Isnin, 19 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tengku Abdullah pilihan

Posted:

Tengku Abdullah pilihan

Tengku Abdullah pilihan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SIKAP mesra Tengku Abdullah (tengah) cukup disenangi oleh para perwakilan FAM yang menyokong baginda untuk bertanding jawatan Presiden FAM.


TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi calon kegemaran untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu menjelang Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei ini.

Itu diakui salah seorang sumber yang rapat dengan FAM semalam yang menyifatkan sebahagian besar perwakilan lebih gemar dengan cara kepimpinan Tengku Abdullah yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja selain pemimpin yang mudah didekati pihak media.

Menurutnya, Tengku Abdullah yang juga presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli-ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Jelas sumber yang enggan dikenali itu, setiap ahli gabungan FAM telah menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan kepada baginda yang telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Turut bertanding ialah penyandang jawatan, Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Difahamkan, hanya empat perwakilan iaitu PBNJ, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak hadir pada pertemuan tertutup itu.

"Boleh dikatakan hampir 80 peratus telah memberikan sokongan penuh kepada Tengku Abdullah.

"Tengku Abdullah adalah calon paling ideal dan layak. Kami percaya dan yakin dengan pengalaman serta kepakaran baginda, FAM akan terus maju serta lebih berdaya saing.

"Apa yang pasti, Kongres FAM ke-50 semakin menarik malah menjanjikan kelainan berbanding sebelum ini," kata sumber tersebut kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Tengku Abdullah dikatakan menerima pencalonan terbanyak daripada ahli-ahli gabungan untuk bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018.

Tengku Abdullah menerima 12 pencalonan diikuti Sultan Ahmad Shah (lima) dan Tunku Ismail sebanyak tiga pencalonan.

Lebih menarik, ini merupakan pertama kali peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan jawatan Presiden FAM dipertandingan dalam tempoh 30 yang mana penyandangnya, Sultan Ahmad Shah menang tanpa tanding sebelum ini.

Selain jawatan Presiden, FAM turut mengumumkan dua jawatan bagi Timbalan Presiden, Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco yang terdiri dari lapan lelaki dan dua wanita turut dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Sarawak tempang hadapi Perak

Posted:

Sarawak tempang hadapi Perak

Sarawak tempang hadapi Perak

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

SARAWAK bakal turun tanpa khidmat empat tonggak utamanya apabila bertandang ke Stadium Ipoh, Perak bagi menghadapi aksi Liga Super, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, pemain tersebut ialah penjaga gol, Fazdley Abdul Rahi, pemain tengah, Joseph Kalang Tie dan Rashid Aya dan tonggak pertahanan kental, Gabor Gyepes.

Menurutnya, Fazdley dijangka melangsungkan perkahwinannya hujung minggu ini manakala Joseph dan Rashid digantung satu perlawanan ekoran mengutip tiga kad kuning.

Sementara itu katanya, pemain import kelahiran Hungary pula masih dibelenggu kecederaan ketika menentang Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dua minggu lalu.

"Jadi, saya membayangkan rombakan besar-besaran akan dilakukan bagi memastikan kita mampu meneruskan corak permainan bertenaga seperti yang dipamerkan ketika menumpaskan PKNS 2-1 Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, pasukan kita akan diperkuatkan dengan kehadiran semula penjaga gol, Sani Anuar Kamsani dan pemain sayap, Asri Chuchu bagi menggantikan Fazdley dan Rashid Aya yang direhatkan," katanya ketika ditemui di Kuching semalam.

Mengulas lanjut, Alberts mengakui yang perlawanan menentang Perak bukan satu tugas mudah memandangkan skuad Bos Gaurus itu mempunyai rekod baik apabila beraksi di laman sendiri.

Bagaimanapun, beliau tetap menaruh keyakinan bahawa skuad Bujang Senang mampu meraih mata meskipun turun tanpa empat tonggak utamanya pada perlawanan itu nanti.

Malaysia tempah tiket suku akhir

Posted:

Malaysia tempah tiket suku akhir

Malaysia tempah tiket suku akhir

MALAYSIA meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala Thomas 2014 apabila menewaskan Jerman 4-1 pada aksi Kumpulan C semalam.

Pada saingan di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi itu, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi menyumbang mata pertama apabila menewaskan Marc Zwiebler 21-14, 21-8.

Mata kedua pula disumbangkan oleh Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong yang dipaksa bekerja keras dalam masa 57 minit sebelum menewaskan Johannes Schoettler-Michael Fuchs 13-21, 21-17, 21-18.

Perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng mengambil masa satu jam untuk menyumbangkan mata ketiga apabila menundukkan Dieter Domke dalam satu persaingan sengit yang berkesudahan 19-21, 22-20, 23-21.

Juara Terbuka Malaysia 2014, Goh V Shem-Lim Khim Wah terus menjulang nama negara apabila menewaskan Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne 21-12, 21-18 dalam masa setengah jam.

Bagaimanapun, impian kapten, Liew Daren untuk menyumbangkan mata pertama pada kempen Piala Thomas kali ini masih belum kesampaian.

Daren tewas kepada Lukas Schmidt straight set 20-22, 10-21 dalam masa 36 minit.

Walaupun kemenangan 4-1 ke atas Jerman semalam telah mengesahkan tiket suku akhir, Malaysia harus menumbangkan naib juara edisi 2012, Korea Selatan esok jika mahu bergelar juara Kumpulan C.

Sementara itu, skuad Piala Uber negara tumpas 2-3 kepada pasukan pilihan, Denmark pada aksi pertama Kumpulan Z semalam.

Skuad wanita hanya meraih mata daripada dua pemain perseorangan - Tee Jing Yi dan Lim Yin Fun yang beraksi pada perlawanan pertama dan kelima.

Jing Yi menyumbangkan mata pertama selepas menewaskan Line Kjaersfeldt 21-14, 22-20 manakala Yin Fun menang 21-15, 14-21, 21-19 ke atas Sandra Maria Jensen.

Beregu wanita pertama, Woon Khe Wei-Vivian Hoo tewas kepada pasangan No. 3 dunia, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 17-21, 10-21.

Perseorangan kedua negara, Yang Li Lian pula tersungkur di tangan Anna Thea Madsen dalam satu aksi sengit yang berkesudahan 13-21, 21-15, 19-21.

Mata kemenangan Denmark pula menerusi beregu kedua mereka, Marie Roepke-Line Damkjaer Kruse yang menumpaskan Lee Meng Yean-Lim Yin Loo 19-21, 21-16, 21-19.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved