Sabtu, 24 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Survival burung padang pasir

Posted:

Survival burung padang pasir

Survival burung padang pasir

SEBAHAGIAN daripada induk burung unta yang digunakan untuk menetaskan telur.


"WAH, banyaknya burung unta di sini," jerit satu suara kecil memecah sunyi pagi di pusat penetasan burung unta Ostrich Wonderland.

Dari jauh, kelihatan seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan lima tahun keluar dari perut bas sambil berlari-lari anak menuju ke pusat itu yang terletak di Sungai Lalang, Semenyih, Selangor.

Tidak lama kemudian, empat wanita bersama dua orang lelaki yang ikut serta dalam rombongan itu menyusul masuk ke pekarangan ladang seluas 0.6 hektar itu.

Masing-masing mempamerkan wajah teruja tatkala melihat satu-satunya spesies burung terbesar di planet Bumi.

Menurut seorang pelajar daripada Taska Al-Farabi, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, Mulhim Ammar Mohd. Mulyadi, 5, dia hampir menjerit kegembiraan sebaik ternampak lebih 80 ekor burung unta melalui tingkap bas.

"Ini kali pertama saya tengok burung unta. Sebelum ini, saya hanya melihatnya dalam televisyen.

"Apabila binatang ini ada di depan mata, saya jadi teruja. Saya juga dapat lihat dan sentuh bulu pelepahnya," katanya ceria.

Salah seorang ibu bapa yang mengiringi pelajar tersebut, Zainal Abidin Ismail, 51, berkata, pusat penetasan tersebut merupakan medium baharu yang berupaya mendedahkan kanak-kanak kepada dunia haiwan tersebut.

"Di Malaysia, burung unta hanya ada di dalam kurungan, tidak seperti di tempat asalnya yang membolehkan ia hidup bebas.

"Jadi dengan hanya membayar RM8, ia sangat berbaloi kerana bukan sahaja kita dapat melihat, malahan boleh merasai suasana di dalam kandang burung ini," katanya.


BURUNG unta akan diasingkan mengikut peringkat umur.


Habitat

Burung unta merupakan burung terbesar yang berasal dari kawasan separa gurun di Afrika.

Terkenal dengan aktiviti sukan lumba dalam kalangan masyarakat Arab, burung unta memerlukan cuaca panas kering seperti di padang pasir bagi memastikan ia dapat membesar dan menetaskan telur.

Biarpun Malaysia mempunyai perbezaan suhu yang sangat ketara dengan kawasan tersebut, namun, pengusaha Ostrich Wonderland, Teh Kok Chuan atau lebih mesra dipanggil Cassie, berani mengambil risiko dengan mengusahakan pusat penetasan burung tersebut di negara ini.

"Saya mengusahakan pusat ini sejak tahun 1997 lagi. Saya bermula dengan membeli kira-kira 97 ekor burung unta yang berusia tiga bulan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Pada mulanya pusat ini diusahakan di Pajam, Negeri Sembilan, namun setelah ia menetas dan membiak dengan lebih banyak, saya terpaksa mencari tapak baharu dan berpindah ke sini pada tahun 2000," katanya yang membelanjakan lebih RM200,000 untuk membeli kesemua burung tersebut.

Menurut Cassie, idea untuk mengusahakan pusat penetasan itu diperoleh daripada abangnya yang baru pulang daripada melawat sebuah pusat penternakan burung unta di Afrika Selatan.


BERAT sebiji telur burung unta kira-kira 500 gram.


Disebabkan burung unta merupakan haiwan unik dan jarang ditemui di Malaysia, Cassie mengambil keputusan untuk membuka pusat penetasan tersebut.

African Black dan Namibia Blue merupakan baka burung unta yang ditetas di pusat tersebut.

"Pada awalnya saya menghadapi pelbagai kesukaran kerana saya sendiri tidak berpengalaman dalam mengendalikan burung unta. Saya juga tidak pernah menghadiri kursus veterinar.

"Namun, saya kuatkan semangat dan banyak meluangkan masa dengan membaca bahan bacaan di internet supaya mampu mengendalikan burung unta tersebut dengan mudah," jelasnya.

Setelah 16 tahun, Cassie kini bukan sahaja mahir dalam hal-hal menguruskan burung unta, malahan mampu membaca bahasa dan gerak-geri tubuh binatang tersebut dengan hanya sekali imbas.


CENGKERANG burung boleh menahan berat sehingga 200kg.


Penetasan telur

Seperti yang diketahui umum, burung unta betina memerlukan cuaca yang sangat panas dan kering untuk mengeramkan dan menetaskan telurnya.

Namun begitu, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di negara ini, pasti ramai yang ingin tahu bagaimana binatang itu mampu menjalani proses tersebut sehingga berjaya menambah bilangannya.

Jelas Cassie, di Afrika, burung unta bertelur sepanjang tahun kecuali pada musim sejuk. Namun, di Malaysia, proses tersebut bergantung kepada keadaan suhu persekitaran.

Lazimnya, di negara ini, burung unta betina akan bertelur pada bulan Jun hingga September. Pada setiap minggu, seekor burung unta biasanya menetaskan sekurang-kurangnya tiga biji telur.

Di negara yang mempunyai cuaca panas dan kering, burung akan bertelur dan mengeramkan telurnya sendiri sehingga menetas.

Begitupun, disebabkan cuaca di Malaysia tidak menentu, Cassie mengambil pendekatan baharu bagi membolehkan telur tersebut menetas.

"Setiap kali burung bertelur, kami ambil telur-telur tersebut untuk diletakkan di dalam inkubator khas supaya ia tidak busuk dan boleh menetas.

"Jika dibiarkan di dalam kandang begitu sahaja, telur akan membusuk atau berulat sekali gus tiada anak burung yang baharu," jelasnya.

Ujar Cassie, suhu di dalam inkubator dilaraskan kepada 36 darjah Celsius dan dipantau setiap tiga jam bagi memastikan kesemua permukaan telur memperoleh suhu yang sama.


CASSIE memberi penerangan ringkas mengenai burung unta kepada rombongan pelajar daripada Taska Al-Farabi, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.


"Pada hari ke-39, telur dipindahkan ke dalam bilik penetasan sebelum anak burung berjaya menetas keluar dari cengkerangnya pada hari ke-42.

"Anak-anak burung hanya dilepaskan ke dalam kandang selepas berusia tiga hari dan ke atas," terangnya.

Jelas Cassie, "Jika di Afrika seekor burung unta betina mampu menetaskan kira-kira 60 biji telur setahun, berbeza di Malaysia, burung tersebut menghasilkan kira-kira 20 biji telur sahaja dalam setahun."

Setiap telur mempunyai berat kira-kira 500 gram dengan ketebalan kulit cengkerang yang mampu ditindih oleh objek seberat 200 kilogram (kg).

Walaupun burung unta mengalami sedikit kesukaran untuk menetaskan telur di negara ini, namun, haiwan tersebut didakwa membesar dua kali ganda lebih cepat di Malaysia berbanding negara asal.

Menurut seorang pekerja Ostrich Wonderland, Ahmad Muhaimin, perkara tersebut didorong oleh faktor makanan yang mencukupi dan mudah diperoleh.

"Di sini, mereka mendapat sumber makanan yang mencukupi berbanding kawasan padang pasir yang kering dan sukar mencari bekalan air dan rumput.

"Setiap burung unta di sini akan diberi makan dua kali sehari yang terdiri daripada 5kg daun-daun dan 2kg dedak," jelas Ahmad.

Untuk tujuan tersebut, menurut Cassie pula, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM700 setahun sebagai kos makanan bagi seekor burung.

Waspada tong air

Posted:

Waspada tong air

Waspada tong air

NASIR menunjukkan tong air tempat anaknya mati lemas.


GUSAR hati Aminah Samion, 39, apabila mendapati kelibat anak bongsu daripada sembilan adik-beradik yang dari tadi menemaninya memasak di dapur, tidak kelihatan.

Sebelum kehilangan Mohamad Syawal Firdaus yang berusia setahun sembilan bulan itu disedari, Aminah sedang memasak hidangan makan malam untuk keluarganya.

Menurut Aminah, kali terakhir dia melihat Syawal ada bersama abangnya, Indra Nasir, 4, yang ketika itu sedang bermain berdekatan dua buah tong hitam yang diletakkan di hadapan rumah mereka yang terletak di Taman Pahlawan, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Tong tersebut digunakan oleh keluarga Aminah untuk menyimpan takungan air sejak kawasan tersebut menghadapi masalah catuan air pada Februari hingga April lalu.

Menyedari kehilangan Syawal, Aminah meminta abangnya, Indra mencari adiknya.

Beberapa minit selepas itu, Indra datang semula menemui Aminah dan memaklumkan bahawa adiknya gagal ditemui.

Bimbang kejadian buruk menimpa anaknya, Aminah lantas meninggalkan dapur masakan dan keluar sendiri mencari Syawal.

Setelah mencari di setiap penjuru rumah, Aminah akhirnya pergi ke tempat terakhir dia melihat tubuh kecil itu petang tadi.

Lemas

Namun, alangkah terperanjatnya ibu malang itu apabila melihat anaknya tertonggeng di dalam salah sebuah tong berisi air di hadapan rumah.

"Saya lihat hampir kesemua badan Syawal tenggelam di dalam tong tersebut dengan kepala di bawah manakala kaki di atas.

"Saya tergamam lantas terus menarik Syawal keluar dan memangkunya. Pada waktu itu, seluruh badan Syawal basah lencun," kata Aminah.

Ujar Aminah, saat dia mengangkat Syawal dari tong tersebut, anak bongsunya itu masih dalam keadaan sedar, namun amat tidak bermaya.

Melihat keadaan tersebut, Aminah segera membawa Syawal ke sebuah klinik sebelum Syawal dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Akibat beberapa kesulitan, Syawal kemudian dirujuk pula ke Hospital Ampang.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi keluarga tersebut apabila Syawal disahkan meninggal dunia pukul 3 pagi, Ahad lalu.

Sehari sebelum kejadian, Aminah berkata, Syawal secara tiba-tiba menangis dan menjerit sambil tangannya menunjuk ke arah tong air tersebut kepada dia dan suaminya, Nasir Abdullah, 39.

Ambil tahu

Lantaran itu, ayah mangsa terpaksa memujuknya sehingga mangsa berhenti menangis.

Jelas Aminah, mereka sekeluarga hanya mendiamkan diri dan tidak menyangka anaknya ditemui mati lemas di dalam tong tersebut.

Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau pergerakan anak mereka, terutamanya anak yang berumur bawah 12 tahun.

Hal tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berulang.

"Zaman sekarang telah berubah. Dalam sekelip mata sahaja macam-macam perkara boleh berlaku.

"Jadi saya sarankan ibu bapa supaya lebih mengambil berat dan didik anak mereka sejak kecil dengan memberi pendedahan mengenai perkara-perkara berbahaya yang ada di sekeliling mereka," katanya.

Jelasnya, tindakan itu dapat mendidik anak-anak untuk menjauhi atau mengetahui baik buruk sesuatu perkara

Jelasnya, bukan sahaja golongan ibu bapa, orang ramai juga perlu sama-sama memainkan peranan dalam usaha membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

"Ini antara pendekatan yang boleh dilakukan kerana saya lihat ramai orang yang tidak ambil berat apa-apa yang terjadi di sekeliling mereka.

"Jangan khuatir jika orang luar kata kita suka menjaga tepi kain orang, kerana tujuan asalkan kita bagi memastikan kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan selamat," jelasnya.

Kikir gigi buang sikap buruk

Posted:

Kikir gigi buang sikap buruk

Kikir gigi buang sikap buruk


ENAM batang gigi atas termasuk taring akan dikikir rata dalam upacara menatah ini.


UPACARA mengikir gigi di Bali, Indonesia merupakan salah satu amalan yang unik dalam masyarakat Hindu. Ia turut dikenali sebagai menatah, memandes dan mesangih.

Perkataan tatah bererti pahat. Istilah menatah ini dihubungkan dengan upacara memahat gigi melibatkan enam batang gigi rahang atas iaitu empat batang gigi kacip dan dua batang gigi taring. Gigi-gigi itu masing-masing dipahat sebanyak tiga kali sebagai satu simbolik sebelum diratakan menggunakan kikir.

Istilah mesangih pula muncul daripada cara mengasah gigi dengan kikir sehingga gigi menjadi rata. Mengikut bahasa Bali, mesangih turut disebut sebagai memandes.

Dalam kepercayaan Hindu, gigi merupakan simbol nafsu, ketamakan, kemarahan, kekeliruan dan cemburu.

Tradisi ini juga melambangkan perubahan diri seorang remaja menjadi dewasa sama ada lelaki mahupun wanita.

Pendeta akan mengikir gigi menggunakan peralatan khas seperti tukul kecil dan pengikir.


GIGI merupakan simbol nafsu, ketamakan, kemarahan, kekeliruan dan cemburu dalam kepercayaan Hindu.


Kuarantin

Kesemua peralatan yang digunakan akan disucikan dulu bersama air suci sebelum tradisi ini dimulakan.

Pihak keluarga juga akan menyediakan barangan lain seperti cermin, tebu dan kelapa muda.

Pada umumnya, tradisi unik ini seringkali diadakan bersama upacara keagamaan lain seperti ngaben, iaitu upacara melibatkan api atau majlis perkahwinan.

Ia turut dilakukan bersama-sama sanak saudara yang sudah menginjak dewasa tetapi belum pernah melakukan upacara tersebut.

Mereka yang menjalani tradisi ini akan dikuarantin di dalam rumah sepanjang hari sebelum upacara berlangsung.

Ia bertujuan untuk melindungi mereka daripada pengaruh negatif kerana mereka masih dianggap belum matang sekiranya tidak menjalani upacara tersebut.

Tradisi ini selalunya diadakan sebelum matahari terbit. Selepas selesai upacara ini, seorang remaja akan dianggap sudah dewasa dan matang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved