai notis tutup ini juga kita sudah laporkan kepada pihak polis dan kita nanti apa tindakan yang boleh kita ambil jika mereka enggan mematuhi notis berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata notis itu telah ditandatangani Pengarah JAIK, Datuk Noh Dahya yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

"Notis berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan JAIKsebagai susulan kepada notis bertarikh 1 Januari 2007, selepas Jaik mendapati pusat berkenaan masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran," katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini mengesahkan pusat tahfiz tersebut bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat.

Difahamkan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai ajaran Azhar Wahab dan memutuskan ia bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada Islam.

Isu mengenai pusat itu yang memperalatkan pelajar mengutip derma menjadi tumpuan apabila beberapa laman web termasuk Facebook mendedahkan beberapa keping gambar individu yang didakwa sebagai pengetuanya sedang berhibur dan hidup mewah hasil kutipan derma yang dilakukan para pelajar. - Bernama

Dasar Industri Kreatif Negara tingkatkan mutu dan bakat muzik tempatan

Posted:

Dasar Industri Kreatif Negara tingkatkan mutu dan bakat muzik tempatan

Dasar Industri Kreatif Negara tingkatkan mutu dan bakat muzik tempatan

19/02/2014 10:27pm

KUALA LUMPUR - Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) telah menyumbang kepada pembangunan industri muzik Malaysia dengan memberikan sokongan berbentuk inovasi, latihan muzik dan pengenalan konsep baru untuk meningkatkan mutu dan bakat muzik tempatan.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dalam kenyataan berkata ini terbukti apabila enam projek utama telah dilaksanakan di bawah inisiatif DIKN tahun lepas.

Ia membabitkan penganjuran delegasi perdagangan ke Cannes, Perancis, penganjuran dua Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk segmen muzik Cina dan India, pengenalan Geran Pemadanan untuk penerbitan Video Muzik (MTV), pengenalan Geran Sokongan Lawatan ke luar negara, penganjuran Program Akreditasi Muzik Profesional dan forum industri muzik peringkat kebangsaan.

DIKN dilancar pada 2011 untuk memberikan sokongan penuh dan berterusan kepada industri muzik tempatan dengan peruntukan dana sebanyak RM6.5 juta.

Antara strategi pembangunan dalam dasar tersebut termasuk penubuhan badan pengawasan pusat industri muzik, meningkatkan undang-undang penguatkuasaan dalam operasi mencegah cetak rompak, pemuliharaan bahan muzik ke arah mewujudkan muzium warisan serta membangunkan modal insan kreatif. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


4 maut, 64 cedera dalam keganasan di Bangkok

Posted:

4 maut, 64 cedera dalam keganasan di Bangkok

4 maut, 64 cedera dalam keganasan di Bangkok

BEBERAPA anggota polis antirusuhan rebah selepas sebutir bom tangan meletup di hadapan mereka dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan di Bangkok semalam.- AP


BANGKOK - Sebanyak empat orang maut manakala 64 lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan antikerajaan dengan polis di ibu kota Thailand di sini semalam.

Kematian tersebut berlaku ketika polis pencegah rusuhan dikerahkan untuk menyuraikan beberapa kem penunjuk perasaan.

Beberapa das tembakan kedengaran tengah hari semalam di sebuah tapak berhampiran pejabat perdana menteri apabila polis bertindak mengusir penunjuk perasaan dan merobohkan sebuah pentas mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan kecemasan Erawan memberitahu, seorang penduduk awam berusia 52 tahun terbunuh akibat kecederaan di kepala manakala seorang anggota polis meninggal dunia selepas cedera di dada.

Ia menyatakan, dua mangsa lain turut maut tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Khas, Tharit Pengdit dalam satu sidang akhbar menyatakan, penunjuk perasaan antikerajaan telah membaling beberapa butir bom tangan ke arah anggota-anggota polis.

Kekacauan terbaharu itu berlaku selepas polis cuba menahan dan menyuraikan penunjuk perasaan yang berkampung selama beberapa minggu bagi mendesak Yingluck meletak jawatan.

Sebelum ini, polis enggan menyuraikan mereka kerana bimbang keganasan akan tercetus.

Namun, kelmarin pusat kawalan keselamatan khas mengumumkan polis akan menguasai semula lima lokasi tunjuk perasaan di sini untuk kegunaan awam.

Beribu-ribu anggota polis termasuk skuad antirusuhan dikerahkan ke seluruh bandar raya ini semalam dalam operasi yang dinamakan 'Keamanan untuk Bangkok'.

Semalam, seramai 144 penunjuk perasaan yang berhimpun dekat Kementerian Tenaga, dekat sini ditahan tanpa kekerasan. - Agensi

China mahu polis tegas banteras pelacuran

Posted:

China mahu polis tegas banteras pelacuran

China mahu polis tegas banteras pelacuran


SEORANG anggota polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah urut di wilayah Shandong, Timur China kelmarin.- Reuters


BEIJING - Pemerintah China mengarahkan pihak berkuasa di seluruh negara itu agar tegas menangani jenayah pelacuran, judi dan dadah selepas polis menahan hampir 1,000 orang dalam operasi membasmi pelacuran di Dongguan yang turut dikenali sebagai The Sin City pada bulan ini.

Pengumuman mengenainya yang dibuat di laman web Kementerian Keselamatan Awam kelmarin menyatakan, siasatan telah dimulakan di beberapa wilayah manakala polis mematahkan sebanyak 73 sindiket pelacuran serta menutup 2,410 pusat pelacuran dan perjudian sejak lebih seminggu lalu.

China mengharamkan pelacuran susulan revolusi Komunis pada tahun 1949 tetapi gejala sosial itu kembali bertapak selepas reformasi ekonomi tiga dekad lalu yang turut menyaksikan peningkatan jangkitan HIV dan pelbagai penyakit kelamin lain.

Perjudian juga diharamkan di China melainkan dua loteri kelolaan pemerintah.

Walaupun serbuan ke atas rumah pelacuran dilakukan dari semasa ke semasa tetapi gejala tersebut semakin meluas ekoran kelemahan penguatkuasaan.

Dalam satu amaran keras terhadap pegawai-pegawai yang bersekongkol, kementerian sama menegaskan, mereka akan disiasat secara serius dan akan dihukum berlandaskan undang-undang negara jika didapati bersalah.

Amaran itu dikeluarkan selepas ketua polis bandar raya Dongguan di selatan China, Yan Xiaokang yang juga timbalan datuk bandar dipecat Jumaat lalu kerana lalai dalam melaksanakan tugas.

Seramai tujuh pegawai tempatan turut dipecat berhubung kes tersebut.

Pada tahun ini, serbuan di sebuah kampung dalam wilayah Guangdong yang disyaki menjadi pusat pengeluaran satu pertiga daripada bekalan syabu di China membawa kepada penangkapan setiausaha parti politik dan ketua polis tempatan. - Reuters

Air sungai bertukar jadi jingga selepas banjir

Posted:

Air sungai bertukar jadi jingga selepas banjir

Air sungai bertukar jadi jingga selepas banjir

AIR Sungai Holme di Yorkshire Barat bertukar menjadi jingga selepas berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat baru-baru ini.- Agensi


YORKSHIRE - Sebatang sungai di Yorkshire Barat di Britain bertukar menjadi warna jingga selepas banjir melanda kawasan berkenaan baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mirror semalam.

Agensi Alam Sekitar Britain memberitahu, fenomena yang berlaku di Sungai Holme itu berpunca daripada satu bahan semula jadi yang terdapat di sebuah lombong lama sebelum mengalir ke dalam sungai berkenaan.

Bahan semula jadi yang dikenali sebagai ferum oksida itu bercampur dengan mineral lain di dalam air sungai menyebabkan ia bertukar menjadi jingga.

Bagaimanapun, perubahan warna akibat campuran mineral berkenaan tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan hidupan di dalam sungai tersebut.

Hujan lebat di kawasan berbukit menyebabkan air banjir mengalir melalui sebuah lombong dan masuk ke dalam sungai.

Lombong lama tersebut sering menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan perkampungan Jackson Bridge di sini.

Kejadian seperti itu bukan yang pertama kali berlaku kerana sungai tersebut pernah bertukar warna menjadi coklat pada Oktober tahun lalu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Zainab dalam diri Nasha

Posted:

Zainab dalam diri Nasha

Zainab dalam diri Nasha

PADA tahun 2006, pelakon cantik, Nasha Aziz pernah membuat kemunculan sulung di pentas teater apabila dipilih untuk membintangi teater arahan Rosminah Tahir berjudul Lantai T. Pinkie.

Sejak itu, dia tidak pernah lagi terbabit dengan pementasan teater. Setelah lapan tahun berlalu, dia kini akan membuat kemunculan semula dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

Memandangkan jarak yang agak panjang antara kedua-dua teater berkenaan, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian Nasha untuk membintangi teater tersebut. Adakah kerana teater ini diadpatasi daripada karya ulama dan novelis terkenal, Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka itu?

"Bukan tidak pernah mendapat tawaran berlakon teater selepas Lantai T. Pinkie dahulu. Cuma, tiada sebarang tawaran yang mampu membuatkan saya betul-betul 'jatuh cinta' untuk menerimanya sehingga ditawarkan berlakon dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

"Meskipun pernah menolak beberapa tawaran yang diberikan saya tetap memberikan sokongan kepada dunia teater dan kalau ada kelapangan saya akan pergi menontonnya," jelas Nasha ketika ditemui semasa majlis pelancaran teater berkenaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Nasha, antara barisan pelakon lain yang turut menjadi pilihan IB dan Rosminah seperti Adi Putra, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi, Liza Abdullah dan Zila Bakarin.

Mengakui sangat rindu untuk berlakon teater setelah tidak beraksi dalam tempoh yang lama, Nasha menyatakan dia selesa bekerja dengan Rosminah yang sudah dianggapnya sebagai seorang kakak.

"Saya tahu berlakon teater memberikan satu cabaran yang cukup berbeza berbanding filem atau drama. Bagaimanapun, suasana bekerja dengan orang-orang teater serta merasai pengalaman berkampung di Istana Budaya dahulu merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

NASHA AZIZ dan Adi Putra menggalas tanggungjawab yang besar dan berat sebagai teraju utama pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah.


"Memandangkan saya merupakan individu yang tidak gemar membuat beberapa pekerjaan dalam satu masa, jadi saya telah menolak tawaran berlakon yang lain semata-mata mahu terbabit dengan teater ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Zainab.

Menceritakan tentang pembabitannya dalam teater berkenaan, antara faktor yang membuatkan dia berminat kerana cukup tertarik dengan cerita yang ditampilkan iaitu dekat dengan kehidupan peribadinya.

Menurut pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz itu, biarpun ramai yang melihat dirinya sebagai seorang wanita moden, namun dia mempunyai prinsip yang sangat tegas terutamanya berkaitan cinta.

"Zainab terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Hamid disebabkan adat. Saya merasakan kisah yang dihadapi oleh Zainab itu tidak terlalu jauh dengan realiti kehidupan sebenar yang saya lalui sebelum ini.

"Sebenarnya, saya seorang yang cukup konservatif dalam bercinta. Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara yang disuruh oleh pasangan sekiranya melanggar prinsip sebagai wanita Islam dan lebih rela mengorbankan cinta saya itu," luahya.

Apabila ditanya tentang kisah cintanya pula, Nasha yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang memberitahu, ketika ini dia sedang menantikan cinta seorang lelaki yang sejati dan ikhlas.

"Kalau ditanya tentang ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihan saya, masalah paling utama ialah ciri-ciri tersebut dimiliki oleh lelaki yang sudah bergelar suami orang," ujarnya ringkas.

Perniagaan

Memandangkan wajahnya sekarang ini agak kurang kelihatan sama ada di layar perak atau kaca televisyen, Nasha ditanya tentang aktiviti yang dilakukan sekiranya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran drama atau filem.

Menurut Nasha, sekiranya jadual hariannya tidak padat dengan aktiviti seni, dia akan memberi lebih tumpuan terhadap perniagaan yang sedang diusahakannya ketika ini.

"Sebenarnya ketika ini saya ada memiliki tiga perniagaan yang membabitkan korporat, kecantikan serta sebuah perniagaan lagi yang ada berkaitan dengan dunia seni.

"Memang tidak ramai yang mengetahui tentang perniagaan yang diusahakan dan saya pun tidak bercerita sangat mengenainya kerana merasakan perniagaan saya itu tidak memerlukan sebarang publisiti," jelasnya yang terus merahsiakan perniagaan yang diusahakannya itu.

Berkenaan dengan aktiviti lakonannya pula, dia memberitahu ingin memberi sepenuh komitmen terhadap teater Di Bawah Lindungan Kaabah terlebih dahulu dan akan kembali berlakon semula setelah selesai pementasan teater berkenaan.

NASHA mengambil pendekatan tidak mengulas panjang tentang kisah peribadinya.


Kontroversi

Selain Nasha, seorang lagi pelakon yang turut menjadi pilihan untuk berlakon dalam pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah ialah Adi Putra yang membawakan watak sebagai Hamid.

Menurut Adi, dia mengakui akan ada segelintir pihak yang akan mengaitkan pembabitannya dalam teater berbentuk keagamaan itu dengan kontroversi yang pernah dihadapinya sebelum ini.

"Saya lagi suka kalau ada yang mengaitkan kontroversi saya itu kerana ia merupakan satu publisiti untuk pementasan teater ini. Lagipun saya sudah menerima tawaran daripada Rosminah sejak bulan November tahun lalu.

"Tidak kisah apa yang orang hendak kata kerana saya menganggap segala yang berlaku itu ada hikmahnya. Walaupun berhadapan dengan kontroversi, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin bertambah," luahnya dengan penuh keyakinan.

Cerita Adi mengenai wataknya sebagai Hamid dalam teater berkenaan, pelakon berasal dari Singapura itu menyatakan ia akan memberi satu cabaran tersendiri apabila melakonkan watak seorang lelaki warak.

Bagaimanapun, dia sesekali tidak akan menonton naskhah novel tersebut yang pernah diadaptasi ke dalam filem sebelum ini kerana tidak mahu terlalu terikut-ikut dan ingin tampil dengan cara lakonan yang tersendiri.

"Bagi saya, membawakan watak sebagai seorang lelaki gengster lebih mudah rasanya berbanding watak lelaki warak. Agak risau juga kalau mendapat kritikan sekiranya gagal membawakan watak Hamid dengan berkesan, tetapi saya berusaha untuk memberikan yang terbaik," ujarnya.

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Posted:

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Oleh HARYATI KARIM

HANEZ mengakui mula berkenalan dengan bakal suaminya sejak hujung tahun lalu.


BERITA pelakon jelita, Hanez Suraya, 29, bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bersama seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini agak mengejutkan banyak pihak.

Tiada angin, tiada ribut, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin. Hanez yang dihubungi Kosmo! tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bakal bergelar isteri.

Bagaimanapun, Hanez masih lagi merahsiakan identiti bakal suami, tarikh dan lokasi pernikahan kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan.

Tegas Hanez, dia ada sebab untuk terus berkahwin dan tidak bertunang seperti orang lain. Ikuti temu bual Kosmo! selanjut bersama Hanez.

Kosmo!: Kenapakah tiba-tiba sahaja terbuka hati Hanez untuk berkahwin?

HANEZ: Sebelum ini, apabila sudah kecewa bercinta saya tidak fikir soal perkahwinan. Apabila kenal seseorang yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya, buat apa tunggu. Jika saya tolak, bila lagi saya akan berkahwin. Jika saya minta dia tunggu, sampai bila dia sanggup tunggu. Mungkin sudah sampai jodoh.

Apakah keistimewaan bakal suami sehingga Hanez menerima lamarannya?

Kami kenal sejak hujung tahun lalu, tidaklah terlalu lama. Saya tidak kisah andai bakal suami saya orang yang sederhana kerana saya juga bukan datang daripada keluarga kaya raya. Terus-terang saya katakan sebelum mengenali bakal suami, saya memang mencari lelaki untuk dijadikan suami, bukannya kekasih untuk mengisi kesunyian. Bakal suami saya juga begitu. Dia kata, dia sudah ada semua benda kecuali isteri. Melihat keserasian dan kesungguhan nya itu membuatkan saya setuju.

Adakah Hanez sengaja memilih orang di luar industri seni untuk dijadikan suami selepas kecewa bercinta dengan artis?

Saya akui pengalaman lalu banyak mengajar saya. Bukan mahu memburukkan orang lain tetapi jika bekerja dalam industri yang sama, masa untuk berjumpa sangat terhad. Lebih baik saya cari orang di luar industri, andai bakal suami suruh saya berhenti berlakon saya akan ikut tetapi semuanya boleh dibincang dengan baik.

FIGURA ini mahu terus melangsungkan perkahwinan tanpa bertunang terlebih dahulu.


Mengapakah Hanez merahsiakan identiti bakal suami dan tarikh pernikahan?

Bakal suami bukan orang dalam industri seni, jadi tidak perlu untuk saya kenalkan sehingga dia sah menjadi suami saya. Begitu juga dengan tarikh nikah. Bukan apa, saya bimbang jika dihebahkan terlalu awal majlis tidak menjadi seperti dirancang. Majlis risik dan bertunang jika berlaku, hanya untuk keluarga, tetapi majlis nikah saya akan beritahu dan jemput semua orang termasuk pihak media. Bagi saya, perkara baik buat apa saya sorok. Apa yang pasti, saya akan berkahwin pada tahun ini juga.

Adakah Hanez ingin berkahwin dalam tahun ini juga kerana mengejar sasaran untuk berkahwin sebelum ini 30 tahun?

Sejujurnya, saya pernah letak sasaran untuk kahwin sebelum 30 tahun tetapi selepas putus cinta saya tidak fikirkan perkara itu. Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya percaya apabila terlalu mengharap dan mencari, cinta itu tidak akan akan datang. Namun apabila saya tidak cari, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa saya sangka.

Mengapakah Hanez enggan mengadakan majlis pertunangan?

Bagi saya, bertunang itu sekadar adat, lainlah kalau saya tidak kenal siapa bakal suami. Kalau boleh saya mahu adakan satu majlis sahaja. Jimat masa dan kos. Idea saya memang ringkas, tetapi sebagai anak sulung, pastinya keluarga ingin lihat saya bertunang. Jika bertunang, mungkin sekadar cukup syarat sahaja dan diadakan sekali gus dengan majlis merisik.

Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?

Sepatutnya sudah mula cari apa yang patut terutama lokasi pernikahan dan resepsi. Masalahnya, kami berdua sangat sibuk, jadi saya baru sahaja mula buat apa yang patut.

Saya harap peminat dan masyarakat doakan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.

Takdir jodoh Erra

Posted:

Takdir jodoh Erra

Takdir jodoh Erra

Oleh HARYATI KARIM

SAAT bahagia Erra dan Emran sewaktu majlis resepsi perkahwinan mereka pada 2007.


SEMALAM peminat seni tanah air dikejutkan dengan berita penceraian primadona filem Melayu, Erra Fazira, 40, dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39. Mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor.

Mereka bercerai secara baik selepas tujuh tahun berkahwin dan bersetuju menyerahkan hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya, 5, kepada Emran.

Dalam pertemuan dengan media di pekarangan mahkamah, Erra mengulas ringkas tentang takdir jodohnya bersama Emran yang tidak berpanjangan.

"Kami telah berbincang tentang perpisahan ini sebelum ini. Saya bersyukur kerana penceraian ini berlaku secara baik. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada karier," ujarnya ringkas.

Erra kemudian meminta jasa baik pihak media agar tidak terus mendesak dan mengasaknya dengan persoalan tentang penceraian tersebut.

Pintanya yang telah setahun tidak sebumbung dengan Emran sebelum bercerai: "Saya minta tinggalkan saya (bertanya tentang hal penceraian) supaya hidup saya jadi lebih aman."

Ironi, berita penceraian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak tahun 2009, cerita tentang pergolakan rumah tangga mereka sudah mula disiarkan di dada akhbar.

Kosmo! mengimbas ke belakang rentetan berita tentang rumah tangga bekas ratu cantik Malaysia ini. Pada tahun 2009 ketika pihak media mula kecoh kononnya rumah tangganya retak kerana orang ketiga, Erra menafikannya.

"Terus-terang, tidak ada pergolakan dalam rumah tangga saya. Saya pun tidak pernah mendengar berita pasal wujudnya pihak ketiga antara kami.

"Namun, saya tidak mahu cepat melatah. Gosip seperti ini asam garam dalam kehidupan seseorang artis dan saya sudah bersiap sedia," katanya.

Sejak itu, hampir setiap tahun ada sahaja berita tentang kemelut rumah tangganya sehingga pernah timbul gosip kononnya Emran sudah berkahwin lain.

Sabar dengan segala berita tentang rumah tangganya, ini jawapan yang diberikan Erra dalam temu bual pada November 2010.


ENGKU EMRAN melepaskan Erra Fazira dengan talak satu. Dia bagaimanapun 'lari' sebaik proses penceraian tersebut selesai.


"Saya rasa ada dua kemungkinan mengapa orang itu menyebarkan cerita palsu ini. Satu, mungkin kerana dia terlalu kreatif sehingga mendapat idea untuk mereka cerita itu, dan satu lagi sebab mungkin kerana dia terlalu membenci saya.

"Maklumlah, dalam dunia ini bukan semua orang akan suka dengan kita. Lebih-lebih lagi kalau terlibat dalam dunia hiburan. Pasti ada yang suka dan pasti ada yang tidak suka," ujar Erra.

Dalam masa yang sama, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik juga menolak pendapat yang mengatakan tindakannya yang jarang membawa suami ke acara yang dihadiri adalah punca kepada gosip itu tersebar.

"Saya memang tidak suka membawa suami ke majlis-majlis yang perlu saya hadiri. Ini kerana, saya pergi atas dasar bekerja. Saya senang bekerja sendiri. Bukan sebab rumah tangga kami bergolak. Jadi, jangan salah sangka," jelas Erra.

Kemudian pada Jun 2012, Erra menyangkal khabar angin mereka mendapatkan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga.

"Macam-macam cerita orang bercakap mengenai perihal rumah tangga saya dan seolah-olah mereka lebih mengetahui apa yang berlaku berbanding diri saya sendiri.

"Jadi langkah yang lebih baik adalah untuk menutup mulut daripada banyak berkata-kata dan membiarkan apa sahaja kata-kata orang kerana saya tidak berdaya untuk menutup mulut mereka," balasnya.

Tidak lama selepas itu pada Mac 2013, tersebar cerita kononnya Erra dan Emran akan ke mahkamah syariah pada bulan April.

Bagaimanapun, Erra yang dihubungi ketika itu menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pihaknya tidak tahu menahu tentang perkara itu.

Disember tahun lalu, apabila pihak media menyoalnya tentang rumah tangga, jawapan yang diberikan ibarat memberi isyarat awal tentang apa yang bakal berlaku.

"Saya akan beritahu apabila sampai masanya. Doakan yang terbaik untuk saya," tutur Erra.

Kini, ikatan murni tersebut terlerai juga akhirnya.

Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007.

Sebelum itu Erra terlebih dahulu berkahwin dengan pengarah filem terkenal, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved