Rabu, 21 Mei 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tradisi masyarakat Amerika Latin

Posted:

Tradisi masyarakat Amerika Latin

Tradisi masyarakat Amerika Latin

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my

KEJOHANAN bola sepak Piala Dunia yang akan diadakan di Brazil pada pertengahan Jun hingga Julai nanti dihangatkan dengan kemeriahan Festival Amerika Latin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Festival yang diadakan di BB Park dekat Plaza Low Yat, Bukit Bintang itu disertai rakyat dari benua Amerika Selatan yang berada di Malaysia serta wakil-wakil kedutaan termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Chile, Colombia, Uruguay, Ecuador, Cuba dan Venezuela.

Antara aktiviti yang diadakan ialah persembahan tarian kebudayaan Latin, nyanyian dan jualan pelbagai produk seperti pakaian, aksesori serta variasi makanan tradisional masyarakat di negara-negara terlibat.

Sambutan satu hari dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hotel Federal dan Plaza Low Yat pada 18 Mei lalu itu dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung termasuk rakyat tempatan.

Penjawat awam yang juga pengunjung tempatan, Paris Nurashikin Mohamad Supian, 28, berkata, dia hadir ke festival tersebut kerana meminati budaya masyarakat Amerika Latin.

"Sejak beberapa tahun lalu, banyak program telenovela dari negara Amerika Latin ditayang di televisyen tempatan. Ia juga menarik minat dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap budaya Latin.

"Budaya Latin seperti muzik dan drama televisyen sangat dekat dengan masyarakat kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu gigih memperkenalkan budaya kita kepada dunia seperti yang dilakukan masyarakat Latin," katanya.

Makanan tradisional masyarakat Latin yang dijual di festival tersebut turut menjadi tumpuan pengunjung.

Antara makanan tersebut ialah manisan alfajores atau biskut mentega jagung dari Argentina, arroz con coco (puding nasi dengan kelapa) dari Mexico dan roti labu goreng.

PEMBUAT curut yang berpengalaman lebih 50 tahun dari Cuba, Crisanto Cardenas turut mencuri tumpuan ramai ketika Festival Amerika Latin di Bukit Bintang.


Malah, para pengunjung juga diberi peluang merasai keenakan setiap makanan tradisional tersebut sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Selain meriah dengan kegiatan mempromosikan makanan dan produk pelancongan yang terdapat di negara masing-masing, terdapat juga wanita serta kanak-kanak mengenakan pakaian tradisional.

Para wanita dan kanak-kanak berkenaan juga gigih memperkenalkan negara dan budaya tradisional mereka kepada para pengunjung walaupun kurang fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Di gerai-gerai kedutaan pula, pengunjung boleh membeli pelbagai cenderamata seperti rantai kunci, gelang tangan, sulaman manik dan topi jerami buatan tangan yang dibawa masuk dari negara-negara berkenaan.

Turut dipromosikan ialah destinasi pelancongan terkenal di benua itu seperti kota lama Machu Pichu, Chanchan, Chavin dan Cuzco yang kaya dengan artifak peninggalan silam menakjubkan.

Nurashikin menambah, masyarakat negara ini bagaimanapun, wajar mengutamakan dan menyanjung tinggi budaya tradisi tempatan selain perlu menghormati kebudayaan lain.

"Orang Amerika Latin sangat bangga dengan budaya mereka walaupun tidak semua cara hidup mereka sesuai dengan budaya kita. Kita juga wajar berbangga dan mempertahan budaya sendiri," katanya.

BISKUT manisan daripada tepung jagung serta karamel susu dipanggil alfajores ini terkenal di Argentina dan dijual di festival.


Tambah Nurashikin, festival tersebut juga lebih meriah berbanding lima edisi sebelum ini.

"Setiap tahun apabila diadakan festival ini di Kuala Lumpur, rakyat dari negara-negara Amerika Latin yang ada di Malaysia akan datang memeriahkan sambutan bersama pengunjung tempatan.

"Festival ini masih santai seperti lima edisi sebelumnya. Tetapi, kali ini lebih meriah dan mungkin disebabkan Piala Dunia. Lagipun, banyak pasukan dari Amerika Latin akan beraksi dalam Piala Dunia nanti," kata Nurashikin yang mengikuti festival tersebut sejak 2009.

Sementara itu, Maria Wong, 33, menambah, rakyat di luar negara juga wajar mencontohi sikap orang Latin yang menganjurkan acara sedemikian bagi memperkenalkan budaya mereka kepada masyrakat dunia.

KANAK-KANAK Mexico ini memperagakan pakaian tradisional masyarakat negaranya.


Ujar Maria, walaupun berada di Malaysia dan jauh dari benua Amerika Selatan, masyarakat Latin dari berlainan negara dapat berganding bahu untuk mempromosi kebudayaan mereka.

"Mereka sentiasa mahu membawa nama dan imej baik negara masing-masing ke serata dunia. Sikap ini wajar dicontohi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

"Ia juga menjadi acara terbaik untuk para wakil dari negara-negara Amerika Latin memperkenalkan budaya serta produk pelancongan mereka kepada rakyat Malaysia," katanya kepada Horizon.

Bagi memeriahkan suasana, kebanyakan pengunjung yang terdiri daripada rakyat Amerika Latin turut memakai jersi bola sepak pasukan kebangsaan masing-masing bagi menyemarakkan kedatangan musim Piala Dunia.

"Pemakaian jersi dalam kalangan pengunjung membuatkan bahang Piala Dunia di Brazil semakin terasa.

"Kemeriahan dan suasana di festival ini membuatkan saya seperti berada di benua Amerika Latin" ujar Abd. Razak Abd. Halim, 35, yang turut memakai jersi Argentina.

Liburan tenang kota Yogyakarta

Posted:

Liburan tenang kota Yogyakarta

Liburan tenang kota Yogyakarta


PENULIS berpeluang menyaksikan para pelajar institusi pengajian tinggi menganjurkan protes untuk menyuarakan ketidakadilan dalam sistem pendidikan secara aman di jalanan.


PERCUTIAN saya dan tiga rakan ke Yogyakarta, Indonesia telah dirancang awal. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, dua rakan terpaksa menarik diri. Tinggal saya dan seorang lagi teman, Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz meneruskan percutian.

Kami tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong kerana merasakan lebih bebas bergerak dan mengatur masa sendiri. Namun, penyelidikan perlu dilakukan terlebih dahulu supaya tidak berdepan sebarang masalah sepanjang percutian.

Penerbangan dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang ke Lapangan Terbang Adisucipto, Jogjakarta mengambil masa selama 2 jam 35 minit. Sebaik sahaja melintasi ruang udara Yogyakarta, mata kami tidak lepas melihat kepadatan bangunan-bangunannya.

Selesai sahaja urusan imigresen, kami bergegas mencari teksi untuk mendaftar masuk di hotel penginapan selama tiga hari dua malam.

Kami memilih Hotel Istana Batik, yang terletak di tengah-tengah bandar Yogyakarta. Bagi saya, kedudukan hotel itu merupakan pilihan tepat untuk pelancong. Ia berdekatan dengan kawasan membeli-belah jalanan Malioboro, pusat beli-belah Malioboro, Pasar Beringharjo, Sultan Palace dan Kraton.

Usai mendaftar masuk dan membersihkan diri, kami terus ke Pasar Malioboro yang sememangnya terkenal dengan pelbagai jualan seperti barangan kulit, kraf tangan dan batik. Tidak sah sekiranya ke sini tanpa bawa pulang barangan berasaskan Jawa, Indonesia.

Percayalah, anda akan terkejut dengan harga yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga kaki lima di situ. Harga boleh ditawar sehingga lebih 50 peratus potongan untuk setiap barangan. Peniaganya juga ramah, pandai memujuk pelanggan supaya membeli di premis mereka.

JALAN Malioboro merupakan tumpuan penulis membeli-belahdi Yogyakarta.


Jika tidak berminat untuk membeli perlulah menolak dengan cara yang sopan. Malah, jangan terkejut sekiranya sepanjang perjalanan di kaki lima pasar itu, anda asyik diajak menaiki 'becak' (beca) sama ada berbasikal atau berkuda. Kami berkesempatan menaiki becak beberapa kali di sana dengan tambang yang amat murah.

Melalui pemerhatian kami, kehidupan kebanyakan penduduk di situ masih bertaraf rendah. Disebabkan itu, ramai penduduknya menjadi peniaga dan penjaja sebagai sumber pendapatan harian.

Melihatkan kepada situasi ini, kami berasa bertuah dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Pengalaman di negara orang semestinya akan menjadi ingatan dan pengajaran kepada kami untuk sentiasa bersyukur.

Makanan

Banyak pilihan restoran di Yogyakarta menawarkan cita rasa Indonesia seperti Jawa dan Minang dengan harga yang sangat murah.

Bayangkan, saya hanya membayar RM3.50 untuk hidangan satu set makanan berserta tiga jenis lauk dan minuman. Sepanjang di sini, saya amat menggemari sambal penyet dan ayam bakar yang agak berlainan dengan cara masakan Melayu.

Suka saya nasihatkan pengunjung supaya berhati-hati dan bersikap sedikit memilih apabila membeli makanan yang dijual di gerai tepi jalan kerana dikhuatiri tahap kebersihannya.

Berbicara soal makanan juga, tidak sah sekiranya pengunjung tidak merasai atau membeli makanan khas masyarakat Yogyakarta iaitu Bakpia. Rasanya sangat sedap.


Gerai makanan yang menjual makanan tradisi masyarakat Jawa seperti soto dan pecel yang terdapat di sekitar Pasar Malioboro dan Beringharjo.


Ia merupakan sejenis kuih yang berintikan kacang hijau, kacang merah atau keju. Kebanyakan pengunjung sering menjadikan ia sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang.

Hari kedua percutian kami diisi dengan melawat Taman Sari iaitu tinggalan istana yang dahulunya diceritakan menempatkan puteri-puteri dan gundik-gundik raja.

Kawasan itu terdiri daripada beberapa bahagian. Ia dikatakan pada zaman dahulu Taman Sari sering dikawal ketat dan lelaki dilarang masuk.

Candi Borobudur

Seterusnya, kami berkunjung sebuah candi Hindu dan Buddha yang telah ditinggalkan iaitu Borobudur yang merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Yogyakarta. Saiz candi itu amat besar.

Malangnya sesampai kami di sana, hujan lebat namun, kami gagahkan juga mendaki tangga-tangga candi.

Sedikit gambaran mengenai candi Borobudur ialah ukiran setiap rekaannya berjaya menunjukkan kemahiran pengukirnya. Malah, ia membawa mesej kepercayaan penganut Buddha dan Hindu selain memperlihatkan keadaan kehidupan masyarakat pada ketika itu.


SELAIN pakaian, beg tangan bercorak batik juga menjadi oleh-oleh yang wajib dibawa pulang pelancong wanita.


Selain Borobudur, terdapat sebuah lagi candi yang dikenali sebagai Prambanan dan Gunung Merapi yang merupakan destinasi wajib dilawati apabila ke Yogjakarta. Namun, kerana kesuntukan masa, kami terpaksa membatalkan perancangan ke sana.

Kami dapat melihat ramai penjaja menjual makanan, minuman dan oleh-oleh di jalanan Yogyakarta. Malah, ada juga dalam kalangan mereka sanggup mengikut dan mengejar pelancong untuk memujuk agar membeli barangan mereka.

Menarik di Yogyakarta juga adalah Pasar Beringharjo yang juga terletak di Jalan Malioboro. Pelbagai jenis barangan dijual antaranya, pakaian, aksesori wanita dan kerepek. Makanan masyarakat tempatan Jawa seperti pecel, gado-gado dan tauhu guling merupakan menu wajib dicuba.

Pengalaman manis Yogyakarta membuatkan saya merancang untuk kembali pada masa akan datang. Sudah pasti, saya akan membawa lebih wang ke sana untuk membeli lebih banyak barangan batik dan kraf tangan.

Matahari terbit di Bukit Panorama

Posted:

Matahari terbit di Bukit Panorama

Matahari terbit di Bukit Panorama

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
rencana@kosmo.com.my


KAWASAN lapang di puncak Bukit Panorama ini menjadi tumpuan para pendaki menikmati keindahan matahari terbit.


BUKIT Panorama di Sungai Lembing, Kuantan yang berketinggian 291 meter dari aras laut semakin mendapat tempat di hati pengunjung sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong asing.

Dengan menyajikan pemandangan indah khususnya detik matahari terbit, ia memberi pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Meskipun cabaran mendaki bukit ini tidak sehebat bukit lain, pengunjung perlu menaiki sebanyak 815 anak tangga untuk sampai ke puncak.

Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke Sungai Lembing, perjalanan hanya memakan masa 30 minit dari laluan keluar plaza tol Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan untuk ke Bukit Panorama.

Para pendaki perlu memulakan perjalanan seawal pukul 5.30 pagi kerana tempat letak kereta sentiasa penuh dengan kenderaan. Tempoh pendakian pula antara 20 hingga 40 minit.

Sebaik sampai di puncak, sudah pasti waktu terbitnya matahari sentiasa dinantikan. Pengunjung berpeluang merakam kenangan menarik sama ada bersama rakan atau ahli keluarga.


PEKAN Sungai Lembing yang dilihat dari puncak Bukit Panorama.


Puncak bukit yang berkeluasan 200 meter persegi itu turut mempunyai dua pondok bagi kemudahan pengunjung berehat selepas mendaki.

Seorang pengunjung dari Kajang, Selangor, Tan Ching Yang, 21, menyifatkan pengalamannya mendaki dan menyaksikan keindahan matahari terbit bersama rakan-rakan suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

"Sebelum ini, saya mendaki beberapa bukit di Selangor tetapi kecewa kerana tidak dapat melihat pemandangan matahari terbit.

"Rakan-rakan mencadangkan saya datang ke sini dan ia nyata berbaloi apabila dapat melihat keindahan pemandangan matahari terbit di sekitar Sungai Lembing yang mempesonakan," ujarnya.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Pahang, Zarif Zulkarnain, 21, telah lima kali mendaki bukit tersebut tetapi hanya tiga kali dapat menyaksikan pemandangan matahari terbit.

"Sebelum ini, ramai pengunjung pulang hampa kerana tidak dapat menyaksikan pemandangan matahari terbit. Bagi saya, melihat matahari terbit merupakan matlamat utama selain menikmati udara segar di Bukit Panorama," katanya.


MUZIUM Sungai Lembing ini mempamerkan koleksi berkaitan sejarah perlombongan bijih timah di Sungai Lembing.


Keselesaan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, kerajaan negeri telah menaik taraf laluan pendakian bagi menambah keselesaan kepada pengunjung untuk ke puncak bukit.

Menurutnya, pembinaan anak tangga itu bermula dari hadapan pusat maklumat di kaki bukit sehingga kawasan mendatar di Bukit Panorama.

"Selain itu, kami turut memasang penghadang keselamatan untuk membolehkan pengunjung berpaut ketika mendaki anak tangga," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berusaha melakukan penambahbaikan kemudahan di bukit tersebut serta beberapa lagi tarikan pelancongan di sekitar Sungai Lembing.

"Kita juga akan menambah produk-produk baharu di kawasan ini bagi manfaat dan kemudahan pengunjung," ujarnya.

Selain Bukit Panorama, Sungai Lembing juga mempunyai tarikan lain seperti peninggalan bekas lombong bijih timah.

Walaupun tapak lombong tersebut ditutup, namun ia masih menjadi tumpuan orang ramai.

Selain itu, Muzium Sungai Lembing dan terowong bijih timah merupakan dua lokasi popular yang wajib dikunjungi pelancong bagi melihat sendiri sejarah komoditi itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved