Selasa, 20 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Terumbu karang 'lubuk' rezeki nelayan

Posted:

Terumbu karang 'lubuk' rezeki nelayan

Terumbu karang 'lubuk' rezeki nelayan

KETERUJAAN jelas terpancar pada riak wajah kira-kira 100 nelayan yang hadir di Pulau Bidong, Terengganu pada tanggal 20 April lalu bagi meraikan sambutan Hari Bumi 2014.

Mereka juga adalah ahli Rakan Fish, iaitu inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Coral Malaysia (YCM) untuk menjaga ekosistem dan sumber perikanan.

Bertemakan Sehari Bersama Nelayan, kali ini sambutannya cukup istimewa apabila turut dihadiri orang nombor satu MoA yang juga Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peluang bersemuka dengan Ismail Sabri membolehkan para nelayan bertukar-tukar pandangan dan meluahkan pelbagai masalah yang dihadapi terutama melibatkan perkara-perkara yang mengancam hasil laut.

Menariknya, pada program yang berlangsung selama tiga hari itu para nelayan turut ditunjukkan kaedah perladangan terumbu karang.

Demonstrasi penternakannya yang ditunjukkan oleh penyelidik Jabatan Perikanan turut menarik perhatian Ismail Sabri.

Terumbu karang merupakan spesies yang terancam dan berada di bawah kawalan Jabatan Perikanan, manakala terumbu karang liar pula hanya boleh diambil selepas mendapat kebenaran daripada jabatan tersebut.

Bagi para nelayan pula, perladangan terumbu karang merupakan satu inisiatif baharu dan peluang ekonomi yang baik untuk diteroka.

Harapan

Seorang nelayan, Zakaria Ibrahim, 43, mencadangkan agar buat permulaan satu bengkel khas diadakan bagi membimbing para nelayan.

"Ia memberikan harapan buat kami menceburi bidang baharu sebagai alternatif menambah pendapatan.

"Menerusi bengkel ini, kami dapat mempelajari cara perladangan terumbu karang dengan betul dan efisien," ujarnya.


ISMAIL SABRI (kanan sekali) melepaskan dua ekor penyu sebagai tanda simbolik sempena sambutan Hari Bumi 2014 di Pulau Bidong, Terengganu baru-baru ini.


Nelayan dari Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu itu turut berharap supaya pihak berkuasa memberi garis panduan yang betul kepada para nelayan agar mereka faham dan tidak melakukan sesuatu secara membuta tuli.

Perladangan terumbu karang masih baharu di negara ini walaupun sudah dilakukan secara komersial di luar negara. Indonesia, Filipina dan Thailand antara negara serantau yang terlebih dahulu meneroka industri tersebut yang menghasilkan pendapatan tahunan mencecah jutaan ringgit.

Di Malaysia, penyelidikan bidang berkenaan telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pegawai Penyelidik Kanan IPP, Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Mohamad Saupi Ismail berkata, perladangan terumbu karang telah dijalankan di Malaysia dua tahun lalu.

Menurutnya, hampir 90 peratus pasaran terumbu karang antarabangsa dimonopoli Indonesia walaupun negara-negara Asia Tenggara lain mempunyai khazanah yang tidak kurang cantiknya.

"Terdapat dua cara penghasilan terumbu karang yang sesuai iaitu insitu dan eksitu yang kedua-duanya mempunyai kebaikan dan keburukan.

"Cara insitu adalah di kawasan sedia ada, manakala eksitu pula di lokasi luar atau lebih jauh.

"Insitu mempunyai kelebihan kerana melakukan ternakan di dasar laut yang berdekatan dengan habitat terumbu karang itu sendiri.

"Kaedah ini menjadi pilihan penternak di Asia kerana kos penghasilannya yang murah," jelas Saupi.

Bagaimanapun, insitu juga mempunyai kekurangan seperti penternak sukar untuk menjaga terumbu karang kerana berada jauh di dasar laut selain pencemaran menyebabkan hasilnya tidak seperti yang diharap.


TERUMBU karang tidak boleh diambil sewenang-wenangnya bagi menjamin hidupan itu terus terpelihara.


Menurut Saupi, terumbu karang yang diproses melalui kaedah insitu turut berpotensi untuk dimakan oleh pemangsa selain tempoh untuk membesar yang lebih lama.

Jelas beliau, eksitu merupakan kaedah yang dijalankan di luar kawasan laut dan dilihat lebih mudah.

"Kaedah ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi, cukup sekadar pemerhatian selain memberi makanan mengikut jadual.

"Cuma kos penyelenggaraan lebih mahal dan penternak perlu memiliki sistem sokongan seperti tangki serta penapis untuk memberi oksigen kepada terumbu karang," jelasnya yang mengakui terumbu karang di perairan Sabah merupakan yang tercantik di negara ini.

Lebih pantas

Menerusi kaedah eksitu, penternak boleh mengawal pemberian makanan bagi memastikan terumbu karang membesar mengikut cita rasa sendiri.

Pembesaran terumbu cara eksitu adalah dua kali lebih pantas.

Terdapat beberapa jenis terumbu karang akan cepat tumbuh dan mampu mencapai ukuran 15 sentimeter setahun, tetapi kebiasaannya pembesaran itu terlalu perlahan iaitu hanya dua hingga tiga sentimeter setahun di dasar laut.

Bagaimanapun, kaedah eksitu mampu mempercepatkan proses penumbuhan sehingga tiga ke lima sentimeter dalam tempoh enam bulan sahaja.

Namun, terumbu karang tidak boleh diambil sewenang-wenangnya bagi menjamin hidupan itu terus terpelihara. Hanya terumbu karang generasi kedua dan ke atas sahaja yang boleh diternak dan dijual.

LELAKI ini berjaya menghasilkan terumbu karang menerusi kaedah eksitu.


Menurut Penasihat YCM, Prof. Datuk Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, perladangan terumbu karang tidak semestinya untuk tujuan komersial semata-mata.

Jelas bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT itu, bagi sesetengah negara terumbu karang diternak untuk tujuan konservasi dan perubatan kerana khasiatnya.

"Situasi ini berlaku kerana terumbu karang semakin mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa dan permintaan tinggi dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

"Kini, ramai yang mempunyai hobi untuk membela ikan air laut berbanding air tawar sekali gus terumbu karang diperlukan untuk mencantikkan akuarium mereka," katanya.

Tambah beliau lagi, pemilihan Pulau Bidong sebagai lokasi pembiakan terumbu karang juga sesuai dengan persekitaran pantainya yang bersih dan terpelihara.

"Jika nelayan dibantu dari segi pengurusan dan kewangan, mereka akan mendapat manfaatnya," katanya lagi.

Survival si pekak di Kemboja

Posted:

Survival si pekak di Kemboja

Survival si pekak di Kemboja


KINI terdapat dua buah institusi pendidikan khusus untuk golongan OKU cacat pendengaran di Kemboja.


BERKUNJUNG di sebuah kedai gunting rambut di Phnom Penh, Kemboja hanya berkumandang ketakan gunting tanpa sebarang suara manusia.

Suara mesra menyambut kedatangan pelanggan juga jarang sekali kedengaran kecuali senyuman wajah pekerja pendandan rambut yang majoritinya merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran.

Mereka yang juga graduan institusi pendidikan OKU cacat pendengaran tunggal di Kemboja, bernasib baik kerana berpeluang mempelajari bahasa isyarat berbanding OKU yang lain di negara itu.

"Saya tidak pernah berkomunikasi dengan masyarakat luar selain daripada keluarga. Ia umpama berada dalam penjara dan saya tidak boleh berbuat apa-apa atas faktor wang. Saya juga tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh," kata seorang pelatih pendandan rambut, Oeun Darong, 27, menggunakan bahasa isyarat Kemboja.

Sehingga era 1990-an, Kemboja merupakan antara negara yang tidak mempunyai bahasa isyarat khusus bagi golongan OKU di negara itu.

Mujur seorang paderi dari Amerika Syarikat, Charlie Dittmeier mencari lokasi khusus bagi OKU selain mengkaji bahasa Kemboja bersama pakar jurubahasa tempatan sehingga tercipta bahasa isyarat versi Kemboja yang digunakan OKU di negara tersebut.

"Seawal usia 25, 30 dan 35 tahun OKU tersebut diajar bahasa isyarat. Mereka tidak pernah bersekolah dan berkomunikasi kerana tidak mempunyai bahasa khusus," kata Dittmeier yang mula berkhidmat di Kemboja sejak 13 tahun lalu.


KEBAJIKAN golongan OKU cacat pendengaran di Kemboja semakin baik menerusi peranan yang dimainkan DDP.


Program Pembangunan Cacat Pendengaran (DDP) kini mempunyai dua buah institusi pendidikan khusus untuk dewasa dan kanak-kanak.

Dittmeier berkata, kira-kira 30 pelajar cacat pendengaran berusia 16 tahun ke atas mengikuti kursus selama dua tahun di institusi tersebut melibatkan penggunaan bahasa isyarat ringkas, menulis, membaca dan beberapa kemahiran berkaitan.

Manakala setahun lagi melibatkan latihan pekerjaan seperti pendandan rambut di beberapa premis terpilih. Sepanjang latihan itu mereka didedahkan dengan komunikasi menggunakan bahasa isyarat melibatkan khidmat potongan rambut, mencukur dan membersihkan telinga.

Hidup baharu

Sebelum ini, ramai dalam kalangan mereka yang menampung hidup sebagai pesawah dan pengembala lembu. Tiada siapa yang mendedahkan mereka dengan bahasa isyarat Kemboja dalam komunikasi.

"Saya sentiasa bersendirian. Ia merupakan perjalanan hidup yang amat menyedihkan. Saya tidak pernah bersekolah dan paling perit keluarga tidak memahami komunikasi antara kami," kata Darong yang sering berfikir dia satu-satunya insan pekak di negara itu.

Penuntut lain di institusi tersebut pernah mengalami pengalaman yang lebih buruk. Ada dieksploitasi sebagai peminta sedekah, ditinggalkan di jalanan, penagih dadah dan pelbagai kelakuan tidak masuk akal.

"Mereka tidak mempunyai kemahiran bersosial menjaga kesihatan diri. Malah rutin mandi juga terpaksa diajar," dedah Dittmeier.


INISIATIF memperkenalkan bahasa isyarat tempatan membolehkan golongan OKU Kemboja belajar berkomunikasi.


Pada papan kenyataan di pusat DDP, beberapa lukisan memaparkan cara asas membersihkan diri manakala pada lukisan yang lain terdiri daripada bahasa isyarat Kemboja.

"Kami berusaha untuk mendedahkan mereka dengan bahasa isyarat selain memberikan kebebasan supaya golongan OKU ini mereka sendiri bahasa isyarat mereka," katanya.

Dittmeier berpendapat, OKU pendengaran digalakkan mencipta bahasa isyarat mereka sendiri kerana golongan tersebut merupakan pengguna tegar bahasa itu.

Kemboja mencatatkan jumlah OKU cacat pendengaran seramai 500,000 orang, bagaimanapun hanya sebilangan kecil daripada jumlah berkenaan terdedah dengan bahasa isyarat.

"Saya kini boleh berkomunikasi dan tidak lagi berada dalam dunia sendiri. Tiada lagi isu diskriminasi seperti mana di kampung halaman," luah Kheng Nat, 23.

Kerajaan Kemboja tidak mempunyai dana pendidikan khusus untuk golongan OKU cacat pendengaran dan ia bukan keadaan yang pelik.

"Seluruh dunia terutama melibatkan golongan OKU cacat pendengaran dalam kalangan belia dan kanak-kanak sering dinafikan hak pendidikan," kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia, Santha Rau Barriga yang beroperasi di Amerika Syarikat.

"Golongan OKU ini amat memerlukan pendidikan bahasa isyarat kerana ia satu-satunya kaedah untuk mereka berkomunikasi," tambahnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved