Isnin, 19 Mei 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Naratif antonim drama bisu

Posted:

Naratif antonim drama bisu

Naratif antonim drama bisu

Oleh ALIF ABU BAKAR

SETIAP kali pertunjukan fesyen melibatkan nama lelaki ini, slotnya pasti menambat hati. Unik dan tersendiri ialah inti pati yang dapat dilihat pada setiap sulam jahit pereka berusia 27 tahun dari Kok Lanas, Kelantan ini.

Apa yang pasti, rekaan Joe Chia tertumpu terhadap mainan rona asas hitam dan kadangkala putih. Ia bagai panduan jenamanya. Warna hitam banyak mencerminkan definisi, individualiti dan kreativiti Joe.

Dia memikat pencinta fesyennya dengan helaian monokrom. Bagi Joe, penggunaan hitam atau putih sebagai teras palet rekaannya membolehkan setiap busana merentasi apa jua sela masa.

Lagipun, kecenderungannya lebih terarah kepada eksperimentasi konstruksi dan teknik. Justeru, penambahan warna selain dua rona itu mungkin mencelarukan fokus asalnya.

Maka tidak hairanlah, konstruksi dan teknik rekaan Joe dipuji ramai. Malah kebijaksanaannya menzahirkan helaian ringkas ke dalam sesuatu yang urban dan sofistikated meletakkan Joe sebagai pereka muda tempatan yang wajar diperhatikan.

Kongsi Joe ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, dia belum puas bermain dengan konstruksi. Justeru, perincian dan cetakan apatah lagi cubaan warna berlainan belum menjadi keutamaan. Namun ketiga-tiga perkara itu telah disemat dalam perancangan masa hadapan.

Sepertimana dia menolak konsep rekaan terlalu 'menjerit', begitu juga kelainan Joe dalam melancarkan koleksi baharu. Trend bukan rujukan Joe. Dia mengilhamkan hasil kerjayanya berdasarkan interpretasi peribadi.

SIGNATUR monokrom merupakan identiti anak kelahiran Kelantan ini untuk menembus pasaran antarabangsa.


Setiap koleksi diibaratkan seperti sebuah naratif. Ia dipecahkan mengikut bab dan sejak muncul dengan label sendiri pada tahun 2012, Joe telah melancarkan empat bab mengagumkan. Dalam tempoh terdekat, bab kelima pereka ini akan dikongsi untuk penilaian umum.

"Saya merujuk rekaan saya sebagai drama bisu (silent drama)," tutur Joe pendek dan menyambung bahawa koleksinya dilancarkan dua kali setahun, selari dua waktu pelancaran utama iaitu musim bunga/panas dan musim luruh/sejuk.

Signatur Joe dapat dilihat pada teknik potongan runcing/langsing (slim). Item seperti jaket atau seluar dengan potongan lebar (oversized) antara identiti anak ketiga daripada empat adik-beradik ini.

Pecahan kelompok pembelinya pula pelbagai. Wanita gemarkan dres bersifat feminin manakala lelaki tertarik kepada teknik pakaian berlapis (layered).

Joe berjaya mencapai peringkat umur daripada remaja hingga ke angka 50. Kebolehannya mencapai pasaran yang besar dikatakan berpunca daripada asas dan tujuan rekaan itu sendiri.

"Setiap kali saya menghasilkan sesuatu pakaian, saya fikirkan tentang siapa sesuai memakainya, bila dan di mana ia boleh dipakai. Ia satu gambaran gaya dan fungsional secara keseluruhan," jelas Joe.

Beg denim

Memutar semula perjalanan seni Joe, ia tercipta ketika zaman remajanya. Kecintaannya terhadap bidang fesyen banyak diinspirasi daripada ibunya. Ketika kecil, Joe sering mengikut ibunya ke pasar bagi membeli barangan terpakai termasuk pakaian.

Dari situ, dia mengasah bakat seninya. Item pertama olahannya ialah beg silang denim yang dijahit semula daripada seluar jean terpakai. Ketika itu Joe berumur 16 tahun dan ia merupakan hasil kerja daripada tunjuk ajar ibunya.

PAKAIAN sang jejaka lebih tertumpu kepada teknik berlapis.


Membesar di negeri yang tidak mempunyai pengaruh dominan terhadap fesyen, Joe mengakui betapa sukar untuknya memahamkan keluarga dan rakan-rakannya tentang seni rekaan.

Pendedahan minimum terhadap fesyen juga menyekat Joe untuk berkarya. Ekoran itu, dia membuat keputusan untuk mengambil sijil dalam asas seni di The One Academy. Kemudian, Joe melanjutkan pelajaran dalam Diploma Rekaan Fesyen di Raffles College of Higher Education (Raffles Design Institute), Kuala Lumpur.

Meskipun pada awalnya, ibu bapa Joe banyak menentang minatnya, menerusi keputusan peperiksaan yang cemerlang, barulah orang tuanya lembut hati dan meyakini kemampuannya dalam bidang seni reka fesyen.

Tamat pengajian, Joe menjalani latihan praktikal sebagai perunding gaya untuk beberapa iklan komersial, rancangan televisyen dan filem. Selepas itu, dia memilih untuk bekerja sebagai jurujual di sebuah butik di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ketika itulah Joe merasai kepayahan membina kerjaya sendiri. Dia terpaksa memikul dua tanggungjawab demi melaksanakan cita-citanya. Pada waktu pagi, Joe bekerja seperti biasa di butik. Tamat kerja, dia pulang ke rumah sewa dan menyiapkan rekaannya sendiri.

Jahit malam

Hasil kerjanya pula dibenarkan untuk diletakkan di butik tempatnya bekerja. Sambutan yang menggalakkan membuatkan Joe berfikir betapa mustahilnya untuk dia memenuhi permintaan yang meningkat dengan status sebagai seorang jurujual butik.

"Saya berhenti kerja dan menggunakan wang simpanan, saya beli mesin jahit terpakai bagi menyiapkan tempahan-tempahan pelanggan.

"Oleh kerana ketika itu pendapatan baju saya belum begitu kukuh, saya kembali menjalankan kerja sebagai perunding gaya bebas," ada kepuasan mengisi butir kata Joe.

EKSPERIMENTASI struktur sentiasa wujud dalam helaian Joe Chia.


Usai membina tapak profesion sebagai pereka fesyen, fasa pengkomersialan pula menguji Joe. Begitupun dia menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana dalam tempoh setahun setengah, dia telah diberi kepercayaan untuk berkolaborasi bersama jenama besar seperti Uniqlo, Reebok dan G-Shock.

Sokongan memberangsangkan daripada pihak media juga membantu melonjakkan nama Joe ke peringkat yang lebih tinggi.

Buktinya, bulan Jun depan bakal menjadi permulaan sempurna buat Joe untuk mengembang jenamanya ke Eropah. Jemputan bagi menjayakan pertunjukan fesyen mini khusus buat pelanggan berpotensi dan media di Milan, Itali diharap akan membenihkan perkembangan positif dalam kariernya.

Pada Mac lalu, Joe turut diundang ke Jakarta, Indonesia untuk mementaskan rekaan uniknya pada satu pertunjukan fesyen.

Inspirasi koleksi busana mini

Posted:

Inspirasi koleksi busana mini

Inspirasi koleksi busana mini

Oleh IZWAN MOHD. ISA


KOLEKSI Yell'ov menggunakan teknik tampalan dan keratan geometri menepati tema Mini Cooper's.


JENAMA kereta Mini Cooper bukanlah satu nama yang asing bagi penggemar kenderaan mewah. Sejak ia diperkenalkan, terdapat pelbagai variasi Mini Cooper yang ditampilkan bagi memenuhi kehendak pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Bersempena dengan pelancaran Mini Cooper S di Ingress Auto, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, sebuah koleksi busana mini turut diperkenalkan oleh pereka muda, Kashfi Zulkufli.

Menerusi koleksi yang diberi nama Yell'oV itu, Kashfi menerapkan elemen moden dan kontemporari bersesuaian dengan rekaan dan warna baharu jentera mewah tersebut.

Mengambil inspirasi daripada warna kuning kereta tersebut, Kashfi bijak mengadun pelbagai jenis fabrik dalam memberi dimensi yang berbeza terhadap koleksinya itu.

"Saya memilih warna kuning keemasan sebagai warna utama untuk koleksi ini. Selain itu, terdapat juga beberapa jenis fabrik yang dipadankan dengan pilihan warna tersebut antaranya corak kulit ular, crepe serta material jenis polyvinyl chloride (PVC).

"Pemilihan fabrik dan material untuk koleksi ini bersesuaian dengan konsep penyampaian yang bersifat segar dan nakal," ulasnya selepas tamat majlis pelancaran tersebut.

Potongan

Koleksi itu juga menampilkan teknik keratan corak jenis geometri bagi menonjolkan warna kontra kuning dan hitam di bahagian tertentu setiap busana.

"Bagi melengkapkan gaya, terdapat beberapa corak geometri yang disepadankan pada kelima-lima busana koleksi Yell'oV.

"Corak-corak tersebut bersifat minima dan masih mengekalkan ciri-ciri anggun si pemakai," katanya.

Dalam pada itu, potongan yang digunakan dalam setiap rekaan busananya dikategorikan sebagai potongan ringkas dan sopan.

"Bersesuaian dengan konsep yang moden, teknik potongan juga tidak lari jauh daripada rekaan-rekaan moden yang menjadi kegilaan pencinta-pencinta fesyen masa kini.

SEGAR, nakal dan moden merupakan karakter koleksi Yell'ov.


"Rekaan keseluruhan turut menampilkan potongan peplum serta skirt pendek yang dipadankan dengan seluar panjang untuk penampilan yang lebih sopan," tambah Kashfi sambil menyifatkan rekaannya itu boleh digayakan oleh pengguna yang bertudung.

Tiga hari

Sementara itu, model dan pelakon, Zahnita Wilson yang turut menggayakan salah satu busana daripada koleksi tersebut berkata, dia berasa bangga dengan Kashfi kerana berjaya menyiapkan lima jenis rekaan dalam masa tiga hari sahaja.

"Koleksi ini bukan mudah untuk disiapkan. Banyak kerja-kerja rumit yang melibatkan teknik tampalan dan keratan diperlukan bagi menzahirkan rekaan yang bersempena dengan edisi baharu Mini Cooper S.

"Jadi, saya amat berbangsa dengan rekaan yang ditampilkan pada malam ini," jelas Zahnita.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran Mini Cooper S termasuklah pelakon Nina Iskandar dan bakal tunangnya, Ahmad Heiqal.

Seleksi warna trendy Ice Watch

Posted:

Seleksi warna trendy Ice Watch

Seleksi warna trendy Ice Watch

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


JENAMA Ice Watch berasal dari Belgium.


ADAKAH anda jenis seorang yang amat mementingkan gaya segar dan elegan pada setiap detik? Jika ya, jenama jam tangan mewah mampu milik dari Belgium, Ice Watch mungkin menepati cita rasa anda.

Pelbagai pilihan warna garang dan elegan yang ditawarkan sudah pasti menyerlahkan personaliti si pemakai. Jenama jam terkenal itu dibawa khas oleh syarikat barangan kemas tempatan terulung, Kumpulan Habib ke Malaysia baru-baru ini.

Kegunaan jam tersebut bukan sekadar pemberitahu waktu malah digelar aksesori fesyen yang cukup popular dalam kalangan pengguna di Eropah. Ia sesuai digayakan oleh pemakai wanita dan lelaki tanpa mengira kelompok umur.

Bagi anda yang masih ragu-ragu untuk mencuba, beberapa selebriti terkenal Hollywood dilihat tampil funky dengan seleksi jam tersebut. Antaranya termasuklah Jeniffer Lopez, Avril Lavigne, Davide Guetta dan Audrina Patridge.

Harga bagi setiap unit jam tersebut bermula dari RM200 hingga RM1,000 ke atas dan ia disertakan jaminan selama dua tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan Habib, Datuk Meer Habib berkata, secara rasminya syarikat tersebut menjadi pengedar tunggal jam Ice Watch di negara ini.

Galeri pertama Ice Watch dibuka di Ampang Point, Kuala Lumpur pada 16 April lalu. Ia dibuka setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 8 malam.

Pelancaran galeri tersebut sekali gus meletakkan Ice Watch sebagai jenama terbaharu yang menyertai keluarga Habib selain Pandora dan Hearts On Fire.

"Peminat jam Ice Watch tidak lagi sukar untuk mendapatkan jam kegemaran mereka yang asli di Malaysia. Saya berharap pelancaran jam ini dapat membendung penjualan Ice Watch tiruan yang berlambak di pasaran," katanya ketika ditemui pada pelancaran galeri tersebut baru-baru ini.

Sempena pembukaan sulungnya di negara ini, Ice Watch menawarkan seleksi edisi terhad jam tangan daripada koleksi BMW yang kali pertama dibawa ke Malaysia.

Antara selebriti tempatan yang memeriahkan majlis pelancaran tersebut ialah Ella, Farah Fauzana, Yasmin Hani, Sha'arin Razali dan model cilik, Kaseh Azri yang merupakan anak kepada pelakon wanita, Zila Bakarin.

Setakat ini, menurut laman sosial rasmi Facebook Ice Watch sudah mencecah 5 juta pengikut di seluruh dunia. Pengguna yang berminat turut boleh melayari laman tersebut di www.facebook.com/ice.watch.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved