Khamis, 22 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Perlis sudah bersedia

Posted:

Perlis sudah bersedia

Perlis sudah bersedia

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIMmegatlutfi.rahim@kosmo.com.my

KOLAM renang di Pusat Akuatik Kangar kini sudah bersedia untuk digunakan pada Sukma 2014.


GELANGGANG Sukan Malaysia (Sukma) 2014 bakal membuka tirai esok. Temasya tahunan itu yang dihoskan oleh Perlis pada tahun ini akan membuka tirai dengan acara pencak sebagai acara pembuka gelanggang.

Temasya kali ini melibatkan penyertaan 6,700 atlet serta pegawai dari seluruh negara termasuk kontinjen dari Brunei, dan mereka akan beradu tenaga sehingga 4 Jun nanti bagi memburu 421 pingat emas yang ditawarkan.

Pada temasya kali ini, sebanyak 25 acara akan dipertandingkan dan kontinjen Selangor selaku juara bertahan, akan sekali lagi menjadi tumpuan sementara Terengganu yang pernah bergelar 'gergasi Sukma' sebelum ini bertekad untuk merampas semula gelaran tersebut.

Perjalanan Perlis untuk mementaskan temasya sukan terbesar di Malaysia itu penuh dengan pelbagai dugaan.

Seribu satu macam kontroversi yang mereka alami berhubung kemudahan yang dilihat tidak dapat digunakan pada Sukma kali ini.

Tumpuan utama adalah Kompleks Akuatik di Kangar kerana kerja-kerja pembinaannya mengundang pelbagai persoalan daripada ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun, kerajaan Perlis dengan penuh semangat berjaya melunaskan janji mereka bahawa kompleks tersebut akan siap sebelum bermulanya Sukma 2014.

Di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berulang kali memberi jaminan bahawa semua acara tidak akan diadakan di luar Perlis kerana kerajaan negeri telah memberikan komitmen 100 peratus untuk menjayakannya.

"Kita terima atlet, pegawai dan peminat sukan negara dengan lapang dada. Kami akan menyambut semua tetamu dengan mesra kerana peluang ini tidak mungkin berlaku setiap tahun.

"Saya juga berharap segala kekurangan diterima seadanya oleh kontinjen yang hadir kerana kami berusaha keras untuk menjadikan penganjuran ini yang terbaik," kata Azlan.

Bahang kehangatan Sukma ini telah mula dirasai dengan program larian baton Sukma 2014 yang diadakan di setiap daerah di Perlis bagi menyuntik semangat penduduk untuk sama-sama meraikan temasya yang julung kali berlangsung di negeri tersebut.

Selain menawarkan khidmat serta kemudahan terbaik, Perlis juga menyediakan perkampungan sukan yang selesa untuk semua kontinjen kerana beberapa institusi menawarkan penginapan yang mencukupi termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Soal keselamatan menjadi intipati utama bagi para atlet dan pegawai di perkampungan sukan.

"Pihak kami telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masuk bagi mengawasi pergerakan para atlet dan pegawai," kata Azlan.

Apa yang pasti, Perlis yang mempunyai kira-kira 250,000 penduduk pasti berbangga kerana menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu.

Majlis perasmian akan disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 26 Mei sementara penutupan pula dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Jun.

'Mampu membawa perubahan'

Posted:

'Mampu membawa perubahan'

'Mampu membawa perubahan'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah mampu membawa perubahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mendapat mandat untuk menerajui badan indk bola sepak negara itu.

Demikian tegas bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ketika mengulas mengenai pemilihan barisan kepimpinan baharu FAM pada Kongres ke-50 di Shah Alam Ahad ini.

Menurut Raja Ahmad, Tengku Abdullah yang menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM ketika ini, merupakan calon paling layak untuk menerajui FAM dan baginda mampu membawa perubahan demi kegemilangan bola sepak negara.

Jelas Raja Ahmad, kepimpinan Tengku Abdullah tidak perlu dipertikaikan, malah sudah membuktikan kewibawaannya.

"Pengalaman serta sikap rendah diri Tengku Abdullah sangat disenangi semua pihak dan saya anggap baginda adalah calon terbaik untuk menerajui FAM bagi penggal 2014-2018," katanya.

Menjelang Kongres FAM ke-50 pada Ahad ini, Raja Ahmad yakin para perwakilan FAM akan membuat keputusan bijak untuk memilih calon paling sesuai daripada tiga individu yang bertanding jawatan Presiden iaitu Sultan Ahmad Shah (penyandang), Tengku Abdullah serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Bagi jawatan Presiden FAM, apa yang saya lihat adalah ketiga-tiga tokoh ini ada pertalian. Saya rasa mereka lebih tahu.

"Namun, kalau tanya orang lama, tiada orang lain harus dikekalkan iaitu Sultan Ahmad Shah berdasarkan pengalaman baginda.

"Tapi kalau untuk perubahan, apa yang saya lihat, tokoh yang sesuai adalah Tengku Abdullah.

"Secara peribadi, saya kenal baginda (Tengku Abdullah), saya tahu baginda seorang berkemampuan, penyabar, ada ketokohan di pentas antarabangsa, ramai kenalan dan banyak jasa Tengku yang tak perlu saya sebut satu per satu.

"Baginda telah banyak berjasa kepada FAM walaupun bertindak dari belakang tabir. Jadi, saya merasakan perwakilan sudah matang untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini, Tengku Abdullah disebut-sebut sebagai pengganti ayahandanya, Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM ke-14 sejak FAM ditubuhkan pada tahun 1933.

Difahamkan, Tengku Abdullah menerima pencalonan tertinggi iaitu 12 pencalonan manakala Sultan Ahmad Shah (lima) dan Tunku Ismail meraih tiga pencalonan.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad sempat memberikan sedikit nasihat kepada calon-calon bertanding agar dapat menerima keputusan secara terbuka demi menjaga keharmonian bola sepak negara.

"Janganlah berpuak-puak pula selepas pemilihan nanti. Agenda utama hendaklah fokus terhadap aspek pembangunan," katanya.

Misi hidup mati

Posted:

Misi hidup mati <i>The Gladiators</i>

Misi hidup mati The Gladiators

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


NOEL (tiga dari kanan) akan terus menjadi sandaran ATM pada aksi menentang Lions XII malam esok.


"JIKA mahu kekal dalam saingan Liga Super musim depan, kami tidak lagi boleh keciciran mata."

Demikian tegas pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan menjelang pertemuan berdepan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura malam esok.

Menurut beliau, The Gladiators masih belum selamat daripada kembali menghuni zon penyingkiran biarpun berjaya menjinakkan T-Team 2-1 minggu lalu.

"Saya anggap perlawanan dengan Lions XII nanti adalah misi 'hidup mati' buat kami.

"Ini kerana, jika kami tidak dapat pungut mata di sana (Stadium Jalan Besar, Singapura), kami perlu menang kesemua baki perlawanan liga selepas ini," kata Sathianathan.

Menurut beliau, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mahu melihat ATM kembali memperagakan persembahan cemerlang seperti yang pernah mereka buktikan dua musim lalu.

"Kesilapan pemain yang sering kehilangan bola setiap kali mendahului lawan juga wajar diperbaiki bagi mengelak keciciran mata," jelas beliau.

Malam esok, Sathianthan dijangka sekali lagi menagih bisa penyerang import baharu dari Haiti, Fabrice Noel yang meledak dua gol semasa membenam The Titans tempoh hari.

Selepas 16 perlawanan, The Gladiators yang mengutip 15 mata kini satu mata di depan pasukan yang berada di zon penyingkiran, Selangor PKNS selain dua mata ke atas pasukan tercorot, Perak.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved