Rabu, 14 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pernah dilabel pendakwah 'mee segera'

Posted:

Pernah dilabel pendakwah 'mee segera'

Pernah dilabel pendakwah 'mee segera'

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

JUARA program Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah diapit oleh naib juara, Hadhari (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Azamudin.


SEIRING dengan perkembangan industri hiburan berlaku sekarang, terdapat begitu banyak program realiti yang diterbitkan saluran televisyen tempatan, terutamanya dalam mencari bakat penghibur. Boleh dikatakan, setiap saluran televisyen yang ada di negara ini seperti berlumba-lumba menerbitkan program realiti, tetapi kebanyakannya lebih kepada berbentuk hiburan semata-mata.

Bagaimanapun, kini sudah ada inisiatif untuk mencari kelainan dengan penerbitan program yang lebih berbentuk keagamaan. Malah, ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.

Sebagai contohnya, stesen televisyen TV3 buat julung-julung kalinya telah menerbitkan sebuah program yang dikenali sebagai Da'i: Pendakwah Milenia yang bermatlamat mencari pendakwah dalam kalangan generasi muda.

Menerusi program sulung itu juga telah menyaksikan peserta wanita, Nor Adibah Rozain dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua pula menjadi milik Mohamad Azamudin Zainal dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Tajdid Hadhari Romli.

Kini, selepas setahun program tersebut berakhir, satu sesi fotografi bersama ketiga-tiga pemenang tersebut telah diaturkan untuk mereka berkongsi cerita pengalaman masing-masing selaku pendakwah.

Menurut Hadhari, 26, penyertaannya dalam program Da'i: Pendakwah Milenia begitu memberi impak kepada dirinya menjadi seorang pendakwah setelah pelbagai jemputan memberi ceramah dan forum di merata-rata tempat.

"Tidak lama selepas menyertai program berkenaan, saya telah berhasil menubuhkan sebuah syarikat konsultan sendiri yang diberi nama Hadhari Consultant & Entrepreneur Enterprise.

"Syarikat saya itu berperanan untuk memberi bimbingan dari sudut jati diri dan sahsiah terutamanya kepada golongan muda. Selain itu, saya turut diberi peluang memberi ceramah kepada beberapa badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan," jelasnya.

Biarpun sudah lama berkecimpung dalam aktiviti dakwah sebelum menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia lagi, Hadhari mengakui, penyertaannya dalam program berkenaan banyak membantunya untuk mendalami tugas-tugas seorang pendakwah.


HADHARI (dua dari kanan) bersama para peserta dalam sebuah program motivasi yang diadakan di UiTM, Shah Alam pada tahun lalu.


Berkongsi cerita tentang dirinya selaku pendakwah muda, pemuda yang kini merupakan pelajar jurusan Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu mendedahkan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapinya.

"Saya pernah berbincang dengan para peserta yang lain dengan memberitahu bahawa perjuangan dalam dakwah ini baru sahaja bermula sebaik sahaja program berkenaan berakhir dahulu.

"Antara cabaran paling utama yang kami lalui ialah penerimaan sebilangan masyarakat umum yang cuba mempertikaikan keupayaan kami untuk menjadi seorang pendakwah serta mempertikaikan kelulusan yang kami ada untuk berdakwah," luahnya.

Kongsi Hadhari lagi, gara-gara kemunculan mereka itu menerusi sebuah program yang berbentuk realiti televisyen, terdapat segelintir pihak yang pernah melabelkan mereka sebagai pendakwah 'mi segera'.

Ujarnya, biar apa pun persepsi yang dilemparkan terhadap mereka sebagai pendakwah muda, ia langsung tidak menjadi penghalang untuk meneruskan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.

"Salah satu langkah yang cuba dilakukan bagi menghadapi cabaran tersebut ialah dengan memberi penerangan bahawa tugas berdakwah itu merupakan tugas setiap individu serta bijak melayani kerenah masyarakat," ujarnya.

AZAM turut berkongsi pelbagai gambar ketika melakukan kerja-kerja dakwah menerusi laman Instagram miliknya.


Pendekatan tersendiri

Bagi peserta yang muncul naib juara, Mohamad Azamudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Azam Al-Kankari, sejak bergelar finalis Da'i: Pendakwah Milenia, dia banyak menerima jemputan memberi ceramah agama di luar bandar dan sekolah.

Ujarnya, program berkenaan membuka peluang yang lebih besar buat dirinya melaksanakan kerja-kerja dakwah serta terbabit dengan beberapa program berbentuk keagamaan di TV3.

"Sebenarnya dalam melaksanakan kerja-kerja perlu menggunakan pendekatan tersendiri. Misalnya, ketika berdakwah kepada golongan muda, masyarakat bandar atau kampung, pastinya ia memerlukan cara yang berbeza, asalkan tidak melanggar syarak.

"Dari segi penampilan pula, ketika melakukan kerja dakwah tidak semestinya seseorang pendakwah itu perlu berjubah atau berkopiah. Saya sendiri lebih selesa dengan penampilan seperti golongan remaja yang lain," jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran yang dilaluinya pula, Azamudin menyatakan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan pasti berhadapan dengan cabaran dan ia bergantung kepada individu itu untuk menghadapinya.

"Antara cabarannya apabila ramai yang tidak yakin dengan golongan pendakwah muda seperti saya untuk kerja-kerja dakwah. Namun begitu, saya anggap segala cabaran itu membuatkan saya lebih bersemangat lagi," ujarnya yang baru mencecah usia 23 tahun.

Memiliki kelulusan Diploma Pendidikan Islam dari Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), dia sempat memberikan pesanan kepada mereka yang ingin menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia yang bakal memasuki musim kedua.

"Kalau ada yang mahu cuba menyertai program berkenaan, pastikan niat paling utama adalah mahu berdakwah dan jangan fokus kepada kemenangan atau populariti. Jika niat itu sekadar mengejar populariti semata-mata, lupakan sahaja hasrat untuk menyertainya," tegasnya.

Pendakwah wanita

Berbeza dengan Hadhari dan Azamudin yang kerap melakukan aktiviti dakwah di merata-rata tempat, juara Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah Rozain memberitahu, dia lebih selesa untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa.

Menjadi salah seorang peserta daripada dua peserta wanita yang bersaing dalam program berkenaan, Adibah, 22, menjelaskan, dia sememangnya mempunyai misi melakukan aktiviti dakwah dalam kalangan pelajar universiti.

"Ketika saya menyertai program ini dahulu, itulah salah satu matlamat utama saya apabila menjadi seorang pendakwah wanita. Pada masa sama, saya ingin menimba lebih banyak lagi ilmu agama.

"Lagipun saya sekarang masih lagi sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), jadi saya memerlukan pengetahuan yang lebih luas lagi," ujarnya yang pernah terbabit dengan beberapa program agama seperti Fiqh Wanita dan Bismillah.

Menjelaskan bahawa kehidupan hariannya lebih banyak di sekitar kampus lantaran kesibukannya sebagai seorang mahasiswa, namun dia kerap terbabit dengan pelbagai aktiviti anjuran universiti.

"Kini saya mengambil sijil dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya untuk mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam lagi. Selain itu, saya turut belajar cara-cara penyampaian dan komunikasi dengan baik kerana ia merupakan elemen yang penting ketika berdakwah," ujarnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Adibah telah meluahkan harapannya supaya lebih ramai pendakwah wanita dapat dibentuk pada masa akan datang kerana sekarang ini tugas melakukan dakwah lebih banyak dipikul oleh golongan lelaki.

Melahirkan pendakwah profesional

Posted:

Melahirkan pendakwah profesional

Melahirkan pendakwah profesional

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


DARI kiri: Shukri, Harryanto dan Sharhan bertindak sebagai juri untuk sesi uji bakat program Da'i: Pendakwah Milenia 2.


SETELAH TV3 berhasil menerbitkan program realiti Da'i: Pendakwah Milenia buat kali pertama pada tahun lalu yang menampilkan Nor Adibah Rozain sebagai juara, kini program berkenaan diteruskan untuk musim yang kedua.

Sudah menjalani proses uji bakat di beberapa buah lokasi sejak 5 Mei lalu dan terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Penerbit Da'i: Pendakwah Milenia 2, Shukri Ibrahim berkata, pada musim yang terbaharu ini pihaknya menjalankan sesi uji bakat di lapan buah lokasi terpilih, berbanding tiga lokasi pada musim terdahulu.

"Melihat kepada sambutan dan penerimaan yang positif untuk program ini, pihak produksi telah memilih lapan buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi uji bakat dalam memperluaskan lagi pencarian peserta yang boleh diketengahkan.

"Kami turut menggunakan khidmat dua nama besar dalam dunia ilmuwan Islam iaitu Ustaz Sharhan Safie dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman yang bertindak sebagai juri untuk memilih peserta yang layak menjadi finalis," ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai keputusan pihak produksi yang memilih IPTA sebagai lokasi uji bakat, Shukri menjelaskan pihaknya berasakan ia satu pilihan yang paling sesuai, berbanding jika ia dilakukan di pusat beli-belah.

Ujarnya, ia bertepatan dengan matlamat utama program ini untuk melahirkan golongan pendakwah profesional yang akan bertindak menyebarkan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat.

"Sebenarnya program ini terbuka kepada sesiapa sahaja dan tidak semestinya perlu ada latar belakang pendidikan agama secara khusus. Asalkan, mereka yang ingin menyertainya berminat menjalankan tugasan sebagai pendakwah.


SALAH seorang peserta sedang menjalani sesi uji bakat yang diadakan di UiTM Shah, Alam baru-baru ini.


"Selain itu, kami berhasrat melahirkan pendakwah yang terdiri daripada golongan profesional. Misalnya, kalau mereka sudah bekerja dalam bidang profesional seperti doktor atau jurutera, mereka juga mampu menjadi pendakwah yang baik," jelasnya.

Menurut Shukri, sepanjang uji bakat dijalankan sambutan daripada peserta yang bukan pelajar aliran agama sangat menggalakkan seperti jurusan sains sukan, komunikasi, dan kejuruteraan kimia. Malah, ada antara mereka yang menepati ciri-ciri seorang pendakwah.

"Tidak dinafikan ada peserta yang berpotensi ini sudah memiliki pengetahuan agama yang sangat baik, tetapi mereka mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang profesional atas permintaan keluarga.

"Menerusi program realiti keagamaan Da'i: Pendakwah Milenia 2 ini, sudah tentu ia mampu menjadi platform terbaik untuk mengembangkan kebolehan mereka menjadi pendakwah," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan lebih ramai golongan profesional mampu menjadi pendakwah.

Berkenaan dengan konsep pertandingan untuk musim baharu, Shukri memberitahu, terdapat beberapa perbezaan yang terpaksa dihadapi oleh bakal peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir nanti.

Berbeza dengan musim pertama yang lebih menjurus kepada tugasan berbentuk praktikal dan berkumpulan, Da'i: Pendakwah Milenia 2 pula akan lebih memberi tumpuan kepada kebolehan individu.

"Kami ingin mencari peserta yang mampu menyampaikan ceramah, tazkirah dan motivasi dengan baik. Selain itu, mereka akan diterapkan dengan elemen moden serta kemampuan menggunakan teknologi moden seperti aplikasi Power Point," jelasnya.

Ubah persepsi

Salah seorang juri untuk sesi uji bakat, Harryanto yang turut ditemui berkata, menerusi program realiti keagamaan seperti Da'i: Pendakwah Milenia 2, ia mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap tugasan seorang pendakwah.

Ujarnya, selama ini selalu timbul persepsi yang salah tentang tugas untuk berdakwah apabila ramai yang beranggapan bahawa berdakwah hanya dilakukan oleh golongan ulama sahaja.

"Sebenarnya terdapat perbezaan antara pendakwah dan ulama. Setiap orang boleh menjadi pendakwah, manakala untuk menjadi ulama pula dilihat kepada kepakaran dalam cabang ilmu yang tertentu.

"Jadi, antara salah satu sebab utama saya bersetuju dan tertarik untuk terlibat dalam program ini kerana saya percaya persepsi hanya golongan ulama atau ustaz yang boleh menjadi pendakwah dapat diubah," ujarnya.

Program Da'i : Pendakwah Milenia 2 yang akan berlangsung pada bulan Ogos ini bakal menampilkan pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor sebagai pengacara. Seramai lapan finalis yang akan terpilih untuk merebut gelaran juara yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Sierra Leone kaya dengan gamat

Posted:

Sierra Leone kaya dengan gamat

Sierra Leone kaya dengan gamat


GAMAT merupakan salah satu komoditi berharga di Sierra Leone.


KETIKA senja berlabuh di kaki langit Kepulauan Banana di Sierra Leone, kawanan beribu ekor kelawar turut keluar berterbangan di pantai berhampiran Kampung Dublin.

Dalam pada itu, di dasar laut Kepulauan Banana pula, tersembunyi komoditi yang tidak disangka-sangka oleh penduduk Kampung Dublin dan harganya semakin meningkat mahal iaitu gamat.

Sierra Leone memiliki pelbagai sumber yang diketahui boleh menjana kekayaan seperti emas, berlian, bijih besi dan hasil perikanan.

Sumber-sumber berkenaan juga dieksport dalam kuantiti besar sejak beberapa dekad lalu, namun negara berkenaan masih kekal sebagai antara termiskin di dunia.

Pada ketika masyarakat di China memanfaatkan gamat untuk tujuan perubatan, penduduk Kepulauan Banana sebelum ini pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai potensi pasaran hidupan laut itu.

Permintaan tinggi masyarakat China terhadap gamat sehingga 10,000 metrik tan setiap tahun menyebabkan bilangan hidupan marin itu semakin merosot.

Kekurangan bekalan di negara-negara pengeluar sedia ada memaksa para pelabur terus menyelidik untuk mencari stok gamat di lokasi lain di seluruh dunia.

Penduduk tempatan memberitahu, beberapa pelabur dari China tiba ke Kepulauan Banana empat tahun lalu untuk mendapatkan bekalan gamat.

Apabila harga gamat melambung ketika kekurangan bekalan di seluruh dunia, penduduk kepulauan itu berharap ia memberi peluang kepada mereka untuk meraih untung.

Janji

Malah, para pelabur berkenaan dikatakan turut memberi janji untuk menyediakan pelbagai kemudahan di sekitar Kepulauan Banana jika dapat membekalkan gamat kepada mereka.


KEKURANGAN modal menyebabkan pencari gamat tempatan tidak berdaya saing.


Bekas ketua penduduk, Moses Taylor bagaimanapun mendakwa, janji tersebut masih belum ditunaikan oleh para pelabur.

"Mereka janji mahu membina pengepam air, memasang lampu jalan dan membina pusat komuniti di sini, tetapi tiada satu pun yang ditunaikan," kata Taylor.

"Para pelabur itu hanya mempergunakan kami dan kemudian membuang kami seperti sampah," ujar Abu Bakar yang bekerja sebagai pencari gamat.

Abu Bakar menjadi penyelam gamat sejak beberapa tahun lalu dan menjual hasil tangkapan kepada pelabur China sehingga dia mampu melabur dalam sektor hartanah di Sierra Leone.

"Kami bersyukur kerana hasil gamat telah membantu kami memperbaiki taraf hidup," kata Abu Bakar.

Lelaki berumur sekitar 20-an itu menambah, kegiatan menyelam untuk mencari gamat perlu dilakukan ketika gelap kerana hidupan laut itu bersembunyi pada siang hari.

Bagaimanapun, ekoran masalah tersebut, penduduk tempatan tidak lagi menyelam ke dasar laut untuk mendapatkan gamat.

Sekiranya mahu mereka mendapatkan gamat, para pelabur berkenaan perlu membuat bayaran tertunggak sebelum para penyelam meneruskan kegiatan mencari gamat.

Pengedar gamat, Reginald McCarthy berkata, syarat tersebut masih diabaikan oleh para pelabur dan mereka juga enggan berbincang bersama penduduk tempatan.

Para pelabur China kini menjalankan kegiatan mendapatkan bekalan gamat di Kampung Tombo yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Dublin.

Pengeksport gamat tempatan, Mohamed Bangura memberitahu, pihaknya turut dituduh oleh penduduk Kepulauan Banana disebabkan janji-janji itu.

Eksport

Bapa beliau merupakan salah seorang pengeksport gamat yang terawal di Sierra Leone yang mengambil bekalan di Kepulauan Banana sejak beberapa tahun lalu.


GAMAT yang ditangkap akan direbus bersama air garam sebelum dijual pada harga RM120 untuk setiap tujuh kilogram.


"Kami tidak pernah membuat janji atau melanggar sebarang syarat," kata Mohamed menepis semua tuduhan tidak berasas tersebut.

Mohamed menambah, ketiadaan akses untuk memasarkan sendiri gamat ke pasaran antarabangsa serta kekurangan modal menyebabkan pencari gamat tempatan tidak berdaya saing.

Menyelam dengan peralatan skuba untuk mendapatkan gamat menjanjikan pendapatan lumayan berbanding melakukan pekerjaan sebagai nelayan.

Musim menangkap gamat di Sierra Leone bergantung kepada kitaran bulan penuh. Di samping menggunakan lampu suluh, cahaya bulan membantu para penyelam melihat dengan lebih baik ketika berada di dalam laut.

Gamat yang ditangkap kemudian direbus bersama air garam untuk disimpan sebelum dijual kepada para pembeli dari China melalui pemborong tempatan.

Setiap tujuh kilogram gamat dijual pada harga AS$35 (RM120), namun jumlah tepat hasil jualan gamat di Kepulauan Banana tidak pernah direkodkan.

Penyelidik di Jabatan Pentadbiran Marin dan Sains Alam Sekitar Universiti Newcastle, Selina Stead berkata, hasil gamat di Kepulauan Banana dihantar ke pasaran borong di Guangzhou dan dijual pada RM455 sekilogram.

Kerajaan Sierra Leone berkata, pengeluaran eksport gamat di negara itu semakin bertambah serta menunjukkan penanda aras ekonomi yang positif dan membanggakan.

Berdasarkan laporan Bank Dunia, hasil eksport menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sierra Leone sebanyak 15.2 peratus pada 2012 dan dijangka mengalami penurunan kepada 14 peratus sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, China menjadi penyumbang utama terhadap perkembangan ekonomi yang semakin rancak di Sierra Leone melibatkan nilai dagangan sebanyak RM6.8 bilion. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved