Jumaat, 23 Mei 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Renang bantu tingkat keyakinan

Posted:

Renang bantu tingkat keyakinan

Renang bantu tingkat keyakinan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

GELAGAT sekumpulan kanak-kanak yang mengikuti latihan renang intensif di sebuah rumah banglo di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor baru-baru ini membuatkan hati terhibur melihatnya.

Pelbagai gaya dan mimik muka yang dipamerkan anak-anak kecil itu secara tidak langsung menunjukkan keberanian masing-masing apabila berada di dalam air.

Ada yang tersenyum dan ketawa bermain di gigi air. Tidak kurang, ada yang menangis memanggil-manggil nama ibunya apabila disuruh terjun ke dalam kolam.

Bagaimanapun, aksi seorang kanak-kanak lelaki yang disahkan menghidap penyakit global development delay belajar berenang menggamit pandangan untuk menumpukan perhatian ke arahnya.

Meskipun tidak normal seperti kanak-kanak lain, namun Derek Lee Wei Hong, 6, kelihatan bersungguh-sungguh memenuhi arahan jurulatihnya.

"Angkat kaki kamu dan gerak-gerakkannya Derek. Tarik nafas perlahan-lahan. Ya, bagus Derek. Kamu boleh lakukannya," kedengaran suara jurulatih, Lester Lee Choon Weng, 19, yang mengendalikan kelas tersebut.

Bagi Leow Siew Kim, 39, sejak menghantar Derek mengikuti latihan renang di Aquamas Sport Education, banyak perubahan dapat dilihat terhadap perkembangan anak bongsunya itu.

"Selepas beberapa sesi latihan, tahap keyakinan diri anak saya semakin meningkat. Dia tidak lagi takut ketika berada dalam air seperti awalnya. Malah, dia juga sudah pandai berenang," ujar Siew Kim yang turut menghantar tiga lagi anaknya mengikuti kelas renang di sana.

Tambah surirumah itu lagi, sewaktu mula-mula belajar berenang, Derek menangis ketakutan. Tetapi lama-kelamaan, dia semakin dapat menyesuaikan diri.

"Saya percaya kelas sebegini satu program yang bagus untuk mendidik anak-anak terutama yang mempunyai masalah membina perkembangan diri.


KELAS renang untuk golongan veteran turut ditawarkan di Aquamas Sport Education.


"Ini kerana sukan renang menggunakan otak kiri di samping memerlukan pergerakan semua otot yang baik untuk fizikal manusia," kata Siew Kim yang berterima kasih kepada jurulatih kerana berjaya mendisiplinkan anak-anaknya.

Mula beroperasi di Taman Kajang Mewah sejak awal tahun 2013, penubuhan Aquamas Sport Education menyasarkan untuk mendidik pelajarnya mengenai kepentingan sukan dalam kehidupan.

Ia bukan sekadar mengajar teknik-teknik berenang, bahkan menjadikan para pelajar lebih memahami peranan sukan atau aktiviti fizikal dalam rutin harian masing-masing.

Terapi renang

Pengarah Urusan Aquamas Sport Eduction, Ivan Ng, 32, memberitahu, kebanyakan ibu bapa sekarang lebih cenderung kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Kalau kita lihat situasi hari ini, ramai anak-anak remaja sentiasa tertekan, kurang disiplin, gemar menyendiri dan mempunyai antibodi yang lemah. Semua ini berpunca daripada tekanan akademik, penggunaan gajet canggih yang keterlaluan, ibu bapa tidak bersama dengan anak-anak dan kurang menjalani aktiviti riadah

"Sebagai contoh, setiap minggu kita mempunyai 168 jam masa yang diberikan oleh Tuhan, tetapi untuk bersukan satu jam pun susah. Jadi, hidup kita tidak ada keseimbangan," terang Ivan yang memiliki Sijil Kejurulatihan Tahap 1 Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Sijil Kejurulatihan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Menurut Ivan, pihaknya menggunakan konsep sukan untuk menerangkan tentang pendidikan. Oleh sebab itulah, mereka memilih slogan yang berbunyi Let's Sports be an Education.

"Kejayaan dalam akademik tidak bermaksud kita akan berjaya dalam pendidikan. Namun, di dalam apa-apa sukan sekali pun, terdapat banyak nilai positif yang boleh dipelajari.


AKTIVITI dalam sukan renang yang melibatkan penggunaan seluruh anggota badan sangat bagus untuk perkembangan fizikal kanak-kanak.


"Ia bukan sekadar teknik tetapi mengajar kita cara mendisiplinkan diri, mempunyai hati yang kental dan semangat tidak mudah mengalah," jelas beliau yang mengakui sukan mampu memupuk nilai kehidupan yang tinggi.

Justeru, Ivan tidak teragak-agak mengajar kedua-dua anaknya, Aincy Ng, 4, dan Griffin Ng, 2, berenang sejak mereka kecil untuk meningkatkan keyakinan diri.

"Pada usia tiga minggu selepas dilahirkan, saya sudah membawa mereka masuk ke dalam kolam renang. Kini, saya gembira melihat keberanian Aincy dan Griffin berenang seperti orang dewasa," ungkap Ivan sambil tersenyum melihat keletah dua permata hatinya itu.

Mengulas mengenai pengambilan pelajar pula, Ivan menegaskan mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga warga emas.

Terdapat enam orang jurulatih yang bertanggungjawab mengendalikan kelas renang yang diadakan setiap hari mengikut pilihan pelajar.

Takut air

Dalam pada itu, Lester berkata, bagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun, mereka akan memberi tumpuan terhadap teknik renang kuak dada bagi yang tidak takut air. Tetapi, bagi yang masih takut-takut, mereka memilih menggunakan teknik gaya bebas.

"Sepanjang tujuh tahun terlibat dalam sukan renang, bagi saya cabaran paling besar ialah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak kerana adakalanya mereka agak beremosi.

"Kita perlu tahu cara terbaik untuk memujuk mereka memberanikan diri terjun ke dalam kolam. Mula-mula memang mereka akan menjerit, namun percayalah mereka akan belajar dengan cepat," tutur Lester yang merupakan bekas anak murid Ivan.

GAYA Aincy (kanan) dan Griffin sewaktu menunggu sesi latihan mereka.


Sementara itu, Tan Chew Hee, 66, yang telah hampir dua bulan menyertai kelas renang di sini mengakui, banyak perubahan yang dirasai dalam aspek kesihatan diri.

Dahulu, beliau sering sakit pinggang, belakang dan kaki serta mempunyai tahap kolesterol dalam badan yang tinggi.

"Selepas mengikuti kelas ini, kesakitan yang dirasai semakin berkurangan. Malah, tahap kesihatan saya bertambah baik," luahnya yang mengambil pakej untuk kelas dua kali seminggu selama satu jam bagi setiap sesi.

Bagi mereka yang berminat menyertai kelas renang ini, terdapat pakej istimewa yang ditawarkan pada harga RM270 untuk 12 sesi diikuti bayaran pendaftaran sebanyak RM25.

Riadah bersama ahli keluarga

Posted:

Riadah bersama ahli keluarga

Riadah bersama ahli keluarga

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

SEORANG kanak-kanak cuba memindahkan getah menggunakan penyedut minuman di mulut.


TERLIHAT jari-jari kecil bersungguh-sungguh melipatkan hujung penyedut minuman agar membengkok ke atas sambil mengepitkannya di bibir masing-masing.

Siap sedia, kanak-kanak mula terkinja-kinja dek terlalu teruja menunggu kiraan oleh fasilitator bagi memulakan salah satu acara permainan sukaneka, kumpul getah yang berlangsung di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur.

Sebaik bermula, kawasan lapang yang terletak di tengah-tengah bangunan kuliah itu riuh dengan gelak-tawa kanak-kanak dan sokongan sorakan daripada ibu bapa yang hadir.

Selesai acara mengemut penyedut minuman di mulut, kanak-kanak diberi arahan baharu untuk menjayakan permainan mencari duit syiling di dalam air sabun.

Seorang demi seorang peserta menyingsing lengan baju apabila giliran mencari semakin hampir.

Acara sukaneka yang berlangsung lebih 30 minit itu silih berganti dengan pelbagai jenis permainan yang mengujakan kanak-kanak dari prasekolah hingga sekolah rendah.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Agama Kafa Pantai Dalam dan Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras.

Selain acara sukaneka, program Kids for Kids turut menyelitkan aktiviti persembahan pakaian dan mewarna. Program itu telah disertai lebih 100 orang kanak-kanak yang hadir bersama penjaga masing-masing.

Ibu kepada salah seorang peserta, Siti Fatimah Yusoh, 35, berkata, penganjuran aktiviti riadah bersama keluarga pada hari cuti umum itu amat dinanti-nantikan.

Kongsinya, pada setiap hujung minggu anak tunggalnya, Nur Auni Atiqah Abd. Rahim, 10, akan sibuk dengan kelas tuisyen dan latihan tae kwan do. Justeru, kesempatan pada hari cuti umum itu antara yang diharapkan dapat diisi dengan melakukan sebarang aktiviti bersama Auni.

"Saya menerima jemputan melalui pihak sekolah dan terus bersetuju untuk turut terlibat. Ini juga merupakan kali pertama kami menyertai program kekeluargaan.

"Sejak pukul 7 pagi Auni telah bersiap-sedia dengan pakaian sukannya dan sangat teruja untuk menyertai aktiviti tersebut," jelas suri rumah ini yang menetap di Pantai Dalam.


PROGRAM Kids for Kids yang dijalankan pada cuti umum berjaya mengumpulkan lebih 100 kanak-kanak dari kawasan sekitar Universiti Malaya.


Siti Fatimah juga berharap aktiviti seumpama dapat diperbanyakkan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja dapat memberikan kenangan manis dalam diari kanak-kanak yang membesar, tetapi mengukuhkan lagi pertalian sesama ahli keluarga.

Program amal

Menurut Pensyarah Kanan fakulti berkenaan, Dr. Abd. Razak Zakaria, acara tersebut merupakan program amal Kids for Kids yang dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

"Program ini dilaksanakan oleh para pelajar di bawah subjek kursus Sosiologi Persekolahan yang membawa 20 peratus daripada markah keseluruhan.

"Sebelum ini beberapa pembentangan telah dilakukan untuk memilih program terbaik dan Kids for Kids merupakan keputusan akhir yang dapat memberi pendedahan sebenar kepada mereka dalam menangani pelajar sekolah," jelasnya ketika ditemui.

Tambahnya, selain untuk mendapat markah tugasan, acara itu turut memberi peluang kepada ibu bapa mengeratkan hubungan dengan anak-anak selain menyalurkan dana kepada rumah kebajikan yang terpilih.

Dalam pada itu, selaku pengarah program, Ahmad Fakhruddin Ramli, 23, berkata, sambutan menggalakkan yang diterima memberi gambaran tentang usaha ibu bapa untuk menjadikan masa lapang mereka lebih berkualiti bersama anak-anak, terutama ketika cuti umum.

"Sebaik pendaftaran dibuka pada pukul 8 pagi, ramai ibu bapa hadir membawa anak masing-masing bagi mengisi masa cuti umum sempena Hari Wesak.

"Kami tidak sangka kehadiran pada hari ini sangat memberangsangkan kerana semasa memberikan jemputan hanya segelintir ibu bapa yang membalas untuk hadir," jelasnya.

Matikan sel kanser tanpa pembedahan

Posted:

Matikan sel kanser tanpa pembedahan

Matikan sel kanser tanpa pembedahan

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK


TUBUH pesakit akan diimbas terlebih dahulu bagi mengetahui kedudukan ketumbuhan.


BERBARING secara santai sambil menutup mata untuk tempoh kira-kira 30 minit dan apabila sudah selesai, penyakit kanser atau ketumbuhan yang dihidapi lenyap daripada tubuh pesakit.

Gambaran itu umpama dalam filem sains fiksyen kerana mustahil untuk mematikan sel kanser dengan sekadar berbaring dalam setengah jam tanpa menjalani pembedahan.

Selain itu, tiada peralatan seperti pisau atau gunting digunakan bagi membedah tubuh pesakit seperti kaedah konvensional. Malah, tiada ubat bius digunakan sepanjang prosedur itu.

Namun, kecanggihan teknologi sedemikian bukan lagi sekadar khayalan. Melalui teknologi Cyber Knife, sel-sel barah boleh dimatikan dalam tempoh berkenaan tanpa melakukan pembedahan ke atas pesakit.

Pengarah Perubatan Cyber Knife Eropah di Munich, Jerman, Prof. Dr. Alexander Muacevic berkata, prosedur radiosurgeri tersebut sudah dilakukan sejak sedekad lalu di Amerika Syarikat dan Eropah.

Ujar beliau, kaedah tersebut juga diperkenalkan di Asia Tenggara sejak tahun 2005. Ia berjaya merawat lebih 1,000 pesakit yang menghidap ketumbuhan kecil daripada jenis kanser serta masalah saraf bukan kanser.

Tambah Muacevic, kadar pemulihan menerusi kaedah tersebut juga tinggi berbanding prosedur biasa yang melibatkan beberapa siri pembedahan yang lazimnya mengambil masa berjam-jam.

"Kebanyakan pesakit meluahkan rasa tidak percaya terhadap kaedah ini kerana mereka hanya perlu berbaring sesingkat 30 minit seperti tiada apa yang berlaku.

"Berdasarkan rekod, kejayaan untuk sembuh melalui kaedah ini adalah 90 peratus berbanding pembedahan biasa," kata beliau pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kesan kedudukan

Prosedur sistem radiosurgeri robotik Cyber Knife tidak melibatkan pembedahan organ tubuh yang mempunyai sel-sel kanser atau lain-lain ketumbuhan bukan jenis kanser.

Ia dibangunkan menerusi alat pemancar sinar radiasi Linear Accelarator yang dipasang pada mesin robotik. Sinar radiasi dihala kepada tumor yang terdapat pada organ seperti otak, paru-paru, tulang belakang, prostat, hati, pankreas, payu dara serta tisu-tisu lembut lain.

Dalam pada itu, mesin robotik hasil pencapaian teknologi Jerman berkenaan juga dibangunkan untuk mengesan kedudukan, saiz dan usia tumor sebelum menentukan kadar radiasi diperlukan bagi mematikan ketumbuhan.

MESIN Cyber Knife berbentuk seperti katil bagi membolehkan pesakit berbaring semasa rawatan.


Kadar radiasi dipancar ke bahagian tubuh juga dilakukan secara tepat untuk memastikan ia tidak menjejaskan tisu-tisu sihat di sekitar organ yang terjejas akibat ketumbuhan atau kanser.

Tidak seperti kaedah rawatan sinar radiasi lain yang memerlukan pesakit mengawal pernafasan serta meminimumkan pergerakan melalui pemasangan frem besi bersama skru di kepala, penghidap barah boleh bergerak bebas semasa menjalani prosedur Cyber Knife dalam keadaan baring.

"Bagaimanapun, kaedah ini hanya sesuai bagi pesakit kanser yang mengalami ketumbuhan kecil antara dua hingga lima sentimeter dan masih pada peringkat awal," tambah Muacevic.

Mengambil kes di Jerman, Muacevic menjelaskan, seorang wanita warga emas penghidap kanser tahap akhir turut menunjukkan perubahan positif selepas menjalani prosedur tersebut.

Muacevic memberitahu, walaupun sudah diberitahu mengenai kemampuan kaedah tersebut yang hanya berkesan bagi merawat ketumbuhan kecil peringkat awal, wanita tersebut masih mahu mencuba.

Perubahan

"Selepas sehari, keupayaan menggerakkan tangan dan beberapa anggota tubuh pesakit itu lebih kuat serta stabil berbanding sebelum rawatan.

"Meskipun kaedah ini tidak mampu menyembuhkan kanser tahap empat, ia masih memberi perubahan positif kepada pesakit wanita itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan pesakit selepas rawatan, Muacevic menjelaskan, sebanyak 70 peratus penghidap kanser tidak mengalami kesan sampingan yang melibatkan sakit kepala atau kepeningan sepanjang hari.

Pensyarah di Universiti Hospital Munich itu menambah, Cyber Knife turut diaplikasi untuk merawat masalah gangguan saraf otak dan tunjang yang menyebabkan kulit atau tubuh berasa panas seperti terbakar.

"Bagi menjalani prosedur tanpa pembedahan ini, kanser perlu dikesan pada peringkat awal dan ia adalah sebaik-baik permulaan langkah rawatan," ujar Presiden Persatuan Radiosurgeri Antarabangsa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved