Khamis, 8 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Korban di perairan Pulau Jindo

Posted:

Korban di perairan Pulau Jindo

Korban di perairan Pulau Jindo

MENAIKI feri dari Pelabuhan Incheon ke Pulau Jeju, Korea Selatan menjadi rutin harian bagi Eun-su Choi. Mengikut perkiraannya, dia telah menaiki feri Sewol yang dimiliki syarikat Chonghaejin Marine Co. Ltd sebanyak ratusan kali.

Pemandu lori itu juga mengetahui setiap selok belok bahagian dalam feri yang menyediakan tiga dek utama untuk para penumpang. Namun, kejadian yang berlaku pada 16 April lalu masih segar diingatannya.

Su Choi merupakan salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi feri yang membawa seramai 476 penumpang itu. Feri tersebut karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Jeju.

Cerita Su Choi, selepas sarapan pagi di kafeteria feri, dia kemudiannya naik ke dek terbuka bahagian atas untuk merokok.

Katanya, feri itu secara tiba-tiba senget dan perlahan-lahan tenggelam. "Kontena-kontena yang berada di atas feri jatuh ke dalam laut. Ketika itu, saya menyedari bahawa feri akan terbalik," ujarnya dalam satu laporan yang disiarkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kejadian yang berlaku di luar pantai Pulau Jindo telah meragut 260 nyawa, manakala 40 penumpang lagi masih hilang. Ia antara tragedi terburuk dalam sejarah pengangkutan air di negara itu.

Kebanyakan penumpang yang masih hilang terdiri daripada pelajar Sekolah Tinggi, Ansan. Seramai 325 orang pelajar termasuk guru sekolah itu dalam lawatan ke Pulau Jeju. Namun, hanya 70 daripada mereka yang terselamat.

Ketika kejadian, Su Choi berpegang pada bahagian susur tangan di dek feri dan cuba untuk menyelamatkan beberapa orang pelajar berhampiran kafeteria yang telah menggelongsor jatuh ke laut. Dia dan rakannya cuba menggunakan hos kebakaran untuk menarik pelajar itu tetapi gagal.

Setakat ini, pihak Kementerian Lautan dan Perikanan Korea Selatan dengan bantuan penyelam terlatih giat menjalankan misi mencari mayat yang hilang.


PASUKAN penyelamat giat menjalankan misi pencarian mayat mangsa sehingga ke hari ini.


Ada antara mayat yang dijumpai kira-kira sejauh empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Feri Sewol seberat 6,825 tan yang dibina di Jepun pada 1994 merupakan antara pengangkutan utama pelancong dari jeti di Incheon ke Pulau Jeju.

Pulau tersebut yang terkenal dengan gelaran Hawaii Korea Selatan merupakan antara kawasan pelancongan popular. Dianggarkan seramai 10 juta pelancong telah berkunjung ke pulau tersebut pada tahun lalu.

Lebihan muatan

Menurut laporan media Associated Press baru-baru ini, feri Sewol telah membawa lebihan muatan kargo dalam 246 kali pelayaran sejak 13 bulan lalu. Oleh itu, tragedi yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada faktor tersebut.

Data, rakaman video dan gambar menunjukkan bahawa feri tersebut berpusing 60 darjah sebelum tenggelam ketika kejadian pukul 9 pagi itu. Feri tersebut tenggelam perlahan-lahan dan karam sepenuhnya pada pukul 10.25 pagi.

Dalam tempoh satu jam setengah itu, pihak berkuasa sempat menyelamatkan seramai 82 penumpang menggunakan bot dan helikopter.

Ketika feri tersebut mula karam, seorang penumpang kanak-kanak yang juga pelajar Sekolah Tinggi Danwon sempat membuat panggilan kecemasan di dalam feri Sewol.

Kanak-kanak itu membuat panggilan dengan suara menggigil ketakutan ketika bercakap dengan operator tiga minit selepas feri itu membuat pusingan.

Semasa kejadian, kru feri mengarahkan pelajar dan guru sekolah agar tidak keluar dari kabin kerana faktor keselamatan.

Dalam tempoh tiga minggu, anggota penyelamat telah bertungkus-lumus menyelam sehingga kedalaman 40 meter dalam misi pencarian.

Sementara itu, Ketua Operasi Menyelamat, Kepten Jin-hwang dari Tentera Laut Korea Selatan yang ditemui semasa hari ke-10 pencarian berpendapat operasi mencari mangsa akan memakan tempoh yang panjang.


UNIT Penyelamat Kapal Korea Selatan cuba memasuki ruang kabin feri untuk mencari mangsa yang terperangkap.


Jelasnya, usaha menarik keluar mayat merupakan tugas yang sukar kerana penyelam tidak mampu berada di dalam feri yang karam itu tempoh lebih 10 minit. Faktor tekanan merupakan antara kesukaran yang dihadapi oleh penyelam.

Kebanyakan ahli keluarga mangsa masih tidak dapat menerima kenyataan berhubung tragedi berkenaan. Sejak hari pertama kejadian mereka ditempatkan di sebuah gimnasium di Jindo dan memantau perkembangan operasi.

Dalam pada itu, rasa marah juga tidak dapat dipendam ribuan rakyat Korea Selatan dan mereka menyalahkan kecuaian kerajaan sehingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban.

Rasa simpati masyarakat kepada keluarga mangsa pula diluahkan di atas kertas berwarna kuning yang ditampal di tempat-tempat awam.

Salah satu nota kecil yang ditampal misalnya berbunyi: "Kerajaan tidak seharusnya duduk bermesyuarat tatkala masih ramai lagi mangsa yang tidak ditemui. Mereka sepatutnya menghantar ramai lagi kru untuk meneruskan pencarian," luah seorang lelaki, Han Ji-soon.

Kerajaan lambat bertindak

Seluruh pelosok Seoul kini dipenuhi dengan nota dan reben berwarna kuning yang digantung. Selain doa untuk mangsa, penduduk bandar itu juga menulis kata-kata semangat yang berharap mangsa akan ditemui segera.

Selain masyarakat, ibu bapa dan waris mangsa turut menyelar kerajaan kerana lambat bertindak menyebabkan banyak nyawa terkorban. Tindakan itu juga telah menyebabkan pelbagai implikasi lain yang mengganggu usaha pencarian.

Susulan tragedi tersebut menyebabkan Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-Won bertindak meletak jawatan pada 27 April lalu selepas menyalahkan rasuah sebagai punca feri Sewol karam.


PENYELAM terpaksa menyelam sehingga kedalaman 40 meter dalam misi pencarian mayat mangsa tragedi.


Hong-Won mengaku beliau gagal mengendalikan dengan baik operasi menyelamat.

"Saya memohon maaf kerana gagal menghalang kemalangan ini daripada berlaku dan gagal mengambil tindak balas sewajarnya kemudian.

"Saya percaya sebagai Perdana Menteri, saya perlu memikul tanggungjawab ini dan meletak jawatan," tambah Hong-Won.

Dalam pada itu, permohonan maaf disuarakan oleh Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye yang bertemu ahli keluarga mangsa-mangsa Ahad lalu dan bersumpah akan mengenakan tindakan dan hukuman berat kepada pesalah yang menyebabkan feri tersebut karam.

Malangnya, kebanyakan keluarga mangsa menolak permohonan maaf beliau.

Kemarahan pihak keluarga dan masyarakat semakin membuak-buak apabila kapten dan 14 kru meninggalkan feri tersebut ketika ratusan penumpang masih terperangkap.

Kesedihan yang melampau pula menyebabkan Pengetua Sekolah Tinggi Danwon, Kang Min Kyu, 52 bertindak membunuh diri dua hari selepas kejadian feri karam itu.

Dalam nota yang beliau tinggalkan, Min Kyu melahirkan rasa kesal kerana terselamat dalam tragedi itu manakala guru dan pelajar lain pula meninggal dunia.

Mayatnya ditemui tergantung dengan tali pinggang di sebatang pokok di tengah-tengah bandar Jindo.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved