Khamis, 15 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Orang gembira lebih produktif

Posted:

Orang gembira lebih produktif

Orang gembira lebih produktif

MIMIK wajah yang tegang atau relaks mampu mengubah mood manusia.


KEGEMBIRAAN dalam kehidupan mungkin sesuatu yang sangat subjektif. Sesetengah individu yang disangkakan bahagia dan gembira mungkin sedang menanggung beban yang sangat besar di lubuk hati mereka.

Sebaliknya, ada individu yang wajahnya mungkin menunjukkan sedang dilanda masalah. Namun, hakikatnya dia gembira.

Faktor dan punca seseorang itu gembira juga pelbagai. Mungkin ada yang gembira kerana memiliki kekayaan. Selain itu, ada juga mereka yang tetap gembira walaupun tidak mengecap kekayaan.

Sehubungan itu, kita jangan berasa pelik sekiranya melihat individu yang kaya terus mengeluh sepanjang hari. Namun, mereka yang tidak memiliki kekayaan tetap tersenyum sepanjang masa.

Kegembiraan merupakan sesuatu yang sangat subjektif untuk kita semua. Ia bergantung kepada 'apa' dan 'bagaimana' kita mentafsirkan makna hidup.

Terdapat sesetengah perkara yang amat misteri tetapi mampu membuatkan orang gembira. Ia kelihatannya pelik dan janggal.

Kajian

Sebagai contoh, dalam satu kajian oleh seorang ahli psikologi Amerika Syarikat, Robert Zajonc menunjukkan bahawa seseorang itu akan berasa gembira setelah menghasilkan bunyi vokal huruf 'E' yang panjang. Sebaliknya individu akan berasa kecewa sekiranya menghasilkan bunyi 'U' yang panjang.

Kajian beliau yang berikutnya pula menunjukkan bagaimana mimik wajah yang tegang dan relaks mampu mengubah mood manusia.

Hal ini berlaku kerana ia juga mampu mengubah tekanan darah untuk sampai ke bahagian otak dan kemudiannya telah mengubah reaksi mood manusia.

Sungguhpun penemuan seumpama ini masih lagi menjadi topik perdebatan dalam kalangan pengkaji tetapi secara umumnya manusia yang gembira dikatakan lebih beruntung.


KEGEMBIRAAN mampu memberi kesan terhadap usia manusia.


Mereka yang gembira misalnya dikatakan lebih produktif apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Dalam satu kajian beberapa tahun terdahulu menunjukkan bahawa mereka yang gembira mempunyai kebarangkalian untuk hidup 14 peratus lebih lama berbanding dengan individu yang murung.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa mereka yang gembira mampu memanjangkan umur antara 7.5 tahun ke 10 tahun.

Seorang penyelidik, Deborah Danner yang menjalankan kajian di sebuah pusat jagaan warga tua di Notre Dame, Amerika Syarikat menjadi kayu pengukur untuk melihat faktor kegembiraan mampu memberi kesan terhadap usia manusia.

Kajian yang terkenal itu dijalankan sekitar tahun 1991 hingga 1993.

Kesemua peserta dalam kajian itu merupakan bekas pengajar dan biarawati di beberapa daerah di Amerika Syarikat.

Dalam usaha untuk melihat kegembiraan mempunyai kaitan dengan jangka hayat, pengkaji telah juga menyemak kembali rekod autobiografi kumpulan wanita tersebut yang ditulis sekitar tahun 1931 sehingga tahun 1943.

Rekod tersebut menyatakan, sama ada mereka sedang dalam keadaan gembira, bimbang atau mempunyai beberapa simptom psikologi lain.

Bagi laporan individu yang gembira, mereka didapati hidup lebih panjang berbanding mereka yang banyak melaporkan kelukaan dalam menjalani kehidupan.

Sekeping gambar yang memaparkan seramai 196 orang pemain besbol yang tersenyum diambil pada tahun 1952 merupakan contoh nyata. Kajian melaporkan bahawa ia mempunyai kaitan dengan jumlah kematian pemain tersebut pada tahun 2009.

Ia menggambarkan bagaimana manusia yang sering menampilkan senyuman, mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

Mengapa mereka yang gembira ini sering dikaitkan dengan usia yang lebih panjang? Sebenarnya kegembiraan mempunyai implikasi yang lain kepada hidup manusia.


INDIVIDU yang sering senyum mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. - Gambar hiasan


Individu yang gembira dikatakan melakukan aktiviti sihat, terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan mereka juga menghindarkan diri daripada mengambil alkohol dan dadah.

Status ekonomi

Sehubungan itu, mereka mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding yang bermasalah. Mereka yang gembira juga dikaitkan dengan status ekonomi lebih baik dan biasanya tidak mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Individu seperti ini juga dikatakan jarang bermusuhan dengan orang lain atau terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sungguhpun kegembiraan mungkin memberikan isyarat yang baik, bagaimanapun ia tidak semestinya benar dalam semua keadaan.

Satu kajian menunjukkan sekiranya pelajar berusia belasan tahun terlalu gembira dengan kehidupannya, mereka mungkin akan mati lebih awal berbanding rakan yang lain.

Kegembiraan keterlaluan telah menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral seperti dadah, alkohol dan kegiatan jenayah yang lain. Akhirnya mereka cenderung mengalami hidup yang lebih berisiko.

Sebagai manusia, kita perlu bergembira. Kita mungkin terluka apabila ditimpa ujian. Bagaimana pun, sekiranya ujian itu ditafsir sebagai satu cabaran, kita mungkin akan terus tersenyum sekalipun ditimpa bencana.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved