Rabu, 4 Jun 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Komitmen Shahir

Posted:

Komitmen Shahir

Komitmen Shahir

MELIHAT redup raut wajah penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini sudah mampu menenangkan jiwa setiap orang. Perwatakannya yang lemah lembut dan sopan santun menyusun bicaranya menampakkan bahawa dia masih lagi naif untuk berhadapan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi.

Walaupun sudah empat tahun menapak dalam industri hiburan tanah air, Shahir dilihat masih belum lagi sampai ke tahap yang boleh dibanggakan.

Dia sendiri mengakui masih banyak lagi yang belum dikecapinya. Shahir kini bersedia untuk memberikan komitmen penuh kepada kariernya.

Mengakui dirinya sebelum ini dilihat kurang menonjol berbanding rakannya yang lain seperti Hafiz dan Aizat, nyata dia mempunyai alasannya yang tersendiri; meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Lelaki berusia 26 tahun ini berkata, tumpuan diberikan kepada keluarganya dan kesihatan mereka yang kurang memuaskan sebelum ini memaksanya untuk tinggal bersama kedua ibu bapanya.

"Sebelum ini, saya terpaksa tinggal di kampung bersama kedua ibu bapa saya untuk menjaga mereka. Keberadaan saya di kampung telah membataskan promosi single saya dan saya tidak mahu fokus saya hilang.

"Jadi, saya telah berbincang dengan pihak pengurusan untuk bercuti dan melepaskan kuasa kepada pihak pengurusan untuk mempromosikan single terbaharu saya. Saya tidak mempunyai niat menyorok atau mendiamkan diri, tetapi hanya bercuti dan meluangkan masa dan menjaga kedua ibu bapa saya.

"Tidak ada niat untuk berhenti daripada nyanyian memandangkan ia sumber pendapatan saya. Saya cuma berhenti sekejap disebabkan hal keluarga sahaja.

"Ya, tidak mungkin saya akan meninggalkan bidang yang saya minati selama ini" ujarnya ketika ditemui usai majlis pelancaran program realiti Akademi Fantasia musim ke-11 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai kesediaannya untuk memberi sepenuh komitmen terhadap bidang nyanyian, Shahir berkata, dia kini lebih tenang dan fokus kepada kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Saya masih lagi mempunyai baki kontrak bersama pihak pengurusan saya, Astro Entertainment Sdn. Bhd. dan segala tuntutan perlu dilunaskan. Saya bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya jika diperlukan.

"Keputusan sedemikian diambil berikutan saya rasa terhutang budi kepada Astro kerana Astro merupakan pihak yang bertanggungjawab mencungkil bakat saya dan membawa saya ke satu tahap yang sebelum ini saya tidak impikan," katanya.

SHAHIR sedar keberadaannya dalam industri hiburan masih memerlukan banyak usaha untuk memantapkan masa depan kariernya sebagai seorang penyanyi.


Kesal

Bercerita mengenai kontroversi yang melanda dirinya apabila dikaitkan dengan aktres terkenal, Erra Fazira, Shahir ternyata kesal apabila kenyataannya dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

"Saya tidak sangka perkara ini mampu menjadi serius. Pada hemat saya, kenyataan yang diberikan tidak sama langsung seperti apa yang saya cakap.

"Maksud saya, apabila saya mengakui memang kami berkawan, namun saya tidak mempunyai niat perasaan lebih daripada itu.

"Mungkin ada sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu ini serius tapi pada saya ia tidak lebih daripada kawan.

"Ya, saya mengaku kerap berjumpa dengan dia (Erra) kebelakangan ini memandangkan dia pernah menawarkan saya untuk memegang salah satu watak dalam pementasan teater.

"Pementasan teater tersebut memerlukan seseorang itu untuk menyanyi dan saya cuma meminta pendapatnya. Bagaimanapun niat untuk memegang watak Hang Nadim dalam pementasan tersebut tidak kesampaian disebabkan kekangan masa.

"Di sini ingin saya tegaskan, saya menafikan spekulasi yang menyatakan kami sedang mengenali antara dengan lebih dekat dan wujud perasaan cinta antara kami berdua. Perjumpaan tersebut hanya atas dasar urusan kerja dan tidak lebih daripada itu," jelasnya menjernihkan keadaan.

Dalam pada itu, Shahir berharap agar tidak timbul lagi spekulasi tersebut kerana dia merupakan seorang yang mudah mesra dengan semua orang dan tidak ada sebab untuk dia menyembunyikan perhubungannya dengan sesiapa pun.

"Saya tidak mempunyai niat untuk menyembunyikan persahabatan saya. Bagi saya tidak salah untuk saya berkawan dengan sesiapapun asalkan tidak melebihi batas-batas pergaulan," ujarnya.

Menjawab pertanyaan sesetengah pihak yang mengatakan Shahir meminati wanita yang lebih berusia daripadanya apabila sebelum ini dia dikaitkan dengan pelakon Rozita Che Wan, lelaki ini berkata, mungkin pihak tersebut tidak mengenalinya dengan lebih dekat.

Jelasnya: "Pihak tersebut hanya melihat saya berkawan dengan wanita yang lebih berusia daripada saya tetapi pada masa yang sama mereka tidak melihat bahawa saya berkawan dengan semua orang termasuk orang yang lebih muda daripada saya."


SHAHIR mahu spekulasi hubungan baiknya dengan Erra Fazira dihentikan.


Lagu ibu

Ditebak dengan soalan mengenai perkembangan terbaharunya, Shahir berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya Cerita Kita yang menjadi lagu runut bunyi drama Adam dan Hawa.

"Saya masih lagi dalam rangka promosi single Cerita Kita, dan setakat ini sambutan daripada peminat sangat menggalakkan. Pada masa yang sama juga saya kini dalam perangkaan untuk mengeluarkan single terbaharu," katanya.

Mengulas mengenai single terbaharu tersebut, ia masih lagi dalam proses draf awal dan ia merupakan hasil tangan daripada Shahir sendiri. Single terbaharu tersebut dijangkakan akan dikeluarkan menjelang Julai ini.

Mengakui dia masih lagi berjinak-jinak dalam penulisan lirik, Shahir berkata, pengisian lirik tersebut bertemakan kepada pengorbanan seorang ibu. Menurutnya lagi, inspirasi dan ilham untuk menulis lagu tersebut diambil berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Saya cuba untuk melakukan kelainan dan meletakkan sesuatu yang saya sendiri kehendaki sepanjang perjalanan karier muzik saya.

"Saya juga ada meminta pendapat rakan-rakan lain dan membuat kajian melalui pembacaan untuk menulis lirik ini.

"Bagaimanapun, bercakap mengenai melodi dan muzik, ia masih lagi dalam proses perbincangan dan saya masih belum pasti melodi yang sesuai untuk lagu tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keinginannya untuk berlakon, Shahir berkata, buat masa sekarang dia harus menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian.

"Saya ada menerima tawaran untuk berlakon untuk filem atau drama. Namun, saya harus menolaknya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian. Hal ini kerana saya takut hilang fokus terhadap kedua-dua bidang." ujarnya.

Sean Penn, Charlize mahu kahwin

Posted:

Sean Penn, Charlize mahu kahwin

Sean Penn, Charlize mahu kahwin


CHARLIZE THERON dan SEAN PENN


MEREKA baru menjalin hubungan selama lapan bulan, namun menurut satu sumber, aktres Charlize Theron dan aktor tersohor Sean Penn didakwa sudah bersedia untuk berkahwin.

Selain sudah merancang berkahwin, mereka juga dikatakan telah berbincang mengenai anak.

"Mereka memang mahu berkahwin. Bukan sahaja berkahwin, tetapi telah merancang untuk membina keluarga dan mempunyai anak," ujar sumber tersebut kepada majalah Us.

Berita tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Charlize sebelum ini dalam satu temu bual pernah berkata, dia mahu memastikan hubungannya dengan bekas suami Madonna itu mencapai matlamat yang positif.

Kata wanita berusia 38 tahun itu, dia telah mengenali aktor yang kini berusia 53 tahun itu sebagai kawan selama 18 tahun.

"Sejak 18 tahun mengenalinya, kami telah berkawan baik. Hubungan baik itu secara perlahan berkembang menjadi cinta tanpa kami sedari.

"Jadi, saya sebolehnya tidak mahu merosakkan hubungan ini kerana kami saling mengenali dan mahu ia berjalan lancar," ujarnya yang pernah menjalin hubungan dengan pelakon Stuart Townsend selama sembilan tahun.

Akhil Hayy kesal penampilan disekat

Posted:

Akhil Hayy kesal penampilan disekat

Akhil Hayy kesal penampilan disekat

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

WAHEEDA memberikan sokongan padu terhadap kerjaya seni Akhil.


TINDAKAN stesen televisyen menyekat penampilan sesetengah artis bukan perkara luar biasa. Namun, jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang alasan, ia mungkin menimbulkan tanda tanya bukan sahaja terhadap artis itu sendiri, malah kepada para peminat.

Ketika berpeluang menemui Akhil Hayy selepas majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul, Andai Esok di Butik Pua Heritage, Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia memberitahu, penampilannya di sebuah saluran di stesen televisyen berbayar tempatan seperti tidak disenangi oleh pihak atasan.

Tambah Akhil Hayy atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, 45, dia diperlakukan begitu tanpa diberi sebarang alasan mahupun sebab sehinggakan kemunculannya di beberapa saluran syarikat televisyen itu disekat perlahan-lahan.

Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Akhil Hayy:

Kosmo!: Akhil mendakwa penampilan anda seperti disekat oleh pihak televisyen tersebut. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut?

AKHIL HAYY: Beberapa bulan lalu, Mawi ada menawarkan saya watak untuk dilakonkan bagi telemovie hari raya terbitannya berjudul Rock Sangkut. Setelah nama dicadangkan, Mawi pergi berjumpa dengan pihak atasan stesen TV berbayar tersebut. Namun, setelah mereka lihat nama saya, mereka terus meminta Mawi mencari pelakon lain bagi membawakan watak tersebut.


AKHIL HAYY kini muncul dengan single terbaharunya, Andai Esok.


Siapakah yang memberitahu anda tentang perkara ini?

Mawi sendiri datang kepada saya dan memberitahu bahawa nama saya telah ditolak. Padahal, watak lakonan saya di dalam telemovie itu hanya sebagai seorang ustaz.

Adakah penampilan anda yang disekat selain telemovie tersebut?

Sepatutnya, saya adalah antara nama-nama awal yang dicadangkan untuk menjadi panel juri bagi rancangan Pencetus Ummah. Namun, nama saya ditarik pada tanpa sebab dan alasan yang munasabah. Selain itu, lagu-lagu serta azan yang menggunakan suara saya juga tidak lagi disiarkan.

Pada pendapat anda, apakah sebab utama penampilan anda disekat?

Saya pun tak pasti. Saya berharap, jika benar saya telah melakukan sebarang kesilapan, ada pihak yang boleh datang bersemuka dengan saya dan menyatakan di mana silap saya sebenarnya.

Adakah disebabkan perkara ini karier anda sebagai penceramah terjejas?

Alhamdulillah, walaupun saya kurang muncul di kaca televisyen, banyak tawaran lain diterima. Cuma, saya berasa sedikit penat kerana terpaksa menjelajah beberapa buah negeri berbanding hanya menjalankan penggambaran di dalam studio sahaja sebelum ini.

Bolehkah anda ceritakan tentang single Andai Esok ini?

Lagu ini dicipta oleh Badrihisham dan liriknya hasil nukilan Hairul Anuar Harun. Ia bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Isteri saya, Waheeda bakal menyumbangkan dua buah lagu dalam album itu nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved