Ahad, 4 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jangan putus asa selagi masih bernyawa

Posted:

Jangan putus asa selagi masih bernyawa

Jangan putus asa selagi masih bernyawa


MOHD. RASHID turut membantu para pekerjanya melaksanakan tugas ketika lapang.


KIRA-kira 15 tahun lalu, Mohd. Rashid Mohd. Yusof, 45, hidup serba mewah apabila dua jenis perniagaan yang diusahakannya di Selama, Perak memberi keuntungan bersih antara RM15,000 hingga RM25,000 sebulan.

Keuntungan kedai menjual dan membaiki motosikal serta rangkaian restoran membolehkan Mohd. Rashid memiliki kenderaan mewah, tinggal di rumah besar serta mampu membeli semua yang diingini dalam tempoh singkat.

Kehidupan serba mewah hasil dua perniagaan itu juga membolehkan beliau yang berusia 29 tahun ketika itu membeli tanah dan premis kedai untuk dijadikan aset.

Berada di puncak kejayaan dengan kedudukan kewangan kukuh, kehidupan Mohd. Rashid bersama isteri dan tiga anaknya dilimpahi kemewahan yang diingini semua orang.

Namun, sepanjang tahun terakhir berada di puncak kejayaan, kehidupan Mohd. Rashid perlahan-lahan berubah apabila kedua-dua perniagaannya berdepan dengan masalah.

"Akhirnya, semua perniagaan saya lingkup. Akaun berakhir dengan nilai nombor negatif yang sangat besar. Saya tidak menyalahkan sesiapa, ia akibat kesilapan sendiri kerana salah urus kewangan dan berbelanja tanpa had.

"Sesudah perniagaan ditutup dan kehilangan semua aset, saya masih menanggung jumlah hutang yang banyak sehingga tidak mampu membayar kesemuanya," kata Mohd. Rashid yang berasal dari Perak.

Lebih malang, keluarganya turut terkena tempias kegagalannya dalam perniagaan. Mohd. Rashid terpaksa berpisah secara sah demi kebaikan masa depan isterinya dan mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Akibat perpisahan itu, fikiran Mohd. Rashid semakin buntu kerana dibebani masalah hutang. Dia kemudian memencilkan diri di hujung kampung kerana berasa sudah hilang arah untuk meneruskan hidup.

"Tidak mudah untuk telan semua kegagalan yang kita hadapi akibat kesilapan sendiri. Lebih perit ialah kegagalan sekelip mata tanpa kita jangka. Paling parah, saya langsung tiada wang simpanan kerana semua dibelanjakan.

"Selama dua tahun saya hilang arah, tinggal seorang diri di hujung kampung dan kegagalan saya dalam perniagaan menyebabkan diri saya menjadi buah mulut orang ramai sehingga berasa malu untuk menghadapi masyarakat.

"Bukan sahaja sudah tidak ada duit dan pekerjaan, bahkan kawan-kawan semasa senang dahulu lesap dan tidak lagi bertanya khabar," kata beliau ketika ditemui di pinggir pekan Kajang, Selangor baru-baru ini.


SELAIN bijak menguruskan kewangan, kemahiran seperti membaiki motosikal berupaya menjadi titik mula kepada seseorang untuk bergelar usahawan.


Bangkit semula

Namun, ketika seorang diri mengharungi dugaan tersebut, semangatnya untuk meneruskan hidup terbit kembali selepas disapa seorang buruh warganegara Indonesia yang tinggal di kampungnya.

Lelaki Indonesia itu datang melawatnya di rumah dan memberikan sedikit wang kepada beliau supaya keluar mencari pekerjaan untuk memulakan hidup baharu.

"Buruh Indonesia itu beritahu, dia sudah lama kenal saya sejak sebelum jatuh miskin, tetapi saya tidak kenal dia. Dia beri semangat supaya saya teruskan hidup, cari kerja, kumpul wang dan berniaga semula.

"Saya anggap itu adalah pertolongan Allah yang datang dari arah tidak disangka-sangka. Saya kemudian berhijrah keluar dari kampung yang menjadi tempat persembunyian selama dua tahun," katanya.

Sejak itu, Mohd. Rashid mula merantau mencari pekerjaan dan pada masa sama mengkaji kesilapan menguruskan perniagaan serta mencari ruang membaiki diri.

Menurutnya, dia pernah melakukan dua pekerjaan semasa merantau sehingga tiada masa rehat. Siang kerja di bengkel dan malam jadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kajang.

Walaupun letih melakukan banyak pekerjaan, namun dia tidak kisah. Wang tidak penting baginya sebab memang sudah biasa tiada apa-apa sejak gagal dalam bisnes.

"Duit gaji itu saya guna sedikit untuk makan dan hantar nafkah kepada anak-anak. Paling penting ialah saya mesti tambah ilmu, belajar semula dari bawah dan latih diri untuk lebih berdisiplin," kata beliau yang hanya menamatkan persekolahan sehingga di tingkatan tiga.


PENULIS (kiri) ketika menemubual usahawan muda, Asrol yang berusaha bangkit semula selepas gagal dalam perniagaan pertama kira-kira 10 tahun lalu.


Kumpul kekayaan

Berkat kesabaran dan kesungguhan, Mohd. Rashid kini perlahan-lahan bangkit dan kembali memiliki bengkel motosikal sendiri di Kajang, malah sedang merancang untuk membuka semula restoran seperti 15 tahun lalu.

Kisah serupa dilalui Asrol Amidon, 34, yang pernah bergelar usahawan kira-kira sedekad lalu. Baginya, jatuh dan bangun dalam dunia perniagaan adalah lumrah tetapi tidak mustahil untuk bangkit semula.

Beliau pernah mengumpul kekayaan apabila berjaya membangunkan perniagaan khidmat penghantaran barang di Lembah Klang serta mempunyai kewangan yang kukuh untuk menggaji ramai pekerja.

Perniagaan yang diusahakan Asrol tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, malah meluas sehingga ke Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Kekukuhan perniagaan yang dijalankan Asrol bagaimanapun tiba-tiba rebah akibat salah urus tadbir kewangan syarikat sebelum jatuh sehingga gagal diselamatkan.

Disebabkan tersilap percaturan dalam membuat keputusan syarikat, beberapa premis kedai yang dibeli secara ansuran akhirnya bertukar menjadi liabiliti kepada perniagaan yang diusahakannya .

"Memang benar rumah atau kedai itu boleh dijadikan aset, tetapi ia juga berisiko menjadi liabiliti sehingga menjerat diri apabila tidak mampu membayar pinjaman bank serta kos tanggungan lain seperti cukai berkaitan dan sebagainya.

"Walaupun pahit menerima kegagalan dalam perniagaan, tetapi pengalaman itu menjadi guru yang sangat rapat dengan saya. Tanpa kegagalan, kita tidak akan mampu mengenal kesilapan diri dan jadi lebih baik.

"Perkara yang perlu dilakukan selepas gagal dalam perniagaan ialah kesungguhan untuk bangkit semula. Memang kita sudah habis wang kerana bisnes gagal, tetapi pengalaman dan ilmu yang ada tidak pernah habis," katanya ketika ditemui.


WANG bukan lagi matlamat utama bagi usahawan yang berazam untuk bangkit semula selepas mengalami kegagalan.


Ujar Asrol, seseorang yang pernah gagal mampu bangkit semula jika benar-benar insaf untuk tidak mengulangi kesilapan, sama ada secara sengaja atau kebetulan.

Tambah Asrol, menyedari kepentingan ilmu dan sentiasa berusaha memperbaharui pengetahuan bisnes mengikut persekitaran semasa yang kerap berubah juga amat penting untuk bangkit semula selepas gagal.

Ketika ditanya mengenai faktor pendorong bangkit semula, Asrol menambah, keinginan untuk memastikan anaknya yang masih kecil dapat membesar dengan sempurna menjadikan beliau terus berusaha.

Selain itu, tambah Asrol, sokongan daripada ibu serta isteri juga memberi kekuatan untuk beliau menyusun strategi baharu dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

"Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi, sebelum perkara itu berlaku, kita tidak boleh putus asa dan terus usaha memperbaiki keadaan supaya isteri dan anak tidak hidup dalam kesusahan selepas kita mati.

"Ia juga untuk menggembirakan semula hati ibu, membahagiakan isteri dan memastikan anak dapat membesar dengan sempurna. Ibu dan isteri sentiasa mahu saya jadi lebih baik," ujar Asrol.

Asrol yang kini bekerja makan gaji dengan sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur juga sedang berusaha menambah pengetahuan dalam bidang bisnes dan perlahan-lahan menyelesaikan hutang.

"Saya juga sudah sedia untuk bangkit dan berniaga semula. Apabila semua yang perlu diselesaikan itu berjalan seperti yang dirancang, saya akan kembali melakukan pekerjaan yang saya suka iaitu berniaga sehingga berjaya.

"Kalau pernah jatuh (gagal), jangan mengalah, kaji kesilapan diri dan cepat-cepat cari jalan keluar untuk bangkit semula. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya, semua pahit getir harus ditempuhi dengan sabar," kata Asrol.

Disko hiburan keluarga

Posted:

Disko hiburan keluarga

Disko hiburan keluarga


DISKO keluarga kini menjadi konsep hiburan baharu khususnya kepada ibu bapa yang gemar menghabiskan masa di kelab malam.


BUNYI bass, lampu berwarna-warni yang malap dan lantai khas untuk menari merupakan sebahagian daripada suasana bar yang dikunjungi oleh seorang kanak-kanak lelaki.

Dengan berpakaian adi wira Spider-Man, kanak-kanak berusia empat tahun itu kemudianya berjalan menuju ke arah bapanya untuk mengadu sesuatu, sebelum diberi batang plastik bercahaya.

Itulah sebahagian daripada suasana sebuah kelab malam yang sering dikunjungi muda-mudi untuk berhibur. Namun selepas berkeluarga mereka terpaksa membawa anak-anak bersama.

Kelihatan seorang lelaki, Paul Crawley, 34 sedang menari sambil mendukung bayinya yang bernama Camille.

Bar kotor yang yang terletak di selatan London itu biasanya menjadi tumpuan pada waktu malam, tetapi suasananya berbeza pada petang apabila bertukar umpama sebuah taman permainan.

Ibu-ibu dilihat menyusukan anak-anak mereka di atas sofa kulit sambil mendengar muzik slow rock, manakala kanak-kanak yang lebih tua melukis dan mewarna di atas meja yang disinari imej-imej bergerak.

Bar yang mempunyai Deejay profesional itu turut memutarkan muzik punk dengan kuat. Pemiliknya menegaskan, bunyi tersebut selamat untuk sistem pendengaran bayi.


PENGUNJUNG kelab malam sanggup membawa anak kecil ke disko untuk meluangkan masa santai.


Gelagat seorang kanak berusia lima tahun, Caelan mencuri perhatian apabila menari.

"Menari ikut rentak!," jerit ayahnya, Michael Edie, manakala seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian seperti puteri memandang dengan kagum.

Caelan telah mengikuti kelas tarian sejak berusia tiga tahun dan itu merupakan tempat terbaik untuknya mendapatkan latihan berbanding di rumah.

Edie, juruhebah di stesen radio Rinse FM, gembira melihat aksi anaknya itu dari tempat duduknya. "Anda tidak akan dapat melihat saya menari. Saya tidak sebagus mereka," katanya sambil ketawa.

Kanak-kanak dan orang dewasa berkongsi kegembiraan di dalam kelab malam itu. Bezanya, pengunjung dewasa berparti, malah ada yang mabuk lantas menggambarkan suasana parti sebenar.

Jody Bullough, 43, yang menetap di Burnley yang terletak di utara England misalnya datang bersama anak perempuan berumur enam tahun, Jasmine.

"Ia satu tempat yang kotor. Ia benar-benar kotor," kata Bullough sambil mengesat tangan Jasmine selepas bermain di atas lantai.

Lokasi tersebut telah mengimbau kembali kenangan Bullough ketika berparti. Katanya, berhibur di disko keluarga itu merupakan idea yang baik.

Rakannya Rebecca Smith, 40, seorang pegawai perunding yang berambut pendek pula sedang menari chicken dance bersama anak perempuanya.

Sebelum menari, dia bersama anaknya sempat melukis tattoo tiruan yang boleh dibasuh di luar bar.

"Ini normal. Saya juga mengambil sedikit minuman alkohol tetapi saya OK. Saya masih boleh berhibur," katanya sambil menghentikan langkah tariannya.

Disko keluarga dan hiburan merupakan fenomena biasa di London. Ramai pengunjung kelab-kelab yang terkenal seperti Ministry of Sound masih berseronok walaupun setelah berkeluarga.


IBU bapa kini selesa membawa bersama anak-anak mereka berhibur dan pulang sebelum lewat malam.


Berhibur

Syarikat yang mengajurkan parti tersebut, Big Fish Little Fish, berharap acara yang berlangsung selama dua hingga empat jam itu dapat menghiburkan para pengunjung sebelum mereka pulang ke rumah bersama anak untuk tidur.

"Kami tidak akan sesekali berhenti melakukan perkara yang diminati," kata Hannah Saunders, 45, individu yang menguruskan parti tersebut.

Saunders misalnya sering menghabiskan masa hujung minggunya di kelab-kelab dan berparti.

Setelah memiliki dua orang cahaya mata, beliau mendapati acara muzikal yang mesra keluarga masih kurang. Bagaimanapun dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan muzik.

"Anak saya suka mendengar lagu kegemaran saya yang mempunyai bunyi drum dan bass, jadi saya tahu mereka suka berada di sini," katanya.

Menjelang tengah malam, para ibu bapa yang puas berhibur beransur-ansur pulang sambil mendukung anak masing-masing meninggalkan kelab malam dengan bekas minuma plastik bersepah di atas meja. -AFP.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved