Sabtu, 17 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Anjing pemandu pertama di Malaysia

Posted:

Anjing pemandu pertama di Malaysia

Anjing pemandu pertama di Malaysia

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARIA
diyanatul.atiqah@kosmo.com.my

DIA merupakan seorang bayi yang sihat ketika dilahirkan di hospital Tung Shin pada tahun 1962. Bagaimanapun, selepas empat dekad menjalani kehidupan, dia disahkan menghidapi glaukoma iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan kerosakan berterusan pada saraf optik mata, sekali gus mengakibatkan buta.

Stevens Chan, 52, mengakui pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan. Dia tidak pernah putus asa mencuba pelbagai rawatan, sama ada secara tradisional mahupun moden bagi melambatkan proses kebutaan, namun segala usahanya tidak membuahkan hasil.

Namun, dengan sokongan isteri, Kaye Chan, 48, Stevens tetap meneruskan kehidupan, tetapi sebagai bayi yang baru belajar berjalan.

"Saya takut untuk bergerak dan berjalan. Pernah suatu ketika saya terjatuh ke dalam longkang besar kerana ia tidak ditutupkan oleh pihak bertanggungjawab selepas menjalankan penyelenggaraan.

"Akibatnya, kaki saya cedera dan mengambil masa sebulan untuk sembuh. Tetapi saya sudah 'kebal' dengan kecederaan kerana jatuh," ujarnya yang turut memberitahu, keadaan matanya turut memberi kesan kepada periuk nasinya.

Tambah lelaki ini, dia juga perlu mempelajari cara menggunakan tongkat dengan betul dan menajamkan daya hafalan untuk mobiliti.

Setelah 'imun' dengan kegelapan, Stevens menubuhkan Persatuan Glaukoma Malaysia pada tahun 2009 bagi membantu penghidap sepertinya.

Bagaimanapun, titik tolak kehidupannya mula berubah sejak dua tahun lalu, apabila isterinya membawa pulang sekeping cakera video digital filem Jepun yang menceritakan kisah seekor anjing pemandu dengan tuannya.

Kaye membantu dirinya memberi gambaran bagaimana watak seekor anjing menjadi 'tongkat' buat tuannya dalam filem bertajuk Quill itu.

Teruja melihat kejayaan anjing pemandu, Stevens mencari jalan untuk mendapatkan seekor anjing untuk dirinya dan berhijrah ke China bersama isteri pada tahun 2012 dan kembali ke Malaysia dua tahun selepas itu.

KINI Stevens mampu bergerak sendiri tanpa perasaan teragak-agak dengan bantuan Lashawn.


"Sebelum ke sana kami telah membuat kajian dan mengetahui bahawa Akademi Polis Nanjing ada menyediakan latihan untuk anjing pemandu.

"Akademi itu antara yang terbaik dan mempunyai pakar dari Jepun untuk melatih anjing," jelasnya.

Setelah dua tahun menyemai benih di China, akhirnya Stevens mempunyai anjing pemandu sendiri, sekali gus menjadikan haiwan itu anjing pemandu pertama di Malaysia.

Sekali imbas lelaki yang dahulunya teragak-agak untuk berjalan itu, kelihatan seperti sedang membawa anjing peliharaannya bersiar-siar sambil memakai cermin mata hitam untuk menghalang sinaran ultra ungu.

"Anjing ini bernama Lashawn Chan dan merupakan anjing pemandu pertama di Malaysia.

"Lashawn merupakan anjing jantan baka Labrador yang dilahirkan di Nanjing, China dan mendapat latihan khas di Akademi Polis Nanjing sebelum dibawa masuk ke negara ini awal bulan lalu selepas melalui prosedur kuarantin selama tujuh hari," katanya Lashawn kini berusia dua tahun.

Tahap mobiliti

Menjelaskan penggunaan anjing pemandu, Stevens berkata kaedah tersebut bukanlah satu perkara baharu di dunia kerana ia telah lama digunakan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

Sekolah latihan anjing pemandu pertama telah ditubuhkan di Jerman pada Perang Dunia Pertama bagi meningkatkan tahap mobiliti askar yang hilang penglihatan semasa berperang.

Anjing pemandu mula mendapat perhatian global selepas warga AS, Dorothy Harrison Eutis yang menetap di Switzerland menulis tentang panduan sekolah anjing pemandu di Potsdam, Jerman. Panduan itu diterbitkan dalam akhbar The Saturday Evening Post pada 1927.


ANJING dikatakan haiwan yang setia kepada pemiliknya.


Namun, perkembangan anjing pemandu di AS tidak begitu ketara sehinggalah seorang penduduk di Nashville, Morris Frank pulang dari Switzerland selepas melatih seekor anjing shepherd betina bernama Buddy.

Keserasian Frank dan Buddy telah meyakinkan penduduk AS tentang kemampuan anjing tersebut dan sejak itu hotel, pengangkutan awam dan kawasan lain telah dibuka untuk anjing pemandu.

Tambahnya, di China anjing tidak dibenarkan berkeliaran. Baik menjadi haiwan peliharaan atau digunakan untuk membuat pekerjaan seperti anjing pengesan atau pemandu. Sehingga kini, Lashawn telah dibawa menyesuaikan dirinya di jalan-jalan di kediaman Stevens, di Serdang, Selangor dan berjalan-jalan di Subang serta Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Ini kerana, anjing pemandu dilatih untuk mengenali sesuatu kawasan dan halangannya selain diajar mengenal pasti jalan dengan kata kunci seperti hentian bas, jalan besar dan kereta.

Ujarnya, kos melatih anjing ditampung daripada dana syarikat khidmat sosial Dialogue in the Dark yang diasaskannya pada tahun lalu.

Sehingga kini, Stevens telah melatih lima ekor anjing pemandu dengan jumlah keseluruhan kos RM250,000. Aset itu merupakan salah satu kempen Dogs for Sight di bawah projek syarikat tersebut.

Teman setia

Mengulas lanjut, Kaye memberitahu, bukan semua anjing boleh dilatih menjadi anjing pemandu. Baka anjing yang sesuai ialah Labrador dan German Sherperd. Anjing jenis itu dikatakan lebih bijak dan cepat belajar.

Anjing yang berusia lebih enam minggu merupakan umur yang sesuai untuk dilatih. Pada ketika itu, anjing akan dibawa ke rumah untuk mengenali ahli keluarga tuannya dan menyesuaikan diri.

Disebabkan itu, anjing pemandu bukan sahaja memainkan peranan sebagai penunjuk arah jalan, tetapi sebagai teman hidup tuannya yang setia.

Menurut Kaye yang terlibat sama dalam pemerhatian latihan, anjing-anjing itu akan diberikan kepada orang kelainan upaya (OKU) yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Antara kriterianya ialah OKU itu mestilah mempunyai keserasian yang baik dengan anjing dan bekerja.

"Kami berharap dengan kemudahan ini, seseorang yang cacat penglihatan bukan sahaja dapat berjalan dengan lebih laju, tetapi mereka akan turut diberi peluang meneruskan hidup dengan tawaran pekerjaan lebih baik," ujarnya.


ANJING pemandu jenis German Sherperd ini dilatih selama dua tahun di Akademi Polis Nanjing, China sebelum dibenarkan berkhidmat.– Gambar hiasan


Melontarkan pandangan peribadi, pegawai kemudahan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Muhammad Fairuz Abdullah, 60, berkata, usaha memperkenalkan anjing pemandu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Antara perkara yang menjadi keutamaan ialah luas kawasan yang dibenarkan membawa anjing masuk, selain mengambil kira syariat tentang anjing dalam agama Islam.

Ujarnya, tidak semua pusat beli-belah membenarkan haiwan peliharaan seperti anjing dibawa masuk, begitu juga pengangkutan awam di negara ini.

"Kita bercakap mengenai amalan dan budaya yang bagi saya sukar ditembusi apabila melibatkan anjing pemandu.

"Sekali pun ada yang mampu memiliki anjing pemandu, kemudahan itu tidak dapat digunakan sepenuhnya di dalam negara kerana hanya beberapa kawasan kecil dibenarkan membawa anjing," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, secara holistik anjing pemandu boleh membantu meningkat produktiviti OKU cacat penglihatan, tetapi hanya di negara yang sudah mengamalkan sejak sekian lama.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman http://dogsforsight.saveonesight.org/.

Godzilla baharu dikecam gemuk

Posted:

Godzilla baharu dikecam gemuk

Godzilla baharu dikecam gemuk


KRONOLOGI perubahan bentuk badan raksasa Godzilla bermula tahun 1954 hingga 2014.


PEMINAT-PEMINAT legenda Godzilla dari Jepun mengecam raksasa baharu dalam filem bikin semula di Hollywood selepas era perang klasik sebagai terlalu gemuk dan bersaiz super.

Versi terbaharu binatang gergasi itu melanda skrin 3D di Amerika Syarikat (AS) mulai semalam dan di Jepun dua bulan lagi iaitu pada ulang tahun Cicak Besar Jepun ke-60.

Trailer dan promosi filem tersebut masih rancak dilakukan dalam usaha pasukan pemasaran mewujudkan keseronokan, namun peminat Jepun mengecam bahawa 'hero' mereka itu kelihatan montel.

"Sebelum ini, saya hanya melihat bayangan Godzilla baharu dan agak terkejut apabila melihat yang sebenarnya.

"Ia gemuk bermula dari leher dan sangat besar di bahagian bawah," kata Fumihiko Abe, 51, yang sentiasa mengikuti filem Godzilla yang dihasilkan sehingga hari ini.

Abe memberitahu, versi Godzilla pada tahun 1998 pula adalah lebih seperti dinosaur yang bergerak pantas berbanding raksasa berkaki besar.

Raksasa janaan komputer tersebut yang digambarkan mengamuk di kota New York, AS ditolak dalam kalangan kultus Jepun kerana tidak setanding dengan binatang raksasa yang mengganas di Tokyo selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, versi baharu itu kelihatan lebih mengujakan, kata Abe.


LEGENDA Godzilla baharu ini dikecam kerana bentuk tubuh badannya yang gemuk.


Teruja

"Saya dapat rasakan keagungan Godzilla baharu ini. Saya berminat untuk melihat bagaimana beratnya (Godzilla) dipersembahkan dalam filem baharu tersebut," katanya ketika melawat pameran lukisan Godzilla di Tokyo.

Bagaimanapun, peminat lain yang berforum dalam internet kurang bersetuju. Salah satu komen, penciptaan raksasa itu lebih kelihatan seperti tampalan dan kaku seperti 'Marshmallow Godzilla'.

"Ia dihasilkan dengan saiz super," komen seorang peminat sambil merujuk hidangan makanan lebih besar boleh didapati di restoran-restoran makanan segera di AS.

"Memang benar bahawa anda akan memperoleh berat badan di AS. Ia raksasa kalori," kata seorang peminat lagi.

"Ia Godzilla Deluxe," seloroh yang lain dengan merujuk kepada set pakaian (Godzilla) yang berat dan beropol dalam televisyen Jepun.

Filem Godzilla ditayangkan pada tahun 1954 dengan judul Godzilla, King of the Monster yang merupakan siri filem pertama raksasa mengamuk di bumi terbitan Studio Toho di Tokyo.

Pada masa itu, set salinan Godzilla adalah seberat 90 kilogram dihasilkan daripada susu getah hingga menyebabkan pelakon yang memakainya tercungap-cungap dan bermandi peluh.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved