Khamis, 29 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pusat Akuatik dibuka secara rasmi

Posted:

Pusat Akuatik dibuka secara rasmi

Pusat Akuatik dibuka secara rasmi

SEBAHAGIAN atlet renang mula menjalani latihan di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar, Perlis semalam.


BUAT pertama kali, barisan atlet renang yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 berpeluang menjalani latihan di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar semalam.

Pusat Akuatik itu yang sebelum ini menimbulkan pelbagai persoalan gara-gara ia tidak dapat disiapkan pada masa ditetapkan selain tidak menepati beberapa piawaian antarabangsa, dibuka secara rasmi buat setiap kontinjen renang mulai pukul 4 petang.

Antara kontinjen yang terawal 'menguji' kolam renang di Pusat Akuatik tersebut ialah Selangor, Sarawak, Sabah dan Johor.

Bagaimanapun, bagi atlet terjun, mereka tidak berpeluang menjalani latihan di Pusat Akuatik itu semalam. Ini kerana air di kolam (bagi acara terjun) masih keruh, selain salah satu platform iaitu platform berketinggian lima meter perlu diubah suai.

"Seperti yang anda (pihak media) dapat lihat hari ini (semalam), beberapa pasukan renang telah mula menjalani latihan di sini. Bagi saya, kolam renang sudah tiada masalah berbangkit dan acara boleh berlangsung esok (hari ini).

"Bagaimanapun, atlet-atlet terjun masih tidak boleh menjalani latihan di sini kerana air di kolam belum mencapai standard yang sepatutnya. Pada masa sama, pihak kontraktor juga masih menyiapkan platform.

"Saya menjangkakan kerja-kerja pengubahsuaian platform itu dan masalah air (keruh) akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya malam ini (malam tadi)," jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong semalam.

Beliau menambah, pihaknya serta penganjur juga tidak ada sebarang kekangan lagi untuk menunda acara akuatik Sukma 2014 yang sepatutnya dijadualkan bermula semalam.

"Bagi atlet-atlet terjun, mereka masih ada masa untuk menjalani latihan pagi esok (hari ini) sebelum acara terjun bermula. Jadi, saya berharap semua masalah yang timbul sebelum ini tidak akan lagi berbangkit," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih skuad renang Selangor, Ong Jin Kooi berkata, beliau masih boleh menerima 'keadaan' di kolam renang tersebut walaupun anak-anak buahnya terpaksa menjalani latihan pada saat-saat akhir.

"Apa lagi pilihan yang kami ada. Kami harus menyesuaikan diri walaupun masa agak terhad untuk menjalani latihan di sini. Bagi saya, jika para perenang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini, maka ia akan menjadi satu masalah.

"Namun, secara peribadi saya menganggap kolam renang di sini masih mengikut peraturan FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa).

"Para perenang saya juga tidak memberi sebarang maklum balas negatif selepas mereka berlatih kira-kira 30 minit di sini," kata Jin Kooi.

Mengulas mengenai sasaran skuad renang Selangor pada Sukma kali ini, Jin Kooi berkata, mereka berharap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas.

Bagaimanapun, sasaran lima pingat emas itu dilihat agak rendah berbanding ketika skuad renang Selangor muncul juara keseluruhan pada Sukma 2012 di Pahang apabila mereka merangkul 11 emas.

"Kami harus realistik kerana pada Sukma kali ini, Selangor mempertaruhkan ramai perenang muda. Ini disebabkan beberapa perenang berpengalaman sudah bersara. Jadi, ramai perenang baharu dalam skuad renang Selangor," ujarnya.

Sandaran utama Selangor sudah pasti terarah kepada dua perenang kebangsaan, Shaun Yap yang akan beraksi dalam acara 50m, 100m dan 200m kuak dada lelaki serta Yap Siew Hui bagi 50m dan 100m kuak kupu-kupu wanita.

'Jangan mudah menyerah kalah'

Posted:

'Jangan mudah menyerah kalah'

'Jangan mudah menyerah kalah'

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my


TENGKU ABDUL RAHMAN melakukan cabutan pada majlis undian pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala SAS Muda 2014 di Kuantan, Pahang semalam.


"SAYA mahu semua pemain bekerja keras, berusaha masuk ke perlawanan akhir."
Itu kata-kata perangsang yang dilemparkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kepada skuad Tok Gajah menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok.

Biarpun menyedari pemain-pemain utama Pahang mengalami krisis kecederaan, Presiden PBNP itu tidak mahu ia dijadikan alasan untuk menyerah kalah sebelum berlawan.

Tengku Abdul Rahman menganggap Pahang sudah berada di peringkat matang untuk mengharungi perlawanan yang sengit dalam merebut piala yang berprestij dalam saingan liga tempatan itu.

"Saya sudah berjumpa dengan para pemain termasuk ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan berpesan kepada mereka supaya teruskan usaha keras yang telah diterapkan selama ini sehingga pasukan layak ke peringkat ini.

"Harapan saya untuk lihat pasukan ini berjaya memasuki perlawanan akhir, mereka (pemain dan jurulatih) perlu sedaya upaya memastikan perlawanan menentang Johor DT nanti menjanjikan aksi yang menarik.

"Saya juga berharap nasib akan menyebelahi kami kerana beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Darul Makmur dengan sokongan padu para peminat tempatan," titahnya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Kejohanan Bola Sepak Piala SAS Muda 2014 di Kuantan semalam.

Kejohanan yang menghimpunkan sebanyak 58 pasukan itu mewakili Parlimen masing-masing dan terbuka bagi dua kategori iaitu bawah 9 dan 10 tahun.

Ia akan berlangsung di Stadium Mini Temerloh bermula esok hingga 1 Jun ini.

Dalam pada itu, Tengku Abdul Rahman juga mengingatkan para penyokong yang hadir ke stadium nanti supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang berlebihan sama ada pasukan yang disokong menang atau kalah.

Apa yang penting titahnya, setiap penonton harus menghormati antara satu sama lain bagi memastikan kelancaran perlawanan yang akan berlangsung nanti.

"Biar sukan bola sepak jadi agenda penyatuan rakyat. Jangan terlalu beremosi ketika meraikan kemenangan sehingga timbul perkara yang tidak diingini," jelasnya.

TMJ terima kekalahan

Posted:

TMJ terima kekalahan

TMJ terima kekalahan


TUNKU ISMAIL tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan dalam FAM selepas tewas dalam perebutan jawatan Presiden FAM pada Kongres Tahunan FAM ke-50, Ahad lalu.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, baginda yang gagal bagi perebutan jawatan Presiden FAM pada Kongres Tahunan FAM ke-50, Ahad lalu, bersedia untuk memberikan bantuan kepada badan induk bola sepak negara itu dalam usaha meningkatkan mutu dan imej bola sepak tanah air.

"Saya terima keputusan pemilihan FAM yang lalu dengan hati yang terbuka.

"Saya kini lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab saya dalam memartabatkan bola sepak negeri Johor. Itulah takdir saya.

"Kita berada di mana Allah SWT takdirkan kita berada pada masa ini. Setiap sesuatu yang kita lalui adalah sebahagian daripada perancangan-Nya. Allah mempunyai ketetapan-Nya.

"Percaya kepada ketentuan-Nya, teruskan hidup, dan nikmatilah ia," kata baginda yang dipetik daripada Facebook rasmi Johor Darul Ta'zim, Johor Southern Tigers semalam.

Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor tewas dengan undi 12-27 undi bagi jawatan Presiden FAM kepada penyandang Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Penyandang Presiden, Sultan Ahmad Shah yang menarik diri daripada mempertahankan jawatan Presiden FAM dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved