Rabu, 14 Mei 2014

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


'Ustaz' pengasas pusat perubatan tradisional ditahan

Posted:

'Ustaz' pengasas pusat perubatan tradisional ditahan

'Ustaz' pengasas pusat perubatan tradisional ditahan

14/05/2014 10:08pm

BUKIT MERTAJAM - Seorang pengasas sebuah pusat perubatan tradisional ditahan dalam serbuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah rumah teres yang dijadikan pusat perubatan itu di Permatang Pauh di sini.

Turut ditahan bersama lelaki berusia 46 tahun yang menggelarkan dirinya ustaz itu ialah dua wanita berusia 32 dan 40 tahun.

Ketua Unit Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pusat perubatan tradisional itu diserbu kerana didapati menjalankan rawatan bertentangan dengan hukum syarak.

"Serbuan pada 11.30 malam dengan kerjasama penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis itu adalah hasil maklumat awam dan risikan sejak enam bulan lepas," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pengurus bagi cawangan pusat perubatan berkenaan di Seberang Jaya, awal pagi tadi.

Siasatan awal mendapati pusat perubatan itu menyediakan rawatan untuk pelbagai penyakit berkaitan roh dan saka yang bertentangan dengan hukum syarak.

Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan perlu membawa satu kilogram limau nipis, garam kasar dan lada hitam.

Beliau berkata, pesakit tidak dikenakan bayaran sebaliknya perlu bersedekah atau memberi hadiah kepada 'ustaz' yang merawat pesakit.

Dalam serbuan itu pihaknya merampas pelbagai peralatan dan kelengkapan yang digunakan untuk tujuan perubatan seperti cincin, minyak wangi termasuk beberapa buah buku untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pusat rawatan tradisional itu turut menyediakan 'pengijazahan tenaga dalam dan perubatan' dengan bayaran 'fidyah' RM950 dan individu yang tidak berkemampuan masih berpeluang mendapatkan 'ijazah' itu dengan berpuasa selama 15 tahun tanpa henti walaupun pada hari-hari tasyrik (hari diharamkan berpuasa).

"Kami dapati syarat yang dikenakan bertentangan dengan ajaran Islam dan serbuan dibuat bagi mengelakkan lebih ramai terjebak dalam kegiatan ini.

"Lebih mengelirukan ustaz terbabit mengaku dirinya sebagai ketua para wali dan boleh menyeru roh Nabi Muhammad SAW serta para malaikat menerusi perantaraan," katanya.

Pengasas pusat perubatan itu disiasat mengikut Seksyen 4, 6 dan 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 kerana mengamal dan menyebarkan doktrin palsu, menggelarkan diri sebagai wali serta memiliki bahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

"Seorang lagi lelaki dan dua wanita disiasat menurut Seksyen 43 enakmen sama atas tuduhan bersubahat. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. - Bernama

Kedai serbaneka 24 jam disamun dua lelaki berparang

Posted:

Kedai serbaneka 24 jam disamun dua lelaki berparang

Kedai serbaneka 24 jam disamun dua lelaki berparang

14/05/2014 9:49pm

KUANTAN - Sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Indera Mahkota 8, di sini disamun dua lelaki bersejatakan parang dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian kira-kira pukul empat pagi itu, dua pekerja wanita berusia 20an sedang bertugas apabila didatangi suspek berkenaan.

"Mangsa panik apabila dua suspek terbabit mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan senjata tajam.

"Mereka yang ketakutan hanya mendiamkan diri apabila kedua-dua suspek menyelongkar laci di kaunter bayaran dan mengambil wang tunai RM40 selain turut mengambil 20 kotak rokok," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dipercayai jenis Honda Ex5 dengan nombor pendaftaran CDF 4558 yang diletakkan di luar premis berkenaan.

Polis kini sedang memburu penjenayah terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Pegawai bomba maut dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Maran

Posted:

Pegawai bomba maut dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Maran

Pegawai bomba maut dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Maran

14/05/2014 9:09pm

KUANTAN - Seorang pegawai latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang terbunuh manakala anak perempuannya terselamat selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 171.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Plaza Tol Maran, hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, mangsa Anuarrul Hakim Mokhni, 38, yang berasal dari Kampung Ayer Molek, Melaka, mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta jenis Proton Satria dipandunya.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A. Hamid berkata, anak mangsa berusia lapan tahun, Mya Qristina, yang duduk di kerusi penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dipercayai semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Kubu Baru, Selangor untuk menghantar anaknya kerana bersekolah di daerah itu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang di tengah jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bandar Jengka untuk bedah siasat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved