Isnin, 19 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sentimental rasa nyonya

Posted:

Sentimental rasa nyonya

Sentimental rasa nyonya

Oleh ALIF ABU BAKAR

RUANG dalam kedai kelihatan kemas dengan susun atur yang tidak berlebihan.


MENGENANG kembali waktu kanak-kanak memang menyenangkan. Apatah lagi jika ia boleh dizahirkan menerusi pengalaman masa kini. Sekiranya anda rindukan momen istimewa itu, apa kata anda berkunjung ke kafe Fat Spoon.

Beroperasi di kawasan sibuk di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, kafe dengan kapasiti maksimum 80 orang itu bagai sebuah rumah pusaka di kampung yang masih terpelihara nilai sentimentalnya.

Pintu masuk yang diubah suai daripada kayu usang memberi impresi positif pertama buat pengunjung. Ruang dalaman kemudiannya menjemput damai, ibarat berada di rumah sendiri.

Penggunaan dekorasi klasik seperti almari dan perkakas lama termasuk pemilihan perabot Fat Spoon menciptakan ambien kampung yang mengagumkan.

Meja dan kerusinya juga dicampur aduk secara kreatif tanpa keseragaman bentuk, warna dan material agar suasana semula jadi dapat dihidupkan.

Pemilik bersama kafe yang dibuka sejak Ogos 2010 itu, Melissa Pong, 25, menceritakan almari lama yang diletakkan di Fat Spoon diambil dari rumah kampung neneknya di Perak.

Nilai tradisi

Begitu juga resipi yang diterapkan Fat Spoon. Majoriti sajiannya diinspirasikan daripada masakan di rumah dan mempunyai nilai tradisi yang tinggi. Setiap hidangan tradisional itu diolah selari selera moden untuk diterapkan ke dalam konsep restoran.

"Juadah tradisional nyonya seperti nasi perut ikan antara signatur di sini. Menu ini menggunakan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jenis sayur. Namun, ia hanya digemari sesetengah individu.


NASI daging moo moo sering menjadi pilihan jejaka ketika menjamu selera di kafe Fat Spoon.


"Sup makaroni daging pedas kami pula disediakan dengan campuran rasa tradisional dan moden kerana mahu menepati selera orang Asia Tenggara," jelas Melissa ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Nasi goreng ulam dan mi lou shu fun juga termasuk dalam sajian popular di Fat Spoon. Golongan lelaki pula lebih tertarik kepada nasi daging moo moo yang mampu memberi kekenyangan sekadar perlu.

Kuantiti setiap pinggan di kafe yang dibuka ibu dan kakak Melissa itu boleh dikategorikan sebagai standard. Ia tidak terlalu besar namun mencukupi untuk mengisi perut seorang perempuan.

Variasi pencuci mulut seperti popia cempedak pasti menambat selera kampung anda. Selain itu, jangan lupa untuk mencuba puding sago bersama aiskrim gula Melaka The Polka dan kek buatan sendiri kafe tersebut.

Setiap Selasa hingga Khamis, set makan tengah hari ditawarkan bermula pukul 11.30 pagi hingga 3 petang. Ia akan dibuka semula pada pukul 5 petang hingga 10 malam untuk makan malam.

Bagaimanapun, pada Jumaat hingga Ahad, operasinya berlanjutan dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada Isnin.

Harumanis kembali diburu

Posted:

Harumanis kembali diburu

Harumanis kembali diburu


SELAIN keenakannya, harumanis kaya dengan vitamin C dan E.


KETIKA angin segar membawa aroma harum di Perlis, ia sebenarnya membisikkan petanda bahawa musim harumanis telah bermula.

Seperti musim-musim menuai yang lalu, banyak 'pelancong mempelam harumanis' tiba di negeri paling utara ini sebaik musimnya bermula pertengahan April dan berakhir awal Jun.

Perlis adalah satu-satunya negeri pengeluar harumanis di negara ini dan ia bermusim hanya sekali dalam setahun.

Selepas berakhirnya musim tuaian, para penggemar harumanis terpaksa menunggu setahun lagi untuk menikmati keenakannya.

Antara lokasi utama tumpuan orang ramai setiap kali tiba musim harumanis ialah Bukit Bintang, Paya Kelubi dan Chuping.

Keistimewaan

Keistimewaan harumanis seperti aroma, keenakan dan kaya dengan antioksidan seperti vitamin C serta E membuat ramai orang teruja untuk menikmatinya.

Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai serat yang membantu sistem pencernaan, larut dalam air, baik untuk mengawal paras kolestrol dan mencairkan kahak.

Sebenarnya, tidak ramai yang tahu atau bertanya mengenai khasiat harumanis kerana kebanyakan pembeli hanya ingin memburu keenakannya meskipun terpaksa berbaris untuk membeli.

Di restoran dan warung, para penggemar buah itu kadang-kadang terpaksa menunggu giliran yang lama bagi menikmati hidangan harumanis yang disajikan bersama pulut atau dibuat jus.

Ketika permintaan harumanis terus meningkat, masalah yang sedang dihadapi oleh pengeluar harumanis termasuk para pengusaha kebun persendirian ialah untuk memenuhi permintaan para penggemarnya.

Ini kerana, saban tahun permintaan terhadap harumanis begitu tinggi berbanding keupayaan pengeluarannya yang sekitar ratusan tan metrik setiap musim.

Dalam pada itu, harga yang ditawarkan oleh seorang peniaga bagi empat kilogram harumanis yang ditempah secara dalam talian untuk Semenanjung Malaysia ialah RM100 berdasarkan harga RM25 sekilogram.

Jika dicampur dengan kos penghantaran sebanyak RM38 menjadikan kos keseluruhan RM138 dan empat kilogram harumanis hanya sesuai untuk hidangan antara satu dan tiga orang.


PENGELUARAN yang terhad membuatkan para pengusaha berdepan masalah memenuhi permintaan para pengemarnya.


Harga RM25 sekilogram itu dijangka bertahan setakat 15 Mei sahaja dan selepas itu para peniaga menjangkakan harganya meningkat kepada antara RM30 dan RM35 berikutan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 dan cuti sekolah.

Tinjauan mendapati para penjual harumanis memanfaatkan laman sosial bagi memasarkan harumanis melalui kaedah tempahan dan mereka akan mengirim kepada pembeli apabila tiba waktunya.

Selain saiz kawasan penanaman yang masih kecil, faktor cuaca juga mempengaruhi pengeluaran harumanis kerana buah itu begitu sensitif kepada cuaca basah selain serangan serangga.

Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk membesarkan saiz kawasan tanaman harumanis kepada 1,000 hektar menjelang tahun 2015 bagi membesarkan saiz pengeluarannya kepada kira-kira 1,500 tan metrik semusim.

Sepanjang tahun

Antara langkah membesarkan kawasan penanaman ialah mewujudkan program desa harumanis di kawasan-kawasan terpilih.

Melalui program itu, setiap penduduk digalakkan menanam sekurang-kurangnya lima pokok mempelam harumanis di kawasan lapang termasuk di halaman rumah.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan berkenaan yang menghasilkan kejayaan apabila harumanis mengeluarkan hasil sepanjang tahun.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, harumanis yang ditanam di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di Sungai Chuchuh berjaya menghasilkan pengeluaran harumanis sepanjang tahun.

Sehubungan itu, UniMAP telah menjalin kerjasama dengan syarikat JBP Asia Pasific Sdn. Bhd. bagi menjalankan projek perintis pengeluaran harumanis sepanjang tahun secara komersial.

Projek perintis itu dilaksanakan di kawasan seluas lebih 14 hektar di INSAT yang menjadi sebahagian daripada komponan Kampus UniMAP Sungai Chuchuh.

Usaha membesarkan saiz pengeluaran turut mendapat perhatian Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melancarkan penanaman serentak 1,000 pokok harumanis di seluruh Perlis dua tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Mat Jusoh menjangkakan pengeluaran harumanis musim ini mencapai lebih 1,000 tan metrik berikutan faktor kemarau panjang yang sesuai dengan tanaman itu.

Kemarau yang panjang membolehkan putik-putik mempelam dapat membesar dengan lebih sempurna. - Bernama

Akses muzik tanpa had KKBOX

Posted:

Akses muzik tanpa had KKBOX

Akses muzik tanpa had KKBOX


BARISAN artis tempatan bersama tenaga kerja KKBOX Malaysia yang hadir sewaktu pelancaran perkhidmatan langganan muzik itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KKBOX merupakan sebuah medium perkhidmatan langganan muzik digital utama di rantau Asia. Setiap kandungan dalam KKBOX secara dalam talian melalui teknolouser interface (UI) baharu yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Menerusi UI, pengguna dapat berinteraksi, berkongsi muzik dan berpeluang menyanyi bersama artis tempatan. Selain pelan harian, pengguna juga boleh membuat pembayaran secara mingguan, bulanan dan suku tahunan.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif KKBOX, Chris Lin memberitahu, pihaknya percaya bahawa aplikasi itu mampu merapatkan hubungan sesama pengguna melalui muzik kegemaran yang dikongsi.

"Sebagai sebuah syarikat yang telah berkembang di beberapa buah negara, kami yakin bahawa medium ini merupakan cara terbaik untuk menyatukan peminat muzik tempatan.

"KKBOX telah bekerjasama dengan label muzik utama dan bebas seperti Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP)," jelasnya.

Selain muzik, aplikasi itu juga menawarkan kemudahan Lirik Bergerak yang memudahkan pelanggan menikmati pengalaman berkaraoke. Selain itu, segmen Dengar Bersama merupakan cara terbaik untuk pengguna mendengar muzik secara langsung.

KKBOX telah bekerjasama dengan lebih 1,000 artis terkenal Asia seperti Ftisland, Mayday dan Jay Chou. Sejak dilancarkan di Taiwan 10 tahun lalu, KKBOX kini berkembang ke Hong Kong, Singapura, Jepun, Thailand dan terbaharu, Malaysia.

Sehingga kini, dianggarkan 10 juta pengguna berdaftar menerusi aplikasi tersebut. KKBOX memiliki pustaka muzik gergasi dengan 10 juta lagu daripada 500 label antarabangsa dan tempatan.

Maklumat lanjut, layari laman web www.kkbox.com dan www.facebook.com/KKBOXMalaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved