Ahad, 1 Jun 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jatuh hati dengar ayat Quran

Posted:

Jatuh hati dengar ayat Quran

Jatuh hati dengar ayat Quran

BACAAN ayat-ayat suci al-Quran boleh menyucikan jiwa seseorang. - Gambar hiasan


KETUKAN bertalu-talu di pintu bilik sewaktu Subuh menyinsing sedikit mengganggu ibadahnya. Namun, Muhammad Zaid Harith Abdullah, 24, tetap meneruskan solatnya walaupun rasa khusyuk yang disemat dalam hati terusik seketika.

Meskipun rasa bersalah terhadap si ibu kerana tidak menjawab panggilannya, anak muda ini pasrah demi menyahut seruan Ilahi melalui solat yang secara tidak langsung mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Pencipta.

Menurut pemuda India yang lebih mesra disapa Zaid itu, ibunya mungkin berasa hairan apabila melihat dia sudah bangun seawal pukul 6 pagi kerana kebiasaannya anak sulung daripada dua beradik itu bangun lewat setiap hari.

Rutin itu bermula sejak Zaid memeluk Islam pada usia 17 tahun. Minatnya terhadap agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu terdetik di hati apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan melihat gerakan dalam solat yang dilakukan oleh rakan-rakan Muslimnya. Waktu itu, Zaid duduk di asrama sebuah sekolah di Pulau Pinang.

"Saya selalu menghampiri surau asrama secara senyap-senyap ketika rakan-rakan sedang bersolat secara berjemaah dan mendengar dengan teliti setiap bacaan imam.

"Setiap malam Jumaat terasa lebih istimewa kerana mereka membaca surah Yasin sementara menunggu masuknya waktu solat Isyak. Semua ini membuatkan hati saya tersentuh. Semakin hari, naluri saya ingin memeluk agama Islam semakin kuat," ceritanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Zaid lagi, setelah sekian lama, akhirnya beliau memberanikan diri dan meminta rakan-rakan untuk mengajarnya cara-cara bersolat.

Pada 14 Februari 2007 merupakan lembaran baharu hidupnya apabila Zaid memeluk Islam secara tidak berdaftar memandangkan masih di bawah usia 18 tahun yang disyaratkan oleh Perlembagaan Persekutuan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.

Tinggal di asrama

Ibadah solat tidak pernah dipandang ringan, malah bagi Zaid, ia mampu mendisiplinkan dirinya untuk terus teguh berada di jalan Allah. Sekali pun tidak dianggap sebagai satu beban, lelaki yang kini sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Pulau Pinang berasa tenang setiap kali beribadat di atas sejadah.

Sejak memeluk Islam, dia yang mengalami cacat penglihatan ini lebih banyak tinggal di asrama berbanding pulang ke rumah bagi memudahkannya menunaikan solat dan terus mendalami Islam.

"Kadangkala saya terlewat solat kerana mengambil masa untuk menjarakkan diri daripada keluarga dan memasuki bilik untuk bersolat.

"Saya tidak tahu sampai bila harus menyembunyikan status sebenar agama saya, tetapi saya akan tetap menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim walaupun menghadapi pelbagai cabaran," luah Zaid.


SESEORANG yang patuh pada ajaran agama tidak mudah melakukan perbuatan mungkar. - Gambar hiasan


Dalam pada itu, pemuda yang bercita-cita menjadi kaunselor ini memberitahu, adakalanya beliau berasa cemburu terhadap rakan-rakannya yang dilahirkan sebagai Islam kerana tidak perlu melakukan ibadah secara sembunyi-sembunyi.

Sehubungan itu, katanya, tiada alasan untuk mereka yang beragama Islam untuk mengelak menjalankan kewajipan mereka terhadap Allah Taala termasuk bersolat lima kali sehari.

Sementara itu, bagi seorang guru tadika, Syarifah Hazimah Syed Hassan, 26, memori solat pertamanya ialah ketika beliau berusia enam tahun apabila arwah bapanya, Syed Hassan Syed Yasim mengajak kesemua enam orang adik-beradiknya bersolat secara berjemaah.

"Setiap kali masuk waktu solat, abah akan memanggil kami semua untuk bersolat bersama. Sungguhpun ketika itu saya tidak tahu melafazkan bacaan mahupun tertib pergerakan, abah masih memberikan galakkan agar kami mengikut gerakan beliau sebagai imam.

"Katanya, tidak tahu tak mengapa. Paling penting ialah sentiasa terbuka untuk belajar dan menjaga solat kita. Lagipun Allah mengasihi golongan yang bersolat," ujar Syarifah Hazimah yang beranggapan kata-kata itu sebagai perangsang bagi dirinya untuk terus bersolat.

Beliau menambah, walaupun abah dan umi tidak menggunakan kekerasan dalam mengajak kami bersolat, sebaliknya kelembutan cara itu telah membuatkan kami adik-beradik tahu bahawa solat itu tiang agama dan perlu dilakukan lima kali sehari.

Kehilangan kakaknya akibat penyakit kanser ketika dia berusia sembilan tahun memberi kesedaran kepada Syarifah Hazimah untuk terus mendekatkan diri dengan Allah.

Menurut anak jati Kelantan ini, bapanya sentiasa mengingatkan bahawa kematian tidak mengenal usia, maka solat dan suruhan agama perlu dilakukan dengan sempurna sebagai bekalan.

Berbeza pula dengan kisah jejaka yang dilahirkan di Jitra, Kedah, Abuzar Adzizan, 25. Melihat ayahnya memakai kain pelikat ketika bersolat telah menariknya untuk bersolat.

Setiap kali masuk waktu solat, dia akan mengambil kain pelikat ayahnya untuk dipakai bagi ibadah tersebut.

Melihat kesungguhan anaknya itu, Adzizan Bakar telah membelikan kain pelikat kanak-kanak untuk Abuzar yang ketika itu berusia sembilan tahun.

"Mempunyai kain pelikat sendiri terus menyebabkan saya mahu bersolat. Bagi saya, hadiah ayah itu merupakan satu pemangkin," jelas pengurus akaun ini.

Bagi beliau, amalan solat menghindarkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara terkutuk dan jika dilakukan dengan khusyuk, ia memberikan ketenangan jiwa.

"Umat Islam perlu sedar bagaimana Rasulullah mengasihi umatnya dan memohon kepada Allah supaya mengurangkan perintah solat 50 waktu kepada lima waktu sahaja. Berbanding sebelum, ia sepatutnya cukup ringan untuk kita laksanakan.

"Sehubungan itu, tiada sebab untuk kita mengabaikan solat," tegasnya.

Watikah solat dalam peristiwa Israk Mikraj

Posted:

Watikah solat dalam peristiwa Israk Mikraj

Watikah solat dalam peristiwa Israk Mikraj


BAITULMAQDIS menjadi persinggahan perjalanan Rasulullah dalam peristiwa Israk Mikraj. -Gambar hiasan


PERISTIWA agung Israk Mikraj pada 27 Rejab merupakan titik permulaan terhadap kewajipan bersolat bagi umat Islam.

Kisah perjalanan malam Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula dari Masjidilharam di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin sebelum dibawa menaiki Burak menembusi tujuh lapisan langit dan menghadap Allah di Sidratul Muntaha, sekali gus mengangkat Rasulullah sebagai makhluk teragung.

Dalam peristiwa itu juga, Allah telah memerintahkan kewajipan bersolat kepada umat Nabi Muhammad sebanyak 50 kali sehari semalam, namun mengambil nasihat yang diberikan Nabi Musa ketika bertemu di langit keenam, Rasulullah telah memohon kepada Yang Maha Esa agar mengurangkan jumlah solat tersebut. Selepas beberapa kali turun naik bertemu Allah, akhirnya Baginda akur dengan solat lima waktu yang diperintahkan.

Hakikatnya, solat merupakan ibadah utama yang terdapat dalam Rukun Islam. Ia menjadi penyangga dalam kehidupan orang Muslim dan amalan itu yang pertama akan dinilai oleh Allah di akhirat kelak.

Meskipun telah dikurangkan kepada lima waktu, namun masih ramai umat Islam yang liat untuk menunaikan kewajipan mereka itu.

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Dr. Zahazan Mohamed, solat adalahRukun islam yang wajib dilakukan oleh umat Islam.

"Watikah penerimaan perintah solat menjadi klimaks dalam peristiwa Israk Mikraj yang besar hikmahnya buat para mukmin. Solat menjadi penghubung antara orang Islam dan Allah. Tautan ini juga menjadi sumber kekuatan dan jati diri orang Islam," jelasnya.

Tambah beliau, ajaran Islam sangat mudah. Begitu juga dengan solat yang boleh dilakukan di mana-mana dalam apa jua keadaan.

"Orang Islam perlu faham, untuk bersolat tidak memerlukan telekung atau pakaian yang cantik. Apa yang penting, asalkan menutup aurat dan suci daripada hadas.

"Jadi, tiada sebab untuk kita tidak bersolat. Islam begitu mudah. Kerjakanlah solat kerana selain memenuhi tuntutan agama, ia juga banyak manfaatnya kepada pembangunan sahsiah seseorang," tuturnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujar Zahazan lagi, kemudahan yang ada di negara ini juga memudahkan seseorang untuk bersolat. Contohnya seperti surau yang terdapat di pasar raya, kompleks beli-belah dan sekolah.

"Sistem pendidikan di sekolah juga sangat baik kerana kebanyakan sekolah menggalakkan para pelajar untuk bersolat jemaah di surau dan ini menggalakkan mereka untuk menunaikan ibadah ini.

"Selain pendidikan di sekolah, ibu bapa perlu mentarbiyah anak-anak mereka supaya menunaikan solat dan sama-sama sedar bahawa melakukan solat itu adalah wajib bagi setiap orang Islam," tegasnya.

Tambah beliau, sebagaimana solat yang mempunyai waktu tertentu, seseorang itu dilatih untuk menghormati masa dan orang sekeliling.

"Mukmin yang bersolat juga terbukti mempunyai kebaikan untuk kesihatan bahkan sudah ada kajian secara saintifik mengenai kebaikan ibadat ini," katanya.

Ibu bapa wajib didik anak solat

Posted:

Ibu bapa wajib didik anak solat

Ibu bapa wajib didik anak solat


KANAK-KANAK gemar memerhati dan mengikuti contoh yang diberikan oleh golongan dewasa khasnya ibu bapa mereka. - Gambar hiasan


MENDIRIKAN solat merupakan Rukun Islam yang kedua daripada lima rukun lain seperti mengucap dua kalimah syahadah, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan menunaikan haji kepada mereka yang mampu.

Solat terbahagi kepada dua iaitu solat fardu yang diwajibkan ke atas orang Islam baligh dan berakal serta dilaksanakan sebanyak lima kali sehari pada waktu-waktu tertentu.

Sementara itu, solat sunat adalah solat-solat selain daripada yang telah difardukan.

Sungguhpun ia merupakan satu tuntutan agama, namun peredaran masa telah banyak mengubah tabiat dan amalan manusia.

Justeru, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pernah melakukan satu kajian tentang remaja Islam yang tidak bersolat dari tahun 2003 sehingga 2008.

Melibatkan 200 orang remaja tingkatan empat di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, kajian itu mendapati 70 peratus responden terlibat tidak menunaikan kewajipan bersolat.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Isma, Ustaz Mohd. Hazizi Ab. Rahman, kajian itu menunjukkan penyusutan komitmen penganut agama Islam terhadap perintah agama.

"Orang Islam di negara ini sangat kuat sentimen dan sensitiviti agamanya. Namun perkara ini sia-sia jika komitmen yang diberikan terhadap tuntutan ibadah kurang," kata Mohd. Hazizi ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Contoh

Jelas beliau, hasil kajian Isma juga mendapati ramai responden tidak bersolat kerana ibu bapa mereka juga tidak menunaikan solat.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka solat kerana didikan awal bermula di rumah.

"Mendidik dan menggalakkan golongan muda untuk bersolat adalah amat penting," tegasnya.

Selain didikan ibu bapa, tiada pemahaman dalam ilmu asas fardu ain menjadi punca utama berlakunya masalah umat Islam yang tidak menitikberatkan amalan wajib dalam Islam.

Pendakwah merangkap Pegawai Agama Istana Terengganu, Ustaz Mohd. Shukri Ali berkata, setiap Muslim perlu faham tentang asas-asas akidah dalam Islam.

"Mereka perlu tahu dan faham tentang Rukun Iman dan Rukun Islam serta wajib ada penghayatan bagi kedua-duanya. Jadi, ibu bapa atau guru agama perlu memberi penekanan tentang isu ini.

"Jika penghayatan dan penekanan terhadap kedua-duanya tiada, mereka tidak akan bersolat, berpuasa atau melakukan ibadat lain kerana tidak takut dan percaya akan hukum Allah dan perintah-Nya," jelas beliau ketika dihubungi.

Mohd. Shukri juga memberitahu bahawa setiap aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan atau persatuan mesti menjurus kepada keagamaan agar dapat mendekatkan diri peserta muda kepada Allah. Ini termasuk kursus solat dan kelas agama.

"Ahli masjid seperti imam atau bilal juga memainkan peranan. Mereka perlu mendekati remaja dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menjadi kegemaran golongan tersebut seperti pertandingan bola sepak anjuran masjid.

"Selain mendekati remaja, peluang untuk bermain bersama-sama boleh dijadikan peluang untuk berdakwah yang menyeru mereka untuk sama-sama bersolat," cadangnya.

Dosa besar

Tegas Mohd. Shukri, ahli jawatankuasa masjid yang dipilih juga perlu mempunyai pemikiran yang optimis untuk membetulkan masyarakat.

Tambah pendakwah ini, ibu bapa juga perlu memastikan calon menantu yang bakal mengahwini anak-anak mereka adalah seorang yang menjaga solat dan mempunyai asas agama yang kukuh.

"Apabila bakal menantu yang dipilih merupakan seorang yang patuh pada agama, sudah tentu zuriat yang dilahirkan nanti akan dididik dengan agama.

"Jadi, tidak timbul isu anak-anak tidak bersolat atau tidak melaksanakan tuntutan agama kerana segalanya bermula daripada keluarga," ulasnya lagi.

Sementara itu, pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi pula berkata, solat menjadi kepala kepada ibadah yang dilakukan oleh seseorang.

"Kita selalu mendengar orang yang kelainan upaya tidak mempunyai kaki, tangan atau anggota lain. Namun, kita tidak pernah dengar ada orang yang tidak mempunyai kepala. Begitu jugalah Islam dan solat.

"Solat juga adalah perkara yang membezakan antara orang Islam dan bukan Islam seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah. Sesiapa yang meninggalkan solat adalah berdosa besar," tegas Pahrol.

Situasi yang berlaku sekarang ini perlu diberi perhatian kerana ibadah solat ini mampu menghalang seseorang Muslim daripada melakukan maksiat.

Jelas Pahrol, seperti sebuah kapal terbang yang berhubung dengan sebuah menara kawalan, begitu juga solat dan seorang Muslim. Solat menjadi penghubung antara hamba dan Pencipta.

Ia juga merupakan keperluan untuk seseorang dalam mengenal Allah.

Dosa meninggalkan solat tidak boleh dipandang ringan. Umat Islam perlu disedari bahawa solat sebanyak lima kali sehari itu adalah perintah Allah yang diturunkan terus kepada Nabi Muhammad tanpa perantaraan malaikat Jibrail.

Penerimaan wahyu itu jelas menunjukkan betapa Allah mementingkan ibadah solat yang menjadi bukti kasih sayang Yang Maha Agung kepada hamba-Nya.

Ujar Pahrol, selain bersolat, umat Islam juga diperintah menutup aurat, berpuasa dan pelbagai lagi suruhan yang sememangnya diketahui oleh para mukmin.

"Selain suruhan-Nya, Allah juga melarang kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar seperti berzina, mencuri, mengamalkan rasuah dan menderhaka kepada ibu bapa.

"Apabila kita meninggalkan suruhan Allah dan melakukan larangan-Nya, maka kita berdosa sama ada dilakukan secara sengaja ataupun tidak," ujar beliau.- KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved