Sabtu, 24 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bantu anak muda jana pendapatan

Posted:

Bantu anak muda jana pendapatan

Bantu anak muda jana pendapatan

MENIKMATI suasana pagi di homestay Marina Chalet di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highlands membangkitkan rasa damai dalam diri.

"Bunyi kicauan unggas dari kawasan hutan yang mengelilingi perkampungan tersebut membuatkan kita lupa dengan kesibukan dan tekanan kerja yang dialami di hutan batu di ibu negara.

"Kehijauan kebun-kebun strawberi dan sayur-sayuran yang ditanam di sekitar kampung juga membuatkan mata tidak jemu menyaksikan pemandangan indah itu.

"Ia satu pengalaman yang mengujakan buat saya dan suami yang sentiasa sibuk dengan kerjaya kami di Kuala Lumpur," kongsi Nur Fatihah Mohamad, 30, mengenai pengalamannya mendiami homestay.

Tambahnya, banyak kemudahan yang disediakan oleh pengusaha chalet tersebut termasuklah peralatan barbeku, bilik solat dan sebagainya. Namun, Nur Fatihah berharap itu bukanlah kunjungannya yang terakhir ke homestay.

Sebaik tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada usia 23 tahun, Khairul Hakimin Sahariman terus pulang ke kampung untuk mendirikan rumah tangga dan menetap di Kampung Desa Murni, Temerloh, Pahang.

Tidak seperti majoriti graduan lain yang berlumba-lumba mengejar pekerjaan di kota, Khairul Hakimin selesa mencari rezeki di kampung halamannya. Dia menyambung legasi perusahaan homestay dan agensi pelacongan yang dibangunkan bapanya.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu memegang posisi penyelaras merangkap pengerusi Homestay Desa Murni yang terdiri daripada lapan buah kampung sekitarnya.

Kini berusia 28 tahun, bapa kepada dua cahaya mata itu menyifatkan bekerja di kampung lebih mendamaikan, menjimatkan kos dan dekat dengan keluarga.

"Tapi sesetengah anak muda tak suka status tinggal di kampung. Dalam konteks homestay ini pula, ramai budak-budak kampung yang kurang berminat.


PENGALAMAN tinggal di rumah kayu beratapkan zink mampu memberi pengalaman baharu buat mereka yang menginap di homestay.


Intai peluang

"Lagipun pendapatan homestay tidaklah besar. Jadi orang muda di kampung kena bijak intai peluang lain untuk jana keuntungan tinggi setiap kali pelancong datang," saran Khairul Hakimin yang banyak memperuntukkan waktu kerjanya pada hari Sabtu dan Ahad serta musim cuti sekolah.

Di sebalik pembangunan pesat program homestay yang diwujudkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM) pada tahun 1995, timbul cabaran getir dalam meyakinkan generasi kedua dan ketiga di kawasan kampung.

Khairul Hakimin antara kumpulan muda yang berjaya membuktikan keberkesanan program homestay sebagai penjana pendapatan tetap. Faktor penawaran kerja dengan gaji dan taraf hidup moden di bandar lebih menarik kepada graduan muda yang berasal dari kampung.

Penghijrahan mereka ke kota seterusnya meletakkan kelangsungan program homestay dalam kondisi membimbangkan. Sebagai galakan, pihak KPKM giat melaksanakan kursus lanjutan melibatkan ibu bapa dan anak-anak.

Fleksibiliti itu diharapkan dapat memupuk minat anak-anak muda bagi meneruskan penyertaan ibu bapa mereka dalam program homestay di kampung masing-masing.

Kini, selepas 19 tahun diimplementasi di bawah pelan pembangunan luar bandar, pulangannya kepada sektor pelancongan negara belum mencapai keuntungan besar. Begitupun peningkatan setiap tahun yang dicatatkan menggambarkan potensi tinggi yang dimiliki program homestay.

Data yang diperoleh daripada KPKM menunjukkan peningkatan 16.3 peratus jumlah pendapatan daripada RM18.5 juta pada tahun 2012 kepada RM21.5 juta pada tahun lalu. Jumlah pelancong juga bertambah sebanyak 7.9 peratus daripada 325,258 orang (2012) menjadi 350,954 orang (2013).

Jumlah yang diterima itu hasil kutipan pendapatan daripada 166 kluster homestay di seluruh Malaysia melibatkan 3,431 pengusaha atau rumah dengan bilangan bilik 4,779 buah.

Difahamkan, purata tertinggi yang pernah dicatatkan ke atas rumah yang terlibat dengan program homestay ialah sebanyak RM8,000 sebulan. Itu tidak termasuk pendapatan lain hasil daripada kerja-kerja kampung seperti berkebun dan berniaga.


MALAYSIA memiliki program homestay yang lebih terancang dan membangun.


Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri KPKM, Mohd. Daud Mohd. Arif menjelaskan, program homestay yang dijalankan Malaysia lebih kepada penawaran pengalaman berbanding produk.

Mengikut konsep asal, homestay merujuk kepada pengunjung luar bandar termasuk pelancong asing yang tinggal di rumah keluarga angkat dan mengikuti aktiviti kampung yang disediakan.

Terjejas

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini reputasi homestay sebagai pemacu pelancongan luar bandar terjejas ekoran kewujudan homestay yang tidak berdaftar. Pengusaha seperti ini menyediakan rumah untuk disewa kepada orang luar yang datang untuk bercuti atau menghadiri kenduri.

Kebanyakan mereka berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi tidak mematuhi piawaian asas sebuah rumah yang layak dipanggil homestay.

"Kami tidak mahu menutup peluang mana-mana pihak. Namun kami minta mereka yang tidak berdaftar supaya mengekalkan kualiti dan jangan gunakan nama homestay.

"Homestay gelaran khusus untuk peserta berdaftar sahaja dan mereka mempunyai logo rasmi di pintu rumah masing-masing," ujar Mohd. Daud ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Berdasarkan piawaian asas homestay berdaftar, setiap rumah perlu menjalani pemeriksaan meliputi kebersihan, keselamatan, bilik air, kesesuaian dan kesediaannya untuk menerima tetamu.

Syarat menubuhkan homestay juga memerlukan sekurang-kurangnya 10 buah rumah dalam satu kampung atau gabungan beberapa kampung berhampiran.

Mereka yang terlibat juga kemudiannya diwajibkan menghadiri kursus asas bagi mempelajari cara-cara penyediaan makanan, komunikasi dan pengurusan aktiviti.

Tambah Mohd. Daud, perkembangan program homestay kini lebih terarah kepada melahirkan usahawan-usahawan kampung yang berdikari dan mampu menguruskan produk pelancongan mereka tanpa bimbingan.

Justeru, sesebuah homestay perlu berdiri sebagai satu pasukan yang hebat. Pengurusan dan promosi juga perlu kreatif bagi menarik pelancong. Terdapat banyak saluran moden boleh digunakan pengusaha sebagai promosi terutamanya menerusi pembangunan laman web.

Selain peluang pendapatan, masyarakat kampung yang terlibat dengan program homestay turut mendapat pelajaran budaya dan bahasa asing secara langsung.


KEMUDAHAN bilik tidur yang selesa sering menjadi keutamaan pengusaha homestay.


Pelajar Jepun

Pasangan Sohana Dahlan, 60, dan Jamaludin Abd. Rahman, 67, yang menyertai program homestay di Kampung Desa Murni sekitar awal 1990-an memberitahu, peringkat pertama program itu hanya melibatkan pelajar-pelajar dari Jepun.

Mereka mengakui terhibur dengan kunjungan orang luar ke rumah mereka dan banyak mempelajari bahasa asas orang luar. Kongsi Jamaludin: "Kita pun bolehlah cakap bahasa Inggeris sikit-sikit. Tapi selalunya guna bahasa badan sahaja."

KPKM turut menyediakan kamus kepada pengusaha-pengusaha homestay bagi memudahkan komunikasi sesama pelancong asing. Ia disediakan dalam lima bahasa iaitu bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea.

Sementara itu, program homestay negara ini juga bakal diimplementasi di peringkat ASEAN. Selepas melakukan perbandingan menyeluruh antara homestay di Indonesia, Filipina dan Myanmar, Malaysia memiliki program homestay yang lebih terancang dan membangun.

Malah, homestay Malaysia pernah memenangi tempat pertama Anugerah Ulysses anjuran Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) pada tahun 2012.

Justeru, kepakaran Malaysia ditagih negara-negara ASEAN bagi menetapkan standard homestay di rantau ini. Perancangan itu dikatakan telah diluluskan dan tinggal untuk dilaksanakan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved