Khamis, 1 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tulisan cermin watak penulis

Posted:

Tulisan cermin watak penulis

Tulisan cermin watak penulis

SESEORANG manusia boleh melakonkan pelbagai watak sama ada baik atau buruk dalam dunia realiti masa kini. - Gambar hiasan


KEBELAKANGAN ini, kita selalu melihat media sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan sebagai senjata untuk mengkritik atau menjatuhkan individu lain.

Ia bukan hanya dilakukan oleh individu biasa, tetapi turut berlaku dalam kalangan selebriti atau individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat seperti ahli politik.

Golongan agama turut menerima nasib yang sama dengan terkena tempias serangan kata-kata kesat.

Bagaimanapun, penulis kata-kata sesat di laman sosial pada hakikatnya membuka aib mereka sendiri.

Dalam bidang psikologi, personaliti manusia itu sendiri pada asasnya hanyalah 'topeng' sahaja. Seseorang boleh berperwatakan berbeza mengikut konteks dan situasi sesuatu keadaan.

Misalnya, seseorang itu boleh melakonkan watak seperti manusia budiman apabila berada dalam masyarakat. Tetapi mungkin sebenarnya berperwatakan seperti manusia lain dalam realiti kehidupan.

Dalam kata lain, manusia mengawal perilaku dan watak mereka. Inilah yang ditunjukkan dalam kajian tearoom sex oleh Laud Humphreys pada tahun 1970.

Kajian tersebut menunjukkan bagaimana golongan homoseksual boleh bertukar menjadi individu lain dalam keluarga dan masyarakat. Sebaliknya mereka merupakan golongan yang tidak bermoral apabila berada dalam kelompok mereka.

Bagaimanapun, dengan kewujudan pelbagai medium laman sosial pada hari ini, manusia adakalanya terlupa bahawa mereka sedang membuka aib mereka sendiri.

Ia terbukti apabila mereka menulis sesuatu yang tidak sesuai pada tempatnya menerusi laman Facebook atau Twitter. Perkara seperti itu juga sering dilakukan oleh mereka yang dikenali dalam masyarakat seperti seorang selebriti.

Batasan

Sebagai contoh, seorang selebriti memuat naik status laman sosial yang berunsur jenaka dengan cuba mengaitkan kehilangan pesawat MH370. Baginya mungkin sekadar jenaka. Tetapi ia mungkin menyakitkan hati orang lain yang membacanya.

Baru-baru ini, seorang ahli politik telah memberikan komen negatif terhadap kematian seorang ahli politik bukan Islam di laman Facebook.

Komen tersebut mungkin ditulis oleh pembantunya. Beliau juga mungkin tidak bermaksud dengan kata-katanya itu. Bagaimanapun, pada akhirnya masyarakat yang membaca apa sahaja yang ditulis tidak tahu sama ada si penulis mempunyai maksud tersirat atau tidak.


SETIAP individu perlu berhati-hati dalam memuat naik status atau gambar di media sosial kerana ia boleh mengundang bahana buat diri sendiri.


Sehubungan itu, setiap individu seharusnya berhati-hati sebelum menulis sesuatu di laman sosial.

Dalam diri manusia, terdapat dua istilah yang sangat penting menceritakan tentang diri kita sendiri iaitu public self dan private self.

Public self ialah keadaan yang memerlukan kita akur dan menurut norma satu-satu masyarakat. Misalnya, ketika menghadiri majlis perkahwinan, kita perlu memakai pakaian yang bersesuaian untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Kita juga perlu berhati-hati ketika berbual bagi menjaga hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, apabila di rumah, kita mungkin kembali kepada private self yang menunjukkan keperibadian diri kita sebenar.

Ia bukanlah bermakna manusia merupakan seorang 'pelakon', sebaliknya merupakan realiti kehidupan kita sebagai manusia.

Bagaimanapun, adakalanya dalam menulis sesuatu sama ada di Facebook atau Twitter, kita mungkin terlupa bahawa kita sedang berada dalam lingkungan public self. Pada hakikatnya, mungkin penulis berada seorang diri dan menulis dari dalam bilik yang sunyi.

Malah lingkungan public self berlaku apabila kita menuliskan sesuatu sebenarnya menjadi lebih besar daripada apa yang kita jangkakan.

Ia mungkin akan dibaca oleh puluhan ribu orang lain dari pelbagai negara. Malah, ada dalam kalangan yang membacanya pula terdiri daripada mereka yang tidak mengenali private self kita yang sebenar.

Positif

Mereka mungkin tidak membaca apa yang kita tuliskan, sebaliknya sedang membaca watak kita yang sebenarnya. Walaupun mereka mungkin memberikan komen positif terhadap tulisan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sedang menilai keburukan kita.

Oleh itu, jangan sesekali membuka aib kita dengan menulis sesuatu yang mungkin akan memberikan implikasi yang buruk terhadap diri sendiri.

Walaupun kita mungkin berniat baik atau mungkin tidak mempunyai maksud untuk memburukkan orang lain, tetapi pada akhirnya setiap tulisan akan dibaca melalui pentafsiran manusia. Ia bergantung kepada sesiapa yang membacanya, dan bagaimana mereka mentafsirkan tulisan tersebut.

Pesanan orang tua kita, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar mungkin tidak selalunya relevan dalam konteks kehidupan masyarakat hari ini. Bagaimanapun, ia tetap relevan apabila kita mula mendaftar masuk laman Facebook atau Twitter dan berhajat untuk menuliskan sesuatu.

Kita mungkin tidak membuka aib orang lain, sebaliknya sedang membuka siapakah diri kita yang sebenarnya.

Kita boleh bercakap apa sahaja yang kita mahu di kedai kopi. Sebaliknya kita tidak boleh menulis apa sahaja di laman sosial. Ia hanya akan menceritakan siapa diri kita.

Derma rambut untuk pesakit kanser

Posted:

Derma rambut untuk pesakit kanser

Derma rambut untuk pesakit kanser

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


SIMBOLIK pelancaran kempen Locks Of Hope disempurnakan oleh (dari kiri) Amber, Saunthari, Sook Han dan Chee Mun di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MASALAH keguguran rambut merupakan kesan sampingan paling traumatik yang dihadapi kebanyakan pesakit kanser selepas menjalani rawatan kemoterapi.

Malah, ada juga dalam kalangan mereka terus menjadi botak lantaran kehilangan rambut secara menyeluruh hingga membuatkan hilang keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat.

Bagi mengatasi masalah itu, sudah pasti rambut palsu menjadi pilihan terbaik sementara menunggu rambut mereka tumbuh semula. Bagaimanapun, dengan bebanan kos rawatan kanser, rambut palsu berkualiti tinggi yang mencecah ratusan ringgit mungkin di luar kemampuan ramai pesakit.

Menyedari hakikat itu, MMIS Professional Hair Care (MMIS Professional) tampil dengan inisiatif menganjurkan kempen derma rambut Locks of Hope yang bermatlamat untuk membantu dan memberi sokongan kepada mereka.

"Kempen ini diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi dengan menderma rambut mereka.

"Kesemua rambut yang dikumpulkan sepanjang kempen ini akan dijadikan rambut palsu untuk disumbangkan kepada pesakit," ujar Pengarah Pemasaran MMIS Professional, Kong Chee Mun sewaktu pelancaran rasmi kempen tersebut di Hotel Pullman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerjasama

Locks of Hope diadakan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Akademi Amber Chia. Buat masa ini terdapat lebih 150 salun di seluruh negara telah bersetuju untuk menyertai kempen ini.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, keguguran rambut menjadi antara sebab utama pesakit menolak rawatan kemoterapi.

"Sebenarnya, ramai yang tidak memahami bahawa rambut mereka akan tumbuh semula dalam masa empat hingga 12 bulan.

"Oleh itu, penggunaan rambut palsu sangat digalakkan bukan sahaja untuk membantu pesakit yang sedang menjalani kemoterapi, tetapi juga mengajak pesakit yang didiagnosis dengan kanser memilih rawatan tersebut," katanya.

Pengasas MMIS Professional, Yong Chee Keong berharap dengan penganjuran kempen ini, ia dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang kanser kepada rakyat Malaysia.

Sebagai sokongan terhadap kempen ini, isteri Chee Keong, Yap Sook Han menjadi penyumbang pertama apabila sanggup memotong rambutnya sepanjang 12 inci untuk didermakan pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, model terkenal, Amber Chia yang menjadi rakan kongsi kempen itu menasihati orang ramai agar tidak gusar jika rambut mereka pendek selepas didermakan.

Derma

"Akademi Amber Chia menyokong kempen ini dengan membekalkan tip kecantikan kepada penderma rambut seperti cara menggayakan dan menjaga rambut selepas dipotong untuk disumbangkan kepada tabung Locks of Hope.

"Malah, model kami turut mengambil bahagian dalam siri jelajah kempen di seluruh negara bagi menarik perhatian orang ramai menderma rambut mereka," tutur Amber.

Sepanjang kempen ini, NCSM akan menjadi penghubung antara MMIS Professional dan pesakit yang memerlukan rambut palsu.

Bagi yang berminat menyertai kempen ini, mereka boleh mencari salun rambut yang mempunyai tampalan pelekat Locks of Hope. Senarai salun yang mengambil bahagian boleh dilayari di laman www.locksofhope.org.

Bagaimanapun, umat Islam dilarang daripada menyertai kempen ini kerana ia melibatkan soal hukum agama.

Menurut Felo Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dr. Arief Salleh Rosman, berdasarkan perundangan Islam, kesemua ulama dalam keempat-empat mazhab berpendapat penggunaan rambut manusia untuk sebarang kegunaan termasuk membuat rambut palsu adalah dilarang sama sekali.

"Hukum haram memakai rambut palsu jika ia dipakai untuk tujuan kecantikan dan bersolek manakala menurut sebahagian ulama, bagi pesakit seperti pesakit kanser yang keguguran rambut, mereka boleh menggunakan rambut palsu.

"Tetapi, rambut palsu itu tidak boleh dibuat daripada rambut manusia, sebaliknya mestilah diperbuat daripada sumber lain yang suci," jelas Arieff Salleh ketika dihubungi Kosmo! bagi mengulas mengenai isu derma rambut ini.

Taman Edibel buah tangan Starbucks

Posted:

Taman Edibel buah tangan Starbucks

Taman Edibel buah tangan Starbucks

Oleh NORHAYATI YAHAYA


PENDUDUK yang terlibat dalam projek Taman Edibel boleh datang semula ke Starbucks untuk menuai hasil tanaman mereka.


"Dalam masa sebulan lagi, silalah datang semula ke Starbucks untuk menuai hasil tanaman anda semua." Demikian kata Pengurus Perhubungan Pelanggan dan Strategi Digital Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. (Starbucks) Malaysia dan Brunei, Salleharon Ahmad di hadapan lebih 50 penduduk Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam, Selangor ketika projek perintis di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan di premis Starbucks Pandu Lalu di kawasan tersebut baru-baru ini.

Menurut Salleharon, biasanya Starbucks dikenali ramai dengan aneka pilihan kopi yang enak dan sudah tentu kedatangan pelanggan ke premis tersebut adalah bagi menikmati hidangan kopi pilihan masing-masing.

Malah katanya, premis yang turut menghidangkan snek termasuk pastri dan aneka kek itu juga sememangnya pilihan popular golongan remaja dan muda-mudi untuk bertemu sahabat handai.

Bagaimanapun, kata Salleharon, pihak syarikat sendiri memilih satu kelainan untuk program CSR kali ini apabila memilih untuk 'memberi semula' pulangan dalam bentuk tanaman herba kepada pelanggan melalui projek perintis, Taman Edibel yang diwujudkan di batas sepanjang 36 meter persegi di premis Starbucks Pandu Lalu Kota Kemuning pada 20 April lalu.

Mengambil tanaman

"Penduduk di sini bukan sahaja boleh singgah, sama ada untuk menikmati minuman di premis ini atau pandu lalu tetapi mereka kini mempunyai pilihan lain apabila boleh singgah untuk mengambil tanaman tersebut untuk dimasak dalam masakan masing-masing. "Kami bukan sahaja menjual kopi tetapi sekarang kami juga boleh menyumbang semula kepada komuniti di sini," katanya.

Bercerita lanjut, Salleharon memberitahu, projek Taman Edibel pertama melibatkan premis perniagaan seperti itu di Malaysia turut mendapat kerjasama lebih 20 rakan niaga dan juga kakitangan Starbucks. Malah, mereka turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian yang menunjukkan cara dan teknik yang betul penanaman serta penjagaan pokok tersebut.

"Kita akan meneruskan projek ini dengan premis Starbucks kedua yang dipilih adalah di Starbucks Pandu Lalu Setia Alam, dekat sini pada Jun nanti.

"Selepas ini nanti, kami bercadang untuk menanam cili padi selepas mendapat maklum balas yang tinggi dalam kalangan penduduk di sini," ujarnya.

Sementara itu, wakil penduduk dari Indah Residence, Cathy Chor Luan berkata, dia berasa terpanggil untuk menyertai program julung kalinya itu selepas diberitahu bahawa penduduk turut mendapat manfaat daripada penanaman tanaman tersebut.

Seronok

Chor Luan, 32, yang berjaya membawa lebih 15 penduduk juga berasa seronok apabila mereka bukan sahaja diberi pendedahan mengenai cara penanaman yang sesuai di kawasan kediaman dengan keluasan terhad tetapi pegawai jabatan pertanian turut tidak lokek untuk berkongsi tip bagi mengurangkan penggunaan racun serangga pada tanaman.

"Apabila kami turut terlibat dalam kerja-kerja menanam, ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat untuk memberikan perhatian terhadap tumbesarannya.

"Saya tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti dalam tempoh empat minggu lagi, saya harap boleh ambil sedikit untuk masak di rumah," katanya.

Christopher Chai Chi Fui, 35, yang menetap di Bayu Residence pula memberitahu, dia berasa seronok dapat memegang cangkul di bawah terik matahari, iaitu aktiviti yang sudah lama ditinggalkan akibat kesibukan bekerja.

Menurut Chi Fui lagi, dia sendiri akan cuba untuk datang menjenguk tanaman yang ditanamnya itu sekerap yang boleh bagi memastikan ia terus hidup subur.

"Pengalaman ini mengembalikan kenangan waktu dahulu, saya sangat seronok dengan aktiviti seumpama ini.

"Selain dapat mengenali jiran setempat, ia juga satu aktiviti sihat buat kami pada waktu hujung minggu, mungkin juga kami akan sama-sama datang ke sini dan berbual mengenai tanaman kami sendiri," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved