Khamis, 22 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Inisiatif tingkat kefahaman

Posted:

Inisiatif tingkat kefahaman

Inisiatif tingkat kefahaman

KEJAYAAN Tabung Haji yang membantu umat Islam menabung merupakan pencetus kepada penubuhan sistem perbankan Islam di negara ini. - Gambar hiasan


TRANSAKSI sesama manusia hendaklah dilaksanakan dengan adil dan telus, sekali gus menutup sebarang ruang penindasan. Ini merupakan ajaran asas dalam fekah muamalat yang kemudian diterjemah dalam suatu bentuk sistem kewangan yang dikenali sebagai sistem kewangan Islam.

Justeru, pemahaman terhadap sistem kewangan Islam yang menyeluruh boleh membantu mewujudkan keadilan sosioekonomi dan kesaksamaan pengagihan pendapatan.

Kewujudan kewangan Islam yang berlandaskan hukum syarak ini bertitik tolak daripada matlamat untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi dengan kadar pertumbuhan yang optimum.

Konsep kewangan ini bukan sesuatu yang baharu. Sejak perkembangan Islam di kepulauan Nusantara pada abad ke-12, undang-undang Islam dalam perdagangan telah mula mempengaruhi masyarakat tempatan.

Dalam Undang-Undang Melaka, terdapat beberapa peraturan yang menyentuh tentang pengharaman amalan riba dalam urusan jual beli.

Selepas kemerdekaan, permintaan untuk mewujudkan satu institusi kewangan Islam meningkat. Pada tahun 1963, Lembaga Tabung Haji ditubuhkan bertujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia menabung untuk menunaikan ibadah haji.

Kejayaan Tabung Haji menyebabkan timbul usul untuk menubuhkan perbankan Islam. Hasilnya, Kabinet meluluskan penubuhan bank Islam pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad disusuli Syarikat Takaful Malaysia Berhad selaku pengendali takaful yang pertama pada tahun 1984.

Sejak itu, perbincangan tentang kewangan Islam banyak didominasi perihal industri perbankan Islam dan takaful.


SEGENAP lapisan masyarakat Malaysia perlu memahami sistem kewangan Islam secara terperinci agar tidak timbul sebarang kekeliruan pada kemudian hari. - Gambar hiasan


Justeru untuk meningkatkan kefahaman terhadap kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Malaysia, ada tiga inisiatif penting yang dilaksanakan.

Salah faham

Pertama, membersihkan salah faham masyarakat awam tentang sistem kewangan Islam, khususnya perbankan Islam.

Analogi kefahaman tentang kewangan Islam ini umpama air yang bersih dan jernih, manakala salah faham sesetengah masyarakat Malaysia pula umpama sebuah cawan yang terdapat kekotoran di dalamnya.

Apa yang wajar dilakukan ialah membersihkan dahulu kekotoran yang terdapat di dalam cawan, sebelum menuangkan air bersih untuk diminum.

Disebabkan itu, kita percaya kajian dan jawapan terhadap sebarang salah faham terhadap kewangan Islam melalui media massa dapat membantu memberi kefahaman baharu.

Kedua, melakukan penjenamaan semula terhadap kewangan Islam. Ia bukan sekadar menukar logo atau simbol korporat baharu tetapi mewujudkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan.

Institusi kewangan Islam majoritinya menawarkan produk dan perkhidmatan dengan terma-terma yang lebih bersifat eksklusif. Dalam erti kata menjenamakan produk dan perkhidmatan itu dengan terma yang tidak difahami oleh masyarakat.

Transformasi boleh membantu pemahaman masyarakat untuk mengenali sistem perbankan Islam dengan lebih dekat.

Ketiga, memperkenalkan mata pelajaran perihal kewangan Islam di peringkat sekolah bagi memberi kefahaman asas kepada generasi muda.

Saya percaya dengan tiga inisiatif asas ini, iaitu membersihkan salah faham, melakukan penjenamaan semula dan memperkenalkan mata pelajaran tentang kewangan Islam, kita boleh meningkatkan lagi kefahaman terhadap kewangan Islam, khususnya berkaitan perbankan Islam di dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Karisma graduan UniKL

Posted:

Karisma graduan UniKL

Karisma graduan UniKL

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK


BANTUAN membersihkan kawasan banjir di Kuantan, Pahang pada Januari lalu turut melibatkan para pelajar UniKL.


KECEMERLANGAN seseorang pelajar atau mahasiswa tidak bergantung kepada pencapaian akademik yang tercatat di atas kertas ijazah semata-mata.

Sebaliknya, kecemerlangan cenderung kepada kualiti perwatakan dalam diri seseorang melibatkan nilai-nilai kekuatan spiritual, kecerdasan emosi dan kesihatan fizikal.

Kombinasi positif antara pencapaian akademik dengan tingkat spiritual, emosi serta fizikal akan membantu menjadikan seseorang itu lebih cemerlang.

Bagi memastikan pelajar berupaya mencapai definisi kecemerlangan sewajarnya, mereka perlu diberi asuhan terhadap nilai-nilai yang membentuk peribadi cemerlang.

Timbalan Presiden Pembangunan Mahasiswa dan Kehidupan Kampus, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dr. Khairanum Subari berkata, definisi cemerlang lebih terarah kepada kecenderungan melaksanakan kebaikan.

"Kecenderungan dan kesungguhan untuk melakukan kebaikan dalam pekerjaan itu terbit daripada jiwa yang murni. Manakala, perwatakan yang didorong oleh kemurnian hati pula dipengaruhi oleh kekuatan spiritual.

"Dalam usaha membina kecemerlangan (termasuk pelajar dan anak-anak kecil), perwatakan mereka wajar dicorakkan secara rohani, jasmani dan emosi," kata beliau.

Reaktif terhadap pengertian kecemerlangan yang tidak melibatkan akademik secara menyeluruh itu telah mendorong Khairanum serius melibatkan diri membina modul khusus bagi membentuk keperibadian para mahasiswa UniKL.

MAHASISWA UniKL membersih dan menyumbangkan kelengkapan surau semasa Misi Kemanusiaan di Banda Acheh, Indonesia pada April lalu.


Menerusi Modul Kemanusiaan UniKL, sebanyak 20 nilai kecemerlangan termasuk kepimpinan, keupayaan membuat keputusan dan tidak mementingkan diri sendiri disasar untuk diasuh dalam kalangan mahasiswa.

"Untuk memasukkan semua nilai itu ke dalam diri pelajar, mereka dibawa menyertai Misi Kemanusiaan UniKL mengikut beberapa peringkat dan kumpulan.

"Antara yang dilaksanakan ialah misi bantuan mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun baru-baru ini. Ia bagi menjadikan mereka memiliki sikap bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Misi kemanusiaan

"Selain itu, mereka juga dilibatkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Banda Acheh, Indonesia serta misi bantuan mangsa taufan Haiyan di Filipina," katanya.

Tambah beliau, penilaiannya juga mendapati para pelajar berkenaan semakin menunjukkan peningkatan sikap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Ujar Khairanum, pihaknya turut memantau profil para pelajar untuk memastikan mereka memiliki semua nilai kecemerlangan sebelum menamatkan pengajian.

"Sebagai contoh, apabila mendapati seseorang pelajar itu belum mempunyai nilai kepimpinan yang cukup kuat, dia akan dilibatkan dalam program yang boleh membentuk daya kepimpinan.

"Di samping melahirkan generasi bijak pandai dan berkemahiran tinggi, kita juga komited untuk memastikan mereka menjadi golongan profesional, anggota masyarakat serta pemimpin yang cemerlang," ujarnya.


SALAH seorang mahasiswa UniKL mengira naskhah al-Quran yang akan diagih kepada penduduk di Acheh.


Menurut Khairanum lagi, langkah menaik taraf Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniKL kepada Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan Kehidupan Kampus juga didorong kesungguhan untuk melahirkan generasi graduan cemerlang.

Kira-kira 23,000 pelajar sedang mengikuti kursus diploma dan ijazah dalam 50 program pengajian teknologi, kejuruteraan, multimedia serta pentadbiran penerbangan di semua 12 kampus di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, UniKL menyediakan peluang pengajian tinggi kepada golongan pelajar daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Ia termasuk memberi kemudahan pengajian kepada para pelajar yang kurang berkemampuan menerusi pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut, Khairanum memberitahu, para pelajar akan lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan serta menjadi anggota masyarakat yang baik sekiranya diasuh sejak di bangku pengajian.

"Sangat ramai individu yang terdedah kepada teknologi moden hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan sudah tidak gemar bergaul dengan orang lain.

"Jika para pelajar dipersiap dengan secukupnya, mereka diharap mampu memimpin dan mengajak orang ramai kembali hidup bermasyarakat.

"Masyarakat yang cemerlang pula ialah terdiri daripada orang yang saling memahami, sama-sama membantu dan bekerjasama," kata beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved