Jumaat, 9 Mei 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Inspirasi 90 tahun binaan motosikal

Posted:

Inspirasi 90 tahun binaan motosikal

Inspirasi 90 tahun binaan motosikal

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

SETELAH sembilan dekad tenggelam timbul dalam industri motosikal global, BMW Motorrad memutuskan satu rancangan untuk meraikan sambutan ulang tahun kewujudannya dengan memperkenalkan sebuah model baharu.

Motosikal baharu itu bukan sahaja direka untuk mengaut keuntungan daripada para pembeli tetapi sebagai satu produk yang mencerminkan warisan dan perjalanan syarikat jenama Jerman itu sepanjang tempoh 90 tahun lalu. Model itu ialah BMW R nineT.

Umum diketahui, rangkaian motosikal BMW Motorrad lebih menayangkan inovasi teknologi termaju sehinggakan ia tampak terlalu kompleks. Tanpa disedari, ia sedikit sebanyak melunturkan emosi tunggangan sebuah motosikal bagi sesetengah individu.

Senarionya berbeza dengan kemunculan BMW R nineT. Model baharu itu jelas menyimpang daripada rekaan konvensional BMW Motorrad sebelum ini. Ia seolah-olah mahu merangsang hormon dalam tubuh dan emosi penunggang melalui kepuasan tunggangan berprestasi menerusi sebuah model motosikal klasik.

Warisan 90 tahun

Diperkenalkan pada satu majlis khas di BMW Museum di Munich, Jerman tahun lalu, BMW R nineT mencerminkan hubungan rapat dengan motosikal pertama BMW Motorrad iaitu BMW R 32 yang tampil ke pasaran sekitar tahun 1923. Malah kedua-dua model itu berkongsi beberapa ciri yang pastinya menggamit memori bagi peminat setia jenama BMW.

Berbekalkan imej retro, motosikal itu ada keistimewaan tersendiri. Pemilik boleh melakukan beberapa transformasi untuk mengubah motosikal klasik itu melalui tawaran beberapa komponen daripada BMW Motorrad. BMW R nineT boleh bertukar rupa kepada sebuah cafe racer dengan hanya membuka dan memasang semula beberapa butir skru.

Pengguna turut diberikan opsyen untuk menaik taraf sistem ekzos sedia ada kepada jenama Akrapovic (perendam). Tidak cukup dengan itu, kedudukan perendam ekzos boleh diposisikan kepada dua peringkat sama ada tinggi atau rendah dengan hanya menukar paip penyambung ekzos mengikut selera masing-masing.

BMW R nineT tampil kemas hasil kebijaksanaan pasukan jurutera Jerman memberi padanan lampu berbentuk bulat, saiz tangki minyak kompak dan gayaan ekor roadster klasik yang nipis.

Nampak gaya, bukan semua komponen yang digunakan itu ialah produk baharu. Ada juga barang yang dikitar semula daripada model-model motosikal BMW Motorrad sebelum ini.

Wajah hadapan roadster klasik itu kelihatan lebih anggun hasil bantuan fork teleskopik jenis terbalik yang disadur dengan warna emas daripada model S 1000RR.


BMW Motorrad mahu mengembalikan keseronokan tunggangan menerusi jentera klasik bagi memperingati warisan sebenar syarikat itu.


Pandangan hadapan juga memperlihatkan dua unit kepala silinder sedikit terkeluar masing-masing pada bahagian kiri dan kanan jentera. Enjin itu ialah unit yang pernah digunakan pada model R1200GS.

Enjin boxer BMW sememangnya terkenal dengan daya ketahanan tinggi dan membekalkan kuasa tork yang boleh dikelaskan sebagai mengagumkan.

Enjin BMW R nineT yang bersesaran 1,170cc dilengkapi sistem penyejukan udara dan minyak mampu meledakkan kuasa sebanyak 110hp pada pusingan enjin seminit 7,550rpm. Tork puncak dinikmati ialah 119 Nm @ 6,000rpm.

Bagi merealisasikan karakter tunggangan dinamik, transmisi enam kelajuan diberi talaan baharu iaitu nisbah transmisi sekunder dan pinan disingkatkan untuk memastikan daya kuasa pecutan maksimum dinikmati selain penukaran gear yang lebih lancar. Kuasa gerakan itu kemudiannya dipindahkan ke roda belakang dengan bantuan aci pacu Kardan.

Imbangan bahagian belakang BMW R nineT melibatkan dua komponen utama iaitu sistem penyerap hentak dan lengan ayun tunggal. Pemasangan kedua-dua bahagian itu membuatkan paparan belakang agak lompong namun tetapi kemas.

Sungguhpun begitu, pengguna tidak perlu rasa bimbang kerana geometri casis BMW R nineT dikonfigurasi bagi memastikan kualiti pengendalian dan keseronokan tunggangan dapat dinikmati sebaik mungkin.


BAHAGIAN belakang model R nineT kelihatan sedikit lompong.


Anda juga boleh menanggalkan kerangka pada bahagian belakang untuk mengubah suai penampilan motosikal roadster itu agar tampak lebih sporty.

Paparan maklumat dipamerkan menerusi set instrumen meter jenis analog dan digital yang kelihatan kelihatan hampir sama seperti yang ada pada model R 1200R.

Instrumen meter itu merangkumi dua unit meter analog bulat iaitu speedometer dan pusingan enjin seminit serta sebuah skirn digital yang mempamerkan maklumat semasa tetapan gear, jarak perbatuan, kelajuan purata dan kadar penggunaan bahan api semasa.

Untuk mengukuhkan penampilan tradisional, BMW R nineT mengaplikasi penggunaan rim aloi yang bersambung dengan hab aluminium menerusi ikatan jejari lidi besi tahan karat.

Madgad bahagian hadapan pula diapit oleh dua unit pendakap tempaan pada bahagian bawah fork. Kedua-dua roda itu didatangkan bersama sistem brek cakera berkembar yang menggalas tugas mengawal tindak balas memberhentikan jentera atau memperlahankannya.

Apabila tuil brek digunakan, ia menggerakkan empat omboh yang berada dalam angkup brek monoblok radial untuk menggerakkan pad bertemu cakera brek berukuran 320 milimeter (mm) pada bahagian hadapan.

Ukuran saiz brek cakera roda belakang ialah 265mm bersama angkup dwiomboh. Kecemerlangan membrek dibantu dengan padanan teknologi sistem brek antikunci BMW Motorrad ABS.

Mengulas mengenai objektif membawa masuk BMW R nineT ke Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils menyifatkan ia sebagai memenuhi kehendak peminat tegar motosikal yang mengejar erti keseronokan tunggangan.

Malah dia cukup optimis bahawa produk terbaharu BMW Motorrad itu mampu memacu prestasi jualan motosikal di Malaysia. BMW R nineT dijual pada harga runcit atas jalan sebanyak RM115,800 seunit dan itu belum termasuk insurans.

Komponen-komponen opsyen pula dijual secara berasingan pada harga serendah RM171 sehingga RM2,257 setiap satu.

Cumanya, tag harga itu agak membebankan dan mampu membantutkan penerimaan model BMW R nineT dalam pasaran domestik. Jangan lupa, ada model-model motosikal klasik dan retro premium dalam pasaran yang lebih mampu milik.

Bagaimanapun, masing-masing ada kelebihan sendiri. Terpulang pada cara anda menilainya.

UMW Toyota luaskan pendedahan program Toyota Traffic Tots

Posted:

UMW Toyota luaskan pendedahan program Toyota Traffic Tots

UMW Toyota luaskan pendedahan program Toyota Traffic Tots


ISMET memerhatikan seorang kanak-kanak melekatkan papan tanda jalan ketika program Toyota Traffic Tots di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) mengumumkan penambahan sebanyak 10 buah sekolah baharu dalam program Toyota Traffic Tots baru-baru ini. Toyota Traffic Tots diperkenalkan sebagai satu usaha memberi pendedahan dan pengetahuan keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak prasekolah.

Program itu telah dilancarkan pada tahun 2012 diadakan bersama Smart Reader Worldwide dan berjaya menyalurkan pelbagai tip keselamatan dan maklumat berguna kepada lebih daripada 4,000 kanak-kanak di seluruh negara.

Presiden UMW Toyota, Datuk Ismet Suki berkata, program yang mendapat sokongan Jabatan Keselamatan Jalan Raya itu dilanjutkan kepada 10 buah sekolah baharu agar lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pelajaran keselamatan jalan raya.

"Sebagai sebuah syarikat pembuat kereta, keselamatan jalan raya masih topik yang sangat dekat di hati kami. Kami gembira kerana program ini dapat memberi manfaat dan kesan kepada setiap pelajar yang menyertainya," katanya.

Program Toyota Trafik Tots adalah salah satu daripada tanggungjawab korporat sosial UMW Toyota.

Selain itu, syarikat automotif itu juga menganjurkan program Toyota Eco-Youth yang melibatkan belia dalam memupuk kesedaran alam sekitar.

Chevron ulangi kemenangan anugerah Putra Brand 2014

Posted:

Chevron ulangi kemenangan anugerah Putra Brand 2014

Chevron ulangi kemenangan anugerah Putra Brand 2014


PENGURUS Pemasaran Jenama Chevron, Uzma Nawawi (lima dari kanan) bersama wakil syarikat meraikan kemenangan pada majlis penganugerahan Putra Brand 2014 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SYARIKAT Chevron Malaysia Limited (Chevron) selaku pengedar jenama bahan api Caltex baru-baru ini mengulangi kejayaan apabila memenangi anugerah gangsa bagi kategori Bahan Api dan Pelincir menerusi Majlis Penganugerahan Putra Brand 2014 di ibu negara.

Sebelum ini, Chevron berjaya menggondol anugerah berprestij itu pada tahun 2011 dan perasaan bangga itu kembali menyelinap dalam kakitangan Chevron.

"Kami gembira apabila pengguna mengenali jenama dan memberi kepercayaan terhadap keupayaan jenama produk Caltex," kata Pengerusi Negara Chevron Malaysia, Jeremy Oh dalam satu kenyataan di ibu negara baru-baru ini.

Dia turut menyatakan syarikat akan meneruskan komitmen memenuhi keperluan para pengguna dan membawa inovasi baharu dalam pasaran tempatan.

"Anugerah ini merupakan satu testimoni terhadap kerja keras dan usaha berterusan daripada Chevron dan rakan kongsi kami dalam menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan," katanya.

Para pemenang anugerah itu ditentukan menerusi satu kaji selidik berkaitan aspek kesedaran jenama, jenama pertumbuhan, jenama berkaitan dan keyakinan jenama.

Kaji selidik itu dijalankan oleh Pulse dan melibatkan seramai 6,000 orang responden.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved