Ahad, 25 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Jepun kuasa baharu badminton

Posted:

Jepun kuasa baharu badminton

Jepun kuasa baharu badminton

JURULATIH Jepun, Park Joo Bong (tengah) menjulang Piala Thomas selepas skuad bimbingannya muncul juara ekoran kemenangan 3-2 ke atas Malaysia pada perlawanan akhir semalam.


NEW DELHI - Jepun muncul kuasa baharu sukan badminton dunia apabila mengejutkan Malaysia 3-2 di pentas final Piala Thomas 2014 di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Lebih manis, ia merupakan kali pertama Jepun mendakap trofi Piala Thomas dalam penampilan sulung mereka di pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.

Jurulatih Jepun, Park Joo Bong juga pastinya individu yang paling gembira dengan kejayaan Negara Matahari Terbit melakar sejarah ekoran tidak pernah mendakap trofi paling berprestij berkenaan sepanjang kariernya bersama Korea Selatan sebelum ini.

Percaturan Joo Bong menurunkan pemain perseorangan keempat, Takuma Ueda berbanding Sho Sasaki juga ternyata berbaloi apabila Ueda tenang menyumbang mata kemenangan Jepun selepas menewaskan kapten negara, Liew Daren dengan keputusan rubber set 21-12, 18-21 dan 21-17.

Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia terus kempunan mendakap trofi Piala Thomas selepas kali terakhir muncul juara pada 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah menjinakkan Kenichi Tago dengan kemenangan straight set 21-12 dan 21-16.

Hasrat pasangan 'bidan terjun' negara, Hoo Thien How-Tan Boon Heong bagi mengejutkan pasangan No. 3 dunia, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa ternyata gagal biarpun berjaya mengheret perlawanan ke rubber set sebelum tumpas 21-12, 17-21 dan 19-21.

Ketangkasan bekas juara remaja dunia, Kento Momota juga gagal ditandingi pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng apabila menang straight set 21-15 dan 21-17.

Impian negara kembali menyala apabila pasangan beregu kedua, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan 2-2 apabila menang rubber set 19-21, 21-17 dan 21-12.

Tatkala harapan seluruh rakyat Malaysia terjurus ke arah Daren, pemain itu gagal beraksi dengan baik apabila tumpas mudah pada set pertama sebelum kembali bangkit pada set kedua.

Namun, Daren gagal menyerap tekanan apabila sering membuat kesilapan mudah pada set penentuan sebelum tewas.

Ia merupakan kekalahan ketiga Daren pada kejohanan kali ini apabila tewas kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini.

Ketika bertemu Denmark dan Indonesia di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini, Daren tidak sempat beraksi apabila Malaysia menang 3-1 dan 3-0 sebelum melangkah ke pentas final.

Azizulhasni kembali gegar trek

Posted:

Azizulhasni kembali gegar trek

Azizulhasni kembali gegar trek

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

PELUMBA trek sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang menamatkan kemarau emas acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 semalam.

Selepas kali terakhir muncul juara berganda pada 2008 dan 2009, pelumba yang turut dikenali sebagai Pocketrocketman itu, membuktikan dirinya masih berbisa dengan menewaskan pelumba Jepun, Seiichiro Kanagawa

Pada saingan bagi acara pecut elit lelaki yang berlangsung di Saryarka Velodrome Astana, Kazakhstan itu, pelumba kelahiran Terengganu itu mencatat masa 0.139 saat.

Meskipun mendapat amaran kerana kayuhannya terlalu laju ketika memintas lawan, keadaan tersebut langsung tidak merencatkan persembahan Olimpian negara itu untuk mencipta kemenangan.

Dalam pada itu, pelumba remaja, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis meneruskan rentak bergaya apabila meraih emas kedua.

Kali ini, pelumba dari Klang, Selangor itu meraih emas dalam acara pecut remaja lelaki apabila menewaskan pelumba Korea Selatan, Jung Jeahee dengan perbezaan 0.101saat.

"Saya akui, saingan kali ini lebih sengit. Memang sukar namun saya kuatkan semangat untuk menang. Alhamdulilah, apa yang saya sasarkan menjadi kenyataan.

"Saya akan cuba mendapatkan pingat dalam acara keirin remaja pula selepas ini. Sekiranya bertuah, saya mencipta rekod menjadi pelumba remaja pertama yang merangkul enam emas dalam kategori junior.

"Untuk sekali lagi, emas yang saya peroleh hari ini (semalam) khas untuk jurulatih saya, Junaidi Mohd. Nasir dan ibu bapa yang telah banyak mendoakan kekjayaan saya," kata Firdaus.

Saingan kategori wanita pula menyaksikan gandingan Fatehah Mustapa dan Jupha Som Net terpaksa berputih mata apabila gagal meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita elit.

Harapan meraih sebutir pingat dalam acara tersebut musnah apabila kedua pelumba berpengalaman negara itu tumpas kepada gandingan Jepun, Maeda Kayono dan Ishii Takako.

Bagaimanapun, Fatehah berjaya mengubati kekecewaan apabila meraih gangsa dalam aksi kelayakan masa elit wanita dengan mencatat 19.855saat di belakang juara, Lee Wai Sze dari Hong Kong.

Tengku Abdullah menang

Posted:

Tengku Abdullah menang

Tengku Abdullah menang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


BARISAN kepimpinan baharu FAM bergambar kenangan dengan Sultan Ahmad Shah (tengah depan) selepas selesai Kongres FAM di Shah Alam semalam.


TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 selepas mendapat mandat daripada para perwakilan badan induk bola sepak negara itu pada Kongress FAM ke-50 di Hotel Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam semalam.

Pemilihan itu berkuat kuasa sejurus penyandangnya, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri untuk bertanding bagi memberikan laluan kepada Tengku Abdullah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding merebut jawatan presiden.

Seperti yang diramalkan, Tengku Abdullah mendapat kepercayaan penuh daripada ahli-ahli gabungan FAM yang menyaksikan baginda meraih 27 undi berbanding 12 undi yang diperoleh pencabarnya Tunku Ismail iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Pada proses undian pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi manakala Tunku Ismail yang tidak hadir pada kongres tersebut mendapat 15 undi.

Apabila proses pengundian pusingan kedua dilangsungkan, jumlah undi untuk Tengku Abdullah terus meningkat apabila meraih 27 undi berbanding Tunku Ismail yang sekadar mendapat 12 undi.

Menurut artikel 39.2 perlembagaan FAM, bagi pemilihan jawatan Presiden, dua pertiga undian akan direkodkan dan disahkan dan jika kurang daripada dua pertiga, undian pusingan kedua akan dijalankan.

"Jumlah 39 undi memerlukan calon meraih 26 undi untuk memperoleh majoriti dua pertiga. Oleh itu, kita adakan undian sekali lagi untuk jawatan Presiden sahaja," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pada proses pengundian pusingan kedua itu, undian untuk Tengku Abdullah terus meningkat apabila mendapat tambahan tiga lagi undi daripada para perwakilan yang hadir.

Bagi dua jawatan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal yang dianggap sebagai calon popular untuk memenangi jawatan tersebut menerima kejutan besar apabila ahli-ahli perwakilan FAM memilih Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Mokhtar Ahmad sebagai Timbalan Presiden baharu.

Subahan yang sebelum ini penyandang jawatan Naib Presiden, tewas tipis satu undi kepada Mokhtar yang meraih 26 undi manakala Afandi kekal sebagai Timbalan Presiden I selepas meraih 27 undi.

Kekalahan Subahan itu dianggap sebagai kejutan besar dalam Kongres FAM ke-50 kali ini memandangkan beliau memiliki pengalaman luas ketika berada dalam barisan kepimpinan FAM sebelum ini, selain dilantik sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved